Thursday, May 15, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 114 ( Cara-cara Sujud Dalam Solat, Ayat al-Quran Untuk Mohon Mendapat Zuriat, Cara Menyambut Bayi Baru Lahir, Urusan Jenazah, Huraian Muhasabah dan Muraqabah).

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 114 adalah menjelaskan persoalan cara-cara sujud dalam solat, ayat al-Quran untuk mohon mendapat zuriat, cara menyambut bayi baru lahir, urusan jenazah, huraian muhasabah dan muraqabah.

626. Soalan : Ustaz. Saya masih confused dalam bab tak boleh turun sujud seperti turun nya unta duduk. Ada yang kata lutut unta di kaki depan,so mana tangannya. Ada yang kata tak boleh menghentak tak lutut ke lantai. So org gemuk bagaimana. Minta ustaz jelaskan berserta nas nya?

Jawapan : 

Semasa turun untuk sujud hendaklah meletakkan dua lutut dahulu baru meletakkan kedua tangan dilantai. Dalam satu hadis yang menceritakan perbuatan Rasulullah yang antara lain menyebut bahawa ketika hendak bersujud, Baginda meletakkan kedua-dua lututnya terlebih dahulu sebelum kedua-dua tangannya. Setelah meletakkan kedua-dua lutut, Baginda kemudian meletakkan kedua-dua tangan, lalu kening, kemudian hidung. Hadis tersebut diriwayatkan dalam sebuah hadis oleh Syarik, dari Ashim bin Kulaib, daripada ayahnya, daripada Wa`il bin Hajar. Wa`il mengatakan bahawa dia pernah melihat ketika Rasulullah hendak sujud, Baginda meletakkan kedua-dua lututnya sebelum kedua-dua tangannya. Dan ketika bangkit, Baginda mengangkat kedua-dua tangan sebelum mengangkat kedua-dua lututnya. Dalam soal sujud ini, tidak ada yang meriwayatkan hadis yang bertentangan dengan keterangan tersebut. melakukan sujud dan sujud perlulah tidak meletakkan dua lengan di sejadah (seperti anjing tidur) . Sah solat akan tetapi ia dikategorikan sebagai orang yang melakukan kesalahan didalam solat, ia mengurangkan pahala solat malah ia mengurangkan darjat kekhyusukkan. Tidakkah solat ini berdasarkan hadis Nabi SAW: 

{{صلوا كما رأيتموني أصلي}}

"Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat". 

Ketahuilah, sebaik-baik solat ialah dengan menurut sifat atau cara Nabi SAW bersolat! 

Kesilapan didalam sujud yang disamakan seperti cara anjing. 

Disebalik meniru cara-cara Nabi SAW, ada juga manusia yang telah meniru secara tidak langsung gaya-gaya binatang (lihat Al-Qaul Al-Mubin fi Akhtaa' Al-Mushaaliin). Ini termasuklah meniru gaya anjing didalam sujud mereka. Sunnah didalam sujud bagi meluruskan sujud sebagaimana yang diriwayat oleh Anas bahawa Nabi SAW bersabda : 

{{اعتدلوا في السجود ولا يبسط أحدكم ذراعيه انبساط الكلب }}

"Luruskanlah kalian dalam sujud dan jangan kamu menghamparkan kedua lengannya seperti anjing menghamparkan kakinya" (Hadis Riwayat al-Bukhari no:788, Muslim n:493. )

Sheikh Ibn Utsaimin (Al-Sharh Al-Mumti', 3/168) didalam mengulas hadis diatas, beliau mengatakan : 

أي: اجعلوه سجوداً معتدلاً ، لا تهصرون فينـزل البطن على الفخذ، والفخذ على الساق ولا تمتدون أيضاً كما يفعل بعضُ النَّاس إذا سجد، يمتد حتى يقرب مِن الانبطاح، فهذا لا شكَّ أنَّه مِن البدع وليس بسنَّةٍ، فما ثبت عن النَّبيِّ صلى الله عليه وسلم ولا عن الصحابة فيما نعلم أنَّ الإنسانَ يمدُّ ظهره في السجود ، إنَّما مَدُّ الظهر في حال الركوع ، أما السجود فإنَّه يرتفع ببطنه ولا يمده.

