Monday, June 23, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 130 (Roh Manusia, Seksa Kubur Berdasarkan Hadis Sahih, Cara-cara Solat Tahajud, Jumlah Para Nabi Dan Rasul Dan Hukum Murtad.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 130 adalah menjelaskan persoalan roh manusia, seksa kubur berdasarkan hadis sahih, cara-cara solat tahajud, jumlah para nabi dan rasul dan hukum murtad.

606. Soalan :  Ustaz mohon pencerahan.. Betul ke apa yang saya pernah dengar
 roh orang yang meninggal dunia akan dibebaskan dan akan pulang ke rumah bila Ramadan menjelma? Dan akan pulang semula kesana pada 1 Syawal yakni selepas maghrib akhir Ramadhan.. ?


Jawapan : 

Apabila seorang anak Adam meninggal dunia segala-galanya terputus kecuali 3 perkara. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (Hadis Riwayat Muslim).

PENJELASAN HADIS :


Sesungguhnya kita diciptakan oleh Allah SWT mempunyai matlamat yang tertentu iaitu agar kita sentiasa mengabdikan diri kepada Allah SWT serta mentaatinya dengan melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Firman Allah Ta’ala dalam surah Adz –Dzaariyaat ayat 56 , berbunyi :

وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون

Kira-kira maksudnya: “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku.”

Allah SWT telah menjanjikan pahala bagi mereka yang sentiasa beriman dan bertakwa kepadanya sebagai jaminan untuk mencium bau syurga dan juga memberikan dosa dan api neraka kepada mereka yang mengkufuri perintahnya. Segala amalan kita didunia akan terputus apabila kita kembali menghadap ilahi. Namun terdapat 3 amalan sahaja yang masih dterima Allah SWT sebagai pahala kita di akhirat nanti meskipun kita sudah meninggalkan dunia fana ini. Amalan-amalan tersebut adalah:


1) Amal jariyah
2) Ilmu yang bermanfaat
3) Anak soleh yang mendoakan ibu bapanya.

Di sini jelas menunjukkan kepada kita betapa tingginya nilai rahmat dan kasih Allah SWT terhadap hamba-Nya, memberikan peluang untuk memperolehi pahala walaupun kita sudah berada di alam barzakh. Sekarang terserahlah kepada kita untuk mengambil peluang keemasan ini selagi hayat masih ada.


Apabila manusia sudah dikebumikan selepas kematiannya maka rohnya berada di alam barzakh. Barzakh maksudnya dinding. Dinding yang memisahkan manusia yang hidup dengan manusia yang berada di alam barzakh. Roh manusia tak boleh balik kedunia samaada di bulan Ramadan atau bulan-bulan yang lain. Roh manusia di alam barzakh bagi seorang mukmin yang beriman dan bertakwa adalah seperti taman-taman syurga tetapi bagi orang kafir , munafik, pelaku dosa-dosa besar maka alam barzakh adalah satu lubang daripada lubang-lubang api neraka. Setiap pagi dan petang diperlihatkan tempat duduknya di neraka. Nauzubilahiminzalik.
 

BENARKAH ROH PULANG KE RUMAH DALAM BULAN RAMADHAN?

Mesti ramai orang kita percaya yg roh orang-orang yang dah meninggal akan pulang ke rumah jenguk keluarga dia pada bulan Ramadan ini. Betul ke ni?.

Jawapan 1: “Kalaupun berlaku sungguh, ia akan berlaku, tetapi bukan daripada suami. Tetapi ia dilakukan oleh makhluk lain yang bernama Qarin (jin pendamping manusia) . Qarin ini memang wujud, dalam al-Quran al-Karim dan hadis riwayat Muslim” Dipetik dari kitab: “Menjawab Persoalan Makhluk Halus: Kaitannya Dengan Penyakit Dan Pengubatan – Bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din”.

