Monday, June 23, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 129 (Rujuk Semasa Iddah, Ciri-ciri Sifat Sombong, Darah Istihadah, Tafsiran Ayat Kursi , Cara-cara Qada Solat Dan Makan Pil Cegah Haid)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 129 adalah menjelaskan persoalan rujuk semasa iddah, ciri-ciri sifat sombong, darah istihadah, tafsiran ayat Kursi , cara-cara qada solat dan makan pil cegah haid.

601. Soalan : Ustaz, saya nak tanya. Ada seorang wanita telah diceraikan oleh suaminya. Ketika iddah wanita itu mahu habis, si suami mengatakan ingin rujuk kembali dan si suami juga mengatakan pada kawan-kawan dia bahawa mereka suami isteri telah pun rujuk. Sementara si isteri belum beri kata putus pun lagi. Bila si isteri ada mengutarakan syarat untuk rujuk si suami pulak tak mahu mengikuti syarat si isteri. Maka si isteri pun tak  mahu rujuk. Persoalannya ustaz benarkah yang mereka telah sah rujuk sebab si suami ada mengumumkan pada kawan-kawannya yang mereka telah rujuk. Sementara si isteri telah menolak rujuk si suami. Terima kasih ustaz

Jawapan :  

Rujuk Lepas Cerai

Antara isu yang dikira paling keliru di kalangan masyarakat adalah bab rujuk

Ada wanita yang berkata, "suami saya ingin ruju', tetapi saya masih memikirkan samada untuk terima atau tidak"

Ketahuilah, bahawa rujuk tidak memerlukan sebarang persetujuan wanita. Ia adalah ijmak ulama seluruhnya. Rujuk ini ibarat menjatuhkan talak yang hanya tertakluk kepada suami.

Bolehkah apabila seorang suami menjatuhkan talaq satu kepada isteri, maka si isteri berkata :

"abang, nanti saya fikir dulu sama ada nak terima atau tidak Talaq abang tu"

Tiada sebarang peruntukan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya untuk wanita dalam hal tersebut. Samalah keadaannya dalam hal suami ingin rujuk kembali. Imam Ibn Qudamah berkata :

والمراجعة أن يقول لرجلين من المسلمين : اشهدا أني قد راجعت امرأتي . بلا ولي يحضره , ولا صداق يزيده . ..وجملته أن الرجعة لا تفتقر إلى ولي , ولا صداق , ولا رضى المرأة , ولا علمها . بإجماع أهل العلم ;

Ertinya : Rujuk adalah dengan cara seorang lelaki melafazkan (contohnya) : "Aku dengan ini rujuk kembali dengan isteriku"

Tanpa diperlukan kehadiran wali, sebarang mahar tambahan, dan secara umumnya, sesungguhnya rujuk tidak memerlukan wali, mahar dan juga redha si isteri dan tidak juga disyaratkan mesti pemakluman kepada isteri, ia adalah dengan ijmak seluruh ahli ilmu." ( Al-Mughni, 7/405 ; Badai'e as-Sonaie', Al-Kasani)

Jabatan Agama di Malaysia mengambil pendekatan yang sedikit berbeza apabila mereka mengambil fatwa yang berbeza dengan ijmak yang disebutkan oleh Imam Ibn Qudamah tadi, ini adalah kerana berdasarkan Seksyen 51 (8) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, terdapat beberapa perkara yang perlu dipenuhi oleh pasangan yang ingin merujuk.

Pertamanya : Suami hendaklah melafazkan niat untuk merujuk bekas isterinya.

Kedua : Bekas isteri perlu memberikan persetujuannya ke atas rujuk tersebut.

Setelah itu, suami dikehendaki menghantar permohonan ke mahkamah syariah untuk mendaftarkan rujuk

Setelah itu, mahkamah akan mengeluarkan perintah supaya pasangan yang telah bercerai tadi hidup semula sebagai suami isteri. Setelah proses rujuk itu lengkap barulah suami boleh kembali kepada bekas isterinya.

Jabatan Agama di Malaysia membuat keputusan dan ijtihad sendiri apabila MEWAJIBKAN REDHA ISTERI. Anjuran mazhab Syafie hanyalah menggalakkan sahaja dan tidak wajib: -

والجديد أنه لا يشترط لصحة الرجعة ( الإشهاد ) عليها بناء على الأصح أنها في حكم الاستدامة, ثم لم يحتج لولي ولا لرضاها بل يندب

Ertinya : Pandangan mazhab baru Syafie, tidak disyaratkan wujud saksi untuk sahnya rujuk kemudian, (rujuk) juga tidak memerlukan kepada (persetujuan) wali dan juga persetujuan wanita (isteri), cuma ia digalakkan sahaja. ( Nihayatul Muhtaj, 1/59 )

BOLEHKAH RUJUK TANPA MELAFAZ?

Tidak terdapat khilaf bahawa rujuk yang dibuat secara berlafaz yang terang oleh suami di hadapan saksi adalah sah. Demikian juga secara bertulis.

Adakah sah rujuk jika berlakunya persetubuhan dalam masa iddah tersebut sebelum lafaz.?

Ulama mazhab berbeza fatwa dalam hal ini seperti berikut :-

Mazhab Hanafi : Sah rujuk sama ada dengan persetubuhan atau permulaan persetubuhan seperti sentuhan bersyahwat, ciuman, melihat kemaluan isteri dan lain-lain. Pandangan ini turut disebut oleh ramai ulama tabien seperti Sa'ad Ibn Musayyab, Hasan Al-Basri, Ibn Sirin, Ato' Abi Rabah, Al-Awzai'e, Sufyan At-Thawry, As-Sya'biy dan lain-lain.

