Monday, June 23, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 128 (Dosa Tanggung Sendiri, Hukum Memelihara Anjing, Hukum Bertaruh Judi, Doa Hilang Barang Dan Cara Mohon Maaf Mereka Yang Sudah Meninggal Dunia.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 128 adalah menjelaskan persoalan dosa tanggung sendiri, hukum memelihara anjing, hukum bertaruh judi, doa hilang barang dan cara mohon maaf mereka yang sudah meninggal dunia.

596. Soalan :  Saya nak tanya..dosa anak perempuan akan ditanggung oleh bapanya sekira nya belum berkahwin dan akan ditanggung oleh suaminya selepas berkahwin..seandainya si anak sudah bercerai, dosanya akan ditanggung oleh siapa?

Jawapan : 

Perlu di fahamkan bahawa apabila seseorang lelaki atau perempuan sudah sampai umur baligh maka mereka akan tanggung dosa mereka sendiri bukannya ibu bapa mereka. Suami atau bapa hanya berdosa jika mengabaikan tanggungjawab mendidik isteri dan anak-anaknya dengan didikan Islam dan mengabaikan memberikan nafkah. Anak lelaki dan perempuan yang sudah baligh akan menanggung dosa mereka sendiri kerana mereka mukalaf dan mengetahui dosa dan pahala. 

Firman Allah SWT maksudnya, " Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah memberi peringatan kepada orang-orang yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhan semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, serta mereka mendirikan solat dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya dia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali." (Surah al-Faatir ayat 18)
 

Jika seorang wanita bercerai dengan suaminya maka dia menanggung dosa diri sendiri jika dia buat dosa dan dia akan mendapat pahala jika dia melakukan amal soleh. Cuma darisegi tanggungjawab menjaga kemaslahatan dirinya maka dia akan berbalik kepada walinya iaitu bapanya sendiri, jika bapanya sudah meninggal dunia maka abangnya akan menjaga kemaslahatan dirinya.

597. Soalan :  Ustaz saya keliru ada jiran saya dia memelihara anjing tapi saya tanya dia yang islam mengharamkan membela anjing tapi dia jawab ada anjing yang msuk syurga...terangkan ustaz hukum beli anjing.

Jawapan : 

Umat Islam di larang membela anjing di rumah kerana malaikat rahmat tak masuk rumah yang ada bela anjing. Anjing yang boleh di bela adalah anjing yang digunakan untuk berburu dan menjaga kebun dan binatang ternak.. Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Imam Bukhari bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguhnya para malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada didalamnya gambar, patung, anjing dan orang yang junub.” Apa yang digaris oleh Islam dalam syariatnya ialah lebih kepada menjaga kemaslahatan penganutnya. Bukan sekadar menyuruh Muslim membuat itu dan meninggalkan ini, malahan lebih daripada itu.

Sebagai pembuka perbincangan, suka saya nukilkan beberapa dapatan kajian saintifik yang kebanyakan kita tidak mengetahuinya.

Walaupun sesuatu suruhan dan tegahan yang dinyatakan oleh Allah dan rasul-Nya pada awalnya diterima oleh sahabat dan para salaf soleh dengan tanpa bantahan, tanpa bertanya hikmah mahupun falsafah di sebaliknya. Tetapi mutakhir ini, kebanyakan tegahan dan suruhan dapat dibuktikan hikmah dan falsafahnya.

Antaranya, kenapa najis kedua ini diwajibkan membasuhnya tujuh kali dan salah satunya dengan tanah? Sains ada jawapannya.

Sebanyak 79.7 peratus penderita barah payudara ternyata sering berdampingan dengan anjing seperti memeluk, mencium, menggendong, memandikan dan semua aktiviti perawatan anjing. Hanya 4.4 peratus pesakit yang tidak memiliki haiwan peliharaan. Di Norway, 53.3 peratus daripada 14,401 pemilik anjing mengidap barah.

Ternyata barah pada anjing dan manusia disebabkan oleh virus yang sama iaitu mammary tumor virus (MMTV).

Dalam satu kajian oleh para penyelidik Munich Universiti mengenai kuman yang dibawa oleh anjing dan kesannya pada manusia, menunjukkan 80 peratus punca penyakit payudara berpunca daripada kuman yang dibawa oleh anjing.

Dari sudut fiqh, pandangan Imam al-Syafie sebagai pandangan yang terpilih dengan beberapa alasan tanpa memperkecilkan pandangan mazhab lain. Ini kerana rakyat Malaysia berpegang dengan mazhab al-Syafie.

Pendapat Pertama: Anjing adalah najis keseluruhannya, sama ada kecil atau besar adalah najis, berdasarkan adanya perintah mencuci bejana yang dijilatnya sebanyak tujuh kali. Bahkan, menurut pendapat Imam al-Syafie tentang najisnya anjing ini termasuk najis mughallazah (najis berat).

