Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala
puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan
mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang
istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah Ustaz Siri 136 adalah menjelaskan persoalan takrif anak yatim, tak khusyuk solat, berdoa tak rasa sayu dan hukum bernazar.
636. Soalan : Ustaz.saya nk tanye mengenai zakat atau sedekah.seorg ank yatim piatu perempuan lebih kurang berumur 20thn.boleh kh die meminta bantu zakat atau tdk perlu meminta bantu.mohon pencerahan ustaz.
Jawapan :
Menurut Fath Al-Qarib dan Al-Baijuri: “Anak yatim ertinya budak kecil (berumur rendah), yang tiada mempunyai bapa, sama ada budak itu laki-laki atau perempuan, sama ada ia mempunyai datuk atau tiada. Termasuklah budak kecil anak zina, anak pungutan dan anak yang dinafikan dengan sebab li ‘an antara suami isteri.
Apabila ia sudah baligh maka tiadalah dinamakan dia yatim, dan baligh itu dengan cukup umur lima belas tahun qamariyyah (bukan tahun matahari) iaitu tahun dikira dengan anak bulan dengan cukup sempuma lima belas tahun (tiadalah kurang) atau dengan mimpi keluar mani. Dan waktu boleh keluar mani ketika berumur sembilan tahun qamariyyah cukup (tiada lebih kurang) atau dengan keluar darah haid pada perempuan ketika umur sembilan tahun qamariyyah (lebih kurang).
Apabila ada tanda salah satu dari cukup umur 15 tahun atau mimpi keluar mani pada laki-laki dan perempuan dan haid pada perempuan, maka tiadalah dinamakan budak itu anak yatim pada syara’. Diketahui berumur 15 tahun qamariyyah dengan dua saksi laki-laki dan seperti surat beranak, dan diketahui mimpi keluar mani atau keluar darah haid dengan kata budak itu.” lni menurut mazhab kita Asy-Syafi ‘e dari Fath Al-Mu ‘în.. Jika seorang remaja perempuan sudah berumur 20 tahun tidak lagi termasuk golongan anak yatim. Jika dia masih belajar lagi dan tak ada sumber pendapatan untuk menyara perbelanjaan persekolahannya maka dia layak mendapat bantuan zakat atas asnaf orang miskin.
637. Soalan : Masa solat terfikir dengan benda tak baik contohnya terfikir semasa perempuan dan lelaki bercium.berpeluk.tapi pakaian pempuan tu sangat seksi sampai dia pun terganggu..masa solat tu terfikir lalu kemaluan tu berdiri atau stim...apa kah solatnya sah tak solat saya?
Jawapan :
Syaitan selalu menganggu setiap kita solat samaada solat bersendirian atau solat berjemaah. Sebelum kita solat sebaik-baiknya mohon perlindungan Allah SWT daripada gangguan syaitan.Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Berapa ramai orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehinya hanya penat dan letih kerana mereka itu lalai dalam solatnya."
Menurut Imam Ghazali bahawa solat itu ialah merupakan munajat seorang hamba terhadap Tuhannya. Apabila solat itu sebagai munajat sudah tentu ia dilakukan dengan penuh kesedaran di samping khusyuk dan tawaduk. Bagaimana mungkin seorang yang lalai boleh berbisik atau berdialog dengan Allah.
Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seorang akan diterima oleh Allah SAW. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Oramg yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi kata-kata pujian kepada Allah.
Solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih awal di akhirat kelak oleh Allah berbanding amalan-amalan lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan lain.
Antara amalan untuk mendapat khusyuk dalam solat dan kemanisan ibadah ada 17 perkara :
1.Sentiasa melaksanakan solat berjemaah (yang paling afdal ialah di masjid).
2.Menjaga makan minum agar terjamin halalnya (pastikan tidak di makan makanan yang haram dan syubhat kerana ianya boleh mengelapkan hati).
3.Membanyakkan sedekah kepada fakir dan miskin.
4.Jangan solat dengan menangguh untuk membuang air besar atau kecil dan perkemaskan segala urusan supaya tidak timbul kebimbangan dalam solat.
5.Mengambil wuduk dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat atau do'a apabila air melalui di tiap-tiap anggota.
6.Memakai pakaian yang bersih dan kemas seperti akan menghadap pembesar negeri.
7.Tempat sujud dipastikan tidak ada gambar yang menganggu fikiran atau membimbangkan hati.
