Wednesday, July 9, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 133 (Doa Untuk Demam, Surah al-Ikhlas Di Sayap Malaikat, Lelaki Memakai Inai, Jirus Air Di Kubur Dan Cara Mengetahui Haid Sudah Kering.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 133 adalah menjelaskan persoalan doa untuk demam, Surah al-Ikhlas di sayap malaikat, lelaki memakai inai, jirus air di kubur dan cara mengetahui haid sudah kering.

621. Soalan : Saya nak tanya macamana cara nak ubati anak kecil yang demam dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran? 

Jawapan : 

Doa Demam Panas : Amalkan bacaan Al-Fatihah (7x), ayat kursi (1x), doa demam panas (3x). Dibaca pada air kosong & bagi anak minum.

Doa demam panas "Dgn nama Allah Yg Maha Besar, aku memohon perlindungan dengan Allah Yang Maha Agung daripada kejahatan urat & kejahatan kepanasan api".

Malik bin Isma’il menceritakan kepada kami, (ia berkata) Zuhair menceritakan kepada kami, (ia berkata) Hisyam menceritakan kepada kami (yang diterima) daripada Urwah (yang berasal) dari ‘Aisyah r.a. (yang diterima) dari Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Demam panas adalah dari serpihan api neraka Jahannam, maka dinginkanlah dengan air.” (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari, no. 3023)

Dalam dunia perubatan, salah satu cara untuk mengurangi rasa panas badan adalah dengan meletakkan air @ ais di bahagian dahi @ kepala. Sehingga suhu tubuh yang belebihan boleh berkurang dan kembali pada keadaan yang normal.
Hadis lain berkaitan dengan deman atau penyakit, antaranya ialah;

“Sakit demam itu menjauhkan setiap orang mukmin dari api neraka”.
(HR. Al-Bazzar, dishohihkan Syeikh Albani dalam kitab Silsilah al Hadiis ash Shohihah no. 1821).

“Janganlah kamu mencaci-maki penyakit demam, kerana sesungguhnya (dengan penyakit itu) Allah akan menghapuskan dosa-dosa anak Adam sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran-kotoran besi”. (HR. Muslim no. 2575).

“Tidaklah seseorang muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, kegundah-gulanan hingga duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebagian dari kesalahan-kesalahannya”.
(HR. Bukhari no. 5641).

“Tidaklah menimpa seorang mukmin rasa sakit yang terus menerus, kepayahan, penyakit, dan juga kesedihan, bahkan sampai kesusahan yang menyusahkannya, melainkan akan dihapuskan dengan dosa-dosanya”.(HR. Muslim no. 2573).

Walaupun demikan, seorang mukmin mestilah berikhtiar untuk mengubatinya. Ini adalah kerana Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Allah tidak menurunkan penyakit melainkan pasti menurunkan ubatnya”.(HR. Bukhari no. 5678).


622. Soalan : .Saya nak tanya betul ke ayat-ayat dalam surah al-ikhlas ada tertulis di sayap-sayap malaikat. Kalau betul minta tolong huraikan dan ada tak hadis-hadis yang berkaitan. T/kasih.

Jawapan :  

1- Telah tersebar suatu hadis yang tidak sahih di Internet berbunyi:

"Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahad itu tertulis disayap malaikat Jibrail a.s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s, Lamyalid walam yuulad tertulis pada sayap malaikat Izrail a.s, Walam yakullahu kufuwan ahadu tertulis pada sayap malaikat Israfil a.s".

2- Hadis tak sahih ini diriwayatkan di dalam kitab sufi yang ditulis oleh As-Sayyid Muhammad Haqqiy An-Naziliy halaman 162 dalam suatu hadis yang panjang berkenaan Israk dan Mikraj.

3- Tiada Imam hadis ahli s-sunnah yang meriwayatkan hadis seperti di atas.

4- Tiada juga sebarang hadis sahih yang menceritakan tentang nama mala’ikat `Izra’il.

5- Tiada juga sebarang hadis sahih yang menceritakan tentang tulisan di atas sayap mala’ikat.

6- Menyebarkan hadis yang tak sahih ini adalah dilarang.

Wallahu a'lam.


623. Soalan : Saya hendak bertanya boleh tak lelaki memakai inai?

Jawapan : 

Hukum memakali inai bagi lelaki

Fuqahak semua mazhab berpendapat haram bagi lelaki memakai inai di tangan atau di kaki kerana inai merupakan perhiasan bagi wanita. Lelaki tidak harus meniru wanita sama ada pakaian atau perhiasan sebagaimana sabda Nabi SAW. bermaksud:
“Allah laknat lelaki yang menyerupai atau meniru wanita dan wanita yang menyerupai atau meniru lelaki.”

