Thursday, March 27, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 82 (Solat Ghaib, Wang Insuran, Zina Hati dan Zina Mata, Mati Syahid dan Niat Ikhtikaf di Surau).

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 82 adalah menjelaskan persoalan solat ghaib, wang insuran, zina hati dan zina mata, mati syahid dan niat ikhtikaf di surau.

466. Soalan :Dalam hukum agama,Adakah tempoh2 masa tertentu untuk kita menunaikan solat ghaib ( solat jenazah secara ghaib)..misal-nya kita belum dapat bukti yang nyata tentang kematian se-seorng muslim itu..hanya dengan mengagak sahaja..misal-Nya setelah hilang lebih dari 3 atau 4 tahun tanpa sebarang bukti.?..

Jawapan : 

Solat Ghaib adalah solat terhadap jenazah ahli keluarga atau saudara seagama yang meninggal di tempat yang jauh atau kepada jenazah yang telah dikebumikan tetapi tiada kesempatan bagi ahli keluarga si mati untuk menyembahyangkannya.

Solat Ghaib sunah dilakukan ketika mendengar berita kematian seseorang walaupun masa meninggal dunia sudah berlalu sehingga sebulan. “Sesungguhnya Nabi ﷺ telah melaksanakan solat di atas (berhampiran) kubur, sesudah sebulan lamanya.”

Jika kematian seseorang hanya diketahui selepas dikebumikan jenazahnya, maka diharuskan dilaksanakan Solat Ghaib berhampiran kubur si mati.

Hadis riwayat Abu Hurairah radliyallaahu ‘anhu :

“Bahawa seorang wanita berkulit hitam yang biasa menyapu masjid, suatu hari Rasulullah ﷺ merasa kehilangannya (tidak melihatnya). Lalu Baginda ﷺ bertanya kabarnya, para sahabat menjawab: “Dia sudah meninggal dunia.” Rasulullah ﷺ menegur: “Kenapa kamu tidak memberitahu kepadaku?” Seakan-akan para sahabat menganggap kecil urusannya atau urusan kematian. Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: “Tunjukkan aku kuburnya.” Setelah ditunjukkan, Baginda ﷺ mensolatkannya kemudian bersabda: “Sungguh pekuburan ini penuh dengan kegelapan bagi para penghuninya dan sesungguhnya Allah meneranginya sebab solatku atas mereka.” (Shahih Muslim No.1588)

Jika seseorang hilang tak diketahui samaada hidup atau mati tidak di galakkan untuk solat ghaib kerana nabi SAW solat ghaib ketika seseorang sudah di sahkan meninggal dunia dan berada ditempat yang jauh.

467. Soalan :Bolehkah digunakan duit insuran yang di tuntut akibat kemalangan motor, untuk pergi haji? Mohon pencerahan terima kasih..

Jawapan : 

Menggunakan duit tuntutan insuran kerana kemalangan jalan raya adalah harus. Wang tersebut adalah hadiah daripada syarikat insuran kenderaan seseorang yang mendapat kemalangan jalan raya (insuran kenderaan yang melanggar). Berbeza pula jika seseorang masuk insuran nyawa (konvesional - riba) dan berlaku kemalangan dan dia mendapat habuan maka wang yang diterima adalah mengandungi unsur tak patuh syariah dan tak boleh digunakan untuk keperluan individu. Jika seseorang ambil takaful maka halal wang yg diterima sebagai hadiah daripada takaful.

Wang hadiah tersebut daripada syarikat insuran kerana sebab kemalangan boleh digunakan untuk tunaikan haji atau umarah.(bayaran kita terima daripaad insuran motor atau kereta yang melanggar) Tapi wang yang seseorang terima kerana masuk labur dalam skim insuran nyawa jika berlaku kemalangan dan dia dapat ganjarannya tak halal kerana ianya tak patuh syariah dan tak boleh digunakan untuk fardu haji atau umarah.

468.Soalan : Ustaz...saya hendak menanyakan soalan kepada ustaz. Bagaimankah hendak mengelakkan zina hati dan mata?apakah cara terbaik untuk mengubatinya?apakah chat antara lelaki dan perempuan bukan mahram boleh bawa kepada maksiat dan dosa?mohon penjelasan dari ustaz..

Jawapan : 

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW. telah bersabda yang maksudnya, “Kedua mata itu boleh melakukan zina, kedua tangan itu (boleh) melakukan zina, kedua kaki itu (boleh) melakukan zina. Dan kesemuanya itu akan dibenarkan atau diingkari oleh alat kelamin.” (Hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Ibn Abbas dan Abu Hurairah). dan “Tercatat atas anak Adam nasibnya dari perzinaan dan dia pasti mengalaminya. Kedua mata zinanya melihat, kedua teling zinanya mendengar, lidah zinanya bicara, tangan zinanya memaksa (memegang dengan keras), kaki zinanya melangkah (berjalan) dan hati yang berhasrat dan berharap. Semua itu dibenarkan (direalisasi) oleh kelamin atau digagalkannya.” (HR Bukhari).