"Hendaklah meluruskan sujud, jangan membongkok ketat sehingga perut direhatkan diatas Peha, dan tidaklah melebarkan sebagaimana orang melakukan semasa mereka sujud, sehinggakan kelihatan solah-olah ia sedang berbaring menggunakan kepala mereka. Tidak dapat dinafikan, ini merupakan satu bid'ah dan bukan sunnah. Ia tidak diriwayatkan dari Nabi saw, atau mana-mana Sahabat, sejauh yang kami tahu, seseorang itu hendaklah memanjangkan (stretch) belakangnya semasa sujud. Dia juga harus memanjangkan belakangnya semasa rukuk, tetapi didalam sujud ia harus menaikkan perutnya dan bukan menghadapankannya".[Sheikh Ibn Utsaimin. Al-Sharh Al-Mumti' - 3. Riyad : Muaasasah Al-Risalah.]

Menurut Muhammad Sideq Al-Minshawi, menghamparkan tangan yang dilihat seolah-olah berbaring merupakan satu kesalahan didalam solat, dan ia bertentangan dengan Hadis Nabi SAW. Kata beliau : 

بسط الذراعين، وضم الإبطين : هذا من الأخطاء المنتشرة عند مصلين، هو مخالف لهديه (ص): ((فكان لا يفترش ذراعيه، بل كان يرفعهما عن الأرض ويباعدها عن جنبيه حتى يبدو بياض إبطه من ورائه)). 

وكان النبي (ص) يقول : ((ولا يفترش أحدكم ذراعيه افتراش الكلب))، في رواية : ((لا يبسط )).

"Menghamparkan lengan dan termasuk ketiak : Perkara kesalahan ini sangat berleluasa dikalangan orang yang bersolat[a], ia adalah bertentangan dengan cara Nabi SAW: ((Beliau mengangkat kedua lengannya dari lantai dan menjauhkannya dari lambungnya sehingga warna putih ketiaknya terlihat dari belakang)) 

Nabi SAW bersabda : ((dan jangan berbaring seseorang diatas lengannya seperti berbaring anjing)) didalam riwayat lain : ((dia tidak menghamparkannya))[c]."[ Muhammad Sideq Al-Minshawi. Akhtahu' Al-Mushalliin. Kaherah : Dar Al-Fadhilah, 1996 ms 91.]

Begitu juga dengan pendapat Ibnu Taimiyah [Sheikh Ibnu Taimiyah. Fatawa Solaati. Beirut : Dar Al-Kotob, 2002. ms 73 ]
Kata beliau : 

وهذا من المخالفات التي شاعت وانتشرت بين المصلين، وهذا أمر مخالف لهدي النبي (ص).

"Ini merupakan satu perlanggaran yang berleluasa dikalangan mereka yang bersolat, dan ini adalah perkara yang melanggar petunjuk Nabi SAW." 

Shiekh Nasyiruddin Al-Albani didalam Ringkasan Sifat Solat Nabi menyatakan bahawa wajib meninggikan tangan agar tidak terkena tanah. Kata beliau : 

ويرفع ذراعيه عنالأرض، وجوباً، ولا يبسطهما بسط الكلب. 

"Harus menjauhkan lengannya dari tanah, dan ini wajib, dan TIDAK meletakkan (melebarkan)ianya di tanah seperti anjing."

627. Soalan : Ustaz,saya nak tahu ada tak ayat dalam Al-Quran nak dapat anak perempuan..terima kasih?

Jawapan : 

Dalam al-Quran ada doa untuk mendapat zuriat (samaada anak lelaki atau anak perempuan) untuk pengkhususan untuk mendapat anak perempuan wallahu a'lam belum jumpa lagi doa tersebut.

Ada sesetengah pasangan perlu mengambil masa yang lama untuk memperoleh zuriat dan ada juga yang tidak mempunyai zuriat sehingga tua disebabkan perkara-perkara tertentu. Tetapi perlu diingat bahawa semua yang berlaku itu adalah dengan izin dan kehendak Allah SWT.

