Saturday, June 21, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 125 ( Umur Untuk Berkhatan, Wanita Cukur Bulu Kening, Hadis Sahih Kebaikan Isteri, Bersiwak Semasa Berpuasa dan Mengambil Pil Perancang Keluarga.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 125 adalah menjelaskan persoalan umur untuk berkhatan, wanita cukur bulu kening, hadis sahih kebaikan isteri, bersiwak semasa berpuasa dan mengambil pil perancang keluarga.

581. Soalan :  Ustaz..saya nak tanya berapakah umur yang sesuai untuk budak lelaki berkhatan....Jazakkallah ustaz...

Jawapan :  

Tiada satu had umur afdal untuk berkhatan. Yang penting, lelaki yang akan berkhatan sesuai untuk prosedur itu.

Tidak dinafikan, berkhatan jika dilakukan kepada lelaki ketika dalam peringkat bayi lebih mudah dijaga ibu berbanding peringkat kanak-kanak.

Kulit kulup yang dipotong itu kecil dan luka boleh sembuh dengan cepat. Jika ada masalah, hanya sedikit, iaitu apabila kulit dipotong itu terpotong pendek atau kulit kulup melekat pada kulit mukosa penghujung zakar.

Ketika umur muda, kemungkinan kulit penutup penghujung zakar melekat (adhesion) dan menyakitkan jika dilucutkan ketika proses berkhatan.

Jika budak itu gemuk, kemungkinan kulit terpotong pendek. Jangan bimbang. Ia jarang berlaku jika dilakukan oleh doktor berpengalaman.

Umur 10 tahun ke atas sesuai untuk dikhatankan. Oleh itu, berkhatan ketika umur anak lelaki mencecah 11 atau 12 tahun, ia boleh diterima.

Berkhatan menjadi wajib apabila pembukaan penghujung kulup zakar kecil, air kencing tak mudah keluar dan membuatkan kanak-kanak terasa sakit.

Ia dikenali sebagai phimosis apabila kulit kulup tak dapat dilurutkan untuk mendedahkan penghujung zakar.

Melalui berkhatan ia akan merawat masalah ini. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga mengisytiharkan, berkhatan baik untuk lelaki daripada segi pencegahan jangkitan penyakit kelamin, HIV dan kawalan kebersihan atau higen seksual.


582. Soalan :  Ustaz..saya nak tanya apa hukum wanita mencukur bulu kening? setiap kali nak kawin mesti mereka cukur bulu kening...bukan kah itu nama nya mengubah ciptaan Allah S.W.T..harap ustaz dapat berikan penjelasan dengan soalan saya ini...

Jawapan : 
 
Wanita mencukur bulu kening hukumnya haram kerana merubah ciptaan Allah SWT.Menurut pandangan syara’ adalah haram kepada seseorang perempuan mencukur bulu keningnya kerana itu bererti merubah ciptaan Allah dan merubah ciptaan Allah ini adalah dilarang keras di dalam Al-Quran. Perbuatan ini juga menyerupai masyarakat yang bukan Islam, sedangkan Islam sudahpun mempunyai identiti tersendiri dalam soal perhiasan.

Di dalam sebuah hadis yang sahih melarang keras seseorang perempuan itu menyambung rambutnya dan meminta orang lain menyambung rambutnya dan lain-lain, apalagi perbuatan mencukur bulu kening. Kecuali jika bulu-bulu tersebut tumbuh di tempat-tempat yang tidak sepatutnya tumbuh pada diri perempuan, dikala itu wajiblah menghilangkannya, seperti tumbuh bulu di pipi, tumbuh misai dan janggut seperti lelaki, kesemua bulu-bulu ini hendaklah dibuang kerana ia memburukkan paras rupa seseorang perempuan.

