Sunday, May 25, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 117 ( Lelaki Berambut Panjang, Hukum Tidak Menjawab Salam, Solat Wuduk, Tanda Kena Santau dan Tempuh Iddah Lelaki).

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 117 adalah menjelaskan persoalan lelaki berambut panjang, hukum tidak menjawab salam, solat wuduk, tanda kena santau dan tempuh iddah lelaki.

641. Soalan : Ustaz nak tanya ni..Boleh ke lelaki berambut panjang?

Jawapan :  

Jika lelaki panjang rambutnya seperti wanita maka hukumnya haram kerana menyerupai wanita.Sabda Rasulullah SAW :

 عن ابن عباس رضي الله عنهما قال : لعن النبي صلى الله عليه وسلم المخنثين من الرجال ، المترجلات من النساء 

Maksudnya : Daripada Ibn Anas r.a berkata Rasulullah SAW melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita (HR al Bukhari) Maksud menyerupai dalam konteks hadis di atas termasuklah daripada aspek gaya rambut, rambut panjang bagi lelaki, perhiasan, penampilan, cara bercakap, cara berpakaian dan sebagainya.

642. Soalan :  Ustaz.apakah hukum jika seorang memberi salam kepada sesama islam tapi tak dijawab salamnya?

Jawapan : 

Memberi salam adalah sunat tetapi menjawab salam adalah wajib. Jika tak menjawab berdosa. Ini berdasarkan ayat al-Qur’an yang menyebut 

: وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُ‌دُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا 

Maksudnya “Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungankan segala sesuatu.” (Surah al-Nisa’ ayat 86).

Ayat ini merupakan ayat yang umum. Frasa dalam ayat وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ, maksudnya “apabila kamu diberi penghormatan”, ia tidak menyatakan إذا حياكم المسلمون , maksudnya “apabila orang Islam memberi penghormatan kepada kamu”, mengkhususkan orang Islam sahaja memberi salam atau penghormatan. Jawapan yang dianjurkan ialah dengan lafaz وعليكم . ini berdasarkan hadis Nabi yang menyebut “Apabila kamu diberi salam oleh ahli kitab jawablah “wa’alaykum” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Walaubagaimanapun, orang Islam tidak boleh dahulu memberi salam kepada bukan Islam. Ini berdasarkan sabda Nabi “Jangan memulakan salam kepada Yahudi dan Nasara jika kamu berjumpa salah seorang daripada mereka di jalan (Riwayat Muslim). 


Menjawab salam sesama muslim adalah wajib . Di galakkan menjawab salam dengan yang lebih baik atau sama seperti ucapan salam yang diucapkan.

643. Soalan : Tolong terangkan sembahyang sunat wuduk.perlukah kita buat setiap kali kita mengabil wuduk untuk solat?

Jawapan : 

Solat Sunat Wuduk adalah solat sunat yang dikerjakan 2 rekaat setiap kali selepas kita ambil wuduk. Kisah Bilal bin Rabah r.a. Dalam hadis riwayat al-Bukhari 4/428 [no 1149]dan Muslim 16/141 [no 6478] :

حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ نَصْرٍ حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ عَنْ أَبِى حَيَّانَ عَنْ أَبِى زُرْعَةَ عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ - رضى الله عنه - أَنَّ النَّبِىَّ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ لِبِلاَلٍ عِنْدَ صَلاَةِ الْفَجْرِ « يَا بِلاَلُ حَدِّثْنِى بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِى الإِسْلاَمِ ، فَإِنِّى سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَىَّ فِى الْجَنَّةِ » . قَالَ مَا عَمِلْتُ عَمَلاً أَرْجَى عِنْدِى أَنِّى لَمْ أَتَطَهَّرْ طُهُورًا فِى سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ إِلاَّ صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِى أَنْ أُصَلِّىَ . قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ دَفَّ نَعْلَيْكَ يَعْنِى تَحْرِيكَ

Maksudnya : “Rasulullah SAW bersabda kepada Bilal ketika solat Subuh : Wahai Bilal, ceritakan kepadaku dengan amalan paling baik engkau lakukan disisimu dalam Islam, Sesungguhnya aku mendengar bunyi hentakan seliparmu di hadapanku dalam Syurga. Jawab Bilal : Aku tidak melakukan sebarang amalan yang paling aku harapkan disisiku, aku tidak bersuci (berwuduk) pada satu-satu masa waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wuduk tersebut, dengan apa yang tidak diwajibkan bagiku untuk solat”

Manakala tentang solat sunat wuduk, ia bukan solat sunat qabliah. Solat sunat wuduk adalah merupakan solat sunat lain. Ia disunatkan selepas seseorang mengambil wuduk.
Dalam hal ini al-Nawawi ada menjelaskan :

ثم أفضل الصلوات بعد الرواتب والتراويح الضحى ثم ما يتعلق بفعل كركعتي الطواف إذا لم نوجبهما وركعتي الاحرام وتحية المسجد ثم سنة الوضوء

Maksudnya : “Kemudian yang solat paling afdal selepas sunat rawatib [sunat qabliah atau ba’diyah], dan tarawih ialah solat duha, kemudian apa yang berkaitan dengan sesuatu perbuatan seperti dua rakaat tawaf jika kita tidak berpendapat mewajibkannya, dua rakaat ihram, tahiyyat masjid dan kemudian sunat wuduk” [al-Majmuk jil.4, hlm. 26]
Dalilnya ialah hadis kisah Bilal di atas. Wallahu a'lam


644. Soalan : Saya ingin tanya macamana kita nak tahu yang diri kita telah di santau?

Jawapan : 

Santau terbahagi kepada dua:

Jenis Pertama – Santau yang diperbuat daripada adunan tertentu secara hakiki iaitu tidak melibatkan jin dan syaitan. Santau jenis ini agak mudah dirawat.

Jenis Kedua – Santau yang disertai dengan pemujaan terhadap jin dan syaitan. Santau ini juga dikenali dengan ‘Santau Angin’. Santau ini agak sukar dirawat kerana ia melibatkan jin yang memiliki sayap dan terbang di udara. Biasanya mangsa akan menjadi kurus kering.

Secara umumnya, santau ditujukan kepada mangsa bertujuan seperti berikut:

- Membalas dendam kepada si mangsa kerana sebab-sebab tertentu.
- Iri hati dan hasad dengki terhadap orang lain.
- Ingin menguji tahap kekuatan atau ketahanan kebatinan seseorang.
- Sebagai medan menguji tahap kekuatan dan kesan santau yang dimiliki.
- Membuang santau. Santau angin mesti dibuang pada masa tertentu. Jika tidak berbuat demikian, santau tersebut akan memakan tuannya dan keluargannya.
- Mencari rezeki melalui upah untuk kenakan santau kepada seseorang.

Bahan-bahan Santau:

- Bahan yang berbisa seperti bisa ular tedung senduk, ular kapak dan katak puru bertanduk.
- Bahan miang seperti miang buluh, ulat bulu, miang rebung, tali guni dan sebagainya.
- Bahan yang tajam dan melukakan seperti kaca, jarum, berus besi, rambut, kuku manusia atau binatang dan sebagainya.
- Bahan yang boleh membuat seseorang itu tidak dapat tidur seterusnya menjadikan bodoh seperti kura-kura, tulang dagu kera duku, uri kucing, biji mata kelawar dan burung jampuk.

Tanda-tanda terkena santau:

Jika seseorang mempunyai ciri-ciri berikut maka beliau disyaki telah terkena santau:
- Batuk yang berlarutan, kadang-kadang batuk berdarah dan bernanah dan keluar debu-debu kecil seperti serbuk kaca.
- Istihadah yang berpanjangan bagi wanita sehingga satu hingga tiga bulan atau lebih.
- Sakit tulang belakang terutamanya pada waktu Maghrib dan malam Jumaat. Kadang-kala sakit menjadi-jadi semasa hendak masuk waktu solat Jumaat.
- Sakit sesak nafas terutaman waktu Maghrib.
- Lenguh seluruh anggota badan.
- Kuku menjadi hitam dan nafas menjadi busuk.
- Mimpi jatuh dari tempat tinggi.
- Mimpi bahan-bahan yang miang seperti buluh dan ulat bulu.
- Mimpi bermain dengan benda tajam seperti pisau dan sembilu.
- Mimpi kanak-kanak kecil seperti menyusu kanak-kanak tersebut.
- Mimpi binatang yang menakutkan seperti ular.
- Mimpi makan makanan kotor seperti bangkai dan babi.
- Mimpi paderi Kristian, sami Budha atau mimpi pergi ke tempat-tempat ibadat agama bukan Islam.
- Sentiasa sakit pada tulang belakang
- Bawah matanya biru (Seperti orang tak cukup tidur)

Kesan-kesan Santau:

Antara kesan-kesan santau terhadap mangsa adalah seperti berikut:

- Boleh membawa maut dengan izin Allah s.w.t.
- Hilang daya ingatan
- Kulit akan menjadi merekah dan keluar air bisa dan nanah,
- Tabiat akan berubah seperti seorang yang dikenali sebagai seorang bersifat penyakit menjadi seorang yang panas baran.
- Badan menjadi bongkok disebabkan batuk yang berpanjangan.
- Badan menjadi licin kerana seluruh bulu di badan telah gugur.
- Kelopak mata menjadi kehitaman akibat daripada tidur yang selalu terganggu.
- Terjadinya ‘saratan’ atau kanser dan ketumbuhan.
- Jika hamil mungkin akan mengalami keguguran.
 

Untuk mengujinya secara bacaan ayat-ayat al-Quran : 

Cara-caranya adalah seperti berikut :

Membaca ayat-ayat dibawah ditapak tanganmu :

1. Baca surah Ibrahim ayat 42-52

2. Baca surah al-Mukminun ayat 98-118

3. Baca surah al-Falaq ayat 1-5.

4. Baca surah an-Nas ayat 1-6

Ketika membaca ayat-ayat di atas , letakkan mulutmu di telapak tangan kananmu, sehingga nafasmu atau sebahgian dari ludahmu mengenainya. Kemudian hulurkan tapak tangan kananmu itu di depan mata si sakit, dan mintalah dia melihatnya. Kalau dia sama sekali tidak boleh melihatnya, atau matanya menjadi silau atau nanar, atau dia melihat tapak tanganmu berwarna sangat merah atau hitam, atau dia melihat banyak salib di telapak tanganmu, atau tiba-tiba kepalanya terasa sangat pening, atau dia menunjukkan suatu gejala yang muncul secara tiba-tiba, maka dia , tidak diragukan, terkena sihir , santau atau gangguan jin atau syaitan atau kedua-duanya sekali.

[CATATAN : Sebaik-baiknya, usahakan dia sendiri yang membacanya ayat-ayat diatas. Kalau si sakit tidak boleh membaca sendiri maka kalian boleh bacakan ditapak tangan kalian dan hulurkan tangan kanan kalian di depan mata si sakit minta dia melihatnya.]


Untuk mengatasi santau ini cuba amalkan cara berikut : 1. Ambil tujuh helai sirih hijau atau daun teratai. Tumbuk dengan batu, besi atau apa saja sehingga lumat (boleh juga guna alat penghancur letrik - blinder)

2. Masuk tumbukan daun sirih atau daun teratai itu dalam satu mangkuk besar. Isi dengan air secukupnya untuk minum dan mandi seluruh badan.

3. Letakkan telapak tangan kananmu pada air yang sudah diisi tumbukan daun sirih.

4. Sentuhkan bibirmu pada mangkuk, sehingga nafas atau sebahagian dari ludahmu mengenainya.

5. Bacakan ayat-ayat berikut :

a. Baca Ayat Kursi. (Surah al-Baqarah ayat 255)

b. Bacakan Surah al-Kafirun.

c. Baca Surah al-Ikhlas.

d. Baca Surah al-Falaq.

e. Baca Surah an- Nas.

(Ayat-ayat dibawah adalah ayat penawar sihir)

f. Baca Surah al-A'raf ayat 117-119.

g. Baca Surah Yunus ayat 79-82.

h. Baca Surah Thaha ayat 65-69.

