Thursday, June 12, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 121 (Hukum Berzina, Doa Kesembuhan Penyakit Resedong, Syarat Doa Dikabulkan, Niat Puasa Sunat Dan Berdakwah Secara Kasar.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 121 adalah menjelaskan persoalan hukum berzina, doa kesembuhan penyakit resedong, syarat doa dikabulkan, niat puasa sunat dan berdakwah secara kasar.

561. Soalan :  Ustaz, saya ingin bertanya mengenai zina. Zina ada berapa bahagian? Dan apa hukum berzina yang lebih terperinci. Sekian. Trime kaseh ustaz.

Jawapan : 

Firman Allah SWT : "Dan Janganlah kamu manghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat." (Surah al-Isra’ ayat 32). 

Dari Abu Hurairah r.a. bahwa Rasulullah SAW telah bersabda yang ertinya, “Kedua mata itu boleh melakukan zina, kedua tangan itu (boleh) melakukan zina, kedua kaki itu (boleh) melakukan zina. Dan kesemuanya itu akan dibenarkan atau diingkari oleh alat kelamin.” (Hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Ibn Abbas dan Abu Hurairah). dan

Nabi SAW bersabda maksudnya, “Tercatat atas anak Adam nasibnya dari perzinaan dan dia pasti mengalaminya. Kedua mata zinanya melihat, kedua teling zinanya mendengar, lidah zinanya bicara, tangan zinanya memaksa (memegang dengan keras), kaki zinanya melangkah (berjalan) dan hati yang berhasrat dan berharap. Semua itu dibenarkan (direalisasi) oleh kelamin atau digagalkannya.” (HR Bukhari). 


Zina itu banyak peringkat berdasarkan hadis-hadis di atas : 

1. Zina Mata 2. Zina Telinga 3. Zina Lidah 4. Zina Tangan 5. Zina Kaki 6. Zina Hati dan 7. Zina Alat Kelamin. Hakikat zina yang dihukum dengan hukum hudud apabila zina menggunakan alat kelamin.
 

Kesalahan Zina.

Zina adalah kesalahan hudud pertama yang akan di laksanakan kepada pesalah perbuatan zina. Zina membawa pengertian sebagai ; "Suatu hubungan jenis atau hubungan seks yang dilakukan antara lelaki dengan perempuan secara haram atau tidak sah dari sudut syarak."

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk." (Surah Al-Israk (17) ayat 32)

Dan firman-Nya lagi yang bermaksud : "Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka deralah (rotan) tiap-tiap seorang dari keduanya seratus sebatan."
(Surah An-Nur (24) ayat 2)

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Ambillah peraturan dariku, ambillah peraturan dariku. Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan jalan untuk mereka, teruna dan dara yang berzina hukumannya di sebat seratus kali dan dibuang negeri setahun dan yang sudah berkahwin hukumannya disebat seratus kali dan direjam." (Hadis Riwayat Muslim)

Saidina Umar sebagimana yang terdapat di dalam sahih Bukhari dan Muslim menyebut :

"Sesungguhnya Allah telah membangkitkan Muhammad SAW secara benar dan diturunkan kepadanya al-Quran, dan antara yang telah di turunkan kepadanya adalah ayat berkenaan hukum rejam, maka kami (sahabat) telah membacanya, menyedarinya dan memikirkannya, maka Rasul sendiri telah merejam (penzina) dan kami juga merejamnya selepas itu, maka aku bimbang sekiranya berlalu zaman, akan timbul mereka yang berkata : "Kami tidak dapati hukum rejam di dalam Kitab Allah", maka jadilah mereka sesat dengan meninggalkan kefarduan yang diturunkan Allah, sesungguhnya rejam adalah haq dalam Kitab Allah (di kenakan) bagi penzina muhsan (sudah berkahwin) dari kalangan lelaki dan perempuan." (Hadis Riwayat Bukhari no.6829. Kitab al-Hudud dan juga bab-bab lain. Muslim hadis no.4394, Abu Daud hadis no. 4418, Tirmidzi hadis no. 1432, Ibnu Majah hadis no. 2553)

Para fuqaha sependapat mengatakan bahawa jenayah zina mempunyai dua unsur penting iaitu :

1. Unsur fizikal iaitu perbuatan persetubuhan haram.

Bermaksud ialah perlakuan persetubuhan haram yang dilakukan oleh penzina samaada lelaki atau perempuan iaitu dengan memasukkan hasyafah (kepala zakar lelaki) kedalam faraj perempuan yang mana dengan perbuatan tersebut membolehkan penzina lelaki dan perempuan dikenakan hukuman hadd (hudud).

