Monday, April 28, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 103 ( Suami Menuduh Isterinya, Perbezaan Wadi, Mazi dan Mani, Hukum Melakukan Kenduri Tahlil, Hukum Bersalaman Dengan Bukan Mahram dan Syarat-syarat Rujuk Di Dalam Islam.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 103 adalah menjelaskan persoalan suami menuduh isterinya, perbezaan cecair wadi, mazi dan mani, hukum melakukan kenduri tahlil, hukum bersalaman dengan bukan mahram dan syarat-syarat rujuk di dalam Islam.

571. Soalan : Ustaz bagaimana cara untuk saya mengatasi masalah dengan suami yang menuduh saya mereka-reka cerita tentang keburukan ibunya .Suami tak dapat memerima apa yang berlaku di dalam rumah semua nya berpunca dari ibunya dan menuduh saya mempunyai saka.

Jawapan : 

Jagalah perhubungan suami isteri dan perlu saling hormat menghormati, berkasih sayang dan bertolak ansur. Suami atau isteri tak boleh bertegas dengan pendapat sendiri tanpa mendengar pendapat pihak yang lain. Ibu mertua sepatutnya tak perlu mencampuri urusan anak-anak dan tak boleh berat sebelah membuat tuduhan kepada menantunya saja. Puan sebaik-baiknya jaga hubungan silaturahim dan ada sifat pemaaf dan cuba sedaya upaya bersabar dan mendengar nasihat suami supaya rumah tangga dapat diuruskan dengan aman dan damai.

Hadis-hadis Nabi SAW mengenai silaturahim.

Hadis riwayat Abu Hurairah ra. dia berkata:
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk sehingga setelah selesai menciptakan mereka, bangkitlah rahim (hubungan kekeluargaan) berkata: Ini adalah tempat bagi orang berlindung (kepada-Mu) dengan tidak memutuskan tali silaturahmi.

Allah menjawab: "Ya. Apakah kamu senang kalau Aku menyambung orang yang menyambungmu, dan memutuskan orang yang memutuskanmu?"

Ia berkata: "Tentu saja". 

Allah berfirman: "Itulah milikmu".

Kemudian Rasulullah SAW. bersabda: Bacalah ayat berikut ini kalau kalian mau: "Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan telinganya dan dibutakan matanya. Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Qur'an ataukah hati mereka terkunci. " (Hadis Shahih Riwayat Muslim)

Hadis riwayat Aisyah r.a., ia berkata:
Rasulullah SAW. bersabda: Rahim (tali persaudaraan) itu digantungkan pada Arsy, ia berkata: "Barang siapa yang menyambungku (berbuat baik kepada kerabat), maka Allah akan menyambungnya dan barang siapa yang memutuskan aku, maka Allah pun akan memutuskannya." (Hadis Shahih Riwayat Muslim)

Hadis riwayat Jubair bin Muth`im ra.:
Dari Nabi SAW. bahwa beliau bersabda: "Tidak akan masuk Syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan." (Hadis Shahih Riwayat Muslim )

Hadis riwayat Anas bin Malik ra., ia berkata:
Aku pernah mendengar Rasulullah SAW. bersabda: "Barang siapa yang merasa senang bila dimudahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung hubungan kekeluargaan (silaturahmi)." (Hadis Shahih Riwayat Muslim)

572. Soalan : Apabila sesetengah orang itu kencing, keluar sesuatu yg agak keputihan. apakah keputihan itu? Apakan perbezaan di antara  mazi, wadi , mani , cecair keputihan ?

Jawapan :  

Keputihan yang keluar mengirigi kencing adalah air wadi. Air wadi adalah najis dan tak perlu mandi hadas besar. Ulama menjelaskan bahawa bahawa Air Wadi dan Air Mazi adalah najis. dan Air Mani tidak najis (bila keluar seseorang diwajibkan mandi hadas besar)

1. Air Wadi : 

Maksud Air Wadi - Adalah air putih kental yang keluar dari kemaluan seseorang setelah kencing..

