Monday, June 9, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 120 ( Fasakh Dan Tebus Talak, Cemburu Semasa Bertunang, Cerai Talak 3 Semasa Marah, Roh Orang Mukmin Dan Bacaan Imam Perlahan.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 120 adalah menjelaskan persoalan fasakh dan tebus talak, cemburu semasa bertunang, cerai talak 3 semasa marah, roh orang mukmin dan bacaan imam perlahan.

556. Soalan :  Ustaz boleh jelaskan tentang fasakh...bila isteri meminta fasakh...setahu saya isteri wajib membayar kepada suami sekurang-kurangnya rm1...dan saya di fahamkan si suami berhak meminta seberapa banyak wang yang dia inginkan...jika si suami meminta rm10,000 adakah isteri perlu membayar jumlah tersebut sepeti yang di minta si suami..harap ustaz dapat beri penjelasan...terima kasih.

Jawapan : 

Setelah akad nikah biasanya suami akan menandatangani surat pengakuan taklik sebagai amaran kepada suami supaya jangan mengabaikan tanggungjawab suami kepada isterinya seperti memberi nafkah dan tidak mencederakan isteri. Jika apa yang dinyatakan di dalam surat pengakuan taklik berlaku di dalam rumah tangga jika isteri mengadu dipejabat agama dan memberikan rm 10 (jika di Selangor) dan mahkamah Syariah mengesahkan bahawa tuntutan si isteri adalah benar maka mahkamah akan membuat keputusan dengan memisahkan suami isteri tersebut secara fasakh. Cerai secara khuluk (tebus talak) pula boleh berlaku apabila suami meminta sejumlah bayaran untuk dia menceraikan isterinya, jika isterinya mampu mengadakah sejumlah wang yang dituntut oleh suami maka makhamah boleh memisahkan mereka dengan cara tebus talak.Khuluk atau tebus talak

Perpisahan antara suami dan isteri melalui tebus talak sama ada dengan menggunakan lafaz talak atau khuluk. Pihak isteri boleh melepaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan mereka jika ia tidak berpuas hati atau lain-lain sebab. Pihak isteri hendaklah membayar sejumlah wang atau harta yang dipersetujui bersama dengan suaminya, maka suaminya hendaklah menceraikan isterinya dngan jumlah atau harta yang ditentukan.

Hukum khuluk adalah berdasarkan surah al-Baqarah ayat 229 : “Tidak halal bagi kamu mengambil apa-apa yang telah kamu berikan kepada mereka suatu jua pun, kecuali jika takut kedua-duanya tidak akan mengikut peraturan Allah SWT. Jika kamu takut bahawa tidak akan mengikut peraturan Allah maka tiadalah berdosa kedua-duanya tentang barang yang jadi tebus oleh perempuan.”

Ia biasanya dilakukan di depan hakim mahkamah syariah. Talak boleh jatuh dengan menyebut “Saya menceraikan kamu dengan bayaran RM 10,000,” dan isterinya menjawab, “Saya menerimanya.” Apabila suami melafazkan demikian, dan isterinya menyahut tawaran itu, dengan serta-merta jatuhlah talak dengan khuluk dan isterinya wajiblah beridah. Suami isteri hanya boleh merujuk dengan akad nikah baru sahaja.

Tujuan khuluk
1. Memelihara hak wanita
2. Menolak bahaya kemudaratan yang menimpanya
3. Memberi keadilan kepada wanita yang cukup umurnya melalui keputusan mahkamah.
 

Jika isteri di pukul dan suami tak memberikan nafkah maka isteri boleh membuat permohonan fasakh (tak perlukan wang untuk bayar pada suami). Proses fasakh memakan masa dan perlu dibicarakan di mahkamah syariah sehingga mahkamah puas hati baru boleh di pisahkan suami dan isteri secara fasakh. (kes seperti ini memakan masa bertahun-tahun lamanya). Tetapi sekiranya si isteri mohon cara tebus talak dan suami bersetuju proses perceraian seperti ini biasanya cepat 

557. Soalan : Ustaz,saya baru bertunang,sebelum bertunang,saya tak ada perasaan cemburu dan suka tuduh menuduh,sekarang ni dah bertunang,saya kuat cemburu dan suka tuduh menuduh pasangan saya,punca pada tu,hubungan kami jadi bergaduh..jadi,mcm mana ni ustaz?

