Tuesday, June 3, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 118 (Perkahwinan Ketika Usia Muda, Fadilat Surah al-Kahfi, Mengumpat Orang Bukan Islam, Niat Susukan Anak Dengan Susu Badan Dan Cara Atasi Hati Tak Tentram.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 118 adalah menjelaskan persoalan perkahwinan ketika usia muda, fadilat surah al-Kahfi, mengumpat orang bukan Islam, niat susukan anak dengan susu badan dan cara atasi hati tak tentram.

646. Soalan : Ustaz...saya ingin pendapat dari ustaz..saya baru berusia 22 tahun...2 bulan baru-baru ini,saya telah berkenalan dengan seorang perempuan yang beza umurnya 4 tahun tua dari saya (26 tahun)..alhamdulillah...dalam proses perkenalan kami, timbul suka sama suka..saya telah berjumpa dengan keluarga perempuan..alhamdulillah..semua keluarga mereka sukakan saya walaupun gaji saya berpendapatan rendah..malah..gaji perempuan pula lebih tinggi dari saya..bezanya 4-5 ratus dari gaji saya...jadi ustaz..saya ingin menikahinya,ingin menjadikan dia sbagai isteri saya yang sah..cukup kah perbelanjaan kami setelah kami berkahwin nanti ustaz..?

Jawapan :  

Alhamdulillah syukur di atas cita-cita saudara untuk mendirikan "masjid" walaupun di usia remaja semata-mata kerana Allah SWT untuk mengelakkan daripada melakukan zina. Jangan bimbang jika niat saudara murni semata-mata mencari redha Allah , Dia akan memudahkan urusan perkahwinan saudara dan di permudahkan juga kehidupan harian saudara dengan kecukupan dan rezeki yang berkat. Ramai orang bergaji besar tetapi apabila hati tak pernah bersyukur maka hidup sentiasa kekurangan dan tidak pernah cukup. Jangan rasa rendah diri jika gaji saudara kurang daripada gaji bakal isteri kerana cukup atau tidak semuanya bergantung kepada hati dan jiwa masing-masing. Sifat orang mukmin itu di dalam hatinya ada sifat qanaah tidak rakus dengan dunia waalupun memiliki satu lembah emas maka tetapi dia hendak lagi satu lembah emas yang lain.

Firman Allah SWT maksudnya,“Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”. (Surah An Nuur ayat 32)

Sebahagian para pemuda ada yang merasa bingung dan bimbang untuk berkahwin. Salah satu sebabnya adalah kerana belum mempunyai pekerjaan. atau sudah bekerja gajinya kecil.

Dan yang telah mempunyai pekerjaan pun tetap ada perasaan bimbang juga. Sebahagian mereka tetap ragu nilai gajinya. Dalam fikiran mereka, “apakah gaji ini cukup untuk berkeluarga dengan gaji sekian?”.

Ayat tersebut merupakan jawapan buat mereka yang ragu untuk melangkah ke jinjang pernikahan kerana alasan ekonomi.

Yang perlu ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini adalah kesanggupan untuk memberi nafkah, dan terus bekerja mencari nafkah memenuhi keperluan keluarga.

Allah akan menolong mereka yang menikah. Allah Maha Adil, apabila tanggungjawab para pemuda bertambah – dengan kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya, maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih.

Tidakkah kita lihat kenyataannya di masyarakat, ramai mereka yang semula miskin tidak mempunyai apa-apa ketika berkahwin, kemudian Allah memberinya rezeki yang berlimpah dan mencukupkan keperluannya?
.
Nabi SAW bersabda maksudnya, “Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya”. (HR. Ahmad 2: 251, Nasaiy, Tirmidzi, Ibnu Majah hadits no. 2518, dan Hakim 2: 160)

Bagi siapa sahaja yang berkahwin dengan niat menjaga kesucian dirinya, maka berhak mendapatkan pertolongan dari Allah berdasarkan penegasan Rasulullah dalam hadis ini. Dan pertolongan Allah itu pasti datang.

