Wednesday, July 9, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 134 (Cara Wuduk Kaki Bersimen, Roh Tak Boleh Balik Rumah, Haid Melebihi 30 Hari, Was-was Air Kencing Keluar Dan Syaitan Di Ikat Di Bulan Ramadan.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 134 adalah menjelaskan persoalan cara wuduk kaki bersimen, roh tak boleh balik rumah, haid melebihi 30 hari, was-was air kencing keluar dan syaitan di ikat di bulan Ramadan.

626. Soalan :  Saya kemalangan dan kaki bersimen belah kiri...nak tunduk untuk tayammun pun tak sampai...macamana nak buat???
Selain pasir atau debu....bolehkah guna bedak atau tolong bagi cadangan lain....


Jawapan : 

Orang yang mengalami luka pada badannya atau patah tulang anggotanya dan terpaksa dibalut, diplaster atau disimen di mana ia tidak dapat ditanggalkan (termasuk semasa ingin mengambil wuduk), bagaimana caranya ia hendak mengambil wuduk atau mandi?

Bagi kes tersebut, diberi kelonggaran untuk menyapu air di atas kain balutan atau plaster atau simen yang dipakainya. Orang yang menghadapi masalah sedemikian, ia hendaklah melakukan tindakan berikut semasa mengambil wuduk;

Pertama; Hendaklah ia membasuh dan meratakan air sebagaimana biasa ke kawasan-kawasan yang sihat (tidak sakit) dari anggota wuduknya.

Kedua; Bagi kawasan yang berbalut pula, wajib ia menyapu air ke atasnya. Menurut Imam Abu Hanifah; memadai dengan menyapu sebahagian besar balutan. Namun jumhur ulamak (iaitu Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad) berkata; “Wajib disapu air meliputi seluruh balutan”.

Jika ia mandi wajib, hendaklah ia mandi sebagaimana biasa iaitu dengan meratakan air ke seluruh badannya yang sihat (yakni yang tidak berbalut). Adapun kawasan yang sakit (yakni yang berbalut) hendaklah disapukan air ke atas balutan secara menyeluruh atau sebahagian besar darinya mengikut pandangan ulamak tadi. Apabila ia sembuh nanti, tidak diwajibkan ia mengulangi semula mandi wajibnya. Ia hanya diwajibkan membasuh/memandikan anggota-anggota yang berbalut sahaja.

Adakah wajib disertai dengan tayammum?

Mengenai soalan ini, para ulamak berbeza pandangan;

1. Menurut mazhab Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad; tidak wajib lagi bertayammum. Memadai membasuh kawasan yang sihat dan menyapu air di atas balutan bagi kawasan yang sakit. Tidak perlu bertayammum.

2. Menurut mazhab Imam Syafi’ie; wajib disertai dengan tayammum. Berdasarkan mazhab Syafi’ie, orang yang memakai balutan ia hendaklah melakukan tiga perkara semasa mengambil wuduk atau mandi wajib;
a) Membasuh kawasan yang sihat (tidak sakit atau cedera)
b) Menyapu air ke atas balutan dengan meratakannya
c) Bertayammum; bagi mandi wajib, cukup dengan sekali tayammum sahaja sama ada sebelum mandi atau selepasnya. Adapun bagi wuduk, ada dua pandangan; (Pandangan pertama); wajib bertayammum mengikut bilangan anggota wuduk yang berbalut untuk menjaga tertib yang disyaratkan dalam wuduk. (Pandangan kedua); cukup sekali tayammum sahaja iaitu sebelum wuduk atau selepasnya. Pandangan yang rajih dalam mazhab ialah yang pertama.

3. Mengikut mazhab Imam Ahmad; wajib tayammum hanya jika balutan melebihi kawasan yang perlu, yakni kawasan yang sakit atau cedera. Jika balutan hanya membalut kawasan sakit tanpa menyentuh kawasan yang sihat, tidak perlu bertayammum, cukup dengan menyapu air ke atas balutan sahaja.

Adakah wajib memakainya setelah bersuci?

Ada dua pandangan ulamak;

Pandangan pertama; wajib balutan atau palster atau simen itu dipakai setelah bersuci iaitu setelah mengambil wuduk atau setelah mandi wajib. Jika tidak, maka solat yang ditunaikan sepanjang memakai balutan atau simen atau plaster itu wajib diulangi semula apabila sembuh nanti. Pandangan ini telah diberikan oleh mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad.

