Saturday, May 17, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 116 ( Ikut Mazhab Lain, Cara Qada Solat Yang Ditinggalkan, Nikah Gantung, Tanda-tanda Orang Kena Sihir. Dan Ceraikan Isteri Di Rumah.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 116 adalah menjelaskan persoalan ikut mazhab lain, cara qada solat yang ditinggalkan, nikah gantung, tanda-tanda orang kena sihir. dan ceraikan isteri di rumah.

636. Soalan : Ustaz..di Malaysia kebayakan muslim berpandukan ajaran dari Imam Shafiee.. boleh kah saseorang mencampur aduk ajaran sedikit dari imam Hambali. dn imam yg lain-lain nya.. mohon penjelasan.

Jawapan  :

Di dalam bab feqah yang meragkumi ibadah seperti solat, puasa, zakat , haji, muamalat, munakahat, penurusan jenazah, perniagaan, nikah, cerai, rujuk , bersuci dan sebagainya terlalu banyak hukum-hukum dan huraian-huraiannya yang telah di bahaskan ulam para imam mazhab. Jika kita muslim biasa tidak mengambil pengkhususan ilmu syariah maka kita sebaiknya berpegang pada satu mazhab -memudahkan dan tidak akan timbul kekeliruan. Setiap mazhab mempunyai huraian dan dalili-dalil yang digunakan kenapa mereka berpegang pada pendapat tersebut.. 

Umat Islam di Malaysia kebanyakkannya berpegang dengan mazhab Syafie termasuk di dalam perlaksanaan undang-undang Islam dan keluarga Islam . Mereka yang berautoriti untuk mengambil mana-mana pendapat mazhab yang lain untuk di amalkan oleh umat Islam adalah Majlis Fatwa Negeri-negeri, , JAKIM, pejabat Mufti, Majils Fatwa Kebangsaan. dan Jawatan kuasa Syariah Perbankkan Islam. Contoh dalam bab zakat Fitrah jika pendapat mazhab Syafie perlu diberikan beras (makanan asasi) tetapi mengikut pendapat mazhab lain boleh menggunakan wang untuk membayar zakat fitrah. Begitu juga sekiranya ada pendapat mazhab lain yang memudahkan umat Islam majlis fatwa akan membuat keputusan dengan dalili-dalil yang di berikan ulama ulama mazhab tersebut..

Para imam mazhab telah berusaha untuk menetapkan sesuatu hukum berdasarkan al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas dan berijtihad di dalam sesuatu hukum yang tak ada nas yang jelas. Mereka telah berusaha dan berijtihad sekadar kemampuan mereka . Jika benar mereka akan mendapat 2 pahala dan jika salah atau kurang tepat mereka akan mendapat 1 pahala. Hadis-hadis sahih , hasan , dhaif dan palsu telah terkumpul dan dibahaskan oleh para ahli hadis. Syarat-syarat dan darjat sesuatu hadis itu telah di huraikan dan di kelompokkan ke dalam salah satu daripaadnya iaitu hadis sahih, hadis hassan, hadis dhaif dan hadis palsu. Kelompok hadis palsu akan ditolak sepenuhnya kerana ianya bukan datang daripada Rasulullah SAW. dengan ini akan memudahkan untuk kita beramal dengan amalan yang mengikut sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat.

637. Soalan :   Ustaz,saya nak tanya,macamana kita nak qada solat yang kita pernah tinggal dahulu,dan cara mengerjakannya..?

Jawapan : 

Solat yang pernah ditinggalkan setelah baligh (bermimpi keluar air mani) wajib di qada. Cuba buat kiraan berapa banyak kita telah meninggalkan solat fardu. Kita boleh mengqada solat tak kira waktu jika ada masa maka tunaikanlah untuk membayar hutang kita kepada Allah SWT. Hutang ini akan ditanya di akhirat nanti jika kita enggan membayarnya semasa hidup di dunia. Contoh jika masuk waktu zohor setelah kita solat zohor bersama imam (solat berjemaah) selepas habis saja solat fardu maka kita solat qada zohor. Atau pun boleh juga kita solat qada zohor setelah muazin melaungkan azan zohor. Contoh niat solat qada : "Sahaja aku solat qada fardu zohor kerana Allah Taala"

Dalil perlunya solat qada yang pernah ditinggalkan masa remaja dulu : Dari Anas bin Malik ra, berkata Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika salah seorang dari kamu tertidur atau lalai hingga lupa solat, hendaklah dia mengerjakannya apabila teringat kerana Allah berfirman : Dirikanlah solat untuk mengingatiKu (Hadis Sahih Muslim)

Dari Anas bin Malik ra, berkata Rasulullah SAW maksudnya : "Barangsiapa yang terlupa solat atau tertidur, maka hendaklah dia mengerjakan solatnya apabila teringat (atau setelah terjaga). (Hadis Sahih Muslim).

