Monday, July 14, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 137 (Minum Air Selusuh, Bolehkan Kita Berdoa Tanpa Usha Seperti Palestin, Golongan Kena Fidyah Kerana Meninggalkan Puasa, Shabat Minum Darah Bekam Nabi SAW, Dan Berkahwin Wanita Kristian.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 137 adalah menjelaskan persoalan minum air selusuh, bolehkan kita berdoa tanpa usha seperti Palestin, golongan kena fidyah kerana meninggalkan puasa, sahabat minum darah bekam Nabi SAW, dan berkahwin wanita Kristian.

641. Soalan :  Ustaz, apakah hukum minum air selusuh yang dibaca ayat ayat quran didalamnya untuk tujuan mudah mudahan memudahkan bersalin.

Jawapan : 

Air Selusuh memang dikenali dikalangan masyarakat wanita melayu apabila tiba saat-saat hampir untuk melahirkan anak. Air yang didoakan itu boleh dibacakan sendiri oleh suami ataupun pengamal pengubatan Islam yang dikenali. Dengan berkat bacaan doa serta ikhtiar maka hanya kepada Allah jua agar para isteri yang akan melahirkan zuriat agar dipermudahkan urusan kelahiran si anak kecil yang bakal menjadi anak yang soleh dan solehah pada masa akan datang.

Amalan Air Selusuh ini memang tiada riwayatnya didalam al-Quran mahupun hadis. Setiap amalan yang bukan merupakan 'ibadat' atau diluar skop ibadat hukumnya adalah MUBAH (Harus). Jika dilihat dari segi content amalan tersebut seperti doa agar kelahirannya mudah dengan bacaan-bacaan yang tidak menyanggahi syara'; Hanya memohon kepada Allah SWT semata-mata dengan Asma' wa Sifatnya, dan tidak mempunyai kepercayaan-kepercayaan tertentu, tidaklah ia menjadi satu kesalahan.

DOA YANG DIBACA

1. Al-Fatihah

2. Selawat Syifa’

3. Surah Al-Hasyr ayat 21-24

4. Doa Selusuh ulama mencadangkan :

"Ya Allah, dengan hak Maryam, juga hak hamba yang diturunkan kepadanya surah Maryam, ringankanlah daripadanya (sebut nama pesakit dan nama ibunya) penderitaan bersalin, dengan rahmatMu, wahai Tuhan yang amat mengasihani dari segala-galanya".

5. Doa Pemudah

"Ya Allah, permudahkanlah dan jangan Kau sukarkan kerana Engkaulah yang maha memudahkan, segala yang susah adalah mudah bagiMu, Ya Allah, sempurnakanlah dengan kebaikan, dengan rahmatMu, ya Arhamar Rahimin".

BAHAN-BAHAN

1. Air (jika air zam-zam lagi baik)

KAEDAH PENGUBATAN

Dibacakan semua rangkaian doa di atas ke atas air. Hendaklah diberi minum air kepada isteri seeloknya seminggu sebelum dijangkakan bersalin. Boleh disapu ke atas perut selepas waktu asar sambil berdoa agar Allah SWT mempermudahkan urusan kelahiran si anak.


642. Soalan : Ingin bertanya tentang doa tanpa usaha.. adakah Allah akan makbulkan....jika jawapannya adalah "tidak" . Bagaimana pulak kita berdoa untuk negara Islam seperti Palestin dan Syria.?

Jawapan :  

Dalam apa saja amalan kita perlu 3 perkata iatu 1. berdoa , 2. berusaha dan 3. bertawakkal. Pertama : Berdoa adalah senjata orang mukmin tak boleh tinggalkan doa samaada untuk diri kita sendiri, untuk saudara-saudara kita yang ditindas dan untuk kaum muslimin dan muslimat samaada masih hidup atau telah meninggal dunia. Jangan perkecilkan peranan doa kerana berdasarkan hadis Nabi SAW . " Salman radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tidak tertolak Qada' itu melainkan oleh doa dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Doa itu sendiri sebagai satu ibadat dan menjadi bentuk perhambaan kepada Allah.Mereka yang berdo'a perlu mempunyai keyakinan kerana ada dinyatakan, Allah tidak akan mempersia-siakan mereka.

Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi:“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas do'a orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”(Hadis riwayat Tirmidzi) Kedua : Berusaha. Kita perlu berusaha dan merancang dengan baik dan teliti untuk mencapai kejayaan kerana Islam menyuruh kita melakukan perancangan dengan teliti. Firman Allah SWT maksudnya "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (bangsa) melainkan kaun itu sendiri mengubah nasibnya"(Surah Ar-Ra'd ayat 11) 


dalam ayat yang lain Allah SWT menyuruh persiapan kuda-kuda untuk berjihad di jalan Allah . Firman-Nya yang bermaksud, "Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berpegang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya. (Surah al-Anfal ayat 60). 

Dalam isu bantuan kepada Palestin dan Syria perlu buat persiapan dan cari sumbangan dan memberi dana dan wang ringgait untuk di hantar kesana . Ini adalah sebagai ikhtiar dan usaha. Doa dan usaha perlu seiring dan sejalan. Perkata ketiga pula hendaklah bertawakkal kepada Allah SWT.
 

Tawakal menurut Islam membawa maksud : "Meletakkan keyakinan serta menyerahkan kepada ketentuan Allah SWT." Orang yang bertawakkal memiliki keyakinan yang mantap terhadap janji-janji Allah. Dia bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT dan tidak bimbang dengan pandangan yang menakutkan dan tidak pula menghiraukan pujukan syaitan. Dari itu jiwa akan menjadi tenang serta terbuka luas peluang beribadah dengan sebaik-baiknya.

Awasilah dengan pengertian yang salah mengenai tawakal. Tawakal bukan bererti berpeluk tubuh dan menanti datangnya sebarang peluang tanpa usaha. Sedangkan tawakal bererti berusaha bersungguh-sungguh dan menyerahkan segala keputusan kepada Allah SWT. serta percaya akan pertolongan Allah SWT.

Hayatilah maksud hadis dari Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Barangsiapa menginginkan dirinya menjadi orang terkuat hendaklah dia bertawakal kepada Allah.”

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“… Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman.” (Surah al-Maidah ayat 23)

Lihatlah pula bahagian tawakal yang di jelaskan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya ‘Minhaju Abidin’.Tawakal ini merangkumi tiga sudut :

Pertama. Tawakkal mengenai qismah (nasib atau takdir).

Yakin terhadap keputusan Allah SWT yang tetap tidak berubah. Apa jua yang telah ditentukan Allah SWT sejak azali lagi pasti akan kita terima. Maka, bertakwa kepada Allah SWT adalah wajib, kerana segala yang digariskan Allah SWT dalam ‘Lauhul Mahfudz’ adalah benar.

Kedua. Tawakal dalam pertolongan Allah SWT.

Misalnya dalam keadaan genting berjuang atau dalam apa bentuk kesempitan, Allah SWT menjanjikan pertolongan bagi kita. Sekiranya kita menghadapi suasana begini, keyakinan mestilah dibulatkan, jauhi keraguan dan janji Allah SWT itu pasti benar-benar berlaku.

Ketiga. Tawakal dalam hal rezeki.

Sesungguhnya di samping menetapkan perintah-Nya. Allah telah menjamin hamba-Nya dengan rezeki yang mencukupi sebagai memberikan kekuatan dan keampunan melaksanakan ibadah. Ini bertepatan denga firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah ath-Talaq ayat 3)


Penentuan kejayaan di Palestin dan Syria adalah urusan Allah SWT bukan urusan kita, kita hanya berdoa, membantu setakat kemampuan kita dan bertawakkal dengan sungguh-sungguh bahawa Allah SWT tak sia-siakan usaha dan doa para hamba-Nya. Jika Allah SWT nak berikan kejayaan bila-bila masa saja tetapi dilambatkan kejayaan adalah kerana Allah SWT nak uji kita adakah kita nak membantu saudara-saudara kita yang di tindas dan dizalimi? Di mana iman umat Islam jika hanya membiarkan saja saudara-saudara kita tanpa memberikan sumbangan. Berkanlah sumbangan kerana setiap ringgit yang kalian sumbangkan di kira sebagai jihad di jalan Allah SWT.

643. Soalan : Mohon penjelasan daripada ustaz berhubung puasa ganti.Adakah benar golongan seperti yang disebut dalam keratan akhbar tidak perlu mengganti puasa,sekadar membyr fidyah (orang musafir, orang sakit, orang tua, wanita mengandung dan menyusukan anak).Jika ya,apakah syarat-syarat bagi pengecualian ganti puasa bagi golongan2 ini?

Jawapan :  

Dalam Fiqh empat mazhab dinyatakan:
Menurut Mazhab Maliki:
wanita hamil dan ibu menyusu, jika melaksanakan puasa dikhuatirkan akan sakit atau bertambah sakit, apakah yang dikhawatirkan itu dirinya, atau anaknya, atau dirinya saja, atau anaknya saja. Bagi wanita hamil mereka boleh berbuka dan wajib melaksanakan qadha’, tidak wajib membayar fidyah bagi wanita hamil, berbeza dengan ibu menyusu, ia wajib membayar fidyah. Jika puasa tersebut dikhuwatirkan menyebabkan kematian atau mudharat yang sangat parah bagi dirinya atau anaknya, maka wanita hamil dan ibu menyusui wajib tidak berpuasa.

Menurut Mazhab Hanafi:
Jika wanita hamil dan ibu menyusu bimbang akan mudharat, maka boleh berbuka, apakah kebimbangan tersebut terhadap diri dan anak, atau diri saja, atau anak saja. Wajib melaksanakan qadha’ ketika mampu, tanpa wajib membayar fidyah.

Menurut Mazhab Hanbali:
Wanita hamil dan ibu menyusu boleh berbuka, jika bimbangkan mudharat terhadap diri dan anak, atau diri saja. Dalam keadaan seperti ini mereka wajib melaksanakan qadha’ tanpa membayar fidyah. Jika yang dibimbangkan itu anaknya saja, maka wajib melaksanakan puasa qadha’ dan membayar fidyah.

Menurut Mazhab Syafi’i:
Wanita hamil dan ibu menyusu, jika bimbang mudharat terhadap diri dan anak, atau diri saja, mereka wajib berbuka dan mereka wajib melaksanakan qadha’. Jika yang dibimbangkan anaknya saja, maka wajib melaksanakan qadha’ dan membayar fidyah.

Pendapat Mazhab Syafi‟i sama seperti Mazhab Hanbali dalam hal qadha’ dan fidyah, hanya saja Mazhab Hanbali menharuskan berbuka jika bimbangkan mudharat, sedangkan Mazhab Syafi‟i mewajibkan berbuka. Dalam salah satu pendapatnya Imam Syafi‟i mewajibkan fidyah bagi wanita menyusu, tidak wajib bagi ibu hamil, seperti pendapat Mazhab Maliki.

Kesimpulan :


Sebagai kesimpulan saya merujuk keputusan dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).


Mereka yang dikenakan fidyah adalah:
1. Orang yang uzur menunaikan puasa wajib
Terdiri daripada golongan yang menghadapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa, atau kedua-duanya sekali.

2. Perempuan hamil
Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikuatiri berlaku keguguran. Golongan ini diwajibkan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

3. Ibu yang menyusukan anak
Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.

4. Orang yang telah meninggal dunia
Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.

5. Orang yang melambatkan ganti puasa (Qada)’
Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.


644. Soalan : Rasulullah SAW pernah berbekam dan meminta seorang sahabat untuk membuang darah kotor itu jauh dari tempat orang ramai..dan dikatakkn sahabat telah minum darah kotor tersebut..Adakah benar peristiwa ini berlaku? Mohon pencerahan dari ustaz..

Jawapan : 

Abu Ya'la berkata: Musa bin Muhammad bin Hayyan mengkhabarkan kepada kami, Hunaid bin Al-Qasim mengkhabarkan kepada kami bahawa beliau berkata, Amir bin Adbillah bin Az-Zubair berkata yang mana meriwayatkannya daripada ayahnya (Abdullah bin Az-Zubair) bahawasanya beliau (Abdullah bin Az-Zubair r.a.) mendatangi Rasulullah sedang Baginda sedang berbekam. Setelah selesai dibekam, Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Wahai Abdullah (ibn Zubair)! Pergilah kamu dengan membawa darah ini dan buanglah ia di tempat yang tidak seorang pun dapat melihat kamu."

Setelah meninggalkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, dia mengambil darah itu, lalu meminumnya. Apabila kembali semula, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya: "Apakah yang telah kamu lakukan dengan darah itu?" Dia menjawab: "Aku telah sorokkannya di tempat yang sangat tersorok, yang aku tahu ia sememangnya tersembunyi daripada orang ramai."

Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Boleh jadi engkau telah meminumnya?" Dia menjawab: "Ya".

Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Kenapa kamu minum darah itu? Celakalah manusia daripada kamu dan celakalah kamu daripada manusia."

Abu Musa mengatakan bahawa Abu 'Asim berkata: "Mereka (para sahabat) berpendapat bahawa kekuatan yang terdapat pada Abdullah ibn Zubair itu disebabkan keberkatan darah tersebut."

Hadis ini hasan menurut jalur riwayat al-Bazzar di dalam musnadnya. (Hadis dikeluarkan di dalam kitab ithaf alkhirah almhrah bzwaa'd almsanid ala'shrah (إتحاف الخيرة المهرة بزوائد المسانيد العشرة). Turut meriwayatkannya oleh Al-Hafiz Al-Asqolani dalam Al-Mathalib Al-'Aliyyah (no: 3951). Ia diriwayatkan juga dalam Al-Ishabah (2/310), Al-Mustadrak oleh Al-Hakim (3/554) dan At-Tabrani. Imam Al-Haithami berkara (Al-Majma': 2/310): Imam At-Tabrani dan Al-Bazzar meriwayatkannya secara ringkas. Perawi Al-Bazzar adalah sahih selain Hunaid bin Al-Qasim yang merupakan thiqah. Ia juga diriwayatkan oleh Imam Ibn 'Asakir sebagaimana disebutkan dalam Al-Kanz (7/57) Adz-Dzahabi dan Baihaqi

Bertabaruk dengan meminum darah Nabi Muhammad itu jika benar hasan hadisnya, maka itu hanya khususiah untuk Nabi sahaja dan hanya keterlanjuran sahabat nabi meminumnya atas dasar cinta dan kasih kepada nabi. Ia bukan amalan sahabat nabi, ia hanya keterlanjuran sahaja. Itupun jika hadis itu dihasankan sanadnya.

Menelan darah Rasulullah hukumnya boleh (mubah), kerana darah Rasulullah adalah suci, bukan najis sebagaimana darah manusia umumnya. (Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, Al-Jami' li Ahkam Ash-Shalah, 1/74). Hal ini termasuk dalam khususiyat yang hanya dimiliki Rasulullah, tidak dimiliki oleh manusia lainnya.

Imam Qadhi Iyad dalam kitabnya Asy-Syifa bi-Ta'rif Huquq Al-Mushthafa, hal. 39 telah membuat satu pasal berjudul : "Fasal Mengenai Kebersihan Tubuhnya, Kewangian Bau Badannya, dan Kebersihannya dari Kotoran-Kotoran dan Cacat- Cacat Tubuh." Dalam fasal itu Imam Qadhi Iyad menyatakan salah satu khususiyat Nabi sebagai berikut :

"Adapun kebersihan tubuhnya, kewangian bau badannya dan keringatnya dan kebersihannya dari kotoran-kotoran dan cacat-cacat tubuh, maka Allah telah mengkhususkan Nabi shallallahu alaihi wasallam dalam hal-hal tersebut dengan khususiyat- khususiyat yang tidak dijumpai pada selain beliau." (Qadhi Iyad, Asy-Syifa bi-Ta'rif Huquq Al-Mushthafa, hal. 39)


645. Soalan : Apakah hukum lelaki muslim berkahwin dengan wanita Kristian sekarang ini, wanita tersebut tidak masuk Islam?

Jawapan :  

Islam memberikan kelonggaran perkahwinan antara Muslim dan bukan Muslim ahli kitab. Konsepnya ialah lelaki Muslim berkahwin dengan wanita ahli kitab sama ada Yahudi atau Nasrani. Sebaliknya wanita Muslimah ditegah dan diharamkan daripada berkahwin dengan lelaki ahli kitab. Firman Allah SWT dalam surah Al-Ma’idah ayat 5, yang bermaksud : Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka. (Dan dihalalkan mangawini) wanita yang menjaga kehormatan diantara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar mas kawin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik. Barangsiapa yang kafir sesudah beriman (tidak menerima hukum-hukum Islam) maka hapuslah amalannya dan ia di hari kiamat termasuk orang-orang merugi." (SurahAl-Maidah Ayat 5)

Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya pada ayat ini, ada beberapa tafsiran dalam memahami makna ahli kitab.

Mengenal ahli kitab.

a) Dikatakan maksud ahli kitab dalam ayat ini ialah golongan Isreal sahaja, dan ini ialah Syafi’i.

b) Ada juga pendapat menyatakan bahawa maksudnya ialah wanita ahli kitab yang zimmi, bukannya harbi.

c) Wanita-wanita yang baik dan menjaga diri daripada zina.

Hikmah bagi keharusan perkahwinan dengan ahli kitab

1. Ia bertujuan bagi menarik golongan ahli kitab menganut agama Islam.

2. Anak-anak hasil perkahwinan ini akan menurut agama bapa mereka iaitu Islam.

Namun tujuan sebegini nampaknya sudah tidak praktikal untuk diamalkan kerana :

1. Umat Islam hari ini adalah umat yang lemah

2. Kalau zaman awal Islam, budaya masyarakat menyaksikan lelaki menguasai wanita. Suami yang Muslim menjalankan tugasnya sebagai suami yang baik. Namun hari ini, wanita juga sudah mampu berkuasa tinggi. Banyak lelaki gagal di tangan wanita.

3. Agama anak bukan ditentukan lagi oleh agama bapa tetapi berdasarkan pilihannya apabila dewasa.

Maka matlamat dakwah sudah tidak tercapai secara objektif. Oleh itu, amat wajar diperkukuhkan apa yang ada. Jangan jadi “yang dikerja tak dapat, yang digendong berciciran”.

Di Malaysia, keputusan muzakarah fatwa (dalam e-fatwa.gov.my/jakim/keputusan_view) memutuskan bahawa pernikahan antara lelaki Muslim dengan wanita ahli kitab yang tidak asli (Yahudi dan Kristian sekarang) tidak sah menurut mazhab Syafi’i. Inilah fatwa yang sesuai dan benar dengan maslahat dan siasah syariah insya’Allah.
 

Dalam Islam jelas hukum perkahwinan mesti mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Wanita muslimah haram berkahwin dengan lelaki Kristian dan juga lelaki muslim haram berkahwin dengan wanita Kristian sebelum mereka masuk agama Islam. Lelaki dan wanita Kristian sekarang ini bukan ahli kitab mereka adalah golongan musrikin , akidahnya bukan akidah Islam, syariatnya bukan syariat Islam. Jika perkahwinan tak sah mereka sentiasa berada di dalam keadaan berzina melakukan dosa besar kepada Allah SWT. Oleh itu saudari perlulah memilih dan mencari pasangan muslim yang beriman dan bertakwa supaya selamat akidah saudari dan anak-anak saudari untuk masa akan datang.


No comments:

Post a Comment