Pandangan kedua; tidak wajib bersuci terlebih dahulu sebelum memakainya. Dalam pengertian yang lain; tidak disyaratkan pemakaian balutan atau simen atau plaster itu dibuat setelah mengambil wuduk atau mandi wajib terlebih dahulu. Sekalipun seseorang memakai balutan atau simen dalam keadaan tidak berwudhuk, harus baginya menyapu atas balutan atau simen itu semasa mengambil wudhuk atau mandi wajib dan tidak perlu ia mengulangi solatnya apabila sembuh. Pandangan ini telah diberikan oleh mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.

Berapa lamakah tempoh diizinkan menyapu balutan?

Keizinan dari Syarak untuk menyapu balutan tidak ada tempoh masa tertentu. Ia bergantung kepada tempoh kesembuhan luka atau patah. Selagi luka atau patah belum sembuh dan balutan masih perlu dipakai, maka selagi itu keharusan menyapu di atas balutan berterusan. Apabila sakit telah sembuh dan balutan dapat dibuka, hilanglah keharusan tersebut dan wajib mengambil wudhuk atau mandi wajib sebagaimana asalnya.


Berdasarkan huraian di atas cara saudara mengambil wuduk mengikut mazhab Syafie iaitu : Saudara basuh anggota wuduk muka, dua tangan hingga siku, sapu air di kepala dan basuh kaki kanan dan di kaki kiri yang bersimen. (jika tak sampai minta orang lain tolong sapukan) kemudian saudara bertayamum iaitu sapu debu di muka dan dua tangan hingga siku. (untuk menggantikan kaki kiri yang tak boleh di basuh dengan air).
 

Perlu di ingat bertayamum TIDAK BOLEH MENGGUNAKAN bedak atau debu di dinding, perlu gunakan debu tanah yang suci. Cara bertayamum ialah sebagaimana ajar Nabi SAW dalam hadis berikut: "Sesungguhnya cukuplah engkau mengerjakan sebegini - Nabi SAW menepuk tanah dengan kedua tapak tangannya kemudian meniupnya kemudian menyapu muka serta tangannya dengan kedua tapak tangannya itu. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu' Lu' wal Marjan - no: 0208.)

Tayamum hendaklah dengan menggunakan debu tanah yang bersih yang berasal dari bumi sepertimana firman Allah SWT maksudnya : "…kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih…(Surah al-Maidah (5) ayat 6) dan juga dari sabda Nabi SAW : "Kamu diberikan kelebihan atas manusia dengan 3 perkara: Dijadikan barisan-barisan kamu seperti barisan para malaikat, dijadikan bumi seluruhnya sebagai tempat solat dan dijadikan bagi kamu debunya sebagai penyuci apabila kamu tidak mendapatkan air."(Hadis riwayat Imam Muslim, Misykat al-Masabih - 1/725/0186.)

Daripada dua dalil di atas telah ditentukan bahawa agen penyuci yang dibolehkan bagi etika tayamum ialah debu-debu tanah mukabumi. Ulama-ulama fiqh telah memperluaskan maksud debu tanah mukabumi ini kepada tanah dan jenis-jenisnya, pasir, kerikil, debu arsenik dan kapur. (Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/196.)

Apabila hendak bertayamum seseorang itu perlu memastikan bahawa yang akan digunakan itu adalah debu tanah mukabumi dan bukannya debu-debu habuk partikel udara yang kebanyakkannya merupakan sisa kumuhan kimia yang terapung lalu melekat di dinding bas, perabut atau tingkap bangunan atau habuk-habuk di kerusi bas /kapal terbang/ keretapi)

Sesetengah pendapat membolehkan bertayamum dengan menggunakan apa sahaja yang berupa debu, tanpa mengira samada ia berasal dari bumi atau tidak. Pendapat ini membolehkan bertayamum dengan tepung gandum, bedak talkum, serbuk kayu, habuk-habuk yang berada di atas perkakas rumah. habuk-habuk di kerusi bas, kapal terbang atau keretapi dan sebagainya. Ada juga yang menambah, apa sahaja bentuk debu yang ditemui di mukabumi ini maka ia boleh digunakan sebagai agen untuk tayamum.

Pendapat ini menurut analisa ulama yang muktabar adalah tidak tepat kerana ia jelas menyalahi ketentuan syarak yang menyatakan bahawa yang dibolehkan untuk tayamum ialah debu-debu tanah mukabumi. Perkataan tanah debu di dalam al-Quran berasal dari kata Bahasa Arab yang asalnya bererti tanah. (Imam as-Suyuti - Tafsir Jalalain, 1/451, Shaikh M. Ali ash-Shabuni - Tafsir Ayat-ayat Hukum dalam al-Qur'an, 1/951.)