Sebab mencuci bejana yang kena najis tersebut sampai tujuh kali dan satu kali di antaranya harus dicampuri dengan tanah. Ini adalah pendapat mazhab al-Syafie dan Hanbali yang amat ketat dalam persoalan anjing. Pendapat ini diikuti umumnya kaum Muslimin di Malaysia dan yang bermazhab al-Syafie.

Terdapat dua dalil yang menjadi hujah bagi pendapat pertama ini. Dalil Pertama berdasarkan kaedah Qiyas.

Menurut mereka anjing dan babi serta yang lahir daripada keduanya adalah najis, termasuk keringatnya. Suruhan Rasulullah SAW untuk membasuh bekas yang diminum oleh anjing adalah dalil bagi menunjukkan najisnya lidah, air liur dan mulut anjing.

Memandangkan lidah dan mulut adalah anggota utama di mana tanpa lidah dan mulut haiwan tersebut akan mati kerana tidak boleh mendapatkan makanan dan minuman. Jika lidah dan mulut dikategorikan sebagai najis, maka sudah tentu lain-lain anggotanya adalah najis juga.

Selain itu, air liur anjing terhasil daripada peluhnya sendiri, maka jika peluh yang keluar daripada mulut (air liur) adalah najis, maka sudah tentu peluh yang keluar daripada seluruh badannya adalah najis juga.

Imam An-Nawawi menyebut di dalam Al-Minhaj: "Yang disebut najis itu adalah setiap cecair yang memabukkan, anjing babi dan apa-apa yang lahir daripada keduanya…" (Mughni Al-Muhtaj, Khatib Syarbini:1/110).

Kata al-Qardhawi, hukum membela anjing sebagai binatang kesayangan (hobi) adalah haram, yakni diharamkan oleh Rasulullah. Dalilnya: Daripada Sufyan bin Abu Zuhair, bahawa Nabi SAW bersabda: Barang siapa memelihara anjing bukan untuk menjaga ladang atau ternak, maka setiap hari pahalanya berkurangan satu qirath. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dan semua ahli hadis yang lain).

Inilah juga pendapat majoriti mazhab Syafie, Hanbali, Maliki dan Zahiri (al-Majmuu', IX/234)

Daripada Abdullah bin Umar dia berkata: "Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Sesiapa memelihara anjing selain anjing untuk berburu atau anjing menjaga binatang ternak, maka pahalanya akan berkurang dua qirath setiap harinya." (Hadis Riwayat Bukhari no. 5059 dan Muslim, no: 2940).

Juga daripada Ibnu Umar r.a. berkata: "Rasulullah SAW memerintahkan supaya membunuh anjing kecuali anjing untuk berburu atau anjing untuk menjaga kambing atau menjaga haiwan ternak. (Hadis Riwayat Muslim no. 1571)"

Antara alasan-alasan fuqaha seperti Ibnu Hajar ialah

1. Ia menakutkan jiran dan orang lalu lalang di luar rumah atau orang yang mengunjunginya.

2. Berkurangnya pahala kepada pemeliharanya.

3. Keengganan Malaikat masuk rumah yang ada anjing.

4. Ada anjing yang menjadi daripada jelmaan anjing (anjing hitam pekat).

5. Tabiat anjing yang suka menjilat dan kenajisan jilatan itu mungkin menyukarkan pemeliharanya. 


598. Soalan : Ustaz..saya nak tanya kalau macam bertaruh dalam perlawanan..tapi pertaruhan tu macam kalau si dia tu kalah ,dia belanja makan .hukumnya haram ke.?

Jawapan : 

Pertaruhan yang ada ganjarannya di antara dua pihak adalah dikira sebagai judi hukumnya haram. Jika ada yang sponser untuk memberi hadiah tak melibatkan orang yang bertaruh di haruskan.
 

Judi dalam hukum syar’i disebut maysir dan qimar adalah “transaksi yang dilakukan oleh dua belah untuk pemilikan suatu barang atau jasa yang menguntungkan satu pihak dan merugikan pihak lain dengan cara mengaitkan transaksi tersebut dengan suatu aksi atau peristiwa”.Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُون

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُون

Maksudnya, "Hai orang–orang yang beriman sesungguhnya arak,judi,berhala dan mengundi nasib adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. sesungguhnya syaitan itu bermaksud menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran arak dan berjudi itu, menghalangi kamu dari mengingat Allah dan shalat; maka berhentilah kamu .(Surah Al –Maidah ayat 90-91)

Sebenarnya kalau dinalar berjudi memang merugikan kerana secara matematik peluang untuk menang berjudi itu sangat kecil, apalagi kalau pemainnya ramai. Memang banyak alasan logik (dan ilmiah) di balik larangan mahupun anjuran dalam agama Islam. Allah SWT telah memperingatkan dengan tegas mengenai bahaya judi ini di dalam surat Al-Maidah ayat 90 – 91 di atas tadi, Allah SWT berfirman Dalam Surat Al Maidah ayat 2 yang maksudnya “…..Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.”

