Wednesday, June 25, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 132 ( Dosa Berzina, Menasihati Ibu, Orang Miskin Wajib Zakat Fitrah, Hukum Bersumpah Dan Orang Bukan Islam Pegang Al-Quran.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 132 adalah menjelaskan persoalan dosa berzina, menasihati ibu, orang miskin wajib zakat fitrah, hukum bersumpah dan orang bukan Islam pegang al-Quran.

616. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan jika seseorang telah melakukan zina adakah dosa mereka akan terhapus dengan mereka berkahwin?

Jawapan :  

Zina termasuk salah dosa besar dalam Islam. Kerana itu, dosa zina mendapatkan hukuman khusus di dunia. Di sebat dengan rotan sebanyak 100 kali bagi penzina yang belum berkahwin (ghairu Muhsan), dan di rejam hingga mati bagi penzina Muhsan (yang sudah berkahwin).

Lebih dari itu, setiap orang yang melakukan perbuatan dosa, dia diwajibkan untuk bertaubat. Dan cara yang diajarkan oleh islam untuk menghapus dosa besar adalah dengan bertaubat nasuha. Allah berfirman SWT :

إِنْ تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُمْ مُدْخَلًا كَرِيمًا

Maksudnya, "Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga). (Surah An-Nisa' ayat 31).

Ayat ini menjelaskan, syarat dihapuskannya kesalahan adalah dengan bertaubat nasuha, dengan meninggalkan dosa yang dilakukan.

Taubat secara bahasa maksudnya kembali. Orang yang bertaubat, bererti dia kembali dari kemaksiatan, menuju aturan Allah, diiringi memohon ampun kepada-Nya.

Rukun Utama Taubat Nasuha Ada Tiga :

Imam An-Nawawi mengatakan,

وقد سبق في كتاب الإيمان أن لها ثلاثة أركان: الإقلاع، والندم على فعل تلك المعصية، والعزم على أن لا يعود اليها أبدا

”Dalam kitab al-Iman disebutkan bahawa taubat memiliki 3 rukun iaitu 1. Al-Iqla’ (meninggalkan dosa tersebut), 2. An-Nadm (menyesali) perbuatan maksiat tersebut, dan 3. Al-Azm (bertekad) untuk tidak mengulangi dosa yang dia taubati selamanya. (Syarh Shahih Muslim, 17/59)

Berikut penjelasan lebih terperinci :

Pertama ; al-Iqla’ (Meninggalkan dosa tersebut (yang ditaubati).

Inilah bukti keseriusan taubatnya. Meninggalkan dosa yang dia lakukan. Seorang pegawai bank, belum dikatakan bertaubat dari riba, selama dia masih aktif kerja di bank. Seorang penzina belum dikatakan bertaubat dari zina, sementara dia masih rajin berzina.

Imam Fudhail bin Iyadh menyatakan: “Istighfar tanpa meninggalkan kemaksiatan adalah taubat para pendusta.”

Kedua, an-Nadm (Mengakui kesalahan dan menyesali perbuatannya)

Orang yang tidak mengakui dosanya, dia tidak akan menyesali perbuatannya. Dengan menyesal, dia akan bersedih jika teringat dosanya. Termasuk bagian dari penyesalan itu adalah tidak menceritakan dosa tersebut kepada orang lain, apalagi membanggakannya. Dan jika dosa itu di sebabkan kawasan sekitarnya mempengaruhinya maka dia akan meninggalkan kawasan tersebut.

Bentuk penyesalan penzina adalah dengan menghindari segala yang boleh membawa kepada syahwatnya.

Ketiga, al-Azm (Bertekad untuk tidak mengulangi dosanya)

Jika seseorang berhenti dari dosanya, sementara dia masih punya harapan untuk melakukannya jika waktu memungkinkan, maka dia belum disebut taubat.

Seseorang yang bertaubat dari berkhalwat ketika Ramadan, dan akan kembali berkhalwat selepas Ramadan belum dikatakan telah bertaubat.

Apakah dengan berkahwin, dosa zina otomatik akan hilang?

Dosa zina sebagaimana dosa besar lainnya, hanya boleh hilang dengan taubat nasuha. Dan syarat taubat adalah tiga seperti yang disebutkan di atas.