Antara kata-kata fuqahak dalam masalah ini:
1. “Adapun menginaikan dua tangan dan dua kaki, maka disunatkan bagi wanita yang bersuami kerana terdapat Hadis-hadis yang masyhur mengenainya. Dan perbuatan itu haram bagi lelaki kecuali kerana keperluan seperti berubat dan sebagainya…” Imam an-Nawawi di dalam kitab ‘Al-Majmuk”
2. “Dan tidak harus menginaikan dua tangan kanak-kanak lelaki dan dua kakinya kecuali kerana ada keperluan untuk berbuat demikian, tetapi harus bagi wanita…” Al-Fatawa al-Hindiyyah. Dinyatakan di dalam fatwa tersebut tidak harus diinaikan tangan dan kaki kanak-kanak lelaki. Maka lelaki dewasa lebih-lebih lagi.
3. “Adapun menginaikan dua tangan dan dua kaki, maka disunatkan untuk wanita dan diharamkan untuk lelaki kecuali untuk berubat…” ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud.

Kesimpulannya, inai adalah perhiasan wanita. Hukum memakainya adalah harus, sunat dan dalam keadaan tertentu makruh, iaitu bagi wanita yang tidak bersuami menurut pendapat fuqahak mazhab Syafi’ei. Bagi lelaki adalah haram kecuali dalam keadaan terpaksa seperti untuk berubat dan sebagainya.
Justeru, adat lelaki memakai inai ketika aqad nikah dan walimah adalah tidak selari dengan ajaran Islam dan mesti dihentikan.


624. Soalan : Ustaz, saya ingin bertanya.. kenapa waktu kita menziarahi kubur, selepas membaca doa untuk simati, kita perlu menjirus air di kubur tersebut. adakah ini perlu, wajib, harus dlm islam. atau pun ini satu bidaah, perkara yang di ada-adakan, mohon penjelasan ustaz, terima kasih.?

Jawapan : 

Amalan menjirus air ke kubur hukumnya SUNNAT di dalam mazhab Syafi`e.

Tetapi yang disunnatkan hanya dengan air semata-mata dan bukannya air mawar sebagaimana kelaziman sesetengah masyarakat kita.

Menjirus air dengan air mawar dihukumkan MAKRUH kerana ianya dikira satu pembaziran.

Imam asy-Syafi`i meriwayatkan daripada Ibraahiim bin Muhammad daripada Ja'far bin Muhammad daripada ayahandanya bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. telah menyiram (air) atas kubur anakanda baginda Ibrahim dan meletakkan atasnya batu-batu kerikil. Riwayat ini terkandung dalam "Musnad al-Imam al-Mu`adzhdzham wal Mujtahid al-Muqaddam Abi 'Abdillah Muhammad bin Idris asy-Syafi`i r.a.", juzuk 1, halaman 215. Wallahu 'alam.


625. Soalan : Ustaz saya nak tanya..perempuan yang datang haid selama 3 hari..hari yg ke 5 haidnya dtg sikit-sikit ( haid keluar sikit-sikit kadang langsang tak ada)hingglah hari ke 7.soalannya-adakah d bolehkan solat pada hari ke4 sesudah mandi dan bagaimana dengan hari ke5 hingga ke7.boleh solat tak kalau haid masih keluar walaupun sikit.adakah sah solat .trima kasih ustaz.

Jawapan : 

Untuk memastikan haid sudah bersih sepenuhnya perlu di pereksa dengan kapas putih , jika ada lagi sedikit tak boleh mandi hadas lagi dan tak boleh solat. Hadis ‘Aisyah :

Sekumpulan wanita menghantar ad-durjah kepada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha dan di dalamnya ada kapas yang terdapat kesan sufrah padanya. Maka ‘Aisyah berkata : Janganlah kamu tergesa-gesa (mandi) sehingga kamu melihat al-qassat al-baydha’ (iaitu dia memaksudkan sudi daripada haid).

Takhrij hadis :

Diriwayatkan oleh Malik dalam al-Muwaththa’ dan al-Bukhari dalam Sahihnya secara mu’allaq dengan sighah yang jazam.

Fiqh hadis :

1. Hadis menunjukkan tiada tempoh tertentu untuk had maksimum haid tetapi haid itu terhenti apabila berhentinya darah.
2. Cara menentukan haid kering : meletakkan kapas pada faraj untuk melihat samada masih ada kesan darah atau tidak.
3. Tanda suci dari haid : 1- al-qassat al-baydha’ dan al-jafaf (kering).
al-qassat al-baydha = cecair putih yang keluar setelah berhentinya darah haid.
4. Hadis ini menunjukkan para wanita di zaman awal sangat mengambil berat dengan solat.
Ibn Hajar berkata : maksud ‘sehingga kamu nampak al-qassat al-baydha’’ = (1) setelah kamu letakkan kapas di faraj, maka ia jelas putih bersih, (2) keluarnya cecair putih.



No comments:

Post a Comment