Dengan kita ikut bermain maka kita juga ikut berperan aktif dalam meramaikan perjudian itu sendiri. Dan syarat suatu hal dikatakan sebagai sebuah judi menurut agama adalah : 1. adanya harta yang dipertaruhkan. 2. adanya suatu permainan yang digunakan untuk menentukan pihak yang menang dan pihak yang kalah. 3. pihak yang menang akan mengambil harta (yang menjadi taruhan) dari pihak yang kalah (kehilangan hartanya).

Firman Allah SWT maksudnya, “Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi (Al-Maisir), katakanlah bahawa pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah Al-Baqarah ayat 219)

Berdasarkan hadis nabi “Barangsiapa berkata kepada saudaranya marilah kita bermain judi, maka hendaklah dia bersedekah.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Berdasarkan dalil-dali di atas dapat disimpulkan bahawa Islam menjadikan judi sebagai satu kesalahan yang serius dan memandang hina apa jua bentuk judi. Ini dapat dilihat dari petunjuk petunjuk berikut: Judi disebut dan diharamkan bersama dengan perbuatan minum arak, berkorban untuk berhala (syirik) dan menenung nasib. Kesemua ini adalah dosa besar di dalam Islam.

1. Judi disifatkan sebagai najis untuk menggambarkan kekejiannya.


2. Kehinaan judi diperkuatkan dengan pernyataan bahawa ia adalah amalan syaitan.


3. Allah menggunakan perkataan ‘Jauhilah’ untuk menunjukkan pengharamannya. Perintah menjauhi judi lebih keras dari mengatakan bahawa ia adalah haram. artinya umat Islam bukan hanya dituntut untuk tidak berjudi tetapi juga tidak mendekatinya atau apa jua jalan kepadanya. Ini sama seperti larangan dari mendekati zina.


4. Allah sertakan dalam ayat pengharaman itu, akibat-akibat buruk dari berjudi.


5. Akibat buruk yang dinyatakan berkaitan dengan perkara yang dianggap penting dalam Islam iaitu menjaga kesatuan, persaudaraan dan mendirikan solat. Oleh kerana perkara ini adalah penting dalam Islam, maka apa jua yang boleh merosakkannya adalah suatu yang dipandang berat.


6. Dalam Surah Al-Maidah ayat 90-91, Allah bukan hanya perintah agar menjauhi judi bahkan Ia memperkuatkan perintah tersebut dengan seruan agar meninggalkannya sebagai penegasan.


7. Siapa yang mengajak saudaranya berjudi sahaja, diperinthkan oleh Rasulullah SAW bersedekah sebagai kafarah terhadap dosanya apa lagi jika melakukannya.

Oleh kerana itu pengaharaman judi adalah sesuatu yang sabit dengan dalil qat’ii sama seperti pengharaman ke atas babi. ertinya dalam apa jua keadaan dan tempat, judi adalah haram sehingga hari Kiamat. Larangan terhadapnya tidak dapat ditafsirkan dengan pengertian lain. Apa yang tidak sabit secara qat’ii ialah bentuk-bentuk permainan yang dikategorikan sebagai judi. Dalam aspek ini sememangnya terdapat khilaf dikalangan ulama kerana permainan selalunya berkembang dari masa ke semasa dan berbeza-beza antara dahulu dan sekarang dan antara kalangan kaum.


599. Soalan :  Saya terlupa letak sesuatu barang di dalam rumah.. bolehkah ustaz beri doa atau zikir yang boleh menemukan semula barang tersebut? Terima kasih..

Jawapan : 

Pertama, kami ingatkan bahawa tidak ada yang sia-sia dalam hidup seorang mukmin. Semua keadaan dan perasaan yang dia alami, boleh berpeluang menjadi sumber pahala baginya. Nabi SAW bersabda :

عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير وليس ذاك لأحد إلا للمؤمن إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له وإن أصابته ضراء صبر فكان خيرا له
 

Maksudnya, “Sungguh mengagumkan keadaan orang Mukmin. Sesungguhnya semua urusannya baik, dan karakter itu tidak dimiliki oleh siapapun kecuali orang Mukmin. Jika dia mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, dan demikian itu lebih baik baginya. Jika ditimpa kesusahan, dia akan bersabar, dan demikian itu lebih baik baginya.” (HR. Muslim, al Baihaqi dan Ahmad)