Maka dengan ini, segala bentuk perlakuan atau perbuatan lain antara lelaki dan perempuan seperti bercium, berpeluk, berkhalwat atau tidur bersama di atas satu katil di antara lelaki dan perempuan tidak dianggap sebagai kesalahan zina, sebaliknya merupakan satu perbuatan maksiat yang boleh dikenakan hukuman takzir.

2. Unsur moral iaitu niat jahat atau sengaja melakukan persetubuhan haram tersebut.
Darisegi moral pula, lelaki dan perempuan yang melakukan perbuatan tersebut dalam keadaan sedar dan tahu bahawa perbuatan zina adalah perbuatan yang diharamkan oleh Islam. Dalam hal ini, kejahilan tentang hukum agama tidak boleh di jadikan alasan bagi seseorang yang mengaku sebagai seorang muslim.

Syarat-syarat seseorang itu boleh disabitkan kesalahan zina :
Mengikut pendapat Jumhur Ulama hukuman zina dapat di jatuhkan atau disabitkan kepada pesalah zina dengan salah satu daripada 2 perkara iaitu :

1.Saksi.

2. Ikrar / Pengakuan daripada penzina.

Huraiannya :

1. Saksi .

Dalam Islam saksi mestilah terdiri daripada 4 orang lelaki yang adil.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu maka carilah 4 orang saksi (lelaki) di antara kamu yang menyaksikan perbuatan mereka itu." (Surah an-Nisaa (4) ayat 15)

Saksi-saksi tersebut mestilah memenuhi syarat-syarat berikut :

1. 4 orang lelaki (tertolak penyaksian daripada saksi perempuan)

2. Baligh

3. Berakal

4. Adil

5. Tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil.

6. Islam (termasuk menjadi saksi orang yang bukan Islam)

7. Melihat sebenar-benarnya perzinahan tersebut berlaku dan dapat menerangkan secara terperinci bagaimana perbuatan zina itu berlaku.

Bagaimana hukuman jika bilangan saksi kurang daripada 4 orang?

Dalam hal ini, setiap kesalahan zina yang hendak dipertuduhkan kepada seseorang, tetapi tidak mempunyai bilangan saksi yang mencukupi iaitu 4 orang saksi lelaki, maka hukumannya : Tidak sah untuk disabitkan kesalaahn zina tersebut, bahkan saksi-saksi tersebut wajib dikenakan hukuman qazab (lihat surah an-Nisaa ayat 15)

2. Ikrar / Pengakuan daripada penzina.

Hukuman hudud boleh disabitkan terhadap seseorang penzina yang membuat pengakuan bahawa ianya berzina walaupun tanpa saksi dengan menepati syarat-syarat berikut :

1. Pengakuan tersebut mestilah di buat di hadapan hakim/ wakil hakim.

2. Pengakuan tersebut mestilah daripada orang dewasa yang waras / siuman.

3. Pengakuan tersebut dibuat secara lisan kecuali bagi orang-orang yang bisu.

4. Pengakuan tersebut dibuat dengan terang, jelas, tanpa menimbulkan sebarang keraguan.

5. Pihak yang membuat pengakuan memahami sebarang bentuk implikasi dan kesan terhadap pengakuannya.

(Rujukan : Kitab Fiqh Al-Jinayah - Perbahasan Undang-undang Jenayah Islam oleh Ustaz Mohd Rafizal Zulkifli Al Yamani)


562. Soalan : Ustaz, adakah doa untuk menyembuhkan penyakit resdung? Saya dah lama mengidap resdung, macam-macam ubat resdung saya ambil, tapi tak mengubah apa-apa.

 Jawapan : 

Cuba saudari amalkan ayat-ayat berikut untuk mereka amalkan dan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah SWT untuk memohon penyembuhan. 

Ayat-ayat tersebut adalah:

1. Surah An-Nahl ayat 66 hingga 74
2. Surah Al-Anfaal ayat 36 hingga 50

Cara amalan ayat-ayat Al-Quran tersebut ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah An-Nahl tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Al-Anfaal tiga kali pada waktu siang. Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah SWT untuk penyembuhan.