Mazhab Maliki : Sah rujuk dengan persetubuhan dengan syarat si suami ada niat rujuk semasa persetubuhan itu berlaku. Namun ciuman, sentuhan dan lain-lain dengan syahwat sahaja tidak cukup untuk dianggap rujuk.

Mazhab Syafie menolak rujuk melalui perlakuan tanpa lafaz secara total, sama ada persetubuhan, mahupun permulaannya sebagaimana pandangan Hanafi tadi. Mazhab Syafie berfatwa sebarang persetubuhan pada waktu ‘iddah tanpa lafaz rujuk yang jelas terlebih dahulu adalah haram.

Imam As-Syafie berkata :-

والرد يكون بالكلام دون الفعل من جماع وغيره ; لأنه رد بلا كلام، فلا تثبت رجعة لرجل على امرأته حتى يتكلم بالرجعة، كما لا يكون نكاح ولا طلاق حتى يتكلم بهما، فإذا تكلم بها في العدة ثبتت له الرجعة
Ertinya : Rujuk mestilah dengan percakapan ( lafaz) dan bukannya dengan jimak dan lainnya, kerana tiada rujuk tanpa lafaz, maka tidak sah rujuk bagi seorang lelaki kepada wanita sehinggalah dia melafazkannya, sebagaimana tiada nikah dan talak yang dibuat tanpa lafaz, maka jika si lelaki melafazkannya (rujuk) semasa iddah barulah sah rujuknya" (Al-Umm)

Mazhab Hanbali : Sah rujuk dengan persetubuhan namun tidak sah rujuk hanya dengan permulaan persetubuhan. Samada ia dilakukan dengan niat rujuk atau tidak.

Kesimpulan : Apapun pendapat pelbagai mazhab, sebagaimana yang di jelaskan di atas, Malaysia mengambil mazhab Syafie yang mensyaratkan suami MESTI melafazkan rujuk terlebih dahulu secara rasmi. Ia wajar dituruti.

AURAT ISTERI DEPAN SUAMI SEMASA IDDAH

Benar, wajib secara sepakat seluruh ulama si isteri untuk tidak keluar dari rumah suami semasa iddah dalam penceraian raj'ie (normal boleh rujuk) kali pertama dan kedua.

Si suami juga haram untuk menghalau isteri keluar dalam tempoh itu, malah suami masih wajib berikan nafkah (belanja zahir) kepada isteri di waktu ‘iddah. ( Tafsir Al-Jassas, 5/348 : Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 18/154 )

Namun, timbul persoalan jika isteri duduk di rumah suaminya, bagaimana dengan hal auratnya?

Jawapannya mudah, menurut mazhab Syafie, isteri wajib menutup auratnya di dalam rumah itu.

Namun menurut mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali; tiada aurat yang perlu ditutup di depan suaminya sepanjang tempoh iddah, kerana mereka masih dikira isteri dan akan automatik rujuk dengan persetubuhan.

RUJUK DALAM KES TEBUS TALAK

Adapun tebus talak ataupun khuluk, penceraian itu yang dilakukan atas dasar ini tidak mempunyai peruntukan rujuk sama ada ia dianggap sebagai Fasakh atau Talak (berdasarkan perbezaan ijtihad ulama).

Namun majoriti ulama silam dan kontemporoari menyebutkan tiada rujuk bagi kes tebus talak. Malah Imam As-Syawkani menyebut telah terdapat Ijmak (persepakatan penuh) seluruh ulama bahawa tidak rujuk bagi kes tebus talak. Ini adalah kerana Talak itu jatuh dalam kategori Talak Bain dan bukan Talaq Raj'ie (yang boleh dirujuk). (Nailul Awtar ; Mawsu'ah Al-Kuwaitiyah)

Cuma bezanya kali ini, wanita ada hak untuk terima jika si bekas suami tadi ingin rujuk juga dalam kes tebus talak. Ertinya, peruntukan asalnya suami tidak boleh rujuk seperti kes talak biasa, namun dalam kes tebus talak, lelaki hilang haknya untuk rujuk tanpa redha isteri. (Kasyyaf Al-Qina', Al-Bahuti)

PERLUKAH RUJUK KEPADA SAKSI?

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, Imam Syafie dalam satu fatwanya menyatakan penyaksian dalam bab rujuk adalah wajib. Berdasarkan dalil firman Allah SWT:

فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ فَارِقُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنكُمْ

Ertinya : Apabila mereka telah mendekati akhir idahnya, maka rujukilah mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik.. ( Surah At-Talaq ayat 2 )

Namun pendapat Abu Bakar r.a, Imam Malik dan Imam Abu Hanifah, saksi tidak wajib kerana ia langsung tidak memerlukan persetujuan dari pihak lain. Justeru, saksi hanyalah digalakkan sahaja namun ia tidaklah wajib.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, rakyat Malaysia perlu menuruti undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di Malaysia, iaitu setiap rujuk mesti ada saksi dan dibuat secara rasmi.

Ia baik bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan fitnah serta mengambil jalan yang lebih cermat. Justeru, sebarang penyaksian rujuk boleh dilakukan di mahkamah Shariah.

Pandangan ini juga bertepatan dengan mazhab Syafie yang menyebut :-

مذهبنا أن الإشهاد على عقد البيع والإجارة وسائر العقود غير النكاح والرجعة مستحب , وليس بواجب

Ertinya : Mazhab kami, sesungguhnya saksi dalam aqad jual beli, ijarah dan seluruh aqad selain aqad nikah dan rujuk adalah digalakkan sahaja, tidak wajib. ( Al-Majmu', An-Nawawi, 1/170). Wallahu a'lam.