8.Mengingatkan mati dan kemungkinan itulah solat kita yang terakhir dalam hidup.
9.Menyedari bahawa kita sedang berhadapan dengan Allah Yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segala rahsia hamba-Nya.
10.Memenuhkan dada dalam perasaan takut dan rendah diri kepada Allah yang melihat segala gerak geri kita.
11.Memahami segala bacaan dalam solat termasuk ayat-ayat Al-Quran dan segala zikir.
12.Sebelum mengangkat takbir, membaca surah An-Nas, selawat atas Nabi SAW, istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan.
13.Memandang ketempat sujud dan tidak terlalu banyak mengerakkan anggota badan.
14.Memusatkan seluruh ingatan kepada solat.
15.Memanjangkan sedikit tempoh semasa rukuk dan sujud.
16.Memastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan solat.
17.Jangan menjeling ke kiri dan ke kanan.
Jika saudara melaksanakan 13 rukun solat maka sah solat saudara tetapi kurang khusyuk akan berkurangan pahala yang akan saudara perolehi. Sila baca tafsir surah al-Maun ayat 4-7
Solat
adalah ibadah yang terpenting dan akan mula-mula ditanya di hari
akhirat. Jika betul solatnya dan diterima maka amalan-amalan lain akan
di terima tetapi sebaliknya apabila solatnya tidak di terima maka
amalan-amalannya yang lain akan ditolak oleh Allah SWT. Solat yang
bernilai disisi Allah SWT adalah solat yang di laksanakan dengan khusyuk
kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT :
فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ (4)الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ (5
الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ (6)
وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ (7)
Maksudnya : "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu)
orang-orang yang lalai dari solatnya, orang-orang yang berbuat riak, dan
enggan (menolong dengan) barang berguna."(Surah al-Maun ayat 4-7)
Asbabun Nuzul surah al-Maun ayat 4 -7.
Ibnu
Abas r.a memaparkan bahawa keempat-empat ayat ini diturunkan berkenaan
dengan dengan kaum munafik yang riak melakukan solat jika berada
ditengah-tengah kaum muslimin. Namun jika kaum muslimin tidak ada,
mereka meninggalkan solat. Selain itu, mereka enggan memberikan pinjaman
kepada kaum muslimin." (Hadis Riwayat Ibnu Munzir)
Firman Allah SWT :
فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ (4)الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ (5
Maksudnya
: "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang
yang lalai dari solatnya" (Surah al-Maun ayat 4-5)
Allah
SWT mengungkapkan satu ancaman iaitu celakalah orang-orang yang
mengerjakan solat dengan tubuh dan lidahnya tidak sampai ke hatinya. Dia
lalai tidak menyadari apa yang diucapkan lidahnya dan yang
dikerjakannya oleh sendi anggotanya. Ia rukuk dan sujud dalam keadaan
lalai, ia mengucapkan takbir tetapi tidak menyadari apa yang
diucapkannya. Semua itu adalah hanya gerak geri biasa dan kata-kata
hafalan semata-mata yang tidak mempengaruhi apa-apa, tidak ubahnya
seperti robot.
Terdapat
banyak tafsiran dan kupasan tentang maksud “lalai” dalam ayat ini.
Secara umumnya terdapat tiga tafsiran yang dibuat oleh ulama tafsir
iaitu :
Pertama
: Melalai-lalaikan solat dengan sengaja sehingga habis waktunya (solat
dikerjakan dengan mengqadakannya) ataupun lalai untuk mengerjakan solat
iaitu tidak melakukan solat terus kerana malas.
Kedua
: Lalai semasa solat iaitu tidak khusyuk . Iaitu tidak hadir hati dalam
solat. Dalam solat teringat perkara-perkara diluar solat yang tidak ada
kena mengena dengan solat. Malahan, bukan sahaja tidak hadir hati dalam
solat, tetapi maksud perbuatan dan lafaz dalam solat pun tidak
diketahui atau difahami. Jauh sekali untuk dihayati atau dijiwai.
Ketiga
: Lalai kerana tidak melaksanakan segala ikrar dan janji yang dibuat
di dalam solat. Dalam solat berbagai-bagai ikrar dan janji dibuat.