Dalam pengalaman pengamal perubatan Islam mengubati penyakit-penyakit fizikal, selalunya ayat-ayat dari Surah Al-Anfaal ini mempunyai hikmah dan keupayaan penyembuhan seolah-olah seperti antibiotic. Ayat-ayat dari Surah An-Nahl pula berfungsi untuk menguatkan daya pertahanan diri tubuh badan (immune system). Insya Allah dengan gabungan amalan dua surah ini boleh membantu mengatasi masalah risdung.

Percayalah bunyi bacaan Al-Quran memiliki aura-aura dan gelombang suara yang berfrequensi tertentu dan “wavelength” tertentu. Gelombang ini mempengarohi sel-sel dalam tubuh badan kita secara positif dan mengembalikan keseimbangan seluruh tubuh kita. Gelombang dan aura-aura kalimah suci inilah memberi kesan positif kepada sel-sel antibodi dan juga menguatkan sistem pertahanan tubuh badan.

Dalam erti kata lain, rawatan menggunakan ayat-ayat Al-Quran ini bertindak umpama rawatan moden, namum prosesnya tidak mampu dilihat dangan mata kasar atau dijelaskan dengan logic akal fikiran manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman….” (Surah Yunus ayat 57)

PENUTUP

Dugaan kepada setiap penyakit yang dihadapi sebenarnya adalah ujian daripada Allah SWT kepada kita. Ianya sebagai peringatan kepada kepada kita yang sering alpa dan leka akan hakikat sebenar kehidupan ini. Justeru, hendaklah kita berikhtiar dan berusaha serta tawakal dengan sepenuh hati. Mohonlah keampunan dan berdoalah dengan penuh pengharapan kepada Allah SWT agar diberi kesembuhan di atas setiap penyakit yang dihidapi. Sesungguhnya doa itulah senjata kita yang paling ampuh dalam menghapuskan dan menyembuhkan penyakit-penyakit.


Doa untuk kesembuhan penyakit :
Pertama :


كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا اشتكى منا إنسان مسحه بيمينه ثم قال اِذْهَبِ البَأْسَ رَبَّ النَّاسِ وَاشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لاَ شِفَاءً إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَماً

Ertinya : Nabi SAW ketika didatangi aduan (sakit) oleh seseorang, nabi akan menyapunya dengan tangan kanan baginda sambil membaca " 'Jauhkanlah dia dari kesakitan, wahai Tuhan sekalian manusia, sembuhkanlah dia, dan engkaulah maha penyembuh yang tidak akan datang kesembuhan kecuali datang dariMu, kesembuhan dari jenis yang tidak akan kembali penyakitnya"( Hadis Riwayat Muslim)

Kedua :


كان النبي صلى الله عليه وسلم يعوذ الحسن والحسين ويقول : إن أباكما كان يعوذ بها إسماعيل وإٍسحاق أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطاَنٍ وَهَامَّةٍ وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّة (رواه البخاري)

Ertinya : Nabi SAW ketika sedang meminta perlindungan untuk Al-Hasan dan Al-Husain berkata : Sesungguhnya kedua-dua ibu bapamu meminta perlindungan dengan (bacaan) yang dibuat oleh Nabi Ismail dan Ishak iaitu : "Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna, daripada setiap Syaitan dan mahkluk berbisa dan dari setiap pandangan mata dengki & hasad yang berniat jahat" ( Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Ketiga :

أن جبرائيل أتى النبي صلى الله عليه وسلم فقال يا محمد اشتكيت ؟ قال نعم , قال : بِسْمِ اللهِ أُرْقِيْكَ مِنْ كُلِّ شَيْئٍ يُؤْذِيْكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْعَيْنٍ أَوْ حَاسِدٍ , اللهُ يُشْفِيْكَ بِسْمِ اللهِ أُرْقِيْكَ

Ertinya : Telah datang Jibrail kepada nabi SAW dan berkata : Wahai Muhammad, adakah kamu mengadu kerana sakit? . Jawab Nabi " Ya". Jibrail membalas " Bacalah "Dengan nama Allah yang mengubatimu, dari segala perkara yang menyakitimu, dan juga dari kejahatan setiap jiwa,mata dan hasad. Allah akan menyembuhkanya dan dengan namaNya engkau disembuhkan"


Keempat :


Baca tujuh kali dengan tangan diletak di tempat sakit , kemudian baca Bismillah tiga kali dan terus baca doa :

