Saturday, May 10, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 112 ( Wanita Haid Berwuduk, Betul Ke Wanita Tak Tutup Aurat Solatnya Tak Di Terima?, Hukum Sambut Hari Ibu, Solat Terawih Di Rumah Dan Hukum Mengumpat).

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 112 adalah menjelaskan persoalan wanita haid berwuduk, betul ke wanita tak tutup aurat solatnya tak diterima?, hukum sambut hari ibu, solat terawih di rumah dan hukum mengumpat.

Soalan : 616. : Benarkah jika wanita dlm keadaan haid, diharamkan mengambil air wuduk? Mohon penjelasan ustaz, terima kasih.

Jawapan :  

Sebahagian ulama berpendapat bahawa wanita haid di sunatkan mengambil wuduk sebagaimana di sunatkan berwuduk bagi seseorang yang berjunub. Dalilnya adalah seperti hadis di bawah : 

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ جُنُبًا فَأَرَادَ أَنْ يَأْكُلَ أَوْ يَنَامَ تَوَضَّأَ وُضُوءَهُ لِلصَّلاَةِ

Daripada Aisyah r.ha dia berkata: Nabi SAW. bila dalam keadaan berjunub dan apabila baginda hendak makan atau hendak tidur, baginda berwuduk sepertimana wuduk ketika mana hendak solat.. (Hadis riwayat Imam Muslim.)

Oleh itu tidak menjadi masalah seorang wanita yang haid untuk berwuduk sama seperti wuduk untuk solat. Walau bagimana pun wuduk yang diambil tak boleh niatkan bahawa hadasnya terangkat.

Syarat sah wuduk itu ada enam:-

1. Orang Islam (orang bukan Islam tidak wajib berwuduk)

2. Mumayiz, iaitu telah dapat membezakan yang baik dengan yang buruk sesuatu pekerjaan, yakni yang telah berusia 9 tahun.

3. Air mutlak (air yang suci lagi menyucikan).

4. Bersih dari Haid, Nifas dan Junub atau dalam Hadas Besar.

5.Jangan ada pada anggota kita sesuatu benda yang dengannya, sebabnya tidak sampai air ke kulit/rambut/kuku seperti cat, lilin, getah, pewarna rambut, pewarna kuku, gincu bibir, eyeshadow dsb.

6. Mengetahui dan dapat membezakan mana yang fardhu dan sunat.

Hukum Ambil Wuduk Ketika Haid.

1. Khilaf di antara ulama sama ada membenarkan berwuduk atau tidak, bergantung pada niat individu yang melakukannya.

2. Diharamkan wanita yang didatangi Haid/Nifas berwuduk jika bertujuan untuk mengangkat hadas dalam keadaan dia mengetahui tidak sah wuduknya, ini kerana dia bermain-main dengan hukum.

3. Jika tujuan berwuduk atau mandi junub dengan tujuan membersihkan diri atau menyejukkan badan atau apa-apa saja niat yang tidak melanggar syarie, maka tidak menjadi masalah. Ini pendapat yang dipegang oleh Auzaie, Malik, Thauri dan Abu Thaur.

4. Wajar mempertahankan pendapat salaf soleh agar berterusan dengan mengambil waktu solat tersebut dengan berwuduk dan berzikir agar kebiasaan itu tidak dilupakan.

5. Para wanita banyak yang dirasuk jin dan menjadi lemah kerana mengabaikan ibadat di waktu uzur. Keuzuran bukan alasan untuk meninggalkan semua ibadat kerana meninggalkan solat pada waktu uzur juga merupakan satu ibadat. Perbanyakan , beristighfar, berselawat dan berzikir  pada waktu uzur sebagai menampung kekurangan ibadat di waktu ini.

6. Tidak menjadi kesalahan untuk berwuduk sebelum tidur atau pada ketika marah walaupun dalam keadaan uzur. Wallahu alam.

617. Soalan : Saya ada terbaca tentang satu hadis berkenaan perempuan yang tak tutup aurat di mana solat dia tak diterima. betul ke? boleh perjelaskan tak? saya nak tahu hadis apa.. terima kasiha.