Hadis di atas menunjukkan bahawa WAJIB hukumnya qada solat walaupun terlupa... inikan pula solat yang ditinggalkan dengan sengaja.. 

Perkara ini telahpun mendapat ijma' pendapat mazhab imam yang empat. tidak perlu dibahaskan lagi.

Nabi SAW bersabda maksudnya, "'Hutang kepada Allah terlebih utama untuk dijelaskan."
(Hadis riwayat Bukhari,Muslim,Ahmad,Abu Daud,at Tabrani,Baihaqi dan al Bazzar)

Qada solat yang ditinggalkan boleh dilakukan bila-bila masa walaupun bukan waktunya. Misalnya di waktu malam kita nak qada solat 5 waktu (zohor, asar, magrib, isyak dan subuh). Atau qada ikut waktu-waktu solat conoh qada solat zohor pada waktu zohor setelah kita selesai solat zohor tunai.

638. Soalan : Ustaz boleh tak terangkan apa itu nikah gantung?

Jawapan :  

Maksud Nikah Khitbah atau Nikah Gantung

Nikah khitbah adalah pernikahan yang memenuhi syarat pernikahan yang biasa, cuma tak ada kenduri dan pasangan masih duduk berasingan (sebab itu sering dipanggil nikah gantung). Bezanya, pasangan yang bertunang cara biasa masih perlu menjaga had-had pergaulan sebab hubungan mereka belum sah. Tapi pasangan yang telah nikah gantung adalah pasangan suami isteri yang sah.

Cara dan Syarat Nikah Gantung menurut Islam

Tak ada bezanya cara dan syarat nikah gantung berbanding pernikahan biasa. 

Rukun nikah perlu dipatuhi:

1. Pengantin lelaki
2. Pengantin perempuan
3. Wali
4. Dua orang saksi lelaki
5. Ijab dan kabul

Yang membezakan nikah gantung dari perkahwinan biasa ialah pasangan tidak tinggal bersama dan kenduri kahwin tidak diadakan sehingga pasangan bersedia untuk tinggal bersama seperti pasangan lain, atau berlaku senggama diantara mereka.

Hukum Nikah Gantung

Oleh kerana nikah khitbah memenuhi semua syarat sah nikah, maka hukumnya ialah sah. Rasulullah dan Aisyah pun telah nikah khitbah untuk tempoh selama hampir 3 tahun. Maka ini membuatkan hukum nikah khitbah bukan saja sah, tetapi juga sunnah. Antara Nikah Gantung dan Bertunang

Bertunang adalah amalan lazim masyarakat kita. Tapi pertunangan bolehlah dianggap sebagai perjanjian untuk berkahwin. Perkahwinan belum lagi berlangsung. Hubungan diantara pasangan belum lagi halal. Mereka belum boleh berdua-duaan. kalau berlaku hubungan seks diantara mereka, mereka berzina.

Nikah gantung pula adalah pernikahan yang sah disisi hukum syarak, cuma mereka belum tinggal serumah seperti pasangan suami-isteri yang lain. Namun begitu, pasangan yang telah nikah khitbah bebas untuk berdua-duaan. Kalau berlaku hubungan seks diantara mereka, mereka tidak berzina kerana mereka telah berkahwin dengan sah.

Dalam masyarakat yang membenarkan lelaki dan perempuan bergaul agak bebas seperti dalam masyarakat di Malaysia ini, adalah lebih baik jika pasangan disatukan dengan nikah gantung, bukan ditunangkan, sementara menunggu hari kenduri kahwin dan pasangan berkenaan hidup bersama serumah.

Ini adalah adat masyarakat melayu Islam yang tak membenarkan tinggal serumah disebabkan kenduri walimatul urus belum selesai .

Nikah gantung jauh lebih baik daripada bertunang kerana nikah gantung boleh jalan berdua-duaan dan jika bersama halal kerana sudah akad nikah. Bertunang jika tak jaga batas-batas syarak akan membawa dosa besar takut terjerumus dalam zina.

