Saturday, May 3, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 104 (Amalan di Angkat Setiap Hari, Minggu dan Bulan, Penggunaan Hadis Dhaif, Hukum Bunuh Tikus, Mendidik Isteri Yang Deraka dan Memikul Amanah)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 104 adalah menjelaskan persoalan amalan di angkat setiap hari, minggu dan bulan, penggunaan hadis dhaif, hukum bunuh tikus, mendidik isteri yang deraka dan memikul amanah.

576. Soalan :Assalamualaikum ustaz..minta pencerahan daripada ustaz berkenaan buku catatan amalan kita.sebab ada yang mengatakan buku amalan kita ditukar semasa ketibaan awal Muharam..tetapi semasa saya belajar dahulu..buku amalan kita ditukar dan diangkat pada malam nisfu Syaaban..jada saya perlukan keterangan dari ustaz berkenaan isu pertukaran buku / kitab amalan kiti...walaupun isu ini nampak tak berapa penting, tapi perlu untuk saya lebih jelas berkenaan bila peristiwa penting ini berlaku?

Jawapan :  

Tidak terdapat hadis sahih menjelaskan bahawa buku amalan kita di tukar ketibaan awal Muharam kerana di zaman Khalifah Umar al-Khattab baru bermula kelender Hijrah bukan di zaman Nabi SAW. Dalam hadis sahih amalan kita di angkat setiap hari waktu subuh dan asar, setiap minggu hari Isnin dan Khamis dan setiap tahun pada bulan Syaaban (bukan malam Nisfu Syaaban). Hadis yang sahih/ thabit menyebut bahawa amalan kita dibentangkan pada:

1. Setiap hari (setiap pagi dan petang.)


2. Dua kali setiap minggu (setiap Isnin dan Khamis)


3. Setiap tahun, iaitu pada bulan Syaaban. (Bukan nisfu Syaaban.)

Hadis-hadis sahih / thabit bagi setiap kategori adalah seperti berikut :


1. Amalan diangkat/dibentang 2 kali setiap hari :


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلاَئِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلاَئِكَةٌ بِالنَّهَارِ، وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ وَصَلاَةِ الْعَصْرِ، ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ، فَيَسْأَلُهُمْ وَهْوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ، وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ ".
 

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya : "Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yg menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat-malaikat itu - walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba-hambaNya :

'Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba-hamba-Ku itu?'


Jawab para malaikat : 'Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat.' 


(HadisSahih Riwayat  Bukhari, Kitab Waktu-Waktu Sembahyang, Bab Fadilat Sembahyang Asar. ) -Hadis Sahih- Berbahagialah bagi mereka yang menunaikan solat Subuh dan solat Asar, lebih-lebih lagi di awal waktu.

2. Amalan juga diangkat setiap Isnin dan Khamis, dua kali seminggu :


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لاَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ رَجُلاً كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا " .
 

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya : "Amalan2 manusia dibentangkan setiap minggu pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hamba-Nya yang beriman, kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, 'Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai."
(Hadis Sahih Riwayat Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab Larangan Saling Bermusuhan Dan Saling Tidak Mempedulikan.) -Hadis Sahih.


Dalam hadis hasan menjelaskan amalan manusia ini dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis : Puasa Hari Isnin dan Khamis

Disunatkan berpuasa pada tiap-tiap hari Isnin dan Khamis, kerana Rasulullah SAW mengambil berat puasa pada kedua-dua hari yang tersebut.

Ini diterangkan dalam hadis yang berikut:


- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تُعْرَضُ الْأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ. (رواه الترمذي)

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW. bersabda: "Segala amal dibentangkan (oleh malaikat ke hadrat Allah Rabb al-'Alamin) pada tiap-tiap hari Isnin dan hari Khamis, oleh itu aku suka amalku dibentangkan semasa aku sedang berpuasa. "(Tuhfat al-Ahwazi (3:450).) (Hadis Hasan Gharib - Riwayat Tirmizi)

Menurut Imam Nawawi, rahimahullah: Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan tidak menyebutkan tentang puasa. (Riyad al-Salihin (hlm. 454)

Dengan ini dapat difaham bahawa hadis riwayat Muslim itu hanya menerangkan keistimewaan hari Isnin dan hari Khamis, manakala hadis riwayat Tirmizi yang lalu menerangkan; Baginda berpuasa pada kedua-dua hari itu ialah disebabkan keistimewannya yang tersebut.