Oleh yang demikian, mereka yang beriman dan percaya dengan ketentuan-Nya akan redha dengan segala apa yang terjadi terhadap diri mereka. Akan tetapi itu tidak bermakna kita hanya perlu akur dan berserah dengan apa yang terjadi tanpa berusaha bersungguh-sungguh untuk memiliki zuriat. Dalam Islam terdapat tips atau amalan yang boleh diamalkan agar dipermudahkan mendapat zuriat yang baik dan soleh.

Pertama, bersangka baik dengan Allah SWT serta berdoa dengan membaca ayat 38, surah Ali-Imran yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa.”

Al-Imam Al-Samarqandi meriwayatkan bahawa Nabi Zakaria a.s pernah merasakan baginda tidak akan mendapat zuriat sehinggalah baginda melihat anugerah Allah SWT. Maka baginda meyakini bahawa Allah SWT berkuasa mengurniakan baginya anak. Tambahan pula, baginda memegang amanah menjaga kunci rumah Qurban yang diwarisi turun-temurun. Keturunan dalam ayat ini bermaksud anak yang sihat sejahtera dan berakhlak.

Kedua, bersangka baik dengan Allah SWT serta berdoa dengan ayat 89, surah al-Anbiya yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkau jua sebaik-baik yang mewarisi.” 

Ayat ini juga berkenaan dengan kisah Nabi Zakaria a.s. untuk memperoleh anak yang baik bagi menyambung zuriatnya.Amalkan membaca doa ini bersama doa dalam surah Ali-Imran tadi untuk mendapat zuriat. Selain itu berikhtiarlah dengan perkara-perkara yang dibenarkan syarak. 

Pasangan suami isteri juga dinasihatkan supaya memperbanyakkan sedekah, puasa sunat dan qiamullail untuk mendapat anugerah Allah SWT yang hebat ini.

Bagi ibu yang mengandung, persediaan rohani dan adab penting semasa mengandung bagi menentukan tingkah laku anak yang bakal dilahirkan samada baik atau sebaliknya. Untuk mendapat anak yang baik dan soleh, terdapat amalan yang patut diamalkan oleh kedua-dua ibu bapa anak itu sendiri, iaitu:

1. Memperbanyakkan taubat dan istighfar. Ibu bapa yang banyak melakukan taubat dan istighfar, Allah SWT. sentiasa mengasihi dan merahmati kedua-duanya dan juga segala isi dalam rumahtangga termasuk anak dalam kandungan.

2. Berpuasa sunat. Untuk suami banyak berpuasa sunat atau sekurang-kurangnya semingu dua kali atau sehari pada hari Isnin dan Khamis atau salah satu daripada hari-hari berkenaan atau pada hari-hari putih (13, 14 dan 15 bulan Hijrah). Perlu diingatkan, amalan puasa sunat cuma digalakkan dilakukan oleh suami atau bapa (bagi anak) sahaja seperti mana dilakukan oleh Nabi Zakaria a.s. Bagi ibu, sekiranya tidak memberi kesan kepada kesihatan bayi dalam kandungan bolehlah diamalkan.
.
3. Tidak bercakap yang sia-sia. Ketika isteri sedang mengandung, suami seboleh-bolehnya tidak bercakap yang sia-sia, lebih-lebih lagi yang boleh mendatangkan dosa seperti mengumpat, menfitnah dan sebagainya. Sebaliknya, basahilah lidah dengan berzikir dan bertahmid atau bercakap yang mendatangkan faedah.

4. Banyak berdoa. Sentiasa berdoa agar Allah SWT mengurniakan anak yang soleh atau solehah. Sekurang-kurangnya setiap lepas sembahyang, bacalah doa khusus bagi ibu yang sedang mengandung.

5. Banyak membaca al-Quran. Secara umumnya, elok membaca al-Quran dengan semua surah.

Amalan-amalan untuk memperolehi zuriat :

1. Setelah berusaha dengan perubatan moden dan kampung untuk memperoleh zuriat bahkan telah berdoa kepada Allah, namun belum memperoleh zuriat, maka kita dituntut supaya banyak bersabar dan jangan dalam keadaan tertekan. Perasaan yang tidak stabil akan mengganggu keadaan dalam diri anda dan ini akan menyukarkan lagi bagi anda berdua untuk memperolehi zuriat.

