Sunday, April 6, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 89 (Awal-awal Agama Mengenal Allah, Tanggungjawab Anak Lelaki, Petunjuk Solat Istikharah, Iddah Kematian Suami dan Tafsir Surah Yaasiin ayat 56-59)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 89 adalah menjelaskan persoalan awal-awal agama mengenal Allah, tanggungjawab anak lelaki, petunjuk solat istikharah, iddah kematian suami dan tafsir surah Yaasiin ayat 56-59.

501. Soalan : Awaluddin makrifatullah..(awal-awal agama mengenal Allah) boleh ustaz bagi huraian ringkas maksud ayat itu..terima kasih.

Jawapan : 

Dalam rukun Islam pertama adalah : Mengucap dua kalimat syahadat iaitu aku naik saki bahawa tiada Ilah yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad SAW itu rasul Allah. dan dalam rukun Iman pertama adalah beriman kepada. Allah. Jelaslah disini bahawa "awal-awal agama adalah mengenal Allah." Islam adalah iman , ilmu dan amal . Iman adalah persoalan aqidah atau ketuhanan. Ilmu dan amal pula, ada yang berbentuk lahiriah dan ada yang berbentuk batiniah atau rohaniah.

Bertolak dari aqidah, maka timbullah keperluan untuk beribadah sama ada ibadah lahir mahupun ibadah batin. Setelah Tuhan dikenali, dicintai dan ditakuti, maka akan terdoronglah kita untuk menyembah dan mengagungkan- Nya dan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Akan terdoronglah kita untuk melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Akan terdoronglah kita untuk patuh dan taat kepada-Nya. Akan terdoronglah kita untuk berjuang dan berkorban kerana-Nya.

Ilmu lahiriah ialah ilmu feqah yang bersangkut paut dengan amalan lahir. Ilmu batiniah atau rohaniah pula ialah ilmu tasawuf yang bersangkut paut dengan amalan hati. Amalan sama ada yang lahir atau yang batin mestilah didorong oleh aqidah. Ia mesti didorong oleh rasa
cinta dan takut kepada Allah . Barulah amalan itu akan bermakna dan akan mempunyai erti dan maksud yang betul. Amalan adalah jalan, kaedah atau cara untuk membukti dan merealisasikan rasa cinta dan rasa takut kita kepada Allah.

Bila Allah sudah dikenali, barulah kita betul-betul boleh mempraktikkan atau melaksanakan agama. Barulah Allah itu menjadi matlamat dan tumpuan ibadah dan pengabdian kita. Barulah amalan kita itu ada tempat tujunya. Barulah akan terjalin dan tercetus hubungan antara hamba dengan Tuhannya. Dalam beragama, kenal Allah itu perkara pokok yang mesti didahulukan. Selepas itu baru timbul soal amalan. Ini sesuai dengan kata-kata yang sering diucapkan yang bermaksud : "Awal-awal agama mengenal Allah". Wallahu a'lam.

502. Soalan : Ustaz.saya ingin bertanya..menjaga orang tua adalah tanggungjawab anak lelaki..dan saya ada beberapa orang..adik.lelaki dan perempuan..sekarang ibu saya tinggal bersama dengan saya..masih sekarang ibu saya selalu masuk campur dalam keluarga kami.membuatkan suami saya tidak senang.adik baradik saya pun mangabaikan tanggungjawab terhadap orang tua saya.suami saya memberitahu saya supaya adik beradik saya bergilir-gilir untuk menjaga orang tua saya.disini saya nak bertanya..adakah saya bersalah bila bersuarakan pendapat suami saya??kedua bersalah tak saya bila tidak mendengar pendapat suami saya?

Jawapan : 

Tanggungjawab menjaga ibu dan menguruskan perbelanjaan dan keperluan hidupnya adalah anak-anak lelaki kerana perhubungan anak lelaki dengan ibu bapa tidak terputus walaupun mereka sudah mendirikan rumah tangga. Anak perempuan apabila sudah berkahwin maka dia dibawah tanggungjawab suaminya. Isteri boleh membantu ibu bapanya dengan syarat mendapat keizinan suaminya. 