Setelah dijampi dengan ayat-ayat al-Quran di atas air itu diminumkan kepada si sakit, kemudian mandikan ia dengannya. Ulangi seminggu sekali dan sesudah itu in syaa Allah , sihir itu tidak akan ada lagi.

[Yakinlah kepada Allah SWT bahawasanya hanya Dia sahaja yang akan menyembuhkan segala penyakit termasuk penyakit disebabkan sihir hasil perbuatan jin dan syaitan]


645. Soalan : Saya ingin tahu iddah dan tempoh iddah bagi seorang lelaki..boleh terangkan..?

Jawapan : 

Suami juga ada tempoh iddah dalam keadaan berikut:

1. Apabila suami menceraikan isteri dengan talak raj’i dan suami hendak berkahwin dengan perempuan yang haram dihimpunkan bersama dengan isterinya (contoh adik beradik isterinya) maka hendaklah suami menunggu sehingga habis tempoh iddah isteri yang ditalak itu.

2.Jika suami sudah mempunyai empat orang isteri, kemudian menceraikan salah seorang daripadanya dengan talak raj’i, untuk dia berkahwin satu lagi maka dia mesti menunggu isteri yang diceraikan itu habis tempoh idah terlebih dulu.

Dari segi praktik perundangan, suami juga tidak dibenarkan berkahwin dengan wanita lain selagi tempoh iddah talak raj’i dengan bekas isteri belum tamat. Jika dia tetap ingin meneruskan hasrat itu, maka dia hendaklah memohon kebenaran berpoligami dari mahkamah.

Ini adalah untuk mengelakkan penyalahgunaan sijil cerai dengan cara memanipulasi fakta dan keadaan. Berlaku kes di mana suami menggunakan sijil cerai itu untuk bernikah dengan wanita lain, tetapi kemudian dia kembali rujuk kepada isterinya yang masih dalam tempoh iddah talak raj’i, tanpa memaklumkan kepada bekas isterinya itu bahawa dia sudah berkahwin lain. Akibatnya, dia mempunyai dua isteri pada masa sama. Perkara sebeginilah yang hendak dielakkan pihak berkenaan. (Dalam kes suami yang telah ada 4 isteri, diceraikan seorang, lepas tu belum tamat iddah isteri, dia bernikah lain seorang lagi, tiba-tiba, dia ruju' semula dengan bekas isteri yang telah diceraikan, maka beristeri 5 lah dia)

Bagaimanapun, menurut pengalaman saya, sijil cerai masih boleh dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam jika suami membuat satu akuan berkanun bahawa dia tidak akan berkahwin lain sehingga tempoh iddah isterinya tamat.

Saturday, May 17, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 116 ( Ikut Mazhab Lain, Cara Qada Solat Yang Ditinggalkan, Nikah Gantung, Tanda-tanda Orang Kena Sihir. Dan Ceraikan Isteri Di Rumah.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 116 adalah menjelaskan persoalan ikut mazhab lain, cara qada solat yang ditinggalkan, nikah gantung, tanda-tanda orang kena sihir. dan ceraikan isteri di rumah.

636. Soalan : Ustaz..di Malaysia kebayakan muslim berpandukan ajaran dari Imam Shafiee.. boleh kah saseorang mencampur aduk ajaran sedikit dari imam Hambali. dn imam yg lain-lain nya.. mohon penjelasan.

Jawapan  :

Di dalam bab feqah yang meragkumi ibadah seperti solat, puasa, zakat , haji, muamalat, munakahat, penurusan jenazah, perniagaan, nikah, cerai, rujuk , bersuci dan sebagainya terlalu banyak hukum-hukum dan huraian-huraiannya yang telah di bahaskan ulam para imam mazhab. Jika kita muslim biasa tidak mengambil pengkhususan ilmu syariah maka kita sebaiknya berpegang pada satu mazhab -memudahkan dan tidak akan timbul kekeliruan. Setiap mazhab mempunyai huraian dan dalili-dalil yang digunakan kenapa mereka berpegang pada pendapat tersebut.. 

Umat Islam di Malaysia kebanyakkannya berpegang dengan mazhab Syafie termasuk di dalam perlaksanaan undang-undang Islam dan keluarga Islam . Mereka yang berautoriti untuk mengambil mana-mana pendapat mazhab yang lain untuk di amalkan oleh umat Islam adalah Majlis Fatwa Negeri-negeri, , JAKIM, pejabat Mufti, Majils Fatwa Kebangsaan. dan Jawatan kuasa Syariah Perbankkan Islam. Contoh dalam bab zakat Fitrah jika pendapat mazhab Syafie perlu diberikan beras (makanan asasi) tetapi mengikut pendapat mazhab lain boleh menggunakan wang untuk membayar zakat fitrah. Begitu juga sekiranya ada pendapat mazhab lain yang memudahkan umat Islam majlis fatwa akan membuat keputusan dengan dalili-dalil yang di berikan ulama ulama mazhab tersebut..

Para imam mazhab telah berusaha untuk menetapkan sesuatu hukum berdasarkan al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas dan berijtihad di dalam sesuatu hukum yang tak ada nas yang jelas. Mereka telah berusaha dan berijtihad sekadar kemampuan mereka . Jika benar mereka akan mendapat 2 pahala dan jika salah atau kurang tepat mereka akan mendapat 1 pahala. Hadis-hadis sahih , hasan , dhaif dan palsu telah terkumpul dan dibahaskan oleh para ahli hadis. Syarat-syarat dan darjat sesuatu hadis itu telah di huraikan dan di kelompokkan ke dalam salah satu daripaadnya iaitu hadis sahih, hadis hassan, hadis dhaif dan hadis palsu. Kelompok hadis palsu akan ditolak sepenuhnya kerana ianya bukan datang daripada Rasulullah SAW. dengan ini akan memudahkan untuk kita beramal dengan amalan yang mengikut sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat.

637. Soalan :   Ustaz,saya nak tanya,macamana kita nak qada solat yang kita pernah tinggal dahulu,dan cara mengerjakannya..?

Jawapan : 

Solat yang pernah ditinggalkan setelah baligh (bermimpi keluar air mani) wajib di qada. Cuba buat kiraan berapa banyak kita telah meninggalkan solat fardu. Kita boleh mengqada solat tak kira waktu jika ada masa maka tunaikanlah untuk membayar hutang kita kepada Allah SWT. Hutang ini akan ditanya di akhirat nanti jika kita enggan membayarnya semasa hidup di dunia. Contoh jika masuk waktu zohor setelah kita solat zohor bersama imam (solat berjemaah) selepas habis saja solat fardu maka kita solat qada zohor. Atau pun boleh juga kita solat qada zohor setelah muazin melaungkan azan zohor. Contoh niat solat qada : "Sahaja aku solat qada fardu zohor kerana Allah Taala"

Dalil perlunya solat qada yang pernah ditinggalkan masa remaja dulu : Dari Anas bin Malik ra, berkata Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika salah seorang dari kamu tertidur atau lalai hingga lupa solat, hendaklah dia mengerjakannya apabila teringat kerana Allah berfirman : Dirikanlah solat untuk mengingatiKu (Hadis Sahih Muslim)

Dari Anas bin Malik ra, berkata Rasulullah SAW maksudnya : "Barangsiapa yang terlupa solat atau tertidur, maka hendaklah dia mengerjakan solatnya apabila teringat (atau setelah terjaga). (Hadis Sahih Muslim).

Hadis di atas menunjukkan bahawa WAJIB hukumnya qada solat walaupun terlupa... inikan pula solat yang ditinggalkan dengan sengaja.. 

Perkara ini telahpun mendapat ijma' pendapat mazhab imam yang empat. tidak perlu dibahaskan lagi.

Nabi SAW bersabda maksudnya, "'Hutang kepada Allah terlebih utama untuk dijelaskan."
(Hadis riwayat Bukhari,Muslim,Ahmad,Abu Daud,at Tabrani,Baihaqi dan al Bazzar)

Qada solat yang ditinggalkan boleh dilakukan bila-bila masa walaupun bukan waktunya. Misalnya di waktu malam kita nak qada solat 5 waktu (zohor, asar, magrib, isyak dan subuh). Atau qada ikut waktu-waktu solat conoh qada solat zohor pada waktu zohor setelah kita selesai solat zohor tunai.

638. Soalan : Ustaz boleh tak terangkan apa itu nikah gantung?

Jawapan :  

Maksud Nikah Khitbah atau Nikah Gantung

Nikah khitbah adalah pernikahan yang memenuhi syarat pernikahan yang biasa, cuma tak ada kenduri dan pasangan masih duduk berasingan (sebab itu sering dipanggil nikah gantung). Bezanya, pasangan yang bertunang cara biasa masih perlu menjaga had-had pergaulan sebab hubungan mereka belum sah. Tapi pasangan yang telah nikah gantung adalah pasangan suami isteri yang sah.

Cara dan Syarat Nikah Gantung menurut Islam

Tak ada bezanya cara dan syarat nikah gantung berbanding pernikahan biasa. 

Rukun nikah perlu dipatuhi:

1. Pengantin lelaki
2. Pengantin perempuan
3. Wali
4. Dua orang saksi lelaki
5. Ijab dan kabul

Yang membezakan nikah gantung dari perkahwinan biasa ialah pasangan tidak tinggal bersama dan kenduri kahwin tidak diadakan sehingga pasangan bersedia untuk tinggal bersama seperti pasangan lain, atau berlaku senggama diantara mereka.

Hukum Nikah Gantung

Oleh kerana nikah khitbah memenuhi semua syarat sah nikah, maka hukumnya ialah sah. Rasulullah dan Aisyah pun telah nikah khitbah untuk tempoh selama hampir 3 tahun. Maka ini membuatkan hukum nikah khitbah bukan saja sah, tetapi juga sunnah. Antara Nikah Gantung dan Bertunang

Bertunang adalah amalan lazim masyarakat kita. Tapi pertunangan bolehlah dianggap sebagai perjanjian untuk berkahwin. Perkahwinan belum lagi berlangsung. Hubungan diantara pasangan belum lagi halal. Mereka belum boleh berdua-duaan. kalau berlaku hubungan seks diantara mereka, mereka berzina.

Nikah gantung pula adalah pernikahan yang sah disisi hukum syarak, cuma mereka belum tinggal serumah seperti pasangan suami-isteri yang lain. Namun begitu, pasangan yang telah nikah khitbah bebas untuk berdua-duaan. Kalau berlaku hubungan seks diantara mereka, mereka tidak berzina kerana mereka telah berkahwin dengan sah.

Dalam masyarakat yang membenarkan lelaki dan perempuan bergaul agak bebas seperti dalam masyarakat di Malaysia ini, adalah lebih baik jika pasangan disatukan dengan nikah gantung, bukan ditunangkan, sementara menunggu hari kenduri kahwin dan pasangan berkenaan hidup bersama serumah.

Ini adalah adat masyarakat melayu Islam yang tak membenarkan tinggal serumah disebabkan kenduri walimatul urus belum selesai .

Nikah gantung jauh lebih baik daripada bertunang kerana nikah gantung boleh jalan berdua-duaan dan jika bersama halal kerana sudah akad nikah. Bertunang jika tak jaga batas-batas syarak akan membawa dosa besar takut terjerumus dalam zina.

