Saturday, June 21, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 126 (Bertaubat Kepada Allah SWT, Gambar Facebook, Baju Terkena Arak, Hati Perlu Bertawakal dan Suami Cepat Panas Baran.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 126 adalah menjelaskan persoalan bertaubat kepada Allah SWT, gambar facebook, baju terkena arak, hati perlu bertawakal dan suami cepat panas baran.

586. Soalan :  Ustaz..saya nak tanya..bila seseorang itu nak bertaubat..apakah permulaan yang harus dilakukan..?

Jawapan : 

Taubat berasal dari kata "tawaba" dalam bahasa Arab menunjukkan makna pulang dan kembali. Sedangkan taubat kepada Allah SWT berarti pulang dan kembali ke haribaan-Nya serta tetap di pintu-Nya.

Maksud taubat adalah kembali kepada Allah setelah melakukan maksiat atau dosa. Taubat marupakan rahmat Allah yang diberikan kepada hambaNya agar mereka dapat kembali kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang Yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba Dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan Limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (Surah At-Tahrim ayat 8)

Al-Hafizh Ibnu Katsir berkata dalam kitab tafsirnya :

"Artinya adalah, taubat yang sebenarnya dan sepenuh hati, akan menghapus keburukan-keburukan yang dilakukan sebelumnya, mengembalikan keaslian jiwa orang yang bertaubat, serta menghapus keburukan-keburukan yang dilakukannya."

Hasan Al Bashri berkata : “Taubat adalah jika seorang hamba menyesal akan perbuatannya pada masa lalu, serta berjanji untuk tidak mengulanginya.”

Al Kulabi berkata : “Yaitu agar meminta ampunan dengan lidah, menyesal dengan hatinya, serta menjaga tubuhnya untuk tidak melakukannnya lagi.”

Sa'id bin Musayyab berkata : “Taubat nasuha adalah: agar engkau menasihati diri kalian sendiri.”

Dari pendapat yang diberikan di atas bahawa taubat nasuha itu adalah taubat yang sebenarnya dan tidak lagi mengulangi kesalahan yang dilakukan. Taubat nasuha dilakukan dengan penuh penyesalan atas segala dosa yang dilakukan. Allah menerima orang yang bertaubat bersungguh-sungguh dan tidak lagi mengulangi perbuatan dosa tersebut. Manakala orang yang bertaubat kemudia masih melakukan perbuatan dosa tersebut tidak dinamakan sebagai taubat nasuha.

Ada manusia beranggapan buatlah dosa duhulu nanti kita boleh taubat pada masa tua nanti. Kalau dan bertaubat tidak mengapa, kalau tidak berkesempatan untuk bertaubat maka padah nanti di hari akhirat. Lagipun taubat sebegini diibaratkan tidak ikhlas dengan Allah, sebab orang tersebut masih berkeinginan untuk melakukan dosa. Jangan berlengah-lengah untuk bertaubat, kerana orang yang melengahkan taubat ini adalah orang yang jahil, sombong, tidak sedar diri dan zalim kepada dirinya. Firman Allah yang bermaksud :

“ Dan ingatlah, sesiapa Yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang Yang zalim.” (Surah Al-Hujurat ayat 11)

Syarat-syarat Taubat

1. Mengikut Manhaj Salaf as-Soleh, antara syara-syarat taubat yang wajib dipenuhi agar taubat di terima oleh Allah :

2. Berazam dan bertekad untuk meninggalkan (tidak akan mengulangi lagi) perbuatan dosa yang telah dilakukan.


3. Kesal (menyesali) dan berduka di dalam hati terhadap perbuatan dosa yang dibuat.

4. Bersegera meninggalkan dosa yang telah dilakukan semata-mata kerana Allah.

Jika dosa yang dilakukan berkaitan dengan orang lain, syaratnya ia wajib membebaskan dirinya dari hak yang bukan miliknya untuk dikembalikan kepada yang berhak atau minta dihalalkan, ini bererti jika berupa harta benda wajib dikembalikan. Jika berupa fitnah, ghibah (umpatan), penghinaan, cacian, kutukan, laknat dan kezaliman, maka wajib meminta maaf daripada orang tersebut terutama terhadap kezaliman yang dilakukan kepadanya.

