Sunday, June 15, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 123 ( Bertunang, Isteri Suka Maki Hamun Suami, Hati Rasa Tak Bersalah Bila Tinggalkan Solat, Hukum Membela Burung Dan Lelaki Sudah Berkahwin Mengaku Bujang.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 123 adalah menjelaskan persoalan bertunang, isteri suka maki hamun suami, hati rasa tak bersalah bila tinggalkan solat, hukum membela burung dan lelaki sudah berkahwin mengaku bujang.

571. Soalan :  "Lelaki menyatakan hasrat ingin menjadikan perempuan itu isterinya, dan perempuan itu bersetuju. Adakah dikira telah bertunang? Padahal tidak ada ibu bapa perempuan tersebut. Pinang dari segi hukum fiqah, bererti pihak lelaki menyatakan hasrat berkahwin pada pihak perempuan. Itu dipanggil pinang. Bilaperempuan menjawab setuju, maka jadilah perempuan itu tunang laki tersebut." mohon penjelasan ustaz

Jawapan : 

Persetujuan kedua-dua belah pihak belum bertunag lagi cuma baru permulaan melamar dan menyatakan hasrat hati . Belum bertunang dalam erti kata sebenarnya kerana wali atau mahram si wanita belum bersetuju lagi.Proses bertunang adalah di mana pihak lelaki berjumpa dan menyatakan hasrat hatinya kepada wali wanita tersebut, juga disertai dengan tanda (biasanya cincin). Jika tak disertakan dengan cincin pun tidak megapa asalkan walinya bersetuju. Adapun sekadar hasrat hati tetapi tidak dilengkapkan dengan prosesnya yang sebenar, tidak dikira sebagai telah bertunang. Wanita tersebut masih lagi halal dipinang oleh lelaki lain.

Kesalahfahaman tentang hal ini sangat berleluasa kepada remaja sekarang. Ramai yang berpendapat bahawa jika lelaki dan wanita sudah memiliki hasrat hati masing-masing & wali wanita tersebut tahu bahawa lelaki tersebut berhasrat untuk memperisterikan anaknya, telah dikira sebagai bertunang. Yang parah lagi, pendapat yang mengatakan wali tidak tahu pun telah dikira bertunang. Yang penting dua-dua sudah suka sama suka & bersetuju untuk berkahwin. Moga kita semua terpelihara dari fahaman-fahaman yang merosakkan & melemahkan ummat.

Jika si lelaki dan wanita sudah bersetuju tetapi wali wanita tak bersetuju adakah persetujuan mereka bersama itu tanpa wali boleh dikira bertunag? Yang pasti perbuatan ini akan meretakkan hubungan anak dengan kedua ibu bapanya kerana kedua ibu bapa tak mengetahui keadaan sebenarnya. Oleh itu jika pihak lelaki dan wanita berhasrat nak bertunang dan nak bersama sebagai suami isteri perlulah melalui proses yang betul dan tak menimbulkan fitnah dan huru hara di kalangan keluarga. Wallahu a'lam.


572. Soalan : Wajib ke seorang suami beri nafkah pada isteri sedangkan isteri selalu memaki hamun suaminya?

Jawapan : 

Seorang suami wajib beri nafkah kepada isterinya dan anak-anak kerana ini adalah tanggungjawab suami. Apabila kita dapati isterinya pula berperangai buruk suka maki hamun suami maka dia adalah tergolong isteri yang nusyuz. Jika si isteri tak minta maaf pada suaminya dan tak bertaubat maka terdapat hadis daripada Nabi SAW yang bermaksud :
“Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” (Hadis Riwayat Al- Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjelaskan kepada kita apa yang disaksikan oleh Rasulullah SAW tentang penghuni Syurga yang majoritinya adalah fuqara (para fakir miskin) dan Neraka yang majoriti penghuninya adalah wanita. Tetapi hadis ini tidak menjelaskan sebab-sebab yang menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam Neraka dan menjadi majoriti penghuninya, namun demikian sebab-sebab tersebut disebutkan dalam hadis lainnya.

