Monday, April 28, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 102 ( Cara Menjawab Salam Bukan Islam, Membeli Barang Tiruan, Hukum Wanaita Memakai Bulu Mata Palsu dan Pendakap Gigi, Bukan Islam Masuk Masjid dan Pergi Melihat Pertandingan Bola Piala Dunia.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 102 adalah menjelaskan persoalan cara menjawab salam bukan Islam, membeli barang tiruan, hukum wanaita memakai bulu mata palsu dan pendakap gigi, bukan Islam masuk masjid dan pergi melihat pertandingan bola piala dunia.

566. Soalan. Ustaz apabila orang bukan Islam mengucapkan salam bagaimana kah cara kita hendak menjawabnya?

Jawapan : 


Terdapat hadis-hadis yang menunjukkan larangan memberi dan menjawab salam kepada orang bukan Islam seperti berikut: -

Pertama: Dari Abu Hurairah (radiallahua’anh) Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) bersabda yang maksudnya; “Janganlah memulakan ucapan salam kepada Yahudi dan Nasrani dan jika kamu bertemu dengan mereka di perjalanan, tolaklah mereka ke arah sudut yang sempit”. (Hadis Muslim)

Kedua: Dari Qatadah, dari Anas bin Malik (radiallahua’anh) bahawa sahabat Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) telah bertanya kepada baginda: “Bahawa ahli kitab (Yahudi dan Kristian) memberi salam kepada kami, maka bagaimana kami membalasnya? Baginda menjawab: Jawablah dengan ucapan wa’alaikum”. (Hadis Muslim, Abu Daud, an-Nasai dan Ibn Majah)

Hadis di atas jelas menyatakan bahawa orang Islam tidak boleh memulakan salam kepada Yahudi, Kristian dan orang-orang Musyrikin. Ucapan salam menumbuhkan perasaan kasih sayang, tetapi berkasih sayang di antara orang kafir adalah dilarang sama sekali. Al-Qur’an menyebutkan bahawa, “Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya...” (al-Mujaadilah, ayat 22). Sebagai gantinya, ucapan yang menjadi kebiasaan boleh digunakan.


Para ulama’ bersetuju bahawa cara yang dibolehkan menjawab salam orang bukan Islam hanyalah sekadar menyebut ucapan “wa’alika” atau “wa’alaikum” dan ia hendaklah dikhususkan kepada kafir zimmi sahaja. (Tafsir al-Mazhari, 2/175)

Sheikh Muhammad bin Shalih Al-Uthaimin menjawab: Mendahului ucapan salam kepada orang bukan Islam adalah haram hukumnya. 

Tetapi apabila mereka mengucapkan salam kepada kita, maka kita wajib menjawabnya, berdasarkan kepada umumnya firman Allah yang bermaksud: "Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nisa' ayat 86).

Soalnya, salam yang diucapkan oleh orang bukan Islam adalah lafaznya bermaksud baik, bukan cercaan dan bukan pula doa kehancuran seperti yang ucapkan oleh segelintir yahudi terhadap Rasulullah SAW.

Orang Yahudi mengucapkan salam kepada nabi SAW dengan ucapan: As-Samu 'alaika ya Muhammad! As-samu maksudnya kematian. Bererti mereka mendoakan mati kepada baginda. Lalu baginda menjawab: wa alaikum yang maksudnya, "dan ke atas kamu jugalah kematian". 

Apabila bukan Muslim mengucapkan salam: Assalamualaikum, maka kita harus membalasnya dengan ucapan: Wa'alaikum. Perkataan beliau: Wa'alaikum, merupakan dalil bahwa apabila mereka mengucapkan: Assalamualaikum, yang bererti pada diri mereka ada keselamatan, maka kita juga membalas dengan ucapan yang sama. 

Kesimpulan jawapan ini dapat saya katakan: "Orang muslim tidak boleh memulai ucapan salam kepada bukan Muslim. Sebab Nabi SAW melarang hal itu, di samping hal itu merendahkan martabat orang muslim bila harus mengagungkan orang bukan Islam".

Orang muslim lebih tinggi kedudukannya di sisi Allah. Maka tidak selayaknya dia merendahkan diri dalam hal ini. Tetapi apabila mereka yang lebih dahulu mengucapkan salam kepada kita, maka kita boleh membalasnya seperti salam yang mereka ucapkan.

Namun di sini saya mempunyai cadangan salam diharus diucapkan kepada kawan-kawan kita yang bukan beragama Islam. Ucapan salamnya adalah: Assalamulaikum man ittaba' al-Huda' yang bermaksud: salam sejahtera ke atas mereka yang menurut (mengikut) petunjuk (Islam). 

