Tuesday, April 1, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 83 (Jemputan Jamuan Jiran Rasuah, Solat Taubat , Syurga Dibawah Tapak Kaki Ibu, Sebutan "kalau" dan Suami Yang Keras).

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 83 adalah menjelaskan persoalan jemputan jamuan jiran rasuah, solat taubat , syurga dibawah tapak kaki ibu, sebutan "kalau" dan suami yang keras.

471. Soalan : Jika jiran kita terlibat dengan rasuah dan riba (terdapat bukti yang jelas) dan sekiranya beliau menjemput jamuan makan atau kenduri di rumahnya adakah boleh kita hadir?

Jawapan : 


Kita hadir kenduri atas jemputan jiran kita, salah satu hak jiran adalah menghadiri jamuan yang di adakah oleh jiran dan dia menjemput kita hadir. Urusan rasuah atau riba yang dia perolehi maka dosa itu ditanggung oleh jiran tersebut. .Seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas’ud:
“Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan”. Jawab ‘Abdullah bin Mas’ud: “Engkau dapat makan, dosa ditanggung olehnya”. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq, bil: 14675).

Dalam riwayat al-Baihaqi, seseorang bertanya Ibn ‘Umar bahawa beliau ada jiran yang memakan riba atau mempunyai pekerjaan yang haram, kadang-kala dia jemput makan, bolehkah hadir?. Jawab Ibn ‘Umar: “Ya” (al-Sunan al-Kubra, bil: 11138).

Al-Syeikh al-‘Allamah Muhammad Solih ibn al-Uthaimin r.h pernah ditanya mengenai hukum nafkah yang diterima oleh isteri dan anak dari suami yang terlibat dengan bank riba, apakah mereka boleh mengambilnya. 

Beliau menjawab:“Ambillah nafkah itu dari bapa kamu. Kamu mendapat kenikmatan, dia pula mendapat dosa. Ini kerana kamu mengambil nafkah tersebut secara berhak. Harta padanya, dan kamu tiada harta. Kamu mengambilkan dengan cara yang benar. Sekalipun kesalahan, balasan dan dosa ke atas bapa kamu, jangan kamu gusar. Nabi SAW pun menerima hadiah dari yahudi, memakan makanan yahudi, membeli dari yahudi sedangkan yahudi terkenal dengan riba dan harta haram, tetapi Rasulullah SAW memakannya dengan jalan yang halal. Maka, jika seseorang memilikinya dengan jalan yang halal, maka tidak mengapa”

472. Soalan : ustaz...saya nak tanya...kalau kita pernah buat solat taubat nasuha tapi kita tak pasti solat kita sah atau tidak macamana....baleh ustaz bagitahu apa surah yang patut dibaca ketika kita melakukan solat taubat nasuha ?

Jawapan :  

Solat taubat nasuha adalah solat kita mohon ampun dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Taubat nasuha adalah taubat untuk kita membersihkan diri kita daripada dosa-dosa besar, syaratnya perlu meninggalkan dosa tersebut, menyesal di atas perbuatan kita dan berazam tidak akan mengulagi lagi dosa-dosa tersebut. Taubat kita samaada diterima atau tidak terserah kepaad Allah SWT tetapi yakinlah Allah SWT Maha Pengampun dan Maha Pengasihdan Penyayang. Tetapi tanda-tandanya kita menjadi lebih baik dan lebih solehah dan semakin cinta kepada Allah dan cinta untuk menghayati Islam sebagai cara hidup. 

Tidak ada surah khas solat taubat, bacalah mana-mana surah yang kita hafal, yang penting keikhlasan hati kita untuk bertaubat dan membersihkan diri kepaad Allah SWT.Solat sunat taubat sekurang-kurangnya 2 rekaat, jika nak buat 4 rekaat atau 6 rekaat di haruskan tetapi buat 2 rekaat , 2 rekaat dan salam. Niatnya di hati "“Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala"

473. Soalan : Ustaz...ada tak dalil atau hadis menyatakan syurga seorang isteri dibawah telapak kaki suami?Setahu saya syurga seorang anak dibawah telapak kaki ibu?