Diantaranya dia berikrar bahawa segala solatnya, ibadahnya, hidup dan
matinya hanyalah kerana Allah SWT. Tetapi selesai sahaja solat , janji
itu dilupakan. Buat kerja seolah-olah Tuhan itu tidak wujud atau tidak
nampak apa yang dilakukannya.
Walau
bagaimana pun , kalau di kaji betul-betul ketiga-tiga tafsiran di atas,
maka punca sebenar yang akan di dapati adalah kerana ketiadaan khusyuk
dalam solat. Tidak khusyuk semasa mengerjakan solat adalah kerana tidak
khusyuk di luar solat.
Sekiranya
seseorang itu khusyuk diluar solat iaitu taat dan patuh kepada perintah
Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya, maka khusyuk itu sudah pasti
berterusan dan akan dibawa ke dalam solat. Ertinya, orang yang khusyuk
dalam hidupnya diluar solat akan merasa khusyuk dalam solat. Hanya
apabila di dalam solat, rasa khusyuknya lebih subur dan lebih tajam
kerana solat itu ada rukun dan disiplinnya.
Bagi
orang yang khusyuk, tidak timbul masalah cuai untuk mengerjakan solat
hingga habis waktunya kerana orang yang khusyuk itu selalu menanti-nanti
dan menunggu-nunggu waktu untuk bersolat. Menunggu solat itu baginya
seperti menunggu untuk bertemu kekasih.Tidak juga timbul hati tidak
hadir dalam solat atau teringat perkara-perkara lain diluar solat kerana
orang yang khusyuk itu hatinya sentiasa bergelora dengan Tuhannya.
Tidak
menunaikan ikrar dan janji semasa diluar solat adalah kerana berpunca
kerana hatinya tidak hadir dan tidak merasai khusyuk . Apabila hati
tidak khusyuk, segala janji yang dibuat hanyalah di lidah semata-mata.
Paling tinggi, akal mungkin turut serta dalam membuat ikrar dan janji
tersebut. Tetapi hati tidak ada peranan kerana tiada khusyuk. Khusyuk
itu perkara hati.
Oleh
itu ikrar dan janji berkenaan dibuat tanpa komitmen dan kesungguhan
kerana hati tidak dilibatkan dan tidak dibawa bersama. Ertinya ikrar dan
janji itu tidak dibuat dari hati. Janji yang bukan dari hati bukan
janjilah namanya. Tidak hairanlah kenapa janji hanya tinggal janji.
Khusyuk
yang dituntut dari manusia bukan hanya ketika dalam solat. Allah SWT
bukan wujud dalam solat sahaja. Allah SWT wujud setiap masa dan ketika.
Oleh itu kita perlu khusyuk sepanjang masa. Orang yang khusyuk dalam
solat itu ialah orang mukmin yang berjiwa Tauhid. Orang yang rasa cinta
dan takutnya dengan Tuhan sentiasa mencengkam jiwa dan hati nuraninya.
Rasa-rasa ini dibawanya ke mana-mana sahaja dia pergi. Lebih-lebih
lagilah dalam solatnya.
Solat
yang tidak lalai itu adalah solat yang khusyuk yang sentiasa mempunyai
rasa bahawa dia melihat Allah SWT (sifat ihsan) . Jika sekiranya dia
tidak dapat melihat Allah SWT maka dia akan yakin sepenuhnya bahawa
Allah SWT sentiasa memerhatikan solatnya. Bermula dari takbiratulihram
hinggalah kepada salam dia sentiasa memahami maknanya dan tuntutan
kalimah yang diucapkannya. Inilah solat yang tidak lalai, solat yang
benar-benar khusyuk.
Firman Allah SWT :
الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ (6)
Maksudnya : "Orang-orang yang berbuat riak." (Surah al-Maun ayat 6)
Dalam ayat ini Allah menambah penjelasan tentang sifat orang pendusta
agama iaitu: mereka melakukan perbuatan-perbuatan lahir hanya semata
kerana riak tidak terkesan pada jiwanya untuk meresapi rahasia dan
hikmahnya.
Riak
ialah penyakit hati yang paling ditakuti Rasulullah SAW menimpa umatnya
kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, hatta ketika menunaikan
solat yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas.
Kerisauan itu dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud:
"Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan
menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat
bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak."
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
Riak ialah memperlihat atau menyempurnakan ibadat dengan tujuan
mendapat pujian serta perhatian orang lain seperti solat dan puasa.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah kalian aku beritahu
sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajal? Kami katakan: 'Tentu.'