أنه شكا إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم وجعا يجده في جسده منذ أسلم فقال له رسول الله صلى الله عليه وسلم ضع يدك على الذي تألم من جسدك وقل باسم الله ثلاثا , وقل سبع مرات : أَعُوذُ بِاللهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ

Ertinya : Seorang sahabat datang mengadu kepada Nabi berkenaan kesakaitan yang terdapat ditubuhnya sejak dari ia masuk Islam, lalu nabi mengajarkan berkata : " Letakkan tanganmu ditempat yang kamu merasai sakit itu dan bacalah Bismillah tiga kali dan kemudian bacalah tujuh kali : " Aku berlindung dengan kuasa Allah dari segala kejahatan yang telah menimpaku dan yang aku ingin hindari. ( Hadis Riwayat Muslim)


Kelima :


قال رسول الله صلى الله عليه وسلم من عاد مريضا لم يحضر اجله فقال عنده سبع مرارٍ أَسْأَلُ اللهَ العَظِيْمَ رَبَّ العَرْشِ العَظِيْمِ أَنْ يُشْفِيَكَ إلا عافاه الله من ذلك المرض

Ertinya : Nabi telah berkata " Barangsiapa melawat orang yang sakit yang belum kelihatan akan tiba ajalnya (sakit yang dikira boleh sembuh), bacalah di sisinya tujuh kali : " Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan bagi Arasy yang agung agar menyembuhkanmu". Tiadalah dibacakah itu kecuali akan disembuhkan dengan izin Allah dari sakit tersebut. ( Hadis Sahih Riwayat At-Tirmidzi )

Imam Ibn Qayyim berkata “dari kaedah pelindung dan penyembuh dari hasad mata dan yang sepertinya adalah membaca dau Qul ( Surah An-Naas dan Al-Al-Falaq) dan Al-fatihah, ayat Kursi dan lain-lain doa dari hadis nabi” iaitu antaranya seperti di atas. (At-Tibb al-Nabawi, hlm 168)

Semoga sakit yang dideritai beransur sembuh. Termasuklah penyakit resdong, malas solat, panas baran, ketagih porno dan sebagainya. Cubalah amalkan doa-doa di atas juga.


563. Soalan : Adakah perbezaan diantara memohon kepada Allah dgn berdoa kepada Allah? Apakah sebenarnya syarat untuk doa di makbulkan? Bila dan bagaimana berdoa semasa solat.?

Jawapan : 

Memohon kepda Allah SWT adalah satu permintaan, pengharapan di hati kita supaya hajat kita dikabulkan oleh Allah SWT. (Untuk mendapatkan sesuatu daripada Allah SWT). Berdoa menurut istilah syarak ialah pemohonan pertolongan dan bantuan oleh seorang hamba dari Tuhannya .Hakikat doa iaitu menzahirkan kefakiran, kelemahan dan kehinaan diri kepada Allah yang di dalamnya termetrai pengagungan terhadap Allah SWT dan mengiktiraf sifat kemulian dan pemurahNya.

Definisi doa yang dinyatakan oleh Imam al-Khattabi rahimahullah menjelaskan bahawa doa merupakan pohonan seorang hamba dari Allah s.w.t, sepertimana firman Allah swt di dalam surah al-Baqarah ayat 186:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنّي فَإِنّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ [البقرة:186]

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran”


Terdapat 8 syarat-syarat doa akan dimakbulkan :

Syarat-syarat tersebut adalah:

Pertama, ikhlas. Ibnu Katsir mengatakan bahwa setiap orang yang beribadah dan berdo’a hendaknya dengan ikhlas serta menyelisihi orang-orang musyrik dalam cara dan madzhab mereka2.

Kedua, ittiba’ (mengikut) kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, termasuk dalam segala bentuk ibadah. Allah berfirman (yang ertinya), “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu” (Surah. Al Ahzaab ayat 21)

Ketiga, yakin bahawa doanya akan dikabulkan. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Berdoalah kalian kepada Allah dalam keadaan yakin akan terkabulnya doa itu” (HR. Tirmidzi). Jika seorang hamba berdoa kepada Allah sementara ia tidak yakin Allah akan mengabulkan doanya, maka doanya akan menjadi sia-sia. Allah berfirman yang bermaksud, “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu” (Surah Ghafir ayat 60).

Keempat, kekhusyukan di hadapan Allah. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Ketahuilah bahawa Allah tidak akan mengabulkan doa dari seseorang yang lalai dan tidak serius” (HR. Tirmidzi). Seringkali seseorang berdoa setelah solat namun tidak merasakan apa yang diucapkannya.

