Tuesday, July 22, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 141 (Hukum Batalkan Nazar, Kawin Di Thailand, Cinta Kerana Allah, Penyakit Urat Saraf (Amalan Ayat al-Quran) Dan Memakai Baju Ada Ayat Al-Quran Masuk Tandas.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 141 adalah menjelaskan persoalan hukum batalkan nazar, kawin di Thailand, cinta kerana Allah, penyakit urat saraf (amalan ayat al-Quran) dan memakai baju ada ayat al-Quran masuk tandas.

661. Soalan :  Jika seseorang telah bernazar tapi ianya tak boleh menunaikan nazar ada ke cari lain boleh mengganti.?

Jawapan : 

Jika seseorang telah bernazar boleh membatalkan nazar tersebut sebelum apa yang dinazarkan berhasil di bolehkan tetapi di kenakan kaffarah sumpah. Jika sekiranya nazar yang di ucapkan itu sudah berhasil maka wajib dia sempurnakan nazarnya tak boleh gantikan dengan kaffarah melainkan nazar tersebut perkara harus tetapi terasa sangat berat dan tak termampu di laksanakan maka boleh di gantikan dengan kaffarah sumpah.

 Jika rasa dalam jangkan panjang tak akan termampu melaksanakannya maka boleh di tebus dengan kaffarah . Kaffarah nazar sama dengan kaffarah sumpah. Allah berfirman,

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمُ الْأَيْمَانَ

“Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja.” (Surah al-Maidah ayat 89)

Makna: “…sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah)…” sebagaimana penjelasan A’isyah adalah kebiasaan orang arab yang mengucapkan “wallaahi…” (demi Allah), namun maksud mereka bukan untuk bersumpah.

Berdasarkan ayat di atas, orang yang bersumpah untuk melakukan atau meninggalkan sesuatu, dan dia serius dalam sumpahnya, kemudian dia melanggar sumpahnya maka dia berdosa. Untuk menebus dosanya, dia harus membayar kaffarah.
Bentuk kaffarah sumpah telah dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya,

فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ

“Kaffarahnya adalah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu langgar. ” (Surah al-Maidah ayat 89)

Berdasarkan ayat di atas, kaffarah sumpah ada 4:

1. Memberi makan 10 orang miskin
Memberi makan di sini adalah makanan siap saji, lengkap dengan lauk-pauknya. Hanya saja, tidak diketahui adanya dalil yang menjelaskan batasan makanan yang dimaksudkan selain pernyataan di ayat tersebut: “makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu”.

2. Memberi pakaian 10 orang miskin
Ulama berselisih pendapat tentang batasan pakaian yang dimaksud. Pendapat Imam Malik dan Imam Ahmad bahawa batas pakaian yang dimaksudkan adalah yang boleh digunakan untuk solat. Kerana itu, harus terdiri dari atasan dan bawahan. Dan tidak boleh hanya peci saja atau jilbab saja. Kerana ini belum boleh disebut pakaian.
Majoriti ulama berpendapat bahawa orang miskin yang berhak menerima dua bentuk kaffarah di atas hanya orang miskin yang muslim.

3. Membebaskan budak
Keterangan: Tiga jenis kaffarah di atas, boleh memilih salah satu. Jika tidak mampu untuk melakukan salah satu di antara tiga di atas maka beralih pada kaffarah keempat,

4. Berpuasa selama tiga hari.
Pilihan yang keempat ini hanya dibolehkan jika tidak sanggup melakukan salah satu diantara tiga pilihan sebelumnya. Apakah puasanya harus berturut-turut? Ayat di atas tidak memberikan batasan. Hanya saja, mazhab Hanafiyah dan Hambali mempersyaratkan harus berturut-turut. Pendapat yang kuat dalam masalah ini, boleh tidak berturut-turut, dan dikerjakan semampunya.

Demikian keterangan yang disadur dari Fiqh Sunah Sayid Sabiq, (3/25 – 28).