Oleh itu, semata-mata berkahwin, belum menghapus dosa zina yang pernah dilakukan. Kerana dengan berkahwin, bukan syarat taubat itu sendiri. Kecuali jika perkahwinan ini dilangsungkan atas dasar:

1. Menyesali dosa zina yang telah dilakukan

2. Agar tidak mengulang kembali dosa zina tersebut.

Jika berkahwin atas motivasi ini, insyaa Allah status perkahwinannya adalah sebahagian dari taubat untuk perbuatan zina itu.

Untuk itu, sebahagian ulama menyarankan agar orang yang melakukan zina, untuk segera berkahwin, dalam rangka menutupi aib keduanya. Kerana jika mereka berpisah, akan sangat merugikan pihak wanita, kerana tidak ada lelaki yang bangga memiliki isteri yang pernah dinodai orang lain secara tidak halal.


617. Soalan :  Bagaimanakah caranya anak hendak menasihati ibunya jika dia melakukan dosa?

Jawapan : 

Anak boleh menasihati ibunya jika di dapati ibunya melakukan sesuatu perbuatan yang boleh mendatangkan dosa atau perkara yang di larang oleh Allah SWT.

Salah satu adab terhadap orang tua yang Allah ajarkan kepada kita adalah berkata lembut dan tidak boleh menghardiknya atau membentaknya.

وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya, "Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut di dekatmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. (Surah Al-Isra' ayat 23)

Apabila orang tua memaksa anaknya untuk berbuat syirik, Allah SWT perintahkan agar kita tetap bersikap lembut kepadanya, tanpa harus mentaatinya,

وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

Maksudnya, "Jika keduanya memaksamu untuk berbuat syirik dengan mempersekutukan Aku yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik (Surah Luqman ayat 15).

Dan tentu kita tahu, syirik adalah dosa dan maksiat terbesar secara mutlak. Sekalipun dalam keadaan mereka melakukan kesyirikan dan bahkan memaksa kita untuk berbuat syirik, Allah SWT tidak mengizinkan kita untuk bersikap kasar kepada orang tua, terutama ibu.

Nabi Ibrahim a.s. dan Ayahnya :

Cerita ini mungkin sudah selalu kita mendengarnya. Nabi Ibrahim a.s. memiliki ayah penyembah berhala dan pembuat patung berhala. Sekalipun si ayah mengancam hendak melempari batu kepada Nabi Ibrahim, baginda tetap memperlakukan ayahnya dengan sopan.

إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ يَا أَبَتِ لِمَ تَعْبُدُ مَا لَا يَسْمَعُ وَلَا يُبْصِرُ وَلَا يُغْنِي عَنْكَ شَيْئًا

Maksudnya, "Ingatlah ketika ia berkata kepada bapanya; “Wahai bapaku, mengapa kamu menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat dan tidak dapat menolong kamu sedikitpun?"

Pada ayat di atas, Ibrahim memanggil ayahnya dengan panggilan: ’Ya Abati’ [يَا أَبَتِ], itu panggilan lembut untuk si ayah. Ibrahim tidak memanggil ayahnya dengan ’Ya Abi’, kerana lebih kasar dari pada yang pertama.

Anda lihat, bagaimana sikap ayahnya kepada Ibrahim,

قَالَ أَرَاغِبٌ أَنْتَ عَنْ آلِهَتِي يَا إِبْرَاهِيمُ لَئِنْ لَمْ تَنْتَهِ لَأَرْجُمَنَّكَ وَاهْجُرْنِي مَلِيًّا

Maksudnya, "Berkata bapanya: “Apakah kamu benci kepada tuhan-tuhanku, hai Ibrahim? jika kamu tidak berhenti, nescaya kamu akan kurajam, dan tinggalkanlah aku buat waktu yang lama”. (Surah Maryam ayat 46)

Nabi Ibrahim a.s. tetap mengingatkan ayahnya, berdakwah kepada ayahnya yang melakukan syirik, untuk bertaubat dan kembali kepada Allah SWT. Namun bukan dengan cara membentak, memarahi, tapi dengan cara lembut.

