Monday, September 29, 2014

Tanaylah Ustaz Siri 164 ( Haid Lebih 15 Hari, Doa Pada Sahabat (Hadis Tak Sahih) , Kedudukan Jenazah Ketika Solat Jenazah, Tafsir Mimpi Melihat Cermin Dan Doa Kepada Ibu Yang Kafir.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 164 adalah menjelaskan persoalan haid lebih 15 hari, doa pada sahabat (hadis tak sahih) , kedudukan jenazah ketika solat jenazah, tafsir mimpi melihat cermin dan doa kepada ibu yang kafir.

776. Soalan : Ustaz. jika seseorang haid lebih dari 15 hari..dah mandi tapi selepas tu keluar lagi tanda2 warna kuning.adakah ini tanda2 ada gangguan dlm diri.

Jawapan :  

Darah Istihadhah

Menurut Pendapat As-Sayyid Sabiq dalam kitabnya Fiqh Sunnah Jilid 1 mengatakan bahawa :

“Istihadhah adalah darah yang keluar secara berterusan dan keluar bukan pada waktunya.”

Di sini ada tiga perbahasan mengenai darah istihadhah iaitu :

Pertama : Istihadhah adalah darah yang keluar lebih dari kebiasaan haidnya, maka itu dikira sebagai darah istihadhah (penyakit). Wanita yang keluar darah melebihi kebiasaan haidnya, maka diwajibkan mandi dan boleh melaksanakan segala amalan yang terhalang ketika haid. Hadis dari Aisyah bahawa :

“Fatimah binti Abi Hubaisyh ra telah mengadu kepada Nabi SAW : Sesungguhnya aku kedatangan haid tanpa putus-putus. Apakah aku perlu meninggalkan solat? Nabi s.a.w. menjawab : Tidak, sesungguhnya itu adalah darah dari urat, bukan darah haid. (Oleh demikian, janganlah kamu tinggalkan solat pada keseluruhan hari datangnya darah itu), akan tetapi kamu tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat." (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Sebagai wanita muslim yang peka dengan masalah ini apabila datangnya darah haid, maka terlebih baik dia menandakan pada kalendar atau membuat catitan tarikh datangnya haid supaya dia tidak lupa dan tidak bercelaru dengan tarikh mula datangnya haid. Tindakan ini penting untuk wanita menghitung jumlah hari haidnya dan secara tidak langsung dia mudah mengetahui bahawa darahnya telah melebihi dari kebiasaan haidnya. Dalilnya Ummu Salamah ra bahawa :

“Dia meminta fatwa kepada Nabi SAW mengenai seorang perempuan yang selalu mengeluarkan darah. Nabi SAW bersabda : Hendaklah perempuan itu mengenal pasti terlebih dahulu bilangan malam dan siang selama haid serta kadar hari-harinya pada setiap bulan. Setelah mengetahui waktu haid dan kadarnya itu, maka hendaklah ia menghentikan solat pada waktu-waktu tersebut. Sesudah waktu haid itu berakhir, dia dikehendaki menampalkan kemaluannya dengan sehelai kain, lalu kerjakanlah solat.” (Diriwayatkan oleh Malik, As-Syafie, Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Kedua : Bagi wanita yang keluar darah haid tidak teratur waktu kebiasaannya, maka wanita itu perlu membezakan (tamyiz) warna darah yang keluar, baunya dan sifat kekentalannya maka itu dikira haid. Jika darah yang keluar itu berbeza dari sifat darah haid, maka itu dikira darah istihadhah. Hadis dari Saidatina Aisyah ra yang menceritakan :

“Fatimah binti Abi Hubaiysh r.a. menghadapi istihadhah, maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya : Sesungguhnya darah haid adalah darah berwarna hitam yang dikenali (yakni ia mempunyai bau yang dikenali oleh kaum wanita). Oleh demikian, jika kamu melihat darah sedemikian, hendaklah kamu menahan diri dari menunaikan solat. Tetapi jika kamu melihat darah berwarna lain, maka ambillah wudhuk dan kerjakanlah solat.” (Riwayat Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Hibban dan al-Hakim. Berkata al-Albani; hadis ini hasan soheh).