Dalam hadis dhaif yang lainnya, apabila tiba bulan Ramadan, semua roh berkumpul di Lauh Mahfuz memohon kepada Allah untuk kembali ke bumi. Ada roh yang dibenarkan pulang ke bumi dan ada yang tidak dibenarkan. Roh yang dibenarkan pulang adalah kerana amalan baik mereka semasa hayat mereka ataupun ada penjamin-penjamin yang mendoakan mereka. Manakala roh-roh yang tidak dibenarkan pulang disebabkan kesalahan mereka semasa hayat mereka akan terus di penjara di Luh Mahfuz.

Jawapan 2: Terdapat juga ulama berpandangan bahawa roh orang yang telah mati boleh bertemu dengan roh orang hidup ketika mereka sedang tidur (melalui mimpi). (Kitab Ar-Ruh, Ibn Qayyim, ms 20)

Tafsir firman Allah di surah Az-Zumar ayat 42.


Allah berfirman maksudnya : “Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yg tidak mati (dalam masa tidurnya), kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskn balik jiwa yg lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikn kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)"


Jawapan 3 : Jika roh itu boleh kembali dan tinggal bersama keluarganya selama masa tertentu, tentu yang paling layak mendapatkan keadaan ini adalah roh para nabi, para sahabat, atau para syuhada yang meninggal di medan jihad. Allah tempatkan roh mereka di syurga, dan terpisah sepenuhnya dengan alam dunia.


Syaikh Abdurrahman bin Nashir Al-Barrak pernah ditanya, benarkan roh orang yang meninggal akan kembali ke keluarganya dan dapat melihat semua keadaan keluarganya selama 40 hari?
Jawapan beliau :


Seseorang setelah meninggal, dia menghilang dari kehidupan dunia ini, dan berpindah ke alam barzakh. Dan rohnya tidak kembali ke keluarganya, dan tidak mengetahui semua keadaan keluarganya. Khabar yang menyebutkan bahawa roh kembali ke keluarga selama 40 hari adalah khurafat, yang sama sekali tidak memiliki dalil. Demikian pula si mati, dia tidak mengetahui keadaan keluarganya, kerana dia tidak ada di tengah-tengah mereka. Mereka sibuk dalam kenikmatan atau azab. (Fatwa Islam, 13183)


Jawapan 4: Ada beberapa catatan yang menunjukkan bahawa keyakinan ini adalah keyakinan yang menyimpang dan bertentangan dengan Al-Quran dan sunnah :


Allah mengingkari permintaan orang mati untuk dikembalikan ke dunia
Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka,berkatalah ia:”Wahai Tuhanku,kembalikanlah daku(hidup semula di dunia) supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tnggalkan”. sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu hanyalah perkataan-perkataan yang dia ucapkan saja. dan di hadapan mereka ada dinding (alam barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan. (QS. Al-Mukminun ayat 99 – 100)


Kesimpulannya, alam berkenaan roh ini hanya amat sedikit yg kita ketahui. Sesungguhnya yang Maha Mengetahui adalah Allah SWT jua. Sesuai dgn firman-Nya yg bermaksud “ Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan :Roh itu dari perkara urusan Tuhanku;dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja” (Surah Al-Isra ayat 85).


607. Soalan : Bolehkan ustaz memberi pencerahan terhadap seksa kubur berdasarkan hadis-hadis sahih?

Jawapan : 

Masalah seksa kubur disebutkan di dalam Al-Quran Al-Karim

Dan kalau kita merujuk kepada huraian dari para ulama, kita akan menemukan bahwa ternyata masalah seksa kubur itu jelas dan tegas disebutkan di dalam Quran.

Firman Allah SWT maksudnya, "Allah meneguhkan orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki.(Surah Ibrahim ayat 27).

Dari Al-Barra’ bin Azib bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Ketika seorang mukmin didudukkan di dalam kuburnya, datanglah seseorang. Kemudian bersyahadat bahawa tidak ada tuhan selain Allah dan bahwa Muhammad adalah utusan Allah, maka itulah yang dimaksud dengan ‘Allah SWT meneguhkan orang beriman dengan ucapan yang teguh’. (Hadis Riwayat Bukhari)

Kalau kita buka kitab Shahih Muslim, hadits nomor 2871, ada hadis nabawi yang menjelaskan bahawa ayat ini berkaitan dengan pertanyaan malaikat di dalam kubur.