2. Di dalam berdoa kita disuruh menaruh harapan seratus peratus kepada Allah dan yakin bahawa Allah berkuasa untuk mengabulkan doa kita tersebut. Yang paling penting awali doa dengan pujian kepada Allah dan selawat kepada Rasulullah SAW begitu juga dalam menutup doa.

3. Mungkin anda semua boleh mencuba amalan di bawah ini, semoga Allah memberikan jalan penyelesaian yang terbaik untuk anda dalam penantian untuk mendapatkan zuriat.

628.Soalan : Saya ingin tahu apakah yang patut di lakukan apabila menyambut kelahiran bayi....saya hanya tahu azan di telinga kanan,qamat di telinga kiri..?

Jawapan : 

Dalam ajaran agama Islam, seseorang ibu yang sudah melahirkan anak dan kemudiannya baru sahaja menimang cahaya mata adalah amat disarankan untuk menyambut kelahiran bayi baharunya. Namun begitu, tidak banyak perbezaan dalam melaksanakan adab menyambut kelahiran bayi dalam Islam sesuai dengan sifat agama Islam itu yang mudah dan praktikal.

Panggilan bagi menyambut anak lelaki adalah disebut "Salamun Zakrun" yang bererti: Salam sejahtera anak lelaki.Manakala panggilan untuk menyambut anak perempuan adalah disebut sebagai "Salamun An-Nisaa" yang bererti: Salam sejahtera anak perempuan.

Langkah menyambut anak yang baru dilahirkan :

1. Sesudah sahaja anak yang baru dilahirkan dari rahim ibu,maka adalah diperlukan untuk membersihkan/dimandikan anak itu dengan betul dan baik agar posisi anak itu bersih dan sihat. Selalunya amanah membersihkan anak yang baru lahir itu adalah di bawah tanggungjawab jururawat, bidan, bapa anak atau mereka yang penyayang serta pengasih kepada bayi serta berkebolehan meyempurnakan tugasan itu. Bayi yang sudah dibesihkan perlulah dililit/dipakaikan dengan kain tuala yang bersih dan lembut sebaiknya berwarna putih.

2. Sunat/Sunnah memberi ucapan tahniah dan mengembirakan mereka yang baru sahaja mendapat anak.Tujuannya adalan untuk menghulurkan rasa kegembiraan bersama kepada siibu dan keluarga yang baru sahaja memperolehi cahaya mata selain mengeratkan kemesraan dan ikatan silaturrahim dikalangan mereka. Adalah disarankan bagi pengucap khabar gembira untuk menghulurkan buah tangan tahniah berupa hadiah,hamper,bunga-bungaan ataupun wang saguhati kepada penimang anak.

3. Sunat untuk diazankan di telinga kanan bayi lelaki dan perempuan yang masih bayi sesudah kelahirannya.Dan juga disunatkan untuk diiqamatkan di telinga kiri bayi lelaki dan perempuan yang masih bayi sesudah kelahirannya. Serta disunatkan juga membaca ayat-ayat suci Al-Quran pada bayi tersebut. Bacaan tidak perlulah dibaca terlalu kuat cukup sekadar memperdengarkan bacaan pada bayi sahaja.Salah satu hikmah(kelebihan)melakukannya adalah supaya kalimat seruan tersebut tentang kebesaran Allah menjadi seruan pertama yang bayi dengar.

4. Sunat 'Tahnik' atau belah mulut yang dilakukan selepas anak dilahirkan.Tahnik ialah mengunyah buah kurma(tamar)(selalunya dilakukan oleh orang yang dianggap soleh dan bertakwa kepada Allah seperti Imam, Bilal(Muazzin), Ulama, Syeikh dan sebagainya), dan seterusnya diletakkan sedikit pada lidah bayi yang baru dilahirkan. 

Selain daripada Kurma, manisan lain seperti titisan madu, nira nipah atau kelapa juga boleh digunakan. Tujuannya adalah untuk melazimkan bayi membuka mulut dengan mendapatkan ganjaran benda manis. Amalan ini membuatkan bayi mahu menghisap apabila ibu menyusukan bayi tersebut kerana sentuhan di lidah mempunyai kesan manis dan bukan kesan yang tidak menyelesakan. 