Hukum jika keluar Air Wadi - Keluarnya Air Wadi maka terbatallah segala wuduk termasuk ibadat. Ianya sama seperti Air Mazi.Cara untuk membersihkannya ialah dgn mencuci kemaluan dan ambil semula air wuduk kembali jika ingin solat.

Bagaimana Air Wadi boleh keluar - Kadangkala Air Wadi boleh terhasil akibat letih atau mengangkat sesuatu yang berat selain drpd bekerja di siang hari ( mungkin ketika di waktu yg terik) 

2. Air Mazi : 

Maksud Air Mazi - Air Mazi ialah cecair jernih yang keluar disebabkan rangsangan ketika mukaddimah syahwat. Ia adalah sejenis najis .

Hukum jika keluar Air Mazi - Tidak perlu mandi wajib.Tetapi jika ingin solat hendaklah menyucikan diri dan mengalas sesuatu kepada pakaian dalam jika berada di luar untuk beribadat.

Bagaimana Air Mazi boleh keluar -Selain daripada pandangan yang memberangsangkan banyak lagi sebab kenapa Air Mazi boleh keluar. Antaranya ialah ketika membuang air besar atau kecil.Air Mazi terhasil apabila otot lantai pelvis tercengkam apabila meneran.Kadangkala cecair daripada pundi prostat juga akan terkeluar ketika membuang air besar. Ia berlaku apabila najis yang turun melalui usus menekan pundi prostat dan cecair akan terkeluar menerusi saluran kencing.Warnanya jernih atau kelabu kekuningan.Semua perubahan ini adalah semula jadi dan bukannya penyakit..Seterusnya Aair Mazi juga boleh terhasil semasa seseorang itu bermimpi yang menyebabkannya apabila terjaga dia terasa sesuatu cecair telah keluar, ini juga adalah sejenis Air Mazi.

Pandangan Air Mazi menurut Mazhab - Semua ulama bersetuju yang Air Mazi ialah sejenis najis. Hasilnya, majoriti pandangan ulama yang menyatakan menelan dan menghisap termasuk cecair mazi ini haram atau makruh berat. para ulama juga menegeaskan bahawa perlu membasuh dengan segera jika terkena Air Mazi tadi.Air Mazi dianggap najis lain yang kotor dalam Islam.

Di wajibkan untuk Mandi Wajib adalah semata-mata kerana keluar Air Mani saja, jika keluar Air Wadi dan Air Mazi tidak perlu Mandi Wajib hanya dibasuh tempat keluarnya Air Wadi dan Air Mazi. Air Mazi adalah air (cairan) yang keluar kerana rangsangan seksual. Sedangkan Air Wadi iaitu cairan yang keluar ketika kencing (buang air kecil). Ketetapan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali karramallahu wajhahu, bahawasanya ia berkata:

“Aku adalah seorang yang mudah keluar air mazi, sehingga di musim sejuk pun aku tetap mandi besar sampai punggungku sakit kerananya. Kemudian aku mengadukan hal itu kepada Nabi SAW. lalu baginda bersabda : "Jangan kau lakukan! Bilamana engkau mendapatkan Air Mazi, maka cucilah zakarmu dan berwuduklah untuk solat” 

3. Air Mani : 

Air mani pula adalah sejenis cecair pekat, yang biasanya keluar dengan rasa kenikmatan (ketika bersetubuh dengan isteri atau keluar kerana bermimpi). Berbeza dengan Air Mazi yang keluar tanpa sedar, hasil peningkatan syahwat. Air Mazi adalah najis dan perlu dibasuh sedangkan air mani pula jika keluar, seseorang itu perlu mandi hadas ( MANDI WAJIB) untuk kembali menyucikan diri bagi melaksanakan ibadah khusus seperti solat dan membaca al-Quran.

