Sunday, May 25, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 117 ( Lelaki Berambut Panjang, Hukum Tidak Menjawab Salam, Solat Wuduk, Tanda Kena Santau dan Tempuh Iddah Lelaki).

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 117 adalah menjelaskan persoalan lelaki berambut panjang, hukum tidak menjawab salam, solat wuduk, tanda kena santau dan tempuh iddah lelaki.

641. Soalan : Ustaz nak tanya ni..Boleh ke lelaki berambut panjang?

Jawapan :  

Jika lelaki panjang rambutnya seperti wanita maka hukumnya haram kerana menyerupai wanita.Sabda Rasulullah SAW :

 عن ابن عباس رضي الله عنهما قال : لعن النبي صلى الله عليه وسلم المخنثين من الرجال ، المترجلات من النساء 

Maksudnya : Daripada Ibn Anas r.a berkata Rasulullah SAW melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita (HR al Bukhari) Maksud menyerupai dalam konteks hadis di atas termasuklah daripada aspek gaya rambut, rambut panjang bagi lelaki, perhiasan, penampilan, cara bercakap, cara berpakaian dan sebagainya.

642. Soalan :  Ustaz.apakah hukum jika seorang memberi salam kepada sesama islam tapi tak dijawab salamnya?

Jawapan : 

Memberi salam adalah sunat tetapi menjawab salam adalah wajib. Jika tak menjawab berdosa. Ini berdasarkan ayat al-Qur’an yang menyebut 

: وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُ‌دُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا 

Maksudnya “Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungankan segala sesuatu.” (Surah al-Nisa’ ayat 86).

Ayat ini merupakan ayat yang umum. Frasa dalam ayat وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ, maksudnya “apabila kamu diberi penghormatan”, ia tidak menyatakan إذا حياكم المسلمون , maksudnya “apabila orang Islam memberi penghormatan kepada kamu”, mengkhususkan orang Islam sahaja memberi salam atau penghormatan. Jawapan yang dianjurkan ialah dengan lafaz وعليكم . ini berdasarkan hadis Nabi yang menyebut “Apabila kamu diberi salam oleh ahli kitab jawablah “wa’alaykum” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Walaubagaimanapun, orang Islam tidak boleh dahulu memberi salam kepada bukan Islam. Ini berdasarkan sabda Nabi “Jangan memulakan salam kepada Yahudi dan Nasara jika kamu berjumpa salah seorang daripada mereka di jalan (Riwayat Muslim). 


Menjawab salam sesama muslim adalah wajib . Di galakkan menjawab salam dengan yang lebih baik atau sama seperti ucapan salam yang diucapkan.

643. Soalan : Tolong terangkan sembahyang sunat wuduk.perlukah kita buat setiap kali kita mengabil wuduk untuk solat?

Jawapan : 

Solat Sunat Wuduk adalah solat sunat yang dikerjakan 2 rekaat setiap kali selepas kita ambil wuduk. Kisah Bilal bin Rabah r.a. Dalam hadis riwayat al-Bukhari 4/428 [no 1149]dan Muslim 16/141 [no 6478] :

حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ نَصْرٍ حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ عَنْ أَبِى حَيَّانَ عَنْ أَبِى زُرْعَةَ عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ - رضى الله عنه - أَنَّ النَّبِىَّ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ لِبِلاَلٍ عِنْدَ صَلاَةِ الْفَجْرِ « يَا بِلاَلُ حَدِّثْنِى بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِى الإِسْلاَمِ ، فَإِنِّى سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَىَّ فِى الْجَنَّةِ » . قَالَ مَا عَمِلْتُ عَمَلاً أَرْجَى عِنْدِى أَنِّى لَمْ أَتَطَهَّرْ طُهُورًا فِى سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ إِلاَّ صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِى أَنْ أُصَلِّىَ . قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ دَفَّ نَعْلَيْكَ يَعْنِى تَحْرِيكَ

Maksudnya : “Rasulullah SAW bersabda kepada Bilal ketika solat Subuh : Wahai Bilal, ceritakan kepadaku dengan amalan paling baik engkau lakukan disisimu dalam Islam, Sesungguhnya aku mendengar bunyi hentakan seliparmu di hadapanku dalam Syurga. Jawab Bilal : Aku tidak melakukan sebarang amalan yang paling aku harapkan disisiku, aku tidak bersuci (berwuduk) pada satu-satu masa waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wuduk tersebut, dengan apa yang tidak diwajibkan bagiku untuk solat”

Manakala tentang solat sunat wuduk, ia bukan solat sunat qabliah. Solat sunat wuduk adalah merupakan solat sunat lain. Ia disunatkan selepas seseorang mengambil wuduk.
Dalam hal ini al-Nawawi ada menjelaskan :

ثم أفضل الصلوات بعد الرواتب والتراويح الضحى ثم ما يتعلق بفعل كركعتي الطواف إذا لم نوجبهما وركعتي الاحرام وتحية المسجد ثم سنة الوضوء

