Saturday, June 13, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 239 (Konsep Tawasul, Nabi SAW Sebut Ameen Bila Naik Tangga Mimbar, Fidyah Untuk Wanita Mengandung Dan Menyusukan Anak, Bila Tiba Ramadan Syaitan Di Ikat Dan Tip-Tip Untuk Bangun Tahajud.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 239 adalah menjelaskan persoalan konsep tawasul, Nabi SAW sebut ameen bila naik tangga mimbar, fidyah untuk wanita mengandung dan menyusukan anak, bila tiba Ramadan syaitan di ikat dan  tip untuk bangun tahajud.

1151. Soalan :  Terangkan dan ceritakan...Tawasul dan keikhlasan 3 orang yang terperangkap dalam gua.?

Jawapan :


Kita di haruskan bertawasul di atas amalan terbaik yg telah kita lakukan semasa berdoa terutama ketika sangat genting seperti 3 lelaki yang terperangkap di pintu gua

Hukum Bertawasul :

Pada prinsipnya bertawassul (berperantara) kepada Allah Subhannahu Wa Ta’ala merupakan salah satu bentuk ibadah termulia bagi seorang hamba untuk mendekatkan (bertaqarub) kepada-Nya, dan hal ini memang dianjurkan kepada kita, sebagaimana firman Nya:

“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang dapat mendekatkan diri kepada Nya dan berjihadlah pada jalan Nya supaya kamu mendapat keberuntungan.” (Surah Al Maidah ayat 35)

Dalam ayat ini, Allah Ta’ala telah memberikan penjelasan, bahawa bertaqwa kepada Nya, mencari jalan untuk mendekatkan diri kepada-Nya dan berjihad di jalan-Nya, merupakan suatu cara dan jalan bagi seorang hamba untuk memperoleh kebahagiaan dan keberuntungan.

Definisi Tawassul

Secara bahasa, tawassul bererti menjadikan sesuatu sebagai perantara untuk mencapai tujuan. (Mu’jamul alfaadzil ‘Aqidah, hal.104).

Adapun menurut istilah syara’ bererti seseorang mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala untuk tujuan tertentu dengan menjadikan suatu amal sebagai per-antara.(Mu’jamul alfaadzil ‘Aqidah, hal.104, Muhtaarush Shihah, hal. 526)

Bentu-Bentuk Tawassul

Tawassul ada dua macam:

Tawassul yang disyari’atkan (diperbolehkan), yaitu tawassul untuk tujuan tertentu dengan perantara yang dibenarkan oleh syari’at Islam. Seperti 1. bertawassul dengan nama-nama (asma’) dan sifat Allah, 2. bertawassul dengan amal soleh kita yang telah kita lakukan serta 3. dengan perantaraan doa orang yang masih hidup.

Selain tiga bentuk tawassul ini tidak- pernah ditetapkan dasar hukumnya dalam agama Islam, padahal segala bentuk ibadah yang dapat mendekatkan diri kepada Allah harus berdasarkan pada syari’at Allah Subhannahu Wa Ta’ala yang di bawa oleh Nabi Muhammad Shalallaahu Alaihi Wasalam . (Harus ada dalilnya).

Tawassul yang tidak disyari’atkan (tidak dibenarkan), yaitu bertawassul dengan perantara-perantara yang tidak ada dalil atau dasar hukumnya di dalam Islam.

Bertawassul dengan Nabi, Para Wali dan Shalihin.

Dari penjelasan di atas sebetulnya telah jelas bagi kita, bahawa bertawasul kepada para wali dan orang soleh khususnya kepada Nabi Muhammad Shalallaahu Alaihi Wasalam setelah mereka wafat dengan cara mendatangi kubur mereka, mohon pertolongan mereka, bertawassul dengan menggunakan kemuliaan dan kedudukan mereka, memohon kepada mereka ketika turun bencana, memohon agar semua keperluannya terpenuhi, diselamatkan dari segala mara bahaya adalah merupakan bentuk penyimpangan terhadap sunnah Nabi Shalallaahu Alaihi Wasalam. Itu semua merupakan bentuk perkara yang diada-adakan, dan sama sekali tidak memiliki dasar dan alasan yang kuat baik dari al-Qur’an mapun as-Sunah.

Allah SWT berfirman yang maksudnya:

“Dan di antara manusia ada orang- orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka menyintainya sebagaimana mereka menyintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat dzalim itu (syirik) mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada Hari Kiamat), bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya dan bahwa Allah amat berat siksaNya (niscaya mereka menye-sal).” (Surah Al-Baqarah ayat 165).