Cara-Cara Bertaubat

1. Menyedari besarnya dosa yang dilakukan sehingga menyesalinya dan menggeruni balasannya yang akan tertimpa diakhirat kelak jika tidak bertaubat, sebagaimana sabda Rasullullah saw : “Menyesali (dosa) itu adalah taubat”. (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

2. Berniat serta berusaha sedaya upaya menjauhi dan meninggalkan dosa yang telah dilakukan dan bertekad tidak akan mengulanginya lagi.

3. Meninggalkan setiap apa yang dibenci dan diharamkan oleh Allah zahir dan batin, lantas beralih kepada yang dicintai dan diredhaiNya.


4. Bertaubat dengan taubat nasuha sebagaimana firman Allah : “Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan taubat Nasuha, Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai” (Surah At-Tahrim ayat 8)

Hukum Taubat

Ketahuilah bahawa hukum bertaubat adalah wajib kepada semua umat Islam untuk memohon keampunan kepada Allah atas segala kesalahan yang dilakukan. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung." (Surah An-Nur: 31)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Wahai sekalian manusia bertaubatlah kalian kepada Allah, karena sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah seratus kali dalam sehari.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Manusia tidak pernah sunyi melakukan kesalahan, kerana manusia dibekalkan nafsu sentiasa suka kepada perkara yang lazat atau keseronokan. Maka di sini, taubat adalah wajib dan fardhu ain kepada semua umat Islam. Taubatlah cara untuk menghapuskan dosa dan diampunkan Allah atas segala kesalahan yang dilakukan. Sebagai muslim yang baik, marilah kita sentiasa memohon taubat kepada Allah, supaya segala kesalahan kita diampunkan.

Penutup

Taubat adalah kembali kepada Allah atau menyesali atas segala perbuatan dosa yang dilakukan selama ini. Ia bermunajat kepada Allah dan penuh keinsafan dan penyesalan atas segala dosa yang dilakukan. Taubat kepada mesti dengan sebenar-benar taubat, kerana orang yang tidak ikhlas taubatnya tidak akan diterima oleh Allah. Taubatlah dengan secepat yang mungkin dan jangan berlengah-lengah kalau kita menyedari telah melakukan kesalahan. Orang yang melengah-lengahkan taubat adalah orang yang sombong dengan Allah dan tidak takut dengan azab Allah yang sangat dahsyat. Sentiasalah bermuhasabah diri kita dan sentiasalah beristiqfar dan memohon ampun kepada Allah, mudah-mudahan Allah menerima taubat kita.


587. Soalan : Apakah diterima taubat seorang wanita yg pernah bergambar dengan tidak menutup aurat dan gambar tersebut telah dilihat oleh lelaki yang bukan mahram? Adakah perempuan yg telah menyesal dan bertaubat itu tetap menanggung dosa sekiranya gambarnya masih tetap dilihat orang tanpa pengetahuannya?
Mohon penjelasan dari ustaz..


 Jawapan :

Bergambar dalam keadaan tidak menutup aurat adalah berdosa apabila dilihat oleh lelaki yang bukan mahram di facebook, blog atau di mana-mana media masa. Tetapi apabila dia sudah bertaubat dan dia sendiri memadamkan semua gambar-gambar lama di dalam media sosial dan menggantikan dengan gambar yang menutup aurat dengan sempurna maka ini adalah tindakkan yang terpuji menandakan dia sudah menyesal di atas perbuatannya yang lalu. Tetapi dia tak berupaya untuk memadamkan gambar tersebut yang sudah di add di fb orang lain maka dia tak berdosa kerana di luar bidang kemampuannya untuk memadamkannya, jika boleh dia memohon pada rakannya yang lama untuk memadam gambar tersebut maka patut dia lakukan.