Allah juga berfirman tentang keingkaran Azar ayah Nabi Ibrahim ’alaihis-salaam :

وَمَا كَانَ اسْتِغْفَارُ إِبْرَاهِيمَ لأبِيهِ إِلاّ عَن مّوْعِدَةٍ وَعَدَهَآ إِيّاهُ فَلَمّا تَبَيّنَ لَهُ أَنّهُ عَدُوّ للّهِ تَبَرّأَ مِنْهُ إِنّ إِبْرَاهِيمَ لأوّاهٌ حَلِيمٌ

Maksudnya,“Dan permintaan ampun dari Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana suatu janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu. Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri dari padanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun” (Surah At-Taubah ayat 114)


618. Soalan : Adakah orang miskin wajib membayar zakat fitrah?

Jawapan :  

Pertama, aturan zakat fitrah berbeza dengan aturan zakat harta. Sebagaimana aturan zakat harta juga berbeza dengan aturan zakat pertanian atau zakat haiwan ternak.

Oleh itu, kita tidak mengqiyaskan aturan zakat fitrah dengan aturan yang berlaku pada zakat harta atau zakat pertanian.

Kedua, Pada aturan zakat harta, orang yang wajib menunaikan zakat adalah mereka yang memiliki harta cukup nisab iaitu sama nilai dengan 85 gram emas (ikut nilaian semasa) dan telah tersimpan selama setahun. Dengan kata lain, orang yang berkewajiban menunaikan harta hanya orang yang kaya.

Batasan Orang yang Wajib Menunaikan Zakat Fitrah

Ulama berbeza pendapat tentang batasan orang yang wajib menunaikan zakat fitrah.

1. Orang yang berkewajiban membayar zakat fitrah adalah mereka yang memiliki harta satu nisab, sebagaimana zakat harta Ini adalah pendapat ulama Kufah.

2. Orang yang wajib membayar zakat fitrah adalah mereka yang memiliki kelebihan makanan di luar keperluannya ketika hari raya, sekalipun dia tidak memiliki kelebihan harta lainnya. Ini adalah pendapat majoriti ulama, diantaranya Az-Zuhri, As-Sya’bi, Ibnu Sirrin, Ibnul Mubarok, Imam As-Syafii, Imam Ahmad dan yang lainnya. (Ma’alim As-Sunan karya Al-Khithabi, 2/49).

Selanjutnya Al-Khithabi mengambil keterangan Imam As-Syafii, yang menjelaskan,

إذا فضل عن قوت المرء وقوت أهله مقدار ما يؤدي عن زكاة الفطر وجبت عليه

“Apabila makanan seseorang melebihi keperluan dirinya dan keluarganya, seukuran untuk membayar zakat fitrah, maka dia wajib mengeluarkan zakatnya.” (Ma’alim As-Sunan karya Al-Khithabi, 2/49).

Diantara dalil yang menguatkan pendapat majoriti ulama adalah hadis dari Ibn Umar radliallahu ‘anhuma, beliau mengatakan,

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى العَبْدِ وَالحُرِّ، وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى، وَالصَّغِيرِ وَالكَبِيرِ مِنَ المُسْلِمِينَ

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mewajibkan zakat fitrah dengan satu sha’ kurma atau satu sha’ gandum, kepada setiap budak atau orang merdeka, laki-laki atau wanita, anak maupun dewasa, dari kalangan kaum muslimin. (Hadis Riwayat Bukhari).

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mewajibkan zakat fitrah kepada seluruh kaum muslimin, tanpa pandang status. Baik kaya atau pun miskin, lelaki atau pun wanita. dan mereka yang sama sekali tidak memiliki harta, zakat fitrahnya ditanggung oleh orang yang menanggung nafkahnya.


619. Soalan : Ustaz betulkah dalam Islam tiada sumpah lain seperti sumpah laknat kecuali sumpah li'an sahaja yg dibenarkan. Mohon penjelasan. Terima kasih

Jawapan : 

Sumpah laknat yang dilakukan oleh seseorang menuduh orang lain berzina atau meliwath dirinya adalah sumpah palsu yang tak ada di dalam ajaran Islam. Di dalam undang-undang jenayah Islam sesiapa saja yang nak menuduh seseorang berzina atau meliwath perlulah membawa 4 orang saksi lelaki muslim yang adil di hadapan hakim mahkamah syariah dan orang yang dituduh pula untuk menafikan bahawa di melakukan zina atau meliwat maka dia akan bersumpah. Jika orang yang menuduh tak bawa 4 orang saksi lelaki muslim yang adil dia boleh dihukum qazaf iaitu disebat 80 kali dikhalayak ramai dan persaksiannya tak boleh diterima lagi. Jika dia tak dihukum di dunia maka dia akan dihukum di akhirat. Orang yang dituduh perlu bersumpah dan menafikan bahawa dia melakukan zina atau liwath dan dengan pengakuannya ini dia di bebaskan daripada tuduhan tersebut.