3. Amalan dibentangkan setiap tahun, pada bulan Syaaban. (Bukan Nisfu Syaaban)


عن زيد بن أسامة رضي الله عنهما قال: قلت: يا رسول الله لم أرك تصوم من شهر من الشهور ما تصوم في شعبان؟ قال: ذلك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان، وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين، فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم.
 

Usamah bin Zaid ra melaporkan, katanya, "Saya pernah bertanya, 'Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?'

Jawab Rasulullah SAW, "Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yg diangkatkan amalan kepada Tuhan sekelian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa.'


(Al-Sunan al-Sughra, Kitab Puasa.) -Hadis Hasan.


577. Soalan : Apa pendapat kalian tentang kata2 ini: "Sebaik2 kata-kata manusia biasa
adalah sama/lebih rendah nilainya berbanding hadis dhaif"


Jawapan : 

Kata-kata tersebut hampir sama dengan kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal : “Hadis dhaif lebih kami sukai daripada fikiran seseorang”, yang mana ianya menunjukkan bahawa hadis dhaif lebih kuat dari sebarang pendapat seseorang yang tidak bersandarkan kepada nash-nash al-Quran dan sunnah. Para ulama telah bercanggah pendapat didalam menetapkan hukum penggunaan hadis-hadis dhaif ini, dan golongan ini terbahagi kepada tiga kelompok pendapat para ulama, didalam menentukan hukum menggunakan hadis-hadis dhaif ini :

Kelompok pertama berpendapat bahawa hadis dhaif tidak boleh dijadikan sandaran untuk menguatkan hujah dalam penginstinbatan hukum seperti halal, haram dan sebagainya mahupun untuk tujuan seperti memberikan galakan(tarqib), menakut-nakutkan(tarhib) atau fadhail amal(kelebihan beramal), dan ini adalah merupakan pendapat dari Imam Bukhari dan Muslim serta beberapa ulama lain seperti Abu Bakar al-Arabi dari mazhab maliki, Abu Syamah al-Maqdisi dari mazhab syafie dan Ibnu Hazmin dari mazhab zahiri.

Kelompok kedua pula berpendapat harus yakni dibolehkan menggunakan hadis-hadis dhaif bagi menguatkan hujah “jika tiada sandaran-sandaran lain daripada al-Quran, Hadis sahih, qias, ijma dan istihsan” bagi menyelesaikan sesuatu perkara, dan ini adalah pendapat-pendapat Imam Ahmad, Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim, yang mana Imam Ahmad telah berkata : “Hadis dhaif lebih kami sukai daripada fikiran seseorang”, yang mana ianya menunjukkan bahawa hadis dhaif lebih kuat dari sebarang pendapat seseorang yang tidak bersandarkan kepada nash-nash al-quran dan sunnah.

Kelompok ketiga pula berpendapat bahawa hadis-hadis dhaif tidak boleh dijadikan hujah dan sandaran untuk menguatkan sesuatu pendapat bagi penetapan atau untuk mengistinbat sesuatu hukum syarak mahupun dalam pemasalahan akidah, tetapi hukum beramal dengan hadis-hadis dhaif ini adalah mustahab (disukai) dan dibenarkan kita menggunakan hadis dhaif ini dalam hal-hal yang berkaitan seperti fadhail amal, tarhib dan tarqib dan lain-lain, dan ini adalah pendapat majoriti yakni jumhur ulama muhaqqiqin, ahlul hadis, ahlul fiqh dan lain-lain.

Antara ulama-ulama terkenal yang berpegang dengan pendapat ini adalah Imam Nawawi dan al-Hafiz ibnu Hajar malah Imam Nawawi mengatakan bahawa pendapat ini telah menjadi kesepakatan di antara para ulama, demikian pula Syaikh Ali Al-Qari dan Ibnu Hajar Al-Haitami.

Walau bagaimanapun para ulama mazhab syafie telah menetapkan syarat-syarat dan kaedah penggunaan hadis-hadis dhaif ini seperti berikut :

1. Tidak boleh menggunakan hadis dhaif dalam penetapan hukum syarak hanya hadis sahih dan hasan sahaja yang dibenarkan.


2. Diharuskan beramal dengan hadis dhaif untuk tujuan fadhail amal untuk menggalakkan amal soleh dan berhati-hati dari perkara syubhah.