Apabila seseorang tertanam dihatinya jika bertemu di inginkannya untuk melakukan zina, maka hati yang berhasrat dan berharap ini adalah dikatakan zina hati. Bagaimana boleh menghilangkannya? Caranya jangan berfikir dan berhasrat untuk melakukan maksiat, jika suka pada seorang wanita dan dia seorang gadis atau janda yang belum berpunya dan mempunyai akhlak yang baik berfikir untuk mengambil beliau sebagai isteri. Hasrat ini adalah hasrat yang mulia. Jika tak bercadang untuk berkahwin anggap saja sebagai seorang sahabat yang baik dan mendoakan saja untuk kebaikannya. Bersihkan hati daripada niat-niat yang buruk dan tak baik. Untuk elakkan mata menjadi zina mata maka mata tersebut jangan melihat wanita dengan nafsu syahwat. Pandangan pertama diharuskan dan pandangan kedua dilarang kerana ada dorongan nafsu.

Chatting di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram perlu ada sebab dan asas yang kukuh. Seperti untuk tanya sola-soal agama dan perkembangan semasa umat Islam. Jika berhasrat untuk berumah tangga berbincang untuk takruf dan tahu latar belakang keluarga di haruskan tetapi jika hanya sembang kosong dan berbicara hal-hal dunia di antara wanita dan lelaki yang bukan mahram dan boleh mendatangkan fitnah maka tidak digalakkan. Semua bergantung pada niat seseorang dan berpada-padalah jangan timbul zina hati dan perasaan yang bukan-bukan.

469. Soalan : Boleh ustaz terangkan makna syahid akhirat?

Jawapan : 

Makna syahid akhirat adalah mati terbunuh ketika berjihad melawan orang kafir di dalam peperangan. Mati seperti ini tak perlu dimandi , dikafankan dan disembahyangkan , Firman Allah SWT maksudnya, "Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: Orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. (Surah Baqarah ayat 154)

Dalam ayat di atas disebut “jangan mengatakan”, dalam ayat yang lain pula disebut “jangan kamu fikir atau sangka”

Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (Surah Ali-Imran ayat 169)

Dalam mazhab Syafie, mereka yang syahid besar (mati ketika berjihad dijalan Allah) tidak perlu dimandikan, tidak perlu dikafan dan tidak perlu di sembahyangkan jenazah mereka kerana segala dosa mereka telah gugur (dihapuskan). Dalam mazhab Hanbali pula, mereka yang syahid besar tidak perlu dimandikan, tidak perlu dikafan dan tidak perlu di sembahyang jenazahkan kerana telah mereka sebenarnya masih hidup dan tidak mati berdasarkan firman Allah di atas. Dalam mazhab Hanafi, jenazah pejuang syahid tetap disembahyangkan sebagai menghormati jenazah seorang Muslim, sepertimana jenazah Rasulullah SAW. sendiri disembahyangkan selama 3 hari.

470. Soalan : Ustaz ,saya nak bertanya beberapa soalan.

1.Boleh ke kita berniat ikhtiqaf di surau?

2. Apa beza aurat kecil dengan aurat besar.

Terima kasih.

Jawapan :  

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah berkata, “Para ulama bersepakat bahawa disyaratkan melakukan i’tikaf di masjid.”[Fathul Bari, 4/271 ]

Ini berdalilkan ayat berikut ayat 187 surah al-Baqarah: “….. Sedang kamu beri’tikaf dalam masjid”.

Para ulama’ berbeza pendapat apakah ia sah dilakukan di semua masjid yang mendirikan solat lima waktu berjemaah, atau hanya untuk masjid jami’/masjid yang dilakukan solat fardhu Jumaat.?

Imam Malik rahimahullah berpendapat ia sah dilakukan di mana-mana masjid yang didirikan solat fardu lima waktu secara berjemaah [di dalam istilah di Malaysia, dipanggil surau/musolla]

Al-Imam asy-Syafie rahimahullah pula mensyaratkan agar ia dilakukan di masjid jami’/masjid yang melakukan solat fardhu Jumaat [Al Mughni, 4/462 ] agar orang tersebut tidak perlu ke tempat lain untuk mendirikan solat Jumaat.. Umat Islam di Malaysia berpegang pada pendapat Imam Asy- Syafie bahawa ikhtikaf hanya boleh dilakukan di masjid-masjid jami' yang di adakah solat Jumaat di dalamnya.

Aurat besar dan kecil ialah istilah yang digunakan oleh sarjana fikah dalam membahagikan aurat. Aurat besar ialah dua kemaluan lelaki dan perempuan. Sebahagian sarjana turut memasukkan buah dada ke dalam kategori ini. Aurat kecil pula ialah bahagian badan selain kemaluan, seperti paha,lutut,betis dan dada. 

Ketika bersolat , jika aurat kecil terdedah tetapi ditutup semula dengan segera , solatnya tidak batal. Tetapi jika sengaja dibiarkan, batal solatnya. Sebaliknya , jika aurat besar terdedah secara sengaja atau tidak , dalam tempoh yang lama atau tidak , solatnya batal .

Bawah dagu, bahagian bawah yang melandut menuju kearah leher pula tetap aurat kerana ia sebahagian dari leher. Semasa solat, bahagian ini wajib di tutup. Aurat wanita ketika solat adalah seluruh badannya kecuali wajah dan kedua tangannya.

Had wajah secara memanjang adalah daripada tempat mula tumbuh rambut hingga ke dagu dan melebar daripada anak telinga kanan ke anak telinga kiri.

Maka bahagian bawah dagu dan bawah rahang sehingga ke leher adalah aurat yang perlu ditutup. Amalan masyarakat atau apa yang diistilahkan sebagai ‘umum al-balwa’ sama sekali tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk tidak menutup bahagian bawah dagu dan bawah rahang ketika solat atau ketika keluar rumah.





No comments:

Post a Comment