Jawapan :

Dalam Islam terdapat hukum-hukum yang berbeza seperti ibadah, muamalah, pendidikan , akhlak, munakahad, perhubungan sosial, politik, ekonomi dan sebagainya. Setiap sesuatu perkara dan amalan terdapat hukum wajib, sunat, harus begitu juga ada perkara yang dilarang hukumnya haram dan makruh. Jika seseorang tak tutup aurat maka dia telah melakukan perkara yang ditegah (haram hukumnya) dalam bidang akhlak. Maka dia akan berdosa. Solat pula satu ibadah yang tersendiri jika dibuat mendapat pahala dan jika ditinggalkan berdosa dan haram hukumnya meninggalkan solat. 

Setakat ini saya belum jumpa ada hadis menyatakan seseorang yang tak tutup aurat solatnya tak diterima. Tetapi ada di dalam hadis sahih menyatakan bahawa solatlah amalan yang pertama di hisab, jika solatnya diterima maka barulah amalan yang lain akan di terima , sekiranya solatnya di tolak maka amalan yang lain akan di tolak.

Daripada Abu Hurairah, katanya bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud: "Sesungguhnya amalan yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari kiamat mengenainya ialah sembahyangnya, jika sembahyangnya diterima, maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia. Jika sembahyangnya tidak diterima, maka kecewa dan rugilah ia. Jika terkurang daripadanya sembahyang fardu sesuatu.

Allah berfirman: Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada sembahyang fardu. Demikianlah keadaan amalan lain. (Hadis riwayat at-Tirmizi). 

“Sesiapa yang memeliharanya solat, maka dia akan memperolehi cahaya, bukti keterangan dan kebebasan di hari kiamat. Dan bagi mereka yang tidak menjaga solat, maka dia tidak akan memperolehi cahaya, bukti keterangan dan kebebasan, sedang di hari kiamat dia akan bersama Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubai bin Khalf.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

"Allah SWT berfirman, 'Hai Muhammad! Aku telah mewajibkan lima kali solat sehari semalam bagi umatmu. Aku telah berjanji dengan diriKu, sesiapa mengerjakan solatnya pada waktunya, maka dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Umatmu yang tidak menjaga solatnya tidak termasuk dalam perjanjian ini". (Hadis Riwayat Abi Daud dan Ibnu Majah)

618. Soalan : Saya nak tanya betul ke hari ibu tak perlu sambut....sebab hari ibu tu dikatakan hari mother kat gereje tu, betul ker ustaz?

Saya cume nak kepastian saja ustaz sebab sebelum niy saya pun penah dengar tentang ni...
Mohon pencerahan ustaz....

Jawapan : 

Hukum Merayakan Hari Ibu

Kasih Ibu membawa ke syurga

1. Berbakti kepada ibubapa adalah wajib dan patut dilaksanakan sepanjang tahun dan bukan pada hari-hari tertentu sahaja. Walau bagaimanapun, masyarakat moden hari ini menyambut hari-hari tertentu untuk memberikan penghormatan atas jasa-jasa individu atau kelompok tertentu. Maka lahirlah beberapa hari Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru, Hari Pekerja, Hari Jururawat dan lain-lain. Hari Ibu disambut di sesetengah negara pada 21 Mac setiap tahun dan di sesetengah negara lain seperti Malaysia pada 10 Mei setiap tahun. Sambutan ini sentiasa mengundang perbahasan umat Islam tentang hukum menyambutnya.

2. Ulama’ berselisih pendapat dalam perkara ini dan secara umumnya mereka terbahagi kepada 2 kelompok iaitu:

(1.) Kelompok yang mengharamkan. Diantaranya ialah Al-marhum Sheikh Abdul Aziz bin Baz yang secara jelas pernah mengeluarkan fatwa tentang sambutan ini. Asasnya ialah kerana ia termasuk diantara perkara bid’ah dalam agama dan mengikut kepada Barat (gharbiyyun).

(2. )Kelompok yang mengharuskan. Mereka mempersetujui bahawa sambutan ini juga adalah perkara yang diada-adakan, tetapi ia bukanlah bid’ah dalam ibadat tetapi hanyalah bid’ah dalam adat kebiasaan .