Ketiga : Manakala wanita yang tidak boleh membezakan antara sifat darah haidnya iaitu warna, bau, kekentalannya, terlupa tarikh datangnya haid dan darah itu berterusan tidak berhenti. Maka dia dikira sebanyak-banyak keluarnya haid iaitu 15 hari dan malamnya. Darah yang keluar lebih dari 15 hari dan malamnya itu dikira sebagai darah istihadhah. Ini menurut perbahasan yang terdapat dalam kitab Hidayatul Subiyan dan Kitab Al-Mukhtasar Al-Mufid.

Ciri-ciri Darah Istihadhah

Berbeda dengan darah haid, darah istihadhah mempunyai ciri-ciri sebagai berikut : Warnanya merah, tipis, baunya seperti darah biasa, berasal dari urat yang pecah/putus dan ketika keluar langsung mengental.

Sebab Berlakunya darah Istihadhah

Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar dari urat yang hampir dengan rahim perempuan yang dinamakan al-azal iaitu urat atau sejenis kulit yang berada didalam faraj (hampir dengan rahim) perempuan dan disitulah tempat masuknya air mani lelaki yang bakal menjadi anak dan dari situ juga keluarnya darah nifas.

Adakalanya wanita yang mengalami istihadhah adalah wanita yang terganggu hormon anggota badannya. Ada yang disebabkan strees kerja atau sebagainya dan ada juga yang disebabkan pembedahan. Kalau wanita yang mengalamai istihadhah berpanjangan, maka terlebih baik mendapatkan rawatan atau berjumpa pakar di hospital atau klinik.
 

Jika saudari setiap bulan keluarnya darah haid secara teratur misalnya 7 hari, maka menurut pendapat pertama (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim) hari yang ke 8 jika berterusan sehingga ke 15 adalah darah istihadah. Jika kebiasaan haid saudari tak teratur kadang 7 hari kadang lebih 7 hari makan maksima haid 15 hari dan malamnya. Selebih daripada masa tersebut di kira sebagai darah istihadah. 

777. Soalan : Ustaz saya nak tanya.. betul ke kenyataan ni?

Ya Allah..ya Rasulullah..ya Muhammad..engkau selimutilah rahmatmu kepada sahabatku ini dalam mencari redhamu..sebagaimane engkau utuskan jibril,mikail,izrafil,izroil melindungiku didalam Rahim ibuku..syukran ustaz di atas respon.


Jawapan : 

Doa tersebut tidak dapat di pastikan berasal daripada hadis riwayat siapa dan adakah hadis tersebut sahih atau dhaif. Saudara dapat daripada mana doa yang tersebut di atas?
Mencari ilmu . cuba kaji dan semak adakah hadis menceritakan mengenai peranan malaikat di dalam kandungan ibu yang sedang mengandung hadis itu sahih? dan siapa yang meriwayatkannya kerana perkara ghaib seperti ini perlu kita tahu kedudukan hadis tersebut kerana kita bimbang hadis tersebut tak sahih.
 

Hadis sahih yang menceritakan kejadian kandungan ibu adalah seperti berikut : Telah masyhur di kalangan ulama’ Islam yang dahulu dan sekarang berfahaman bahawa kejadian janin yang pertama ialah; air mani (النطفة), segumpal darah (العلقة), kemudian seketul daging (و(المضغة. Semua proses kejadian ini ialah selama 120 hari, berdasarkan kepada apa yang difahami dari hadis menghimpun kejadian manusia (جمع الخلق) yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan lainnya dari ‘Abdullah bin Mas’ud r.a katanya:

( حدثنا رسول الله صلى الله عليه وسلم -وهو الصادق المصدوق- قال: “إن أحدكم يُجمع خلقُه في بطن أمه أربعين يوما، ثم يكون علقة مثلَ ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يبعث الله ملكاً يؤمر بأربع كلمات ويقال له: اكتب عمله وأجله ورزقه وشقي أو سعيد. ثم ينفخ فيه الروح…”). صحيح البخاري رقم (3208).