Allah SWT berfirman maksudnya :
“Panggillah mereka yang kamu anggap (tuhan) selain Allah, maka mereka tidak akan mempunyai kekuasaan untuk menghilangkan bahaya daripadamu dan tidak pula memindahkannya.” (Surah. Al-Isra’ ayat 56)


1152. Soalan : Suatu ketika dahulu semasa Rasullullah SAW hendak menyampaikan tazkirah selepas solat,para sahabat terkejut dan berasa pelik kerana baginda ditangga pertama menyebut ameen,ditangga kedua ameen dan ditangga ketigapun ameen.Setelah selesai tazkirah sahabat bertanya kepada Rasullullah SAW,kenapa kami mendengar baginda menyebut ameen disetiap anak tangga...Kenapa ye ustaz.? Kupaskan pada kami ok...

Jawapan :

Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah r.a. katanya:

Rasulullah S.A.W bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kami pun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kami pun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini.

Lalu baginda menjawab:

“Sesungguhnya Jibrail a.s. telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya. "

(Hadis Riwayat Bazzar dalam Majma’uz Zawaid 10/1675-166, Hakim 4/153 disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dari Ka’ab bin Ujrah, diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 644 (Shahih Al-Adabul Mufrad No.500 dari Jabir bin Abdillah).

Tinggal beberapa hari lagi Ramadan akan tiba maka sama-samalah kita sambut Ramadan ini dengan penuh kegembiraan, seperti mana gembiranya kita dapat bonus gaji, sepatutnya begitulah (atau lebih daripada itu) kita gembira dengan bonus pahala berlipat ganda dalam bulan Ramadan ini.

Dalam hadis di atas Rasulullah SAW mengaminkan doa Jibril a.s. itu, disebut salah satu yang diaminkan ialah “Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadan tetapi dosanya tidak juga diampuni.” Cubalah kita muhasabah diri, bagaimana agaknya dosa tidak diampun itu? Yang utama ialah jauhilah mensyirikkan Allah dan jagalah iman kita. Berpuasalah atas sebab iman, bukannya berpuasa kerana ianya budaya sebelum berhari raya. Disebut dalam hadis sahih yang maksudnya:

“Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana didorong oleh iman dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang lalu” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari : 38 dan Muslim : 175)

Teruskan mempelajari ilmu Islam untuk memperkuatkan lagi iman kita dan perbanyakkan doa memohon keredhaan Allah SWT ke atas kita. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua yang membaca. Wassalam.


1153. Soalan : Minta pencerahan ustaz.. jika seorang wanita mengandung atau menyusukan anak adakah dia kena ganti puasa dan fidyah atau fidyah sahaja untuk menggantikan puasa Ramadan yang di tinggalkannya?

Jawapan :

Apabila seseorang wanita hamil atau menyusukan anak diberi keringanan (rukhsah) daripada kewajipan berpuasa jika dibimbangi akan memudaratkan dirinya dan anaknya. Hukum ini bersumber daripada satu hadis Rasulullah S.A.W.

Dalam satu riwayat dari Anas bin Malik al-Ka’bi, dia berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:“Sesungguhnya Allah Tabaraka wa Ta’ala menggugurkan (meringankan) setengah hari beban solat ke atas orang yang bermusafir, menggugurkan (memberi rukhsah) ke atas wanita yang hamil dan menyusukan anak akan kewajipan berpuasa” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Abu Dawud, Ibnu Majah. Sanadnya hassan sebagaimana pernyataan at-Tirmidzi).

Dalam hal rukhsah ini, tidak ada perbezaan pendapat di antara para ulama’. Ulama’ cuma berbeza pendapat pada persoalan adakah cukup dengan membayar fidyah sahaja atau wajib juga mengganti (qadha’) setiap hari yang ditinggalkan.

Wajib Qadha’ Puasa atau Tidak?

Membayar fidyah bererti memberi makan kepada orang miskin, kerana tidak berpuasa disebabkan perkara-perkara yang dibolehkan oleh Allah. Allah S.W.T berfirman,

“…Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu) memberi makan seorang miskin” (Surah al-Baqarah (2) ayat 184)

Umum mengetahui pendapat empat Mazhab seperti berikut:

Mazhab Maliki dan Hanafi:

Wanita hamil dan menyusui jika berbuka, kelak wajib mengqadha’nya. Tidak perlu berturut-turut ketika mengqadha’nya. Ulama’ Maliki menambah, wanita menyusui diwajibkan membayar fidyah, sedangkan wanita hamil tidak.