573. Soalan : Adakah kenduri tahlil dan sedekah bacaan al-Quran sampai kepada simat? Mohon pencerahannya.

Jawapan : 

Golongan yang anti kenduri arwah dan beranggapan bahawa bacaan al-Quran tak sampai kepada simati mereka akan menggunakan hujah imam Syafie (seperti di atas) . Sedangkan ulama khilaf di dalam menentukan bacaan al-Quran sampai atau pun tidak kepada simati . Imam abu Hanifah dan Imam Ahmad Ibnu Hambal mengatakan doa dan bacaan al-Quan orang lain kepada si mati sampai dengan niat bersedekah untuk si mati dengan dalil-dalil yang dikemukakan. Sebaik-baiknya perkara seperti ini tak perlu diperdebatkan, anda boleh memilih mana-mana pendapat yang telah dikemulakan oleh para ulama tanpa membidaahkan amalan umat Islam yang lain.

Sebelum menjawab persoalan ini, adalah terlebih baik kiranya pembaca dapat memahami bahawa amal ibadat seseorang terbahagi kepada 3 jenis :-

1) Amal Ibadah ‘Badaniah' semata-mata : Iaitu ibadat yang dilakukan oleh tubuh semata-mata seperti solat, puasa, membaca al-quran dan lain-lain.

2) Amal ibadah ‘Maliah' : Iaitu amal ibadat berbentuk harta semata-mata, seperti zakat, sedeqah.

3) Amal ibadah yang mengandungi unsur ‘badaniah' (dilakukan oleh tubuh) dan ‘maliah' ( berbentuk harta) serentak ; ianya seperti Haji.

Maka bagi menjawab persoalan di atas, secara umumnya seperti berikut :- 

a-  Para ulama ahli sunnah wal jama'ah telah bersepakat bahawa sesetengah amalan  boleh di hadiahkan pahalanya kepada orang lain. Ia adalah amalan berikut ( Rujuk : Hasyiah Ibn ‘Abidin , 1/605 ; Nihayatul Muhtaj , 6/92 ; Mughni al-Muhtaj , 3/96 ; al-Mughni, 2/567 ) :-

1-        Sedeqah harta dan yang sepertinya.

2-        Doa & istighfar.

3-        Apa-apa jenis Ibadat yang boleh diwakilkan. (seperti haji)

Antara dalil utama mereka adalah :-

a) Erti firman Allah : "Dan mereka yang datang selepas kumpulan itu , berdoa Ya tuhan kami ampunkanlah dosa kami dan saudara-saudara kami yang sebelum kami telah beriman" ( Al-Hasyr : 10 )

b) Firman Allah ertinya : "Dan pintalah ampun bagi dosa kamu dan dosa orang mukmin" ( Muhammad : 19 )

c) Bertanya seorang sahabat kepada Nabi SAW: ertinya " Ya Rasulullah SAW , sesungguhnya ibuku telah meninggal, adakah jika aku bersedeqah untuknya, maka pahala sedeqah ini dapat memberi manfaat kepadanya? , Nabi SAW menjawab : " Ya" ( Riwayat Abu Daud & Tirmidzi ; Imam Tridmidzi mengatakannya Hasan ; juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dengan sedikit berbeza lafaz tetapi ertinya sama)

d) Seorang lelaki bertemu Nabi SAW lalu bertanya " Ibu telah meninggal, dan ada meninggalkan harta tetapi ia tidak membuat sebarang wasiat terhadap hartanya, adakah jika aku menyedeqahkan hartanya maka dosanya boleh terhapus ? Nabi menjwab : ya" ( riwayat Muslim , Nasaie , tirmidzi dan lain-lain)

Hasil kefahaman dari dalil-dalil di atas :

* Doa muslim kepada yang lain samada hidup atau mati, adalah boleh membantu saudaranya dalam bentuk syafaat, sebagaimana kata Imam al-‘Iz bin Abd Salam "Doa adalah suatu bentuk syafaat (bantuan) yang diharuskan buat ahli keluarga dekat dan rakan yang jauh" ( Qawa'id al-Ahkam , 1/135 ).