639. Soalan :  Ustaz.saya nak tanya apakah tanda-tanda orang yang terkena sihir atau santau?

Jawapan: 

Tanda-tanda gangguan syaitan/ serangan gangguan makhluk halus:

1. Tidur dalam keadaan resah, rimas dan cemas serta selalu terjaga
2. Mengalami mimpi yang buruk dan menakutkan
3. Bermimpi melihat berbagai jenis binatang seperti kala jengking, anjing, tikus dan lain-lain
4. Kadang menangis dan kadang ketawa ketika tidur
5. Selalu bermimpi terjatuh dari tempat tinggi
6. Terasa panas badan terutama di bahagian belakang
7. Fikiran selalu kacau, terasa gelap dalam perut, badan terasa lesu dan malas
8. Suka marah-marah tanpa suatu sebab yang munasabah
9. Selalu sakit kepala
10. Hilang fokus pada pekerjaan dan juga percakapan
11. Sakit di bahagian bawah tulang kipas dan bawah punggung

Tanda-tanda sihir pemisah (memisahkan seseorang individu dengan individu lain)

1. Terdapat perubahan tabiat/perangai secara tiba-tiba
2. Kerap berlaku perbalahan antara pasangan atau rakan 
3. Kehadiran pandangan buruk keatas pasangan misalnya nampak suami atau isteri begitu buruk dan hodoh
4. Masing-masing suka menegakkan benang basah dan tidak mahu mengalah

Tanda-tanda sihir pengasih
1. Kehadiran perasaan rindu dan cinta yang mendadak kepada seseorang
2. Terikut-ikut kehendak pasangan (haram) atau individu secara berlebihan
3. Kuat berkhayal tentang adegan seks
4. Berkeinginan tinggi untuk melakukan hubungan seks

Tanda-tanda sihir menghadirkan penyakit (membuat sesorang itu jatuh sakit)
1. Cakap merapu
2. Fikiran bingung
3. Sentiasa resah gelisah
4. Tidak menjaga kebersihan diri
5. Gemar bersendirian
6. Tidak suka bergaul dengan kawan-kawan
7. Tidak ada kekuatan fizikal dan mental

Tanda-tanda sihir pendarahan

1. Sihir ini terjadi keatas wanita dimana berlakunya pendarahan pada faraj seolah-olah darah haid namun ia berterusan dan tidak berhenti. Sihir ini amat merbahaya sekali kerana seseorang mangsa boleh kehilangan darah terlampau banyak. Badan akan menjadi terlampau lemah, mudah penat, sukar bernafas dan terdedah kepada gangguan yang lebih serius. Harus diingat haid seseorang wanita hanya selama 14 hari dan selebihnya adalah penyakit. (darah istihadah)

Tanda-tanda santau

1. Pendarahan yang berpanjangan saperti haid
2. Sakit dibawah tulang kipas
3. Sakit dibawah punggung
4. Batuk yang berterusan
5. Bermimpi binatang yang menakutkan
6. Sesak nafas
7. Pemarah walaupun sifat asalnya adalah lembut dan penyabar
8. Kelopak mata kehitaman kerana gangguan tidur
9. Daya ingatan berkurangan

Tanda-tanda seseorang yang mempunyai saka

1. Sukar tidur
2. Sering bermimpi perkara yang menakutkan
3. Ketawa dan menangis ketika tidur
4. Pening kepala
5. Malas dan lesu
6. Lenguh-lenguh sendi
7. Pemarah dan terlalu emosi

Adakalanya juga orang yang ada saka dibenci oleh ramai orang kerana menzahirkan situasi negatif dan tidak menyenangkan

Pedoman dan renungan

Kebanyakan orang yang terkena gangguan makhluk halus samada dalam bentuk sihir, santau lebih-lebih lagi saka keberatan untuk melakukan rawatan. Keadaan ini terjadi semata-mata kerana tipu daya dan fitnah syaitan.Sebahagianya pula tidak mempercayainya.

Sebaliknya pula ada golongan yang ketagih dengan khidmat bomoh.Golongan ini lebih suka dikaitkan masalah mereka dengan "buatan orang",walaupun sebenarnya tidak.Mengapa fenomena ini berlaku dalam masyarakat kita?

Sukacita disarankan agar anda kuatkan semangat dan keimanan seterusnya melawan keadaan ini daripada membelenggu diri anda. Dan kepada saudaramara, rakan taulan hendaklah sentiasa membantu mereka tanpa jemu demi kebaikan bersama.

Penyakit sebegini bakal menyusahkan diri sendiri dan menghancurkan kerukunan rumahtangga dan keluarga tercinta.

Dapatkanlah rawatan daripada pengamal perubatan Islam yang diyakini tidak terlibat dengan sebarang bentuk khurafat dan kekufuran. Ikutilah pedoman-pedoman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa kesemasa. Amalkan zikir al-Mathurat sebagai pendinding diri daripada sihir dan gangguan jin kafir dan syaitan. Wallahu a'lam

Apa yang dijelaskan di atas adalah tanda-tanda gejala sihir, santau atau saka. Jika kita nak pasti adakah sihir ini benar-benar wujud dalam diri kita maka kita perlu membaca beberapa ayat al-Quran. Cara-caranya : Membaca ayat-ayat dibawah ditapak tanganmu :

1. Baca surah Ibrahim ayat 42-52 

2. Baca surah al-Mukminun ayat 98-118

3. Baca surah al-Falaq ayat 1-5.

4. Baca surah an-Nas ayat 1-6

Ketika membaca ayat-ayat di atas , letakkan mulutmu di telapak tangan kananmu, sehingga nafasmu atau sebahgian dari ludahmu mengenainya. Kemudian hulurkan tapak tangan kananmu itu di depan mata si sakit, dan mintalah dia melihatnya. Kalau dia sama sekali tidak boleh melihatnya, atau matanya menjadi silau atau nanar, atau dia melihat tapak tanganmu berwarna sangat merah atau hitam, atau dia melihat banyak salib di telapak tanganmu, atau tiba-tiba kepalanya terasa sangat pening, atau dia menunjukkan suatu gejala yang muncul secara tiba-tiba, maka dia , tidak diragukan, terkena sihir atau kesurupan atau kedua-duanya sekali.

[CATATAN : Sebaik-baiknya, usahakan dia sendiri yang membacanya ayat-ayat diatas. Kalau si sakit tidak boleh membaca sendiri maka kalian boleh bacakan ditapak tangan kalian dan hulurkan tangan kanan kalian di depan mata si sakit minta dia melihatnya.]

Pertama cuba saudari baca ayat-ayat di atas dan uji pada diri saudari, jika ada seperti yg dinyatakan maka jelas saudari terkena sihir. Untuk mengubati sihir ada beberapa ayat al-Quran untuk menawarkan sihir iaitu : Cara-cara membuangkan sihir daripada diri kita : 

1. Ambil tujuh helai sirih hijau atau daun teratai. Tumbuk dengan batu, besi atau apa saja sehingga lumat (boleh juga guna alat penghancur letrik - blinder)

2. Masuk tumbukan daun sirih atau daun teratai itu dalam satu mangkuk besar. Isi dengan air secukupnya untuk minum dan mandi seluruh badan.

3. Letakkan telapak tangan kananmu pada air yang sudah diisi tumbukan daun sirih.

4. Sentuhkan bibirmu pada mangkuk, sehingga nafas atau sebahagian dari ludahmu mengenainya.

5. Bacakan ayat-ayat berikut :

a. Baca Ayat Kursi. (Surah al-Baqarah ayat 255)

b. Bacakan Surah al-Kafirun.

c. Baca Surah al-Ikhlas.

d. Baca Surah al-Falaq.

e. Baca Surah an- Nas.

(Ayat-ayat dibawah adalah ayat penawar sihir)

f. Baca Surah al-A'raf ayat 117-119.

g. Baca Surah Yunus ayat 79-82.

h. Baca Surah Thaha ayat 65-69.

Setelah dijampi dengan ayat-ayat al-Quran di atas air itu diminumkan kepada si sakit, kemudian mandikan ia dengannya. Ulangi seminggu sekali dan sesudah itu in syaa Allah , sihir itu tidak akan ada lagi.

[Yakinlah kepada Allah SWT bahawasanya hanya Dia sahaja yang akan menyembuhkan segala penyakit termasuk penyakit disebabkan sihir hasil perbuatan jin dan syaitan]

Semua kejadian di langait dan dibumi semuanya adalah kehendak Allah SWT semua makhluk termasuk jin dan syaitan dan manusia tak boleh mendatangkan apa-apa mudharat. tanpa izin Allah SWT. Oleh itu kita yakin dengan Allah SWT dan keselamatan kita adalah dibawah jagaan Allah SWT. Amalkan membaca al-Quran, berzikir, beristighfar, solat tahajud, berdoa minta perlindungan Allah SWT dan jik ada penyakit minta Allah SWT pulihkan dan beri kesembuhan. Seorang mukmin perlu berdoa, berusaha, bertawakkal dan bersabar.