Jawapan : 

Semasa bertunang ini adalah masanya bertaaruf dan mengenali hati budi masing-masing. Sifat cemburu dan mudah membuat tuduhan adalah sifat yang tidak sesuai ketika proses peringkat perkenalan di antara satu sama lain. Cemburu yang tidak di asaskan dengan iman adalah datang daripada godaan syaitan yang cuba memecah belahkan hubungan yang bakal di bina iaitu ikatan perkahwinan yang sah. Syaitan rasa cemburu dan akan melakukan sesuatu untuk memusnahkan ikatan yang baru bermula.

Cemburu di sini ialah cemburu membabi-buta tanpa bukti dan usul periksa. Seperti hadis Aishah r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: " Apa yang terjadi kepada kamu, wahai Aishah? Adakah kamu cemburu? "

" Takkanlah aku tidak cemburu kepada orang seperti tuan? "


Kemudian Rasulullah SAW melanjutkan : "Apakah telah datang kepadamu syaitan kamu?"


" Wahai Rasulullah! Apakah bersama aku ada syaitan? "


" Ya. "


" Dan apakah syaitan itu ada di setiap manusia? "


" Ya. "


" Apakah syaitan juga bersama kamu wahai Rasulullah? "


" Ya, akan tetapi Tuhanku telah menolongku daripadanya. "


558. Soalan : Saya ada masalah sekarang ni..semalam saya bergaduh dengan suami saya.suami saya seorang yang panas baran..dalam pergaduhn tu berlaku sumpah meyumpah antra kami.saya akui saya pun hilang sabar dan menyumpah suami.Suami hilang pertimbagan dan teramat marah sehingga memukul dan menarik rambut saya dan terlepas aku cerai kau talak 3.suami seperti hilang akal ketika itu.saya terkedu dan  menangis,tak lama tu suami sedar dan meminta maaf dan dia tak sedar apa yang dia ungkap kerana teramat marah.saya ragu-ragu kami masih tinggal bersama..jatuh ke talak tu ustaz? Saya amat bingung dan suami pun menyesal mengenangkan anak-anak..mohon ustaz beri pengcerahan.terim kasih ustaz.

Jawapan : 

Talak jika dilihat dari segi lafaz terbagi kepada dua iaitu :

1. Talak Sarih (yang dinyatakan secara tegas)

2. Talak Kinayah (dengan sindiran).

Huraiannya :

1. Talak Sarih (yang dinyatakan secara tegas) ialah talak yang difahami dari makna perkataan ketika diucapkan, dan tidak mengandung kemungkinan makna yang lain.

Contohnya, ”Aku ceraikan engkau dengan talak satu"

Dengan ucapan di atas maka jatuhlah talak, baik bergurau, main-main ataupun tanpa niat.

Kesimpulan ini didasarkan pada hadis dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi SAW, baginda bersabda, ”Ada tiga hal yang sungguh-sungguh, jadi serius dan gurauannya jadi serius (juga) : nikah, talak, dan rujuk.” (Hadis Hasan: Irwa-ul Ghalil no:1826 dan Tirmidzi II:328 no:1195).

2. Talak Kinayah, ialah talak yang dinyatakan secara sindiran.

Contohnya : ”Hendaklah engkau kembali kepada keluargamu" dan yang lain-lain cara.

Talak seperti diatas maka tidak akan terjadi talak, kecuali diiringi dengan niat. Jadi apabila pihak suami menyertai ucapan itu dengan niat talak maka jatuhlah talak; dan jika tidak maka tidak terjadi talak.

Dari Aisyah r.a. berkata, Tatkala puteri al-Jaun menikah dengan Rasulullah SAW dan beliau (kemudian) mendekatinya, ia mengatakan, ”’Auudzubillahi minka (aku berlindung kepada Allah darimu). Maka kemudian baginda bersabda kepadanya, ”Sungguh engkau telah berlindung kepada Zat Yang Maha Agung, kerana itu hendaklah engkau bergabung dengan keluargamu.” (Hadis Sahih Riwayat Nasa’i no:3199, Fathul Bari IX:356 no:5254, Nasa’i VI:150).