Dalam Islam terdapat 2 jenis sumpah, iaitu sumpah yang terpakai (sah) dan sumpah yang tidak terpakai. Sumpah yang terpakai pula terbahagi kepada 2 iaitu samada sumpah di atas perkara yang baik atau sumpah di atas perkara yang tidak baik. Sumpah yang tidak terpakai pula ialah sumpah lagha.(akan diceritakan lebih lanjut dibawah)

Syarat sumpah: lafaz dan niat

Lafaz sumpah mesti menggunakan salah satu dari 3 kalimah sumpah iaitu “wallahi”, “wabillahi” dan “wattallahi”.

Setiap lafaz sumpah itu perlu disertai dengan niat, tanpa niat ia tidak sah dan cuma sekadar lafaz sumpah sahaja.

Firman Allah SWT maksudnya, "Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah) dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar." (Surah al-Baqarah ayat 225)

Jenis-jenis Sumpah

Sumpah yang terpakai (sah)

1) Sumpah di atas perkara yang baik

Misalnya mengatakan “Wallahi aku tidak akan menonton rancangan hiburan lagi selepas ini” dan disertai dengan niat untuk bersumpah.

Jika tidak disertai niat untuk bersumpah tetap tidak dikira sebagai sumpah.

Sekiranya tidak dapat melakukan perkara baik yang terkandung dalam sumpah itu, hendaklah membayar kifarah (denda) samada memberi makan 10 orang miskin atau memberikan pakaian 10 orang miskin atau 3 hari berpuasa. (Lakukan kifarah mengikut turutannya)

2) Sumpah di atas perkara yang tidak baik

Sumpah di atas perkara yang tidak baik adalah haram. Allah melarang bersumpah untuk perkara yang tidak baik.

Firman Allah SWT maksudnya, "Dan janganlah kamu jadikan (nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertakwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui." (Surah al-Baqarah ayat 224)

Misalnya bersumpah untuk tidak bertegur sapa dengan mengatakan “wallahi aku tidak bercakap dengan Ahmad sampai bila-bila“. Sebaliknya didapati bertegur sapa itu lebih baik untuk silaturrahim dan berdosa tidak bertegur sapa sesama Islam melebihi 3 hari.
Bentuk kaffarah sumpah telah dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya,

فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ

“Kaffarahnya adalah memberi makan sepuluh orang miskin, yaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu langgar. ” (Surah Al-Maidah ayat 89)

Sumpah atas perkara yang tidak baik dikenakan kifarah (denda) 1. Memberi makan 10 orang miskin atau 2. Memberikan pakaian 10 orang miskin. atau 3. Puasa tiga hari , untuk membatalkan sumpah itu. Juga hendaklah batalkan sumpah dengan membuat perkara yang bertentangan iaitu perkara yang lebih baik misalnya dengan kembali bercakap dengan Ahmad. Jangan kekalkan sumpah tersebut. Dalilnya ialah sabda Nabi SAW:-

“Siapa yang bersumpah untuk tidak melakukan sesuatu, kemudian dia melihat hal lain yang lebih baik dari hal tersebut, maka hendaklah dia membayar kifarah sumpahnya, lalu mengerjakan hal yang lebih baik itu.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Sumpah yang tidak terpakai

Sumpah lagha

Sumpah yang tidak dimaksudkan untuk bersumpah. Tidak berdosa sumpah seperti ini, dalilnya seperti ayat 225 surah Al-Baqarah di atas.

Terdapat perbezaan tentang definisi sumpah lagha di antara mazhab Syafie dan Hanafi.

Mazhab Syafie: Lafaz sumpah tetapi tidak diniatkan untuk bersumpah seperti kebiasaan orang Arab atau Afghan berkata “Wallahi” (Demi Allah). Misalnya seorang Arab mengatakan “wallahi, ini minyak attar“. Pada orang Arab minyak attar adalah minyak wangi, sedangkan orang Melayu menyangka minyak attar itu minyak yang tiada alkohol. Tidak berdosa sumpah seperti ini.