Madzhab Hanbali dan Syafi’i:

Wanita hamil dan menyusui yang berbuka puasa, kelak wajib mengqadha’nya tanpa membayar fidyah. Tetapi jika kekhawatirannya itu tertuju kepada diri anaknya sahaja, maka selain qadha' juga wajib fidyah.

Walaubagaimanapun, berdasarkan ayat di atas (Surah al-Baqarah (2) ayat 184), hukumnya adalah wajib membayar fidyah kepada orang miskin bagi orang-orang yang tidak mampu mengerjakan puasa.

Ibn ‘Abbas berkata, “Ayat ini walaupun dimansukhkan, namun hukumnya tetap untuk orang yang sangat tua, lelaki atau perempuan, yang tidak mampu berpuasa, maka ia harus memberi makan seorang miskin setiap harinya” [HR Bukhari].

Diriwayatkan dari ‘Ikrimah bahawa Ibnu Abbas berkata, “Ayat tersebut diberlakukan bagi wanita hamil dan yang sedang menyusui.”

Jadi, wanita hamil dan menyusu hanya wajib membayar fidyah tetapi tidak wajib mengqadha’ puasa. Ini dikuatkan lagi dengan hadis-hadis berikut:

Ucapan Ibnu Abbas : “Wanita yang hamil dan wanita yang menyusui apabila khawatir atas kesihatan anak-anak mereka, maka boleh tidak puasa dan cukup membayar fidyah memberi makan orang miskin” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Diriwayatkan dari Nafi’ dari Ibnu Umar, bahawa sesungguhnya isterinya bertanya kepadanya (tentang puasa Ramadhan), sedang ia dalam keadaan hamil. Maka ia menjawab, “Berbukalah dan berilah makan sehari seorang miskin dan tidak usah mengqadha’ puasa” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Diriwayatkan dari Sa’id bin Abi ‘Urwah dari Ibnu Abbas beliau berkata: “Apabila seorang wanita hamil khawatir akan kesihatan dirinya dan wanita yang menyusui khawatir akan kesihatan anaknya jika puasa Ramadan”. Beliau berkata: “Keduanya boleh berbuka (tidak puasa) dan harus memberi makan sehari seorang miskin dan tidak perlu mengqadha’ puasa” (Hadis Riwayat ath-Thabari dengan sanad shahih di atas syarat Muslim, kitab al-Irwa jilid IV hal 19)

Berapa Jumlah yang Wajib Dibayar?

Membayar fidyah adalah dengan takaran sebanyak 1 mud berdasarkan sebuah riwayat dari Ibn Abbas,

“Barangsiapa telah sangat tua yang tidak sanggup berpuasa Ramadan, maka ia memberi fidyah sehari sebanyak 1 mud gandum” (Hadis Riwayat Bukhari). Riwayat senada dikeluarkan oleh Imam al-Baihaqi dari sahabat Ibnu Umar.

Menurut Pusat Zakat Selangor berat 1 mud adalah bersamaan 0.675 kg beras (I hari fidyah kerana meninggalkan puasa).

Menurut jumhur ulama’, fidyah dibayarkan dalam bentuk makanan ruji pada suatu negeri (ghaalibu quut a-balad) (Wahbah az-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, II/687). Memandangkan makanan ruji rakyat Malaysia adalah beras, jadi fidyah dibayarkan dalam bentuk beras, yang takarannya 1 mud bersamaan dengan 0.675 kg beras. Namun, adalah lebih baik jika beratnya dilebihkan berdasarkan firman Allah S.W.T, “…Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui” (Surah al-Baqarah (2) ayat 184)

Bagi wanita hamil dan menyusukan termasuk juga golongan-golongan lain seperti orang tua, musafir dan lain-lain, Allah SWT telah memberi rukhsah untuk meninggalkan puasa. Rasulullah S.A.W bersabda, “Sesungguhnya Allah suka dilaksanakan rukhsah (keringanan) yang diberikan olehNya seperti Allah SWT membenci dilakukan maksiat kepadaNya” (Hadis Riwayat Ahmad)

Walau bagaimanapun, keringanan yang diberikan bukanlah alasan untuk meninggalkan kewajipan yang dibebankan akibat daripada puasa yang ditinggalkan tersebut.