639. Soalan :  Ustaz.saya nak tanya apakah tanda-tanda orang yang terkena sihir atau santau?

Jawapan: 

Tanda-tanda gangguan syaitan/ serangan gangguan makhluk halus:

1. Tidur dalam keadaan resah, rimas dan cemas serta selalu terjaga
2. Mengalami mimpi yang buruk dan menakutkan
3. Bermimpi melihat berbagai jenis binatang seperti kala jengking, anjing, tikus dan lain-lain
4. Kadang menangis dan kadang ketawa ketika tidur
5. Selalu bermimpi terjatuh dari tempat tinggi
6. Terasa panas badan terutama di bahagian belakang
7. Fikiran selalu kacau, terasa gelap dalam perut, badan terasa lesu dan malas
8. Suka marah-marah tanpa suatu sebab yang munasabah
9. Selalu sakit kepala
10. Hilang fokus pada pekerjaan dan juga percakapan
11. Sakit di bahagian bawah tulang kipas dan bawah punggung

Tanda-tanda sihir pemisah (memisahkan seseorang individu dengan individu lain)

1. Terdapat perubahan tabiat/perangai secara tiba-tiba
2. Kerap berlaku perbalahan antara pasangan atau rakan 
3. Kehadiran pandangan buruk keatas pasangan misalnya nampak suami atau isteri begitu buruk dan hodoh
4. Masing-masing suka menegakkan benang basah dan tidak mahu mengalah

Tanda-tanda sihir pengasih
1. Kehadiran perasaan rindu dan cinta yang mendadak kepada seseorang
2. Terikut-ikut kehendak pasangan (haram) atau individu secara berlebihan
3. Kuat berkhayal tentang adegan seks
4. Berkeinginan tinggi untuk melakukan hubungan seks

Tanda-tanda sihir menghadirkan penyakit (membuat sesorang itu jatuh sakit)
1. Cakap merapu
2. Fikiran bingung
3. Sentiasa resah gelisah
4. Tidak menjaga kebersihan diri
5. Gemar bersendirian
6. Tidak suka bergaul dengan kawan-kawan
7. Tidak ada kekuatan fizikal dan mental

Tanda-tanda sihir pendarahan

1. Sihir ini terjadi keatas wanita dimana berlakunya pendarahan pada faraj seolah-olah darah haid namun ia berterusan dan tidak berhenti. Sihir ini amat merbahaya sekali kerana seseorang mangsa boleh kehilangan darah terlampau banyak. Badan akan menjadi terlampau lemah, mudah penat, sukar bernafas dan terdedah kepada gangguan yang lebih serius. Harus diingat haid seseorang wanita hanya selama 14 hari dan selebihnya adalah penyakit. (darah istihadah)

Tanda-tanda santau

1. Pendarahan yang berpanjangan saperti haid
2. Sakit dibawah tulang kipas
3. Sakit dibawah punggung
4. Batuk yang berterusan
5. Bermimpi binatang yang menakutkan
6. Sesak nafas
7. Pemarah walaupun sifat asalnya adalah lembut dan penyabar
8. Kelopak mata kehitaman kerana gangguan tidur
9. Daya ingatan berkurangan

Tanda-tanda seseorang yang mempunyai saka

1. Sukar tidur
2. Sering bermimpi perkara yang menakutkan
3. Ketawa dan menangis ketika tidur
4. Pening kepala
5. Malas dan lesu
6. Lenguh-lenguh sendi
7. Pemarah dan terlalu emosi

Adakalanya juga orang yang ada saka dibenci oleh ramai orang kerana menzahirkan situasi negatif dan tidak menyenangkan

Pedoman dan renungan

Kebanyakan orang yang terkena gangguan makhluk halus samada dalam bentuk sihir, santau lebih-lebih lagi saka keberatan untuk melakukan rawatan. Keadaan ini terjadi semata-mata kerana tipu daya dan fitnah syaitan.Sebahagianya pula tidak mempercayainya.

Sebaliknya pula ada golongan yang ketagih dengan khidmat bomoh.Golongan ini lebih suka dikaitkan masalah mereka dengan "buatan orang",walaupun sebenarnya tidak.Mengapa fenomena ini berlaku dalam masyarakat kita?

Sukacita disarankan agar anda kuatkan semangat dan keimanan seterusnya melawan keadaan ini daripada membelenggu diri anda. Dan kepada saudaramara, rakan taulan hendaklah sentiasa membantu mereka tanpa jemu demi kebaikan bersama.

Penyakit sebegini bakal menyusahkan diri sendiri dan menghancurkan kerukunan rumahtangga dan keluarga tercinta.

Dapatkanlah rawatan daripada pengamal perubatan Islam yang diyakini tidak terlibat dengan sebarang bentuk khurafat dan kekufuran. Ikutilah pedoman-pedoman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa kesemasa. Amalkan zikir al-Mathurat sebagai pendinding diri daripada sihir dan gangguan jin kafir dan syaitan. Wallahu a'lam

Apa yang dijelaskan di atas adalah tanda-tanda gejala sihir, santau atau saka. Jika kita nak pasti adakah sihir ini benar-benar wujud dalam diri kita maka kita perlu membaca beberapa ayat al-Quran. Cara-caranya : Membaca ayat-ayat dibawah ditapak tanganmu :

1. Baca surah Ibrahim ayat 42-52 

2. Baca surah al-Mukminun ayat 98-118

3. Baca surah al-Falaq ayat 1-5.

4. Baca surah an-Nas ayat 1-6

Ketika membaca ayat-ayat di atas , letakkan mulutmu di telapak tangan kananmu, sehingga nafasmu atau sebahgian dari ludahmu mengenainya. Kemudian hulurkan tapak tangan kananmu itu di depan mata si sakit, dan mintalah dia melihatnya. Kalau dia sama sekali tidak boleh melihatnya, atau matanya menjadi silau atau nanar, atau dia melihat tapak tanganmu berwarna sangat merah atau hitam, atau dia melihat banyak salib di telapak tanganmu, atau tiba-tiba kepalanya terasa sangat pening, atau dia menunjukkan suatu gejala yang muncul secara tiba-tiba, maka dia , tidak diragukan, terkena sihir atau kesurupan atau kedua-duanya sekali.

[CATATAN : Sebaik-baiknya, usahakan dia sendiri yang membacanya ayat-ayat diatas. Kalau si sakit tidak boleh membaca sendiri maka kalian boleh bacakan ditapak tangan kalian dan hulurkan tangan kanan kalian di depan mata si sakit minta dia melihatnya.]

Pertama cuba saudari baca ayat-ayat di atas dan uji pada diri saudari, jika ada seperti yg dinyatakan maka jelas saudari terkena sihir. Untuk mengubati sihir ada beberapa ayat al-Quran untuk menawarkan sihir iaitu : Cara-cara membuangkan sihir daripada diri kita : 

1. Ambil tujuh helai sirih hijau atau daun teratai. Tumbuk dengan batu, besi atau apa saja sehingga lumat (boleh juga guna alat penghancur letrik - blinder)

2. Masuk tumbukan daun sirih atau daun teratai itu dalam satu mangkuk besar. Isi dengan air secukupnya untuk minum dan mandi seluruh badan.

3. Letakkan telapak tangan kananmu pada air yang sudah diisi tumbukan daun sirih.

4. Sentuhkan bibirmu pada mangkuk, sehingga nafas atau sebahagian dari ludahmu mengenainya.

5. Bacakan ayat-ayat berikut :

a. Baca Ayat Kursi. (Surah al-Baqarah ayat 255)

b. Bacakan Surah al-Kafirun.

c. Baca Surah al-Ikhlas.

d. Baca Surah al-Falaq.

e. Baca Surah an- Nas.

(Ayat-ayat dibawah adalah ayat penawar sihir)

f. Baca Surah al-A'raf ayat 117-119.

g. Baca Surah Yunus ayat 79-82.

h. Baca Surah Thaha ayat 65-69.

Setelah dijampi dengan ayat-ayat al-Quran di atas air itu diminumkan kepada si sakit, kemudian mandikan ia dengannya. Ulangi seminggu sekali dan sesudah itu in syaa Allah , sihir itu tidak akan ada lagi.

[Yakinlah kepada Allah SWT bahawasanya hanya Dia sahaja yang akan menyembuhkan segala penyakit termasuk penyakit disebabkan sihir hasil perbuatan jin dan syaitan]

Semua kejadian di langait dan dibumi semuanya adalah kehendak Allah SWT semua makhluk termasuk jin dan syaitan dan manusia tak boleh mendatangkan apa-apa mudharat. tanpa izin Allah SWT. Oleh itu kita yakin dengan Allah SWT dan keselamatan kita adalah dibawah jagaan Allah SWT. Amalkan membaca al-Quran, berzikir, beristighfar, solat tahajud, berdoa minta perlindungan Allah SWT dan jik ada penyakit minta Allah SWT pulihkan dan beri kesembuhan. Seorang mukmin perlu berdoa, berusaha, bertawakkal dan bersabar.

640. Soalan :  Adakan boleh seseorang menceraikan isterinya di rumah? Adakah salah mengikut undang-undang keluarga Islam?

Jawapan : 

CERAI TANPA KEBENARAN MAHKAMAH: SATU KESALAHAN JENAYAH SYARIAH

Menurut undang-undang keluarga Islam yang berkuat kuasa di setiap negeri, perceraian tidak boleh sewenang-wenangnya dilafazkan di luar mahkamah. Maknanya, bagaimanapun teruknya keadaan rumahtangga itu, pasangan berkenaan mestilah meminta kebenaran dari mahkamah syariah untuk melafazkan cerai.

Melafazkan cerai samada talaq 1 atau 2 atau 3 di luar mahkamah tanpa kebenaran adalah satu kesalahan jenayah syariah. Tidak kiralah samada lafaz cerai itu disebabkan oleh permintaan atau desakan dari isteri atau atas kehendak suami.

Jika suami sudah terlafaz cerai di rumah, di pejabat, di dalam kereta, atau di mana saja, asalkan tanpa kebenaran mahkamah, maka apa yang perlu dilakukan selepas itu ialah merujukkan hal tersebut di mahkamah syariah di mana pasangan tinggal atau bermastautin. Buat satu permohonan untuk memohon pengesahan samada lafaz cerai tersebut sah atau tidak.

Kedua pasangan mesti hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan mengenai lafaz tersebut. Mahkamah akan meneliti bentuk lafaz samada lafaz tersebut berbentuk soreh atau kinayah atau ta’liq. Jika sah, maka mahkamah akan mengesahkan bahawa talaq telah gugur, bilangan talaq yang gugur, tempoh isteri bereddah dan lain-lain hal yang bersangkutan dengan perceraian.

Ada sesetengah negeri yang tidak akan mendaftarkan perceraian itu di hadapan Pendaftar Pernikahan di Jabatan Agama Islam selagi pasangan tersebut tidak didakwa di Mahkamah Syariah. Sesetengah negeri pula tidak ada halangan untuk mendaftarkan perceraian tersebut samada telah didakwa atas kesalahan bercerai tanpa kebenaran mahkamah atau didakwa kemudian. Yang penting, pendaftaran perceraian dibuat dan pendakwaan akan dibuat kemudian.

Apa yang penting di sini adalah kesedaran umat Islam di negara ini bahawa undang-undang tidak membenarkan pasangan bercerai tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada mahkamah syariah. Kebenaran ini perlu bagi memastikan masyarakat Islam tidak sewenang-wenangnya bercerai sesuka hati tanpa kawalan atau pemantauan.

Jika disabitkan bersalah, pasangan yang menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah boleh dihukum denda tidak lebih dari RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Sila lihat seksyen 125 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam untuk lebih jelas.

ENAKMEN 8 TAHUN 2004
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004
BAHAGIAN IX – PENALTI

Seksyen 125. Perceraian di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah

“Jika seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talaq dengan apa-apa bentuk di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah itu maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu”.

Justeru, jangan sampai terlalu ikutkan hati sehingga sewenang-wenangnya bercerai tanpa kebenaran mahkamah, pasangan tersebut akhirnya turun naik di mahkamah untuk menghadapi perbicaraan jenayah kerana bercerai tanpa kebenaran.

Dalam menghadapi kemelut rumahtangga, kesabaran amat penting dan tinggi harganya. Janganlah melafazkan cerai terburu-buru. Selain berlaku penyesalan, pasangan juga akhirnya mendapat status “penjenayah” di kemudian hari. Sebabnya hanya satu iaitu bercerai tanpa kebenaran mahkamah syariah.




Tanyalah Ustaz Siri 115 (Hijrah Rasulullah SAW Sembunyi diGua Thur, Hukum Memakai Pendinding, Hukum Amalkan Yoga, Murtad Dalam Islam dan Kenapa Perlu Ada Mazhab.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 115 adalah menjelaskan persoalan hijrah Rasulullah SAW sembunyi diGua Thur, hukum memakai pendinding, hukum amalkan yoga, murtad dalam Islam dan kenapa perlu aad mazhab.