Ibu puan yang tinggal bersama dengan keluarga puan tidak seharusnya masuk campur urusan keluarga anaknya, sebagai orang tua dia boleh menjadi penasihat dan memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang terjadi di dalam keluarga puan. Suami puan perlu berfikiran terbuka jika ada teguran daripaad ibu mertuanya. Biasanya orang tua banyak pengalaman dan mungkin dia cuba nak memperbaiki kekurangan yang ada di dalam keluarga puan. Puan sebagai anak , perlulah menasihati anak-anak ibu yang lain (adik-adik puan) yang lelaki supaya mengambil tanggungjawab membela ibu secara bergilir-gilir dan tidak boleh membebankan anak perempuan seorang sahaja. 

Puan kena mendengar pandangan suami puan dan tak boleh hanya menyebelahi ibu saja atau menyebelahi adik beradik puan dan menolak pendapat suami. Jika pandangan suami mungkin ada yang tak kena puan perlu menolaknya secara hikmah dan jangan bersikap emosional. 

Biasanya ketegangan rumah tangga berlaku apabila isteri tetap bertegas dengan pendapatnya sendiri dan tak mahu merai / mendengar pendapat suami. Bertolak ansurlah dan jaga jangan sampai silaturahim di antara keluarga boleh terputus.kerana sesiapa yang suka memutuskan silaturahim dia tak akan masuk syurga.

503. Soalan : Ustaz. adakah lepas solat istikarah, kita akan nampak petunjuk dalam mimpi? Bukankah mimpi itu mainan tidur. Selain dari mimpi, adakah petunjuk lain? Minta pencerahan dari ustaz. Terima kasih..

Jawapan : 

Bukan semua mimpi mainan tidur kerana mimpi itu ada 3 keadaan. Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya ; "Mimpi itu ada tiga, mimpi daripada Allah (mimpi yang baik), mimpi daripada syaitan (mimpi buruk) dan mimpi daripada dirinya yang kerana terjadi sesuatu kemudian dia bermimpi."

Menurut ahli-ahli takbir, mimpi ada tiga macam:

1. Mimpi daripada Allah S.W.T. iaitu mimpi yang baik untuk dunia dan akhirat, merupakan khabar gembira atau satu peringatan daripada Allah S.W.T. supaya tidak melakukan maksiat kepada-Nya. Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Mimpi yang benar itu ialah sebahagian daripada empat puluh enam sifat kenabian." (Hadis Riwayat Muslim)

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Mimpi baik itu daripada Allah dan mimpi buruk itu daripada syaitan, maka ketika salah seorang daripada kamu mimpi buruk, meludahlah ke arah kiri tiga kali, kemudian minta perlindungan kepada Allah, maka mimpinya tidak akan mengkhuatirkan." (Hadis Riwayat Muslim)

2. Mimpi yang batil atau permainan syaitan, iaitu mimpi yang tidak dapat diperincikan oleh orang yang bermimpi. Ertinya orang yang bermimpi itu tidak sanggup mengingat tertib atau jalan cerita mimpi itu. Mimpi seperti ini dianggap batil dan tidak mempunyai sebarang makna atau takwil. Atau mimpi buruk yang tidak menyenangkan seperti kedatangan mala petaka, musibah, permusuhan, kesedihan, kesengsaraan, kemelaratan, penderitaan dan sebagainya.

Dalam riwayat yang lain Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Apabila seseorang darimu melihat mimpi yang menggembirakannya maka hendaklah ia mengucapkan 'alhamdulillah' dan ceritakannya kepada orang yang lain, dan sebaliknya apabila ia melihat mimpi yang menduka citakannya, maka mimpi itu adalah dari syaitan, kerana itu hendaklah ia mengucapkan isti’azah (a’uuzubillahi minasysyaitoonir roojiim) dan jangan ceritakannya kepada orang lain kerana mimpi itu tidak mendatangkan mudarat kepada nya.”(Hadis Riwayat Bukhari dari Abi Sa’id).