Mazhab Hanafi: bersumpah diatas keyakinan hati benda itu betul tapi pada hakikatnya benda itu tidak betul. Misalnya kita tengok seseorang di satu tempat. Kita yakin orang itu ada disitu pada masa itu padahal sebaliknya (orang lain yang serupa berada disitu). Misalnya dengan berkata “Wallahi saya nampak Ahmad di KLCC pukul 5 petang tadi”.(padahal yang dilihat itu adalah orang lain yang seiras). Tidak berdosa sumpah seperti ini.
Kesimpulan

Hanya sumpah di atas perkara yang baik yang sah dan terpakai. Syaratnya ialah lafaz sumpah mesti ada kalimah sumpah dan disertai dengan niat untuk bersumpah.


620. Soalan :  Ustaz apakah hukumnya jika orang bukan Islam memegang Al Quran? Saya pernah ditanya oleh seorang rakan bukan Islam, katanya,Bagaimana kami mahu mengenal Islam jika kami tidak berpeluang utk memegang Al Quran itu sendiri..!Saya terdiam...Jazakallah Ustaz..

Jawapan : 

Terdapat khilaf ulama ada mengatakan boleh orang bukan Islam memegang dan membaca al-Quran dan ada yang mengatakan tak boleh , huraiannya adalah seperti berikut : Islam yang telah diturunkan oleh Allah kepada Rasulullah saw adalah untuk disampaikan kepada semua umat manusia tanpa dikecualikan kepada sesiapa. Al-Quran dan Hadis adalah dua sumber hukum yang paling penting dalam menentukan sesuatu hukum di dalam Islam selain daripada Ijamak dan Qiyas. Selain dari itu juga, Al-Quran dan Hadis merupakan suatu alat dakwah yang mendatangkan bukti-bukti kekuasaan Allah dan kebenaran Islam kepada orang-orang bukan Islam. Untuk berdakwah kepada mereka, kita tidak berhujah dengan hanya menggunakan akal semata-mata kerana Islam itu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis dan dikukuhkan juga dengan kebenaran akal fikiran manusia. Saidina Umar Al-Khatab memeluk agama Islam dengan hanya mendengar adiknya Fatimah membaca Al-Quran.

Berdasarkan persoalan di atas mengenai orang kafir membaca Al-Quran atau membaca Hadis Rasulullah SAW. Di sini saya datangkan pendapat ulamak terlebih dahulu yang berkaitan dengan masalah ini, di antaranya ialah :

Syeikh Atiyyah Saqr bekas Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar mengatakan bahawa : “Golongan bukan Islam tidak ditaklifkan dengan syariat dan hukum-hakam Islam kerana asal syariat tidak terdapat di sisinya. Maka mereka tiadalah halangan (boleh) untuk membaca, membawa dan menyentuh al-Quran al-Karim walaupun tanpa wudhuk. Manakala sebahagian ulama lagi berpendapat: Golongan bukan Islam turut ditaklifkan dengan hukum-hakam dan permasalahannya. Mereka juga akan dihisab oleh Allah Taala di atas pentaklifan syariat ini. Maka mereka tidak dibolehkan untuk membaca, menyentuh atau membawa al-Quran al-Karim jika tidak berada di dalam keadaan bersuci. Jika perkara itu masih lagi terdapat khilaf maka tiadalah halangan (boleh) dari mengambil salah satu pandangan ulama khususnya jika terdapat keadaan yang memerlukan yang demikan.”

Prof. Dr. Abdul Rahman Abdul Hamid Ahmad al-Bar mengatakan bahawa : “Adapun orang bukan Islam tidak ditaklifkan (syariat Islam terhadap mereka) dan mereka juga tidak suci sepertimana orang Islam maka adalah tidak boleh orang bukan Islam membaca al-Quran al-Karim dengan sengaja. Namun jika orang bukan Islam membaca al-Quran al-Karim dengan sebab untuk mempelajari atau mendalami Islam maka tindakan mereka (membaca al-Quran al-Karim) itu tidaklah mengapa.”

Begitu juga dengan pendapat dikalangan ulamak Mazhab Syafie di antaranya ialah Imam Ramli dalam kitabnya ihaayatu al Muhtaj mengatakan bahawa : "Orang kafir tidak ditegah untuk membaca la-Quran kerana mereka tidak percaya kepada kehormatannya."