640. Soalan :  Adakan boleh seseorang menceraikan isterinya di rumah? Adakah salah mengikut undang-undang keluarga Islam?

Jawapan : 

CERAI TANPA KEBENARAN MAHKAMAH: SATU KESALAHAN JENAYAH SYARIAH

Menurut undang-undang keluarga Islam yang berkuat kuasa di setiap negeri, perceraian tidak boleh sewenang-wenangnya dilafazkan di luar mahkamah. Maknanya, bagaimanapun teruknya keadaan rumahtangga itu, pasangan berkenaan mestilah meminta kebenaran dari mahkamah syariah untuk melafazkan cerai.

Melafazkan cerai samada talaq 1 atau 2 atau 3 di luar mahkamah tanpa kebenaran adalah satu kesalahan jenayah syariah. Tidak kiralah samada lafaz cerai itu disebabkan oleh permintaan atau desakan dari isteri atau atas kehendak suami.

Jika suami sudah terlafaz cerai di rumah, di pejabat, di dalam kereta, atau di mana saja, asalkan tanpa kebenaran mahkamah, maka apa yang perlu dilakukan selepas itu ialah merujukkan hal tersebut di mahkamah syariah di mana pasangan tinggal atau bermastautin. Buat satu permohonan untuk memohon pengesahan samada lafaz cerai tersebut sah atau tidak.

Kedua pasangan mesti hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan mengenai lafaz tersebut. Mahkamah akan meneliti bentuk lafaz samada lafaz tersebut berbentuk soreh atau kinayah atau ta’liq. Jika sah, maka mahkamah akan mengesahkan bahawa talaq telah gugur, bilangan talaq yang gugur, tempoh isteri bereddah dan lain-lain hal yang bersangkutan dengan perceraian.

Ada sesetengah negeri yang tidak akan mendaftarkan perceraian itu di hadapan Pendaftar Pernikahan di Jabatan Agama Islam selagi pasangan tersebut tidak didakwa di Mahkamah Syariah. Sesetengah negeri pula tidak ada halangan untuk mendaftarkan perceraian tersebut samada telah didakwa atas kesalahan bercerai tanpa kebenaran mahkamah atau didakwa kemudian. Yang penting, pendaftaran perceraian dibuat dan pendakwaan akan dibuat kemudian.

Apa yang penting di sini adalah kesedaran umat Islam di negara ini bahawa undang-undang tidak membenarkan pasangan bercerai tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada mahkamah syariah. Kebenaran ini perlu bagi memastikan masyarakat Islam tidak sewenang-wenangnya bercerai sesuka hati tanpa kawalan atau pemantauan.

Jika disabitkan bersalah, pasangan yang menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah boleh dihukum denda tidak lebih dari RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Sila lihat seksyen 125 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam untuk lebih jelas.

ENAKMEN 8 TAHUN 2004
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004
BAHAGIAN IX – PENALTI

Seksyen 125. Perceraian di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah

“Jika seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talaq dengan apa-apa bentuk di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah itu maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu”.

Justeru, jangan sampai terlalu ikutkan hati sehingga sewenang-wenangnya bercerai tanpa kebenaran mahkamah, pasangan tersebut akhirnya turun naik di mahkamah untuk menghadapi perbicaraan jenayah kerana bercerai tanpa kebenaran.

Dalam menghadapi kemelut rumahtangga, kesabaran amat penting dan tinggi harganya. Janganlah melafazkan cerai terburu-buru. Selain berlaku penyesalan, pasangan juga akhirnya mendapat status “penjenayah” di kemudian hari. Sebabnya hanya satu iaitu bercerai tanpa kebenaran mahkamah syariah.




2 comments:

  1. assalamualaikum ustaz, boleh jelaskan tak mengenai pernikahan manusia dan bunian mengikut pandangan 4 mazhab dalam islam? sekian terima kasih

    ReplyDelete
  2. Saya nak tanya jika sepanjang perkahwinan suami tidak beri nafkah.adakah dalam kes penceraian.isteri boleh minta dibayar jumlah nafkah sepatutnya suami beri sebelum ini

    ReplyDelete