Maksudnya salam sejahtera yang diucapkan itu tertangguh sehingga dia mendapat hidayah dalam masa yang sama kita memohon hidayah daripada Allah SWT. 

Salam inilah yang menjadi pembuka bicara dalam surat-surat yang dihantar oleh Rasulullah SAW kepada pembesar-pembesar negara dalam misi menyebarkan empayar Islam. Cuma di negara kita dan mana-mana negara Islam yang lain juga tidak digunakan ucapan ini. Wallahu a'lam

567. Soalan : Apakah hukumnya jika kita membeli dan mengguna pakai barangan berjenama tiruan. Seperti baju kasut beg dan lain-lain seperti yang kita tahu barangan ini tidak mendapat kebenaran dan kelulusan dari tuan atau pengeluar yg berhak.adakah ini seperti membeli barangan yg dicuri...?

Jawapan :

Dalam urusan perniagaan kita boleh membeli apa saja barang yang dijualkan kepada kita selagi barang tersebut bersih, suci, halal dan tidak timbul perkara syubhat. Barang tersebut telah diletakkan harga dan kita bersetuju dengan harga tersebut. Barangan tiruan adalah barang yang telah diciplak, ditiru dan di copy tanpa izin pencipta dengan jenama yang sama dan pengguna tidak dapat membezakan yang mana original dan yang mana tiruan. Sekarang ini barangan tiruan banyak di pasaraya, pasar malam, kedai borong dan sebagainya. Islam melarang kita membeli barangan yang jelas menipu jenama tertentu untuk mengaut keuntungan yang besar.

Barangan tiruan ialah barang yang dicuri reka dari pencipta yang sebenar tanpa izin dan hal ini sama dengan masalah mencuri. Islam melarang umatnya mencuri, kerana mencuri itu adalah haram. Hadis Nabi yang bermaksud :

“Janganlah seorang dari kamu menjual atas barang jualan orang lain”

Fatwa dari Persatuan Ulamak Fiqh Sedunia dalam masalah ini ialah haram bagi sesiapa yang meniru barangan orang lain tanpa izin dari penciptanya. Barangan yang dimaksudkan di sini ialah barang yang menjadi hak cipta terpelihara.

Orang yang memprodukkan barangan tiruan seolahnya seperti mereka menipu pengguna dengan jenama yang diberikan. Contohnya baju kemeja yang diklon dari jenama yang terkenal tanpa izin dari penciptanya, kemudian produk tersebut dicopkan dengan jenama yang terkenal. Maka perkara ini merupakan penipuan yang nyata dan Islam sangat melarang umatnya menipu sepertimana Hadis Nabi yang bermaksud :

“Barangsiapa menipu kami, maka bukanlah dari golongan kami”

Masalah curi dan menipu ini sangat jelas dalam Islam dan ia merupakan perkara yang haram dan mungkar. Setiap perkara yang haram itu jelas dan tiada ragu-ragu dan setiap perkara yang halal itu juga jelas dan tiada ragu-ragu. Cari sumber rezeki yang halal dan jauhkan diri dari terlibat dengan perkara yang haram. Kerana rezeki yang haram akan menjadi darah daging kita dan keluarga kita. Rezeki yang haram juga akan membuatkan hati menjadi hitam dan benak untuk melakukan perkara-perkara yang makruf. Hati orang yang makan rezeki yang haram menjadi keras dan susah untuk dibentuk dan ditarbiah.

Carilah rezeki yang halal dengan penat lelah diri sendiri, kerana rezeki yang halal ini walaupun sedikit tetapi ia memperolehi keberkatan dari Allah. Orang yang makan perkara yang halal dan baik, mudah untuk dirinya dan keluarganya untuk mematuhi segala perintah dan larangan Allah. Bersyukurlah kepada Allah dengan rezeki yang diberikan kepada kita semua. Sesungguhnya Allah telah menentukan rezeki kepada setiap manusia. Kuat doa, usaha dan tawakal maka banyaklah rezeki yang diperolehi oleh kita. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang Yang beriman! makanlah dari benda-benda Yang baik (yang halal) Yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.” (Surah Al-Baqarah ayat 172)

Firman-Nya lagi yang bermaksud, “Oleh itu, makanlah (Wahai orang-orang Yang beriman) dari apa Yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda Yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata.” (Surah An-Nahl ayat 114)

568. Soalan : Apakah hukumnya wanita yang memakai bulu mata palsu dan pendakap gigi?

Jawapan : 

Wanita dilarang memakai bulu mata tiruan kerana dikira merubah ciptaan Tuhan.Sabda Nabi SAW :

لعنَ اللهُ الواصلةَ والمُستوصلةَ والواشمةَ والمُستوشمةَ

Maksudnya, “Allah melaknat orang yang menyambung rambutnya, orang yang minta disambung rambutnya, orang yang melakukan tatu dan orang yang minta dilakukan tatu kepadanya”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan lain-lain dari Abdullah bin Umar r.a.)