5. Sunat menamakan anak yang baru dilahirkan dengan dengan nama-nama yang baik.Menamakan anak boleh dilakukan pada hari pertama kelahiran anak tersebut sesudah bayi itu diazan dan diiqamatkan atau pada hari ke 7 anak tersebut di lahirkani.Nama yang kotor buruk serta menjatuhkan maruah perlulah dielakkan sama sekali.

6. Mencukur rambut Ini dilakukan sebaik-baiknya pada hari ketujuh kelahiranya, kemudian rambut itu ditimbang seberat emas atau perak dan disedekahkan pada fakir miskin, jika tidak mampu maka ditukarkan atas kadar wang atau sebagainya. Amalan bercukur ini mengandungi hikmah yang tertentu iaitu: dari sudut kesihatan, ia boleh menguatkan tenaga pertumbuhannya, menghilangkan selaput kulit kepala (iaitu sejenis cecair beku yang meliputi kulit kepala, juga dikenali sebagai kerak kepala) dan juga dapat memberikan daya kekuatan dan ketajaman pada penglihatan mata, bau dan pendengaran. 

Dari sudut kemasyarakatan bercukur mengalakkan umatnya bersedekah disamping menunjukkan kesyukuran kepada Allah di atas kurniaan-Nya. Walaupun disunatkan bercukur bagi orang Islam tetapi dilarang daripada melakukan Qaza’ iatu mencukur sebahagian kepala kanak-kanak dan meninggalkan sebahagian yang lain. 

Larangan ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri, ini untuk menunjukkkan sifat keadilan Allah SWT dan RasulNya SAW. di mana manusia diperintahkan supaya berlaku adil walaupun terhadap dirinya sendiri. Larangan mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian yang lain merupakan suatu perbuatan yang zalim kepada kepala kerana hal sedemikian menyebabkan sebahagian kepala akan ditutupi dan sebahagian yang lain terdedah tanpa rambut

7. Sunat "Aqiqah" bagi anak baru lahir.pada hari ke 7, 14 atau 21. Aqiqah yang membawa maksud penyembelihan binatang ternakan seperti lembu,kerbau,unta ataupun kambing yang dilakukan selepas kelahiran bayi(lebih afdhal(yang lebih baik) dilakukan pada hari ketujuh)sebagai tanda kesyukuran kepada Allah Taala. Aqiqah yang dilaksanakan ini dapat mendekatkan anak kepada Allah dan pelbagai faedah yang lain. 

Aqiqah dapat meninggalkan kesan psikologi pada anak kecil yang baru lahir agar dia dapat merasakan dirinya dihargai oleh keluarga dan masyarakat selain menggembleng perasaan kecil agar mampu berkorban dan redha dengan ketentuan Allah.Atucara ini biasanya dilakukan pada majlis kesyukuran yang biasanya turut diselitkan dengan aktiviti mengunting rambut bayi,Nasyid, selawat,bacaan Al-Quran, 

Perbuatan menyembelih binatang selalunya tidak dilakukan dihadapan mata bayi yang hendak diraikan tetapi dilakukan sebelum majlis berlangsung.Makanan dan minuman turut diberikan pada hadirin dan anak fakir miskin dan yatim piatu.

8. Sunat (berkhatan/berkhitan/bersunat).Perkara ini menjadi sunat kepada kaum perempuan dan merupakan suatu kewajipan bagi lelaki.Namun begitu sesetengah Ulama menafsirkan berkhatan bagi lelaki adalah hanya dikategorikan sebagai Sunat Muakkat(Sunat yang amat dituntut oleh syariat Islamiah).

Tujuan berkhatan adalah untuk menjaga kesucian zahir dan batin umat manusia selain untuk menguatkan minda dan badan dan mencantikkan paras rupa dan wajah.Para saintis moden telah menggalakkan khatan kepada semua umat manusia bagi membendung masalah jangkitan penyakit kelamin yang merbahaya seperti HIV dan AIDS.Bagi kanak-kanak lelaki yang berumur antara umur 8 hingga 12 tahun boleh disunatkan oleh doktor manakala kanak-kanak lelaki dibawah umur itu serta kanak-kanak perempuan boleh disunatkan oleh doktor dan bidan yang berkebolehan.