Catatan jika melakukan sumpah atas nama Allah:

Ada dua keadaan, dimana ketika orang melanggar sumpah tidak wajib membayar kaffarah:

Pertama, Dia melanggar kerana lupa, tidak sengaja, atau terpaksa dan tidak mampu lagi untuk menolaknya. Ini berdasarkan sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam,

إن الله وضع عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه

“Sesungguhnya Allah menghapuskan (kesalahan) dari umatku, (yang dilakukan) kerana tidak sengaja, lupa, atau terpaksa.” (Hadis Riwayat Ibn Majah dan disahihkanal-Albani)

Kedua, Ketika bersumpah dia mengucapkan, “insyaa Allah” sebagaimana dinyatakan dalam hadis,

مَنْ حَلَفَ فَقَالَ : إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَمْ يَحْنَثْ

“Siapa yang bersumpah dan dia mengucapkan: InsyaaAllah, maka dia tidak dianggap melanggar.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Ibn Hibban dan disahihkan Syu’aib al-Arnauth)

Jika tidak dinilai melanggar, bererti tidak ada dosa dan tidak wajib membayar kaffarah. Sebagaiman keterangan dalam Tuhfatul Ahwadzi, Syarh Jami Tirmidzi (5: 109)

Tidak boleh berpuasa dulu (3 hari) sebelum cuba menunaikan salah satu daripada 3. Ynag paling mudah di antara 3 adalah memberi makan 10 orang miskin. Buat nasi bungkus siap dengan lauk pauk dan sedekahkan kepada 10 orang miskin. Salah satu golongan miskin adalah golongan gelandangan yang terdapat di bandar, tetapi cari orang Islam.

662. Soalan : Saya nak bertanya..Salah seorang sepupu saya telah berkahwin di Thailand..mereka berkhwin disana kerana tidak mendapat persetujuan daripada keluarga pihak prmpuan...mereka menggunakan wali hakim .tetapi ayah perempuan itu masih ada..sah tak perkahwinan mereka sebenarnya? Mohon penjelasan ustaz...terim kasih

Jawapan : 

Untuk menjawab persoalan ini perlulah pihak yang hendak bernikah minta persetujuan secara baik kepada walinya. Jika walinya (bapanya enggan menikahkan kerana sebab-sebab yang bukan syarak) maka barulah boleh bernikah menggunakan cara wali hakim. Jika terus ke Thailand tanpa minta persetujuan terlebih dulu daripada walinya maka tak boleh sebab walinya adalah orang yang bertanggung jawab dan berhak untuk menjadi wali nikah untuk anak perempuannya. Tidak sah nikah tanpa wali.

 JAKIM telah mengeluarkan artikal bagimana di bolehkan menggunakan wali hakim hanya sekiranya si wali enggan bekerjasama untuk menjadi wali ke atas anak perempuannya. 

Para Fuqaha sependapat bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin walhal pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak.

Diriwayatkan dari Ma'qil bin Yasar, ia berkata: "Saya mempunyai saudara perempuan . Ia dipinang oleh seorang pemuda yang mempunyai pertalian darah dengan saya. Saya kahwinkan perempuan itu dengan pemuda tersebut, kemudian diceraikan dengan talak yang boleh dirujuk. Perempuan itu ditinggalkan sampai habis eddahnya. Tidak berapa lama kemudian, pemuda itu datang lagi untuk meminang, maka saya jawab:"Demi Allah, saya tidak akan mengahwinkan engkau dengan dia selama-lamanya". Peristiwa ini disampaikan kepada Nabi saw. Berhubung dengan peristiwa ini, Allah swt menurunkan ayat Al-Quran :

"Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu habis masa eddahnya, maka janganlah kamu menghalangi mereka kahwin dengan bakal suaminya". (Al-Baqarah : 232)

Kemudian Ma'qil berkata: "Kemudian saya membayar kifarah sumpah dan perempuan itu saya kahwinkan dengan lelaki berkenaan". (Riwayat Al-Bukhari dan Abu Daud)

Dalam sebuah hadith yang lain dinyatakan:

"Ada tiga perkara yang tidak boleh ditanggungkan iaitu: solat bila telah datang waktunya, jenazah bila telah terlantar dan wanita janda yang telah bertemu jodohnya". (Riwayat At-Tirmizi dan Hakim)

Oleh yang demikian, perbuatan wali enggan menikahkan atau menghalang wanita nikah tanpa ada alasan syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang zalim kepada wanita itu.

Menurut Jumhur Fuqaha (Syafi'e, Maliki dan Hambali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakim lah yang menikahkannya. Rasulullah saw bersabda: "Kalau wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali". (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

Dalam kes Azizah bte Mat lawan Mat bin Salleh (1976, Jld. II, I JH) mengenai wali enggan di Mahkamah Kadi Perlis, Yang Arif Kadhi Mahmood bin Lebai Man (pada masa itu) memutuskan, perempuan itu berhak mendapat wali hakim untuk dia berkahwin dengan Mansor bin Isa dengan mas kahwin dan belanja yang tidak ditetapkan.