3. Hadis yang digunakan tidaklah terlalu dhaif dan hadis-hadis tersebut mestilah bertepatan dengan kaedah-kaedah umum dalam islam yaitu walau bagaimana dhaif sekalipun tetapi jika ternyata hadis tersebut sahih, maka dengan mengamalkannya hak-hak hadis tersebut telah dipenuhi dan jika terbukti dhaif maka perkara tersebut yakni beramal dengan hadis dhaif tadi, tidaklah pula menyebabkan kesan yang negatif dari segi hukum syarak(yakni halal haram) atau mengakibatkan kehilangan hak seseorang.

Demikianlah serba sedikit mengenai kaedah penggunaan hadis-hadis dhaif ini.


578. Soalan : Saya ada tangkap tikus-tikus yang masuk ke rumah apa yang patut saya buat nak bunuh tak sampai hati jadi saya suruh anak buang jauh-jauh. Boleh kah dibunuh tikus tu apakah hukum nya?

Jawapan : 

Membunuh tikus adalah diharuskan dalam Islam kerana ia termasuk dalam haiwan yang disifatkan sebagai ‘fawasiq’(haiwan yang terkeluar daripada hukum haiwan lain kerana menyakitkan dan merosakkan).

Di dalam hadis sahih, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ، يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ: الْحَيَّةُ، وَالْغُرَابُ الْأَبْقَعُ، وَالْفَأْرَةُ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ، وَالْحُدَيَّا
 

Maksudnya: “Lima haiwan fawasiq (yang terkeluar daripada hukum haiwan lain kerana menyakitkan dan merosakkan) yang boleh dibunuh di tanah halal dan di tanah haram; ular, gagak, tikus, anjing yang buas/serigala, dan helang”. (Hadis Riwayat Muslim, 2/856, no: 1198).

Walau bagaimanapun, kaedah membunuh haiwan-haiwan tersebut hendaklah dengan cara yang tidak menyeksa. Kerana Islam memerintahkan supaya berlaku ihsan dalam setiap pembunuhan.

Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:

إِنَّ اللهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ
 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah memerintahkan berlaku ihsan dalam setiap sesuatu. Maka apabila kamu membunuh, maka elokkanlah cara pembunuhan. Dan jika kamu menyembelih maka elokkanlah cara penyembelihan”. (Hadis Riwayat Muslim, 3/1548, no: 1955).

Maka tidak diharuskan membunuh tikus-tikus dengan cara menyeksanya seperti menjemurnya di tengah panas terik matahari dalam tempoh yang lama sedangkan terdapat banyak kaedah lain yang lebih baik seperti memukul hingga mati, menggunakan renjatan elektrik dan seumpamanya. Wallahu a’lam.


579. Soalan : Bagaimana cara hendak mendidik isteri yang derhaka kepada suami?

Jawapan : 

Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, namun Nabi Adam a.s tetap rindukan Siti Hawa. Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki, tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan dariNya. JANGAN CUBA JINAKKAN MEREKA DENGAN HARTA, NANTI MEREKA SEMAKIN LIAR. JANGAN HIBURKAN MEREKA DENGAN KECANTIKAN, NANTI MEREKA SEMAKIN MENDERITA. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada Allah, Zat yang kekal, disitulah suisnya.

AKAL SETIPIS RAMBUTNYA, TEBALKAN DENGAN ILMU. HATI SEPARUH KACA, KUATKAN DENGAN IMAN. PERASAAN SELEMBUT SUTERA, HIASILAH DENGAN AKHLAK. 


Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak menjadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri negara atau wanita besi. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya di situlah kasih sayang Tuhan. Kerana rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan lelaki-lelaki waja - negarawan, karyawan, jutawan dan yang lain-lain. 

Tidak akan lahir lelaki hebat tanpa wanita disampingnya. Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula membengkokkannya. 

LEBIH RAMAI LELAKI YANG DIROSAKKAN OLEH PEREMPUAN DARIPADA PEREMPUAN YANG DIROSAKKAN OLEH LELAKI. SEBODOH-BODOH PEREMPUAN PUN BOLEH MENUNDUKKAN SEPANDAI-PANDAI LELAKI.