Dari Ka’ab bin Malik r.a., ketika ia dan dua rakannya tidak bicara oleh Nabi SAW, kerana mereka tidak ikut bersama baginda pada waktu perang Tabuk, bahawa Rasulullah SAW pernah mengirim utusan menemui Ka’ab (agar menyampaikan pesan baginda kepadanya), ’Hendaklah engkau menjauhi isterimu!” Kemudian Ka’ab bertanya, ”Saya harus mentalaknya, ataukah apa yang harus aku lakukan?” Jawab Beliau, ”Sekedar menjauhinya, jangan sekali-kali engkau mendekatinya.” Kemudian Ka’ab berkata, kepada isterinya, ”Kembalilah engkau kepada keluargamu.” (Muttafaqun ’alaih: Fathul Bari III: 113 no:4418, Muslim IV:1120 no:2769, ’Aunul Ma’bud VI:285 no:2187 dan Nasa’i VI:152). (Perkataan Ka'ab ini bukan bermaksud menceraikan isterinya.).
 

Pembahasan Talak Raj'i dan Talak Ba’in

1. Talak Raj'i (rujuk)

Talak Raj'i adalah talak di mana suami boleh merujuk kembali isteri yang diceraikannya itu dan diletakkan kembali di bawah jagaannya selama iddah masih belum tamat. Ini boleh dilakukan dengan niat dan keinginan yang semata-mata untuk merujuk kembali kepada isterinya.

2. Talak Ba'in (nyata)

Talak Ba'in adalah talak di mana suami tidak lagi dapat merujuk kembali akan isterinya atau dengan erti kata yang lain talak yang memisahkan sama sekali isteri dari suaminya. Talak Ba'in pula dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Ba'in Sughra dan Ba'in Kubra.

i. Talak Ba'in Sughra

Talak Ba'in Sughra adalah talak yang kurang dari 3 kali. Maksudnya bila seseoranq suami menjatuhkan talak kali yang pertama (1) atau kali yang kedua (2) ke atas isterinya kemudian si suami tidak pula merujuk kembali akan isterinya itu sehinggalah tamat tempoh iddah, maka dengan sendirinya talak ini jatuh menjadi Talak Ba'in Sughra. Suami masih boleh berkahwin semula dengan bekas isterinya yang ditalak itu tetapi dengan syarat mestilah diakad nikahkan yang baru serta membayar mahar kahwin dan memenuhi syarat-syarat dan rukun perkahwinan.

ii. Talak Ba'in Kubra

Talak Ba'in Kubra adalah talak yang kali ke tiga (3) dijatuhkan oleh suami ke atas isterinya. Dengan jatuhnya talak kali ke tiga ini, maka terpisahlah seorang isteri dari suaminya sama sekali. Pasangan yang bercerai pada bilangan talak yang ke tiga tidak lagi boleh dirujuk atau untuk berkahwin semula sehinggalah bekas isteri itu berkahwin dengan lelaki lain dan disetubuhinya. Selepas itu wanita ini bercerai semula dengan suami keduanya maka dengan cara ini suami yang pertama bolehlah berkahwin semula dengan bekas isterinya itu. Dalam mazhab Syafie talak 3 yang dijatuhkan sekali gus dalam satu masa maka jatuh talak 3 tersebut dan tak boleh dirujuk.


Menjatuhkan talak ketika marah : Mengikut jumhurul Ulama' (termasuk Syafi'iyah): lafaz talak yang diucapkan secara sarih (jelas) seperti di atas (aku ceraikan dikau dengan talak 3) dalam semua keadaan (termasuk ketika marah) di mana akal masih waras dan ia sedar apa yg diucapkan, maka lafaz itu sah. Jika lafaz talak itu diucap dalam kemarahan tapi ia masih sedar apa yg diucapkan, maka jatuhlah Talaknya. (Prof Dr H Mahmud Yunus, Perkahwinan dlm Islam menurut 4 Madzhab, Jakarta)

Ulasan Para Pentahqeeq: kita memilih Imam Ibn Qayyim al-Jauziah (Ighatsah alLahafan:14), di mana Imam Ibn Qayyim memecahkan isu marah (ketika talak) kepada tiga kategori:

a. Kemarahan yang biasa yang mana ia langsung tidak merubah akal dan ia sedar sepenuhnya kepada setiap patah perkataan yg diucapkannya, maka talak jatuh tanpa khilaf lagi.

b. Kemarahan yg sederhana yang belum sampai kepuncak, yang mana akal antara masih dikawal atau dikuasai oleh nafsu ammarah, dari dalil-dalil syara', Talak dalam keadaan ini juga tidak sah.

c. Marah yg maksima yang boleh menghilangkan akal dan pertimbangan manusia, maka ia bertepatan dengan pendapat jumhur, talak yg dilafazkan dlm situasi begini tidak sah.