3. Keinginan nafsu. Seperti kita ketahui nafsu ada tiga, iaitu nafsu mutmainnah, nafsu lawwamah dan nafsu ammarah. Mimpi seperti ini terjadi kerana pengaruh fikiran seseorang. Sesuatu yang dia lakukan atau dia khayalkan siang hari atau menjelang tidurnya selalu menjelma ketika tidurnya. Atau mimpi makan ketika diri sedang lapar, mimpi di aniayai orang ketika sedang sakit dan sebagainya. Mimpi seperti ini tidak mempunyai erti sama sekali.

Alamat atau tanda daripada Allah SWT apabila kita melakukan solat istikaharah bukan saja petunjuk itu datang di dalam mimpi saja tetapi ianya juga datang daripada berbagai cara. Berkemungkinan perasaan dan hati kita lebih condong kepada salah satu yang kita sedang buat pilihan. Mungkin kebaikan salah satu pilihan kita menonjol dan dapat kita melihat kebaikannya, atau keburukkannya juga terserlah hingga kita tak minat pada yang satu. Berkemugkinan juga kedua-duanya tak baik untuk kita diberinya pula pilihan ke tiga dan ianya lebih baik dan sesuai.

Bagaimana Allah SWT menjawab permohonan ini?

Al-Quran menunjukkan bahawa Allah SWT akan memberi ilham kepada peminta itu, sama ada baik atau buruk, seperti dalam Surah al-Syams ayat 7-8, bermaksud: “Demi jiwa manusia dan yang menyempurnakannya. Maka Allah mengilhamkan kepada jiwanya tentang buruk dan baiknya.”

Ilham adalah pemberitahuan Allah kepada manusia biasa. Ia akan datang pada bila-bila masa sahaja. Ada juga hadis yang menyebutkan alamat itu datang melalui mimpi.

Hendaklah mengerjakan solat istikharah 7 kali berturut. Panduan agar solat istikharah dibuat sebanyak 7 kali datang dari sebuah hadis yang maksudnya : “Apabila kamu inginkan sesuatu maka beristikharahlah kepada Tuhanmu sebanyak 7 kali kemudian perhatilah petanda atau perasaan yang datang terlebih dahulu(dominan) di dalam hatimu” 
(Hadis Riwayat Ibn Sunni dari Anas, Al-Hafidz Al-‘Iraqi, An-Nawawi)

Terdapat juga ulama yang mencadangkan si pembuat istikharah agar jangan mempunyai kecenderungan tertentu kepada salah satu antara dua (atau lebih pilihannya) sebelum membuat istikharah. Demikian pandangan Ibn Hajar Al-‘Asqolani.

Galakkan menuruti tanda istikharah juga datang dari riwayat hadis Nabi SAW .maksudnya : “ Salah satu sumber kebahagian anak Adam adalah beristikharah kepada Allah dan redha dengan apa yang ditentukan kepadanya, dan daripada keburukkan anak Adam adalah meninggalkan istikharah kepada Allah dan membenci apa yang telah ditentukan kepadanya” (Hadis Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi) 

Oleh itu jadikanlah solat dua rekaat itu sebagai amalan yang berterusan di dalam apa saja urusan. Kerana Nabi SAW dan sahabat-sahabat apabila menghadapi apa juga masaalah kehidupan atau sesuatu kebuntuan untuk menyelesaikan sesuatu perkara mereka akan solat dua rekaat. Salah satu solat sunat yang tidak ditinggalkan sahabat-sahabat Rasulullah SAW adalah solat istikharah. Wallahu a'lam.

504. Soalan : Ustaz,saya nak tanya.mak saya baru kematian abah saya pada 14.3.2014 yang lalu,buat masa ni ada orang menemannya dirumah.permasaalahannya pada minggu hadapan orang yang menemannya dirumah sudah tiada kerana adik saya akan balik ke Penang,soalannya bolehkah mak saya datang tidur dirumah saya dan pulang pada waktu pagi kerana dia tinggal seorang diri sedangkan dia masa dalam waktu iddah kematian suami?Wasalam.