631. Soalan : Boleh ustaz jelaskan gua apa yang digunakan oleh Rasulullah dan Saidina Abu Bakar semasa berhijrah ke Madinah dan kenapa cicak sunat di bunuh?

Jawapan : 

Kisah berlindung di Gua Thur adalah kisah hijrah Rasulullah SAW  Labah-labah buat sarang juga adalah kisah semasa Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar r.a berlindung di Gua Thur (di Mekah) selama 3 hari .sebelum berhijrah ke Madinah. Hadis berkenaan sarang labah-labah adalah hadis hasan lighairihi (himpunan riwayat-riwayat yang dhaif). hukum membunuh cicak bukan sabit peristiwa di gua Thur tetapi ada hadis sahih menyuruh membunuh cicak.

Hadis yang mengandungi perintah membunuh cicak adalah sahih berasal daripada Nabi SAW. Antaranya hadis riwayat Muslim daripada Saad bin Abi Waqqas bahawa Nabi memerintahkan untuk membunuh cicak dan menyebutnya sebagai haiwan perosak (fuwaisiq).

Sunat

Berdasarkan hadis di atas, para ulama sepakat menyatakan sunat membunuh cicak. Sebabnya kerana cicak termasuk haiwan perosak, pengotor dan boleh membawa penyakit. Atau dalam hadis Saad bin Abi Waqqas di atas, ia termasuk fuwaisiq.

Dalam istilah moden, kita boleh mengatakan bahawa cicak termasuk dalam kategori pest (perosak) seperti; nyamuk, kutu, tikus, pijat, lipas dan lain-lain. Semua haiwan ini digalakkan untuk dibasmi demi menjaga kesihatan manusia.

Berkata Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim: "Nabi memerintahkan dan menggalakkan untuk membunuh cicak kerana ia termasuk mu'ziyat (haiwan-haiwan yang dapat mengganggu kesihatan manusia)."

Jadi, sama sekali tidak benar sangkaan bahawa kerana kesalahan cicak seekor, semua cicak mesti dibunuh hingga ke hari ini.

632.Soalan : Ustaz...apakah boleh menggunakan pendinding dalam bentuk fizikal.. untuk mempelihara atau dijauhkan daripada gangguan jin- jin atau sebagainya.

Jawapan :

 Islam melarang menggunakan tangkal sebagai pendinding diri.Menggantungkan tangkal di badan untuk dijadikan sebagai penghadang daripada gangguan makhluk halus atau untuk menyembuhkan diri daripada sesuatu penyakit boleh dibahagikan kepada dua bahagian ;

Pertama, menggunakan tangkal yang mempunyai bahan seperti tulang binatang atau kayu yang dikatakan berhikmah, atau seumpamanya, para ulama tidak ada khilaf untuk mengharamkannya, kerana ia boleh menjerumuskan seseorang itu kelembah syirik.

Sabda Rasulullah SAW

من علق ودعة فلا ودع الله له ومن علق تميمة فلا تمم الله له

Maksudnya : “ Barangsiapa yang menggantungkan manik-manik (tangkal) maka Allah tidak akan menjaganya. Barangsiapa yang menggantungkan tamimah (tangkal) maka Allah tidak akan menyempurnakan sesuatu untuknya”. (Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Kedua, adapun menggantungkan tangkal yang bahannya adalah ayat-ayat Al-Quran, maka dalam hal ini para ulama berbeza pendapat. Satu golongan mengatakan hukumnya adalah haram dan satu lagi golongan menyatakan harus.

Antara golongan ulama yang menyatakan haram ialah Ibnu Abbas, Huzaifah, Abdullah bin Mas’ud, sebahagian ulama Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal (salah satu riwayat daripadanya). Mereka berpandukan kepada maksud umum hadis di atas tadi, yang menyebut dengan jelas bahawa Nabi saw melarang umatnya menggunakan tangkal. Tidak kiralah sama ada bahan yang digunakannya itu daripada Al-Quran atau bukan daripada Al-Quran.

Hujah mereka, menggantungkan tangkal pada badan, boleh menyebabkan diri seseorang hilang penggantungan (tawakal) kepada Allah SWT. Sedangkan tawakal yang sebenar seseorang hamba hanyalah kepada Allah SWT sahaja, tidak boleh lain daripada itu.

Perbuatan menggantung tangkal yang terdapat ayat-ayat Al-Quran juga boleh membawa kepada penghinaan terhadap ayat-ayat suci Al-Quran. Apatah lagi jika ia di bawa masuk ke dalam tandas atau sipemakainya terlibat dengan pekerjaan yang bercanggah dengan syariat seperti pekerjaan maksiat dan sebagainya.

Manakala golongan ulama yang berpendapat hukum memakai tangkal yang bahannya adalah daripada ayat-ayat Al-Quran itu adalah harus, didokong oleh Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘As, Abu Jaafar al Baqir dan Imam Ahmad bin Hanbal (salah satu riwayat daripadanya). Hujah mereka, sahabat Rasulullah saw pernah berbuat demikian untuk anak-anak mereka yang belum menghafaz Al-Quran.

Menurut Prof Dato’ Dr. Haron Din, walaupun terdapat perbezaan pandangan ulama tentang hal ini, akan tetapi perubahan zaman boleh membawa kepada perubahan hukum. Jika dirujuk kepada zaman sekarang, akidah umat Islam sedang terancam, umat Islam tidak begitu kuat bergantung kepada Allah, iman mereka begitu rapuh, mereka tidak lagi memperdulikan halal dan haram, apa yang mereka mahu ialah kenikmatan hidup yang sementara di dunia, tanpa memperdulikan untung nasib di akhirat.

Ditambah pula dengan suburnya gejala maksiat, syirik dan kufur kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, jika penggantungan ummah kepada tangkal, tidak dibendung atau dicegah dengan sejelas-jelasnya ia akan mendorong masyarakat terjerumus kepada kerosakkan akidah.

Kesimpulannya, pendapat yang sahih, keharusan memakai tangkal yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran sebenarnya adalah di awal permulaan Islam. Apabila keimanan para sahabat sudah kuat tertanam dalam diri, maka Rasulullah SAW melarang sama sekali memakai tangkal walaupun menggunakan ayat-ayat Al-Quran.

Hikmahnya ialah untuk mencegah daripada keburukkan yang lebih besar, memelihara kesucian Al-Quran dan seterusnya untuk membulatkan keyakinan bahawa hanya Allah SWT sahaja yang mampu melindungi manusia daripada segala-galanya.

Tidak ada apa-apa alamat yang buruk atau pun alamat yang baik, Allah SWT izin telah di tetapkan burung tersebut akan mati di rumah saudari. Begitu juga kita tidak tahu dimana kita akan mati kerena semuanya di dalam ilmu Allah SWT.

Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW. bersabda: “Tidak ada ‘Adwa’ penyakit menular, dan tidak ada ‘Thiyarah’ kesialan kerana burung dan tidak ada ‘safar’ kesialan bulan Safar.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Dalam hadis tersebut, Nabi SAW menolak adanya penyakit menular dan thiyarah, serta meniadakan kesialan akibat burung malam, yakni burung hantu. Kerana dahulu mereka menganggap sial kerana sebab-sebab tersebut. Thiyarah atau kepercayaan kepada sial ini merupakan bentuk kesyirikan kepada Allah berdasarkan sabda Nabi SAW: “Barangsiapa yang membatalkan keperluannya kerana thiyarah, maka sesungguhnya dia telah melakukan syirik” (Ahmad dan al-Tabrani) Juga hadis Marfu’ dari Ibnu Mas’ud RA: “Thiyarah adalah syirik, thiyarah adalah syirik !!! ” (Hadis Riwayat Abu Dawud & Tirmizi)

Petanda burung

Tathayyur dikategorikan syirik kerana dia berkeyakinan bahawa burung, manusia, bergantinya bulan atau tahun atau terjadinya sesuatu, semuanya itu mempunyai pengaruh buruk terhadap sesuatu contohnya perjalanan tidak diteruskan atau dibatalkan hanya disebabkan telah berlaku kemalangan di hadapan mata, maka ianya petanda buruk sekiranya meneruskan perjalanan. Arab Jahiliyyah apabila hendak bermusafir maka akan diterbangkan burung. Jika sekiranya burung tersebut terbang ke kanan ia adalah petanda kebaikan dan jika sebaliknya, sesuatu yang buruk akan menimpa.

Bentuk tathayyur pada masa kini adalah lanjutan daripada kepercayaan silam. Suatu ketika dahulu masyarakat di Malaysia mengamalkan upacara mandi Safar atas kepercayaan untuk membuang sial pada bulan Safar, pada ketika itu masyarakat tidaklah menganggapnya suatu amalan yang salah dan mengundang syirik kerana kejahilan. Tetapi pada masa sekarang amalan ini tidak diterima bahkan masyarakat sudah pun menolaknya. Tetapi penolakan masyarakat kepada kepercayaan ini masih belum menyeluruh. Pada masa kini masih ada masyarakat kita yang mempercayai tarikh-tarikh tertentu, bulan-bulan tertentu atau hari-hari tertentu tidak boleh dilangsungkan pernikahan kerana membawa alamat buruk, seperti bulan Safar, Syawal atau Muharam (bulan terbunuhnya Husain bin Ali r.a.), sehingga mereka tidak mahu melangsungkan pernikahan di bulan ini.

Termasuk kategori tathayyur yang lain, ialah merasa sial karena orang tertentu, dan menganggap bahawa orang tersebut sebagai pembawa sial. Ada yang mempercayai anak perempuan mereka mesti dimandikan dengan air bunga bagi membuang sial, hanya disebabkan tiada lelaki yang masuk meminangnya.

Termasuk tathayyur pula, iaitu merasa sial karena angka tertentu, seperti angka tiga belas, atau angka empat. Oleh itu, sebahagian orang tidak percaya boleh bermusafir pada tarikh 13, tidak mahu membeli rumah yang bernombor 13, tidak mahu meletakkan nombor 13 pada tingkat tersebut , maka digantinya dengan nombor 12A atau 12B.

633. Soalan : Apakah hukum mengamalkan Yoga?

Jawapan : 

Yoga adalah amalan agama hindu. Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga secara sistematik, yang melibatkan unsur-unsur fizikal dan spiritual kerana ia bertentangan dengan syariat Islam.

Pengerusinya Dato' Dr Abdul Shukor Husin bagaimanapun berkata, amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya tidak menjadi kesalahan.

Namun, katanya, ia tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menghakis akidah seseorang Muslim memandangkan ia merupakan salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu.

"Amalan yoga yang berasal dari masyarakat Hindu mempunyai tiga peringkat, peringkat pertama adalah fizikal iaitu senaman, peringkat kedua adalah mentera dan pemujaan bagi mendapatkan ketenangan dan peringkat ketiga adalah penyatuan diri dengan tuhan.

"Oleh itu ahli muzakarah bersetuju memutuskan bahawa apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang dan bertentangan dengan ajaran Islam," katanya dipetik Bernama di sini hari ini.

Abdul Shukor berkata perkara itu diputuskan dalam persidangan Anggota Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan ke-83 yang bersidang 22-24 Okt lalu di Kota Bharu, Kelantan, dan akan dipanjangkan kepada majlis-majlis agama negeri untuk diwartakan.

Selain Malaysia, amalan yoga telahpun diharamkan di Singapura dan Mesir, katanya.

Abdul Shukor berkata, pada peringkat ini, program kesedaran mengenai amalan itu akan diperluaskan ke seluruh negara melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau turut menasihatkan masyarakat Islam supaya berhati-hati dan berwaspada dengan perkara-perkara yang boleh memesongkan akidah, serta perlu mengkaji secara mendalam mengenai sesuatu amalan sebelum melakukannya.

Beliau berkata terdapat banyak amalan lain dalam Islam yang boleh dilakukan bagi menjaga kesihatan dan mendapatkan ketenangan termasuk mengamalkan sembahyang dan berzikir.

Yoga merupakan satu pakej senaman yang telah diamalkan sejak 3,000 tahun sebelum Masihi dan dikatakan boleh melambatkan penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, lelah dan penyakit jantung.