Firman Allah SWT maksudnya, “Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”. (Surah Ar Ruum ayat 21)

Firman-Nya lagi yang bermaksud, “Dan Tuhanmu berfirman : ‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina’ “. (Surah Al Mu’min ayat 60)

Ini juga janji Allah ‘Azza wa Jalla, bila kita berdoa kepada Allah nescaya akan diperkenankan-Nya. Termasuk di dalamnya ketika kita berdoa memohon diberikan pendamping hidup yang agamanya baik, cantik, taat, dan sebagainya.

Dalam berdoa, perhatikan adab dan sebab terkabulnya doa. Diantaranya adalah ikhlas, bersungguh-sungguh, merendahkan diri, menghadap kiblat, mengangkat kedua tangan, dan lain – lain.

Perhatikan juga waktu-waktu yang mustajab dalam berdoa. Diantaranya adalah berdoa pada waktu sepertiga malam yang terakhir dimana Allah ‘Azza wa Jalla turun ke langit dunia, dan pada waktu antara azan dan iqamah,

Perhatikan juga penghalang terkabulnya doa. Diantaranya adalah makan dan minum dari sumber yang haram, dan berpakaian dari usaha yang haram serta melakukan apa yang diharamkan Allah.


647. Soalan : Ustaz,sekiranya kita tak baca surah Al Kahfi pada waktu malam Jumaat, siang hari jumaat boleh tak?Tolong Ustaz jelaskan pada kami Ustaz...

Jawapan : 

Boleh baca waktu malam dan siang hari Jumaat. Terdapat beberapa kelebihan khusus yang telah disebut oleh Rasulullah SAW bagi sesiapa yang membaca surah al-Kahfi. Antara kelebihannya ialah pengampunan dosa di antara Jumaat dengan Jumaat jika dibaca pada hari Jumaat dan dijauhi fitnah al-Masih ad-Dajjal jika menghafal 10 ayat terawalnya.

1. Abu Sa`id al-Khudri radhiAllahu `anhu beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya :

“Barangsiapa membaca surat al-Kahfi pada hari Jumaat, maka ALLAH terangi ia dengan cahaya di antara dua Jumaat.”
(HR al-Hakim dan Baihaqi, disahihkan oleh al-Albani)

2. Daripada Ali yang meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda yang maksudnya:

“Barangsiapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya dirinya terpelihara hingga lapan hari, daripada segala fitnah yang melanda, dan jika keluar Dajjal sekalipun, dia akan terpelihara daripadanya.” (Al-Dhurr al-Manthur oleh al-Suyuti 5:355)

3. Daripada Abu al-Darda’ bahawa Nabi SAW telah bersabda yang maksudnya:

“Barangsiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al-Kahfi, pasti terlindung daripada dajjal.” (HR Muslim 809)



648. Soalan : Saya nak tanya sikit.....berdosa jugakah kita ,jika mengumpat kepada seseorang yang bukan beragama islam.?

Jawapan : 

Seseorang muslim tidak sewajarnya membiarkan lidahnya terbiasa dengan menyakiti orang lain. Nabi SAW bersabda:

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلا اللَّعَّانِ وَلا الْفَاحِشِ وَلا الْبَذِيءِ

Maksudnya: “Bukan seorang mukmin (yang bagus) jika suka mencela, melaknat, bertabiat buruk, dan bercakap keji.” (HR al-Tirmizi. Katanya: “Hadis ini Hasan Gharib”)

Kedua: Jika yang dimaksudkan dengan mengumpat di dalam soalan ini menyebut sesuatu keaiban yang ada pada tubuh badan orang kafir seperti hidung besar, mata sepet dan seumpamanya. Maka perkara ini adalah HARAM, sekalipun seorang kafir, umpatan seperti ini termasuk memperlekehkan ciptaan Allah SWT.

Kata al-Syeikh Zakaria al-Ansori: “Ghibah (menyebut keaiban) seorang kafir adalah haram, jika dia seorang kafir zimmi (tidak memerangi islam)… dan harus jika dia seorang kafir harbiy (yang memerangi islam)…” (Lihat Asna al-Matolib berserta Hasyiahnya 3/116)

Berbeza jika menyebut keaiban yang dizahirkan dari sudut akhlak seperti seorang penzina, peminum arak dan seumpamanya. Keaiban itu pula disebut bertujuan memberi peringatan kepada orang lain. Maka perkara ini tidak mengapa. Wallahu a’lam.