Jawapan : 

Wanita yang kematian suami dia tidak boleh keluar rumah suaminya kecuali perkara darurat sahaja selama masa iddah iatu 4 bulan 10 hari. Terdapat lima larangan yang dikenakan ke atas wanita yang kematian suami:

1. Bertunang (secara berterus-terang)

2. Berkahwin.

3. Berhias pada diri atau pakaian

4. Tidur di rumah selain rumah yang biasa didiami semasa hayat suami

5. Keluar dari rumah tanpa ada tujuan penting yang tertentu (jika keluar rumah kerana bekerja diharuskan)

Larangan tidur di rumah selain rumah yang biasa di diami semasa hayat suami. Larangan ini terpakai untuk wanita yang berada dalam iddah kematian suami dan juga iddah perceraian biasa.

Ertinya, dilarang tidur di rumah yang bukan menjadi kebiasaannya tidur semasa masih dalam ikatan perkahwinan.

Firman Allah SWT, maksudnya: “Jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu maka ceraikanlah mengikut masanya dan hendaklah isteri-isteri kamu mengikut iddah dan takutilah Allah tuhan kamu. Janganlah kamu keluarkan isteri-isteri kamu dari rumah-rumah mereka dan janganlah pula mereka keluar darinya kecuali jika datang kebinasaan yang jelas.” (Surah al-Talaq: ayat 1)

Dalil ini terpakai ke atas semua wanita yang berada dalam iddah bahawa mereka dilarang meninggalkan rumah yang menjadi tempat tinggal mereka selama ini. Malah suami yang menceraikan juga dilarang menghalau keluar isteri yang diceraikan. Kelonggaran untuk tinggalkan rumah hanya dibenarkan jika ‘datang kebinasaan yang jelas’ seperti banjir, rumah hampir roboh dan sebarang ancaman yang lain.

Hujah ini disokong pula oleh hadis sahih bahawa pada satu ketika seorang sahabat wanita bernama Furai’ah telah kematian suami dan memohon kebenaran Rasulullah SAW. untuk pulang ke rumah keluarganya. Namun Rasulullah SAW. memerintahkannya untuk terus tinggal di rumah yang selama ini didiami sehingga habis iddah iaitu 4 bulan 10 hari. Sabda baginda SAW. maksudnya: “Tinggallah tetap di rumah kamu sehingga habis tempoh tangguh (iddah)”.
Beri tahulah kepada emak puan bahawa beliau dilarang tidur di rumah anaknya semasa dalam iddah , larangan ini jelas di dalam al-Quran dan hadis.

505. Soalan : Bolehkah ustaz huraikan tafsiran Surah Yaasiin ayat 56 hingga ayat 59?.

Jawapan :  

Firman Allah SWT maksudnya : "Mereka dan isteri-isteri mereka berada dalam tempat yang teduh, bertelekan di atas dipan-dipan".(Surah Yaa siin( 36) ayat 56)

هُمْ وَأَزْوَاجُهُمْ فِي ظِلَالٍ عَلَى الْأَرَائِكِ مُتَّكِئُونَ (56)
 

Huraiannya : 

Di dalam syurga orang-orang yang beriman dan isteri-isteri mereka berada dalam taman-taman dengan pohon yang rindang, duduk di atas sofa dan tempat-tempat tidur, berbincang-bincang sambil menikmati berbagai macam rezeki yang mereka peroleh dari Tuhan mereka.

Dari perkataan "mereka dan isteri-isteri mereka" difahami bahawa orang-orang yang beriman dalam syurga memperoleh nikmat yang tiada taranya dan kenikmatan itu diperolehnya dalam berbagai macam bentuk. Ada yang dalam bentuk langsung mereka nikmati, seperti memperoleh tempat yang nyaman dan indah, merasakan makanan-makanan yang lazat dan sebagainya. 


Ada pula dalam bentuk pemenuhan keinginan dan cita-cita mereka sebagai anggota atau ketua keluarga. Selama hidup di dunia mereka mencita-citakan keluarga yang berbahagia, mempunyai isteri yang cantik dan setia. Keinginan-keinginan mereka yang seperti itu dipenuhi Allah dalam syurga nanti.

Bahkan dalam ayat yang lain diterangkan bahawa anak cucu mereka yang beriman ditinggikan Allah derajatnya sebagai derajat bapa-bapa dan ibu-ibu mereka, dan mereka dikumpulkan dengan orang-orang tua mereka di dalam syurga, tanpa membeza-bezakan pemberian nikmat kepada masing-masing anggota keluarga itu. Allah SWT berfirman:

والذين ءامنوا واتبعتهم ذريتهم بإيمان ألحقنا بهم ذريتهم وما ألتناهم من عملهم من شيء كل امرئ بما كسب رهين

Maksudnya, "Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka dan Kami tiada mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya. (Surah. At Tur ayat 21)
 

Dari ayat ini difahami pula agar setiap mukmin selalu berusaha untuk menjadikan suami, isteri, anak-anak mereka dan keluarga mereka, menjadi orang-orang yang beriman yang baik agar cita-cita mereka yang berhubungan dengan keluarga mereka disampaikan Allah di akhirat nanti.

57 "Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta."(Surah Yaa Siin ( 36) ayat 57)

لَهُمْ فِيهَا فَاكِهَةٌ وَلَهُمْ مَا يَدَّعُونَ (57)
 

Huraiannya : 

Orang-orang yang beriman akan memakan bermacam-macam buah-buahan yang lazat di dalam syurga, dan mereka akan memperoleh semua yang mereka inginkan.

58 "(Kepada mereka dikatakan): `Salam`, sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang."(Surah Yaa Siin ( 36) ayat 58)

سَلَامٌ قَوْلًا مِنْ رَبٍّ رَحِيمٍ (58)
 

Huraiannya : 

Yang mereka inginkan itu ialah salam dan Allah yang disampaikan kepada mereka untuk memuliakan mereka.
Salam ini langsung disampaikan Allah atau mungkin dengan perantaraan malaikat, seperti firman Allah SWT:

الذين تتوفاهم الملائكة طيبين يقولون سلام عليكم ادخلوا الجنة بما كنتم تعملون

Maksudnya, "(Yaitu) orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka): "Salamun alaikum", masuklah kamu ke dalam syurga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan. (Surah An Nahl ayat 32)
Salam bererti selamat dan sejahtera, terpelihara dari segala yang tidak disenangi memperoleh semua yang diingini sehingga orang itu memperoleh kenikmatan jasmani dan rohani yang tiada bandingannya.

59 "Dan (dikatakan kepada orang-orang kafir): `Berpisahlah kamu (dari orang-orang mukmin) pada hari ini, hai orang-orang yang berbuat jahat".(Surah Yaa Siin ( 36) ayat 59)

وَامْتَازُوا الْيَوْمَ أَيُّهَا الْمُجْرِمُونَ (59)
 

Huraiannya : 

Dalam ayat ini Allah SWT, memerintahkan kepada orang-orang kafir agar segera berpisah dari orang-orang yang beriman dan masuk ke dalam neraka sebagai tempat yang telah disediakan bagi mereka. Perintah ini disampaikan Allah SWT, sewaktu seluruh manusia telah selesai berhisab di Padang Mahsyar. Orang-orang yang beriman diperintahkan masuk ke dalam syurga dan orang-orang kafir diperintahkan masuk ke dalam neraka.
Ayat lain yang searti dengan ayat ini, ialah firman Allah SWT:

احشروا الذين ظلموا وأزواجهم وما كانوا يعبدون من دون الله فاهدوهم إلى صراط الجحيم

Maksudnya ,"(Kepada malaikat diperintahkan): "Kumpulkanlah orang-orang yang zalim beserta teman sejawat mereka dan sembahan-sembahan yang selalu mereka sembah selain Allah; maka tunjukkanlah kepada mereka jalan ke neraka". (Surah. As Saffat: ayat 22-23)






No comments:

Post a Comment