Hadis itu adalah hadis yang shahih, disahihkan oleh dua ahli hadis, dan diamini oleh pakar hadis lainnya. Silah semak di dalam kitab-kitab hadits lainnya. Misalnya kitab Sunan Abi Daud no 4750, Sunan Ibnu Majah np 4269, Musnad Imam Ahmad no. 18575, dan Sunan At-Tirmizy no. 3120.

An-Nasai dalam kitab Al-Mujtaba jilid 4 halaman 101 juga dalam sunan Al-Kubra, meriwayatkan dari Al-Barra’ menyebutkan bahawa ayat ini turun berkaitan dengan adanya seksa kubur.

Ayat Lainnya :

Dan masih banyak ayat Quran lainnya yang menyebutkan adanya azab kubur. Misalnya

Firman Allah SWT maksudnya,"…Nanti mereka akan Kami seksa dua kali kemudian mereka akan dikembalikan kepada azab yang besar.(Surah. At-Taubah ayat 101)

Di ayat ini teramat jelas bahawa Allah SWT menyiksa orang zalim itu dua kali, iaitu pada alam kubur dalam kematiannya iaitu setelah nyawa dicabut hingga menjelang hari kiamat. Dan berikutnya adalah seksaan setelah hari kiamat iaitu di neraka.

Demikian juga yang Allah SWT lakukan kepada Fir’aun yang zalim, sombong dan menjadikan dirinya tuhan selain Allah SWT. Allah SWT mengazabnya dua kali, iaitu di alam kuburnya dan di akhirat nanti. Di alam kuburnya dengan dinampakkan kepadanya neraka pada pagi dan petang. Ini merupakan seksaan sebelum dia benar-benar dikan ke dalamnya dan terjadinya pada alam kuburnya.

Kepada mereka dinampakkan neraka pada pagi dan petang, dan pada hari terjadinya Kiamat., “Masukkanlah Fir’aun dan kaumnya ke dalam azab yang sangat keras.” (QS. Al-Mu’min: 46)

Ayat ini lalu dikuatkan juga dengan ayat lainnya yang juga menyebutkan ada dua kali kematian, yaitu kematian dari hidup di dunia ini dan kematian setelah alam kubur.

Mereka menjawab, “Ya Tuhan kami Engkau telah mematikan kami dua kali dan telah menghidupkan kami dua kali, lalu kami mengakui dosa-dosa kami. Maka adakah sesuatu jalan untuk keluar?“(Surah Al-Mukmin ayat 11)

Siksa Kubur Dikuatkan Oleh Hadis-hadis Sahih

Selain ayat Quran di atas, urusan keberadaan siksa kubur ini juga dikuatkan oleh banyak hadits shahih lainnya. Misalnya hadis berikut ini:

Rasulullah SAW bersabda, ”…Lalu roh jahat itu dikembalikan ke dalam jasadnya dan dua malaikat mendatanginya seraya bertanya, ”Siapakah Rabb-mu? Orang itu menjawab, ”hah..hah..aku tidak tahu”. Malaikat itu bertanya lagi, ”Siapakah manusia yang diutus kepada kalian?”. “hah..hah..aku tidak kenal”, jawabnya. Lalu diserukan suara dari langit bahawa dia telah mendustakan hamba-Ku. Maka dekatlah dengan neraka dan dibukakan pintu neraka hingga panas dan racunnya sampai kepadanya. Lalu kuburnya disempitkan hingga tulang-tulang iganya saling bersilangan. Dan didatangkan kepadanya seorang yang wajahnya buruk, pakaiannya buruk dan baunya busuk dan berkata kepadanya, ”Berbahagialah dengan amal jahatmu. Ini adalah hari yang kamu pernah diingatkan. Dia bertanya, ”siapakah kamu, wajahmu adalah wajah orang yang membawa kejahatan?” “Aku adalah amalmu yang buruk”. “Ya Tuhan, jangan kiamat dulu”.(HR Ahmad dalam musnadnya 4/287 hadits no. 4753 dan Abu Daud 4/239 hadits no. 18557 – hadis Shahih).