Di samping dia menyesal dan bertaubat dia perlu perbanyakkan sebarkan ilmu-ilmu yang bermanfaat kepada orang lain sebagai sahamnya di akhirat dan dia juga digalakkan banyak bersedekah untuk menampung dosa-dosa lama yang telah dia lakukan. Amal kebajikan yang dilakukan oleh seorang Muslim akan dilipat gandakan oleh Allah menjadi sepuluh kali atau lebih. Oleh itu amal kebaikan juga akan menjadi salah satu jalan pengampunan atas dosa-dosa kecil.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk.” (Surah Hud ayat 114)

Abu Dzar meriwayatkan dari hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :
Bertakwalah kepada Allah dimana saja kamu berada, dan iringilah perbuatan buruk itu dengan perbuatan yang baik kerana ia boleh menghapuskannya…” (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ahmad)


588. Soalan :  Ustaz.. boleh ke baju yang terkena arak kita pakai untuk solat? 

Jawapan :  

Jumhur ulama menyatakan bahawa semua arak yang memabukkan adalah najis dan haram di minum. Jika terkena baju perlu dicuci kerena ianya najis mutawasitah (najis pertengahan). Tak sah solat jika air arak terkena baju solat kita.Khamar (arak) itu adalah najis. Ini adalah merupakan pendapat jumhur ulama, di antaranya adalah imam mazhab yang empat, dan pendapat ini dipilih oleh Sheikhul Islam Ibnu Taimiyah. Hujah mereka adalah firman Allah SWT :

Maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.” (Surah al-Ma’idah, (5) ayat 90)

Menurut mereka, maksud kalimah rijs di situ adalah membawa najis. Maka, dengan itu mereka menyatakan bahawa kenajisan arak itu adalah termasuk kategori najis hissiyah (najis dari sudut ain yang boleh dikesan dengan pancaindera).


Terdapat khilaf ulama mengenai kenajisan arak jumhur ulama mengatakan najis hissiyah (najisdari sudut ain yang boleh dikesan dengan pancaindera). atau termasuk di dalam kategori najis mutawasitah, sebahagian pula mengatakan tak najis darisegi ainnya tetapi semua mengatakan haram di minum. Dalam mazhab Syafie sendiri dan mazhab-mazhab yang lain berpegang pada pendapat yang mengatakan arak (khamar) adalah najis tak boleh terkena baju untuk di buat solat. Wallahu a'lam

589. Soalan : Ustaz, saya nak tanya, macamana caranya meletakkan hati kita supaya sentiasa bertawakal kepada Allah? Kadang2 kita selalu meletakkan harapan yang tinggi kepada sesuatu tetapi apabila tidak kesampaian, rasa kecewa sangat. Saya sedar qada dan qadar Allah.

Jawapan : 

Di dalam apa saja urusan di dunia ini sebelum kita melakukannya perlu melalui 3 perkara : Berdoa, berusaha dan bertawakal. Jika berjaya apa yang kita hajatkan alhamdulillah hendaklah kita bersyukur tetapi jika gagal apa yang kita usahakan maka hendaklah kita bersabar. Nabi SAW bersabda maksudnya, “Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya adalah baik baginya. Hal ini tidak didapatkan kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila tertimpa kesusahan, dia pun bersabar, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya.” (Hadis sahih Riwayat Muslim, no. 2999 dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan radhiyallahu ‘anhu)

Seseorang yang beriman mesti sentiasa ingat tiada sesuatu selain Allah boleh masuk campur dalam apa-apa perkara. Melupakan kebenaran ini membawa seseorang kepada kelalaian. Syaitan akan memperdaya manusia dengan menimbulkan rasa kecewa dan mudah untuk mempersoalkan qada dan qadar Allah SWT. Jika hati manusia sudah terpesong jauh dan menyalahkan takdir maka keadaan ini boleh jatuh syirik dan boleh menjejaskan akidah. Walaubagaimanapun, ini sesungguhnya adalah tipudaya syaitan yang mematahkan semangat seseorang dan menghalangnya daripada berfikir dengan waras. 

Firman Allah SWT maksudnya : "Jika Allah Menolong kamu, maka tidak ada yang dapat mengalahkanmu, tetapi jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapa yang dapat menolongmu setelah itu? Kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang mukmin bertawakal.” (Surah Ali ‘Imran ayat 160)