Baginda bersabda: 'Syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang
mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya kerana melihat
seseorang memandangnya'." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Firman Allah SWT :
وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ (7)
Maksudnya : "Dan enggan (menolong dengan) barang berguna." (Surah al-Maun ayat 7)
Dalam ayat ini Allah menambahkan lagi sifat pendusta itu iaitu; mereka
tidak mahu memberikan barang-barang yang diperlukan oleh orang-orang
yang memerlukannya, sedang barang itu tidak sepatutnya ditahan.
Penahanan barang-barang tersebut adalah mencerminkan kerendahan budi
dan tidak mempunyai akhlak Islam.
Keadaan orang yang membesarkan agama berbeda dengan keadaan orang yang
mendustakan agama, kerana yang pertama nampak dalam tata kehidupannya
iaitu bersikap yang jujur, adil, kasih sayang, pemurah dan lain-lain.
Sedangkan sifat pendusta agama ialah membenci anak yatim, tidak mahu
bersedekah kepada fakir miskin, riak, curang, aniaya, takabur, kikir,
memandang rendah orang lain, tidak mementingkan yang lain kecuali
dirinya sendiri, bangga dengan harta dan kedudukan serta tidak mau
mengeluarkan sebahagian dari hartanya, baik untuk keperluan perseorangan
maupun untuk masyarakat.
638. Soalan : Ustaz..saya ingin tanya...macamana mana nak merasai sayu (bulu roma naik) setiap kali berdoa ketika solat..harap ustaz sudi membantu..
Jawapan :
Untuk merasai hati kasih dan cinta pada Allah SWT semasa berdoa sehingga mengalirkan air mata perlu kepada hati yang bersih. Jika hati kotor penuh dengan hasad dengki, iri hati, sombong, riyak, takbur, hati diliputi selaput hitam (zulumat) maka hubungan dengan Allah akan terdapat hijab. Hati perlu setiap hari dibersihkan dengan perbanyakkan beristighfar, berzikir dan bertafakur mengenangkan betapa hinanya diri ini di sisi Allah SWT. Setiap hari perlu bermuhasabah diri, bermurajaah dan bermujahadah melawat nafsu dan keinginan syahwat.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan sesuatu dosa, terbentuklah bintik hitam pada hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu. Dan apabila dia terus melakukan dosa, bertambahlah bintik hitam itu pada hatinya, sehingga tertutuplah seluruh hatinya, itulah karat yang disebut Allah SWT di dalam kitabNya: Sesekali tidak, sebenarnya apa yang mereka lakukan telah mengkaratkan(menutup) hati mereka. Surah Al-Mutoffifin ayat 14.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi)
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Ketahuilah di dalam jasad itu ada segumpal daging, apabila dia baik maka baiklah seluruh jasad, dan apabila dia buruk maka buruklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itu adalah hati.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim, dari Nu’man bin Basyir)
Untuk membersihkan hati perlu kasih pada orang miskin dan anak-anak yatim dan tidak pandang kedudukan seseorang disisi masyarakat dan ringan tangan bersedekah dan membuat kebaikan dan kebajikan di dalam masyarakat.
Apabila hati telah melalui proses pembersihan seperti di atas maka barulah apabila kita solat terasa Allah SWT melihat perbuatan kita dan doa yang kita baca boleh mengalirkan air mata, perkara ini bukan mudah dilaksanakan tetapi tak begitu sukar apabila kita bersungguh-sungguh mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Doa yang paling dekat dengan Allah SWT adalah ketika sujud oleh itu ketika sujud mohon apa yang kita hajatkan untuk keperluan dunia dan akhirat. Minta sungguh-sungguh dengar rasa rendah diri dan buat rayuan demi rayuan , nyatakan bahawa kita ini tak miliki apa-apa dan tak ada sedikit pun kekuatan dan kelebihan hanya Allah saja tempat pergantungan harapan. Setelah habis solat cuba berzikir dan berdoa seperti yang di ajarkan oleh Rasulullah SAW.
639. Soalan : Saya nak tanya beberapa soalan..
1-Bagi seorang perempuan yang sudah berkahwin,adakah dosa dia masih lg ditanggung oleh ibunya..mksudnya ibu n suami menanggung dosa perempuan tu..