Oleh itu apabila Allah telah memerintahkan : "……hendaklah kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih ……" (Surah al-Maidah (5) ayat 6) , maka yang dimaksudkan ialah tanah mukabumi ini dan bukan sebarang jenis debu-debu yang tidak berasal dari tanah mukabumi. Hal ini diperincikan lagi oleh Nabi SAW yang telah bersabda:" ……dijadikan bumi seluruhnya sebagai tempat solat dan dijadikan bagi kamu debunya sebagai penyuci ……" (Hadis riwayat Imam Muslim, Misykat al-Masabih - 1/725/0186.)

Imam Ibnu Ruysd seterusnya menambah : Pendapat yang mengatakan kebolehan bertayamum dengan menggunakan apa sahaja yang berada di atas mukabumi adalah lemah. Sebab tidak semuanya itu termasuk dalam kategori 'debu tanah'. Sebab kata 'debu tanah' yang umum itu diertikan sebagai apa yang disebut sebagai bumi. Dengan demikian ia bukanlah diertikan sebagai kapur atau salji atau rumput (dan sebagainya). Allah sahajalah dalam segala hal yang akan menunjukkan kebenaran. (Imam Ibnu Ruysd - Bidayatul Mujtahid, 1/143.)

Dalam kenyataannya ini Imam Ibnu Ruysd tidak memandang kapur sebagai sesuatu yang boleh digunakan untuk bertayamum. Walaubagaimanapun sesetengah ahli fiqh lain berpendapat kapur itu dibolehkan kerana ia adalah juga suatu benda yang asli dari bumi ini. Yang dimaksudkan kapur itu adalah debu-debunya yang dikikis dari bukit-bukit batu kapur sebagaimana yang banyak terdapat di negara kita.)
 

Tak boleh guna bedak untuk tayamum, cuba cari kedai jual buku-buku agama ada yang menjual debu tayamum. untuk yang simen itu sapu dengan tangan yang ada bekas air saja buat syarat. Kemudian tayamum untuk tampung kawasan yang tak kena air.

627. Soalan : Betul ke roh ahli kerluarga kita yang telah meninggal akan datang melawat kita di bulan Ramadan ni ? atau benar kah roh akan datang melawat keluarganya di dunia ini?

Jawapan : 

Pendapat ini tak betul dan ianya adalah kurafat tak boleh percaya kerana boleh menjejaskan akidah kita. Apabila seorang manusia meninggal dunia dan masuk ke alam barzakh maka rohnya tak akan balik kerumah samaada di bulan Ramadan , bulan Syahwal atau bulan-bulan yang lain. Ulama yang muktabar telah memberikan huraiannya mengenai roh orang yang telah meninggal dunia. 

1. Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi.
Bahawa roh tidak akan mencampuri urusan yang tidak berguna lagi padanya [Fataawa Muasyarah, 1/70]. Pada hakikatnya, roh berada suatu alam yang dinamakan alam barzakh yang sudah tentu penghidupannya sangat berbeza. Sheikh Walid al-Firyaan mengatakan bahawa alam barzakh adalah jangka waktu diantara kematian seseorang dan Hari Kiamat.
Bagi Roh orang yang beriman, ia akan menerima balasan yang baik di alam barzakh. Dan bagi mereka yang mengerjakan maksiat maka mereka akan diazab di alam barzakh. Sebagaimana sabda Nabi S.A.W:-


Roh orang yang beriman adalah burung yang sangkut di pokok-pokok syurga,memakan buah-buahannya, dan Roh orang kafir akan pergi ke neraka"
Sebagai kesimpulan, alam Roh dengan Alam Dunia amat berbeza sekali. Kekesanan Alam Dunia kepada Alam Roh adalah sebagaimana yang dinyatakan didalam hadith sahih iaitu : sedekah jariah, ilmu yang bermunafaat dan anak yang soleh yang mendo'akannya. Tidak ada gunanya pun kalau roh-roh ini dibenarkan pulang kalau ia tidak memunafaatkan diri mereka.

2. Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Apabila roh sudah berpisah dari tubuh, ia berada di alam yang dinamakan Barzakh, dan ia tidak akan mampu sama sekali untuk kembali ke alam dunia semula sama ada dalam keadaan baik atau buruk. Dakwaan Roh pulang kembali ke rumahnya setelah hari-hari tertentu adalah TIDAK BENAR. Tidak kiralah sama ada roh itu dalam keadaan baik atau buruk. Manakala jika benar kelihatan mahkluk seperti si mati dan kendengaran suara-suara menangis, maka pandangan Ulama adalah ia hanyalah angkara Jin dan Syaitan yang menyerupai si mati dan gangguan mereka, tidak lebih dari itu.

Apabila roh sudah berpisah dari tubuh, ia berada di alam yang dinamakan Barzakh, dan ia tidak akan mampu sama sekali untuk kembali ke alam dunia semula sama ada dalam keadaan baik atau buruk. Dakwaan Roh pulang kembali ke rumahnya setelah hari-hari tertentu adalah TIDAK BENAR. Tidak kiralah sama ada roh itu dalam keadaan baik atau buruk. Manakala jika benar kelihatan mahkluk seperti si mati dan kendengaran suara-suara menangis, maka pandangan Ulama adalah ia hanyalah angkara Jin dan Syaitan yang menyerupai si mati dan gangguan mereka, tidak lebih dari itu.

Bukti bahawa Roh tidak boleh kembali berdasarkan dalil berikut :-

Firman Allah ertinya : " Hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka ( orang kafir) dia berkata : " Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong) . Dan di hadapan mereka ada DINDING (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan" ( Al-Mu'minuun : 99-100).

Imam Mujahid (Tabien dan anak murid Ibn Abbas r.a) dan Ibn Zaid berkata tentang ayat ini : "Barzakh adalah seperti satu tembok yang menghalang orang yang mati kembali ke dunia."

Firman Allah ertinya : "Allah SWT memegang jiwa (ruh) ketika matinya (seseorang) dan memegang jiwa(ruh) orang yang belum mati di waktu tidurnya, maka Dia tahanlah jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan.." ( Az-Zumar : 42 ).

Melalui ayat ini, jelas bahawa roh berada di dalam pegangan Allah SWT dan Allah tidak membenarkan sama sekali Roh untuk kembali ke dunia, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat sebelum ini,

Terdapat juga ulama berpandangan bahawa roh orang yang telah mati boleh bertemu dengan roh orang hidup ketika mereka sedang tidur (melalui mimpi). (Ar-Ruh, Ibn Qayyim, ms 20). Bagaimanapun, tiada yang berpandangan roh tersebut boleh bertemu dengan orang hidup semasa sedar mereka. Semua roh yang telah di ambil Allah SWT akan sibuk dengan urusan mereka sama ada baik atau buruk.

Prof Ahmed Azzedine Al-Bayanuny dan Prof. Mohamed Hussin pernah menegaskan bahwa dakwaan orang-orang kristian yang boleh bertemu dengan ruh si mati dengan teknik jampian khas adalah penipuan yang menggunakan Jin dan syaitan. Ia bukannya ruh yang sebenar. ( Rujuk Al-Iman Bil Malaika dan Al-Ruhiya al-Haditha)


628. Soalan : Saya ada soalan yang saya kira cakap berat untuk insan kerdil seperti saya ini. 

1) Bagaimana untuk mengira putaran haid seseorang? Adakah di kira sebagai 15 hari suci dan 15 hari tak suci. Sebab adik saya mengalami hari tak suci melebihi 30 hari tanpa henti. 

2) Sekiranya ia memasuki waktu suci walaupun haid nya masih keluar, adakah ia dibenarkan berpuasa dan solat? 

3) Bolehkan ia menyimpan wuduk? Sekian. Terima kasih.

Jawapan : 

Dalam mazhab Syafie masa haid paling lama adalah 15 hari, jika lebih 15 hari dipanggil darah istihadah. Kebiasan adik saudari haidnya berapa hari, jika 7 hari maka 7 hari adalah di kira masa haid dan selebihnya adalah istihadah. Terdapat perbezaan syariat ke atas wanita haid dan wanita mengalami istihadah. Jika adik saudari mengalami tak suci lebih 30 hari itu adalah darah istihadah. Seseorang yang mengalami darah istihadah perlu mendapat pemereksaan doktor di atas penyakit yang di alaminya. Istihadah Dan Hukum-Hukumnya

Istihadah (الاستحاضة) ialah darah yang keluar secara berterusan bagi seorang wanita. Ia keluar tanpa terputus-putus atau mungkin terputus sekejap seperti sehari-dua dalam sebulan.