Bagi kes kanak-kanak dan orang dewasa Muslim yang mencecah umur 13 tahun dan keatas pilihan melaksanakan kewajipan berkhatan boleh ditentukan untuk dilaksanakan oleh doktor mengikut kehendak dirinya dengan syarat tidak menimbulkan syahwat dan pelaksana pembedahan adalah mereka yang sama jantina atau muhrim..Bagi melaksanakan ibadah berkhatan ini,pengetahuan dalam bidang perubatan perlu ada pada pelaksana pembedahan serta Ibadah khatan boleh dilakukan selepas diadakan majlis kesyukuran.

629. Soalan :  Saya ada menziarahi kematian seorang hamba Allah. Dalam ramai-ramai saya menziarahi, ini prtama kali saya menyaksikan bahan-bahan seperti mayang pinang dianyam dan dibentukkn seperti gambar yang saya paparkan. Juga tangkai pokok selasih dan mayang pinang di lilit denagn tali kain kapan. Semua bahan-bahan tersebut diletakkan atas keranda arwah. Mohon pencerahan ustaz dan ustazah memang terdapat di sesebuah tempat ke diadakan seperti sedemikian?... Terima kasih..

Jawapan : 

Umat Islam sepatutnya tidak mengamalkan segala bentuk amalan yang tidak terdapat nas yang sahih daripada Rasulullah SAW. Di dalam portal JAKIM menjalaskan : Cara Mengkafan Mayat : Tidak terdapat pun bahan-bahan yang dinyatakan di atas untuk diletakkan di samping jenazah.

Menurut huraian ulama, 'kafan' yang wajib bagi mayat ialah sehelai kain yang dapat menutup aurat dan membalut tubuhnya.

Boleh digunakan sebarang kain yang biasa dipakai oleh si mati semasa hidupnya tetapi yang afdhal ialah kain putih seperti yang diterangkan dalam hadith yang lalu. Kain kafan, sungguhpun yang wajibnya ialah selapis, namun 'mayat lelaki' sunat dikafankan dalam tiga lapisan (tiga potongan kain), tiap-tiap satu dapat menutup seluruh badannya - dari hujung rambut hingga ke hujung kakinya.

Mayat lelaki tidak harus dikafankan dalam kain sutera kerana haram bagi lelaki memakainya semasa hidup. Sebaliknya mayat perempuan boleh dikafan dalam kain sutera ia halal dipakai oleh perempuan. Setengah ulama pula mengatakan makruh hukumnya jika mayat perempuan dikafankan dengan kain sutera kerana perbuatan yang demikian adalah membazir dan kain yang mahal-mahal lebih layak dipakai oleh orang yang hidup.

Jika sukar mendapat sebarang kain (kerana keadaan darurat), maka mayat boleh dikafankan dengan sebarang benda yang boleh membalut badan - seperti tikar, daun-daun pokok tanaman dan sebagainya.

'Mayat lelaki' juga harus dikafankan dalam lima lapis, iaitu tiga lapis tersebut tadi, ditambah dengan baju dan serban.* (Kerana Ibnu 'Umar r.a. telah mengkafankan mayat-mayat keluarganya dengan lima lapis termasuk baju dan serban)

'Mayat perempuan' pula sunat dikafankan dengan lima lapis**, iaitu kain yang membalut bahagian badannya; antara pusat dan lututnya; kemudian baju kurung; kemudian telekung yang menutup kepala; kemudian dua lapis kain lebar yang dapat membalut seluruh tubuhnya, dari hujung rambut hingga ke hujung kakinya.*** 'Mayat khunsa demikian juga.***
'Mayat kanak-kanak' sama hukumnya seperti 'mayat orang dewasa'.***

Belanja kain kafan dan lain-lain berhubung dengannya, hendaklah dari si mati. Kalau ia tidak tinggalkan harta, hendaklah ditanggung oleh warisnya, kalau tiada waris, hendaklah ditanggung oleh Baitulmal. Kalau Baitulmal tidak ada, atau Baitulmal ada tetapi sukar mendapat perbelanjaan, maka belanja mengkafannya ditanggung oleh orang yang mampu di kawasan itu.****

Jika si mati itu perempuan yang ada suami dan ia tetap taat (tidak menderhaka atau nusyuz pada suami), maka belanja mengkafannya ditanggung oleh suaminya yang mampu, sekalipun isteri yang mati itu kaya, atau telah diceraikan tapi dalam edah talaq yang boleh dirujuk, atau diceraikan dengan talaq yang tidak boleh dirujuk tetapi ia dalam keadaan mengandung.

630. Soalan : Mohon pencerahan dari muallim...apa yang dikatakan..Muhasabah...dan apa pula yang dimaksudkan dengan muqarabah..

Jawapan : 

MUHASABAH : Dari Syadad bin Aus r.a. berkata, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Orang yang pandai adalah yang menghisab (menilai) dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah SWT) (HR. Imam Turmudzi, ia berkata, ‘Hadits ini adalah hadis hasan’)

Gambaran Umum Hadis.

Hadis di atas menggambakan hidup di dunia merupakan rangkaian dari sebuah perancangan dan tujuan besar seorang hamba, iaitu mencari keredhaan Rabbnya. Dan dalam menjalankan tujuan tersebut, seseorang tentunya harus memiliki matlamat (ghayah), perencanaan (ahdaf), strategi (takhtith), pelaksanaan (tatbiq) dan penilaian (muhasabah).

Perkara terakhir merupakan pembahasan utama yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW. dalam hadis ini. Bahkan dengan jelas, Rasulullah SAW. mengaitkan muhasabah dengan kejayaan, sedangkan kegagalan akan berlaku apabila mengikuti hawa nafsu dan banyak angan-angan.

Hadis di atas dimulakan oleh Rasulullah dengan sabdanya, "Orang yang pandai (berjaya) adalah yang menghisab (menilai) dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan setelah kematian." Ungkapan sederhana ini sungguh menggambarkan sebuah pandangan jauh yang harus dimiliki seorang Muslim.
Seorang Muslim tidak seharusnya hanya berwawasan sempit dan terbatas, sekedar pemenuhan keinginan untuk jangka waktu terdekat sahaja. Namun lebih dari itu, seorang Muslim harus memiliki pandangan dan perancangan untuk kehidupannya yang lebih kekal abadi. Kerana orang yang berjaya adalah yang mampu mengatur keinginan yang sementara demi keinginan jangka panjangnya.

Orang bertakwa adalah yang ‘rela’ mengorbankan keinginan duniawinya, demi tujuan yang lebih mulia, ‘kebahagian kehidupan ukhrawi.’
Dalam Al-Qur’an, Allah SWT. seringkali mengingatkan hamba-hamba-Nya mengenai matlamat besar ini, di antaranya adalah dalam al-Qur'an Surah Al-Hasyr ayat 18–19.

Muhasabah inilah yang digambarkan oleh Rasulullah SAW. sebagai kunci pertama dari kejayaan. Selain itu, Rasulullah SAW. juga menjelaskan kunci kejayaan yang kedua, iaitu tindakkan selepas muhasabah. Maknanya setelah muhasabah harus ada tindakan untuk memperbaikinya.

Dalam hal ini diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya dalam hadis di atas dengan 'dan beramal untuk kehidupan sesudah kematian.’ Potongan hadis yang terakhir ini diungkapkan Rasulullah SAW. adalah penjelasan tentang muhasabah. Kerana muhasabah juga tidak akan memberi makna jika kita tidak memperbaikinya.

Terdapat hal menarik yang tersirat dari hadis di atas, khususnya dalam penjelasan Rasulullah SAW. mengenai kejayaan. Orang yang pandai senantiasa menilai terhadap amalnya, serta beramal untuk kehidupan jangka panjangnya iaitu kehidupan akhirat. Dan penilaian tersebut dilakukan untuk kepentingan dirinya, dalam rangka peningkatan kepribadiannya sendiri.

Sementara itu orang yang gagal disebut sebagai orang yang lemah kerana mengikuti hawa nafsunya, membiarkan hidupnya tidak memiliki matlamat, tidak memiliki perancangan, tidak ada tindakan dari perancangan.

MURAQABAH : Muraqabah terhadap Allah SWT adalah sifat jiwa seorang mukmin.Dia sentiasa merasai dan yakin sepenuh hati bahawa Allah SWT mengawasi segala perjalanan hidupnya, perasaannya, bisikan hatinya samaada dia berseorangan atau bersama orang lain.

Mukmin sejati yakin peristiwa di Padang Mahsyar tempat di hisap dengan seadil-adilnya segala amalan dan perbuatannya ketika di dunia ini. Perasaan takut, malu dan gementar untuk berhadapan di Mahkamah Allah SWT nanti membuatkan hati dan jiwanya sentiasa muraqabah terhadap Allah SWT.Ingatlah ketika di sini nanti lidah menjadi kelu, giliran anggota lain yang akan berkata-kata mengeluarkan pengakuan dan saksi bagi semua perbuatan si tuan badan. Mata, telinga, tangan dan kaki serta lainnya akan mengaku perbuatan itu dan ini. Ketika itu manusia akan terperangkap dengan perbuatan dosa kerana anggota badan sendiri tidak menyebelahinya. Terbongkarlah rahsianya!

Di tambah pula akan di tayangkan 'video clip' semua perbuatannya semasa di dunia.Ia tidak boleh berbohong dan berdalih. Semua ini akan menyingkap kekejiannya. Memalukan dan membawa segunung penyesalan kepadanya.

Orang yang muraqabah berperibadi tenang walau pun mendapat nikmat, pujian, atau menghadapi kesusahan, tohmahan dan seumpamanya. Dia merasa bimbang sekiranya kehilangan redha dan pertolongan dari Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan mencuri seorang pencuri, sekiranya ketika dia mencuri itu dia beriman. Tidak akan berzina seorang penzina, sekiranya ketika dia berzina itu dia beriman. Tidak akan meminum arak seorang peminum arak, sekiranya ketika dia meminum arak itu dia beriman.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maksud hadis diatas ketika dalam hati seseorang itu ada iman atau hatinya hadir, maka dia tidak akan melakukan kesalahan. Orang beriman tidak akan mencuri jika dia merasai pengawasan Allah SWT. Ini kerana, hati yang di miliki itu adalah hati yang sedar dan mampu merasai Allah SWT melihat serta mengawasi segala amalannya. Itulah hakikat muraqabah.

Hati orang mukmin dan hati yang dapat muraqabah bersedia menerima tarbiah dan peringatan, kerana segala peringatan akan memandu seluruh anggata kita melakukan ketaatan. Firman Allah SWT yang bermaksud "Oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermenfaat." (Surah al-A'laa, ayat 9). 

Dengan saling memberi peringatan ini juga akan melahirkan perasaan takut untuk melakukan kesalahan terhadap Allah SWT seperti firmanNya yang bermaksud "Orang yang takut kepada Allah akan mendapat pelajaran." (Surah al- A'laa, ayat 10).

Latihan paling utama ke arah mendidik hati yang hadir ialah menerusi ibadat solat. Apabila di dalam solat sesaorang itu merasai Allah SWT mengawasinya, maka ketika di luar solat atau di mana jua berada hatinya akan tetap muraqabah. Nabi SAW di waktu malam banyak menghabiskan masa untuk bersolat tahajud, bermunajat, berdoa dan memohon ampun kehadrat Allah SWT. Contoh peribadi mulia ini semestinya menjadi pedoman dan amalan setiap para daie untuk merapatkan hubungan dengan Allah SWT, mencari tenaga baru untuk meneruskan kerja-kerja dakwah dan tarbiah.

Saidina Umar al- Khattab r.a. berkata "Hisablah dirimu sebelum di hisab pada hari kiamat" Setiap mukmin perlu sentiasa muhasabah diri demi kebahagiaan masa hadapan. Firman Allah SWT yang bermaksud "Hai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah dan hendaklah (tiap-tiap) orang memperhatikan apa yang di usahakannya untuk hari esok (hari kiamat), dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan" (Surah ai- Hasyr ayat 18).


No comments:

Post a Comment