Ada juga sebahagian ulamak terutamanya dari kalangan Mazhab Hambali mengatakan bahawa : “Haram bagi orang kafir zimmi atau yang lainnya untuk membaca al-Quran. Ini kerana mereka yang lebih patut ditegah daripada orang yang berjunub.”

Sebagai orang muslim yang baik, maka kita kena positifkan perkara ini dan jangan sama sekali mencampurkannya dengan kepentingan peribadi masing-masing. Masalah ini akan lebih parah lagi apabila ia melibatkan kepentingan politik tertentu. Kalau masalah ini dibicarakan mengikut fikiran yang waras, maka masalah ini tidak menjadi besar dan tidak berlaku laporan polis dan berbagai kecaman yang telah berlaku sebelum ini. Perkara ini semua merupakan khilaf ulamak, lazimnya apabila berlakunya khilaf ulamak, maka mesti ada yang mengatakan harus, haram, sunat, makruh dan sebagainya. Faktor berlakunya berbagai pendapat dari kalangan para ulamak adalah disebabkan tiada dalil Al-Quran dan Hadis yang mengatakan haram dan mengatakan harus orang kafir membaca Al-Quran dan Hadis.

Sepatunya masalah ini tidak menjadi besar dan kita sebagai orang awam perlu menghormati segala pandangan yang telah dikeluarkan oleh orang-orang alim walaupun ia tidak bersesuaian dengan pandangan kita. Mereka mengeluarkan hujah berdasarkan ilmu mereka. Kita mengeluarkan hujah berdasarkan fikiran yang jahil agama dan dicampurkan juga dengan keinginan nafsu politik yang tajam.

Ini pandangan saya, orang kafir membaca Al-Quran dan hadis ia merupakan langkah yang baik, kerana secara langsung atau tidak langsung mereka telah mempelajari Al-Quran dan Hadis. Masalah tajwid atau sebutan itu janganlah kita pertikaikan, kerana mereka mana tahu ilmu tajwid, lagipun lidah mereka bukan seperti lidah orang yang dah lama belajar membaca Al-Quran atau Hadis. Sepatutnya kita kena malu kepada mereka, kerana ramai orang Islam yang tidak tahu membaca Al-Quran, malah lebih teruk lagi tidak tahu mengucap pun ada. Ramai ahli-ahli sains barat yang memeluk Islam kerana mereka mengkaji dan membaca Al-Quran yang telah diterjemahkan kepada bahasa mereka.

Antara ahli sains yang telah memeluk islam kerana melihat kebenaran Al-Quran ialah profesor Milan dari Republik Czeck, Dr. Murice Bucaille, seorang doktor bedah dari Perancis, Jacque Costeau, ahli kaji lautan juga dari Perancis, Dr. Tijtet Tijson, seorang profesor perubatan dari Chiang Mai University, Thailand juga telah menganut Islam selepas melihat kebenaran Al-Quran. Profesor Keith L Moore, dari University Toronto, Kanada menyatakan bahawa mustahil kenyataan tentang embriologi yang terdapat dalam al-Quran ini berasal daripada Nabi Muhammad SAW dan beliau mengakui kebenaran Al-Quran. Yusof Islam masuk Islam juga kerana abangnya memberikan naskah terjemahan al-Quran dalam bahasa Inggeris.

Orang kafir belajar membaca Al-Quran dan Hadis juga merupakan sebahagian dari dakwah Islam yang telah disampaikan tanpa paksaan, mereka berminat untuk menggunakan ayat-ayat Al-Quran sebagai hujah mereka. Kita sebagai orang Islam berusaha menyampaikan dakwah dan berdoa kepada Allah semoga diberikan hidayah kepada mereka untuk memeluk agama Islam. Al-Quran bukan untuk orang Islam sahaja, malah dia juga ditujukan kepada orang bukan Islam dan banyak ayat-ayat yang mengatakan wahai sekalian manusia, ini membawa maksud secara umum iaitu sekalian manusia termasuk yang beragama Islam dan bukan beragama Islam.