634. Soalan : Ustaz saya musykil tentang adakah dengan tidak sengaja melafaskan keluar islam /murtad kita boleh terkeluar daripada islam walaupun dengan segaja tidak sengaja. Yg ke dua jikalau terkeluar islam macamana untuk kembali ke pangkal jalan mohon pencerahan ustaz?

Jawapan : 

Ketahuilah bahawa dalam agama Islam, seseorang muslim itu boleh terbatal islam dan imannya (murtad) disebabkan antara tiga perkara. Pertama ‘Riddah I’tiqad’: Akidah yang murtad, kedua ‘Riddatul Fi’ly’ : Perbuatan yang murtad, ketiga ‘Riddatul Qauly’: Bicara lidah yang murtad. Ini adalah hukum Islam dan Ijmak Ulama yang tidak harus dipertikaikan lagi dan ia bukan masaalah khilafiyyah. Murtad bererti seseorang yang asalnya Bergama Islam telah dihukum terkeluar dari agama Islam dan bukan muslim lagi dan dinamakan sebagai si murtad atau kafir. 

Bagi memudahkan para pengkaji, dibawah ini disenaraikan sebahagian (sebenarnya banyak lagi) ulama Islam yang telah menjelaskan hukum murtad dan kufur itu mungkin berlaku dengan antara tiga perkara iaitu akidah yang kufur, perbuatan yang kufur dan tutur bicara lidah yang kufur.

Kesemua syirik besar itu adalah kufur dan kesemua murtad juga adalah kufur terkeluar dari Islam.

Seluruh ulama Islam dan selainnya menjelaskan murtad itu berlaku disebabkan antara tiga perkara iaitu akidah yang kufur, perbuatan yang kufur, dan bicara lidah yang kufur. 
Maka sesiapa yag mengatakan: "Aku bukan muslim" maka dalam islam dia dianggap melakukan Riddatul Qauly iaitu dia telah murtad disebabkan tutur bicara lidahnya menyebut perkataan yang menyebabkan dia murtad. Wajib ke atasnya kembali kepada Islam dengan mengucap dua kalimah Syahadah dengan niat memeluk Islam semula.

Dalam islam sekiranya seseorang muslim itu menutur perkataan yang bahaya seperti perkataan yang mempunyai unsur menghina Allah, para Nabi dan para Rasul, menghina Al-Quran, memperlekeh dan mempersenda perkara yang berkaitan dengan tanda-tanda Islam, maka dia telah pun murtad. Sebagai contoh seseorang itu berkata: “Aku musuh Allah”, “Aku tidak takut kepada Allah”, “Al-Quran itu tidak berfaedah”, “Aku bukan orang Islam”, “Allah itu sama dan serupa dengan makhluk” dan selainnya dari perkataan-perkataan kufur maka orang yang menuturkan perkataan tersebut terkeluar dari Islam serta merta dan dihukum sebagai murtad walaupun dia sedang marah atau bergurau atau bermain-main ketika-mana dia menyebut perkataan seumpama tadi. Inilah yang telah dinaskan oleh ulama Islam.

Begitu juga dalam keadaan biasa (tidak mukrah bil qotl) sekiranya seseorang muslim itu menyebut atau menutur dengan lidahnya perkataan yang kufur maka dia jatuh ke dalam hukum murtad sudah tidak muslim lagi walaupun dia tidak mahu keluar dari agama Islam. Sebagai contoh jika itu menyebut perkataan: “Aku bukan orang Islam” maka dia telah jatuh kafir terkeluar dari Islam walaupun dirinya sendiri tidak memilih selain dari Islam itu sebagai agamanya. Samalah hukumnya jika ketika dia menuturkan perkataan kufur tadi dia berkeadaan marah, bergurau-senda, bermain-main atau sengaja dan bukan tersalah cakap. 

635. Soalan :  Terdapat pendapat di dalam masyarakat kita menyatakan bahawa mengikut mazhab tidak dilakukan oleh para sahabat rasulullah SAW. Minta ustaz jelaskan persoalan ini. Terima kasih

Jawapan : 

Bahaya Anti-Mazhab 

Mencari Hukum Syarak pada sesuatu kejadian yang berlaku

Apabila berlakunya sesuatu kejadian baru dan kita perlu tahu apa hukumnya dari sudut syariat maka kita cari hukum masalah tersebut daripada kitab-kitab Feqah dalam bab yang difikirkan menasabah, adakah terdapat hukum bagi masalah ini. Jika tidak ada maka kita cari hukum masalah yang seakan-akan dan hampir kepada masalah yang berlaku atau kita cari dalam bab-bab lain atau kitab-kitab fatwa [Raja Dato Seri Utama Dr Ustaz Hj Md Zain Hj Serudin, op. cit, hlm 199]

Perlu diingat dalam usaha mencari dan membandingkan hukum-hukum berkenaan dengan masalah yang baru itu, hendaklah kita melihat kitab-kitab khas yang membicarakan masalah-masalah ijmak supaya jangan kita melanggar ijmak kerana MELANGGAR IJMAK YAQINI ITU BERBAHAYA , sebagaimana kata Ibnu Hazm Azhzhaahiri dalam kitabnya ‘Maratibul Ijmak’. Beliau telah mengumpulkan masalah ijmak para sahabat r.a. anhum yang disusunnya menurut aturan Feqah dalam kitabnya yang telah dicetak di Mesir.

Di zaman Khilafah dan Raja-Raja Islam dahulu kala, orang awam dipermudahkan menjalankan tugas fardhu ‘Ain mereka dan terlindung daripada wujudnya perselisihan pendapat tentang hukum-hakam agama kerana telah sedia ada Qadhi, Mufti atau Majlis Fatwa yang mana antara tugas mereka adalah membuat ijtihad dalam perkara-perkara yang belum pernah terjadi sebelumnya. Maka apabila fatwa telah dikeluarkan oleh ulamak-ulamak ini atas titah Khalifah atau Sultan, rakyat tidak perlu bersusah payah atau berselisih pendapat kerana terus sahaja mentaatinya berdasarkan 

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Hai orang-orang yang beriman! Turutlah Allah dan turutlah Rasul dan ‘Ulil Amri’ (Khalifah atau Raja) diantara kamu.” (Surah An-Nisa :59)

Sedangkan perbuatan-perbuatan yang telah berkurun-kurun lamanya menjadi amalan umat Islam sudah sedia ada hukum-hakamnya dalam kitab-kitab Feqah dan kitab-kitab Fatwa karangan ulamak-ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Maka tidak perlulah berbalah mengenai masalah lafaz ‘usalli’, masalah ‘talkin’, ‘qunut’, tahlil, terawih, sambutan maulidur rasul dan masalah-masalah yang lain. Tiada faedah yang diperolehi dengan membahaskan perkara-perkara ini, apatah lagi ianya perkara sunat, siapa yang hendak buat, silakan, siapa tak hendak buat, tak payahlah buat tetapi jangan pula mengkritik orang yang hendak buat. Kerana kedudukan amalan-amalan ini serupa juga seperti sedeqah sunat dan solat sunat. Rujuk sahaja kitab-kitab muktabar yang sudah membincangkan hukum-hakam tentang perkara-perkara ini. 

Bahaya ancaman Anti-Mazhab 

Semenjak tertubuhnya negara-negara sekular dalam dunia Islam, munculah kelompok-kelompok yang lantang menyeru umat Islam supaya melepaskan diri mereka daripada ikatan mazhab. Kelompok-kelompok Anti-Mazhab ini beralasan bahawa bertaklid kepada mazhab boleh menyebabkan seseorang itu menjadi mundur, mati semangat, jumud, beku, tidak berkemajuan, sudah mati sebelum mati dan sebagainya yang bersifat menghina kepada orang-orang bermazhab.

Adakah benar umat Islam yang bertaklid kepada Mazhab Imam-Imam Mujtahid yang empat itu mundur, jumud, beku dan lain-lain lagi seperti yang dituduh itu? Cuba lihat Imam Bukhari yang taklid kepada Imam Syafiee, adakah beliau beku dan jumud? Adakah orang-orang seperti Imam Ghazali, Imam Nawawi, Syeikh Abdul Kadir Jailani, dan sebagainya yang taklid kepada Imam Syafiee itu termasuk orang bodoh? Lihatlah Sultan Salahuddin yang bertaklid kepada Imam Syafiee dan Sultan Muhammad Fatih yang bermazhab Hanafi, apakah mereka terjajah dan dipermainkan sahaja? Apakah khalifah-khalifah dan raja-raja Islam zaman pra-sekularisma dahulukala yang semuanya bertaklid kepada Mazhab Empat merupakan Ulil Amri yang jumud dan mundur? Apakah berjuta-juta umat Islam semenjak hampir 1000 tahun dahulu sehingga ke hari ini yang menganuti Mazhab Empat adalah orang-orang yang bodoh belaka?

Golongan Anti Mazhab merasakan bahawa mereka lebih pandai dan maju kerana tidak ‘terbelenggu’ dengan ikutan Mazhab Empat. Adakah mereka yakin akan mampu dan membebaskan diri nak ikut al-Quran dan hadis semara-mata tanpa merujuk huraian dan tafsiran ulama muktabar?

Persoalannya siapa yang tertipu, umat Islam yang bertaklid kepada mazhabkah atau penganjur-penganjur serta pengikut-pengikut Anti Mazhab? 

Ada pula jenis umat Islam yang mengatakan dia bukan Anti-Mazhab, tetapi mendakwa dia sendiri tidak menganut mana-mana mazhab pun, tidak mazhab Syafiee, tidak Hanafi, tidak Maliki, tidak Hanbali, tidak mazhab sesiapapun. Mazhabnya hanyalah Mazhab Allah dan RasulNya. Katanya ia langsung mengambil terus hukum daripada Al-Quran dan Hadis.

Bagaimana halnya dengan keadaan orang-orang ini yang kebanyakannya tidak pernah belajar Bahasa Arab, hanya sekadar membaca Quran terjemahan dan sedikit sebanyak Hadis terjemahan, contohnya dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia atau Indonesia? Adakah ia memiliki ciri-ciri kelayakan seorang ulamak, apatah lagi kelayakan seorang Imam Mujtahid? Bagaimana keadaan mereka ini yang kebanyakannya hanya membaca buku-buku karangan kaum Orientalis Barat, atau menjadi pengikut fahaman Wahabi yang fanatik?
Kalau baru dengan membaca buku-buku agama tentang Ilmu Feqah lantas sudah mahu mengatakan tidak mahu bermazhab, maka orang itu sudah membohongi dirinya sendiri. Kerana pada hakikatnya ia tetap seorang penganut mazhab, iaitu mazhab pengarang buku-buku yang dibacanya itu secara tidak diinsafinya kerana bukan dia yang mengistinbath atau mengeluarkan hukum dari nash, hanya sekadar merujuk terus kepada tafsir Quran dan Hadis yang dibuat mengikut pendapat pengarang-pengarang buku yang dibacanya itu.

Sedangkan orang yang mendakwa tidak pakai mazhab tetapi dalam fatwa-fatwanya jelas dilihat mengikuti pendapat Imam-Imam Mutjahid yang dulu-dulu, bermakna TIDAK ADA PENDAPATNYA YANG BARU, sesungguhnya ia tenyata sudah bertaklid.

Tetapi jikalau orang itu mengatakan bahawa ia tidak menganut mazhab sama sekali, sedang ia tidak membaca buku-buku agama dan tidak pernah belajar agama dari sesiapapun, orang ini dikatakan sebagai jahil dan sombong. 

Menurut Al-Imam Abu Ishaq Al-Isfiraini, ulamak besar dalam Mazhab Syafiee yang meninggal dalam tahun 418H, dalam perkara tidak pakai mazhab berpendapat bahawa : “Mulanya hunar dan akhirnya menjadi zindiq yakni keluar daripada Agama Islam, dan tiada apa-apa agama pun dengan sebab tiada pakai mazhab itu.”