Jawapan : 

Mu'awiyah bin Jahimah telah datang kepada Rasulullah S.A.W. lantas bertanya: "Aku hendak pergi berjihad, justeru aku datang kepadamu untuk meminta pandanganmu." Rasulullah S.A.W. bertanya, mafhumnya: "Adakah kamu masih memepunyai ibu?" Jawabnya: "Ya." Lalu, Rasulullah S.A.W. bersabda: "Berbaktilah kepada ibumu kerana syurga itu berada di bawah kedua-dua kakinya." (Riwayat al-Nasa'i dan al-Tabarani)

Hadis tersebut mempunyai sanad yang hasan, disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi dan diperakui oleh al-Munziriy.. Tidak terdapat hadis lain yang menyatakan bahawa syurga isteri dibawah tapak kaki suami. Tetapi banyak hadis yang menceritakan isteri wajib mentaati suami dan redha Allah kepada isteri adalah bergantung redha suami ke atas isterinya.Daripada Ummu Salamah R.ha katanya, sabda Rasulullah SAW, “Mana-mana wanita yang meninggal dunia sedang suaminya redha terhadapnya nescaya dia akan masuk ke syurga”. (Hadis Riwayat Tirmidzi -hadis hasan)

Huraian Hadis :

1. Suami yang redha terhadap isterinya yang telah meninggal dunia membolehkan isterinya dimasukkan ke dalam syurga.

2. Isteri-isteri hendaklah melakukan suatu perkara yang diredhai oleh suaminya.

3. Setiap sesuatu yang hendak dilakukan oleh seseorang isteri hendaklah dipersetujui oleh suaminya.

4. Keizinan suami atas suatu perkara yang dilakukan oleh isterinya adalah menunjukkan keredhaan suami.

474. Soalan : ustaz..saya ada satu soalan, betulkah kita tak boleh menyebut "KALAU"?

Jawapan : 

Kita tidak boleh sebut "kalau" jika perkara tersebut telah berlaku, kerana seolah-olah kita tak redha dengan qada dan qadar daripada Allah SWT. Tetapi jika kita sebut "kalau" perkara yang belum berlaku sebagai berhati-hati dibenarkan.

Nabi SAW melarang umatnya berkata "kalau" , "seandainya" dan "sekiranya" keatas kejadian yang telah berlaku, kerana kita seolah-olah tidak reda dan bersetuju di atas apa yang telah di tetapkan-Nya. Perasaan kecewa ini boleh menjejaskan akidah kita terhadap qada dan qadar Allah SWT dan akan terjebak di dalam perangkap syaitan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata: 'Sekiranya (kalau) aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku.' Tetapi katakanlah: 'Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya', sesungguhnya 'kalau' akan membukakan pintu amalan syaitan." (Hadis Riwayat Muslim) 

Orang yang sentiasa bewaspada terhadap nikmat kehidupan di dunia tidak akan mudah terjerumus dalam perangkap syaitan. Segala tindakan yang diambil mencerminkan ketakwaannya kepada Allah dan dia sekali-kali tidak membiarkan kebaikan dan keburukan yang menimpanya sebagai suatu kegembiraan (kemenangan) dan kesedihan semata tetapi percaya bahawa semuanya itu mempunyai hikmah yang tersendiri daripada Allah SWT untuk diambil pengajaran.

Ucapan 'kalau' tidak harus diamalkan kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak reda dengan apa yang telah berlaku. Sebaliknya kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dan ingat bahawa segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan diri kita sendiri. Oleh sebab itu Islam menyuruh umatnya agar bertawakal (berserah) kepada Allah SWT dalam melakukan sesuatu usaha dan percaya bahawa setiap sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa keizinan daripada-Nya jua.
Sifat orang mukmin akan menjadikan peristwa yang telah berlaku dengan fikiran yang cukup positif dan akan bermuhasabah diri sendiri dan semuanya akan dijadikan sebagai panduan, peduman dan kekuatan untuk mencari reda Allah SWT dan beramal soleh lebih baik lagi daripada sebelumnya.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Ketahuilah, jika seluruh manusia berkumpul untuk memberikan manfaat kepadamu, kecuali sesuatu yang telah ditulis Allah untukmu. Jika mereka berkumpul untuk memberikan madarat kepadamu, maka mereka tidak akan boleh memberikan madarat, kecuali yang telah ditulis Allah untukmu. Pena telah diangkat dan lembarannya telah kering” (Hadis Riwayat Tirmizi dari Ibnu Abbas)

475. Soalan : Ustaz saya ada soalan..semoga Ustaz dapat menjelaskan. tetang rumah tangga scara islam. Bagaimana menghadapi suami yang keras. tiap waktu masaalah demi masaalah macam tiada kesabaran. intinya wanita yang selalu serba salah. sesorang wanita ingin didikkan.belajar dari suami..sehingga menjadi wanita solehah InsyaAllah. Namun..pada kekerasan itu membuat hambar tiada keharmonian langsung dlm rumah tangga? 

