Sunday, June 15, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 122 (Menolong Mangsa Kemalangan, Menjaga Aurat Di Tempat Kenduri, Qada Solat Dengan Sengaja,Wanita Menaiki Motosikal , Riak dan Takbur),

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 122 adalah menjelaskan persoalan menolong mangsa kemalangan, menjaga aurat di tempat kenduri, qada solat dengan sengaja,wanita  menaiki motosikal , riak dan takbur.                                                                        

566. Soalan :  Apa hukum diakhirat nanti jika seseorang yg ingin menolong mangsa atau keluarga mangsa kemalangan yg membabitkan kecederaan dan kematian serta kerosakan harta yg banyak nilainya. Pada asalnya nampak cuba membantu akhirnya menipu sehingga kadang kadang duit anak yatim pun mereka tipu. Kebanyakan hikmat guaman bagi kes tuntututan kecederaan atau kematian bagi mangsa kemalangan jalan raya yg membabitkan ada pertembungan dgn sebuah kenderaan lain. Cas guaman di ambil setelah selesai kes mereka adalah.! 25% dari jumlah tuntututan.

Jawapan : 

Kes yang saudara kemukakan adalah perkara realiti berlaku di dalam masyarakat kita. Terlalu banyak pihak-pihak yang akan mengambil kesempatan di atas tuntutan insuran apabila berlaku kemalangan. Kesemua agensi atau pihak yang terlibat mengambil bukan hak mereka akan di adili di mahkamah Allah SWT .

 Apabila berlaku rasuah, salah guna kuasa, membuat tuntutan berlebihan daripada sepatutnya maka semua mereka tak akan terlepas daripada di hisab dengan seadil-adilnya. Sekiranya mangsa kemalangan mendapat pampasan kurang daripada sepatutnya maka setiap sen akan di tuntut di mahkamah Allah SWT dan pihak yang mengambil hak mangsa kemalangan akan membayar dengan pahala mereka kerana di akhirat wang ringgit sudah tak laku di sisi Allah SWT.

567. Soalan : Bagaiman menjaga aurat jika kita sedang basuh pinggan di kenduri mesti basah stokin yang kita gunakan dan sarung tangan juga basah  adakah kita kana pakai stokin dan sarung tangan jugak ke walaupun tangah basuh panggan di khalayak ramai.. saya musykil samaada nak bukea atau pun tak pakai sarung kaki dan sarung tangan?

Jawapan : 

Aurat wajib di jaga tidak kira semasa keadaan biasa atau ketika ada kenduri kendara di rumah ahli keluarga. Aurat wanita adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan sehingga pergelangan tangan. Kaki menurut mazhab Syafie adalah aurat untuk menutupnya dengan memakai stokin. Di dalam rumah jika ada bukan mahram seperti sepupu lelaki, suami kepada emak saudara, adik ipar atau abang ipar auratnya adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan hingga pergelangan tangan. Kelonggarannya adalah pada tapak kaki hingga buku lali (perkara ini menjadi khilaf ulama) jika kesukaran untuk memasuki tandas atau bilik air. Dalam Al-Mufassal Dr Abd Karim Zaidan ada disebutkan satu bab khas mengenai kaki dengan tajuknya : “Adakah kaki wanita dikira sebagai aurat?” (Rujuk Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar ah wa al-bait al-Muslim fi al-Syari’ati al-Islamiah , Jilid 3 , masalah 2282 , ms.198)

Beliau mengatakan bahawa masalah menganggap kaki wanita sebagai aurat atau tidak adalah perkara yang menjadi khilaf dikalangan ulama mazhab.


Ringkasnya :

1. Mazhab Hanafi mengatakan kaki wanita adalah tidak termasuk dalam lingkungan aurat.
2. Mazhab Maliki pula terbahagi kepada dua.Sebahagian ulamanya mengatakan tidak aurat dan sebahagian yang lain mengatakan aurat.Walaubagaimana pun pendapat yang muktamad dalam mazhab Maliki ialah kaki bukan aurat.
3. Mazhab Syafi’e pula mengatakan ianya sebagai aurat.
4. Mazhab Hambali pula menghukumkan kaki wanita sebagai aurat.

Pendapat yang Rajih :

Pendapat yang dipilih oleh As-Syaikh Dr.Abd Karim Zaidan dalam Ensiklopedianya tersebut ialah kaki wanita dikira sebagai aurat dan wajiblah bagi setiap wanita itu untuk menutupnya , kecuali jika terdapatnya hajat atau keperluan yang menyukarkan wanita tersebut untuk menutup kakinya , maka dalam hal ini ianya dibolehkan untuk tidak menutupnya. Sarung lengan perlu dipakai untuk menutup kulit lengan kerana batas tangan adalah yang boleh dilihat adalah tapak tangan sehingga pergelangan tangan.
 

Untuk kaki ada khilaf ulama Dr Abdul Karim Zaidan membenarkan di buka (tak pakai stokin) di dalam menyukarkan wanita kawasan basah dan sebagainya tetapi sarung lengan kena pakai juga kerana kulit lengan adalah aurat dan ulama tak ada yang mengharuskannya.

568. Soalan : Ustaz saya ingin bertanya jika saya tertinggal solat subuh,zuhur,asar dn maghrib boleh tak saya qada' semua solat tadi selepas solat ishak?mohon peneranagn ustaz....

Jawapan :  

Meninggalkan solat dengan sengaja adalah berdosa kerana hanya dua keadaan saja di benarkan iaitu kerana terlupa atau tertidur. Solat hanyalah diwajibkan untuk Muslim melaksanakannya pada waktu yang ditentukan untuknya.Sebenarnya tidak timbul hukum qada solat, kerana solat adalah ibadat khusus yang difardukan Allah SWT pada waktu yang ditentukan, dan ia tidak diwajibkan pada waktu yang bukan waktunya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah An-Nisa’ ayat 103). 


Sementara dalam kes tertinggal solat sebab sengaja, ulama secara sepakat mengatakan wajib qada solat yang ditinggalkan secara sengaja, dalam keadaan tetap dikira berdosa. Puan boleh mengqada semua solat yang ditinggalkan pada wakti Isyak. Tetapi perlu diingat bahawa perbuatan tersebut jangan diamalkan lagi di samping qada solat puan wajib bertaubat nasuha dan jangan ulangi perbuatan tersebut.

569. Soalan : Apakah hukumnya jika perempuan pergi dan pulang dari tempat kerja menaiki motosikal dgn memakai baju kurung?adakah ianya haram?sedangkan niat kita adalah untuk mencari rezeki dan kerana itu sahaja kenderaan yang dimiliki buat masa ini.

Jawapan : 

Wanita boleh menaiki motosikal untuk pergi ketempat kerja tetapi perlu pastikan aurat terpelihara. Sebaik-baiknya memakai seluar sukan dan berstokin semasa menaiki motosikal kerana wanita biasanya betis akan terselak ketika menaiki motosikal dan ini telah mendedahkan aurat. Untuk menjaga tudung supaya tidak terselak maka pakai baju jaket atau jersi sukan. Ini adalah cara untuk memelihara aurat tidak terdedah semasa menaiki motoskal.

570. Soalan : Ustaz , riak macam mana ? takabbur macam mana ? dan kadang saya tak tahu perkara yang boleh mendatangkan riak mungkin saya pernah riak dan takabbur , saya takut menghapuskan amalan saya . adakah riak sekiranya saya bertanyakan soalan kapada seseorang sedangkan saya sudah tahu tentangnya . saya bertanya hanya cuma ingin menguji ilmu yang ada padanya , adakah itu riak ustaz ?

Jawapan :  

Perkataan RIAK maksudnya ialah seseorang yang berlagak atau angkuh dalam sesuatu perkara dan dalam sesuatu keadaan. Maka jelaslah disini sifat riak itu tadi ialah salah satu sifat yang memang tidak disukai dan ianya bukanlah menjadi ajaran dalam agama Islam sepertimana yang di paparkan di bawah ini melalui beberapa sumber yang boleh dipercayai termasuk kitab hadis::

Menurut Rasulullah SAW, ada tiga penyakit yang akan menghancurkan AMALAN seseorang iaitu antaranya ialah takbur atau sombong(riak)

Imam al-Ghazali dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' berkata, takbur akan menjadi batas pemisah antara seseorang dengan kemuliaan akhlak. Orang takbur akan selalu mendustakan kebenaran, menganggap rendah orang lain dan meninggikan dirinya. Sedikit saja di hati ada sikap takbur, maka tidak layak untuk memasuki syurga.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang dalam hatinya ada sikap takbur walaupun sebesar debu.” (Hadis riwayat Muslim)

Riak atau beramal kerana mengharap pujian orang lain. Riak adalah tingkatan terendah daripada AMALAN. Rasulullah SAW menyebutnya syirik kecil yang juga boleh menghapuskan kebaikan. Riak berasal dari kata ru’yah yang ertinya melihat. Berlaku riak ertinya menampakkan amal soleh supaya dilihat manusia. Riak ada disebut dalam al-Quran, antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang-orang yang memperlihatkan amalnya (yura’un) dan enggan membayar zakat.” (Surah al-Ma’un ayat 6-7)

Ulama Islam berpendapat riak adalah sifat yang tidak baik diamalkan oleh orang Islam. Dalam Islam, riak adalah sifat yang cukup keji kerana ia boleh membinasakan segala kebaikan yang pernah dilakukan selama ini dan merosakkan pahala amal soleh seseorang. Sifat riak sebenarnya boleh dihindari dengan memperkuat atau mempertingkatkan iman dan hati sentiasa takut akan azab dan seksa Allah di akhirat nanti.

Menurut Imam Al-Ghazali, riak adalah mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan kepada mereka hal-hal kebajikan. Sementara Imam Habib Abdullah Haddad pula berpendapat riak ialah menuntut kedudukan atau meminta dihormati daripada orang ramai dengan amalan yang ditujukan untuk akhirat.
.
Allah tidak akan menerima suatu AMALAN yang dalamnya ada seberat debu saja perasaan riak. Hadis qudsi mengungkapkan bagaimana murkanya Allah kepada orang yang riak dalam amalannya.

Pada hari kiamat Allah berfirman, ketika semua manusia melihat catatan amalannya, “Pergilah kamu semua kepada apa yang kamu jadikan harapan (riak) di dunia. Lihatlah apakah kamu semua memperoleh balasan daripada mereka.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Firman Allah yang bermaksud: “Maka kecelakaanlah bagi orang yang solat (iaitu) orang yang lalai dari solatnya dan orang berbuat riak.” (Surah al-Maa'um, ayat 4 - 6)
 

Apabila seseorang tanya soalan dan dia sudah tahu jawapan tetapi tujuannya ikhlas untuk mengajar orang lain dengan jawapan yang akan diberikan maka di haruskan. Tetapi jika dia tanya soalan hanya nak uji ilmu seseorang dan dia sendiri sudah tahu jawapannya (hendak test power) maka HARAM hukumnya dan dia termasuk di dalam sifat TAKBUR DAN SOMBONG. Sifat ini sangat dilarang oleh Allah SWT.


No comments:

Post a Comment