Bermakna orang-orang yang tidak pakai mazhab dikhuatiri akan menjadi seperti lalang, tidak akan mempunyai keyakinan yang teguh dalam iktiqad serta amalan agamanya dan akhirnya boleh menjadi tidak beragama sama sekali.

Ada juga orang yang mengatakan dengan lidahnya bahawa ia tidak menganut sesuatu mazhab, tetapi jika dilihat dalam amalannya, ia penganut yang gigih dalam sesuatu mazhab. Cuma yang kurang baiknya, mazhab yang dianuti dengan tidak diinsafinya itu bukanlah mazhab umum yang dikenali dalam dunia Islam, tetapi adalah mazhab-mazhab jalanan yang direka berdasarkan hawa nafsu dan dibuat ualam yang tidak tahu mengaji pula, atau paling bahaya mengikut MAZHAB ORIENTALIS, mazhab orang Barat Yahudi dan Kristian yang banyak membicarakan soal-soal Agama Islam. seperti golongan anti hadis dan golongan liberal.

Kesimpulannya, orang-orang yang mendakwa bahawa mereka tidak pakai mana-mana daripada Mazhab Empat pada hari ini adalah termasuk dalam mana-mana kategori ini, iaitu :

1. Mereka sekadar mendakwa, tetapi hampir kesemua amalannya memperlihatkan bahawa ia seorang yang berteguh dengan salah satu dari Empat Mazhab. Yang sedikit itu adalah kerana mereka mencari kelonggaran kerana terdesak dengan hawa nafsu.

2. Mereka tetap bertaklid kepada mazhab, cuma mazhab mereka adalah mazhab yang tidak dikenali atau mazhab-mazhab jalanan. ulama mereka tiada kelayakan sebagai Imam Mujtahid, tetapi membuat mazhab berdasarkan ‘ syok sendiri’.

3. Mereka tetap bertaklid kepada mazhab, tetapi mazhab mereka adalah Mazhab Orientalis yang amat membahayakan kerana disalut dengan imej humanisme dan liberalisme yang menyembunyikan kebatilan mazhab ini. Ulama mereka ramai dari kalangan orang-orang Yahudi dan Nasrani yang mengajar Islam relatif yang amat menyelewengkan. Mazhab Orientalis merupakan pesaing yang paling merbahaya kepada Mazhab Empat pada zaman mutakhir ini.

Dengan keterangan-keterangan tersebut, jelaslah bahawa anjuran melarang taklid dari golongan Anti-Mazhab adalah anjuran yang tidak bertanggungjawab kerana ia akan menimbulkan beberapa faktor kerosakan yang besar, iaitu ;

i. Rakyat tidak dapat melaksanakan syariat dengan baik kerana anjuran Anti-Mazhab akan mendidik rakyat untuk sentiasa mencari jalan supaya tidak perlu taat kepada perintah Allah dan melanggar laranganNya dengan melonggarkan hukum-hakam agama.

ii. Ajaran Islam menjadi lintang pukang dan porak peranda. Maka mudahlah musuh-musuh Islam menyelinapkan unsur-unsur penyelewengan.

iii. Umat akan menjadi berpecah-belah kerana semua orang hendak menjadi ‘Imam-Imam Mujtahid’ yang akan merosakkan sendi-sendi agama

Kesimpulannya adalah lebih baik dan lebih aman bagi orang-orang yang belum sampai kepada darjat ijtihad, agar ia berfatwa sahaja menurut ajaran Imamnya yang ahli. Kalau berdakwah dan bertabligh bolehlah mengemukakan Hadis dan Quran, tetapi tafsirnya perlu menurut yang difatwakan oleh Imam-Imam Tafsir. Kalau mengadili sesuatu persoalan Feqah, boleh mengeluarkan Hadis dan Quran, tetapi tafsirnya haruslah mengikuti Imamnya, jangan bermain di luar garisan. Inilah yang paling aman!.


.


Thursday, May 15, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 114 ( Cara-cara Sujud Dalam Solat, Ayat al-Quran Untuk Mohon Mendapat Zuriat, Cara Menyambut Bayi Baru Lahir, Urusan Jenazah, Huraian Muhasabah dan Muraqabah).

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 114 adalah menjelaskan persoalan cara-cara sujud dalam solat, ayat al-Quran untuk mohon mendapat zuriat, cara menyambut bayi baru lahir, urusan jenazah, huraian muhasabah dan muraqabah.

626. Soalan : Ustaz. Saya masih confused dalam bab tak boleh turun sujud seperti turun nya unta duduk. Ada yang kata lutut unta di kaki depan,so mana tangannya. Ada yang kata tak boleh menghentak tak lutut ke lantai. So org gemuk bagaimana. Minta ustaz jelaskan berserta nas nya?

Jawapan : 

Semasa turun untuk sujud hendaklah meletakkan dua lutut dahulu baru meletakkan kedua tangan dilantai. Dalam satu hadis yang menceritakan perbuatan Rasulullah yang antara lain menyebut bahawa ketika hendak bersujud, Baginda meletakkan kedua-dua lututnya terlebih dahulu sebelum kedua-dua tangannya. Setelah meletakkan kedua-dua lutut, Baginda kemudian meletakkan kedua-dua tangan, lalu kening, kemudian hidung. Hadis tersebut diriwayatkan dalam sebuah hadis oleh Syarik, dari Ashim bin Kulaib, daripada ayahnya, daripada Wa`il bin Hajar. Wa`il mengatakan bahawa dia pernah melihat ketika Rasulullah hendak sujud, Baginda meletakkan kedua-dua lututnya sebelum kedua-dua tangannya. Dan ketika bangkit, Baginda mengangkat kedua-dua tangan sebelum mengangkat kedua-dua lututnya. Dalam soal sujud ini, tidak ada yang meriwayatkan hadis yang bertentangan dengan keterangan tersebut. melakukan sujud dan sujud perlulah tidak meletakkan dua lengan di sejadah (seperti anjing tidur) . Sah solat akan tetapi ia dikategorikan sebagai orang yang melakukan kesalahan didalam solat, ia mengurangkan pahala solat malah ia mengurangkan darjat kekhyusukkan. Tidakkah solat ini berdasarkan hadis Nabi SAW: 

{{صلوا كما رأيتموني أصلي}}

"Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat". 

Ketahuilah, sebaik-baik solat ialah dengan menurut sifat atau cara Nabi SAW bersolat! 

Kesilapan didalam sujud yang disamakan seperti cara anjing. 

Disebalik meniru cara-cara Nabi SAW, ada juga manusia yang telah meniru secara tidak langsung gaya-gaya binatang (lihat Al-Qaul Al-Mubin fi Akhtaa' Al-Mushaaliin). Ini termasuklah meniru gaya anjing didalam sujud mereka. Sunnah didalam sujud bagi meluruskan sujud sebagaimana yang diriwayat oleh Anas bahawa Nabi SAW bersabda : 

{{اعتدلوا في السجود ولا يبسط أحدكم ذراعيه انبساط الكلب }}

"Luruskanlah kalian dalam sujud dan jangan kamu menghamparkan kedua lengannya seperti anjing menghamparkan kakinya" (Hadis Riwayat al-Bukhari no:788, Muslim n:493. )

Sheikh Ibn Utsaimin (Al-Sharh Al-Mumti', 3/168) didalam mengulas hadis diatas, beliau mengatakan : 

أي: اجعلوه سجوداً معتدلاً ، لا تهصرون فينـزل البطن على الفخذ، والفخذ على الساق ولا تمتدون أيضاً كما يفعل بعضُ النَّاس إذا سجد، يمتد حتى يقرب مِن الانبطاح، فهذا لا شكَّ أنَّه مِن البدع وليس بسنَّةٍ، فما ثبت عن النَّبيِّ صلى الله عليه وسلم ولا عن الصحابة فيما نعلم أنَّ الإنسانَ يمدُّ ظهره في السجود ، إنَّما مَدُّ الظهر في حال الركوع ، أما السجود فإنَّه يرتفع ببطنه ولا يمده.

"Hendaklah meluruskan sujud, jangan membongkok ketat sehingga perut direhatkan diatas Peha, dan tidaklah melebarkan sebagaimana orang melakukan semasa mereka sujud, sehinggakan kelihatan solah-olah ia sedang berbaring menggunakan kepala mereka. Tidak dapat dinafikan, ini merupakan satu bid'ah dan bukan sunnah. Ia tidak diriwayatkan dari Nabi saw, atau mana-mana Sahabat, sejauh yang kami tahu, seseorang itu hendaklah memanjangkan (stretch) belakangnya semasa sujud. Dia juga harus memanjangkan belakangnya semasa rukuk, tetapi didalam sujud ia harus menaikkan perutnya dan bukan menghadapankannya".[Sheikh Ibn Utsaimin. Al-Sharh Al-Mumti' - 3. Riyad : Muaasasah Al-Risalah.]

Menurut Muhammad Sideq Al-Minshawi, menghamparkan tangan yang dilihat seolah-olah berbaring merupakan satu kesalahan didalam solat, dan ia bertentangan dengan Hadis Nabi SAW. Kata beliau : 

بسط الذراعين، وضم الإبطين : هذا من الأخطاء المنتشرة عند مصلين، هو مخالف لهديه (ص): ((فكان لا يفترش ذراعيه، بل كان يرفعهما عن الأرض ويباعدها عن جنبيه حتى يبدو بياض إبطه من ورائه)). 

وكان النبي (ص) يقول : ((ولا يفترش أحدكم ذراعيه افتراش الكلب))، في رواية : ((لا يبسط )).

"Menghamparkan lengan dan termasuk ketiak : Perkara kesalahan ini sangat berleluasa dikalangan orang yang bersolat[a], ia adalah bertentangan dengan cara Nabi SAW: ((Beliau mengangkat kedua lengannya dari lantai dan menjauhkannya dari lambungnya sehingga warna putih ketiaknya terlihat dari belakang)) 

Nabi SAW bersabda : ((dan jangan berbaring seseorang diatas lengannya seperti berbaring anjing)) didalam riwayat lain : ((dia tidak menghamparkannya))[c]."[ Muhammad Sideq Al-Minshawi. Akhtahu' Al-Mushalliin. Kaherah : Dar Al-Fadhilah, 1996 ms 91.]

Begitu juga dengan pendapat Ibnu Taimiyah [Sheikh Ibnu Taimiyah. Fatawa Solaati. Beirut : Dar Al-Kotob, 2002. ms 73 ]
Kata beliau : 

وهذا من المخالفات التي شاعت وانتشرت بين المصلين، وهذا أمر مخالف لهدي النبي (ص).

"Ini merupakan satu perlanggaran yang berleluasa dikalangan mereka yang bersolat, dan ini adalah perkara yang melanggar petunjuk Nabi SAW." 

Shiekh Nasyiruddin Al-Albani didalam Ringkasan Sifat Solat Nabi menyatakan bahawa wajib meninggikan tangan agar tidak terkena tanah. Kata beliau : 

ويرفع ذراعيه عنالأرض، وجوباً، ولا يبسطهما بسط الكلب. 

"Harus menjauhkan lengannya dari tanah, dan ini wajib, dan TIDAK meletakkan (melebarkan)ianya di tanah seperti anjing."

627. Soalan : Ustaz,saya nak tahu ada tak ayat dalam Al-Quran nak dapat anak perempuan..terima kasih?

Jawapan : 

Dalam al-Quran ada doa untuk mendapat zuriat (samaada anak lelaki atau anak perempuan) untuk pengkhususan untuk mendapat anak perempuan wallahu a'lam belum jumpa lagi doa tersebut.

Ada sesetengah pasangan perlu mengambil masa yang lama untuk memperoleh zuriat dan ada juga yang tidak mempunyai zuriat sehingga tua disebabkan perkara-perkara tertentu. Tetapi perlu diingat bahawa semua yang berlaku itu adalah dengan izin dan kehendak Allah SWT.

Oleh yang demikian, mereka yang beriman dan percaya dengan ketentuan-Nya akan redha dengan segala apa yang terjadi terhadap diri mereka. Akan tetapi itu tidak bermakna kita hanya perlu akur dan berserah dengan apa yang terjadi tanpa berusaha bersungguh-sungguh untuk memiliki zuriat. Dalam Islam terdapat tips atau amalan yang boleh diamalkan agar dipermudahkan mendapat zuriat yang baik dan soleh.