Kita perlu merancang kehidupan kita sebaik-baiknya. Jika berjaya apa yang kita rancangkan maka sebenarnya berlaku disebabkan keizinan Allah SWT maka hendaklah kita banyak bersyukur. Tetapi jika sekirannya rancangan kita gagal dan apa yang kita hajatkan tidak berhasil, percayalah itu semua berlaku disebabkan Allah SWT ada perancangan yang lebih baik untuk kita sedangkan kita tidak mengetahuinya. Hikmah dan hikmatnya yang tersirat berada di dalam ilmu Allah SWT. maka kita perlu banyak bersabar dan berbaik sangka dengan Allah SWT. Jika perkara ini kita boleh terima dan reda insya Allah kita akan menjadi hamba Allah yang dirahmati dan dikasihi-Nya di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT maksudnya : “Katakanlah, 'Siapakah yang dapat melindungi kamu dari (ketentuan) Allah jika Dia "mengkehendaki bencana atasmu atau mengkehendaki rahmat untuk dirimu?” mereka itu tidak akan mendapatkan pelindung dan penolong selain Allah.” (Surah al-Ahzab ayat 17)


590. Soalan : Ustaz saya ada masaalah rumah tangga.saya dah tak tahan dengan sifat panas baran suami saya.apa yang patut saya lakukan ustaz.

Jawapan : 

Jika suami jenis panas baran maka puan perlu banyak berdiam kerana jika puan pun meninggikan suara maka akan menambahkan marah suami kepada puan. Untuk mendidik suami supaya baik akhlaknya maka puan kena ajak suami untuk hadir ke majlis ilmu yang di adakah di masjid-masjid. Hanya iman saja dapat mengawal marah dan perasaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh” (Surah Al-A'raaf ayat 199)

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi SAW. lagi yang bermaksud : "Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Al Imam Al Hasan Al Bashri rahimahullah berkata: “Empat hal, barangsiapa yang mampu mengendalikannya maka Allah akan menjaga dari syaitan dan diharamkan dari Neraka : iaitu seseorang mampu menguasai nafsunya ketika berkeinginan, cemas, syahwat dan marah.”

Setiap Muslim harus marah manakala kemuliaan Islam dihina, contohnya apabila penghinaan terhadap baginda Rasulullah SAW. yang dilakukan oleh orang-orang yang anti Islam.

Sedangkan kita dituntut untuk dapat mengendalikan marah sekaligus mema’afkan orang lain ketika penyebab marahnya tertuju kepada diri secara peribadi, contohnya ketika jasa seorang suami kurang dihargai isterinya maka suami tersebut hendaklah bertenang jangan cepat merasa marah.

Dalam riwayat Abu Said al-Khudri Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sebaik-baik orang adalah yang tidak mudah marah dan cepat meredhai, sedangkan seburuk-buruk orang adalah yang cepat marah dan lambat meredhai " (Hadis Riwayat Ahmad).

Diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ada seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW. : “Berilah saya nasihat.” Baginga s.a.w.bersabda, “Jangan marah.” Lelaki itu terus mengulang-ulang permintaannya dan baginda tetap menjawab, “Jangan marah.”
(Hadis Riwayat Bukhari)


Kemarahan adalah bara api yang ditanamkan syaitan ke dalam hati manusia, sehingga secara fizikal, kita pun dapat melihat tanda-tanda kemarahan, seperti mata menjadi merah, urat lehernya menegang, tangan gemetar sampai mengeluarkan sumpah serapah. Jika tidak dapat mengendalikan marah, maka manusia akan kehilangan akal yang sihat.

Imam Ja'far Ash-Shadiq memberikan nasihat, iaitu "Hindarilah marah, kerana hal itu akan menyebabkan kamu tercela."

Kemarahan dapat merusak keseimbangan emosi dan merusak kesihatan jasmani. Orang yang pemarah, biasanya mengalami gejala seperti sakit punggung akibat stress, susah tidur, sakit perut, degupan jantung meningkat melebihi batas.

Ada seorang lelaki yang datang menemui Rasulullah SAW.dan mengatakan, “Wahai Rasulullah, ajarkanlah kepada saya sebuah ilmu yang boleh mendekatkan saya ke Syurga dan menjauhkan dari Neraka.” Maka baginda SAW bersabda, “Jangan tumpahkan kemarahanmu. Nescaya Syurga akan kau dapatkan.” (Hadis Sahih Riwayat Thorani)

Dari Abu Hurairah r.a, bahwasanya seseorang berkata kepada Nabi SAW., "Berilah aku wasiat?." Nabi SAW. bersabda: : "Janganlah engkau marah" Orang tersebut mengulangi permintaannya hingga beberapa kali, sedang Nabi SAW. bersabda : " Janganlah engkau marah" (Hadis Riwayat Bukhari).