602. Soalan : Ustaz.Jika seseorang itu sudah berkata mememang dia tak pernah mengaku kesalahan walaupun dia ada membuat kesalahan. Ia dikategoriikan sikap ego.Apa yang harus saya beri nasihat atau menyedarkan orang ini Ustaz..jika kita tegur dia akan memarahi kita semula..


Jawapan : 

Apabila seseorang ada perasaan ego dan tak mahu mengaku kesalahannya dan sukar untuk di beri nasihat maka biarkan dia dengan sifat tersebut kerana sifat tersebut akan mendatangkan kesan negatif ke atas dirinya. Saudari perlu banyak bersabar dan tunjukkan sahsiah Islam yang baik semoga dia akan berubah satu hari nanti apabila egonya tak boleh bawa ke mana-mana.
 

Imam Al-Ghazali menyebutkan tujuh perkara yang boleh menjadi faktor seseorang menjadi sombong dan takabur :

1. Ilmu

Sombongnya orang yang berilmu disebabkan hatinya tidak bersih. Apabila hatinya tidak bersih maka dia merasakan diri besar, dirinya berilmu, dirinya lebih baik dari orang lain, merasakan dirinya perlu dihormati dan dipuji, dirinya sudah sempurna tidak perlukan teguran dan nasihat, melihat dirinya bertaraf tinggi sebaliknya orang yang tidak berilmu lebih rendah, merasa dirinya sahaja yang akan selamat dan hampir dengan Allah. Justeru ilmu ini menjadi punca terbesar sifat sombong dan takabur jika hatinya tidak bersih.

عن جابر قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "لا تعلموا العلم لتباهوا به العلماء ولا تماروا به السفهاء ولا تخيروابه المجالس فمن فعل ذلك فالنار النار"

Maksudnya : "Janganlah kamu mempelajari ilmu dengan tujuan untuk digelar sebagai ulama, dan janganlah kamu mempelajari ilmu dengan tujuan untuk memperlekehkan orang yang bodoh, dan janganlah mempelajari ilmu dengan tujuan memilih tempat dan kedudukan, sesiapa yang melakukanya dengan tujuan yang sedimikian maka neraka adalah tempatnya."

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dicari wajah Allah padanya, ia tidak mempelajarinya kecuali untuk memperolehi habuan daripada dunia dia tidak akan memperolehi bau syurga pada hari kiamat”. (Hadis Riwayat Abi Daud Bab Berkenaan Menuntut Ilmu Bukan Kerana Allah, Sunan Ibnu Majah Bab Mengambil Manfaat Dengan Ilmu Dan Beramal Dengannya, Musnad Ahmad Musnad Abi Hurairah.)

Allah S.W.T. telah mengingatkan para Nabi-Nya dengan firman-Nya :

وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya : “Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang beriman.” (Surah al-Syu‘ara ayat 215).

Selain itu, orang yang berilmu itu wajib beramal dengan ilmunya. Justeru, adalah menghairankan sekiranya mereka yang berilmu itu berperangai dengan sikap takabur. Tidakkah mereka pernah mendengar sabda Nabi SAW yang mulia:

عن أبي هريرة رضي الله عنه : أن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال : إن أشد الناس عذابا يوم القيامة عالم لم ينفعه الله بعلمه

Maksudnya : "Sesungguhnya manusia yang menerima seksaan yang sangat berat dihari kiamat ialah orang berilmu yang tidak menggunakan ilmu."

Maka sewajarnya mereka yang berilmu merupakan orang yang paling bersungguh-sungguh menjauhi sikap takabur dengan mengamalkan ilmu yang dipelajari khususnya ilmu agama.

2. Amal Ibadat

Terkadang orang yang banyak melakukan amal ibadat bersifat sombong dan takabur kerana merasakan merekalah sebaik-baik manusia yang paling layak mendapat rahmat Allah. Ilmu yang dimiliki tidak dapat membentuk sifat-sifat mulia dan menjauhi sifat takabur.

Ada juga antara mereka yang apabila sudah terlalu takjub dengan amal ibadat mereka yang banyak berasa bahawa manusia lain yang kurang amal ibadatnya akan binasa.

Rasulullah SAW. telah bersabda: “

إذا سمعتم الرجل يقول هلك الناس فهو أهلكهم

Maksudnya : "Jika kamu mendengar seorang mengatakan semua orang binasa, maka dialah yang lebih binasa."

Cukuplah sekiranya kita dapat mengambil iktibar daripada sabda Nabi SAW maksudnya : “Tidak masuk syurga org yang dalam hatinya, ade seberat zarah sifat takabbur.” (Hadis Riwayat Muslim)

3. Nasab Keturunan

Ramai manusia menjadi sombong kerana ketuurnannya dan memandang rendah orang lain yang tidak mempunyai nasab keturunan sepertinya. Mereka berasa keturunannya yang terdiri daripada salihin, ‘amilin, hartawan, bangsawan dan sebagainya menyebabkan mereka menjadi manusia yang mulia.