Dalil: untuk b dan c ialah: HR Abu Daud, Ibn Majah dan alHakim (sahih menurut syurut Muslim) dari Aisyah ra:" Tiada talak dan tiada cerai ketika marah."

Pentahqeeq yg bersependapat dgn Imam Ibn Qayyim ialah gurunya Imam dan Syaikhul Islam Ibn Taymiyah alHarani (Majmu' Fatawa lil Syaikhul Islam), Imam Ibn Abidin, Hasyiah Ibn Abidin, Jld 2; Syaikhul Azhar Syaikh Mahmood Syaltut, Fatawa Islamiyah.

Untuk selesaikan masaalah ini puan harus segera kePejabat Agama yang berdekatan dan kemukakan masaalah puan supaya Mahkamah Syariah boleh putuskan samaada talak 3 yang suami puan ucapkan jatuh atau pun tidak. Wallahu a'lam


559. Soalan : Saya nak tanya betul ke roh orang mukmin yang sudah meninggal dunia akan bebas di muka bumi untuk kemana saja seperti balik ke rumah, melihat anak-anak dan keluarga yang masih hidup sepanjang bulan Ramadan?

Jawapan : 

Perlu kita jelas bahawa apabila seorang manusia telah meninggal dunia, maka rohnya telah berada di alam barzakh. Roh ini tak boleh balik ke dunia lagi samaada bulan Ramadan atau bulan-bulan yang lain. Barzakh maksudnya "dinding" . Roh manusia di alam barzakh jika dia orang beriman akan tinggal di alam barzakh sebagai taman-taman syurga . 

Seorang mukmin yang diredai Allah, ketika berada di alam barzakh seperti duduk di taman-taman syurga, disoal siasat oleh Munkar dan Nakir dengan mudah, diberi kerehatan sementara menanti hari kiamat. Bila berlaku hari kiamat dia termasuk golongan yang dirahmati Allah S.W.T mendapat perlindungan Arasy, diberi minum air daripada kolam (khaudh) Rasulullah S.A.W. tidak dahaga sampai bila-bila dan meniti siratul mustakim pantas seperti kilat. Alangkan bahagianya para mukmin seperti ini, amalan yang dilakukan ketika di dunia hingga dia mendapat status 'VVIP' disisi Allah S.W.T adalah amal soleh yang berterusan dan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. 

Orang kafir tempat tinggalnya di alam barzaakh setipa pagi dan petang akan diperlihatkan tempat duduknya di neraka dan kedudukannya adalah seperti tinggal satu lubang daripada api neraka.

560. Soalan :Ustaz. semasa kita jadi imam kita tak baca dengan kuat. boleh tak ustaz?

Jawapan : 

Jika di dalam dua rekaat pertama solat Magrib. Isyak dan Subuh imam di sunatkan menguatkan bacaannya kerana ini adalah sunah Rasulullah SAW.. Jika imam ketika solat bacaannya perlahan sah solatnya tetapi tidak sempurna kerana tidak mengikut sunah Rasulullah SAW.

Dalilnya yang masyhur ialah "Syallu kama ra`aitumuunii Usyalli" maksudnya "solatlah kamu sekelian sebagaimana kalian lihat aku solat." [HR Bukhari-Muslim] 

Untuk lebih jelas lagi kami ungkapkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Abu Daud. "Rasulullah SAW membaca ayat dengan suara jelas (jahar) dalam solat Subuh dan pada dua rakaat pertama pada solat Maghrib dan Isyak. Baginda bacanya dengan berbisik pada solat Zohor, Asar dan pada rakaat ketiga solat Maghrib serta dua rakaat terakhir pada solat Isyak. Para makmum mengetahui bahawa baginda membaca sir (perlahan) dari gerakan janggut baginda, dan kadang-kadang dari bacaan ayat yang baginda bacakan kepada mereka".

Lajnah Daaimah lil Buhuth KSA memfatwakan tatacara kuat perlahan itu hukumnya sunnah dan umat Islam disyari'atkan mengikuti sunnah ini. (Jld 6/392)

Dr Abdul Karim Zaidan dalam al-Mufassal, madzhab Ahmad menetapkan, seseorang yg solat secara sendirian mempunyai pilihan samada nak baca kuat atau perlahan (1/220)

Maka, sunnah ini diberatkan dalam solat berjama'ah tapi dilonggarkan dalam solat sendirian.


No comments:

Post a Comment