Rujukan:
 

1. Fiqih Wanita, Syaikh Kamil Muhammad ‘Uwaidah

2. Fikh Puasa Praktis, Muhammad Ramadhan al-Muhtasib

Mufti Wilayah Persekutuan Telah Memberikan Fatwanya :

IRSYAD FATWA KE-30: HUKUM WANITA HAMIL MENINGGALKAN PUASA. ADAKAH WAJIB QADHA’ ATAU FIDYAH ATAU LAINNYA?
DITERBITKAN DI DALAM IRSYAD FATWA

Jawapan:

Oleh kerana masalah ini berlegar dalam banyak Facebook dan juga media sosial di samping persoalan yang sampai ke meja kami maka, sewajarnya kami menekuni isu ini dan melebarkan lagi jawapan.

Perempuan hamil dan yang menyusukan anak diberikan keringanan untuk berbuka atau tidak berpuasa. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh al-Siyam tidak menukilkan sebarang syarat khas untuk perempuan yang hamil untuk tidak berpuasa kerana tidak terdapat sebarang dalil mengenainya. Walaubagaimanapun, terdapat dalil umum dalam isu ini:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ شَطْرَ الصَّلَاةِ، وَعَنِ الْمُسَافِرِ وَالْحَامِلِ

 وَالْمُرْضِعِ الصَّوْمَ، أَوِ الصِّيَامَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah meringankan daripada orang yang musafir dengan separuh solat dan meringankan daripada  puasa bagi perempuan hamil dan menyusukan anaknya.” (Hadis Riwayat al-Nasaie (2775) dan Ibn Majah (1667))
        

Pun begitu, ada khilaf mengenai apakah perlu perempuan berkenaan menggantikan puasa atau tidak. Berikut perbezaan pendapat secara ringkas:

Pertama: Mazhab Hanafi: Jika perempuan hamil atau menyusu yang meninggalkan puasa, wajib mengqada’kan puasa sahaja.  Pendapat ini juga dinyatakan oleh al-Hasan, Atha’ al-Nakhaie, al-Zuhri, al-Auzair, Sufyan dan juga al-Thauri.

Kedua: Mazhab Syafi’i dan Hanbali: Wajib qada’ dan perlu membayar fidyah bagi perempuan hamil atau menyusu yang meninggalkan puasa jika mereka takut kesihatan janin atau anaknya.

Ketiga: Mazhab Maliki: Wajib mengqada’ dan fidyah hanya dikenakan kepada yang meninggalkan puasa kerana menyusukan bayi tidak kepada yang hamil.

Keempat: Pendapat sahabat antaranya Ibn Abbas, Ibn Umar, Ibn Sirin: Jika kedua-duanya yakni perempuan yang hamil dan menyusu bimbang ke atas dirinya atau anaknya maka bolehlah ia berbuka dan membayar fidyah sahaja berdasarkan umum ayat

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Maksudnya: “Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”
(Surah al-Baqarah ayat 184)
       
Berdasarkan kesemua pendapat mazhab ini, Sheikh Attiyyah Saqr dalam Seen Wa Jeem Lil-Mar’atil-Muslimah (soal jawab muslimah) mengatakan boleh saja memilih salah satu dari pendapat di atas. Namun Dr Yusuf Qaradhawi mengatakan pendapat yang rajih ialah pendapat yang dikemukakan oleh Ibn Abbas R.Anhuma.

Tarjih

Selepas meneliti dalil, kami lebih cenderung kepada pendapat mazhab Syafie dan Hanbali yang menyatakan hendaklah qadha sahaja jika kedua-duanya bimbang terhadap diri sendiri sahaja. Sebaliknya jika juga dibimbangi terhadap anak dan dirinya maka hendaklah diqadha dan membayar fidyah. Pendapat ini juga adalah pendapat jumhur dengan berkata sepertimana kaedah: Hukum memberi makan kekal kepada hak yang tidak mampu berpuasa.

Imam al-Turmuzi berkata: “Dan amalan di sisi ahli ilmu kebanyakannya bahawa perempuan tersebut boleh berbuka dengan memberi makan orang miskin sebagai fidyah dan juga qadha.”

Pendapat ini adalah sama dengan pendapat Syeikh Taqiyuddin.

Ibn Kathir berkata: “Bagi wanita yang hamil dan menyusu boleh meninggalkan puasa tetapi selepas itu hendaklah membayar fidyah dan mengqadha puasanya.”