Pertama, bersangka baik dengan Allah SWT serta berdoa dengan membaca ayat 38, surah Ali-Imran yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa.”

Al-Imam Al-Samarqandi meriwayatkan bahawa Nabi Zakaria a.s pernah merasakan baginda tidak akan mendapat zuriat sehinggalah baginda melihat anugerah Allah SWT. Maka baginda meyakini bahawa Allah SWT berkuasa mengurniakan baginya anak. Tambahan pula, baginda memegang amanah menjaga kunci rumah Qurban yang diwarisi turun-temurun. Keturunan dalam ayat ini bermaksud anak yang sihat sejahtera dan berakhlak.

Kedua, bersangka baik dengan Allah SWT serta berdoa dengan ayat 89, surah al-Anbiya yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkau jua sebaik-baik yang mewarisi.” 

Ayat ini juga berkenaan dengan kisah Nabi Zakaria a.s. untuk memperoleh anak yang baik bagi menyambung zuriatnya.Amalkan membaca doa ini bersama doa dalam surah Ali-Imran tadi untuk mendapat zuriat. Selain itu berikhtiarlah dengan perkara-perkara yang dibenarkan syarak. 

Pasangan suami isteri juga dinasihatkan supaya memperbanyakkan sedekah, puasa sunat dan qiamullail untuk mendapat anugerah Allah SWT yang hebat ini.

Bagi ibu yang mengandung, persediaan rohani dan adab penting semasa mengandung bagi menentukan tingkah laku anak yang bakal dilahirkan samada baik atau sebaliknya. Untuk mendapat anak yang baik dan soleh, terdapat amalan yang patut diamalkan oleh kedua-dua ibu bapa anak itu sendiri, iaitu:

1. Memperbanyakkan taubat dan istighfar. Ibu bapa yang banyak melakukan taubat dan istighfar, Allah SWT. sentiasa mengasihi dan merahmati kedua-duanya dan juga segala isi dalam rumahtangga termasuk anak dalam kandungan.

2. Berpuasa sunat. Untuk suami banyak berpuasa sunat atau sekurang-kurangnya semingu dua kali atau sehari pada hari Isnin dan Khamis atau salah satu daripada hari-hari berkenaan atau pada hari-hari putih (13, 14 dan 15 bulan Hijrah). Perlu diingatkan, amalan puasa sunat cuma digalakkan dilakukan oleh suami atau bapa (bagi anak) sahaja seperti mana dilakukan oleh Nabi Zakaria a.s. Bagi ibu, sekiranya tidak memberi kesan kepada kesihatan bayi dalam kandungan bolehlah diamalkan.
.
3. Tidak bercakap yang sia-sia. Ketika isteri sedang mengandung, suami seboleh-bolehnya tidak bercakap yang sia-sia, lebih-lebih lagi yang boleh mendatangkan dosa seperti mengumpat, menfitnah dan sebagainya. Sebaliknya, basahilah lidah dengan berzikir dan bertahmid atau bercakap yang mendatangkan faedah.

4. Banyak berdoa. Sentiasa berdoa agar Allah SWT mengurniakan anak yang soleh atau solehah. Sekurang-kurangnya setiap lepas sembahyang, bacalah doa khusus bagi ibu yang sedang mengandung.

5. Banyak membaca al-Quran. Secara umumnya, elok membaca al-Quran dengan semua surah.

Amalan-amalan untuk memperolehi zuriat :

1. Setelah berusaha dengan perubatan moden dan kampung untuk memperoleh zuriat bahkan telah berdoa kepada Allah, namun belum memperoleh zuriat, maka kita dituntut supaya banyak bersabar dan jangan dalam keadaan tertekan. Perasaan yang tidak stabil akan mengganggu keadaan dalam diri anda dan ini akan menyukarkan lagi bagi anda berdua untuk memperolehi zuriat.

2. Di dalam berdoa kita disuruh menaruh harapan seratus peratus kepada Allah dan yakin bahawa Allah berkuasa untuk mengabulkan doa kita tersebut. Yang paling penting awali doa dengan pujian kepada Allah dan selawat kepada Rasulullah SAW begitu juga dalam menutup doa.

3. Mungkin anda semua boleh mencuba amalan di bawah ini, semoga Allah memberikan jalan penyelesaian yang terbaik untuk anda dalam penantian untuk mendapatkan zuriat.

628.Soalan : Saya ingin tahu apakah yang patut di lakukan apabila menyambut kelahiran bayi....saya hanya tahu azan di telinga kanan,qamat di telinga kiri..?

Jawapan : 

Dalam ajaran agama Islam, seseorang ibu yang sudah melahirkan anak dan kemudiannya baru sahaja menimang cahaya mata adalah amat disarankan untuk menyambut kelahiran bayi baharunya. Namun begitu, tidak banyak perbezaan dalam melaksanakan adab menyambut kelahiran bayi dalam Islam sesuai dengan sifat agama Islam itu yang mudah dan praktikal.

Panggilan bagi menyambut anak lelaki adalah disebut "Salamun Zakrun" yang bererti: Salam sejahtera anak lelaki.Manakala panggilan untuk menyambut anak perempuan adalah disebut sebagai "Salamun An-Nisaa" yang bererti: Salam sejahtera anak perempuan.

Langkah menyambut anak yang baru dilahirkan :

1. Sesudah sahaja anak yang baru dilahirkan dari rahim ibu,maka adalah diperlukan untuk membersihkan/dimandikan anak itu dengan betul dan baik agar posisi anak itu bersih dan sihat. Selalunya amanah membersihkan anak yang baru lahir itu adalah di bawah tanggungjawab jururawat, bidan, bapa anak atau mereka yang penyayang serta pengasih kepada bayi serta berkebolehan meyempurnakan tugasan itu. Bayi yang sudah dibesihkan perlulah dililit/dipakaikan dengan kain tuala yang bersih dan lembut sebaiknya berwarna putih.

2. Sunat/Sunnah memberi ucapan tahniah dan mengembirakan mereka yang baru sahaja mendapat anak.Tujuannya adalan untuk menghulurkan rasa kegembiraan bersama kepada siibu dan keluarga yang baru sahaja memperolehi cahaya mata selain mengeratkan kemesraan dan ikatan silaturrahim dikalangan mereka. Adalah disarankan bagi pengucap khabar gembira untuk menghulurkan buah tangan tahniah berupa hadiah,hamper,bunga-bungaan ataupun wang saguhati kepada penimang anak.

3. Sunat untuk diazankan di telinga kanan bayi lelaki dan perempuan yang masih bayi sesudah kelahirannya.Dan juga disunatkan untuk diiqamatkan di telinga kiri bayi lelaki dan perempuan yang masih bayi sesudah kelahirannya. Serta disunatkan juga membaca ayat-ayat suci Al-Quran pada bayi tersebut. Bacaan tidak perlulah dibaca terlalu kuat cukup sekadar memperdengarkan bacaan pada bayi sahaja.Salah satu hikmah(kelebihan)melakukannya adalah supaya kalimat seruan tersebut tentang kebesaran Allah menjadi seruan pertama yang bayi dengar.

4. Sunat 'Tahnik' atau belah mulut yang dilakukan selepas anak dilahirkan.Tahnik ialah mengunyah buah kurma(tamar)(selalunya dilakukan oleh orang yang dianggap soleh dan bertakwa kepada Allah seperti Imam, Bilal(Muazzin), Ulama, Syeikh dan sebagainya), dan seterusnya diletakkan sedikit pada lidah bayi yang baru dilahirkan. 

Selain daripada Kurma, manisan lain seperti titisan madu, nira nipah atau kelapa juga boleh digunakan. Tujuannya adalah untuk melazimkan bayi membuka mulut dengan mendapatkan ganjaran benda manis. Amalan ini membuatkan bayi mahu menghisap apabila ibu menyusukan bayi tersebut kerana sentuhan di lidah mempunyai kesan manis dan bukan kesan yang tidak menyelesakan. 

5. Sunat menamakan anak yang baru dilahirkan dengan dengan nama-nama yang baik.Menamakan anak boleh dilakukan pada hari pertama kelahiran anak tersebut sesudah bayi itu diazan dan diiqamatkan atau pada hari ke 7 anak tersebut di lahirkani.Nama yang kotor buruk serta menjatuhkan maruah perlulah dielakkan sama sekali.

6. Mencukur rambut Ini dilakukan sebaik-baiknya pada hari ketujuh kelahiranya, kemudian rambut itu ditimbang seberat emas atau perak dan disedekahkan pada fakir miskin, jika tidak mampu maka ditukarkan atas kadar wang atau sebagainya. Amalan bercukur ini mengandungi hikmah yang tertentu iaitu: dari sudut kesihatan, ia boleh menguatkan tenaga pertumbuhannya, menghilangkan selaput kulit kepala (iaitu sejenis cecair beku yang meliputi kulit kepala, juga dikenali sebagai kerak kepala) dan juga dapat memberikan daya kekuatan dan ketajaman pada penglihatan mata, bau dan pendengaran. 

Dari sudut kemasyarakatan bercukur mengalakkan umatnya bersedekah disamping menunjukkan kesyukuran kepada Allah di atas kurniaan-Nya. Walaupun disunatkan bercukur bagi orang Islam tetapi dilarang daripada melakukan Qaza’ iatu mencukur sebahagian kepala kanak-kanak dan meninggalkan sebahagian yang lain. 

Larangan ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri, ini untuk menunjukkkan sifat keadilan Allah SWT dan RasulNya SAW. di mana manusia diperintahkan supaya berlaku adil walaupun terhadap dirinya sendiri. Larangan mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian yang lain merupakan suatu perbuatan yang zalim kepada kepala kerana hal sedemikian menyebabkan sebahagian kepala akan ditutupi dan sebahagian yang lain terdedah tanpa rambut

7. Sunat "Aqiqah" bagi anak baru lahir.pada hari ke 7, 14 atau 21. Aqiqah yang membawa maksud penyembelihan binatang ternakan seperti lembu,kerbau,unta ataupun kambing yang dilakukan selepas kelahiran bayi(lebih afdhal(yang lebih baik) dilakukan pada hari ketujuh)sebagai tanda kesyukuran kepada Allah Taala. Aqiqah yang dilaksanakan ini dapat mendekatkan anak kepada Allah dan pelbagai faedah yang lain. 

Aqiqah dapat meninggalkan kesan psikologi pada anak kecil yang baru lahir agar dia dapat merasakan dirinya dihargai oleh keluarga dan masyarakat selain menggembleng perasaan kecil agar mampu berkorban dan redha dengan ketentuan Allah.Atucara ini biasanya dilakukan pada majlis kesyukuran yang biasanya turut diselitkan dengan aktiviti mengunting rambut bayi,Nasyid, selawat,bacaan Al-Quran, 

Perbuatan menyembelih binatang selalunya tidak dilakukan dihadapan mata bayi yang hendak diraikan tetapi dilakukan sebelum majlis berlangsung.Makanan dan minuman turut diberikan pada hadirin dan anak fakir miskin dan yatim piatu.

8. Sunat (berkhatan/berkhitan/bersunat).Perkara ini menjadi sunat kepada kaum perempuan dan merupakan suatu kewajipan bagi lelaki.Namun begitu sesetengah Ulama menafsirkan berkhatan bagi lelaki adalah hanya dikategorikan sebagai Sunat Muakkat(Sunat yang amat dituntut oleh syariat Islamiah).

Tujuan berkhatan adalah untuk menjaga kesucian zahir dan batin umat manusia selain untuk menguatkan minda dan badan dan mencantikkan paras rupa dan wajah.Para saintis moden telah menggalakkan khatan kepada semua umat manusia bagi membendung masalah jangkitan penyakit kelamin yang merbahaya seperti HIV dan AIDS.Bagi kanak-kanak lelaki yang berumur antara umur 8 hingga 12 tahun boleh disunatkan oleh doktor manakala kanak-kanak lelaki dibawah umur itu serta kanak-kanak perempuan boleh disunatkan oleh doktor dan bidan yang berkebolehan.