Selain itu juga ada hadis lainnya:

Dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda, ”Sesungguhnya seorang hamba ketika diletakkan di kuburnya dan ditinggalkan oleh teman-temannya, maka dia masih mendengar suara sandal mereka.” Imam Bukhari menambahkan, ”Sedangkan orang munafik dan kafir diserukan kepada mereka, ”


608. Soalan : Bagaimana cara-cara solat sunat tahajud?

Jawapan : 

Solat Sunat Tahajjud

Solat Tahajjud adalah solat malam yang dilaksanakan setelah bangun tidur, afdalnya dibuat secara bersendirian waktu selepas tengah malam. Solat sunat ini amat dituntut dan sangat baik dilakukan sebagai ibadah tambahan. Rasulullah SAW dan para sahabat tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.

Firman Allah SWT.: “Dan pada sebahagian malam hari bersolat Tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”
(Surah Isra’ayat 79)

Rasulullah SAW bersabda: “Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalangi penyakit dari badan.” (Hadis Riwayat Tirmizi dan Ahmad r.a.)
.
Tujuan Solat Tahajjud

1. Sebagai petanda perhambaan kepada Allah SWT.
2. Mendekatkan seorang hamba dengan Penciptanya
3. Tanda kesyukuran manusia di atas nikmat kurniaan Allah SWT.
4. Menguatkan jiwa dan ketaqwaan seseorang kepada Allah SWT.
5. Mendapatkan ketenangan dalam menghadapi cabaran dan dugaan hidup.

Cara Mendirikan Solat Tahajjud
Solat Tahajjud dilakukan tiada had rakaatnya, mengikut kesanggupan dan kemampuan, dengan setiap dua rakaat satu salam. Jika dirasakan berat memadailah sekadar dua rakaat tetapi dilakukan secara berterusan setiap malam.

Rasulullah SAW telah bersabda,: “Amalan yang disukai oleh Allah, adalah yang terus menerus (istiqamah) walaupun sedikit.” (Hadis Riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah.)
.
1. Sebelum mengerjakan Solat Tahajjud baca doa berikut :

Doa Sebelum Tahajjud

"Tiada Tuhan melainkan Dikau, Maha Suci Dikau! Daku memohon ampun kepada-Mu bagi dosa-dosaku dan daku memohon kepada-Mu akan Rahmat-Mu. Ya Allah! Tambahkanlah padaku ilmu dan janganlah Dikau pesongkan hatiku setelah Dikau berikan petunjuk. Dan berikanlah daku Rahmat-Mu; Sesungguhnya Dikaulah yang melimpahkan rahmat! Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkanku dan kepada-Nyalah tempatku kembali."

2. Niat Solat Tahajjud:

"Sahaja aku bersolat Sunat Tahajjud dua rakaat, kerana Allah Ta’ala.

3. Bacaan Surah selepas Al-Fatihah:

i. Rakaat pertama: Ayat Al-Kursi (7 kali)

ii. Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas (11 kali)

Atau;

i. Rakaat pertama: Ayat Al-Kaafirun

ii. Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas

4. Selepas membaca tasbih pada sujud kedua dalam rakaat terakhir, bacalah doa berikut 1 kali:

Doa sujud akhir tahajud : "Wahai Tuhanku masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukkan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia dan berikan kepadaku daripada sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku."
.
5. Selesai salam solat Tahajud, bacalah doa yang pernah dibaca oleh Rasulullah SAW ini:

"Ya Allah! Jadikan di dalam hatiku cahaya, pada lidahku cahaya, dan jadikan pada pendengaranku cahaya serta jadikan pada penglihatanku cahaya, jadikan di belakangku cahaya, dan di hadapanku cahaya dan dari bawahku cahaya. Ya Allah! Kurniakan kepadaku cahaya yang cemerlang."
.
6. Kemudian sambung baca Doa Solat Sunat Tahajjud berikut:~

Doa Solat Sunat Tahajjud

."Ya Allah! Bagi-Mu segala puji-pujian. Dikaulah pendiri langit dan bumi dan alam semesta serta segala isinya. Bagi-Mulah segala pujian, Dikau Penguasa langit dan bumi dan alam semesta serta segala isinya. Dan bagi-Mulah segala puji, Pemancar cahaya langit dan bumi dan alam semesta serta segala isinya.

Bagi-Mulah segala pujian, Dikaulah yang benar (Al-haq), janji-Mu adalah benar, firman-Mu adalah benar, perjumpaan dengan-Mu adalah benar, syurga itu benar dan neraka adalah benar. Nabi-nabi itu benar, Nabi Muhammad SAW adalah benar dan adanya hari Kiamat itu benar.

Ya Allah! Pada-Mulah daku menyerahkan diri, dengan-Mu daku beriman, kepada-Mu daku bertawakal, kepada-Mu daku kembali, dengan-Mu daku menghadapi musuh dan kepada-Mu daku berhukum. Ampunilah dosa kesalahanku yang telah lalu dan yang terkemudian, baik yang daku sembunyikan mahupun yang daku nyatakan, di mana Dikau lebih mengetahuinya. Dikau yang Maha Mendahului dan Maha Mengakhiri. Tiada Tuhan melainkan Dikau! Tiada padaku daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah!

Ya Allah! Berilah kami kebaikan di dunia dan kebajikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka.

Selawat Allah ke atas Penghulu kami Nabi Muhammad SAW dan ke atas keluarga serta para sahabat sekeliannya. Segala puji hanyalah untuk Allah; Tuhan Pemelihara seluruh alam.!
.
KELEBIHAN SOLAT TAHAJJUD

1. Tahajjud adalah solat sunat yang paling afdal.
2. Doa dimakbulkan Allah.
3. Memperolehi ketenangan jiwa.
4. Merasai diri hampir kepada Allah SWT.
5. Diberikan keistimewaan oleh Allah SWT.
6. Memperolehi pertolongan dan rahmat Allah.
7. Menewaskan gangguan dan godaan syaitan.
8. Mencegah dosa dan menghindari penyakit.
9. Menjadi lebih berdisiplin dalam melakukan tugas.
10. Allah SWT memudahkan menerima ilmu yang dipelajari.
11. Terkeluar daripada catatan sebagai golongan yang lalai.
12. Dihormati masyarakat dan dijauhi daripada hasad dengki manusia.
13. Allah SWT memberikan kemudahan dan rezeki yang berpanjangan.
14. Orang bersolat Tahajud menjadi kesayangan Allah SWT.
15. Diberi keistimewaan yang orang lain tidak perolehi. 16. Mendapat kemuliaan Allah SWT di dunia dan akhirat.
17. Meninggikan martabat seorang hamba di sisi Allah Azza Wa Jalla.
18. Memudahkan hisab di akhirat dan melintasi Titian Siratal-Mustaqim.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang hendak tidur dan berniat untuk bangkit bagi mengerjakan Solat Sunat Tahajjud, kemudian tidurnya terlajak sampai ke pagi, maka dicatat niatnya itu sebagai satu pahala, manakala tidurnya pula dikira sebagai kurniaan Allah yang diberikan kepadanya.” (Hadis Riwayat al-Nasa’i dan Ibnu Majah r.a.)
.
609. Soalan : Di kitab Al Quran tertulis dalam surah Al Baqarah diutus nabi mengikut kaum masing-masing. Adakah ada nabi kaum Cina,Hindu,Iraq Dan Lain-lain.Dan adakah kitab agama hindu ,Buddha dalam  kitab Dari nabi kaumnya..?