2-Ustaz,mcm mna kita nk kurangkan kemarahan kita dgn penuh kesabaran..
Mohon pencerahan ustaz .terima kasih..
Jawapan :
Benar
jika ibu bapa sudah beri pendidikan agama, sentiasa menasihatinya dia
sendiri yang pilih maksiat dan dosa maka dia akan tanggung dosanya
sendiri. Ibu bapanya tidak menanggung dosa tersebut. Tiap Orang Memikul
Dosanya Masing-masing
(سورة الإسراء)
وَكُلَّ
إِنسَانٍ أَلْزَمْنَاهُ طَآئِرَهُ فِي عُنُقِهِ وَنُخْرِجُ لَهُ يَوْمَ
الْقِيَامَةِ كِتَابًا يَلْقَاهُ مَنشُورًا (١٣) اقْرَأْ كَتَابَكَ كَفَى
بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا (١٤) مَّنِ اهْتَدَى فَإِنَّمَا
يَهْتَدي لِنَفْسِهِ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا وَلاَ
تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى
نَبْعَثَ رَسُولاً (١٥)
Terjemahan:
(13).
"Tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya
(sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya. Dan Kami keluarkan baginya
pada Hari Kiamat sebuah kitab yang dijumpainya terbuka."
(14). “Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu”.
(15).
"Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka
sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan
barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian)
dirinya sendiri. Dan seorang yang berbuat dosa tidak dapat memikul dosa
orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang
rasul."
(Surah Al-Israa (17) ayat 13-15)
Untuk
kurangkan kemarahan terdapat cara-caranya : Dari Abu Hurairah r.a,
bahwasanya seseorang berkata kepada Nabi SAW., "Berilah aku wasiat?."
Nabi SAW. bersabda: : "Janganlah engkau marah" Orang tersebut mengulangi
permintaannya hingga beberapa kali, sedang Nabi SAW bersabda : " Janganlah engkau marah"
(Hadis Riwayat Bukhari).
Maka menahan marah merupakan suatu hal yang harus kita latih agar mendapatkan kenikmatan di Syurga kelak.
Terdapat lima pekara untuk mengatasi perasaan marah. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Membaca Ta'awwudz. (memohon perlindungan Allah SWT daripada gangguan syaitan)
Sulaiman
Ibnu Sard meriwayatkan, pernah dua orang saling mencerca satu sama
lainnya di hadapan Rasulullah SAW.. Sementara itu, kami sedang duduk di
sisinya. Salah seorang dari mereka menghina yang lainnya dengan marah,
hingga merah mukanya. Maka Rasulullah SAW .bersabda maksudnya : "Aku
mengetahui suatu kalimat, jika diucapkan olehnya (laki-laki yang merah
mukanya), maka akan hilang kemarahannya. Hendaklah dia berkata:
A’udzubillahi minasy syaithanir rajim (maksudnya 'aku berlindung kepada
Allah dari syaitan yang terkutuk). ( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
2. Berwuduk.
Rasulullah
SAW bersabda maksudnya : " Sesungguhnya, kemarahan itu berasal dari
syaitan. Dan syaitan tercipta dari api. Dan sesungguhnya, api itu dapat
dipadamkan dengan air. Jika salah seorang diantara kalian marah, maka
berwudhu'lah. (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud, hadis ini hasan.)
3. Duduk.
Dalam
sebuah hadis Nabi SAW bersabda maksudnya : "Kalau kalian marah maka
duduklah, kalau tidak hilang juga maka bertiduranlah"(Hadis Riwayat Abu
Dawud).
Rasulullah
s.a.w. bersabda maksudnya : "Jika salah seorang kalian marah dan dia
dalam keadaan berdiri, maka hendaklah duduk. Jika masih belum reda
marahnya, maka hendaklah berbaring.
( Hadis Riwayat Ahmad )
Hal
ini kerana marah dalam berdiri lebih besar kemungkinannya melakukan
keburukan dan kerusakan daripada dalam keadaan duduk. Sedangkan
berbaring lebih jauh lagi dari duduk dan berdiri.
4. Diam.
Rasulullah
SAW bersabda maksudnya : "Jika engkau marah, maka diamlah. Jika engkau
marah, maka diamlah." (Hadis Riwayat Ahmad ) .
Banyak
berbicara dalam keadaan marah tidak boleh mengawal perasaan sehingga
terjatuh pada pembicaraan yang tercela dan membahayakan dirinya dan
orang lain.