* Amalan sedeqah harta boleh memberi manfaat kepada si mati. Bagaimanapun Imam As-Syawkani ( w 1255 H) dan Syeikh Muhd Rashid Ridha ( w 1354 H) berpendapat amalan sedeqah ini khas untuk anak si mati sahaja. Menurut mereka, sedeqah dari orang asing tidak sampai pahalanya kepada si mati. (Lihat Nayl awtar , 4/99).

Bagaimanapun Imam An-Nawawi (w 676 H) serta jumhur ulama sebelum as-Syawkani telah pun membawa hujjah bahawa sedeqah bukan dari anak juga boleh sampai kepada si mati dengan dalil berikut :-

1)  Ijma' , ia telah ditegaskan oleh Ibn Quddamh ( w 620 H),  An-Nawawi dan Ibn Khathir.

2)  Telah sabit dalam hadtih bahawa Nabi SAW telah mengiakan pelupusan hutang beberapa orang sahabat, walaupun ia di bayar oleh bukan ahli keluarga si mati.

b-   Adapun amalan-amalan lain terutamanya dari kumpulan amalan berbentuk ‘badaniah'  semata-mata dan berbentuk gabungan antara amalan tubuh dan harta, Para ulama terbahagi kepada dua kumpulan besar, ia seperti berikut : -

* Majoriti ulama berijtihad mengatakan ianya tidak boleh dihadiah dan tidak sampai kepada si mati jika dihadiahkan. Ia adalah pandangan Imam As-Syafie dan sebahagian besar ulama mazhab Syafie, ia juga pandangan Imam Malik, Imam Izzudin Bin Abd Salam.

Antara dalil utama kumpulan ulama yang melarang ini adalah seperti berikut :-

1)     ((وأن ليس للإنسان إلا ما سعى ))

Ertinya : "Dan sesungguhnya setiap manusia tidak akan memperolehi kecuali apa yang diusahakan.." ( An-Najm : 39 )

2)     ((ولا تكسب كل نفس إلا عليها , ولا تزر وازرة وزر أخرى ))

Ertinya : "Dan tidaklah seseorang berusaha (beramal) kecuali ia akan memperolehinya , dan tidaklah seseorang kamu menanggung dosa dan beban orang lain" ( Al-An'am : 164 )

3) Hadith Nabi SAW

   إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث : صدقة جارية , أو علم ينتفع به من بعده , أو ولد صالح يدعو له           

Ertinya  : "Apabila mati anak adam, terputus semua amalannya kecuali tiga perkara : Sedeqah jariah, Ilmunya yang dimanfaatkan orang selepas kematiannya, dan anaknya yang soleh yang mendoakannya"

Bagaimanapun, Mazhab Hanafi, Hanbali secara umum dan sekumpulan kecil dari mazhab Maliki, ulama mutaakhirin dari mazhab Syafie dan Imam Al-Qurtubi pula berpendapat : Harus dan pahala seluruh jenis ibadat sampai kepada si mati, iaitu jika ia diniatkan hadiah kepadanya. Ini beerti menurut ijtihad kumpulan ulama ini, semua ibadat seperti solat, puasa, haji, membaca al-quran, sedeqah harta, doa dan lainnya, akan sampai pahalanya kepada si mati. Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa sedeqah tidak semestinya dengan harta (al-Bahr al-Raiq,3/64 cet dar al-Kitab al-Islami; At-Tazkirah fi Ahwal al-Akhirah, 1/101)

Manakala Imam Ahmad Bin Hanbal secara peribadi pula mempunyai pandangan pertengahan antara kedua kumpulan di atas dimana beliau berijtihad HARUS menyedeqahkan pahala membaca al-Quran  kepada si mati.

Imam Ahmad mengatakan :

" وأي قربة فعلها وجعل ثوابها للميت المسلم نفعه ذلك إن شاء الله , والمسلمون في كل عصر ومصر يجتمعون ويقرأون القرآن ويهدون ثوابه إلى موتاهم من غير نكير "

Ertinya : Dan apa jua amalan taqarrub yang telah dibuat dan dijadikan pahalanya kepada si mati yang Muslim, maka ia telah memanfaatkan si mati inshaAllah, dan orang Islam di setiap zaman dan tempat berkumpul dan membaca al-Quran serta menghadiahkan pahalanya kepada si mati mereka tanpa sebarang bantahan" (Al-Mughni, 2/566)

Ijtihad beliau disokong oleh sebahagian daripada ulama mazhab Syafie seperti Imam Ibn Solah, Al-Muhib at-Tabari lain-lain. Imam Ibn Quddamah Al-Hanbali ( w 620 H) berkata : " sejak turun temurun di setiap zaman muslim berkumpul dan membaca al-Quran serta mendoakan pahalanya kepada muslimin yang telah meninggal, Nabi SAW pernah bersabda bahawa si mati di azab dengan sebab ratapan dan raungan si hidup, maka tiada sebab mengapa Allah menghalang pahala kebaikan sedangkan azab boleh samapi kepada si mati.." (Rujuk al-Mughni, 2/226 cet Dar Ihya at-Turath al-Arabi)

Secara ringkas antara dalil-dalil kumpulan ulama yang membolehkan ini adalah hadith-hadith yang  menyebut tentang keharusannya dalam jenis ibadah Puasa, Haji, Doa, Istighfar dan lain-lain, yang mana menurut ijtihad mereka ia termasuk secara langsung atau tidak dalam bentuk ibadah ‘badaniah' semata-mata dan juga gabungan badaniah (tubuh) dan harta. Berdasarkan dalil ini mereka men ‘qias'kan kepada semua jenis ibadah.

Demikianlah, beberapa pandangan para ulama muktabar ahli sunnah wal jama'ah dalam tajuk ini, kesemua mereka sebagaimana yang dapat dibaca, berijtihad dalam memahami dalil-dalil ..maka dalam hal ini, justeru kiranya ada individu yang melakukannya, tidak harus kita menolaknya secara putus (qat'ie) kerana mereka juga mempunyai dalil walaupun dalil mereka di anggap lemah oleh yang menolak ( kecualilah jika terdapat unsur-unsur bid'ah terhasil dari perkara-perkara luar). Apa yang penting adalah menghormati hasil ijtihad para ulama yang berkelayakan.

Sebagai penutup, suka saya memetik kata Ibn Taymiah : "Sah dari Nabi SAW bahawa baginda mengarahkan bersedeqah kepada si mati, juga berpuasa untuknya , maka sedeqah untuk si mati adalah termasuk dari kalangan amalan soleh.." (Fatawa al-Kubra , 3/38 cet dar al-kutub al-ilmiah)


Kesimpulannya : Umat Islam perlu berlapang dada apabila berhadapan dengan masaalah perbezaan pendapat dikalangan ulama terdahulu yang menyatakan segala doa, sedeqah bacaan al-Quran, puasa, upah haji, sedeqah harta untuk mereka yg mati akan sampai oleh anak simati atau orang lain. Jangan terlalu cepat menuduh bidáh segala amalan tersebut tanpa merujuk dengan pendapat ulama muktabar dahulu. Wallahu'alam.

574. Soalan : apa hukumnya jika seorang lelaki dan perempuan bersalamam contoh seorang budak lelaki bersalaman dengan nenek jirangnya umur dan 62 tahun ,,boleh ketidak ?

Jawapan : 

Hukum bersalaman di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram adalah haram. Dalam hadis Aisyah r.a. diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim,

قَالَتْ عَائِشَةُ فَمَنْ أَقَرَّ بِهَذَا مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ فَقَدْ أَقَرَّ بِالْمِحْنَةِ وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِذَا أَقْرَرْنَ بِذَلِكَ مِنْ قَوْلِهِنَّ قَالَ لَهُنَّ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « انْطَلِقْنَ فَقَدْ بَايَعْتُكُنَّ ». وَلاَ وَاللَّهِ مَا مَسَّتْ يَدُ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَدَ امْرَأَةٍ قَطُّ. غَيْرَ أَنَّهُ يُبَايِعُهُنَّ بِالْكَلاَمِ – قَالَتْ عَائِشَةُ – وَاللَّهِ مَا أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَلَى النِّسَاءِ قَطُّ إِلاَّ بِمَا أَمَرَهُ اللَّهُ تَعَالَى وَمَا مَسَّتْ كَفُّ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- كَفَّ امْرَأَةٍ قَطُّ وَكَانَ يَقُولُ لَهُنَّ إِذَا أَخَذَ عَلَيْهِنَّ « قَدْ بَايَعْتُكُنَّ ». كَلاَمًا.

“Aisyah berkata, “Siapa saja wanita mukminah yang mengikrarkan hal ini, maka ia telah diuji.” Rasulullah SAW sendiri berkata ketika para wanita mukminah mengikrarkan yang demikian, “Kalian boleh pergi kerana aku sudah membai’at kalian”. Namun demi Allah, beliau sama sekali tidak pernah menyentuh tangan seorang wanita pun. Beliau hanya membaiat para wanita dengan ucapan beliau. ‘Aisyah berkata, “Rasulullah SAW tidaklah pernah menyentuh wanita sama sekali sebagaimana yang Allah perintahkan. Tangan beliau tidaklah pernah menyentuh tangan mereka. Ketika baiat, beliau hanya membaiat dengan berkata, “Aku telah membaiat kalian dengan perkataan.”

Bahkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik bin Anas r.a. dengan sanad yang sahih, sabda Nabi SAW,

إِنِّي لاَ أُصَافِحُ النِّسَاءَ، إِنَّمَا قَوْلِي لـِمِائَةِ امْرَأَةٍ كَقَوْلِي لِامْرَأَةٍ وَاحِدَةٍ

“Sesungguhnya aku tidak sama sekali berjabat tangan dengan kaum wanita. Hanyalah ucapanku kepada seratus wanita seperti ucapanku kepada seorang wanita.” (Hadis Riwayat Mali, An-Nasa-i dalam ‘Isyratun Nisa` dari As-Sunan Al-Kubra, At-Tirmidzi, dll. Lihat Ash-Shahihah no. 529)

Begitu juga kata Nabi SAW,

لأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ رَجُلٍ بِمِخْيَطٍ مِنْ حَدِيدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأَةً لا تَحِلُّ لَهُ

“Di tusuknya kepala seseorang dengan pasak dari besi, sungguh lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang bukan mahramnya.” (riwayat Thabrani dalam Mu’jam Al Kabir 20: 211. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadis ini shahih)

Pada hari ini ramai di kalangan umat Islam mengambil mudah hal ini. Itu tiga hadis yang saya bawakan dan banyak lagi hadis-hadis yang lain dan saya tidak bermaksud untuk menceritakan kesemuanya.

Salam di antara lekaki dan wanita jelas ada larangannya daripada Nabi SAW. Jika tak ada keperluan tak perlu suka-suka salaman dengan bukan mahram. Seorang wanita tak boleh bersalaman dengan sepupu lelaki, adik dan abang ipar, suami kepada emak saudara atau suami kepada emak saudara suaminya. Jika kanak-kanak lelaki yang belum baligh datang kerumah berhari raya ulama menjelaskan boleh bersalaman dengan mereka.tetapi dengan berlapik kain tudung.

Hukum asal tetap haram sebab jelas di dalam hadis sahih Nabi SAW tidak pernah bersalaman dengan wanita yang bukan mahramnya. Jika keadaan berlaku ada ahli keluarga lelaki menghulurkan tangan maka wanita salam juga dengan berlapik kain tudung. Walaupun ada pandangan ulama yang mengharuskan untuk bersalaman dengan ahli keluarga yang berumur tetapi saya berpegang pada hukum asal iaitu tak boleh bersalaman. Cuma wanita boleh bersalaman dengan berlapik kain tudung di dalam keadaan tertentu mereka yang menghulurkan tangannya dahulu dan umurnya pula sudah peringkat usia emas.

575. Soalan : Adakah sah rujuk apabila suami bersetubuh dengan isterinya tanpa diucapkan untuk merujuk? Minta ustaz berikan pencerahannya.

Jawapan : 

Menurut mazhab Syafiie; rujuk mesti dengan ucapan rujuk dari suami. Tidak sah niat rujuk tanpa ucapan rujuk. Begitu juga tidak sah rujuk dengan perbuatan (iaitu mensetubuhi isteri atau sebagainya). Jadi menurut mazhab Syafiie; berjimak ketika dalam 'iddah tidak dikira sebagai rujuk dan perbuatan tersebut adalah dosa besar kerana melakukan jimak setelah penceraian dan belum merujuk [Akad nikah mengharuskan istimta’ (berseronok dengan isteri), sedang penceraian (talak) pula membatalkannya, kerana itu diharamkan beristimta’ dengan isteri yang diceraikan semasa dalam iddahnya sebelum ia dirujuk (at-Talaq, Dr. Ibrahim al-Hifnawi, hlm. 75 ] . 

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami; “Antara dosa besar ialah mensetubuhi isteri yang ditalak raj’ie sebelum merujuknya bagi orang yang meyakini keharamannya” (az-Zawajir, dosa besar ke 284). 

Turut diharamkan ialah melihat auratnya, menyentuhnya dan berdua-duaan dengannya. Oleh itu, suami hendaklah keluar dari rumah apabila ia menceraikan isterinya kecualilah jika rumahnya besar dan ada mahram isterinya yang tinggal serumah di mana mahram itu disegani oleh suami, maka haruslah suami tetap tinggal di dalam rumah yang sama.

Kecualilah jika seseorang itu bertaqlid dengan mazhab Hanafi, di mana menurut mazhab Hanafi; rujuk boleh dengan ucapan dan boleh juga dengan perbuatan (iaitu mensetubuhi, mencium, menyentuh, melihat dan sebagainya). 

Apabila seorang suami mensetubuhi isteri yang dicerainya dengan talak raj’ie –dan masih dalam iddahnya-, perbuatannya itu dikira rujuk sama ada ia ada berniat rujuk atau tidak. Begitu juga dengan mencium, menyentuh dan melihat farajnya dengan syahwat (yakni dikira sebagai rujuk).[Namun melakukan perbuatan-perbuatan tersebut tanpa niat rujuk hukumnya adalah makruh tanzih (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 29/355).]

Oleh itu, menurut mazhab Hanafi; ketika dalam iddah suami masih boleh beristimta’ (berseronok) dengan isteri yang dicerainya –cerai talak raj’ie- atau berduaan dengannya (tinggal serumah) atau menyentuhnya atau melihat auratnya, kerana selagi belum tamat iddah ia masih dalam hukum isteri di mana suami berkuasa merujuknya pada bila-bila masa tanpa perlu persetujuannya. Dengan berlaku perbuatan-perbuatan tersebut (dengan disertai syahwat) terhasillah rujuk secara otomatik.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/355, kalimah; ‘iddah’.
2. at-Talaq, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hifnawi, hlm. 75 dan 80.
3. az-Zawajir ‘An Iqtiraf al-Kabair, al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami, 2/52.
4. Hasyiyah al-Bajuri, 2/155.





No comments:

Post a Comment