Perkara ini membabitkan satu riwayat berkaitan dengan riwayat Imam Al-Tabari, bahawa isteri Abu Ishaq pergi ke rumah Aisyah Ummul-Mukminin, isteri Rasulullah saw. Pada waktu itu rupa parasnya sangat jelita. Beliau lalu bertanya kepada Aisyah mengenai hukum seorang wanita yang membuang bulu-bulu yang terdapat di dahinya untuk tujuan menambat hati suaminya. Aisyah menjawab:

“Hapuskanlah kejelekan yang ada pada dirimu sedaya yang kamu mampu.”

Hadis kedua diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud yang menerangkan bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud:

“Allah melaknat wanita-wanita yang mencabut bulu kening atau bulu muka (al-Namisah) atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu keningnya (al-Mutanammisah), wanita yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik."

Perbuatan-perbuatan yang disebut diatas termasuk mengubah ciptaan Allah.


583. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan hadis-hadis sahih mengenai kebaikan isteri terhadap suaminya?

Jawapan : 

Ketaatan isteri pada suami adalah jaminan syurganya. Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda, “Jika seorang wanita melaksanakan solat lima waktunya, melaksanakan puasa pada bulannya, menjaga kemaluannya, dan mentaati suaminya, maka ia akan masuk syurga dari pintu mana saja ia kehendaki.” (HR Ibnu Hibban dalam Shahihnya)

Suami adalah syurga atau neraka bagi seorang isteri. Keredhaan suami menjadi keredaan Allah. Isteri yang tidak diredai suaminya kerana tidak taat dikatakan sebagai wanita yang derhaka dan kufur nikmat.

Suatu hari Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam pernah bersabda bahawa baginda melihat wanita adalah penghuni neraka terbanyak. Seorang wanita pun bertanya kepada baginda mengapa demikian? Rasulullah pun menjawab bahawa diantaranya kerana wanita banyak yang derhaka kepada suaminya. (HR Bukhari Muslim)

Kedudukan Hak Suami

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda, “Kalau aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada orang lain, maka aku akan memerintahkan para isteri untuk sujud kepada suaminya, disebabkan kerana Allah telah menetapkan hak bagi para suami atas mereka (para isteri). (HR Abu Dawud, Tirmidzi, ia berkata, “hadis hasan shahih.” Dinyatakan shahih oleh Syaikh Albani)

Hak suami berada diatas hak siapapun manusia termasuk hak kedua orang tua. Hak suami bahkan harus didahulukan oleh seorang isteri daripada ibadah-ibadah yang bersifat sunnah.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda, “Tidak boleh bagi seorang perempuan berpuasa sementara suaminya ada di rumah kecuali dengan izinnya. Dan tidak boleh baginya meminta izin di rumahnya kecuali dengan izinnya.” (HR Bukhari Muslim)

Dalam hak berhubungan suami-istri, jika suami mengajaknya untuk berhubungan, maka isteri tidak boleh menolaknya.

“Jika seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidur, kemudian si istri tidak mendatanginya, dan suami tidur dalam keadaan marah, maka para malaikat akan melaknatnya sampai pagi.” (HR Bukhari Muslim)

Berbakti Kepada Suami

Diantara kewajiban seorang isteri atas suaminya juga adalah, hendaknya seorang isteri benar-benar menjaga amanah suami di rumahnya, baik harta suami dan rahasia-rahasianya, begitu juga bersungguhnya-sungguh mengurus urusan-urusan rumah.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda, “Dan wanita adalah penanggungjawab di rumah suaminya, dan ia akan dimintai pertanggungjawaban.” (HR Bukhari Muslim)

Syaikhul Islam berkata, “Firman Allah, “Sebab itu maka wanita yang soleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka).” (Surah An Nisa [4] ayat 34)

Ayat ini menunjukkan wajibnya seorang isteri taat pada suami dalam hal berbakti kepadanya, ketika bepergian bersamanya dan lain-lain. Sebagaimana juga hal ini diterangkan dalam sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam. (Lihat Majmu Al Fatawa 32/260-261 via Tanbihat, hal. 94, DR Shaleh Al Fauzan)