Itulah akibatnya apabila wanita tidak kenal Allah SWT. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, apalagi mengenal lelaki. Kini bukan saja ramai boss telah kehilangan secretary, bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan kehilangan puteri. Bila wanita derhaka, dunia lelaki akan huru-hara. Bila tulang rusuk patah, rosaklah jantung, hati dan limpa. Para lelaki pula jangan hanya mengharapkan ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah, pimpinlah diri sendiri dahulu kepadaNya. Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah kepimpinan kita.

JANGAN MENGHARAPKAN ISTERI SEPERTI SAYYIDATINA FATIMAH RA, KALAU PERIBADI BELUM LAGI SEPERTI SAYYIDINA ALI K.WJ....


580. Soalan : Saya ada baca status fb yang mengatakan kalau nak jadi orang beriman,kita kena semai ikhlas..bila kita bekerja dengan orang,kita kena ikhlas..jangan fikirkan pasal gaji..fikirkan amanah yang kita pikul.Sebab masa interview,kita dah janji kita akan memikul amanah dan sanggup terima upah gaji tersebut.Hendaklah kita bekerja bersungguh-sungguh dan ikhlas hingga ikhlas (iman) itu meresap ke dalan hati kita..betul ke?

Jawapan : 

Apabila seseorang telah diterima bekerja maka telah terjalin satu ikatan perjanjian di antara pekerja dan majikan. Pekerja wajib melaksanakan amanahnya bekerja dengan ikhlas, jujur dan rajin memenuhi ruang lingkup tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya. Majikan pula mestilah memenuhi amanah iaitu membayar gaji dan kemudahan lain yang telah ditetapkan semasa perjanjian yang tertulis disurat tawaran. Jika kedua-dua pihak memikul amanah dengan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT akan mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT.

Setiap muslim akan dipertanggungjawab terhadap segala amalannya di dunia ini. Jika dia berusaha dan bersungguh-sungguh melaksanakan amanah dan tugas yang dibebankan dibahunya dengan penuh rasa tanggungjawab maka ianya akan meringankan timbangan amal di hari akhirat nanti.

Kebanyakan manusia suka menyempitkan pengertian amanah hanya menjaga urusan yang melibatkan kewangan sahaja bahkan pengertian amanah di dalam Islam cukup luas dan berat pertanggungjawabkan.

Sabda Rasulullah SAW bersabda maksudnya : " Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang kamu pemimpin, ketua atau imam adalah pemimpin dan ia akan diminta tanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Suami adalah pemimpin di dalam keluarganya, dan dia akan bertanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Isteri juga dipimpin, dalam mengendalikan rumahtangga suaminya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya, dan pembantu rumahtangga juga pemimpin dalam mengawasi harta benda majikannya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Dari hadis ini jelaslah bahawa tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan diri dari tanggungjawab, dan tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan tugasnya terhadap masyarakat dan semuanya akan ditanya oleh Allah apakah tanggungjawab kita itu dapat dilaksanakan dengan baik atau tidak.

Setiap lelaki muslim dan wanita muslimah mempunyai perbezaan tanggungjawab ketika di dunia ini mengikut bidang dan tugas masing-masing. Kaum lelaki mempunyai tanggungjawab yang lebih berat dan besar berbanding dengan kaum wanita. Dia akan bertanggungjawab kepada isterinya, anak-anaknya, adik perempuannya dan kepada ibu-bapanya. Pekerja perlu melaksanakan amanah kepada majikannya berdasarkan surat perjanjian tawaran kerja dan majikan juga wajib melaksanakan amanah membayar gaji pekerjanya termasuk segala kemudahan lain yang telah ditawarkan berdasarkan surat tawaran yang diberikan. Jika masing-masing bersifat amanah maka mereka akan diberikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT.

Memberi nasihat dan pendidikan Islam perlu kepada anak-anak muda dan juga orang dewasa mengingatkan kehidupan di hari akhirat. Kerana biasanya anak-anak muda suka kepada hiburan, aktiviti lasak dan fizikal dan berkumpul bersama-sama rakan sebaya. Saya setuju jika ada pendakwah yang mendekati anak-anak muda dan remaja dengan cara mendekati dengan aktiviti fizikal dan pada masa yang sama di isi bahan tarbiah dan mendidik mereka kearah insan Rabbani yang beriman dan bertakwa dan menasihati anak muda supaya menjauhkan diri daripada maksiat dan hiburan yang melampau batas.

No comments:

Post a Comment