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami –sedang Baginda adalah orang benar yang telah dibenarkan kata-katanya- sabdanya: “Bahawa seseorang kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian dijadikan segumpal darah seumpamanya, kemudian dijadikan seketul daging seumpamanya, kemudian Allah mengutuskan seorang Malaikat untuk menulis empat kalimah dan diarahkan agar menulis; amalannya, ajalnya, rezekinya dan untung jahat atau untung baik, kemudian ditiupkan rohnya…”. [Sahih Al-Bukhari No. 3208].

Berdasarkan yang disebut dalam hadis, mereka menafsirkan bahawa roh ditiup ke dalam janin pada waktu ianya berupa seketul daging, yang pada zahirnya selepas 40 hari yang ketiga [.Lihat: Hukmul Ijhadh fi As-Syariah Al-Islamiah, Dr. Majid Al-Na’washi. Dalam Majalah ‘As-Syariah wa Ad-Dirasat Al-Islamiah, Universiti Kuwait. Bil. 44. Mac 2001.]


778. Soalan : .Bagaimanakah kedudukan kepala jenazah yg betul...d seblah kiri imam ke ataupun d seblah knn imam ketika hendak d solatkan....

Jawapan :  

Dato' Paduka Sheikh Abdul Majid Bin Mohd Nor, Jabatan Mufti Negeri Kedah Darul Aman menjelaskan bahawa disunatkan letak mayat laki-laki kepalanya sebelah kiri imam dan mayat perempuan kepalanya di sebelah kanan imam kecuali dalam masjid Madinah (Masjid An- Nabawi) bagi mayat-mayat perempuan kepalanya diletak di sebelah kiri jua.

779. Soalan :  Ustaz..saya nak tanya maksud kabut (surah ad dukhan)..saya tak faham ayat yang ke 10 lah ustaz..ayat yg kesepuluh yang bermaksud..(maka tunggu lah hari ketika langit membawa kabut yg nyata)..boleh ustaz terangkn maksud kabut..minta penerangan ustaz..

Jawapan : 

Firman Allah SWT maksudnya, "Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata.(Surah Ad-Dukhaan ( 44) ayat 10)

Tafsir Surah Ad Dukhaan (44) ayat 10


فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُبِينٍ (10)
 

Dalam ayat ini Allah SWT menerangkan bahawa Dia menyuruh Muhammad SAW supaya bersabar menanti orang-orang kafir Quraisy itu ditimpa kelaparan. Pada waktu itu mereka bila memandang ke atas, akan melihat di langit kabut tebal memenuhi angkasa.
"Diriwayatkan oleh Bukhari dan Masruq bahwa ketika orang-orang Quraisy tidak juga mau masuk Islam dan selalu menentang Rasul Allah, maka Rasulullah mendoakan supaya ditimpakan kepada mereka kemarau panjang sebagaimana yang telah dialami rakyat Yusuf a.s. Pada waktu itulah mereka mengalami kelaparan yang hebat sehingga mereka itu memakan tulang dan bangkai, dan bila mereka melihat ke langit, mereka tidak melihat sesuatu yang lain kecuali asap tebal. Maka turunlah ayat ini dan ayat yang berikutnya. Setelah hal itu terjadi, mereka itu mendatangi Rasulullah SAW dan berkata, "Wahai Rasulullah mintakanlah air untuk kami dari Allah SWT. Maka dimintakanlah oleh Rasulullah untuk mereka dan merekapun minumlah, maka Allah menurunkan ayat berikut ini:

إِنَّا كَاشِفُوا الْعَذَابِ قَلِيلًا إِنَّكُمْ عَائِدُونَ (15)