Jawapan : 

Akhalk Nabi SAW adalah lemah lembut , kasih sayang dan tidak keras dan bengis. Daripada Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah SAW bersabda kepada Asyaj Abd al-Qais maksudnya : "Sesungguhnya sesiapa yang memiliki dua sifat, nescaya dikasihi oleh Allah iaitu lemah lembut dan tenang." (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas terdapat dua sifat pada diri seorang mukmin maka dia akan dikasihi oleh Allah SWT. Sifat-sifat tersebut adalah :

Pertama : Lemah lembut.

Kedua : Tenang.

Huraiannya :

Pertama : Lemah lembut.

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya :“Sesiapa yang dikurniakan sifat lemah lembut nescaya ia akan memperolehi kebaikan dalam semua hal.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sifat lemah-lembut adalah akhlak yang mulia yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Oleh itu orang yang memiliki sifat lemah lembut adalah orang yang sangat beruntung. Sesiapa yang memiliki sifat ini dia akan dapat menahan diri apabila marah dan mempertimbangkan baik buruknya sesuatu perkara sebelum bertindak.

Orang yang lemah lembut melambangkan orang yang sentiasa sabar , tidak bersikap keras dan kasar dan tidak tergopoh gapah di dalam sesuatu perkara. Bukanlah bermakna apabila seseorang berlemah lembut maka dia mudah di permainkan atau diperbodohkan oleh orang lain. Namun sifat lemah lembut ini lebih baik diseiringkan dengan ketegasan dalam kebenaran agar seseorang itu akan dihormati dan muliakan.

Rasullullah SAW adalah contoh orang yang paling lemah-lembut dan paling baik dalam pergaulan. Sesiapa yang melihat baginda dari jauh akan berasa gentar tetapi sesiapa yang bercampur atau bergaul dengan baginda tentu akan menyayangi baginda disebabkan oleh sikap lemah lembut baginda itu.

Rasulullah SAW bersabda, bermaksud: "Sesungguhnya Allah itu bersifat lemah lembut dan ia menyukai sifat lemah lembut. Dan Allah memberikan sesuatu dengan cara lemah lembut yang tidak diberikan dengan cara kekerasan, dan juga tidak diberikan sesuatu melainkan dengan cara lemah lembut.(Hadis Riwayat Muslim)

Sifat lemah lembut adalah sifat yang disukai oleh Allah sebaliknya sifat kekerasan adalah sifat yang dibenci oleh Allah. Kekerasan tidak akan dapat menyelesaikan masalah sama ada yang meliputi bidang alam rumahtangga perhubungan masyarakat dan sebagainya. Dari itu kita dituntut supaya bersifat lemah lembut dan bertolak ansur didalam perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Firman Allah SWT :

فبما رحمة من الله لنت لهم, ولو كنت فظا غليظ القلب لانفضوا من حولك فاعف عنهم واستغفرلهم وشاورهم فى الامر, وإذا عزمت فتوكل على الله. إن الله يحب المتوكلين.

Maksudnya : “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya”. (Surah Ali Imran (3) ayat 159)

Orang mukmin akan sentiasa berdoa kepada Allah SWT untuk empat perkara : “ Ya Allah, kayakanlah aku dengan ilmu, hiasi diriku dengan sifat lemah-lembut, muliakanlah aku dengan sifat ketakwaan dan cantikkanlah aku dengan nikmat kesihatan”.

Oleh itu bersifatlah dengan sifat berlemah lembut dan jauhilah sifat kasar, keras, bengis dan tidak bertimbang rasa kerana fitrah manusia suka dan kasih pada peribadi yang memiliki sifat lemah lembut. Berlemah lembutlah kepada ulama, guru-guru, ibu bapa, isteri, anak-anak, jiran tetangga, sahabat handai, saudara mara dan umat Islam seluruhnya nescaya kalian akan dikasihi oleh mereka semua.