Imam Ahmad bin Hanbal berkata, “Tahukah kalian bagaimana seharusnya seorang muslim berdoa?” Mereka bertanya, “Bagaimanakah itu wahai Imam?” Beliau menjawab, “Tahukah kalian bagaimana seseorang yang berada di tengah gelombang lautan, sementara ia hanya memiliki sebatang kayu, dan ia pun akan tenggelam? Kemudian orang ini berdoa dengan mengatakan, ‘Ya Rabbi, selamatkanlah aku! Ya Rabbi, selamatkanlah aku!’ Maka demikianlah seharusnya seorang muslim berdoa (kepada Allah)”. Hal ini memperlihatkan bahawa sudah selayaknya seorang hamba yakin bahawa tidak ada lagi yang mampu menyelamatkannya selain Rabbnya sehingga ia akan kembali kepada-Nya dalam keadaan apapun dan berdoa kepada-Nya kerana rasa memelukan yang lahir dari kelemahan diri. Allah berfirman makudnya, “Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan jika ia berdoa kepada-Nya…” (Surah An Naml ayat 62).

Kelima, tidak isti’jal (tergesa-gesa minta cepat terkabulnya doa). Dari Abu Hurairah, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Akan dikabulkan doa seseorang di antara kalian sepanjang ia tidak tergesa-gesa. Ia berkata, ‘Aku telah berdoa dan berdoa, namun aku tidak melihat terkabulnya doaku’, sehingga ia pun tidak lagi berdoa” (HR. Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, Ibnu Majah). Orang yang tergesa-gesa dalam berdoa kemudian meninggalkannya kerana merasa tak juga dikabulkan doanya bagaikan orang yang menanami ladangnya dengan menabur benih. Namun ketika benih itu mulai tumbuh, ia mengatakan, “Agaknya benih-benih ini tidak akan tumbuh”, dan kemudian ia meninggalkannya begitu saja.

Keenam, hanya makan yang halal, termasuk di dalamnya adalah menghasilkan harta dari sesuatu yang halal. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Sesungguhnya Allah itu baik, dan tidak akan menerima selain yang baik. Allah memerintah orang-orang mukmin seperti apa yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul” (HR. Muslim, Tirmidzi). Dalam firman-Nya, Allah memerintahkan (yang ertinya), “Hai Rasul-rasul, makanlah dari makanan yng baik-baik, dan kerjakanlah amal soleh…” (Surah Al Mukminuun ayat 51).

Ketujuh, tidak berdoa untuk sesuatu yang berdosa. Dari Abu Said, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Apabila seorang muslim berdoa dan tidak memohon sesuatu yang berdosa atau pemutusan kerabat kecuali akan dikabulkan oleh Allah salah satu dari tiga: Akan dikabulkan doanya, atau ditunda untuk simpanan di akhirat, atau menghilangkan daripadanya keburukan yang semisalnya” (HR. Ahmad 3/18. Imam Al-Mundziri mengatakannya Jayyid (bagus) Targhib 2/478)7.

Kelapan, husnudzon (berbaik sangka) kepada Allah SWT bahawa Dia akan mengabulkan doa kita. Kalaupun tak dikabulkan, itu kerana hikmah yang Allah lebih mengetahuinya. Dalam hadis Qudsi, Allah berfirman (yang artinya), “Aku bergantung prasangka hamba-Ku kepada-Ku” (HR Bukhari).


Solat itu sendiri adalah doa maka keseluruhan solat adalah doa hamba kepada Allah SWT. Terdapat 3 tempat doa secara khusus iaitu ketika membaca doa iftitah, ketika membaca surah al-Fatihah dan ketika duduk di antara dua sujud. Jika solat subuh ketika membaca doa qunut. Tambahan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW iaitu ketika selesai tahyat akhir sebelum salam.


564. Soalan : Ustaz,nak tanya boleh bagi niat puasa sunat dengan maknanya sekali andai kata esok saya nak berpuasa.

Jawapan :  

Esok hari Jumaat jika nak puasa perlu gabungkan dengan hari Sabtu kerana Nabi SAW melarang puasa hari Jumaat tunggal samaada puasa hari Khamis dan Jumaat atau puasa Jumaat dan Sabtu. Bulan Syaaban adalah bulan yang digalakkan kita berpuasa sunat. Niat di hati (pada malam hari sebelum terbit fajar) adalah " Sahaja aku puasa sunat bulan Syaaban esok hari kerana Allah Taala"
 

Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bemaksud: “Janganlah seseorang kamu berpuasa pada hari Jumaat kecuali dengan berpuasa sehari sebelum atau sehari selepasnya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada Abdullah bin Amru, Nabi Muhammad SAW pergi ke rumah Juwairiyah binti Al-Harith dan mendapati dia berpuasa pada Jumaat. Maka Baginda SAW bertanya: “Adakah engkau berpuasa semalam?” Jawabnya: Tidak. Baginda SAW bertanya lagi: “Adakah engkau mahu berpuasa esok?” Jawabnya: Tidak. Baginda SAW pun berkata, “Kalau begitu berbukalah.” (Hadis Riwayat Bukhari)


565. Soalan : Apa hukumnya kalau kita berdakwah tapi sampai membuatkan orang itu tersinggung ? Berdakwah dengan kata kata yang keras dan kasar sampai membuat orang itu tersinggung.

Jawapan : 

Seorang pendakwah tidak boleh menggunkan perkataan kasar, keras dan sindiran kepada seseorang di dalam ceramahnya. Segala contoh-contoh keburukan amalan seseorang yang di sebut hendaklah secara umum sahaja. Abu Darda berkata, “Bersabda Nabi SAW “Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin di hari kiamat daripada husnul Khulq (akhlak yang baik).” (HR. At Tirmidzi)

Aisyah ra. Berkata, “Saya telah mendengar Rasulullah SAW. bersabda, “Sesungguhnya seorang mukmin yang dapat mengejar budi pekerti yang baik, darjat orang itu sama seperti orang yang terus menerus berpuasa dan solat malam.” (HR. Abu Daud)

Jabir ra. berkata, “Rasulullah SAW. bersabda, “Sesungguhnya orang yang sangat saya kasihi dan terdekat denganku pada hari kiamat nanti adalah orang terbaik akhlaknya. Dan orang yang sangat aku benci dan terjauh dariku pada hari kiamat nanti adalah orang yang banyak bicara, sombong dalam pembicaraannya, dan berlagak menunjukan kepandaiannya.” (HR. At Tirmidzi).

Kekuatan akhlak lahir melalui proses panjang yang memerlukan kesediaan untuk sentiasa memberi komitmen dengan nilai-nilai Islam. Seorang ulama menjelaskan thariqah (jalan) untuk membina akhlak islami adalah dengan kemahuan untuk melaksanakan latihan (tadribat) dan pendidikan (tarbiyah). Setiap muslim memiliki kesempatan yang sama untuk menjadi baik atau buruk, masalahnya adalah sejauh mana usaha kita untuk mendisiplinkan diri dengan nilai-nilai dan amalan Islam bagi melahirkan muslim yang berakhlak ampuh. Malangnya keampuhan akhlak inilah yang sering dilupakan. Malah kian rapuh sehingga hilangnya jati diri muslim hakiki. Justeru menjadi punca lunturnya sinar Islam pada penghujung zaman. 


Gejala keruntuhan akhlak yang berlegar di sekeliling kita seperti zina hati, mata, lisan dan seumpamanya meruntun jiwa kita selaku pendokong agama. Keruntuhan yang tidak dikawal pada satu tahap yang minima membawa insan kepada bertuhankan nafsu, lantas melupakan terus Pencipta Yang Maha Esa.

Islam adalah ajaran yang benar untuk memperbaiki manusia dan membentuk akhlaknya demi mencapai kehidupan yang baik. Islam memperbaiki manusia dengan cara terlebih dahulu memperbaiki jiwa, membersihkan hati dan menanamkan sifat-sifat terpuji. Islam benar-benar dapat membawa manusia untuk mencapai kebahagiaan, kelapangan dan ketenteraman.

Sebaliknya manusia akan menjadi hina apabila ia merosakkan sifat, pembawaan dan keadaan dalam jiwanya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman : “Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Ra’d ayat 11). 


Oleh itu seorang daie atau pendakwah perlulah memiliki akhlak yang mulia sebelum beliau mengajak manusia kembali kepada akhlak yang baik dan mematuhi perintah Allah SWT, kerana jika beliau sendiri tak dapat nak berikan contoh yang baik maka dakwahnya akan menjadi tawar dan tidak akan dapat menarik hati manusia untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya.

No comments:

Post a Comment