Jawapan : 

Di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW tak ada di ceritakan bahawa Nabi di kalangan bangsa Cina dan India. Bangsa Iraq ada Nabi iaitu Nabi Ibrahim a.s. berasal daripada Iraq. Dalam al-Quran di jelaskan Para Rasul yang wajib diketahui adalah 25 Rasul. Jumlah Nabi dan Rasul

Tidak diketahui berapakah jumlah para nabi tetapi adalah dianggarkan mereka berjumlah lebih kurang 124,000 orang manakala para rasul pula dianggarkan berjumlah 315 orang berdasarkan hadis oleh Imam At-Tabrani yang meriwayatkan dari Abu Umamah bahawa seorang laki-laki bertanya (kepada Nabi Muhammad S.A.W),”Wahai Rasulullah, apakah Adam adalah seorang nabi?” Baginda S.A.W menjawab,”Ya.” Kemudian orang itu bertanya,”Berapa masa antara dia dengan Nuh?” Baginda S.A.W menjawab,”10 abad.” Lelaki itu bertanya lagi,”Berapa masa antara Nuh dengan Ibrahim?” Baginda S.A.W menjawab,”10 abad.” Lelaki itu bertanya lagi,”Wahai Rasulullah berapakah jumlah para rasul?” Baginda S.A.W menjawab,”315.” Orang-orang yang meriwayatkan (hadis ini) adalah orang-orang yang boleh dipercayai.


610. Soalan : Ustaz .seorang wanta orang tua organg beragama islam ikut sunah Rasul..tapi anak nya .jumpai dengan orang agama kristian .lelaki Kristian demi cinta  dia masuk agama Kristian . Adakah orang tuanya berdosa kerana perbuatan anak gadisnya yang menjadi murtad kerana keluar daripada Islam?

Jawapan :  

Jika seorang wanita berasal daripada keluarga Islam kemudian dia murtad nauzubillahiminzalik kerana nak berkawin dengan pemuda Kristian maka dia telah melakukan satu dosa yang besar dan tidak akan di ampunkan oleh Allah SWT jika matinya tak bertaubat dan kembali mengucap dua kalimah syahadah. Murtad adalah bermaksud berpaling dari agama Islam kepada agama kufur samada dengan niat atau perbuatan atau perkataan yang membawa kepada kufur samada secara persendaan, engkar atau iktiqad.

Murtad adalah satu perbuatan yang paling keji dan hina . Paling dikutuk oleh Allah SWT kerana sesiapa yang murtad akan mendapat balasan neraka Jahanam mereka kekal di dalamnya.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "..Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni Neraka, mereka kekal di dalamnya."
(Surah Al-Baqarah ayat 217)

Perkara-perkara Yang Boleh Menyebabkan Murtad ada tiga iaitu melalui

Pertama : Perkataan.

Kedua : Perbuatan

Ketiga : Niat.

Huraiannya :

Pertama : Perkataan

Sebarang perkataan yang jelas boleh membawa kepada kufur adalah dihukum kufur (riddah) orang yang mengucapkannya. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Patutkah nama Allah dan ayatNya serta Rasul Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya? Janganlah kamu berdalih (dengan alas an-alasan yang dusta), (kerana) sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman.." (Surah at-Taubah ayat 65-66)

Di antara contoh-contoh perkataan yang membawa kepada kufur adalah seperti berikut :

1. Engkar sesuatu yang diketahui daripada agama (Islam) secara jelas seperti mengengkari keesaan Allah, kewujudan Malaikat, Kenabian Nabi Muhammad S.A.W dan seumpamanya.

2. Menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT .

3. Mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah SWT.

4. Mencela Nabi Muhammad SAW atau Nabi-nabi lain atau mengejek mereka. Dan menolak hadis-hadis sahih sebagai sumber hukum.