Cara paling berkesan untuk mengendalikan hati ketika mendapat musibah adalah kita meyakini bahawa setiap detik musibah, resah, atau sedih yang kita alami, semuanya akan membuahkan pahala, selama kita siap bersabar.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

مَا يُصِيبُ المُسْلِمَ، مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ، وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ، حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا، إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ
 

Maksudnya, “Tidak ada satu musibah yang menimpa setiap muslim, baik rasa capek, sakit, bingung, sedih, gangguan orang lain, resah yang mendalam, sampai duri yang menancap di badannya, kecuali Allah jadikan hal itu sebagai sebab pengampunan dosa-dosanya.” (HR. Bukhari 5641)

Dengan semangat ini, bahkan boleh jadi kita akan menjadi hamba yang bersyukur ketika mendapat musibah.

Kedua, kami tidak menjumpai satu amalan atau doa khusus dari Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam ketika seseorang kehilangan barang. Hanya saja, terdapat riwayat dari Ibnu Umar radhiyallahu ‘anhuma, dimana beliau mengajarkan doa ketika kehilangan barang. Dari Umar bin Katsir, dari Ibnu Umar radhiyallahu ‘anhu, beliau menjelaskan amalan ketika kehilangan barang,

يتوضأ ويصلي ركعتين ويتشهد ويقول: «يا هادي الضال، وراد الضالة اردد علي ضالتي بعزتك وسلطانك فإنها من عطائك وفضلك»
 

Maksudnya, ”Dia berwuduk, kemudian shalat 2 rakaat, setelah salam lalu mengucapkan syahadat, kemudian berdoa,

يَا هَادِيَ الضَّال، وَرَادَّ الضَّالَة ارْدُدْ عَلَيَّ ضَالَتِي بِعِزَّتِكَ وَسُلْطَانِكَ فَإِنَّهاَ مِنْ عَطَائِكَ وَفَضْلِكَ
 

Ya Allah, Zat yang melimpahkan hidayah bagi orang yang sesat, yang mengembalikan barang yang hilang. Kembalikanlah barangku yang hilang dengan kuasa dan kekuasaan-Mu. Sesungguhnya barang itu adalah bagian dari anugrah dan pemberian-Mu’.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Mushannaf no. 29720, al-Baihaqi dalam ad-Da’awat al-Kabir (2/54). Baihaqi mengatakan,

هذا موقوف وهو حسن
 

Ini adalah hadis mauquf [perkataan shahabat] dan hadis ini statusnya adalah hasan”

Demikian pula dinyatakan oleh Abdurrahman bin Hasan, bahawa perawi untuk riwayat Baihaqi adalah perawi yang tsiqqah (terpercaya). (Tahqiq al-Wabil as-Shayib, Abdurrahman bin Hasan dibawah bimbingan Dr. Bakr Abu Zaid)


600. Soalan : Ustaz.... kalau kita melakukan dosa terhadap Allah SWT, kita boleh bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT.. tapi jika kita berdosa pada manusia, kita mesti memohon maaf pada dia..Soalan saya , jika orang yang kita buat salah tu tak dapat kita bertemu dengan dia untuk memohon maaf, macamana  kita nak memohon maaf darinya.. ada cara tak ustaz uatuk kita memohon maaf sedangkan orang tu dah tak ada atau pindah ke tempat lain..

Jawapan :  

Dosa kepada Allah SWT kita boleh bertaubat nasuha dan berazam tidak mengulangi lagi dosa-dosa tersebut. Tetapi dosa sesama manusia jika kita tak bertemu dengannya untuk meminta maaf maka terdapat beberapa cara : 

1. Dalam doa kita , kita minta ampun kepada Allah SWT keatas orang yang kita melakukan dosa kepadanya. Contoh doa :"Ya Allah , ya Rabbi , aku mohon ampun ke atas dosa-dosaku yang aku lakukan dengan sengaja atau dengan tidak sengaja, dan ya Allah aku mohon Engkau ampunkan dosa semua mereka yang mana aku telah melakukan dosa kepada mereka. Aku tidak dapat berjumpa mereka untuk memohon ampun, maka ampunkan semua dosa-dosa mereka supaya mereka tidak menutut kepada ku di akhirat nanti. Kasihanilah mereka dan masukkanlah mereka semuanya ke dalam syurga-Mu."

2. Satu lagi boleh kita lakukan bila ada masa kita sedekahkan bacaan al-Quran untuk mereka yang kita lakukan dosa dan boleh sekali sekala kita sedekah di masjid atau rumah anak yatim atas nama mereka yang kita lakukan dosa. Contoh : "Wang rm 10 ini aku sedekahkan di rumah anak yatim ini khusus untuk semua mereka yang aku telah lakukan dosa semuga mereka semua memaafkan dosa-dosaku"

No comments:

Post a Comment