3. Pandangan kelompok pertama adalah cukup mudah untuk difahami dan saya tidak berhasrat memanjangkan di sini.

4. Pandangan kelompok kedua boleh diperhatikan pada pendapat-pendapat beberapa ulama’ kontemporari. Sheikh Faisal Mawlawi, Timbalan Pengerusi Majlis Fatwa dan Pengkajian Hukum Eropah (Majlis ini dipengerusikan oleh Sheikh Professor Dr Yusuf Abdullah al-Qaradawi) yang juga seorang pemimpin gerakan Islam di Lubnan (seangkatan dengan Sheikh Dr Fathi Yakan) berpendapat bahawa tiada halangan untuk menyambut Hari Ibu tetapi dengan dua syarat:

1. Sambutan itu hanyalah penghormatan tambahan yang dilakukan lanjutan daripada penghormatan sehari-hari yang diberikan selayaknya untuk ibu.

2. Sambutan itu tidaklah dianggap sebagai satu perayaan dalam mafhum Syarak iaitu menyamai Eid al-Adha dan Eid al-Fitri yang ada asasnya yang jelas dalam nusus Syariah.

5. Dr Muhammad Bakar Ismail, Professor Tafsir dan Ilmu-ilmu al-Quran di Universiti Al-Azhar al-Syarif memberikan pandangan seperti berikut:

“Hari ini dimana ibu dimuliakan dan dinamakan dengan Hari Ibu adalah daripada bid’ah-bid’ah dalam perkara adat dan bukan ibadat. Bid’ah dalam adat adalah tidak disuruh oleh Islam dan tidak juga dilarang kecuali ia menghubungkan dengan agama daripada dekat atau jauh. Jika adat ini lahir daripada pengiktirafan kepada kecantikan dan menyeru kepada berlaku baik dan ihsan kepada orang yang berhak mendapat kebaikan dan ihsan seperti ibu, bapa, datuk dan nenek, maka Islam memberkati dan memperakui adat sebegini. Manakala jika adat ini lahir daripada perkara yang sebaliknya, dan melakukannya juga melibatkan perkara-perkara yang buruk dan dilarang oleh Islam seperti pemborosan, pembaziran, kelalaian dan berbangga-bangga, maka Islam melarang daripadanya.”

6. Dr ‘Abdul Fattah Asyur, seorang lagi ulama’ al-Azhar memberikan pendapat seperti berikut:

Bahawa merayakan beberapa hari yang padanya dimuliakan manusia atau menghidupkan ingatan-ingatan yang baik, maka tidak seorang pun mengatakan bahawa program ini adalah perayaan agama atau sebahagian daripada perayaan-perayaan Muslimin. Tetapi ia adalah peluang untuk menunjukkan syiar perasaan yang baik terhadap orang-orang yang berbudi kepada kita dan diantaranya ialah apa yang dikenali sebagai Hari Ibu. Sesungguhnya bagi ibu kedudukan yang khusus dalam Islam dan juga dalam setiap agama lain. Maka ibu wajib dimuliakan dan dirayakan.

7. Sheikh Hamid al-Athar, ahli Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia (yang dipengerusikan oleh Sheikh al-Qaradawi) memberikan pendapat seperti berikut:

Perayaan Hari Ibu pada suatu pada suatu hari yang dikhususkan (iaitu 21 Mac) pada pendapatku adalah makruh dan tidak jauh hukumnya dengan haram, bukan disebabkan bid’ah tetapi kerana mengikut orang-orang bukan Islam pada adat kebiasaan dan perayaan-perayaan mereka. Telah datang beberapa hadis Rasulullah SAW yang melarang umatnya daripada menyerupai Ahli Kitab antara lainnya ialah yang didatangkan daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dari kalangan mereka.”

8. Dr Muhammad al-Banna berpendapat bahawa tiada halangan untuk menyambut Hari Ibu dengan syarat:

1. Tidak berlaku di dalamnya perkara-perkara yang diharamkan oleh Syariah seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan.

2. Tidak dimaksudkan untuk menyerupai orang-orang Barat dan bukan Islam.

3. Hendaklah kandungan perayaan itu diteruskan sepanjang tahun iaitu tidak terbatas kepada hari tersebut sahaja.(Sumber: UBM)

- KENYATAAN JABATAN MUFTI SELANGOR -

SAMBUTAN YANG DI ANJURKAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

1. Sambutan yang dilakukan sebaik-baiknya secara sederhana, tidak melalaikan tanggungjawab seorang Muslim terhadap Allah s.w.t. dan tidak bersifat membazir.