Dari Abu Dhar r.a. katanya:

روي أن أبا ذر رضي الله عنه قال قاولت رجلا عن النبي صلى الله عليه وسلم فقلت له يا ابن السوداء فغضب صلى الله عليه وسلم وقال يا أبا ذر ليس لابن البيضاء على ابن السوداء فضل

Maksudnya : “Pada suatu hari aku bercakap-cakap dengan seorang, Aku berkata: “Wahai anak si hitam.” Rasulullah SAW. segera menegur, sabdanya: “Wahai Abu Dhar! Tidak ada kelebihannya bagi anak si putih ke atas anak si hitam"

4. Paras Rupa Dan Kehebatan Fizikal

Manusia sering besifat sombong apabila merasakan dirinya cantik dan hebat, lalu timbullah rasa takjub dengan keindahan dan kehebatan rupa parasnya. Wajarlah mereka ini merenung sabda Rasulullah SAW.:

إن الله لا ينظرُ إلى أجسامكم، ولا إلى صوركم، ولكن ينظرُ إلى قلوبكم وأعمالكم

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada bentuk dan rupa kamu, tetapi Allah memandang kepada hati dan amalan kamu.”(Hadis Riwayat Muslim)

5. Harta Kekayaan

Orang kaya merasa sombong bila melihat orang miskin. Mereka merasakan usaha mereka menjadikan mereka kaya sedangkan orang miskin adalah orang yang bodoh dan malas berusaha.

Ada juga di antara mereka menganggap golongan kaya mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah S.W.T. Mereka berkata bahawa mereka boleh bersedekah dengan sebanyak-banyak sedekah, sedangkan si fakir miskin itu untuk menyuap sesuap nasi ke mulut sendiri pun masih belum tentu. Mereka lupa sebenarnya Allah telah menempatkan kedudukan yang istimewa kepada golongan fakir miskin yang beriman kepada Allah S.W.T.

Sesetengah golongan kaya sibuk dengan slogan ‘jihad ekonomi’ sehingga lupa jihad yang lebih besar iaitu jihad melawan hawa nafsu. Nabi SAW. telah bersabda:

قدمتم من الجهاد الأصغر إلى الجهاد الأكبر مجاهدة العبد هواه

Maksudnya : “Kita kembali daripada perang kecil menuju perang besar iaitu seorang hamba berjuang melawan hawa nafsu.”

Maka tidak sewajarnya si kaya memandang rendah si miskin, kerana seperti yang diterangkan bahawa si miskin yang beriman itu besar nilainya di sisi Allah S.W.T.

Nabi Muhammad SAW. telah bersabda:

اللهمَّ أحييني مِسكيناً وأمتني مِسكيناً واحشرني في زمرةِ المساكين

“Ya Allah, hidupkan aku dalam keadaan miskin, dan mati aku miskin, dan himpunkan aku di kalangan orang-orang miskin.”

Maka kata Aisyah Radhiyallahu ‘anha: “Kerana apa, ya Rasulullah?” Maka sabdanya: “Bahawasanya mereka itu masuk syurga 40 tahun lebih dahulu daripada orang kaya . Hai Aisyah, sayangilah orang-orang miskin dan hampirilah mereka itu, nescaya hampir kepada Allah Ta‘ala pada hari kiamat.”

6. Kekuasaan

Memiliki kuasa, sama ada dia memiliki kuasa besar atau kecil. Kuasa besar itu seperti jadi raja, presiden, perdana menteri, menteri besar, gabenor dan lain-lain lagi. Kuasa kecil seperti jadi pegawai, penghulu, guru besar, nazir masjid dan lain-lain lagi. Kuasa yang ada itu sekiranya tidak mempunyai hati yang baik akan mendorongnya menjadi sombong.

7. Pengikut dan penyokong.

Manusia yang hatinya tidak sihat akan berasa hebat apabila di belakangnya ramai pengikut atau peminat. Keangkuhannya dan kesombongannya bertambah kuat apabila apa-apa yang diperkatakan dan dilakukan sentiasa mendapat sokongan daripada pengikut tanpa melihat sama ada ia satu kebenaran atau kebatilan.
Justeru, marilah sama-sama kita menjaga hati kita agar sentiasa insaf dan merendah diri biarpun semua perkara di atas menjadi milik kita. Jangan jadikan ia sebab kepada kesombongan dan ketakaburan tetapi jadikanlah ia sebagai sebab untuk kita hampir kepada Allah SWT dan menginsafi semua perkara tersebut merupakan ujian daripada Allah SWT. Semoga kita berjaya dengan ujian ini dan mendapat keredaan Allah SWT.



603. Soalan : Seorang wanita keluar darah seperti tumpah darah dalam jangka waktu yang panjang. Dalam waktu yang sama setelah pemeriksaan dibuat , dia didapati menghidap cyst yang salah satu kesannya akan bleeding dalam jangka waktu yang panjang. Soalannya : Adakah wanita itu harus membersihkan dirinya iaitu mandi wajib jika darah tersebut telah kering dan apakah jenis atau niat untuk mandi wajib berkenaan. Minta penjelasan ...Terima kasih Ustaz


Jawapan : 

Perlu di bezakan darah haid dengan darah istihadah (darah penyakit) kerana kedua-dua darah ini ada perbezaan hukum di dalam Islam. Seseorang yang keluar darah haid di larang solat dan berpuasa (solat tak perlu diqada tetapi puasa wajib di qada). Kebiasaan haid adalah 7 hari dan maksima adalah 15 hari. Darah istihadah pula darah yang keluar melebihi 15 hari atau darah yang keluar sebelum datangnya haid. Seseorang yang mengalami darah istihadah wajib solat dan puasa seperti biasa.
 

 “Istihadhah” ialah perkataan Arab yang bermaksud darah penyakit yang keluar atau mengalir dari bawah rahim seorang perempuan.

Imam Ar-Ramli seorang ulama daripada mazhab Syafi‘e mendefinisikan istihadhah ialah darah yang dilihat oleh seorang perempuan selain daripada darah haid dan nifas, samada darah tersebut bersambung dengan darah haid dan nifas ataupun tidak.