Di dalam kisah solat gerhana matahari, Rasulullah SAW. dan para sahabatnya melakukan solat gerhana padanya dengan solat yang panjang , Rasulullah SAW melihat Syurga dan Neraka. Ketika beginda melihat Neraka beginda bersabda kepada para sahabatnya:

“ … dan aku melihat Neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. Para sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Baginda SAW menjawab : “Kerana kekufuran mereka.” Kemudian ditanya lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menjelaskan tentang wanita penghuni Neraka, baginda bersabda : " … dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bunggul unta. Mereka tidak masuk Syurga dan tidak mendapatkan wanginya Syurga padahal wanginya boleh didapati dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)


573. Soalan : Ustaz, kenapa kita tidak merasa bersalah bila meninggalkan mana-mana solat fardu dalam sehari?

Jawapan : 

Apabila seseorang tak rasa bersalah apabila melakukan dosa ini bermakna imannya sangat lemah dan hatinya di selaputi dengan selaput hitam kesan daripada terlalu banyak dosa-dosa yang dia lakukan.Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan sesuatu dosa, terbentuklah bintik hitam pada hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu. Dan apabila dia terus melakukan dosa, bertambahlah bintik hitam itu pada hatinya, sehingga tertutuplah seluruh hatinya, itulah karat yang disebut Allah SWT di dalam kitabNya: Sesekali tidak, sebenarnya apa yang mereka lakukan telah mengkaratkan(menutup) hati mereka. Surah Al-Mutoffifin ayat 14.” (Hadith riwayat Al-Baihaqi)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Ketahuilah di dalam jasad itu ada segumpal daging, apabila dia baik maka baiklah seluruh jasad, dan apabila dia buruk maka buruklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itu adalah hati.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim, dari Nu’man bin Basyir)

Oleh itu jauhilah segala bentuk dosa-dosa samaada kecil atau besar supaya hati kita sentiasa bersih dan sejahtera daripada segala syirik. nifak dan sifat mazmumah.
Cara nak bersihkan hati yang penuh selaput hitam adalah banyak beristighfar dan bertaubat kepaad Allah SWT, membaca al-Quran, datang majlis ilmu ke masjid atau surau, berzikir dan solat tahajjud dan solat taubat.


574. Soalan : Saya nak tanya ustaz.. Boleh ke bela burung dalam sangkar? Tak zalim ke?

Jawapan : 

Harus kita bela burung di dalam sangkar. Boleh hukumnya memelihara haiwan dalam kurungan seperti ikan, burung, arnab, hamster, dsbnya, asalkan ia dijaga dgn baik dan dijaga makan minumnya...bahkan ia suatu industri yg besar di dunia.

Dalil umum: Firman Allah SWT :

وَالأَنْعَامَ خَلَقَهَا لَكُمْ فِيهَا دِفْءٌ وَمَنَافِعُ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ
 

Maksudnya,"Dan Dia telah menciptakan binatang ternak untuk kamu; padanya ada (bulu) yang menghangatkan dan berbagai-bagai manfa'at, dan sebahagiannya kamu makan."(Surah an-Nahl ayat 5)

Jadi, Allah ciptakan hewan ternak untuk pelbagai kegunaan termasuk utk hiburan dan suka-suka kerana suaranya yg merdu (burung) dan kecantikan.

Dalil hadis: Anas meriwayatkan adiknya bernama Abu Umair yang membela seekor burung nughair, setiap kali nabi menziarahi keluarga Anas, baginda akan bertanya Abu Umair mengenai burungnya itu." (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhori no 6203.)


575. Soalan :  Ustaz nak tanya macamana  kalau seorang suami yang dah berkahwin mengaku bujang apakah jatuh talak terhadap isterinya?

Jawapan : 

Tak jatuh talak tetapi lelaki tersebut berdosa kerana berbohong.Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan : Telah kahwin tetapi mengaku bujang.
Munakahat
Tarikh Keputusan:
29 May, 1988
Huraian Tajuk/Isu:
Jatuh atau tidak talak, jika seseorang yang sudah kahwin tetapi mengaku bujang dengan tujuan bergurau sahaja.
Keputusan:
Seseorang yang menyatakan ia masih bujang atau belum berkahwin sedangkan ia telah berkahwin samada dengan tujuan memperolok-olokkan atau mempersenda gurau, mesyuarat berpendapat bahawa ia adalah termasuk dalam erti kata pembohongan dan tidak membabitkan gugur talak.

No comments:

Post a Comment