Berkhidmat kepada suami dengan melayaninya dalam segala keperluan-keperluannya adalah diantara tugas seorang isteri. Bukan sebaliknya, isteri yang malah dilayani oleh suami. Hal ini didukung oleh firman Allah, “Dan laki-laki itu adalah pemimpin bagi wanita.” (Surah An Nisa [4] ayat 34)

Ibnul Qayyim berdalil dengan ayat diatas, jika suami menjadi pelayan bagi isterinya, dalam memasak, mencuci, mengurus rumah dan lain-lain, maka itu termasuk perbuatan munkar. Kerana berarti dengan demikian si suami tidak lagi menjadi pemimpin. Justru kerana tugas-tugas isteri dalam melayani suami lah, Allah pun mewajibkan para suami untuk menafkahi isteri dengan memberinya makan, pakaian dan tempat tinggal. (Lihat Zaad Al-Ma’aad 5/188-199 via Tanbihat, hal. 95, DR Shaleh Al Fauzan)

Bukan juga sebaliknya, isteri yang malah menafkahi suami dengan bekerja di luar rumah untuk keperluan rumah tangga.

Tidak Keluar Rumah Kecuali Dengan Izin Suami

Seorang isteri juga tidak boleh keluar rumah kecuali dengan izin suami. Kerana tempat asal wanita itu di rumah. Sebagaimana firman Allah, “Dan tinggal-lah kalian (para wanita) di rumah-rumah kalian.” (Surah Al Ahzab [33] ayat 33)

Ibnu Katsir berkata, “Ayat ini menunjukkan bahawa wanita tidak boleh keluar rumah kecuali ada keperluan.” (Tafsir Al Quran Al Adzim 6/408). Dengan demikian, wanita tidak boleh keluar rumah melainkan untuk urusan yang penting atau termasuk keperluan seperti memasak dan lain-lain. Jika bukan urusan tersebut, maka seorang isteri tidak boleh keluar rumah melainkan dengan izin suaminya.

Syaikhul Islam berkata, “Tidak halal bagi seorang wanita keluar rumah tanpa izin suaminya, jika ia keluar rumah tanpa izin suaminya, bererti ia telah berbuat nusyuz (durhaka), bermaksiat kepada Allah dan Rasul-Nya, serta layak mendapat hukuman.”


584. Soalan :Apa hukum bersiwak semasa berpuasa ? Bagaimana pula hukum kalau gunakan berus gigi?

Jawapan :  

Waktu yang digesa bersiwak

Hanafiah

Ketika wuduk, mendirikan sembahyang, membaca al-Quran, bangun tidur, masuk ke rumah, berkumpul dengan orang lain, berubah mulut dan gigi berwarna kuning.

Malikiah

Ketika wuduk, sembahyang, membaca al-Quran, bangun tidur, berubah mulut, diam yang lama, banyak bercakap dan memakan makanan yang berbau.

Syafi’iah

Ketika wuduk, mendirikan sembahyang, membaca al-Quran atau al-hadis atau ilmu syarak atau berzikir, bangun tidur, berubah bau mulut, berubah dengan sebab tidur atau makan atau lapar atau diam yang lama atau banyak bercakap, pada waktu sahur, ketika makan dan selepas witir.

Hanabilah

Ketika wuduk, sembahyang, masuk masjid, membaca al-Quran, bangun tidur, mandi, masuk rumah, diam yang lama, gigi berwarna kuning dan perut kosong.

Fuqaha’ bersepakat bahawa bersugi sangat-sangat disunnahkan ketika:

a. Ketika wuduk.

b. Ketika mendirikan sembahyang.

c. Ketika bangun dari tidur.

d. Ketika masuk rumah.

e. Ketika bau mulut berubah dan gigi berwarna kuning

6. Hukum siwak bagi orang berpuasa

Para fuqaha’ bersepakat: Harus/dibolehkan bersiwak bagi orang yang berpuasa sebelum tergelincir matahari.

Mereka berselisih pendapat: Hukum bersugi bagi orang yang berpuasa selepas tergelincir matahari:

Pendapat pertama: Dibolehkan tanpa syarat.

Pendapat siapa? Umar, Ibnu Abbas, Aisyah r.a., al-Nakha’I, Ibnu Sirin, Urwah, salah satu pendapat Abu Hanifah dan Malik, satu riwayat dari Ahmad, pilihan al-Nawawi, Ibnu Taimiyah, Ibnu al-Qaiyim dan al-Syaukani.

Pendapat kedua: Makruh

Pendapat siapa? Atha’, Mujahid, Ishaq, Abu Tsaur, pendapat al-Syafi’I dan yang masyhur dalam mazhab Ahmad bin Hanbal.

Perbincangan Dalil

Hujah pendapat pertama:

Dalil 1:

Hadis Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW. bersabda: Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang. (HR al-Bukhari)

Petunjuk dari hadis: Sunnahnya bersiwak berdasarkan hadis di atas umum untuk semua sembahyang termasuk Zohor, Asar dan Maghrib. Samada untuk orang yang berpuasa ataupun tidak.

Dalil 2:

Hadis Aisyah r.a., katanya: “Bahawa Nabi SAW. apabila masuk ke rumahnya ia memulakan dengan bersiwak.” (HR Muslim)

Petunjuk dari hadis: Hadis di atas umum untuk semua waktu ketika masuk rumah, samada untuk yang berpuasa ataupun tidak; samada sebelum tergelincir ataupun selepasnya.

Dalil 3:

Hadis Aisyah r.a., dari Nabi SAW.: “Siwak dapat membersihkan mulut dan diredhai Allah.” (HR al-Bukhari, Ahmad, Al-Nasa’I & Ibnu Hibban)

Petunjuk dari hadis: Hadis di atas menggalakkan agar bersiwak. Ia berbentuk umum tanpa dikaitkan dengan waktu tertentu.

Hujah pendapat kedua: (Makruh)

Dalil 1:

Hadis Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah SAW.: Demi diriku di dalam genggamanNya bahawa bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. (HR al-Bukhari)

Petunjuk dalil: Bau dari mulut orang yang berpuasa seperti yang disebutkan di dalam hadis akan hilang disebabkan bersiwak. Oleh itu jelaslah hukumnya adalah makruh.

Sanggahan: Ibnu al-Qaiyim menolak petunjuk dalil di atas dengan:

a. Berkumur-kumur (ketika berwuduk) itu lebih dapat menghilangkan bau mulut berbanding bersiwak. Sedangkan berkumur-kumur itu secara ijmak disyariatkan termasuk bagi orang yang sedang berpuasa.

b. Keredhaan Allah (kerana bersiwak) itu lebih besar berbanding mencari keharuman bau mulut orang berpuasa.

c. Kecintaan Allah terhadap bersiwak lebih besar berbanding kecintaannya terhadap bau mulut orang yang berpuasa.

d. Bersiwak tidak menghalang keharuman bau mulut orang yang berpuasa di sisi Allah pada hari kiamat.

e. Bersiwak tidak menghilangkan bau mulut orang yang berpuasa. Kerana punca bau itu masih tetap ada (sekalipun bersiwak), iaitu perut yang kosong.

f. Nabi SAW. mengajar umatnya apa yang disunnahkan dan apa yang dimakruhkan semasa berpuasa. Dan, siwak tidak dinyatakan sabagai perkara yang dimakruhkan.

Dalil 2:

Hadis Khubab bin al-Art r.a., bahawa Nabi SAW. telah bersabda: Apabila engkau berpuasa, bersiwaklah pada waktu pagi, jangan bersiwak pada waktu petang. Sesungguhnya tidak ada orang yang berpuasa yang kering dua bibirnya pada waktu petang melainkan terdapat cahaya antara dua matanya pada hari kiamat. (HR al-Baihaqi – Dha’if)

Sanggahan: Hadis Khubab di atas adalah hadis dha’if, tidak boleh digunakan sebagai hujah.