Perempuan yang dalam keadaan keluar darah istihadhah dikatakan sebagai mustahadhah. Bagi perempuan seperti ini adalah harus berubat atau mencari ubat, kerana darah yang keluar adalah darah penyakit.

Darah istihadhah itu boleh jadi keluar atau mengalir sebelum hari-hari haid atau nifas atau bersambung selepas darah haid atau nifas atau ia keluar pada hari-hari yang bukan kebiasaan hari haid atau nifas. Sebagai contoh darah yang keluar daripada kanak-kanak perempuan yang berumur 7 tahun. Menurut pengarang kitab Hasyiyah I‘anah ath-Thalibin jika berlaku demikian, ia adalah darah istihadhah, kerana menurut kebiasaan kanak-kanak perempuan yang didatangi haidh sekurang-kurangnya berumur 9 tahun qamariyah.

Persoalan dan kekeliruan mengenai istihadhah seringkali dikaitkan dengan haid, kerana kebiasaannya darah istihadhah keluar sebelum atau selepas darah haid.

1. Wanita yang mengalami masalah istihadhah, ia hendaklah menunggu masuk waktu barulah mengambil wuduk jika ingin mengerjakan solat fardu atau solat sunat yang berwaktu. Tidak harus ia mengambil wuduk sebelum masuknya waktu kerana wuduknya hanyalah wuduk darurat dan sesuatu yang dilakukan kerana darurat hendaklah dilakukan apabila tiba waktunya.

2. Menurut mazhab Syafi’ie; satu wuduk hanya untuk satu solat fardu sahaja. Jika ia ingin mengerjakan berbilang-bilang solat fardu (seperti solat qada, nazar atau menjamakkan) ia wajib mengulangi wuduknya.

Adapun solat-solat sunat, harus ia mengerjakan seberapa banyak solat sunat yang diingini dengan satu wuduk. Namun menurut mazhab Hanafi dan Hanbali; harus ia mengerjakan dengan satu wuduk seberapa banyak solat fardu yang dikehendaki, iaitu tiada beza dengan solat sunat.

3. Sebelum mengambil wuduk ia hendaklah membasuh kemaluannya dengan sempurna, kemudian membalutnya dengan kain atau sebagainya sekadar yang termampu (untuk membendung darah dari keluar sekadar terdaya). Setelah itu, hendaklah ia segera mengambil wuduk. (sekarang wanita akan menggunakan tuala wanita yang bersih dan kemas tidak mudah bocor keluar)

4. Ketika mengambil wuduk hendaklah ia berniat untuk mengharuskan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang mensyaratkan wuduk. Contohnya; ia meniatkan di dalam hati; “Sahaja aku mengambil wuduk untuk solat kerana Allah Taala”.

Tidak harus semasa mengambil wuduk ia berniat untuk mengangkat hadas kerana hadasnya tidak akan terangkat selama darah sentiasa mengalir keluar dari kemaluannya kerana perkara tersebut membatalkan wuduk.

5. Setelah selesai wuduk hendaklah ia segera menunaikan solat tanpa menangguh lagi.

6. Sebahagian ulama mengharuskan wanita yang menghadapi masalah istiadhah menjamakkan dua solat dengan sekali wuduk iaitu menjamakkan zohor dan asar atau maghrib dan isyak. Ini kerana Rasulullah SAW. pernah menyuruh Hamnah binti Jahsyi r.a. yang mengalami masalah istihadhah menjamakkan dua solatnya dengan sekali mandi sebagaimana baginda pernah menyuruh Sahlah binti Sahal r.a. berbuat yang sama.

Rujukan:
(4) Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh ‘Abdurrahman al-Jazairi, 1/93-96.



604. Soalan : Ustaz boleh minta ustaz huraikan sedikit tafsiran ayat Kursi (Surah al-Baqarah ayat 255). Sekian terima kasih.


Jawapan : 

Tafsiran ringkas surah al-Baqarah ayat 255 adalah seperti berikut : 

Firman Allah SWT maksudnya, "Allah tidak ada Tuhan melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Siapakah yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya? Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi(1) Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.(Surah al-Baqarah (2) ayat 255)

اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ (255)

(1) Kursi dalam ayat ini oleh sebagian mufassirin diertikan ilmu Allah dan ada pula yang mengertikan dengan kekuasaan-Nya.

Huraiannya :

Dalam ayat ini Allah SWT. menjelaskan bahawa Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa dan tidak ada Tuhan selain Dia, hanya Dia sajalah yang berhak disembah. Adapun tuhan-tuhan yang lain yang disembah oleh sebagian manusia dengan alasan yang tidak benar memang banyak jumlahnya. Akan tetapi Tuhan yang sebenarnya hanyalah Allah semata-mata. Hanya Dialah Yang Hidup abadi, yang ada dengan sendiri-Nya dan Dia pulalah yang selalu mengatur makhluk-Nya tanpa ada kelalaian sedikit pun.

Kemudian ditegaskan lagi bahwa Allah SWT. tidak pernah mengantuk. Orang yang berada dalam keadaan mengantuk tentu hilang kesadarannya sehingga ia tidak akan dapat melakukan pekerjaannya dengan baik padahal Allah SWT. senantiasa mengurus dan memelihara makhluk-Nya dengan baik, tidak pernah kehilangan kesadaran atau pun lalai.
Karena Allah SWT. tidak pernah mengantuk, sudah tentu Ia tidak pernah tidur kerana mengantuk adalah permulaan dari proses tidur. Dan orang yang tidur lebih banyak kehilangan kesadaran daripada orang yang mengantuk.