2. Sambutan yang baik adalah dengancaramengasihi sesama sanak saudara melalui amalan ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka, menzahirkan rasa syukur jika senang dan bertakziah atau bersimpati apabila ditimpa sebarang musibah.

123. Sebaik-baik sambutan adalah dengan mengadakan sembahyang berjamaah bersama ahli keluarga, majlis tahlil dan doa selamat, pesanan dan nasihat yang baik serta dalam suasana yang mahabbah.

4. Setiap ibu bapa perlu merenung kembali dan muhasabah diri ke atas amanah serta tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka. Adakah kita telah memainkan peranan sebagai pemimpin keluarga dengan penuh kasih sayang, melalui jalan kebenaran untuk menikmati kedamaian hidup di dunia dan kebahagiaan akhirat.

5. Setiap ibu bapa perlu menyayangi dan melindungi ahli keluarga mereka daripada segala bentuk ancaman akidah dan kelalaian dunia. Ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik di dalam keluarga dan disegani, dihormati serta disayangi oleh ahli keluarga.

6. Setiap ibu bapa perlu mewujudkan persekitaran yang baik dan selesa agar ahli keluarga merasa selamat, dihargai dan dihormati dalam usaha melahirkan insan syumul.

7. Setiap ibu bapa perlu prihatin dan memainkan peranan bersama untuk membabitkan diri dalam membanteras gejala sosial dan maksiat yang berleluasa dalam masyarakat, melalui program amar makruf nahi mungkar bagi melindungi ahli keluarga daripada terjebak.

8. Setiap ibu bapa perlu memperingatkan dirinya perihal pentingnya peranan mereka dalam menyemaikan nilai-nilai etika dan spiritual yang tinggi dalam kalangan ahli keluarga mereka.

9. Setiap ibu bapa mestilah mengambil langkah-langkah proaktif bagi mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan (parenting skills) bagi menyediakan anak-anak mereka untuk lebih berupaya menghadapi cabaran masa kini.

10. Didikan agama yang sempurna adalah satu faktor perlindungan (protective factor) yang mampu menyelamatkan manusia dari terjebak ke dalam perbuatan keji yang hanya akan merosakkan dirinya sendiri. Apabila pegangan serta keutamaan tidak lagi berkisarkan kepada tunjang agama yang kukuh, dengan mudah sahaja seseorang itu melakukan sesuatu perbuatan yang merugikan diri, keluarga, masyarakat dan negaranya.

Jika umat Islam menyambut Hari Ibu bukan kerana mengikut cara barat yang beriktikad bahawa hari ibu " merupakan salah satu di antara perayaan yang disambut oleh orang kafir iaitu masyarakat yang beragama kristian. Greek kuno memanggilnya sebagai hari cybele iaitu ibu kepada dewa-dewa mereka. Dan Roman kuno pula meraikan hari matronalia sebagai tanda memperingati dewa juno iaitu mak kepada juventas, vulcan dan mars.". 

Tetapi hari Ibu di sambuat hanya untuk memperingati Ibu Tercinta dan Tersayang maka tidak menjejaskan akidah sebagaimana di jelaskan oleh ulama-ulama muktabar dunia seperti di atas. Sheikh Professor Dr Yusuf Abdullah al-Qaradawi berkata paling kurang jatuh makruh bukan haram.

619. Soalan : Ustaz, saya ingin tahu cara solat terawih bersendirian. Tetapi gagal mencari buku yang menunjukkan cara-cara lengkapnya. Sebagai wanita, saya percaya ramai di luar sana yang kadangkala mempunyai masalah untuk berjemaah di masjid/surau atas sebab yang tak dapat dielak. Ada tak nama buku rujukan yang ustaz boleh cadangkan. Terima kasih.

Jawapan :  

1. Solat tarawih merupakan solat sunat, boleh dilakukan secara berseorangan dan juga berjemaah. Dilakukan setelah melakukan solat Isya' pada bulan Ramadan. (Tidak ada surah khas untuk setiap rekaat - baca surah yang kita mampu jika solat bersendirian)

2. Jumlah rakaat yang boleh dilakukan adalah 8, 20, 36 atau seberapa yang mampu. Contohnya jika dilakukan 8 rakaat, bolehlah dilakukan secara 2 rakaat satu salam dan seterusnya.

3. Setelah selesai bersolat tarawih, bolehlah melakukan solat sunat witir (3 rakaat iaitu 2 rakaat dan 1 rekaat). Dari Ubay bin Kaab ra :

كان رسول الله -صلى الله عليه وسلم- إذا سلم في الوتر قال: "سبحان الملك القدوس
"Rasulullah saw apabila selesai memberi salam solat witir, baginda berkata :'Subhana al-Malik al-Quddus'" - [Hadis riwayat al-Nasaa'i]. Didalam riwayat yang lain Rasulullah SAW menyebut zikir tersebut sebanyak 3 kali. Imam Ahmad menyebut bahawa Rasulullah SAW membacanya secara kuat, didalam musnadnya menyebut:-

أنه كان يقرأ في الوتر بسبح اسم ربك الأعلى ، وقل يا أيها الكافرون ، وقل هو الله أحد فإذا سلم قال: سبحان الملك القدوس سبحان الملك القدوس سبحان الملك القدوس ، ورفع بها صوته

"Sesungguhnya baginda membaca didalam witir membaca ayat Sabbihasma rabbikal 'alaa, Qul Ya Aiyyuhal Kaafirun, dan Qul hu Allahu Ahad, dan apabila selesai salam akan mambaca : 'Subhana al-Malik al-Quddus, Subhana al-Malik al-Quddus, Subhana al-Malik al-Quddus' sambil menguatkan suaranya"

4. Tiada bacaan khas didalam solat tarawih. Bacalah surah mana-mana mengikut kemampuan anda jika anda bersolat bersendirian. Cuma, kalau ada diberi kelapangan masa, sertailah jemaah dimasjid bagi merebut peluang menggandakan pahala di bulan yang mulia ini dengan solat berjemaah tarawih, Insya-Allah.

620. Soalan : ustaz...saya ingin bertanya tentg dosa ghaibah. .sepengetahuan saya Allah tidak akan ampunkan selagi org yg diumpat tidak memaafkan. ..bgaimana sekiranya kita tidak bertemu lgi dgnnya ustaz? Adakah dosa Itu akan kekal ustaz? Adakah cara untuk membersihkan diri dari dosa ini?

Jawapan : 

Dosa mengumpat tak akan terampun apabila kita tak minta maaf pada orang yang kita umpat. Walaupun kita bertaubat kepaad Allah SWT dosa sesama manusia perlu diselesaikan semasa di dunia kerana jika tak selesai maka mahkamah dan pengadilan Allah SWT akan berjalan di akhirat. Dan bayaran kepada dosa sesama manusia adalah amal-amal solehnya semasa di dunia. Jika amal-amal solehnya habis tak mampu nak bayar maka kena ambil dosa orang yang di umpat . Inilah yang dinamakan muflis di hari akhirat. Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab : “Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.” (Hadis Riwayat Muslim dan Tirmizi)

Ulama memberikan beberapa cara untuk kita cuba selesaikan dosa sesama manusia yang tak berjumpa lagi orang yang kita lakukan dosa. 

1. Jika berhutang tak jumpa orang yang kita berhutang maka kita serahkan jumlah wang tersebut (jumlah hutang kita) kepada sedekah jariah untuk pembinaan sekolah agama, rumah anak yatim atau masjid niatkan untuk orang yang kita berhutang. 

2. Kita berdoa semoga Allah SWT ampunkan dosa orang yang kita umpat supaya dia tak tuntut nanti kepada kita, jika tuntut sekali pun ada saham kita untuknya iaitu doa kita supaya Allah SWT ampunkan dosa-dosa dia, jika makbul doa kita diharapkan dia tak tuntu lagi pada kita di akhirat. 

3. Banyakkan bersedekah dengan ikhlas diharapkan sedekah yang kita berikan akan menghapuskan dosa-dosa kita yang kita tak mengetahuinya. Hak pengampunan adalah hak mutlak Allah SWT jika Dia nak ampunkan dosa kita sabit amalan sedekah kita maka itu adalah urusan Allah SWT.Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (Su’ul Khatimah).” (Hadis Riwayat al-Turmuzi) 

4. Banyakkan niat-niat yang baik walaupun belum mampu melaksanakannya lagi.Niat yang ikhlas dalam apa jua pekerjaan.

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama." (Hadis Riwayat Tirmizi).

Nabi SAW bersabda: ” Seorang hamba dihadapkan pada hari kiamat membawa hasanah sebesar bukit, lalu ada seruan;' Siapa yang pernah di aniaya oleh fulan boleh datang untuk dibayar'. Maka datanglah beberapa orang lalu mengambil bahagiannya sehingga tiada tinggal satu pun dari hasanah yang banyak itu, sehingga hamba itu menjadi bingung, lalu Tuhan berkata kepadanya: 'Untuk mu ada simpanan pada Ku yang tidak Aku perlihatkan kepada malaikat atau seorang pun dari makhluk Ku,' lalu ia bertanya:' Apakah itu'. Jawab Tuhan: Ia itu niatmu, yang kau selalu niat akan berbuat kebaikan, Aku tulis untuk mu berlipat ganda, tujuh puluh lipat ganda.' "

Daripada Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w.bersabda maksudnya : "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita perlu merancang dan berazam dengan sungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Hadis diatas menjelaskan keazaman seseorang yang ingin bersedekah sekiranya ditakdirkan memiliki harta seperti orang kaya tersebut.

Jika kita berada di dalam perbualan mengumpat maka maka kita cuba nasihatkan mereka supaya jangan mengumpat dan memfitnah. Jika mereka tak mahu dengar kita tinggalkan mereka atau kita ubah kepada tajuk lain perbincangan.Rasulullah S.A.W. menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabdanya bermaksud :
"Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya"(Hadis Riwayat Muslim)

Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ianya disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat.

Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya diakhirat.

Dosa yang terdapat di facebook atau blog memang agak sukar untuk dihapuskan apabila kita sudah menyebarkan berita mengumpat, aibkan orang lain dan membuat fitnah. Untuk mengatasinya bertaubat tetap perlu dibuat dan beristighfar setiap hari. Dan gantikan pula dengan penyebaran berita-berita baik dan ilmu yang bermanfaat. Biarkan amal soleh itu dilakukan berganda-ganda dengan usaha kita mendidik masyarakat dengan ilmu Islam, dakwah dan tarbiah. 

Seorang ustaz pernah ajarkan doa kepada jemaah masjid äsy-Syarif Meru yang mengikuti tazkiranya, beliau berkata," Jika kita telah melakukan dosa kepada orang lain, dosa yang tak nampak seperti mengumpat, memfitnah dan mengaibkannya dan tak dapat berjumpa untuk meminta maaf kita harus berdoa,setiap lepas solat, 

"Ya Allah ya Tuhanku , Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ampunkan dosa-dosaku dan dosa orang -orang yang aku telah melakukan dosa kepada mereka. Aku telah mengaibkan dirinya, mengumpat dan memfitnahnya ketika aku jahil. Jika Engkau tak ampunkan dosa-dosaku dan dosa orang-orang tersebut (orang-orang yang aku lakukan dosa kepada mereka) aku bimbang aku tidak akan mampu membayar amalan-amalanku yang sedikit ini ya Allah, aku bimbang aku akan menjadi muflis jika tuntutan ini dilakukan ke atas diriku di akhirat nanti. AMPUNKAN DOSA-DOSA MEREKA DAN MASUKKAN MEREKA SEMUANYA KE DALAM SYURGAMU. Sesungguhnya hanya kepada Engkau sahajaku serahkan segala-galanya harapan dan permohonan.untuk menerima doa-doa kami."


1 comment:

  1. Assalamualaikum.Maafkan saya, boleh saya tanya? apakah lebih baik solat sendirian di rumah atau masjid seandainya seseorang itu rasa was-was dengan keadaan atau cara orang yang bersembahyang di masjid yg dkunjunginya kerana para jemaah solat dgn TIDAK merapatkan saf atau dikatakan saf terputus..

    ReplyDelete