Ahli ilmu dan para ulama telah menyebut bahawa sabit Ibn Abbas dan Ibn Umar telah rujuk daripada pendapat ini. Justeru, tidak boleh disabitkan pendapat tersebut kepada kedua-duanya. Lihat kitab As-Saum Wa al-Iftar Li Ashab al-A'zar (hal. 152-153)

Riwayat Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra menjelaskan dengan sanad yang bersambung daripada Ibn Umar bahawa seorang perempuan mengandung (hamil) berpuasa pada bulan Ramadan dan merasa kehausan yang teramat, lantas ditanya halnya kepada Ibn Umar. Kemudian Ibn Umar memerintahkannya untuk berbuka dan memberi makan setiap hari seorang miskin secupak. Kemudian tidak memadainya apabila dia sihat, hendaklah dia qada'nya. Lihat as-Sunan al-Kubra 4/230.

Berkenaan Ibn Abbas, Abdul Razzaq telah menyebut dengan sanadnya yang menunjukkan wajib qada'. Lafaznya daripada al-Thauri dan Ibn Juraij, daripada Atha' daripada Ibn Abbas katanya: "Perempuan yang hamil dan menyusu boleh berbuka di siang hari Ramadan dan hendaklah dia qada' puasa tanpa memberi makan. Lihat Musannaf 4/218.
Justeru, jadilah pendapat Ibn Abbas R.Anha dan Ibn Umar R.Anha bersama dengan pendapat jumhur.


Perbahasan Ayat

Kami nyatakan di sini pendapat para ulama berkenaan maksud ayat:

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Maksudnya: “Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”
(Surah al-Baqarah ayat184)

Tafsiran Ulama berkenaan ayat ini.

Antaranya:

Ibn Kathir berkata: “Bahawa nasakh ayat tersebut tetap berlaku bagi orang yang sihat dan bermukim dengan kewajipan berpuasa baginya.”

Ibn Abbas berkata: “Ayat ini tidak dinasakhkan kerana yang dimaksudkan adalah orang tua lelaki dan perempuan yang tidak mampu melaksanakan ibadah puasa. Justeru, dia berhak berbuka dan memberi makan setiap harinya seorang miskin. Ini juga riwayat daripada Anas bin Malik, al-Hasan al-Basri, Ibrahim al-Nakhaie dan Said bin Jubair.”

Mengikut riwayat Ubaidillah daripada Nafi’ daripada Ibn Umar bahawa ayat ini sudah dinasakhkan.

Al-Alusi dalam Ruh al-Ma’ani berkata: “Bagi mereka yang berpuasa dalam keadaan sukar dan masyaqqah termasuk yang megandung dan menyusukan juga, harus ketika itu berbuka kerana hilangnya kemampuan padanya.”

Al-Qurtubi dalam tafsirnya berkata: “Ayat ini juga termasuk orang sakit dan hamil kerana kedua-duanya mampu untuk berpuasa tetapi dengan masyaqqah yang mengiringi mereka justeru jika mereka berpuasa memadai bagi mereka dan jika membayar fidyah, mereka pun memadai juga.”

Syeikh Ibn Asyur dalam Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir berkata: “Perkataan al-mutiq ialah yang mampu melakukan dan jika digunakan perkataan taqah lebih hampir kepada darjat kemampuan menuju kepada martabat lemah. Kemudian beliau menyebut golongan yang hamil dan menyusukan anak boleh berbuka dan hanya memberi makan setiap hari yang mereka berbuka.”

Imam al-Nasafi dalam tafsirnya Madarik al-Tanzil berkata: “Ayat ini menunjukkan pada permulaan Islam yang difardhukan ke atas mereka puasa sedangkan mereka masih belum biasa yang menyebabkan merasa sukar lantas diberi keringanan untuk mereka berbuka dan hanya membayar fidyah kemudian dinasakh dengan ayat yang lain.”

Syeikh Muhammad Abu Zahrah dalam tafsirnya Zahrah al-Tafasir antara lain menyebut: “Ayat ini menunjukkan begitu sukar sehingga hilang kemampuan secara berterusan seperti orang yang teramat tua dan inilah tafsir yang dikemukakan oleh Ibn Mas’ud.”


Perbahasan ayat ini juga boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

Adakah ia dinasakhkan atau tidak.
Apakah maksud yang dikehendaki dalam ayat ini.
Secara ringkasnya, para ulama telah khilaf berkenaan ayat ini samada dinasakhkan atau tidak kepada empat pendapat:

Pertama: Ia tidak dinasakhkan seperti pendapat Ibn Abbas.

Kedua: Ia telah dinasakhkan seperti pendapat Salamah dan jumhur.

Ketiga: Ia hanya dikhususkan kepada orang yang mampu yang tiada uzur baginya dan kekal terhadap perempuan yang menyusu dan hamil.

Keempat: Bahawa sebahagiannya dinasakhkan dan sebahagiannya bersifat muhkam.

Berkenaan dengan persoalan kedua, siapakah yang ditujukan dalam ayat ini, terdapat tiga pandangan seperti yang dinukilkan daripada Tafsir Fakhr al-Razi:

Pertama: Ayat ini kembalik kepada orang yang musafir dan sakit.

Kedua: Ayat ini kembali kepada orang yang mukim dan sihat. Inilah pendapat kebanyakan ahli tafsir.

Ketiga: Ayat ini diturunkan kepada syeikh yang tua.

Penutup

Menekuni pandangan ulama maka kita dapati khilaf yang berlaku dalam kalangan mereka tidak lain tidak bukan kecuali mencari dalil yang paling kuat dan rajih. Pada saat yang sama, ada dalam kalangan ulama yang memilih jalan ihtiyat di mana ia lebih selamat. Justeru, dalam isu ini kami lebih cenderung kepada pendapat yang menyatakan perempuan yang hamil dan menyusukan anak jika berbuka kembali kepada dua keadaan sahaja iaitu:

1. Kalau semata-mata kerana bimbang diri sendiri bolehlah dia berbuka dan qadha sahaja.

2. Kalau kasihankan kepada janin dan juga anak yang disusukannya maka bolehah dia berbuka dan membayar fidyah.

Semoga pencerahan ini memberi manfaat kepada kita semua.

Akhukum fillah

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan


30 Jun 2015 bersamaan 13 Ramadan 1436H

1154. Soalan : Saya ada baca banyak kisah-kisah hadis yang mengatakan bila tiba bula Ramadan, bulan puasa, roh-roh orang mati akan kembali ke rumah atau ke keluarga terdekat? betul ke atau palsu ustaz?

Dan juga ada ayat yang mengatakan ketika bulan Ramadan, syaitan akan di ikat /dikurung. yang hanya ada nafsu kita sendiri jika kita ada membuat kejahatan. Minta pencerahan ustaz , terima kasih.

Jawapan :


Tidak ada hadis sahih yang menjelaskan bahawa roh-roh manusia yang telah meninggal dunia akan balik ke rumah . Setiap manusia yang telah sampai ajalnya maka dia akan tinggal di alam barzakh dan tidak boleh balik semula ke dunia kerana barzakh adalah bermaksud dinding. Dalam hadis sahih ada menjelaskan bahawa syaitan di ikat semasa datangnya bulan Ramadan.

Apabila seorang anak Adam meninggal dunia segala-galanya terputus kecuali 3 perkara. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (Hadis Riwayat Muslim).

PENJELASAN HADIS :

Sesungguhnya kita diciptakan oleh Allah SWT mempunyai matlamat yang tertentu iaitu agar kita sentiasa mengabdikan diri kepada Allah SWT serta mentaatinya dengan melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Firman Allah Ta’ala dalam surah Adz –Dzaariyaat ayat 56 , berbunyi :

وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون

Kira-kira maksudnya: “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku.”

Allah SWT telah menjanjikan pahala bagi mereka yang sentiasa beriman dan bertakwa kepadanya sebagai jaminan untuk mencium bau syurga dan juga memberikan dosa dan api neraka kepada mereka yang mengkufuri perintahnya. Segala amalan kita didunia akan terputus apabila kita kembali menghadap ilahi. Namun terdapat 3 amalan sahaja yang masih dterima Allah SWT sebagai pahala kita di akhirat nanti meskipun kita sudah meninggalkan dunia fana ini. Amalan-amalan tersebut adalah:

1) Amal jariyah
2) Ilmu yang bermanfaat
3) Anak soleh yang mendoakan ibu bapanya.

Di sini jelas menunjukkan kepada kita betapa tingginya nilai rahmat dan kasih Allah SWT terhadap hamba-Nya, memberikan peluang untuk memperolehi pahala walaupun kita sudah berada di alam barzakh. Sekarang terserahlah kepada kita untuk mengambil peluang keemasan ini selagi hayat masih ada.

Apabila manusia sudah dikebumikan selepas kematiannya maka rohnya berada di alam barzakh. Barzakh maksudnya dinding. Dinding yang memisahkan manusia yang hidup dengan manusia yang berada di alam barzakh. Roh manusia tak boleh balik kedunia samaada di bulan Ramadan atau bulan-bulan yang lain. Roh manusia di alam barzakh bagi seorang mukmin yang beriman dan bertakwa adalah seperti taman-taman syurga tetapi bagi orang kafir , munafik, pelaku dosa-dosa besar maka alam barzakh adalah satu lubang daripada lubang-lubang api neraka. Setiap pagi dan petang diperlihatkan tempat duduknya di neraka. Nauzubilahiminzalik.

BENARKAH ROH PULANG KE RUMAH DALAM BULAN RAMADHAN?

Mesti ramai orang kita percaya yg roh orang-orang yang dah meninggal akan pulang ke rumah jenguk keluarga dia pada bulan Ramadan ini. Betul ke ni?.

Jawapan 1: “Kalaupun berlaku sungguh, ia akan berlaku, tetapi bukan daripada suami. Tetapi ia dilakukan oleh makhluk lain yang bernama Qarin (jin pendamping manusia) . Qarin ini memang wujud, dalam al-Quran al-Karim dan hadis riwayat Muslim” Dipetik dari kitab: “Menjawab Persoalan Makhluk Halus: Kaitannya Dengan Penyakit Dan Pengubatan – Bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din”.

Dalam hadis dhaif yang lainnya, apabila tiba bulan Ramadan, semua roh berkumpul di Lauh Mahfuz memohon kepada Allah untuk kembali ke bumi. Ada roh yang dibenarkan pulang ke bumi dan ada yang tidak dibenarkan. Roh yang dibenarkan pulang adalah kerana amalan baik mereka semasa hayat mereka ataupun ada penjamin-penjamin yang mendoakan mereka. Manakala roh-roh yang tidak dibenarkan pulang disebabkan kesalahan mereka semasa hayat mereka akan terus di penjara di Luh Mahfuz.

Jawapan 2: Terdapat juga ulama berpandangan bahawa roh orang yang telah mati boleh bertemu dengan roh orang hidup ketika mereka sedang tidur (melalui mimpi). (Kitab Ar-Ruh, Ibn Qayyim, ms 20)

Tafsir firman Allah di surah Az-Zumar ayat 42.

Allah berfirman maksudnya : “Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yg tidak mati (dalam masa tidurnya), kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskn balik jiwa yg lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikn kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)"

Jawapan 3 : Jika roh itu boleh kembali dan tinggal bersama keluarganya selama masa tertentu, tentu yang paling layak mendapatkan keadaan ini adalah roh para nabi, para sahabat, atau para syuhada yang meninggal di medan jihad. Allah tempatkan roh mereka di syurga, dan terpisah sepenuhnya dengan alam dunia.

Syaikh Abdurrahman bin Nashir Al-Barrak pernah ditanya, benarkan roh orang yang meninggal akan kembali ke keluarganya dan dapat melihat semua keadaan keluarganya selama 40 hari?
Jawapan beliau :

Seseorang setelah meninggal, dia menghilang dari kehidupan dunia ini, dan berpindah ke alam barzakh. Dan rohnya tidak kembali ke keluarganya, dan tidak mengetahui semua keadaan keluarganya. Khabar yang menyebutkan bahawa roh kembali ke keluarga selama 40 hari adalah khurafat, yang sama sekali tidak memiliki dalil. Demikian pula si mati, dia tidak mengetahui keadaan keluarganya, kerana dia tidak ada di tengah-tengah mereka. Mereka sibuk dalam kenikmatan atau azab. (Fatwa Islam, 13183)

Jawapan 4: Ada beberapa catatan yang menunjukkan bahawa keyakinan ini adalah keyakinan yang menyimpang dan bertentangan dengan Al-Quran dan sunnah :

Allah mengingkari permintaan orang mati untuk dikembalikan ke dunia. Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka,berkatalah ia:”Wahai Tuhanku,kembalikanlah daku(hidup semula di dunia) supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tnggalkan”. sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu hanyalah perkataan-perkataan yang dia ucapkan saja. dan di hadapan mereka ada dinding (alam barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan. (QS. Al-Mukminun ayat 99 – 100)

Kesimpulannya, alam berkenaan roh ini hanya amat sedikit yg kita ketahui. Sesungguhnya yang Maha Mengetahui adalah Allah SWT jua. Sesuai dgn firman-Nya yg bermaksud “ Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan :Roh itu dari perkara urusan Tuhanku;dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja” (Surah Al-Isra ayat 85).
 

Dalam bulan Ramadan syaitan di belenggu atau di ikat : Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda:

إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ

“Apabila masuk sahaja Ramadhan, maka pintu-pintu Jannah (Syurga) pun dibuka, pintu-pintu jahannam ditutup, dan syaitan-syaitan pula dibelenggu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 11/55, no. 3035)

إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ

“Apabila tiba saja malam pertama bulan Ramadhan, dibelenggulah syaitan-syaitan dan jin-jin yang ganas (yang besar). Pintu-pintu Neraka ditutup dan tiada satu pun terbuka. Pintu-pintu Syurga pula dibuka dan tiada satu pun yang tertutup.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 3/103, no. 618. Ibnu Khuzaimah, 3/188, no. 1883. Dinilai hasan oleh al-Albani)


1155. Soalan : Ustaz, apakah yang boleh kita buat agar kita senantiasa istiqamah buat ibadah solat tahajjud ,kalau kita gagal istiqamah bangun ,adakah disebabkan makanan harian kita?

Jawapan :


Solat tahajud adalah salah satu solat sunat muakkadah yang sangat di tuntut dalam Islam. Kebaikan solat ini di jelaskan sendiri oleh Allah SWT di dalam al-Quran . “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. (Surah al-Israa’ ayat 79)

Firman-Nya lagi yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”. (Surah al-Dzaariyaat ayat15-18).

Cara Mudah Bangun Malam Untuk Solat Tahajud.

1. Hal yang paling utama agar boleh bangun malam adalah minta tolong kepada Allah SWT dengan berdoa sebelum tidur. Jika sudah terjaga daripada tidur maka cepat-cepat bangun.

2. Biasakan tidur siang, 30 minit sebelum zuhur atau tidur selepas solat zuhur. Sabda Rasullah SAW "Lakukanlah Qailulah, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak berani Qailulah" (Hadis Riwayat ai-Tabrani)

Apa itu Qailulah ? Qailulah ialah tidur sebentar pada siang hari.

Bila waktu paling sesuai untuk amalkan Qailulah ?
Mengikut pengalaman mereka yang istiqamah mengamalkan Qailulah, waktu paling baik ialah antara pukul 12 tengahari sehingga sebelum Zuhur. Namun boleh juga dilakukan selepas Zuhur.

3. Tidur lebih awal, jangan biasakan tidur lewat yang menyebabkan sukar nak bangun tahajud. Selewat-lewatnya jam 11 malam.

4. Ketahui jadual tidur anda setiap malam, dengan begitu anda boleh menentukan jam malam anda untuk tidur sesuai dengan keinginan anda mau bangun jam berapa pun. Untuk mengetahuinya cubalah uji dengan tidur lebih awal, kemudian pasang jam locing dengan waktu 4 pagi jika terjaga cuba bangun dan mulakan solat 2 rakaat dulu.

5. Mintalah isteri anda untuk membangunkan anda pada sepertiga malam kerana biasanya wanita akan lebih mudah terjaga.

6. Anda juga boleh minta bantuan pada teman-teman untuk saling membangunkan baik melalui telefon mahupun sms, dengan begitu anda juga sudah menerapkan tolong menolong dalam kebaikan.

7. Banyak-banyak minum sebelum tidur, dengan begitu kita akan sering buang air kecil. Setiap kita buang air kecil maka minumlah kembali air putih yang banyak, dengan begitu kita akan mudah terjaga sampai pada waktu sepertiga malam.

8. Sebagai latihan, anda boleh mulakan bangun malam anda setengah jam sebelum subuh dan solat yang ringan, jika sudah terbiasa maka dipercepat lagi menjadi 1 jam sebelum subuh dengan jumlah rakaatnya ditambah, begitu seterusnya.

9. Berwuduk, membaca Al Quran sebelum tidur dan gunakan adab-adab dan cara tidur yang diajarkan Rasulullah SAW.

10. Jangan Makan terlalu banyak sebelum tidur, kerana akan membuat kita menjadi malas untuk bangun tahajud.

11. Jangan tidur dalam keadaan berhadas besar kerana juga akan membuat kita malas untuk bangun tahajud.

12. Jangan berbuat maksiat, kerana setiap dosa yang kita lakukan akan membuat kita sukar bangun malam. Seterbiasa apapun anda bangun malam jika pada siang harinya anda berbuat maksiat maka insya Allah pada malam harinya anda akan akan untuk bangun malam.

Ini adalah beberapa cara yang boleh anda cuba lakukan agar mudah bangun malam. Semoga Tips Cara Mudah Bangun Malam Untuk Solat Tahajud di atas boleh bermanfaat bagi anda semua.