Sifat Allah SWT yang lain yang disebutkan dalam ayat ini ialah bahwa Dialah yang mempunyai kekuasaan dan yang memiliki apa yang ada di langit dan di bumi. Dialah yang mempunyai kekuatan dan kekuasaan yang tak terbatas sehingga Dia dapat berbuat apa yang dikehendaki-Nya. Semuanya ada dalam kekuasaan-Nya sehingga tidak ada suatu pun dari makhluk-Nya meskipun nabi-nabi dan para malaikat dapat memberikan pertolongan kecuali dengan izin-Nya apalagi patung-patung yang oleh orang-orang kafir dianggap sebagai penolong-penolong mereka.

Yang dimaksud dengan "pertolongan" atau "syafaat" dalam ayat ini ialah pertolongan yang diberikan oleh nabi kepada umatnya di hari kiamat untuk mendapatkan keringanan atau kebebasan dari hukuman Allah. Syafaat itu hanyalah akan berhasil apabila Allah SWT memerintahkannya atau mengizinkannya.

Sifat Allah yang lain yang disebutkan dalam ayat ini ialah bahawa Allah senantiasa mengetahui apa saja yang terjadi di hadapan dan di belakang makhluk-Nya, sedang mereka tidak mengetahui sesuatupun dari ilmu Allah, melainkan sekedar apa yang dikehendaki-Nya untuk mereka ketahui. Kursi Allah (iaitu ilmu dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi. Dan Allah tiada merasa berat sedikit pun dalam memelihara makhluk-Nya yang berada di langit dan di bumi, dan di semua alam ciptaan-Nya. Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.
Mereka tidak mengetahui ilmu Allah SWT. kecuali apa yang telah dikehendaki-Nya untuk mereka ketahui. Dengan demikian, yang dapat diketahui oleh manusia hanyalah sekedar apa yang dapat dijangkau oleh pengetahuan yang telah dikurniakan Allah kepada mereka, dan jumlahnya amat sedikit dibanding dengan ilmu-Nya yang luas. Hal ini ditegaskan Allah dalam firman-Nya:

رَبِّي وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا (85)

.Maksudnya, "...dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit. (Surah Al-Isra' ayat 85)



604. Soalan : Ustaz saya ada satu soalan yang sangat saya musykilkan .mengenai qada sembahyang..saya telah pun menqadakan sembahyang saya selama 2 tahun..niat saya ingin mengantikan qada sembahyang selama 3 tahun jadi  tinggal lagi setahun..ada yg mengatakan selagi kita tidak habis mengantikan solat selagi itulah kita tidak boleh menunaikan solat sunat..tolonglah ustaz jawab soalan saya..


Jawapan : 

Ulama khilaf di dalam menentukan samaada seseorang yang masih ada meninggalkan solat qada boleh atau tidak menunaikan solat sunat. Sebahagian ulama tak membenarkan langsung dan sebahagian pula membenarkan dengan syarat solat qada jangan di tinggalkan dan mengutamakan solat qada. 

Solat sunat pula ambil sunat yang dituntut sahaja iaitu solat tahajud, solat duha, solat witir, solat terawih, solat taubat dan juga solat sunat rawaib (10 rekaat solat sunat yang tidak di tinggalkan oleh Rasulullah SAW : Dari Ibnu Umar ra berkata, "Aku menjaga 10 rakaat dari Nabi SAW: 2 rakaat sebelum solat Zuhur,2 rakaat sesudahnya,2 rakaat sesudah solat Maghrib, 2 rakaat sesudah solat Isyak dan 2 rakaat sebelum solat Subuh. (Hadis Riwayat Muttafaqun 'alaihi)


605. Soalan :  Ustaz..nak tanya.boleh ke kita makan ubat tak bagi datang period untuk puasa penuh dalam bulan Ramadan .


Jawapan :  

Pertama, beberapa ulama menegaskan bolehnya mengambil ubat pencegah haid, selama tidak membahayakan pengguna. Baik resiko yang bersifat sementara mahupun yang kekal. Imam Ibnu Baz pernah ditanya tentang hukum wanita yang menggunakan ubat pencegah haid agar boleh puasa Ramadan,

لا حرج أن تأخذ المرأة حبوب منع الحيض تمنع الدورة الشهرية أيام رمضان حتى تصوم مع الناس….. وإن وجد غير الحبوب شئ يمنع الدورة فلا بأس إذا لم يكن فيه محذور شرعاً ومضرة.

“Tidak masalah bagi wanita untuk menggunakan ubat pencegah haid, menghalangi datang bulan selama bulan Ramadan, sehingga dia boleh berpuasa bersama kaum muslimin lainnya… dan jika ada cara lain selain menggunakan ubat untuk menghalangi terjadinya haid, hukumnya harus, selama tidak ada hal yang dilarang syariat dan tidak berbahaya.”

Kedua, bagi wanita yang menggunakan ubat anti haid, dia dihukumi suci jika benar-benar kering tidak ada darah yang keluar. Akan tetapi jika dia setelah menggunakan ubat pencegah haid masih keluar darah, maka dia dihukumi haid, meskipun darah yang keluar sangat sedikit.

Syaikh Musthofa Al-Adawi menjelaskan wanita yang menggunakan ubat pencegah haid, bagaimana statusnya,

حكمه اذا قطع الدم تماما أن الصوم معه جائز ولا إعادة، أما إذا شك في انقطاع الدم من وجوده فحينئذ حكمها حكم الحائض وعليها أن تفطر أيام حيضها وتعيد صوم تلك الأيام بعد، والله أعلم

“Hukumnya, apabila darah telah putus sempurna maka dia boleh puasa dan tidak perlu mengulangi. Adapun jika dia masih ragu darah terputus sempurna, kerana masih ada darah yang keluar, maka hukumnya seperti wanita haid dan dia tidak boleh puasa pada hari haidnya dan mengqadha puasa pada hari itu setelah habis bulan Ramadan.” (Jami’ Ahkam An-Nisa: 5/223)

Ketiga, tidak dianjurkan bagi para wanita untuk menggunakan ubat pencegah haid. Sekalipun untuk tujuan agar boleh beribadah bersama masyarakat. Kerana sikap semacam ini kurang menunjukkan kepasrahan terhadap kudrat yang Allah tetapkan untuk kaum wanita.