Fakta kes itu adalah seperti berikut: Seorang perempuan telah menuntut di Mahkamah Kadhi supaya ia dikahwinkan dengan Mansor bin Isa secara wali hakim kerana bapanya enggan mewalikannya dalam perkahwinan itu dengan mas kahwin sebanyak RM80.00 dan hantaran RM202.00 tunai.

Pihak bakal suami telah mencuba beberapa kali untuk meminang perempuan tetapi dihalang oleh bapa dengan alasan "Tunggulah dulu sehingga anak perempuannya mendapat pekerjaan". Bakal suami itu bekerja sebagai Pembantu Audit.

Kadhi ketika memutuskan kes itu menyatakan :

Berdasarkan kepada hukum syarak, apabila seseorang itu tidak mahu mewalikan nikah anaknya kerana enggan atau berselisihfaham, maka bolehlah dinikahkan perempuan itu oleh wali hakim dengan alasan:

Pertama: Daripada Aisyah r.a. Nabi saw bersabda:

"Jika mereka berselisih , maka Sultan atau Rajalah wali bagi orang yang tidak ada wali". (Riwayat Abu Daud, Ahmad dan At-Tirmizi)

Kedua: Rasulullah saw bersabda:

"Kalau datang kepadamu lelaki beragama dan berakhlak baik, maka nikahkanlah ia. Jika kamu tidak melakukannya nescaya akan terjadi fitnah dan kerosakan yang besar". (Riwayat At-Tirmizi)

Pandangan Kami

Menurut undang-undang Malaysia, kes wali enggan perlu dibawa ke mahkamah syariah untuk penyelesaian. Pada pandangan kami, ini adalah jalan penyelesaian yang baik jika ia tidak mengakibatkan hubungan anak dan ayah (dan mungkin juga ahli-ahli keluarga yang lain) menjadi kucar-kacir atau terus terputus.

Kami kira, tak ramai bapa yang sanggup menerima hakikat bahawa anak mereka sendiri sanggup menyeret mereka ke mahkamah. Sudah tentu kebanyakan bapa akan merasa teramat marah terhadap anaknya, dan ini memungkinkan hubungan anak dan ayah menjadi terputus.

Pada pandangan kami, menyeret bapa ke mahkamah disebabkan kes wali enggan, biarlah dielakkan seboleh-bolehnya, supaya anak tak dikatakan anak derhaka.

Halalkan Hubungan, Teruskan Perbincangan

Cara penyelesaian yang lebih baik (sekiranya tak sanggup memutuskan hubungan) ialah menghalalkan hubungan dengan berkahwin di Songkhla, supaya zina dapat dielakkan. Bila pulang ke Malaysia, teruskan usaha untuk memujuk wali.

Apa yang Perlu Dibawa ke Songkhla

Bagi mereka yang menghadapi masalah untuk nikah di Malaysia dan memilih untuk nikah di Songkhla, dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut:

Kad pengenalan

Pasport atau Border Pass

Bagi janda, bawa surat cerai atau surat kematian suami yang asal

Selain dokumen di atas, bawa juga videocam (kamera atau fon) untuk merakamkan akad nikah. Video yang terhasil akan menjadi bukti penting dalam mahkamah syariah nanti

Prosedur Nikah

Dua hari bekerja (Isnin - Jumaat) diperlukan untuk nikah di Songkhla. Selepas dua hari ini, pasangan akan pulang ke Malaysia membawa

surat nikah (dapat pada hari pertama)

surat pengesahan nikah dari Majlis Agama Islam Songkhla (dapat pada hari pertama)

Surat pengesahan nikah dari Konsulat Malaysia di Songkhla (dapat pada hari kedua)

Konsulat Malaysia di Songkhla tutup pada hari Sabtu, Ahad dan hari-hari cuti am Malaysia. Mereka juga tutup pada sebahagian hari-hari cuti am Thailand.

Surat dari Konsulat adalah penting bagi pendaftaran nikah di Malaysia. Surat ini adalah pengesahan wakil Kerajaan Malaysia di Selatan Thailand bahawa nikah di Thailand itu adalah sah. Tanpa surat dari Konsulat, ada kemungkinan hakim mahkamah Syariah akan meminta bukti-bukti lain, termasuk meminta saksi-saksi hadir dalam mahkamah.

Pemilihan Tarikh Nikah

Pilih mana-mana tarikh yang difikirkan sesuai. Sekiranya menghadapi masalah untuk pergi ke Songkhla pada hari bekerja, atau sukar untuk bermalam di sana, sila hubungi kami melalui telefon 010-3658513 atau 017-328 5129. Insya Allah, ada penyelesaiannya.


(Dipetik dari JAKIM - Wali Enggan dan Wali Hakim)

663. Soalan : Ustaz..saya nak tanya apa itu di maksudkan cinta mengikut syarak?? Sebab saya insan yang dilamun cinta..sekian

Jawapan : 

Cinta itu laksana pohon di dalam hati. Akarnya adalah ketundukan kepada kekasih yang dicintai, dahannya adalah mengetahuinya, rantingnya adalah ketakutan kepadanya, daun-daunnya adalah malu kepadanya, buahnnya adalah ketaatan kepadanya dan air yang menghidupinya adalah menyebut namanya. Jika di dalam cinta ada satu bahagian yang kosong bererti cinta itu berkurang.

Apabila Allah SAW. cinta kepada kita maka seluruh makhluk di langit dan di bumi akan mencintainya bertepatan dengan hadith dari Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad SAW. telah bersabda yang bermaksud:

“Jika Allah SWT mencintai seseorang hamba, maka Jibril berseru, “Sesungguhnya Allah SWT. mencintai Fulan, maka cintailah dia!” Maka para penghuni langit mencintainya, kemudian dijadikan orang-orang yang menyambutnya di muka bumi.”
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Dalam Sunan Abu Daud dari hadith Abu Dzar r.a., dia berkata: Rasulullah SAW. bersabda:

“Amal yang paling utama ialah mencintai kerana Allah SAW. dan membenci kerana Allah SWT.”

Imam Ahmad berkata: “Kami diberitahu oleh Isma’il bin Yunus, dari Al-Hassan r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda:

“Demi Allah, Allah SWT tidak akan mengazab kekasih-Nya, tetapi Dia telah mengujinya di dunia.”

Bagaimanakah yang dikatakan hakikat cinta itu?

Banyak mengingati pada yang dicintai, membicarakan dan menyebut namanya.

Apabila seseorang itu mencintai sesuatu atau seseorang, maka sudah tentu beliau kan sentiasa mengingatinya di hati atau menyebutnya dengan lidah. Oleh yang demikian, Allah SWT. memerintahkan hamba-hamba-Nya agar mengingati-Nya dalam apa keadaan sekalipun sebagaiman yang difirmankan oleh Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).” [Surah Al-Anfaal ayat 45]

Tunduk pada perintah orang yang dicintainya dan mendahulukannya daripada kepentingan diri sendiri.

Dalam hal ini, orang yang mencintai itu ada tiga macam:

1. Orang yang mempunyai keinginan tertentu dari orang yang dicintainya.
2. Orang yang berkeinginan terhadap orang yang dicintainya.
3. Orang yang berkeinginan seperti keinginan orang yang dicintainya. Inilah yang merupakan tingkatan zuhud yang paling tinggi kerana dia mampu menghindari setiap keinginan yang bertentangan dengan orang yang dicintainya. Firman Allah SWT:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
[Surah Ali- Imran ayat 31]

Bercinta yang diharamkan tu ialah seperti yang berlaku dewasa ini yaitu antara si lelaki dan si perempuan saling berbual, bertemu, keluar atau makan bersama.

Apakah yang dimaksudkan pula bercinta tapi menjaga batas-batasnya. Batas apa yg dijaga?

Kalau yg dimaksudkan dengan batas itu ialah mengikut garis panduan agama maka tidaklah salah tetapi tidak pula dinamakan bercinta.. itu hanya disebut sebagai saling mengenali. Wanita yang hendak berjuma dengan lelaki yang bukan mahram maka perlu di bawa bersama mahram si wanita.

Dalam Islam, tdak salah menegenali seorang perempuan dengan tujuan utk dijadikan isteri. Tetapi tidaklah sampai keluar bersama tanpa mahram, bercakap perkara-perkara yang disukai oleh nafsu.

Tetapi kalau maksud menjaga batas tu ialah tidak tidur bersama hanya berjalan atau sekali sekala makan bersama maka itu bukan menjaga batas agama bahkan inilah bercinta yg diharamkan.

Bagi yg terlanjur sudah terlibat dengan bercinta ini tidaklah mesti memutuskan hubungan tetapi jika jujur menjadi keutamaan maka berkahwinlah sebagaimana anjuran Nabi SAW. jika sudah cinta dan rasa sesuai maka cepat-cepat hubungi keluarga si wanita dan bawa keluarga sekali untuk menetapkan majkis pertunagan atau lamaran.

664. Soalan :Ustaz, saya pesakit urat saraf akibat excident..Ayat APA yang baik untuk amalan saya?

Jawapan :  

AL-QURAN SEBAGAI PENAWAR- Di dalam Surah Al-Israa’ Ayat 82 Allah (SWT) berfirman “Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya.” 

Di dalam Surah Fussilat ayat 44 Allah (SWT) berfirman “Katakan, Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang yang beriman”.

 Ini jelas terbukti bahawa semua penyakit yang datang dari Allah, penawarnya ada di dalam Al-Quran, terpulanglah kepada individu untuk mencari dan mengamal ayat-ayat tersebut dan yakin sepenuhnya akan mukjizat Al-Quran.

CONTOH SURAH DAN AYAT PENAWAR- Semua penyakit yang Allah jadikan di dunia ini ada penawar nya didalam Al-Quran, contohnya.

1. Surah Qaaf ayat 16 hingga 45, Surah Ah-Qaaf ayat 21 hingga 28 dan Surah Sod ayat 34 hingga 61 selalunya untuk penyakit yang ada kaitan dengan tulang (seperti sakit rheumatism, arthritis, sakit sendi, tulang patah atau fractured, slip disc, sakit tulang belakang)

2. Surah Al-Buruuj ayat 1 higga 22 selalunya di baca untuk penawar sakit-sakit yang berkaitan dengan perut (seperti gastric, stomach ulcer) atau penyakit yang berkaitan dengan usus besar atau usus kechil.

3. Surah Al-Israa' ayat 40 hingga 55 untuk pesakit yang mengalami sakit jantung, saluran darah tersumbat (blockage) dan jantung berlubang.

4. Ayat-ayat dalam Surah Al-Anfaal untuk sakit jangkitan kuman/virus atau "infections". Ayat ayat dari Surah Al-Anfaal ini berfungsi sama seperti ubat-ubat antibiotiks.

5. Ayat-ayat dalam Surah An-Nahli untuk memberi kekuatan atau tenaga kepada pesakit. Kekuatan dari segi fizikal dan kekuatan dari segi dalaman atau rohani. Ayat-ayat ini berfungsi untuk meningkatkan kekuatan fizikal atau immuniti (sistem daya pertahanan sesaorang). Peningkatan kekuatan rohaniah dari segi semangat dan keazaman pesakit.

6. Ayat-ayat dari Surah Al-Anbiyaa', Surah Al-Qasas, Surah Al-Ma'idah, Surah An-Naml khusus untuk penyakit kencing manis (diabetes), darah tinggi (hyper-tension), sakit angin ahmar (stroke) dan lain-lain lagi.

7. Ayat-ayat dari Surah Yusuf dan Surah An-Nahli untuk penyakit lemah tenaga batin untuk kaum lelaki.

8. Ayat-ayat dalam Surah Maryam, Ambiyaa' dan Imran untuk sakit fibroid, ovarian cysts dan lain-lain sakit perempuan.

9. Ayat-ayat dari Surah Fatah, Yunus, Hud, Az-Zumar, Ma'idah, Al-A'raff, Ash-Syura, Al-Qasas dan lain-lain surah untuk berbagai jenis penyakit kanser, sakit buah pinggang (kidney failure), hepatitis dan lain lain penyakit.

10. Ayat-ayat dari Surah Al-Baqarah, Fussilat, Ash-Syu'aara, Al-Furqaan, Ar-Ra'd, Toha, Al-Mu'minum, Muhammad, dan lain-lain surah untuk penyakit gangguan sihir, santau, rasuk jin atau iblis, ilmu pangasih, ilmu pelalau, ilmu pemisah dan lain-lain penyakit gangguan atau "spiritual illness".

Selain dari penyakit yang disebut di atas, saya dapati penyakit seperti SLE, sejenis penyakit buah pinggang (nephronic syndrome, penyakit kulit (psiorasis), sakit sawan (epilepsi) dan sakit tekanan jiwa (depression) boleh diubati melalui ayat-ayat Al-Quran.

11. Surah al-Fatihah jika di baca sebanyak 7 kali boleh mengubati penyakit gigitan binatang berbisa. Surah ini bukanlah hanya boleh digunakan semasa solat, sebaliknya surah Al-Fatihah turut terbukti sebagai ejen penyembuh penyakit yang luar biasa mujarabnya. Kerana itu surah ini digelar ibu segala surah dan dimuliakan menjadi surah pembukaan di dalam mushaf al-Quran.

Di dalam sebuah hadis daripada Abu Said al-Khudri r.a., ia menjelaskan adanya satu kumpulan sahabat Rasulullah SAW keluar bermusafir. Di tengah perjalanan mereka singgah di sebuah perkampungan Badwi.

Mereka meminta makanan, tetapi penduduk kampung enggan memberinya. Dengan takdir Allah, salah seorang penduduk kampung disengat binatang berbisa.

Salah seorang sahabat Rasulullah SAW bersedia untuk mengubatinya. Lalu membaca sesuatu dan ditiupkan ke tempat luka lelaki tadi. Dengan kuasa Allah, lelaki itu sembuh.

Para sahabat lain hairan, apakah ayat yang dibacakan oleh sahabat tadi? Sedangkan sahabat mereka bukan seorang tabib atau pernah mengubati penyakit. Sahabat itu menyatakan, dia hanya membaca surah Al-Fatihah. Berita ini sampai kepada Nabi Muhammad SAW dan baginda mengesahkan perbuatan lelaki tersebut.

Riwayat ini membawa pengajaran kepada kita mengenai betapa besar fadhilat surah Al-Fatihah.

Untuk penyakit yang saudara hadapi cuba amalkan no. 1 di atas (Surah Qaaf ayat 16 hingga 45, Surah Ah-Qaaf ayat 21 hingga 28 dan Surah Sod ayat 34 hingga 61 selalunya untuk penyakit yang ada kaitan dengan tulang (seperti sakit rheumatism, arthritis, sakit sendi, tulang patah atau fractured, slip disc, sakit tulang belakang)

665. Soalan : Saya ingin tanya boleh tak kita pakai baju yg ada ayat2 Quran atau kalimat Allah?. Katakanlah jika kita tak pakai baju yg ada ayat2 Quran2 tu ke tempat yg tak suci spt tandas dan atau tempat maksiat, boleh tak kita pakai baju sebegitu?

Jawapan : 

Hukum Membawa Tulisan Ayat Al-Qur’an ke Tandas.

Membawa apa sahaja benda yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an mahupun zikrullah ke tandas hukumnya adalah makruh. Termasuk juga dalam hal ini nama-nama yang dimuliakan seperti nama-nama Allah, para nabi dan malaikat-malaikatNya sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj. Imam asy-Syirazi Rahimahullah berkata dalam kitabnya al-Muhadzdzab : “Jika ada seseorang ingin memasuki tandas dan bersama-samanya ada sesuatu yang terdapat padanya zikir-zikir Allah, maka baginya menjauhkan benda tersebut daripada dirinya (tidak membawanya masuk ke tandas), kerana telah diriwayatkan
oleh Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, bahwasanya Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam apabila hendak memasuki tandas, Baginda meletakkan cincin Baginda itu di luar, ini kerana di atas cincin Baginda itu ada tertulis perkataan محمد رسول الله yang Baginda jadikan sebagai mohor atau cap Baginda dalam urusan surat menyurat.”

Imam an-Nawawi rahimahullah ketika mengulas kata-kata pengarang kitab al-Muhadzzab ini telah berkata : “Para ulama asy- Syafi‘eyyah telah bersepakat mengatakan bahawa adalah sunat dijauhkan sesuatu yang ada padanya zikir-zikir Allah ketika seseorang itu hendak masuk tandas dan tidaklah wajib ianya dijauhkan daripada dirinya (membukanya).”

Imam an-Nawawi rahimahullah seterusnya menambah: “Sama ada benda yang tertulis padanya zikir-zikir Allah itu duit perak (dirham) atau emas (dinar) atau cincin atau lainnya, begitu juga jika ada bersama-samanya tangkal ataupun azimat, sunat dijauhkan benda-benda itu daripada dirinya ketika hendak memasuki tandas.” Ini bertujuan bagi memuliakan ayat-ayat al-Qur’an yang terdapat pada alat-alat tersebut dan sebagai mencontohi perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wasallam yang meletakkan cincin Baginda (di luar) apabila hendak masuk ke tandas kerana terdapat padanya ukiran perkataan. Wallahu'alam.




No comments:

Post a Comment