Sabda baginda juga;

لَعَنَ اللهُ الْوَاشِمَاتِ، وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ، وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللهِ

Maksudnya, “Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu pada badannya, perempuan-perempuan yang minta dicukur alis (bulu keningnya) dan perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik iaitu perempuan-perempuan yang merubah ciptaan Allah”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar r.a.)

Pendakap gigi jika untuk merawat gigi supaya normal (tujuan kesihatan) maka ulama mengatakan diharuskan. Nabi SAW bersabda :

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya,“Allah melaknat wanita yang membuat tattoo dan wanita yang telah memakainya, wanita yang mencabut bulu diwajahnya dan wanita yang telah melakukannya, dan wanita yang meluaskan jarak diantara gigi mereka atau orang lain bagi tujuan kecantikan, menukar apa yang Allah telah ciptakan” – (Shahih Muslim NO. 3966).

Imam Al-Nawawi rh didalam memberi komentar terhadap hadith diatas menjelaskan :-

( المتفلجات للحسن ) فمعناه يفعلن ذلك طلبا للحسن , وفيه إشارة إلى أن الحرام هو المفعول لطلب الحسن , أما لو احتاجت إليه لعلاج أو عيب في السن ونحوه فلا بأس والله أعلم .

“Meluaskan jarak gigi – maknanya sesuatu yang dilakukan keatas gigi bagi menjadi seseorang itu kelihatan cantik, dan ini menunjukkan bahawa ia adalah HARAM, iaitu apabila dilakukan bagi tujuan kecantikan, akan tetapi bagi merawat masalah yang berlaku kepada gigi, maka tidak ada salah melakukan, Dan ALLAH yang lebih tahu sebaiknya.”

Braces atau pendakap gigi ini adalah bertujuan membetulan kedudukan gigi atau merawat gigi, dan ia bukan dari larangan yang dinyatakan didalam hadis diatas yang dikategorikan sebagai mengubah ciptaan Allah.

Menurut Dr Rafa’at Fawzi Abdul Muttalib, Prof Universiti Dar al-Ulum, Braces yang membetulkan kerosakan gigi adalah dibenarkan.

Syeikh Faizal al-Moulawi, Naib Pengerusi Majlis Fatwa Eropah berkata :

تقويم الأسنان لأسباب صحية جائز شرعاً، بل قد يكون مطلوباً أيضاً

“Braces atau pendakap gigi bagi tujuan KESIHATAN adalah dibenarkan menurut syara’, bahkan ia juga diperlukan”

Pendakap gigi jonggang diharuskan untuk merawat tetapi jika nak tambah cantik dengan memakai pendakap gigi itu lebih kepada merubah ciptaan Tuhan sama seperti menjarangkan gigi untuk kecantikan (ianya dilarang)

569. Soalan : Boleh tak orang bukan Islam masuk mesjid dengan niat nak tengok keindahan mesjid kita dengan berpakaian menutup aurat?

Jawapan : 

Fatwa Majlis Kebangsaan : Keputusan: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang. Di dalam kitab I’lam as Sajid bi Ahkam al-Masajid karangan Muhammad Abdullah az-Zarkasyi ada dibahaskan tentang hukum orang musyrik masuk ke masjid selain Masjidil Haram. Menurut kitab tersebut, orang kafir dibolehkan masuk ke dalam masjid dan diam di dalamnya, sekalipun dia di dalam keadaan junub.

Ini berdasarkan hadis Baginda SAW yang menjelaskan bahawa pada zaman Baginda SAW orang-orang kafir masuk ke dalam masjid Baginda yang tidak diragukan lagi bahawa mereka itu dalam keadaan berjunub. (I’lam as Sajid bi Ahkam al-Masajid : 318)

Sebab keharusan ini kerana mereka beriktiqad bahawa tidak haram hukumnya ke atas mereka masuk ke dalam masjid dalam keadaan berhadas besar. Berlainan pula halnya dengan orang Islam, mereka ditegah masuk atau berada di dalam masjid dalam keadaan berhadas besar atau berjunub sebagaimana menurut ketentuan syarak terhadap mereka.