Maka menahan marah merupakan suatu hal yang harus kita latih agar mendapatkan kenikmatan di Syurga kelak.
 

Puan cuba kongsikan nota ini pada suami supaya dia boleh hilangkan sifat panas barannya : 
Terdapat lima pekara untuk mengatasi perasaan marah. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Membaca Ta'awwudz. (memohon perlindungan Allah SWT daripada gangguan syaitan)

Sulaiman Ibnu Sard meriwayatkan, pernah dua orang saling mencerca satu sama lainnya di hadapan Rasulullah SAW.. Sementara itu, kami sedang duduk di sisinya. Salah seorang dari mereka menghina yang lainnya dengan marah, hingga merah mukanya. Maka Rasulullah SAW .bersabda maksudnya : "Aku mengetahui suatu kalimat, jika diucapkan olehnya (laki-laki yang merah mukanya), maka akan hilang kemarahannya. Hendaklah dia berkata: A’udzubillahi minasy syaithanir rajim (maksudnya 'aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk).( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Berwuduk

Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : " Sesungguhnya, kemarahan itu berasal dari syaitan. Dan syaitan tercipta dari api. Dan sesungguhnya, api itu dapat dipadamkan dengan air. Jika salah seorang diantara kalian marah, maka berwudhu'lah. (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud, hadis ini hasan.)

3. Duduk.

Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda maksudnya : "Kalau kalian marah maka duduklah, kalau tidak hilang juga maka bertiduranlah"(Hadis Riwayat Abu Dawud).

Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Jika salah seorang kalian marah dan dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah duduk. Jika masih belum reda marahnya, maka hendaklah berbaring. ( Hadis Riwayat Ahmad )

Hal ini kerana marah dalam berdiri lebih besar kemungkinannya melakukan keburukan dan kerusakan daripada dalam keadaan duduk. Sedangkan berbaring lebih jauh lagi dari duduk dan berdiri.

4. Diam.

Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Jika engkau marah, maka diamlah. Jika engkau marah, maka diamlah. (Hadis Riwayat Ahmad ) .

Banyak berbicara dalam keadaan marah tidak boleh mengawal perasaan sehingga terjatuh pada pembicaraan yang tercela dan membahayakan dirinya dan orang lain.

Dalam hadis disebutkan :“Apabila diantara kalian marah maka diamlah.” Baginda s.a.w. ucapkan tiga kali." (Hadis Riwayat.Ahmad)

5. Bersujud (maksudnya solat sunat dua rekaat)

Nabi SAW bersanda maksudnya : "Ketahuilah, sesungguhnya marah itu bara api dalam hati manusia. Tidaklah engkau melihat merahnya kedua matanya dan tegangnya urat darah di lehernya? Maka barangsiapa yang mendapatkan hal itu, maka hendaklah ia meletakkan pipinya dengan tanah (sujud)." (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Marah adalah salah satu sifat mazmumah yang harus di jauhi supaya kita tidak termasuk dikalangan orang yang memilikmi sifat tercela.. Sesiapa yang tidak dapat mengawal perasaan marah sebenarnya ia sedang dikuasi oleh hawa nafsu. Banyak keadaan marah boleh mendatangkan perkara buruk. Apabila seseorang itu marah, ia dibantu oleh syaitan. Syaitan adalah musuh utama manusia yang berjanji kepada Allah untuk menggoda dan memesongkan anak cucu Adam.

Walaupun perasaan marah itu banyak dihasut oleh syaitan, ada waktunya perasaan itu boleh diredakan dengan kita mengalihkan pemikiran kita kepada Allah yang sentiasa melihat kita dan apa yang kita lakukan.

Ingatlah, Allah tidak menyukai hamba-Nya berakhlak buruk, apatah lagi kesan dari akhlak buruk itu boleh mendatangkan perkara tidak baik. Amalkanlah lima perkara di atas merupakan kaedah untuk mengatasi perasaan marah yang tidak dapat dikawal. Sesungguhnya apabila kita menjauhkan diri daripada mengamalkan sikap marah atau orang yang suka marah, kita sebenarnya menjauhkan diri daripada kemurkaan Allah SWT dan menjadi hamba yang diredhai-Nya.


No comments:

Post a Comment