Bagi kes kanak-kanak dan orang dewasa Muslim yang mencecah umur 13 tahun dan keatas pilihan melaksanakan kewajipan berkhatan boleh ditentukan untuk dilaksanakan oleh doktor mengikut kehendak dirinya dengan syarat tidak menimbulkan syahwat dan pelaksana pembedahan adalah mereka yang sama jantina atau muhrim..Bagi melaksanakan ibadah berkhatan ini,pengetahuan dalam bidang perubatan perlu ada pada pelaksana pembedahan serta Ibadah khatan boleh dilakukan selepas diadakan majlis kesyukuran.

629. Soalan :  Saya ada menziarahi kematian seorang hamba Allah. Dalam ramai-ramai saya menziarahi, ini prtama kali saya menyaksikan bahan-bahan seperti mayang pinang dianyam dan dibentukkn seperti gambar yang saya paparkan. Juga tangkai pokok selasih dan mayang pinang di lilit denagn tali kain kapan. Semua bahan-bahan tersebut diletakkan atas keranda arwah. Mohon pencerahan ustaz dan ustazah memang terdapat di sesebuah tempat ke diadakan seperti sedemikian?... Terima kasih..

Jawapan : 

Umat Islam sepatutnya tidak mengamalkan segala bentuk amalan yang tidak terdapat nas yang sahih daripada Rasulullah SAW. Di dalam portal JAKIM menjalaskan : Cara Mengkafan Mayat : Tidak terdapat pun bahan-bahan yang dinyatakan di atas untuk diletakkan di samping jenazah.

Menurut huraian ulama, 'kafan' yang wajib bagi mayat ialah sehelai kain yang dapat menutup aurat dan membalut tubuhnya.

Boleh digunakan sebarang kain yang biasa dipakai oleh si mati semasa hidupnya tetapi yang afdhal ialah kain putih seperti yang diterangkan dalam hadith yang lalu. Kain kafan, sungguhpun yang wajibnya ialah selapis, namun 'mayat lelaki' sunat dikafankan dalam tiga lapisan (tiga potongan kain), tiap-tiap satu dapat menutup seluruh badannya - dari hujung rambut hingga ke hujung kakinya.

Mayat lelaki tidak harus dikafankan dalam kain sutera kerana haram bagi lelaki memakainya semasa hidup. Sebaliknya mayat perempuan boleh dikafan dalam kain sutera ia halal dipakai oleh perempuan. Setengah ulama pula mengatakan makruh hukumnya jika mayat perempuan dikafankan dengan kain sutera kerana perbuatan yang demikian adalah membazir dan kain yang mahal-mahal lebih layak dipakai oleh orang yang hidup.

Jika sukar mendapat sebarang kain (kerana keadaan darurat), maka mayat boleh dikafankan dengan sebarang benda yang boleh membalut badan - seperti tikar, daun-daun pokok tanaman dan sebagainya.

'Mayat lelaki' juga harus dikafankan dalam lima lapis, iaitu tiga lapis tersebut tadi, ditambah dengan baju dan serban.* (Kerana Ibnu 'Umar r.a. telah mengkafankan mayat-mayat keluarganya dengan lima lapis termasuk baju dan serban)

'Mayat perempuan' pula sunat dikafankan dengan lima lapis**, iaitu kain yang membalut bahagian badannya; antara pusat dan lututnya; kemudian baju kurung; kemudian telekung yang menutup kepala; kemudian dua lapis kain lebar yang dapat membalut seluruh tubuhnya, dari hujung rambut hingga ke hujung kakinya.*** 'Mayat khunsa demikian juga.***
'Mayat kanak-kanak' sama hukumnya seperti 'mayat orang dewasa'.***

Belanja kain kafan dan lain-lain berhubung dengannya, hendaklah dari si mati. Kalau ia tidak tinggalkan harta, hendaklah ditanggung oleh warisnya, kalau tiada waris, hendaklah ditanggung oleh Baitulmal. Kalau Baitulmal tidak ada, atau Baitulmal ada tetapi sukar mendapat perbelanjaan, maka belanja mengkafannya ditanggung oleh orang yang mampu di kawasan itu.****

Jika si mati itu perempuan yang ada suami dan ia tetap taat (tidak menderhaka atau nusyuz pada suami), maka belanja mengkafannya ditanggung oleh suaminya yang mampu, sekalipun isteri yang mati itu kaya, atau telah diceraikan tapi dalam edah talaq yang boleh dirujuk, atau diceraikan dengan talaq yang tidak boleh dirujuk tetapi ia dalam keadaan mengandung.

630. Soalan : Mohon pencerahan dari muallim...apa yang dikatakan..Muhasabah...dan apa pula yang dimaksudkan dengan muqarabah..

Jawapan : 

MUHASABAH : Dari Syadad bin Aus r.a. berkata, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Orang yang pandai adalah yang menghisab (menilai) dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah SWT) (HR. Imam Turmudzi, ia berkata, ‘Hadits ini adalah hadis hasan’)

Gambaran Umum Hadis.

Hadis di atas menggambakan hidup di dunia merupakan rangkaian dari sebuah perancangan dan tujuan besar seorang hamba, iaitu mencari keredhaan Rabbnya. Dan dalam menjalankan tujuan tersebut, seseorang tentunya harus memiliki matlamat (ghayah), perencanaan (ahdaf), strategi (takhtith), pelaksanaan (tatbiq) dan penilaian (muhasabah).

Perkara terakhir merupakan pembahasan utama yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW. dalam hadis ini. Bahkan dengan jelas, Rasulullah SAW. mengaitkan muhasabah dengan kejayaan, sedangkan kegagalan akan berlaku apabila mengikuti hawa nafsu dan banyak angan-angan.

Hadis di atas dimulakan oleh Rasulullah dengan sabdanya, "Orang yang pandai (berjaya) adalah yang menghisab (menilai) dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan setelah kematian." Ungkapan sederhana ini sungguh menggambarkan sebuah pandangan jauh yang harus dimiliki seorang Muslim.
Seorang Muslim tidak seharusnya hanya berwawasan sempit dan terbatas, sekedar pemenuhan keinginan untuk jangka waktu terdekat sahaja. Namun lebih dari itu, seorang Muslim harus memiliki pandangan dan perancangan untuk kehidupannya yang lebih kekal abadi. Kerana orang yang berjaya adalah yang mampu mengatur keinginan yang sementara demi keinginan jangka panjangnya.

Orang bertakwa adalah yang ‘rela’ mengorbankan keinginan duniawinya, demi tujuan yang lebih mulia, ‘kebahagian kehidupan ukhrawi.’
Dalam Al-Qur’an, Allah SWT. seringkali mengingatkan hamba-hamba-Nya mengenai matlamat besar ini, di antaranya adalah dalam al-Qur'an Surah Al-Hasyr ayat 18–19.

Muhasabah inilah yang digambarkan oleh Rasulullah SAW. sebagai kunci pertama dari kejayaan. Selain itu, Rasulullah SAW. juga menjelaskan kunci kejayaan yang kedua, iaitu tindakkan selepas muhasabah. Maknanya setelah muhasabah harus ada tindakan untuk memperbaikinya.

Dalam hal ini diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya dalam hadis di atas dengan 'dan beramal untuk kehidupan sesudah kematian.’ Potongan hadis yang terakhir ini diungkapkan Rasulullah SAW. adalah penjelasan tentang muhasabah. Kerana muhasabah juga tidak akan memberi makna jika kita tidak memperbaikinya.

Terdapat hal menarik yang tersirat dari hadis di atas, khususnya dalam penjelasan Rasulullah SAW. mengenai kejayaan. Orang yang pandai senantiasa menilai terhadap amalnya, serta beramal untuk kehidupan jangka panjangnya iaitu kehidupan akhirat. Dan penilaian tersebut dilakukan untuk kepentingan dirinya, dalam rangka peningkatan kepribadiannya sendiri.

Sementara itu orang yang gagal disebut sebagai orang yang lemah kerana mengikuti hawa nafsunya, membiarkan hidupnya tidak memiliki matlamat, tidak memiliki perancangan, tidak ada tindakan dari perancangan.

MURAQABAH : Muraqabah terhadap Allah SWT adalah sifat jiwa seorang mukmin.Dia sentiasa merasai dan yakin sepenuh hati bahawa Allah SWT mengawasi segala perjalanan hidupnya, perasaannya, bisikan hatinya samaada dia berseorangan atau bersama orang lain.

Mukmin sejati yakin peristiwa di Padang Mahsyar tempat di hisap dengan seadil-adilnya segala amalan dan perbuatannya ketika di dunia ini. Perasaan takut, malu dan gementar untuk berhadapan di Mahkamah Allah SWT nanti membuatkan hati dan jiwanya sentiasa muraqabah terhadap Allah SWT.Ingatlah ketika di sini nanti lidah menjadi kelu, giliran anggota lain yang akan berkata-kata mengeluarkan pengakuan dan saksi bagi semua perbuatan si tuan badan. Mata, telinga, tangan dan kaki serta lainnya akan mengaku perbuatan itu dan ini. Ketika itu manusia akan terperangkap dengan perbuatan dosa kerana anggota badan sendiri tidak menyebelahinya. Terbongkarlah rahsianya!

Di tambah pula akan di tayangkan 'video clip' semua perbuatannya semasa di dunia.Ia tidak boleh berbohong dan berdalih. Semua ini akan menyingkap kekejiannya. Memalukan dan membawa segunung penyesalan kepadanya.

Orang yang muraqabah berperibadi tenang walau pun mendapat nikmat, pujian, atau menghadapi kesusahan, tohmahan dan seumpamanya. Dia merasa bimbang sekiranya kehilangan redha dan pertolongan dari Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan mencuri seorang pencuri, sekiranya ketika dia mencuri itu dia beriman. Tidak akan berzina seorang penzina, sekiranya ketika dia berzina itu dia beriman. Tidak akan meminum arak seorang peminum arak, sekiranya ketika dia meminum arak itu dia beriman.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maksud hadis diatas ketika dalam hati seseorang itu ada iman atau hatinya hadir, maka dia tidak akan melakukan kesalahan. Orang beriman tidak akan mencuri jika dia merasai pengawasan Allah SWT. Ini kerana, hati yang di miliki itu adalah hati yang sedar dan mampu merasai Allah SWT melihat serta mengawasi segala amalannya. Itulah hakikat muraqabah.

Hati orang mukmin dan hati yang dapat muraqabah bersedia menerima tarbiah dan peringatan, kerana segala peringatan akan memandu seluruh anggata kita melakukan ketaatan. Firman Allah SWT yang bermaksud "Oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermenfaat." (Surah al-A'laa, ayat 9). 

Dengan saling memberi peringatan ini juga akan melahirkan perasaan takut untuk melakukan kesalahan terhadap Allah SWT seperti firmanNya yang bermaksud "Orang yang takut kepada Allah akan mendapat pelajaran." (Surah al- A'laa, ayat 10).

Latihan paling utama ke arah mendidik hati yang hadir ialah menerusi ibadat solat. Apabila di dalam solat sesaorang itu merasai Allah SWT mengawasinya, maka ketika di luar solat atau di mana jua berada hatinya akan tetap muraqabah. Nabi SAW di waktu malam banyak menghabiskan masa untuk bersolat tahajud, bermunajat, berdoa dan memohon ampun kehadrat Allah SWT. Contoh peribadi mulia ini semestinya menjadi pedoman dan amalan setiap para daie untuk merapatkan hubungan dengan Allah SWT, mencari tenaga baru untuk meneruskan kerja-kerja dakwah dan tarbiah.

Saidina Umar al- Khattab r.a. berkata "Hisablah dirimu sebelum di hisab pada hari kiamat" Setiap mukmin perlu sentiasa muhasabah diri demi kebahagiaan masa hadapan. Firman Allah SWT yang bermaksud "Hai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah dan hendaklah (tiap-tiap) orang memperhatikan apa yang di usahakannya untuk hari esok (hari kiamat), dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan" (Surah ai- Hasyr ayat 18).