Keharusan orang kafir masuk ke dalam masjid selain Masjidil Haram berdasarkan hadith Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah (yang bermaksud) :

“Rasulullah SAW telah mengutus pasukan berkuda ke Najd. Kemudian mereka datang kembali dengan membawa seorang (tawanan) lelaki daripada Bani Hanifah bernama Tsauban bin Utsal lalu mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid. (Hadis Riwayat Bukhari)

Imam ar-Rafie dan Imam an-Nawawi rahimahumallah berpendapat secara mutlak membolehkan orang kafir memasuki masjid selain Masjidil Haram tetapi dengan mendapat keizinan orang Islam. Sementara itu, orang Islam yang memberi kebenaran kepada mereka untuk masuk itu hendaklah seorang yang baligh dan berakal.

Daripada penjelasan para ulama’ Syafiiyyah di atas, jelas bahawa orang kafir adalah dibolehkan masuk ke dalam masjid selain Masjidil Haram apabila telah memenuhi syarat-syarat yang telah dijelaskan.

Untuk ini, pihak masjid memang perlu membuat peraturan sesuai dengan kehormatan dan kesucian masjid, umpamanya dimestikan memakai pakaian yang sopan atau menutup aurat, tidak meninggikan suara atau membuat bising serta menentukan masa-masa yang sesuai dan lain-lain peraturan yang munasabah.

Harus orang yang bukan muslim masuk ke dalam masjid untuk tujuan yang dibenarkan syara’ atau untuk melakukan perkara-perkara harus yang lain seperti mendengar tazkirah atau untuk meminum air dan seumpamanya. Ini kerana Nabi S.A.W. pernah membiarkan beberapa perwakilan orang yang bukan muslim memasuki masjid baginda dan melihat umat Islam menunaikan solat, mendengar bacaan al-Quran dan khutbah Baginda S.A.W. demikian juga untuk menyeru mereka kepada Allah dengan lebih dekat. Baginda juga penah mengikat seorang kafir di dalam masjid iaitulah Thamamah bin Athal al-Hanafi (ثمامة بن أثال الحنفي), seorang tawanan perang, lalu Allah memberi hidayah kepada beliau dengan beliau memeluk Islam. (Sila lihat Majmu’ Fatawa wa Maqalaat Mutanawwi’ah oleh al-Syeikh al-‘Allamah Abdul Aziz bin Abdillah bin Baz R.H. jld 8, m.s. 356)

570. Soalan : Apa hukum kumpul duit pergi tenguk world cup di luar negara..? Adakah haram..?

Jawapan : 

Jelas bahawa kumpul duit untuk melihat world cup adalah membazir dan dilarang dalam Islam. Kerana wang sebanyak itu lebih baik kita menunaikan haji jika belum pergi haji atau gunakan untuk kemaslahatan keluarga. Pembelajaran anak-anak, membeli buku-buku agama yang bermanfaat, dan sebahagiannya amat digalakkan kita membatu saudara-saudara kita yang dizalimi di Syria, Palestin, Mynmar, Afrika dan di Malaysia sendiri amat memerlukan sumbangan untuk pembinaan maahad tahfiz, sekolah agama, masjid, rumah anak-anak yatim dan sedekah jariah yang lain. Kita semua akan disoal oleh Allah SWT di akhirat apakah sumbangan kita untuk membantu saudara-saudara kita yang dizalimi, kekurangan makanan, dan sebagainya.

Hadis tentang amal jariah yang popular dari Abu Hurairah menerangkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Apabila anak Adam (manusia) meninggal dunia, maka terputuslah semua (pahala) amal perbuatannya kecuali tiga macam perbuatan, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya "(Hadis Riwayat Muslim).

Selain dari ketiga jenis perbuatan di atas, ada lagi beberapa macam perbuatan yang tergolong dalam amal jariah.


Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya, "Sesungguhnya diantara amal kebaikan yang mendatangkan pahala setelah orang yang melakukannya meninggal dunia ialah ilmu yang disebarluaskannya, anak soleh yang ditinggalkannya, mushaf (kitab-kitab keagamaan) yang diwariskannya, masjid yang dibina, rumah yang dibina untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan. sungai yang dialirkannya untuk kepentingan orang ramai, dan harta yang disedekahkannya "(Hadis Riwaya Ibnu Majah).









No comments:

Post a Comment