Dalam hadis disebutkan :“Apabila diantara kalian marah maka diamlah.” Baginda SAW. ucapkan tiga kali."
(Hadis Riwayat.Ahmad)
5. Bersujud (maksudnya solat sunat dua rekaat)
Nabi
SAW bersabda maksudnya : "Ketahuilah, sesungguhnya marah itu bara api
dalam hati manusia. Tidaklah engkau melihat merahnya kedua matanya dan
tegangnya urat darah di lehernya? Maka barangsiapa yang mendapatkan hal
itu, maka hendaklah ia meletakkan pipinya dengan tanah (sujud)." (Hadis
Riwayat Tirmidzi)
Marah
adalah salah satu sifat mazmumah yang harus di jauhi supaya kita tidak
termasuk dikalangan orang yang memilikmi sifat tercela.. Sesiapa yang
tidak dapat mengawal perasaan marah sebenarnya ia sedang dikuasi oleh
hawa nafsu. Banyak keadaan marah boleh mendatangkan perkara buruk.
Apabila seseorang itu marah, ia dibantu oleh syaitan. Syaitan adalah
musuh utama manusia yang berjanji kepada Allah untuk menggoda dan
memesongkan anak cucu Adam.
640. Soalan : Apakah hukumnya bernazar?
Jawapan :
Hukum bernazar: Harus / dibenarkan
Latarbelakang: Ia adalah satu ibadah zaman silam. Al-Quran ada menjelaskannya:
Firman Allah SWT maksudnya, "(Ingatlah), ketika isteri 'Imran berkata: "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menazarkan kepada Engkau anak yang dalam kandunganku menjadi hamba yang saleh dan berkhidmat (di Baitul Maqdis). Karena itu terimalah (nazar) itu dari padaku. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". (Surah Ali-Imran ayat 35)
Perincian hukum bernazar:
Terdapat dua jenis nazar:
1. Nazar mutlak.
Iaitu nazar tanpa syarat. Contoh, apabila seseorang itu mendapat satu-satu nikmat, mana dia bernazar untuk berpuasa sehari. Atau setelah dia terlepas dari bala bencana dia bernazar untuk bersedekah.
2. Nazar Mu'allaq.
Iaitu nazar bersyarat. Contoh: Jika dia mendapat nikmat yang diinginkan dia akan bernazar utk berpuasa sehari. Atau, jika dia terlepas dari bala bencana dia akan bernazar akan bersedekah.
Jelas perbezaan dua jenis nazar ini.
Pendapat-pendapat mazhab:
Malikiyah: nazar mutlak adalah mustahab. Manakala nazar mu'alaq, harus / ja'iz.
Hanabilah: Bernazar,samada mutlak atau mua'laq, makruh.
Kebanyakan Syafi'iah, Hanabilah & Malikiyah: Nazar mua'laq adalah makruh.
Alasan makruh ialah: Nazar adalah bentuk taqarrub/pendekatan diri kepada Allah. Taqarrub melalui nazar mua'llaq ini bergantung kepada dapat atau tidaknya sesuatu yg dihajati. Jika dapat maka akan dilaksanakannyalah taqarrub itu. Jika tidak, maka tidak dilakukannyalah taqarrub yg diniatkannya itu. Ia seperti mahukan pertukaran. Jika Allah makbulkan apa yg dihajati, barulah niat taqarrub itu dilaksanakan. Jika tidak, maka tidak dilakukan. Terjadi semacam bentuk pertukaran di sini.
Ini berbeza dengan nazar mutlak. Di mana, nazar itu dilakukan selepas mendapat apa yg inginkan atau terlepas dari apa yg tidak diinginkan. Contoh: Selepas mendapat seorang mendapat keputusan periksa yang cemerlang barulah dia bernazar, bukan sebelum dengan meletakkan syarat, jika aku lulus cemerlang.
Nazar mua'laq inilah yang dimaksudkan oleh sabdaan Baginda SAW.:
Ertinya: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Pada suatu hari Rasulullah SAW melarang kami dari bernazar, lalu baginda bersabda: Sesungguhnya nazar itu tidak dapat menolak sesuatupun tetapi dengan nazar itulah (sesuatu) dikeluarkan dari orang yang bakhil. (HR Bukhari, Muslim & Ahmad)
No comments:
Post a Comment