Dalil 3:

Kesan ibadah yang menjadi saksi yang baik makruh dihilangkan seperti menghilangkan darah orang mati syahid.

Sanggahan: Larangan menghilangkan darah orang yang mati syahid ada nash yang melarangnya. Sedangkan tidak terdapat nash yang melarang menghilangkan bau mulut orang yang berpuasa.

Tarjih:

Dibenarkan dan tidak makruh bersiwak bagi orang yang berpuasa pada setiap waktu termasuk selepas gelincir matahari. Kerana nash-nash yang ada adalah berbentuk umum tanpa mengkhususkan waktu-waktu tertentu.

Ibnu al-Qaiyim berkata: Tiada nash yang sah dari Rasulullah SAW. yang melarang orang yang berpuasa bersiwak dari awal siang hingga akhirnya. Malah nash yang ada menunjukkan sebaliknya.


Menggunakan berus gigi dan ubat gigi adalah untuk membersihkan mulut dan bau mulut maka fungsinya sama dengan menggunakan siwak. Semasa berpuasa berhati-hati menggunkan ubat gigi kerana dikhuatiri bekas rasa manis ubat gigi tertelan dan menyebabkan puasa terbatal. Untuk mengelakkan perkara ini gunakan berus gig kosong tujuannya adalah untuk membersihan mulut.

585 Soalan : Apa hukumnya mengambil pil perancang keluarga?

Jawapan : 

Hukum dan kesan sampingan kaedah Perancang Keluarga :
Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia pada 1981 menetapkan bahawa kontrasepsi untuk mengurangkan bilangan anak adalah haram kecuali atas sebab-sebab yang mengharuskannya dan perlulah dilakukan dengan cara tidak kekal atau tidak memandulkan.

Sebab-sebab yang mengharuskannya disini merujuk kepada Keadaan dimana seorang isteri itu terlalu lemah atau sakit, pasangan ada penyakit keturunan, isteri mengandung terlalu kerap atau masih menyusu bayi dan kandungan menyebabkan gangguan mental terhadap ibu.

Merancang keluarga yang bersifat sementara, dan seseorang yang mengamalkan perancangan keluarga atas sebab menghidap kanser yang memerlukan rawatan, hamil berisiko, kahwin ketika usia terlalu muda atau usia lewat atau memiliki anak terlalu ramai dengan jarak yang rapat serta menjarakkan anak kerana kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga adalah harus.

Walau pun hukum nya harus, kita perlu ambil tahu :

1. Kaedah perancang keluarga apa yang sesuai dengan kita ( Tanya pendapat doktor bukan sekadar mendengar cadangan kawan, ahli keluarga sahaja.)
2. Tempoh penggunaan yang disyorkan.
3. Cara pengambilan atau penggunaan yang sebetulnya.
4. Kesan sampingan yang mungkin boleh berlaku.
5. Peratusan kejayaan vs kegagalan setiap kaedah perancang keluarga yang dipilih
6. Bagi yang mengambil kaedah perancang keluarga menggunakan kaedah pil , penting bagi anda tahu yang pil pencegah kehamilan adalah pil yang dimasukkan dalam ketegori "UBAT YANG TERKAWAL", means pil-pil ini tidak boleh dibeli tanpa preskripsi dari doktor.

Walau pun doktor memberi jaminan yang kaedah merancang keluarga itu selamat, berkesan, mudah diguna, tiada kesan sampingan . Sebagai pengguna kita perlu prihatin kelainan pada tubuh badan dan kesihatan kita selepas pengambilan satu2 kaedah tersebut. Ini kerana lain orang lain penerimaan badan terhadap satu-satu kaedah itu, ada yang okey, dan ada juga yang mengalami ketidak serasian dan kesan sampingan yang teruk.

No comments:

Post a Comment