Hussain Yee (Pendakwah Perkim) di dalam ceramahnya berpendapat orang bukan Islam boleh menyentuh dan membaca alQuran, kerana al Quran sebagai petunjuk bagi manusia. Beliau merujuk kepada ayat

Firman Allah:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ

Maksudnya, "Bulan Ramadan , bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia …." (Surah al-Baqarah ayat 185)

Sebaliknya firman Allah SWT :

إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ

فِي كِتَابٍ مَكْنُونٍ

لا يَمَسُّهُ إِلا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya, "Sesungguhnya Al Qur’an ini adalah bacaan yang sangat mulia, pada kitab yang terpelihara (Loh Mahfuz), tidak menyentuhnya kecuali hamba-hamba yang disucikan." (Surah al-Waqiah ayat 77-79)

Adalah merujuk kepada keadaan al Quran di tempat asalnya di Loh Mahfuz, bukan setelah diturunkan ke dunia.

Dr Wahbah al-Zuhaily menulis didalam Tafsir al Munir [Tafsir Al Manar, Terjemahan Persatuan Ulama Malaysia, Juz 27 Cetakan 2002 Halaman 298-299 ] pada mentafsir ayat ini:

Firman Allah (yang bermaksud): “Yang tersimpan di dalam kitab yang cukup terpelihara. Tidak disentuh melainkan oleh mereka yang bersuci, al-Qur’an diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam “ (Surah al-Waaqi’ah, (56) ayat 78-80).

Dalam membincangkan kesucian al Quran pada hubungan dengan orang bukan Islam Dr Wahbah al Zuhaily menambah [Tafsir Al Manar, Terjemahan Persatuan Ulama Malaysia, Juz 27 Cetakan 2002 , Halaman 303-304]

Allah SWT menyanjung al-Quran dalam ayat ini dengan empat sifat. la mulia kerana banyak mengandungi kebaikan, manfaat dan faedah. la kitab yang terpelihara di Loh Mahfuz dan terpelihara di sisi Allah SWT, terpelihara daripada kebatilan, perubahan dan pertukaran. Selain dari itu ia tidak boleh disentuh kecuali oleh orang yang suci daripada dosa, iaitu golongan malaikat. Al-Quran memang diturunkan oleh Tuhan sekalian alam. Makna “kitab maknun” yang paling sahih ialah Luh Mahfuz. Kata ganti nama dalam ungkapan ” لا يَمَسُّهُ” ialah bermaksud kitab atau Quran itu sendiri.

Mengenai persoalan menyentuh mashaf tanpa berwuduk, jumhur ‘ulama’ serta para pemuka ulama’ mazhab yang empat menegah orang yang berhadas menyentuh al-Qur’an. Ini berdasarkan hadis ‘Amru bin Hazam yang telah menerangkan “

” (maksudnya): “Jangan menyentuh al-Qufan kecuali orang yang suci (dari hadas)” Bagaimanapun golongan ‘ulama’ Malikiyyah mengharuskan orang-orang yang berhadas menyentuh al-Qur’an untuk belajar dan mengajar.

AJ-Hakam, Hamad, Daud bin Ali al-Zahiri diriwayatkan berpendapat: Tidak mengapa membawa al-Qur’an dan menyentuhnya bagi orang Islam dan kafir yang suci atau berhadas.”

Berbalik kepada al Baqarah ayat 185 yang mengatakan Al Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia , diberi perincian lebih lanjut melalui Surah al Isra’ ayat 9-10 bermaksud:
Sesungguhnya Al Qur’an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi kabar gembira kepada
(1) orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal saleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar, dan sesungguhnya
(2) orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab yang pedih.

Oleh yang demikian al Quran adalah pembawa berita baik dan berita buruk bagi orang Islam dan bukan Islam.
 

Berdasarkan beberapa pandangan ulama di atas maka pendapat yang lebih kuat adalah orang bukan Islam di bolehkan menyentuh, memegang dan membaca al-Quran yang mempunyai terjemahan dengan hasrat untuk memahami al-Quran dan untuk mengetahui ajaran Islam. Dengan ini akan memudahkan mereka untuk masuk Islam dan yakin bahawa al-Quran bukanlah ciptaan manusia tetapi ianya adalah ciptaan Allah SWT.

1 comment:

  1. https://drive.google.com/file/d/0B6ut4qmVOTGWMkJvbFpZejBQZWM/view?usp=drivesdk

    Web: almawaddah.info

    Salam


    Kepada:

     

    Redaksi, rektor dan para akademik


    Per: Beberapa Hadis Sahih Bukhari dan Muslim yang Disembunyikan


    Bagi tujuan kajian dan renungan. Diambil dari web: almawaddah. info

    Selamat hari raya, maaf zahir dan batin. 

    ReplyDelete