Kedua : Tenang.

Sifat tenang adalah salah satu sifat mahmudah. Tidak gopoh-gapah di dalam segala urusannya.

Daripada Sahl bin Sa'd bersabda Rasulullah SAW : "Gopoh-gapah itu merupakan sifat syaitan." (Hadis Riwayat Tarmizi 2012 dan dikatakan hasan)

Orang yang cerdik sebelum ingin mengambi sesuatu tindakan atau keputusan ia perlu mengkaji terlebih dahulu serta memikirkannya segala akibat dan menimbangkan baik buruknya. Kemudian barulah dilaksanakannya tindakan atau keputusan tersebut dengan penuh ketetapan hati dan berhati-hati. Sikap seperti ini tidak akan menimbulkan penyesalan di kemudian hari nanti. Seandainya perkara yang dirancang tadi mengikut pengharapannya, nescaya dia bersyukur kepada Allah SWT dan jika terjadi sebaliknya diluar jangkaannya ia menganggap sebagai takdir Tuhan serta reda menerimanya dengan tenang dan sabar.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sungguh menakjubkan sifat dan keadaan orang mukmin, seluruh urusan kehidupannya mengandungi kebaikan dan hal berkenaan tidak terdapat pada orang lain. Orang mukmin jika diberikan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup, kemudian dia bersyukur, maka hal itu menjadi kebaikan baginya, sebaliknya jika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar maka hal yang demikian juga kebaikan baginya. (Hadis riwayat Ahmad)

Rasulullah SAW mengajar kepada kita bahawa apabila iqamat telah di kumandangkan menandakan solat telah hampir untuk di dirikan maka kita hendaklah bertenang dan jangan gopoh-gapah. Sempurnakan wuduk dan berjalan ke tempat solat dengan tenang sebagimana sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bersabda Rasulullah SAW : "Jika kamu mendengar iqamat, maka berjalanlah menuju solat dengan tenang, tenteram dan jangan tergesa-gesa. Maka apa yang kamu dapati, hendaklah kamu sempurnakan."
(Hadis Riwayat Muttafaq alaih)

Firman Allah SWT :

{الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ}

Maksudnya : “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingat) Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram” (Surah ar-Ra’du ayat 28).

Jiwa yang sentiasa tenang dan tenteram adalah jiwa orang mukmin kerana setiap masa lidahnya sentiasa membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah SWT. Sesungguhnya hanya mengingati Allah SWT hati akan tenang, tenteram dan merasa gembira.

Dari Maimunah hamba pengasuh Nabi SAW berkata : "Seorang wanita datang kepada Nabi dari puak Jursh dan berkata kepada ‘Aisyah : Tolonglah beritahuku dengan suatu doa dari Rasulullah yang boleh menenangkan diriku dan mententeramkannya.

Rasulullah bersabda kepada 'Aisyah radiallahuanha katakan kepadanya : "Letakan tangan kananmu dekat bahagian hatimu dan sapukan ia sambil membaca doa :

بِسْمِ اللهِ، اَللهُمَّ دَاِونِي بِدَوَائِكَ وَاشْفِـنِيْ بِشِفـَائِكَ
وَأَغْنِنِيْ بِفَـضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاك

Maksudnya : "Dengan nama Allah , Wahai Allah, rawatilah daku dengan Rawatan-Mu, sembuhkanlah daku dengan Penawarmu dan Cukupkan daku dengan kelebihan yang ada pada-Mu dari mengharapkan selain dari-Mu." (Petikan dari kitab Usudul Ghobah : 5/404)

Apabila isteri berhadapan dengan suami yang keras dan bengis maka dia hendaklah banyak bersabar. Banyakkan berdoa kepada Allah SWT supaya Dia melembutkan hati suaminya. Walaupun suaminya keras tetapi wanita (isteri) perlu berlemah lembut kerana jika keras dengan keras maka kedua-duanya akan pecah dan rosak tetapi jika keras berlawan dengan lembut maka yang keras akan mengalah juga akhirnya. Ingatlah bahawa sifat ahli syurga adalah lemah lembut, bersih daripada hasad dengki, dan sentiasa tenang menghadapi gelombang rumah tangga.



No comments:

Post a Comment