Imam Ibnu Utsaimin pernah ditanya tentang hukum menggunakan ubat pencegah haid agar boleh melakukan ibadah bersama kaum muslimin lainnya. Jawapan beliau,

لا نرى أنها تستعمل هذه الحبوب لتعينها على طاعة الله ؛ لأن الحيض الذي يخرج شيءٌ كتبه الله على بنات آدم

“Saya tidak menyarankan para wanita menggunakan ubat semacam ini, untuk membantunya melakukan ketaatan kepada Allah. Kerana darah haid yang keluar, merupakan sesuatu yang Allah tetapkan untuk kaum wanita.”

Kemudian beliau menyebutkan dalilnya,

وقد دخل النبي صلى الله عليه وسلم على عائشة وهي معه في حجة الوداع وقد أحرمت بالعمرة فأتاها الحيض قبل أن تصل إلى مكة فدخل عليها وهي تبكي ، فقال ما يبكيك فأخبرته أنها حاضت فقال لها إن هذا شيءٌ قد كتبه الله على بنات آدم ، …

“Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah menemui A’isyah di kemahnya ketika haji wada’. Ketika itu, A’isyah telah melakukan ihram untuk umrah, namun tiba-tiba datang haid sebelum sampai ke Mekah. Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menemui A’isyah, sementara dia sedang menangis. Si suami yang baik bertanya, “Apa yang menyebabkan kamu menangis?” A’isyah menjawab bahawa dia sedang sakit. Nabi menasihatkan, “Ini adalah keadaan yang telah Allah tetapkan untuk kaum wanita”

Selanjutnya Syaikh menasehatkan kaum wanita yang ingin beribadah, namun terhalang haid,

فإذا جاءها في العشر الأواخر فلتقنع بما قدر الله لها ولا تستعمل هذه الحبوب وقد بلغني ممن أثق به من الأطباء أن هذه الحبوب ضارة في الرحم وفي الدم وربما تكون سبباً لتشويه الجنين إذا حصل لها جنين فلذاك نرى تجنبها . وإذا حصل لها الحيض وتركت الصلاة والصيام فهذا ليس بيدها بل بقدر الله .

Kerana itu, ketika masuk sepuluh terakhir bulan Ramadan, hendaknya dia menerima kodrat yang Allah tetapkan untuknya, dan tidak menggunakan ubat pencegah haid. Ada informasi terpercaya dari doktor, bahawa ubat semacam ini berbahaya bagi rahim dan peredaran darah. Bahkan boleh menjadi sebab, janin cacat, ketika di rahim ada janin. Kerana itu, kami menyarankan agar ditinggalkan. Ketika terjadi haid, dia tinggalkan solat dan puasa, keadaan semacam ini bukan kerana kehendaknya, tapi kerana taqdir Allah SWT.
(Fatwa islam, no. 13738)

Keempat, wanita haid masih boleh mendapat sejuta pahala selama Ramadan, sekalipun dia tidak puasa dan tidak solat. Kerana tidak semua ibadah dilarang untuk dilakukan ketika haid. Wanita haid boleh berdoa, beristighfar, berselawat dan berzikir. Boleh membanca zikir al-Mathurat dengan niatkan sebagai zikir walaupun ada ayat-ayat al-Quran di dalamnya. Wanita haid apabila menjamu orang berpuasa akan mendapat pahala yang sama seperti orang yang berpuasa dan tak dikurangkan walaupun sedikit. Oleh itu jangan bimbang tak boleh pusa kerana banyak jalan yang boleh di lakukan semasa haid. Walahu a'lam.

8 comments:

  1. Assalamualaikum ustaz..
    Jika seseorang menceraikan isteri secara terpaksa semasa isterinya mengandung ..dan sekarang ingin ruju' kembali selepas habis iddah
    Bagaimana cara untuk si suami ruju'isterinya kembali

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum ustaz..
    Jika seseorang menceraikan isteri secara terpaksa semasa isterinya mengandung ..dan sekarang ingin ruju' kembali selepas habis iddah
    Bagaimana cara untuk si suami ruju'isterinya kembali