Maksudnya : “Kemudian yang solat paling afdal selepas sunat rawatib [sunat qabliah atau ba’diyah], dan tarawih ialah solat duha, kemudian apa yang berkaitan dengan sesuatu perbuatan seperti dua rakaat tawaf jika kita tidak berpendapat mewajibkannya, dua rakaat ihram, tahiyyat masjid dan kemudian sunat wuduk” [al-Majmuk jil.4, hlm. 26]
Dalilnya ialah hadis kisah Bilal di atas. Wallahu a'lam


644. Soalan : Saya ingin tanya macamana kita nak tahu yang diri kita telah di santau?

Jawapan : 

Santau terbahagi kepada dua:

Jenis Pertama – Santau yang diperbuat daripada adunan tertentu secara hakiki iaitu tidak melibatkan jin dan syaitan. Santau jenis ini agak mudah dirawat.

Jenis Kedua – Santau yang disertai dengan pemujaan terhadap jin dan syaitan. Santau ini juga dikenali dengan ‘Santau Angin’. Santau ini agak sukar dirawat kerana ia melibatkan jin yang memiliki sayap dan terbang di udara. Biasanya mangsa akan menjadi kurus kering.

Secara umumnya, santau ditujukan kepada mangsa bertujuan seperti berikut:

- Membalas dendam kepada si mangsa kerana sebab-sebab tertentu.
- Iri hati dan hasad dengki terhadap orang lain.
- Ingin menguji tahap kekuatan atau ketahanan kebatinan seseorang.
- Sebagai medan menguji tahap kekuatan dan kesan santau yang dimiliki.
- Membuang santau. Santau angin mesti dibuang pada masa tertentu. Jika tidak berbuat demikian, santau tersebut akan memakan tuannya dan keluargannya.
- Mencari rezeki melalui upah untuk kenakan santau kepada seseorang.

Bahan-bahan Santau:

- Bahan yang berbisa seperti bisa ular tedung senduk, ular kapak dan katak puru bertanduk.
- Bahan miang seperti miang buluh, ulat bulu, miang rebung, tali guni dan sebagainya.
- Bahan yang tajam dan melukakan seperti kaca, jarum, berus besi, rambut, kuku manusia atau binatang dan sebagainya.
- Bahan yang boleh membuat seseorang itu tidak dapat tidur seterusnya menjadikan bodoh seperti kura-kura, tulang dagu kera duku, uri kucing, biji mata kelawar dan burung jampuk.

Tanda-tanda terkena santau:

Jika seseorang mempunyai ciri-ciri berikut maka beliau disyaki telah terkena santau:
- Batuk yang berlarutan, kadang-kadang batuk berdarah dan bernanah dan keluar debu-debu kecil seperti serbuk kaca.
- Istihadah yang berpanjangan bagi wanita sehingga satu hingga tiga bulan atau lebih.
- Sakit tulang belakang terutamanya pada waktu Maghrib dan malam Jumaat. Kadang-kala sakit menjadi-jadi semasa hendak masuk waktu solat Jumaat.
- Sakit sesak nafas terutaman waktu Maghrib.
- Lenguh seluruh anggota badan.
- Kuku menjadi hitam dan nafas menjadi busuk.
- Mimpi jatuh dari tempat tinggi.
- Mimpi bahan-bahan yang miang seperti buluh dan ulat bulu.
- Mimpi bermain dengan benda tajam seperti pisau dan sembilu.
- Mimpi kanak-kanak kecil seperti menyusu kanak-kanak tersebut.
- Mimpi binatang yang menakutkan seperti ular.
- Mimpi makan makanan kotor seperti bangkai dan babi.
- Mimpi paderi Kristian, sami Budha atau mimpi pergi ke tempat-tempat ibadat agama bukan Islam.
- Sentiasa sakit pada tulang belakang
- Bawah matanya biru (Seperti orang tak cukup tidur)

Kesan-kesan Santau:

Antara kesan-kesan santau terhadap mangsa adalah seperti berikut:

- Boleh membawa maut dengan izin Allah s.w.t.
- Hilang daya ingatan
- Kulit akan menjadi merekah dan keluar air bisa dan nanah,
- Tabiat akan berubah seperti seorang yang dikenali sebagai seorang bersifat penyakit menjadi seorang yang panas baran.
- Badan menjadi bongkok disebabkan batuk yang berpanjangan.
- Badan menjadi licin kerana seluruh bulu di badan telah gugur.
- Kelopak mata menjadi kehitaman akibat daripada tidur yang selalu terganggu.
- Terjadinya ‘saratan’ atau kanser dan ketumbuhan.
- Jika hamil mungkin akan mengalami keguguran.
 

Untuk mengujinya secara bacaan ayat-ayat al-Quran : 

Cara-caranya adalah seperti berikut :

Membaca ayat-ayat dibawah ditapak tanganmu :

1. Baca surah Ibrahim ayat 42-52

2. Baca surah al-Mukminun ayat 98-118

3. Baca surah al-Falaq ayat 1-5.

4. Baca surah an-Nas ayat 1-6

Ketika membaca ayat-ayat di atas , letakkan mulutmu di telapak tangan kananmu, sehingga nafasmu atau sebahgian dari ludahmu mengenainya. Kemudian hulurkan tapak tangan kananmu itu di depan mata si sakit, dan mintalah dia melihatnya. Kalau dia sama sekali tidak boleh melihatnya, atau matanya menjadi silau atau nanar, atau dia melihat tapak tanganmu berwarna sangat merah atau hitam, atau dia melihat banyak salib di telapak tanganmu, atau tiba-tiba kepalanya terasa sangat pening, atau dia menunjukkan suatu gejala yang muncul secara tiba-tiba, maka dia , tidak diragukan, terkena sihir , santau atau gangguan jin atau syaitan atau kedua-duanya sekali.

[CATATAN : Sebaik-baiknya, usahakan dia sendiri yang membacanya ayat-ayat diatas. Kalau si sakit tidak boleh membaca sendiri maka kalian boleh bacakan ditapak tangan kalian dan hulurkan tangan kanan kalian di depan mata si sakit minta dia melihatnya.]


Untuk mengatasi santau ini cuba amalkan cara berikut : 1. Ambil tujuh helai sirih hijau atau daun teratai. Tumbuk dengan batu, besi atau apa saja sehingga lumat (boleh juga guna alat penghancur letrik - blinder)

2. Masuk tumbukan daun sirih atau daun teratai itu dalam satu mangkuk besar. Isi dengan air secukupnya untuk minum dan mandi seluruh badan.

3. Letakkan telapak tangan kananmu pada air yang sudah diisi tumbukan daun sirih.

4. Sentuhkan bibirmu pada mangkuk, sehingga nafas atau sebahagian dari ludahmu mengenainya.

5. Bacakan ayat-ayat berikut :

a. Baca Ayat Kursi. (Surah al-Baqarah ayat 255)

b. Bacakan Surah al-Kafirun.

c. Baca Surah al-Ikhlas.

d. Baca Surah al-Falaq.

e. Baca Surah an- Nas.

(Ayat-ayat dibawah adalah ayat penawar sihir)

f. Baca Surah al-A'raf ayat 117-119.

g. Baca Surah Yunus ayat 79-82.

h. Baca Surah Thaha ayat 65-69.

Setelah dijampi dengan ayat-ayat al-Quran di atas air itu diminumkan kepada si sakit, kemudian mandikan ia dengannya. Ulangi seminggu sekali dan sesudah itu in syaa Allah , sihir itu tidak akan ada lagi.

[Yakinlah kepada Allah SWT bahawasanya hanya Dia sahaja yang akan menyembuhkan segala penyakit termasuk penyakit disebabkan sihir hasil perbuatan jin dan syaitan]


645. Soalan : Saya ingin tahu iddah dan tempoh iddah bagi seorang lelaki..boleh terangkan..?

Jawapan : 

Suami juga ada tempoh iddah dalam keadaan berikut:

1. Apabila suami menceraikan isteri dengan talak raj’i dan suami hendak berkahwin dengan perempuan yang haram dihimpunkan bersama dengan isterinya (contoh adik beradik isterinya) maka hendaklah suami menunggu sehingga habis tempoh iddah isteri yang ditalak itu.

2.Jika suami sudah mempunyai empat orang isteri, kemudian menceraikan salah seorang daripadanya dengan talak raj’i, untuk dia berkahwin satu lagi maka dia mesti menunggu isteri yang diceraikan itu habis tempoh idah terlebih dulu.

Dari segi praktik perundangan, suami juga tidak dibenarkan berkahwin dengan wanita lain selagi tempoh iddah talak raj’i dengan bekas isteri belum tamat. Jika dia tetap ingin meneruskan hasrat itu, maka dia hendaklah memohon kebenaran berpoligami dari mahkamah.

Ini adalah untuk mengelakkan penyalahgunaan sijil cerai dengan cara memanipulasi fakta dan keadaan. Berlaku kes di mana suami menggunakan sijil cerai itu untuk bernikah dengan wanita lain, tetapi kemudian dia kembali rujuk kepada isterinya yang masih dalam tempoh iddah talak raj’i, tanpa memaklumkan kepada bekas isterinya itu bahawa dia sudah berkahwin lain. Akibatnya, dia mempunyai dua isteri pada masa sama. Perkara sebeginilah yang hendak dielakkan pihak berkenaan. (Dalam kes suami yang telah ada 4 isteri, diceraikan seorang, lepas tu belum tamat iddah isteri, dia bernikah lain seorang lagi, tiba-tiba, dia ruju' semula dengan bekas isteri yang telah diceraikan, maka beristeri 5 lah dia)

Bagaimanapun, menurut pengalaman saya, sijil cerai masih boleh dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam jika suami membuat satu akuan berkanun bahawa dia tidak akan berkahwin lain sehingga tempoh iddah isterinya tamat.

No comments:

Post a Comment