Dalil bagi kes pertama, yakni darah keluar tanpa terputus-putus ialah sebagaimana aduan Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu 'anha kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana di dalam Shahih al-Bukhari: “Ya Rasulullah! Sesungguhnya aku tidak suci” manakala dalam satu riwayat yang lain: “Aku didatangi istihadah maka aku tidak suci.”

Dalil bagi kes kedua, yakni darah keluar dengan terputus sekejap ialah kisah Himnah binti Jahsy radhiallahu 'anha yang datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lalu berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku didatangi darah istihadah yang banyak.” [Musnad Ahmad, Sunan Abu Daud dan Sunan al-Tirmizi dan beliau (al-Tirmizi) mensahihkannya.]

Terdapat tiga cara bagi membezakan antara darah haid dan istihadah:

Pertama:

Wanita yang memiliki masa haid yang tetap (tempoh dan putarannya). Maka baginya hukum haid dalam masa yang tetap tersebut dan hukum istihadah bagi waktu selainnya.

Contohnya ialah seorang wanita yang lazimnya didatangi haid selama enam hari bermula awal setiap bulan. Kemudian (pada satu bulan) dia mengalami pendarahan yang berterusan. Maka pendarahan enam hari yang pertama bermula dari awal bulan dikira sebagai haid manakala hari-hari selebihnya dikira sebagai istihadah.

‘A’isyah radhiallahu ‘anha menerangkan bahawa Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu ‘anha pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

“Sesungguhnya aku didatangi istihadah, maka aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Rasulullah menjawab: “Tidak, sesungguhnya itu ialah ‘irq (penyakit). Tinggalkan solat pada kadar haid yang kebiasaan bagi kamu, kemudian hendaklah kamu mandi dan dirikan solat.” [Shahih al-Bukhari – no: 325 (Kitab al-Haid)]

Hal yang sama pernah berlaku kepada Umm Habibah binti Jahsy radhiallahu ‘anha dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada beliau:

“Duduklah (dalam keadaan haid) sekadar mana yang pernah kamu alami dari hari-hari haid kamu (yang biasa), kemudian hendaklah kamu mandi dan solat”. [Shahih Muslim – no: 334 (Kitab al-Haid)]

Kesimpulannya, bagi wanita yang memiliki masa haid yang tetap (tempoh dan putarannya), hendaklah dia mengira masa haidnya mengikut kebiasaan. Jika ada pendarahan pada hari-hari seterusnya, hendaklah dia mandi dan solat mengikut ukuran masa haidnya yang biasa. Tidak perlu diberi perhatian kepada pendarahan pada hari-hari seterusnya kerana itu adalah istihadah.

Kedua:

Wanita yang tidak memiliki masa haid yang tetap atau diketahui (tempoh dan putarannya). Contohnnya darah yang keluar secara berterusan sejak awal. Maka baginya dibezakan antara darah haid dan darah istihadah dengan memerhatikan sifat-sifat darah tersebut. Darah yang berwarna hitam (merah kehitaman) dan/atau pekat dan/atau berbau, ia adalah darah haid. Selainnya adalah darah istihadah.

Sebagai contoh, seorang wanita yang mengalami pendarahan secara berterusan. Akan tetapi pada hari kesepuluh kelihatan perbezaan sifat darah:

a. Sehingga hari kesepuluh darah berwarna hitam (merah kehitaman) manakala selepas itu ia berwarna merah. Maka darah yang berwarna hitam adalah haid, darah yang berwarna merah adalah istihadah.

b. Sehingga hari kesepuluh darah bersifat pekat manakala selepas itu menjadi cair. Maka darah yang pekat adalah haid, darah yang cair adalah istihadah.

c. Sehingga hari kesepuluh darah memiliki bau manakala selepas itu tiada lagi bau. Maka darah yang berbau adalah haid, darah yang tidak berbau adalah istihadah.

Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu ‘anha:

“Apabila darah itu adalah haid maka sesungguhnya ia hitam (lagi) dikenali, justeru hendaklah kamu menahan dari melakukan solat. Jika ia adalah (darah) selain itu maka hendaklah kamu berwudhu’ dan mendirikan solat kerana sesungguhnya ia adalah (darah) penyakit.” [Sunan Abu Daud – no: 247 (Kitab al-Thaharah) dan Sunan al-Nasa’i dengan disahihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim]

Hadis di atas memiliki perbincangan dari sudut sanad dan matannya, akan tetapi para ilmuan rahimahumullah telah beramal dengannya. Bahkan ia adalah lebih utama daripada membiarkan persoalan ini kepada adat kebiasaan wanita. [Maksudnya, jika persoalan ini dibiarkan kepada adat kebiasaan wanita, ia akan terdedah kepada pelbagai pendapat dan hukum yang tidak benar. Justeru lebih baik menggunakan hadis di atas sebagai rujukan. Sekalipun ia memiliki perselisihan pendapat dari sudut kekuatannya, maksudnya tetap selari dengan lain-lain petunjuk syari‘at sehingga menjadi amalan para ilmuan sejak dari dahulu.]

Ketiga:

Wanita yang tidak memiliki masa (tempoh dan putaran) haid yang tetap dan tidak juga memiliki sifat-sifat darah yang dapat dibezakan antara haid dan istihadah. Maka baginya masa haid diukur berdasarkan kebiasaan wanita, waktu selebihnya dikira sebagai istihadah.

Sebagai contoh, wanita yang menghadapi kes ketiga ini melihat darah keluar secara berterusan bermula pada hari Khamis yang pertama dalam bulan tersebut. Maka hendaklah dia melihat kebiasaan para wanita lain yang menghampirinya dan menjadikan tempoh haid mereka sebagai ukuran ke atas dirinya. Jika pada kebiasaannya mereka didatangi haid selama enam atau tujuh hari, maka demikianlah juga ukuran ke atas dirinya. Oleh itu enam atau tujuh hari yang pertama pendarahan, bermula daripada hari Khamis, dianggap sebagai haid. Hari-hari seterusnya dianggap sebagai istihadah.

Hadis berikut menjadi rujukan dalam kes ketiga ini. Himnah binti Jahsy radhiallahu ‘anha pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

“Ya Rasulullah! Sesungguhnya saya seorang wanita yang didatangi istihadah yang amat banyak, apakah pandangan engkau berkenaannya? Sesungguhnya ia menegah aku daripada mendirikan solat dan puasa.”

Rasulullah menjawab: “Aku akan terangkan untuk kamu (cara menggunakan) al-Kursuf (kapas yang diletakkan di faraj), sesungguhnya ia dapat menghilangkan darah.”

Himnah berkata: “Ia (darah saya) lebih banyak dari demikian itu”.

Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya ia (pendarahan kamu) adalah hentakan dari hentakan-hentakan syaitan, maka (apabila) kamu didatangi haid selama enam atau tujuh hari pada ilmu Allah Ta’ala, hendaklah kamu mandi apabila kamu lihat bahawa kamu telah suci (dari darah haid), maka hendaklah kamu solat pada pada dua puluh tiga malam atau dua puluh empat malam dan siangnya dan hendaklah kamu berpuasa.” [Sunan Abu Daud – no: 248 (Kitab al-Thaharah) dan Sunan al-Tirmizi – no: 118 (Kitab al-Thaharah) dan berkata al-Tirmizi, hadis ini hasan sahih]

Sabda Rasulullah: “Enam atau tujuh hari” bukanlah penetapan tetapi ijtihad. Oleh itu hendaklah setiap wanita yang menghadapi kes ketiga ini berijtihad akan satu tempoh haid yang sesuai baginya. Ijtihad dibuat dengan merujuk kepada tempoh haid yang lazim dihadapi oleh para wanita lain yang menghampiri dirinya, seperti daripada keluarga atau adik beradik yang sama, rakan-rakan yang sebaya umurnya dan lain-lain lagi. [“Para wanita lain” ini hendaklah memiliki tempoh dan putaran haid yang normal. Sebagai contoh, jika seorang wanita menghadapi kes ketiga ini, hendaklah dia merujuk kepada tempoh dan putaran haid yang lazim bagi adik beradiknya yang lain. Jika mereka didatangi haid selama 10 hari setiap satu bulan, maka tempoh 10 hari tersebut menjadi ukuran bagi dirinya juga. Maka bagi pendarahan berterusan yang dihadapinya, 10 hari setiap bulan dianggap sebagai haid manakala selebihnya dianggap istihadah]

Demikian tiga cara yang paling lazim bagi membezakan antara darah haid dan istihadah.


629. Soalan : Saya ada masalah sedikit..saya sering terasa air kencing saya terkeluar,tapi bila saya lihat,tiada air pun..perasaan itu sering mengganggu saya..mohon nasihat dari ustaz..

Jawapan : 

Perasaan ini adalah perasaan was-was.Berikut beberapa perkara yang perlu saudara ambil perhatian:

1. Perasaan was-was yang mengganggu ibadah adalah gangguan fikiran dan syaitan. Hindarkan jiwa dari melayannya. Ini kerana melayannya bererti mengikut kehendak syaitan yang cuba menghilang fokus seseorang kepada ibadah dan cuba menjadikan seseorang itu akhirnya bosan, bimbang dan jemu dengan ibadah.

Para ulama seperti Ibn Jauzi (meninggal 597H), Ibn al-Qayyim (meninggal 751H) dan ramai lagi sejak dahulu menulis dalam berbagai karya untuk membenteras penyakit yang buruk ini.

2. Antara sebab utama berlakunya was-was; tidak memahami atau berpuas hati dengan praktikal Nabi SAW yang mudah dan senang dalam ibadah, terpengaruh dengan ajaran fekah yang suka menyusahkan orang ramai dengan berbagai petua yang membebankan, dan juga terlalu melayan gangguan perasaan.

Kata al-Imam Ibn al-Qaiyyim: “Tanpa syak lagi sesungguhnya syaitan adalah punca kepada was-was. Mereka yang was-was mentaati syaitan, menyahut seruannya dan mengikuti perintahnya. Mereka berpaling daripada sunnah dan jalan baginda sehinggalah seseorang mereka menganggap apabila dia berwuduk sama seperti wuduk Rasulullah s.a.w, atau mandi seperti baginda masih tidak bersih dan tidak hilang hadasnya. Jikalau tidak disebabkan dia diberikan kemaafan kerana kejahilannya, maka tindakan itu dianggap menentang Rasulullah SAW” (Ighathah al-Lihfan Min Masaid al-Syaitan, 134, Beirut: Dar Ibn Zaidun)

3. Antara ajaran yang menyebabkan was-was ialah pendapat yang mewajib mengurut kemaluan selepas kencing. Tiada nas yang sahih dalam perkara tersebut. Hanya yang diperintah agar kita membersihkan diri dari air kencing, bukan disyaratkan mesti mengurut kemaluan sehingga dipastikan segala yang ada dikeluarkan. Anggapan bahawa jika tidak diurut sehingga habis tidak sah solat adalah tidak benar.

Kata al-Syeikh Abd al-‘Aziz Ibn Baz r.h: “Adapun mengurut zakar agar keluar sesuatu adalah salah dan tidak wajar. Ia antara sebab berlakunya was-was dan tidak lawas. Hendaklah dihindari perkara ini. Sebaik sahaja terhenti kencing, maka berintinjak (cuci) dengan air…” (Ibn Baz, al-Fatawa al-Muta’allaqah bi al-Tibb wa Ahkam al-Marda, 35, Riyadh: Idarah al-Buhuth).

4. Bagi mengelakkan was-was yang merasai air kencing terkena pakaian atau masih terkeluar dari kemaluan, dicadangkan agar selepas membuang air kecil, diambil air dan direnjis pada pakaian yang berhampiran. Tujuannya, agar jika ternampak apa-apa kesan air, maka anggaplah itu air renjisan tadi. Al-Imam Ahmad telah ditanya oleh seorang lelaki yang selepas berwuduk masih merasa berhadas.

Kata al-Imam Ahmad: “Ambil air dalam tapak tangan dan renjis pada kemaluanmu dan jangan peduli lagi, kerana itu menghilangkan syak insyaAllah”. (Ibn Qudamah, al-Syarh al-Kabir 1/94) Cadangan al-Imam Ahmad ini berteraskan hadis: “Bahawa Nabi s.a.w kencing, kemudian berwuduk dan merenjiskan air pada kemaluan baginda” (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Nabi SAW melakukan perbuatan tersebut sebagai panduan kepada kita.

5. Adapun rasa ‘keluar angin’ (kentut) tetapi tidak pasti atau tidak yakin bahawa betul-betul keluar atau hanya perasaan sahaja, maka itu tidak membatal wuduk dan solat. Nabi SAW mengajar kita agar perasaan was-was seperti ini tidak diambil kira. Dalam hadis al-Bukhari, “Seorang lelaki mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia merasa sesuatu semasa dalam solatnya, apakah dia patut berhenti?. Jawab Nabi s.a.w: “Jangan sehinggalah mendengar bunyi (kentut) atau mendapati bau (kentut)”.

Maksudnya, Nabi SAW mengajar agar seseorang yang merasa terbatal wuduknya secara was-was atau tidak pasti tidak berhenti dari solat sehingga beliau benar-benar yakin terbatal. Solatnya tetap sah, mainan perasaan tidak diambil kira. Termasuklah dalam hal ini mereka yang terasa macam terkeluar air kencing, tetapi tidak pasti samada hanya perasaan atau benar-benar berlaku, maka solat masih dianggap sah. Melainkan dia yakin tanpa ragu bahawa angin atau air kecil benar-benar telah terkeluar.

6. Was-was adalah berpunca dari kurang faham sifat Islam ini. Sebahagiannya datang ajaran sesetengah guru yang suka memayah-mayahkan cara ibadah. Sedang Nabi s.a.w memberitahu kita: “Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Oleh itu, elakkan mempelajari fekah dari guru yang suka berfalsafah sendiri dan berteori tanpa berlandaskan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.

7. Orang yang selalu merasa was-was dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan was-was hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua? Jika ia untuk Allah SWT maka hendaklah dia tahu bahawa Allah tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu.

Layanan kepada perasaan was-was itu hanya mentaati syaitan atau ganggu emosi yang salah bukan mentaati Allah. Ikutilah arahan Allah SWT dan RasulNya tanpa melayan was-was. Was-was akan memalingkan seseorang dari mengikuti arahan Allah dan rasulNya secara betul.

8. Al-Quran menceritakan bahawa senjata was-was ini jugalah yang digunakan oleh Iblis sehingga membawa Adam melanggar arahan Allah.

Firman Allah SWT: (maksudnya) “Setelah itu maka syaitan telah mewas-waskan kepada Adam dengan berkata: “Wahai Adam, Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu dia tersalah jalan.” (Surah Taha: 120-121)


630.Soalan : Adakah betul syaitan saja yg diikat pada bulan Ramadan ni? dan jin masih berkeliaran? Jin lslam dan Jin Kafir masih lepas? mohon penerangan, sbb sy dgr hanya syaitan saja yg diikat..bagaimana pula dgn Iblis? Bapa Syaitan tu? diikat juga kah?

Jawapan : 

Imam Qurtubi berpegang kepada hadis Imam Bukhari di mana para syaitan diikat tanpa pengecualian. Namun di situlah timbulnya kemusykilan. Kalau dah semuanya kena ikat, macam mana ramai yang boleh lagi dengan selamba buat maksiat tanpa rasa segan silu?

Kemusykilan itu dijawab oleh Imam Qurtubi, “pembelengguan kesemua syaitan tidak membawa makna tidak akan berlaku kejahatan dan maksiat kerana ada sebab-sebab lain berlakunya maksiat dan kejahatan seperti hawa nafsu yang jelek, adat kebiasan yang buruk dan syaitan-syaitan manusia”.

Manusi sendiri mempunyai hawa nafsu yang boleh menyebabkan kita melakukan pelbagai perkara maksiat. Berlakunya sesuatu maksiat bukanlah hanya disebabkan hasutan syaitan semata, tetapi dikait rapat dengan hawa nafsu manusia yang kotor. Ada orang cakap, selama 11 bulan nafsu berguru dengan syaitan, maka sebulan tanpa syaitan pun sudah boleh menjadikan nafsu itu raja dalam diri kita.Maka, dengan itu.. renung-renungkanlah. Segala maksiat dan kejahatan datangnya dari diri kita yang hina ini juga. Jauhkanlah sebaik mungkin, dengan hanya menyucikan hati InsyaAllah Nafsu yang selama ini tunduk pada syaitan akan beralah lalu menuju ke arah kebaikkan.

Perlu dijelaskan disini bahawa syaitan adalah anak cucu iblis laknatullah maka iblis dan semua syaitan adalah diikat (dibelenggu). Tetapi menurut ulama jin Islam dan jin kafir tak diikat mereka bebas seperti manusia Islam dan manusia kafir bebas. Maka jin kafir inilah memainkan peranan untuk menggoda manusia semasa bulan Ramadan dan ada sebahagian orang kena rasuk juga dalam bulan Ramadan. Wallahu a'lam


3 comments:

  1. Salam uztaz..satu je sy musykil..simen kaki sy kalau kena air die jadi cair..jadi sy tetap kene ratakan air jugak ke atas simen tu?

    ReplyDelete
  2. Saya nak tya .. pendapat mna satu yg boleh ikut ni ?

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum, saya ada satu soalan dimana ibu jari kaki telah dijahit dan dibalut maka tidak boleh dikenakan air balutannya. Jadi apakah khaifiat berwudhu untuk kes seperti ini?

    ReplyDelete