    ReplyDelete
  3. Salam ustaz.. Sy ingin bertanye pendapat ustaz dr segi mengaibkan suami dan isteri berkelakuan curang sewaktu tempoh edah bersaksi kan ank sy yg berumur 8 tahun.. Sy ingin rujuk dan telah bersaksikan 5/6 org dan dlm mase yg same jugak sudah 7 hari isteri sy menjalani tempoh edah.. Di situ die ade buat pengakuan yg die setuju utk di rujuk kembali dan bjanji tidak akn curang tetapi 4/2/2016 die telah buat report yg sy pukul die sdgkan sy cme menolak dgn ckp "aku jijik bile taw ko dgn india" tp dlm hati xpenah ade niat nk lepaskan die.. Sewaktu cerai pulak sy mmg xtaw menahu.. Die menjadikan sy sbg alasan sbb xbkeje sdgkan waktu bulan 11 tue sy spttnye bkje d labu.. Majikan tsebut adalah kawan sy sendiri.. Dan sy dpt tahu sbnr nya isteri sy call die utk hold kan sy bkje sampai kes proses mahkamah settle.. Sy tanye ustaz sbb dr permintaan ank sy die mntk sy ngan isteri bersatu semula dan die mntk supaya sy ckp dgn isteri supaya berubah.. Ape yg ptt sy lakukan sbb sy sendiri masih sygkan die dan mahu tunaikan permintaan ank sy.. Sy ttekan bile die sampai tak pedulikan ank sakit.. Sanggup keluar date dgn india tue dr bwk ank g klinik.. Ketika sy sampai di rumah mak mertua sy dorg lari dr sy.. Dan ank sy yg 1st da takut nk balik sane sbb selalu dipukul bile ank sy mengadu ape yg da jd kat sane.. Lgi 1 sy dpt taw ni cerai ni pun rancangan mak mertua sy tuk pisahkan sy dan anak2.. Segala doc kelahiran ank dan sijil jabatan agama semua telah dbawa lari supaya sy tidak boleh rujuk.. Pade pendapat ustaz apakah cara utk dptkan isteri sy blk dan di jauhi mak mertua sy sehingga isteri sy berubah.. sbb sy takut akn jd lebih teruk sdgkan waktu dgn sy pun mak die boleh biakan ank die lepas ngan laki laen dan ugut anak sy utk pukul kalau sy taw.. Skrg sy da ade surat report dr balai untuk ank sy.. Cme isteri sy je sy buntu nk fikir utk dptkan dan ubah die jd seperti sblm nie.. Sy xsampai hati nk tgk die rosak demi ikut hawa nafsu mak die yg tamak kan duit.. Mntk ustaz balas pertanyaan sy..

    ReplyDelete
  4. Salam ustaz.. Sy ingin bertanye pendapat ustaz dr segi mengaibkan suami dan isteri berkelakuan curang sewaktu tempoh edah bersaksi kan ank sy yg berumur 8 tahun.. Sy ingin rujuk dan telah bersaksikan 5/6 org dan dlm mase yg same jugak sudah 7 hari isteri sy menjalani tempoh edah.. Di situ die ade buat pengakuan yg die setuju utk di rujuk kembali dan bjanji tidak akn curang tetapi 4/2/2016 die telah buat report yg sy pukul die sdgkan sy cme menolak dgn ckp "aku jijik bile taw ko dgn india" tp dlm hati xpenah ade niat nk lepaskan die.. Sewaktu cerai pulak sy mmg xtaw menahu.. Die menjadikan sy sbg alasan sbb xbkeje sdgkan waktu bulan 11 tue sy spttnye bkje d labu.. Majikan tsebut adalah kawan sy sendiri.. Dan sy dpt tahu sbnr nya isteri sy call die utk hold kan sy bkje sampai kes proses mahkamah settle.. Sy tanye ustaz sbb dr permintaan ank sy die mntk sy ngan isteri bersatu semula dan die mntk supaya sy ckp dgn isteri supaya berubah.. Ape yg ptt sy lakukan sbb sy sendiri masih sygkan die dan mahu tunaikan permintaan ank sy.. Sy ttekan bile die sampai tak pedulikan ank sakit.. Sanggup keluar date dgn india tue dr bwk ank g klinik.. Ketika sy sampai di rumah mak mertua sy dorg lari dr sy.. Dan ank sy yg 1st da takut nk balik sane sbb selalu dipukul bile ank sy mengadu ape yg da jd kat sane.. Lgi 1 sy dpt taw ni cerai ni pun rancangan mak mertua sy tuk pisahkan sy dan anak2.. Segala doc kelahiran ank dan sijil jabatan agama semua telah dbawa lari supaya sy tidak boleh rujuk.. Pade pendapat ustaz apakah cara utk dptkan isteri sy blk dan di jauhi mak mertua sy sehingga isteri sy berubah.. sbb sy takut akn jd lebih teruk sdgkan waktu dgn sy pun mak die boleh biakan ank die lepas ngan laki laen dan ugut anak sy utk pukul kalau sy taw.. Skrg sy da ade surat report dr balai untuk ank sy.. Cme isteri sy je sy buntu nk fikir utk dptkan dan ubah die jd seperti sblm nie.. Sy xsampai hati nk tgk die rosak demi ikut hawa nafsu mak die yg tamak kan duit.. Mntk ustaz balas pertanyaan sy..

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum ustaz.
    Saya nak tanya saya talakkan isteri saya dengan talak 1 atas sbb sya dan isteri tinggal berasingan selama 4 bulan.bila saya panggil dia balik tak ada respon yang di beri..saya telefon abg ipar saya untuk tanya hal ni dalam perbualan itu saya tinggi kan suara dan abg ipar saya memaki saya dengan kata2 kesat yang saya tidak boleh lupa.. Kerana tiada respon dari isteri dan pergaduhan dengan abg ipar menyebabkan saya lafaz talak melalui telefon..saya sayang sungguh isteri saya..macam mana nak ruju dengan isteri saya balik.

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum ustaz saya nak tanya jika seorang ibu baru meninggal dunia dan kita sebagai anak hari-hari dok bercerita tentang rindunya kat dia dan sebut kat dia.. adakah tenang roh ibu kita tu disana ?? Saya dalam kebingungan semenjak ibu mentua meninggalkan kami semua

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum ustaz saya nak tanya jika seorang ibu baru meninggal dunia dan kita sebagai anak hari-hari dok bercerita tentang rindunya kat dia dan sebut kat dia.. adakah tenang roh ibu kita tu disana ?? Saya dalam kebingungan semenjak ibu mentua meninggalkan kami semua

    ReplyDelete
  8. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete