Monday, July 14, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 139 ( Kristian Sekarang Bukan Ahli Kitab, Tarikh Nuzul Al-Quran, Tertidur Semasa Solat, Batal Wuduk Pegang Buah Zakar Dan Cara Tenagkan Hati.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 139 adalah menjelaskan persoalan Kristian sekarang bukan ahli kitab, tarikh nuzul al-Quran, tertidur semasa solat, batal wuduk pegang buah zakar dan cara tenagkan hati.

651. Soalan : Adakah orang Kristian sekarang ahli kitab?

Jawapan :  

Jika dikaji, perbezaan jarak masa diantara Nabi Isa As dan Nabi Muhammad Saw adalah 620 tahun. Ini bererti agama kristian yang dibawa oleh St Paul of Tarsus yang berpegang kepada concept 'Trinity' telahpun wujud dizaman Rasulullah SAW. Ini adalah kerana agama kristian telah pun wujud 400 ratus tahun selepas kewafatan Nabi Isa. Begitu juga dengan kitab bible yang ada pada hari ini yang telah diseleweng oleh pengikut2 St Paul of Tarsus dan Constantinople, telah wujud dizaman Rasulullah SAW.

Ini bermakna, ahli kitab yang dimaksudkan didalam Al Quran adalah orang2 kristian dan yahudi kerana Al Quran telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, setelah wujudnya agama kristian yang sesat itu. Oleh itu, ahli kitab yang percaya kpd concept 'Trinity' dan Nabi Isa 'anak tuhan' itu tetap di anggap ahli kitab. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT yang gelar mereka dengan nama AHLI KITAB walaupun mereka TELAH menyeleweng dalam aqidah mereka.

Allah SWT berfirman:
Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampau-lampau dalam agamamu, dan janganlah mengatakan tentang Allah kecuali yang benar, Sesungguhnya Al-Masih Isa anak Maryam itu adalah rasulullah, dan ia di-letakkan kepada Maryam dan ruhnya datang dari Allah, maka berimanlah dengan Allah dan rasul-rasulNya, jangalah kamu mengatakan "tiga", tamatkanlah dakwaan itu lebih baik bagimu, sesungguhnya Allah itu esa, maha suci Allah dari mempunyai anak....( An-Nisa : 171)

Dari ayat ini, kita dapat melihat bahwa Allah SWT dan Rasulullah SAW masih memanggil mereka yang mengamalkan kepercayaan syirik 'Trinity' dan kepercayaan Nabi Isa anak tuhan itu sebagai Ahli Kitab. Kitab bible yang ada di zaman Baginda Rasulullah SAW telah pun di-ubah dan diselewengkan. Akan tetapi, Allah SWT tetap memanggil mereka di dalam Al-Quran dengan gelaran “YA AHLAL KITAB"( Wahai Ahli Kitab ! )

Namun begitu, terdapat juga pendapat yang mengatakan untuk digelar ahli kitab , sesorang Yahudi dan Nasrani (kristian) itu mestilah berpegang teguh dengan ajaran agama samawi masing-masing. Jika mereka berpegang dengan ajaran palsu hari ini di campur pula dengan tidak mengendahkan hal ehwal hukum agama mereka. Mereka tidaklah layak di gelar Ahli KItab.

Tetapi, jika hanya orang2 yang berpegang teguh dengan segala ajaran agama yahudi dan nasrani itu di anggap syarat untuk digelar ahli kitab, maka ramai pula nanti Umat Islam yang tidak layak digelar ‘Muslim' kerana pegangan dan akidah mereka yang agak longgar. Kerana inilah majoriti ulama berpendapat, syarat utamanya utk diterima sebagai ahli kitab dan terpakai semua hukum ahli kitab di dalam Al Quran adalah PERCAYA kpd kewujudan Allah SWT(sebagaimana Al-Qaradawi yang meletakkan syarat, asalkan jangan athies atau komunis - iaitu yg jenis tak percaya tuhan).

Allah SWT berfirman:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani, dan orang-orang Shabi’en, sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta beramal salih, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
(Surah al-Baqarah 2:62)

Oleh itu, jika kita menafikan orang kristian hari ini sebagai ahli kitab, kita berkemungkinan besar telah menafikan ayat2 Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Allah SWT berfirman:
“Adakah patut aku mencari hakim selain Allah SWT, padahal Dia yang telah menurunkan al-Quran kepadamu dengan lengkap? Orang-orang yang telah Kami turunkan kitab mengetahui bahawa al-Quran diturunkan daripada Tuhanmu dengan sebenarnya. Maka jangan sekali-kali kamu termasuk dalam kalangan orang yang ragu-ragu. Telah sempurnalah al-Quran, sebagai kalimah yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat merubah ayat-ayat-Nya dan Dia yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-An'am, ayat: 114 hingga 115)

Wallahu'alam.


652. Soalan : Ustaz apa beza tarikh nuzul al quran 17 Ramadan dan 24 Ramadan.

Jawapan : 

Ulama’ berselisih pendapat berhubung bilakah al-Qur’an diturunkan. Samaada pada 17 Ramadan atau pun 24 Ramadan. Pendapat yang agak masyhur mengemukakan 17 Ramadhan sebagai tarikh nuzul . 1- Pendapat yang menyebut nuzul Al-Qur’an jatuh pada 17 Ramadhan bersandarkan riwayat al-Waqidi. Menurut ulama’ al-Jarh wa al-Ta’dil, al-Waqidi ( m. 207 H ), nama penuh beliau: Muhammad Bin Umar Bin Waqid al-Aslami seorang perawi yang lemah ( matruk ) dan tidak diterima riwayatnya [ Al-Baghdadi, al-Khatib, Tarikh Baghdad, 3/31, al-Zahabi, Muhammad Bin Ahmad Bin Uthman, ( 1992 ), Siyar A’lam al-Nubala’,Beirut : Muassasah al-Risalah, 9/454, 469, Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Ta’dil, 8/20] Pendapat ini juga ditolak oleh Syaikh al-Zurqani kerana ia bercanggah dengan pendapat yang masyhur lagi sahih. [Lihat: Manahil al-‘Irfan, 1/52]

2- Pendapat yang menyebut bahawa nuzul Al-Qur’an jatuh pada 24 Ramadhan adalah kuat dan rajih. Ini berdasarkan kepada perkara-perkara berikut:

I- Pendapat ini bersandarkan hadis marfu’ yang sahih dan diperakui oleh tokoh-tokoh dalam bidang hadis. Sebagaimana yang termaklum, apa jua permasalahan dalam Agama Islam perlu dirujuk kepada nas Al-Qur’an dan hadis. Dalam hal ini, hadis Wathilah Bin al-Asqa’ adalah rujukan utama dalam menentukan bilakah berlakunya nuzul Al-Qur’an.

II- Matan hadis dengan jelas menyebut bahawa al-Qur’an diturunkan pada 24 Ramadhan.

III- Maksud atau mafhum hadis diterima pakai oleh ulama’ muktabar dari kalangan ahli hadis dan para mufassirin dan dijadikan hujah bagi menetapkan tanggal 24 Ramadhan sebagai tarikh tepat bagi nuzul Al-Qur’an. Rujuk kata-kata al-Hafiz Ibn Hajar, Imam al-Qurtubi dan al-Hafiz Ibn Kathir.. Wallahu a'lam.


653. Soalan : Adakah batal solat jika semasa membaca tahyat akhir saya terlina?

Jawapan : 

1. Jika terlelap imam sudah memberi salam, maka kita wajib membaca tahyat akhir baru kita memberi salam jika kita tak baca tahyat akhir tak sah solat kita kerana tahyat akhir adalah rukun qauli (wajib di baca dan bacaan tersebut di dengar telinga sendiri). Adapun jika kita benar-benar tertidur ketika sedang solat, maka hukumnya menurut mazhab Syafiie adalah seperti berikut;

1. Jika tidur itu berlaku semasa sedang duduk iaitu punggung kita berada tetap di atas lantai, tidaklah batal solat.


2. Jika tidur itu berlaku semasa sedang berdiri atau sedang rukuk atau sujud, batallah solat mengikut pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafiie.

Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi dalam kitabnya “al-Majmuk”; “Jika seseorang tidur di dalam solatnya pada ketika sedang duduk iaitu punggungnya tetap di atas lantai, tibak batal solatnya tanpa khilaf (di kalangan ulamak mazhab Syafiie). Jika ia tidur bukan ketika duduk (yakni ketika berdiri, rukuk atau sujud), terdapat khilaf. Mengikut pandangan yang lemah; tidak batal solat dan wudhuknya. Namun mengikut pandangan yang menjadi pegangan mazhab (Syafiie); batal solat dan juga wudhuknya” (al-Majmu', 2/16. Dinaqalkan secara mafhum).

Jika seorang tertidur hingga ia bercakap di dalam solatnya (dengan percakapan yang bukan solat), batallah solatnya. Berkata Imam al-Walwaliji dalam fatwanya; “Orang yang menunaikan solat jika ia tertidur dan bercakap ketika sedang tidur itu, batallah solatnya” (Dinaqal oleh Imam Ibnu Nujaim dalam kitabnya al-Asybah wa an-Nazair, 1/276). Mengenai perbezaan antara mengantuk (terlelap) dengan tidur, dijelaskan oleh ulamak seperti berikut;
a) Tidur menguasai akal dan deria (yakni akal dan deria tidak berfungsi lagi kerana dikuasai oleh tidur), sedang mengantuk hanya melemahkan akal dan deria sahaja (yakni akal dan deria masih berfungsi, cuma ia lemah sahaja kerana dipengaruhi persaan mengantuk).
b) Berkata al-Qadhi Husain dan Imam al-Mutawallai; tanda tidur ialah hati tidak merasai apa-apa lagi dan sendi-sendi badan akan jatuh/longlai.
c) Menurut ulamak juga; di antara tanda mengantuk ialah kita masih mendengar ucapan orang yang hampir dengan kita sekalipun kita tidak memahami apa yang dikatakanya. Adapun mimpi ia adalah dari tanda tidur (maknanya, jika terlelap hingga sampai bermimpi, itu tandanya kita telah tertidur).


654. Saolan : Apakah hukumnya memegang buah zakar selepas ambil wuduk adakah batal wuduknya?

Jawapan : 

Dalam mazhab Syafie menyentuh kemaluan adalah membatalkan wuduk. Imam Syafie berkata di dalam kitab al-Umm, " Apabila seseorang menyentuh kemaluannya dengan tapak tangannya, di mana tiada pembatas di antara tangan dan kemaluannya maka wajib ke atasnya berwuduk kembali. Hukumnya sama sahaja samada sentuhan tersebut secara sengaja mahupun tidak sengaja… Demikian juga apabila dia menyentuh dubur atau qubulnya, menyentuh dubur isterinya atau menyentuh dubur anak kecil, maka wajib atasnya mengambil wuduk… Apabila kemaluannya tersentuh oleh punggung telapak tangannya, dengan lengannya atau sesuatu yang bukan tapak tangan, maka dia tidak wajib mengulangi wuduk… Semua yang telah kami katakan tentang wajib berwuduk ke atas lelaki yang menyentuh kemaluannya, demikian juga berlaku bagi wanita yang menyentuh kemaluannya; atau seorang wanita menyentuh kemaluan suaminya atau suami yang menyentuh kemaluan isterinya, keduanya tidak ada perbedaan.[ Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms. 29.]
 

Nabi SAW bersabda maksudnya, " Apabila salah seorang dari kalian menyentuh kemaluan dengan tangannya dan tiada penghalang di antaranya dan tangannya, tidak juga ada kain yang menutupinya, maka dia wajib berwuduk." (Hadis riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak dan disahihkan oleh Syaikh al-Albani di dalam Shahih al-Jami’ no: 359. Namun begitu Syaikh Ahmad Muhammad Syakir pula mendha’ifkan hadis ini.)

655. Soalan : Bagaimanakah cara untuk menenangkan hati yg tgh sgt kecewa akibat difitnah. ?

Jawapan : 

Seorang mukmin tak akan putus asa dengan rahmat Allah SWT walaupun dia difitnah. Apakah perubahan sikap dan akhlak umat Islam sekarang ini sudah berubah? Daripada sikap berlemah lembut dan adab sopan , kasih mengasihi sesama saudara muslim sudah bertukar menjadi ganas, penuh dendam kesumat, hasad dengki dan kebencian yang memuncak? Di mana letak iman mereka sebenarnya? Nabi SAW ada menjelaskan bahawa tidak ada iman bagi mereka yang tidak mengasihi saudaranya sebagaimana mereka mengasihi diri mereka sendiri

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Yang paling dikasihi oleh Allah di antara kamu adalah : mereka yang baik akhlak, yang merendahkan sayapnya (diri), yang suka dengan orang dan yang disukai orang. Manakala yang dimurkai oleh Allah adalah : mereka yang pergi membawa fitnah, yang menceraiberaikan di antara saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah akan kesalahannya” (Hadis riwayat At-Tabharani dan Abu Hurairah r.a.)

Apakah umat Islam yang terlibat itu sudah tidak takut kepada Allah SWT, tidak takut kepada kematian dan seksaan dialam barzakh dan hari akhirat? dan tidak takut kepada seksaan api neraka yang disediakan oleh Allah SWT kepada mereka yang melakukan fitnah, maki hamun, mengadu domba dan hasad dengki?

Adakah mereka menganggap dengan mengeluarkan perkataan maki hamun, sumpah seranah, menyuburkan fitnah kepada orang yang di benciakan di masukkan kedalam syurga? Nauzubillahiminzalik,

Hakikat sebenarnya mereka sudah tertipu dengan kerja-kerja iblis laknatullah, mereka sudah dikuasai oleh nafsu amarah sehinggakan tidak ada pertimbangan yang waras dan soal dosa pahala di tolak tepi, yang penting bagi mereka rasa puas apabila kutukan dan sumpah seranah dapat dilepaskan kepada musuh mereka. Soal hendak menjadi muflis atau tidak dihari akhirat itu soal lain yang penting apa yang nafsu mereka hajatkan dapat dipenuhi. Bersabarlah saudara kita orang yang mengenali diri kita cuba melakukan fitnah kerana sesungguhnya pembawa fitnah dan mengadu domba amat mudah menjadi muflis di akhirat. Jika mereka tak meminta maaf ketika di dunia pahala sipembawa fitnah akan diberika kepada orang yang difitnahkan sebanyak apa yang dilakukannya. Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab : “Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.” (Hadis Riwayat Muslim dan Tirmizi)

No comments:

Post a Comment