5. Mencela agama Islam, menghina al-Quran dan as-Sunnah dan tidak beramal dengan keduanya.

6. Mendakwa wahyu turun kepadanya.

7. Merendah-rendahkan nama Allah dan perintah Nya.

Kedua : Perbuatan

Di antara perbuatan yang boleh membawa kepada murtad (riddah) ialah :

1. Mencampakkan Mashaf al-Quran atau Kitab Hadis Rasulullah SAW ke tempat-tempat kotor dengan tujuan menghina.

2. Sujud kepada makhluk seperti berhala, matahari, bulan dan sebagainya.

3. Tidak mengamalkan hukum-hukum al-Quran dan as-Sunnah kerana menggangapnya tidak sesuai dengan zaman sekarang dan yakin bahawa undang-undang ciptaan manusia lebih utama dan mulia daripada undang-undang ciptaan Allah SWT.

Ketiga : Niat

Contohnya ialah seperti berazam untuk kafir pada hari esok atau teragak-agak untuk melakukannya. Niat seperti itu menyebabkan orang itu kufur ketika itu juga.

Syarat-syarat Sah Seseorang Dikira Murtad

Para Ulama bersepakat meletakkan dua syarat bagi mengesahkan seseorang Islam dikira murtad.

1. Berakal tidak sah murtad orang gila dan kanak-kanak.

2. Pilihan sendiri atau sukarela. Tidak sah murtad orang yang dipaksa sedangkan hatinya masih beriman.

Berkata Syed Sabiq : "Seseorang Islam tidak dikira hukum murtad (riddah) kecuali apabila telah lapang dadanya dengan kufur dan tenang hati dengannya dan masuk ke dalamnya (kufur) dengan sebenarnya".

Berdasarkan Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 106 maksudnya : "Akan tetapi (yang dikira kafir) seseorang yang lapang dadanya dengan kufur."

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan." (Hadis Riwayat Muslim)
 

Kenapa murtad boleh berlaku kepada penganut Islam?

Terdapat tujuh faktor boleh menyebabkan seseorang dengan mudah menjadi murtad iaitu :

1. Tidak mendapat didikan agama yang sempurna.

2. Iman terlalu lemah hinggakan dalam hati tidak ada perasaan takut kepada Allah SWT.

3. Kemiskinan dan tidak ada pendapatan yang tetap untuk menyara kehidupan.

4. Faktor sudah jatuh cinta kepada pasangannya yang beragama lain.

5.Mengikut rakan-rakan sebaya yang tertarik dengan tawaran kewangan

6. Terpengaruh dengan kehebatan seseorang ketua yang mungkin menggunakan ilmu sihir.

7. Saudara baru yang murtad (kembali kepada agama asal) disebabkan tidak mendapat bimbingan yang sempurna setelah masuk Islam.


Jika ibu bapanya telah mendidik anak gadisnya dengan didikan Islam sejak kecil lagi dan memberikan sepenuh kasih sayang tetapi dia tinggalkan semua itu kerana cinta butanya dan tergila-gila hendakkan pemuda Kristian tersebut kerana hartanya atau kehensemannya maka ibu bapanya tak berdosa dan dia tanggung dosanya sendiri kerana dia seorang yang mukalaf. Firman Allah SWT. yang bermaksud : "..Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni Neraka, mereka kekal di dalamnya." (Surah Al-Baqarah ayat 217) Walaubagimana pun ibu bapanya jangan putus asa terus berusaha memujuk anaknya supaya kembali kepada agama Islam dan tinggalkna ajaran agama lain yang sesat dan menyesatkan.

1 comment:

  1. BARZAKH ATAU KUBUR?

    1. ROH ALLAH DALAM ADAM.

    بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

    فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِنْ رُوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ

    Setelah sempurna jasadnya Aku tiupkan Roh ciptaanKu maka hendaklah bersujud.

    Al-Hijr 29.

    2. JIWA YANG TENANG.

    بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

    يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ﴿٢٧﴾ ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً ﴿٢٨﴾ فَادْخُلِي فِي عِبَادِي ﴿٢٩﴾ وَادْخُلِي جَنَّتِي ﴿٣٠﴾

    Ya jiwa yang tenang, kembalilah kepada Penguasamu dengan kepuasan dan keredaan, kekal abadi berasama jemaah di Jannah.

    (QS al-Fajr [89]:

    3. QARIN.

    بسم الله الرحمن الرحيم

    وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ ٱلرَّحْمَٰنِ نُقَيِّضْ لَهُۥ شَيْطَٰنًا فَهُوَ لَهُۥ قَرِينٌ ﴿٣٦﴾

    Sesungguhnya setiap manusia disertakan oleh Allah dengan
    Qarin yang sentiasa didampingi syaitan.

    Surah Zukhruf 43:36.

    بسم الله الرحمن الرحيم

    قَالَ قَرِينُهُ رَبَّنَا مَا أَطْغَيْتُهُ وَلَكِنْ كَانَ فِي ضَلالٍ بَعِيدٍ

    Qarin berkata pada Rabb bukan dia yang menyesatkan sebaliknya diri itu sendiri yang minta disesatkan.

    Surah Qaf: 50:27

    4. SIJJIN.

    بسم الله الرحمن الرحيم

    كَلَّا إِنَّ كِتَابَ الفُجَّارِ لَفِي سِجِّينٍ

    Setiap kemungkaran tercatit di dalam kitab Sijjin.

    Al Muthaffin 7

    5. ILLIYYIN.

    بسم الله الرحمن الرحيم

    كَلَّا إِنَّ كِتَابَ الْأَبْرَارِ لَفِي عِلِّيِّينَ

    Setiap kebaikan yang dilakukan tercatit di dalam kitab ‘Illiyyin.

    Al Muthaffin 18

    6. BARZAKH.

    بسم الله الرحمن الرحيم

    لَعَلِّي أَعْمَلُ صالِحاً فيما تَرَكْتُ كَلاَّ إِنَّها كَلِمَةٌ هُوَ قائِلُها وَ مِنْ وَرائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلى‏ يَوْمِ يُبْعَثُونَ َ

    Yang engkar minta dikembalikan ke dunia supaya boleh beramal semula, sedangkan dia telah berada di Barzakh hingga datangnya hari pembangkitan.

    Al Mukminun : 100.

    > Adam dijadikan dari 2 kejadian iaitu 1. Diri Zahir. 2. Diri Batin.

    > Diri Zahir Adam dijadikan daripada zat-zat, gas-gas, bahan mineral, vitamin, protein, alkali dan asid yang diekstrak dari tanah.

    > Allah meniupkan ROH ciptaannya terdiri dari Jiwa yang Tenang dan Qarin (Israil, Kiraman, Kartibin, Raqib dan Atid serta Syaitan juga Iblis) ke jasad Adam.

    > Jiwa yang tenang atau TUHAN NAFSUL MUDMA'INNAH dijemput semula oleh Allah ke Jannah, datang daripada Allah kembali kepada Allah. Tidak disebut Islam atau kafir.

    > Perbuatan baik disimpan di Illiyyin.

    > Perbuatan jahat disimpan di Sijjin.

    > Qarin (yang baik dan yang engkar) disimpan di Barzakh.

    > Alam barzakh bukan di dunia dan bukan pula di akhirat, satu dimensi alam hanya Allah yang tahu.

    SIJJIN DAN ILLIYYIN ITU BERADA DI BARZAKH YANG DIMAKSUDKAN SEMPIT DAN LAPANG.

    YANG DISIKSA DAN DIAZAB ITU QARIN YANG ENGKAR TERDIRI DI DALAM DIRI BATIN. DISIKSA DAN DIAZAB DI BARZAKH DAN BUKAN DI DALAM KUBUR

    YANG PASTINYA BARZAKH ITU DISALAH TAFSIRKAN SEBAGAI KUBUR.

    JIKA BENAR SALAH TIDAKKAH INI JATUH SYIRIK DAN BIDAAH?

    ReplyDelete