Maksudnnya , "Sesungguhnya (kalau) Kami akan melenyapkan seksaan itu agak sedikit, sesungguhnya kamu akan kembali (ingkar). (Surah Ad Dukhan (44) ayat 15)
Dan ketika mereka itu mendapat kesenangan dan kemewahan hidup, mereka kembali kepada keadaan mereka semula. Lalu turunlah ayat berikut:

يَوْمَ نَبْطِشُ الْبَطْشَةَ الْكُبْرَى إِنَّا مُنْتَقِمُونَ (16)

Maksudnya, "(ingatlah) hari (ketika) Kami menghantam mereka dengan hantaman yang keras. Sesungguhnya Kami adalah pemberi balasan. (Surah Ad Dukhan (44) ayat 16)
Maka Allah mengalahkan dan membinasakan mereka pada hari peperangan Badar.


779. Soalan : Apakah makna bila kita pernah mimpi di sekeliling kita pernah dengan cermin besar .. kemana saja pergi ada cermin

Jawapan : 

Dalam ETMMI m/s 300 melihat cermin bererti akan berkahwin jika bujang . Jika sudah berkakwin akan bertambah isteri lagi, jika wanita yg bermimpi berkemugkinan akan mendapat madu. Jika perempuan hamil bermimpi bercermin akan mendapat anak perempuan. Jika tak hamil bererti suaminya akan kawin lagi dengan seorang wanita. Wallahu a'lam

780. Soalan : Ustaz..saya saudara baru dalam islam..saya nak tanya..boleh ke kita berdoa kepada arwah bapa saya  bukan muslim...mohon pencerahan ustaz...

Jawapan : 

Saudari tak boleh mendoakan arwah bapa saudari yang bukan Islam. Nabi SAW sendiri dilarang oleh Allah SWT mendoakan bapa saudara baginda Abu Talib yang mati di dalam kekufuran. Jika ibu atau ahli keluarga saudari yang bukan Islam masih hidup, saudari boleh mendoakan agar mereka di berkan hidayah oleh Allah SWT untuk masuk Islam.
 

Allah berfirman yang bermaksud: “Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang yang beriman meminta ampun bagi orang musyrik, walaupun orang musyrik itu adalah kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka, bahawa orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam. Dan permintaan ampun dari Ibrahim untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana suatu janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu. Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.” (Surah At-Taubah, ayat 113-114)

Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ berkata, ulama sepakat mendoakan orang bukan Islam dengan keampunan Allah, mendapat syurga dan apa saja berkaitan akhirat adalah diharamkan. Begitu juga mereka yang diragui keislamannya, kata Imam Ibn Hajar al-Haithami.

Islam bukan agama menyuruh membenci penganut agama lain malah Islam sentiasa menganjurkan kita mendoakan orang bukan Islam supaya bersama menikmati hidayah milik Allah SWT. Itulah nilai kasih sayang sebenar dengan membebaskan mereka dari azab neraka jahanam. Selagi orang buka Islam masih hidup kita di haruskan mendoakan agar mereka beroleh taufik dan hidayah dan masuk ke dalam Islam.

Kita boleh melakukan perbuatan direstui syarak dengan memuji perilaku baik si mati sewaktu hidupnya, menziarahi waris dan memberi ucapan kesabaran serta meringankan beban waris. Ia lebih bernilai dalam mengeratkan hubungan sosial berbilang agama.

2 comments:

  1. Assalamualaikum ustaz. Saya datang haid pada 1st January dan berhenti 15th January. Lepas 8 hari, datang balik. Saya boleh semayang atau tak?

    Dan berapa hari untuk tentukan haid yang sterusnya? Minta penjelasan. Tq

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum ustaz. Saya datang haid pada 1st January dan berhenti 15th January. Lepas 8 hari, datang balik. Saya boleh semayang atau tak?

    Dan berapa hari untuk tentukan haid yang sterusnya? Minta penjelasan. Tq

    ReplyDelete