649. Soalan : Ustaz,saya nak tanya,saya pernah berniat untuk susukan anak saya sampai umur 2 tahun tanpa campur dengan mana-mana susu formula,tapi oleh sebab ada masalah kesihatan dan kena campur dengan susu formula bagaimana dengan niat yang telah dibuat mohon penjelasan  ustaz..terima kasih.

Jawapan : 

Niat yang baik jika tak buat tak mengapa, niat yang baik dapat satu pahala dan jika dilaksanakan niat yang baik akan mendapat 10 pahala. Jika susu badan tak cukup boleh campur susu formula. Allah SWT telah menjadikan susu ibu sebagai susu yang terbaik sebagai makanan utama bayi. 

Banyak bukti saintifik membuktikan kelebihannya berbandingan dengan susu formula, sama ada yang berasakan susu lembu atau soya.

Susu ibu menepati fitrah bayi yang masih belum matang untuk menghadamkan pemakanan mereka. Dalam Islam juga, susu ibu adalah pilihan terbaik. Dalam Al-Quran, kita telah diberikan arahan seperti berikut:


Firman Allah SWT maksudnya, “Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan” (Surah Al-Baqarah : ayat 233)


Begitu juga dalam ayat lain, Allah SWT telah memberitahu:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman: ayat 14)


Memang tidak dapat dinafikan bahawa susu ibu adalah susu yang lengkap nutrisi untuk kebaikan bayi, tidak dapat ditandingi oleh susu formula sama ada susu berasaskan susu lembu atau soya.


Menurut Akademi Pediatrik Amerika, susu ibu merupakan sumber makanan yang terbaik bagi bayi berumur satu tahun ke bawah, diikuti dengan susu formula berasakan susu lembu dan diikuti oleh susu soya.


Academi Pediatrik Amerika juga manasihatkan agar bayi diberikan susu ibu secara ekslusif sekurang-kurangnya sehingga berumur enam bulan, dan diberikan susu ibu bersama dengan makanan pejal yang lembut secara berperingkat-peringkat sehingga berumur setahun.


Adalah lebih baik jika bayi dapat disusukan sehingga berumur 2 tahun. Sayangnya ramai ibubapa yang masih memilih susu formula untuk diberikan kepaad anak-anak mereka.
 

Susu ibu lebih baik dari susu formula ini kerana:

1. Susu ibu mempunyai kesan yang sangat baik pada perkembangan mental jika diukur mengikut ‘Index Perkembangan Mental’ pada umur enam dan dua belas bulan.


2. Susu ibu mempunyai skor yang tinggi pada ujian kemahiran pergerakan (psychomotor) pada umur enam bulan berbanding dengan susu formula.


3.Bayi yang disusukan ibu mempunyai skor penguasaan bahasa yang lebih tinggi pada umur tiga dan enam bulan.


Oleh itu susu ibu haruslah dianggap sebagai susu yang terbaik, walaupun pengeluar susu formula berusaha untuk menandinginya dengan menambah pelbagai nutrisi yang lain.


650. Soalan : Ustaz pernah sekali saya rasa tak sedap hati,saya asyik terfikir benda-benda negatif saja.apa maksud tak sedap hati ni dan apa yang perlu saya buat? Minta ustaz beri pandangan..terima kasih..

Jawapan ; 

Jika hati tersa tak sedap banyakkan membaca al-Quran, berzikir dan mengikuti tazkiran di masjid atau surau. Semua amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT akan melahirkan hati yang tenteram, tenang, gembira dan rasa bahagia. Jika dalam hati telah terputus hubungan dengan Allah SWT akan menyebabkan hati rasa gunda gulana dan tidak tenteram. Kerana yang nak memberikan hati kita tenang dan tenteram hanyalah Allah SWT, semakin banyak kita mengingati Allah SWT hati akan terasa tenang dan gembira.

Firman Allah SWT maksudnya,".....Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk orang yang bertaubat kepadaNya. Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram" (Surah Ar-Radh (13) ayat 27-28)

No comments:

Post a Comment