Sunday, March 16, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 70 ( Menjual Kayu Surau Lama, Baca al-Quran Dengan Berbaring, Adab-adab Membaca al-Quran, Hukum Perniagaan On Line dan Mengaibkan Seseorang.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 70 adalah menjelaskan persoalan menjual kayu surau lama, baca al-Quran dengan berbaring, adab-adab membaca al-Quran, hukum perniagaan on line dan mengaibkan seseorang.

406. Soalan : Bolehkah surau lama yang tak digunakan dirobohkan dan dijual kayu dan bahan binaannya, hasil jualan dimasukkan ke tabung surau yang baru?

Jawapan :

Biasanya surau lama adalah harta wakaf umat islam terdahulu daripaad kita (bapa, datok atau moyang kita) selagi surau itu digunakan selagi itulah mereka yang berwakaf akan mendapat pahala sedekah jariah. Walaubagimana pun surau lama terpaksa dirobohkan untuk membuat surau baru yang lebih besar dan selesa kerana pertambahan penduduk di satu-satu kariah. 

Untuk kita menyambung supaya harta wakaf orang terdahulu dapat disambung semula untuk surau baru adalah seperti berikut : 

1. Mana-mana kayu yang masih elok boleh digunakan untuk surau baru maka sebaik-baiknya digunakan semula. (kerana kayu dahulu lebih tahan daripaad kayu sekarang ini). 

2. Kayu-kayu yang lain boleh dijual kepada orang ramai dan hasil duit jualan kayu tersebut dimasukkan kedalam tabung pembinaan surau baru. Sekurang-kurangnya mereka yang berwakaf dahulu akan mendapat pahala yang berterusan.

Kayu-kayu yang telah dibeli secara borong oleh pembeli biasanya untuk digunakan untuk sambung rumah atau membuat pondok lain. Boleh di manfaat apa saja dan tak ada kaitan dengan harta wakaf tadi kerana telah ditukar dengan wang, maka wang tersebutlah perlu di masukkan semula sebagai harta wakaf untuk pembelian barang binaan surau baru, Jika surau tersebut hak sekolah maka masuk balik ditabung pembinaan surau baru sekolah. Jangan membazir dibiarkan kayu tersebut reput dimakan anai-anai.

407. Soalan : Bolehkah membaca Al-Qur'an dalam keadaan berbaring ?

Jawapan : 

Membaca Al Quran sambil berdiri, sambil duduk, sambil bersujud, dan sambil berbaring, semuanya boleh. (untuk ayat-ayat al-Quran yang kita hafal). Berdasarkan firman Allah Ta’ala:

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىَ جُنُوبِهِمْ

“(yaitu) orang-orang yang berzikir sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring..” (Surah. Al Imran ayat 191)

Dan juga firman-Nya:

فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلاَةَ فَاذْكُرُواْ اللّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِكُمْ

“Maka apabila kamu telah menyelesaikan salat (mu), ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring” (Surah. An Nisa: 103)

Ini merupakan bagian dari nikmat Allah Ta’ala dan kemudahan dari-Nya. Kerana Al Qur’an adalah zikir yang paling agung, sehingga (berdasarkan ayat tadi) membacanya sambil berbaring boleh saja.

Jika kita membaca al-Quran dengan melihat mushaf maka cara yang beradab adalah dengan berwuduk, dalam keadaan duduk dan menghadap kiblat. Membaca dengan tartil dan bertajwid dan membaca terjemahannya sekali.

408. Apakah adab-adab membaca al-Quran?

Jawapan : 

-ulama muktabar telah menggariskan beberapa adab sebagai panduan sepeti berikut:

1. Hendaklah sentiasa suci pada zahir dan batin kerana membaca al-Quran adalah zikir yang paling afdal (utama) dari segala zikir yang lain.

2. Hendaklah membaca di tempat yang suci dan bersih yang layak dengan kebesaran Yang Maha Agong dan ketinggian al-Quranul Karim. Para Ulama berpendapat sunat membaca al-Quran di Masjid iaitu tempat yang bersih dan mulia di samping dapat menambah kelebihan pahala-pahala iktiqaf.

3. Hendaklah memakai pakaian yang bersih, cantik dan kemas.

4. Hendaklah bersugi dan membersihkan mulut. Melalui mulut tempat mengeluarkan suara menyebut ayat al-Quran. Hadis Rasulullah S.A.W.  berbunyi:
"Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya al-Quran maka peliharalah dengan bersugi."

Berkata Yazid bin Abdul Mallek: "Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya al-Quran maka peliharalah dengan bersugi."

5. Hendaklah melahirkan di dalam ingatan bahawa apabila membaca al-Quran seolah-olah berhadapan dengan Allah dan bacalah dalam keadaan seolah-olah melihat Allah S.W.T. Walaupun kita tidak dapat melihat Allah sesungguhnya Allah tetap melihat kita.

6. Hendaklah menjauhkan diri dari ketawa dan bercakap kosong ketika membaca al-Quran.

7. Jangan bergurau dan bermain-main ketika sedang membaca al-Quran.

8. Hendaklah berada dalam keadaan tenang dan duduk penuh tertib. Jika membaca dalam keadaan berdiri hendaklah atas sebab yang tidak dapat dielakkan adalah harus.

9. Setiap kali memulakan bacaan lebih dahulu hendaklah membaca Istiazah: (A'uzubillahiminasy-syaitannirrajim).

Kerana memohon perlindungan dari Allah dari syaitan yang kena rejam.

10. Kemudian diikuti dengan membaca basmallah: (Bismillahirrahmanirrahim).

Hendaklah membaca Bismillah itu pada tiap-tiap awal surah kecuali pada surah At-Taubah.

11. Hendaklah diulang kembali membaca Istiazah apabila terputus bacaan di luar daripada al-Quran.

12. Hendaklah membaca dengan Tartil (memelihara hukum tajwid). Secara tidak langsung menambah lagi minat kepada penghayatan ayat-ayat yang dibawa dan melahirkan kesan yang mendalam di dalam jiwa.
Firman Allah S.W.T maksudnya : "Kami membaca al-Quran itu dengan tartil."
(Surah Al-Furqan ayat 32)

"Hendaklah kamu membaca Al-Quran dengan tartil."
(Surah Al-Muzammmil ayat 4)

Pengertian Tartil pada bahasa: Memperkatakan sesuatu perkara itu dengan tersusun dan dapat difahami serta tanpa gopoh-gopoh. Menurut Istilah Tajwid ialah membaca al-Quran dalam tenang dan dapat melahirkan sebutan huruf dengan baik serta meletakkan bunyi setiap huruf tepat pada tempat-tempatnya. Saydina Ali k.w berkata: "Pengertian tartil ialah mentajwidkan akan huruf-huruf al-Quran dan mengetahui wakaf-wakafnya."

13. Hendaklah berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca sehingga dapat mengetahui tujuan al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T.

Allah S.W.T. berfirman maksudnya : "Inilah al-Quran yang memimpin jalan yang lurus. (Surah Al-Israi’ ayat 9) 

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Kami turunkan Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukminin."
(Surah Al-Isra’ ayat 82)

Firman Allah S.W.T. lagi maksudnya : "Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu dengan penuh barakah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran. 
(Surah Sad ayat 29)

14. Hendaklah menjaga hak tiap-tiap huruf sehingga jelas sebutannya kerana tiap-tiap satu huruf mengandungi sepuluh kebajikan. Hadis dari Rasulullah S.A.W. berbunyi:

Diriwayatkan dari Tirmizi dari Abdullah bin Masud daripada Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya : "Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf."

15. Hendaklah membaca al-Quran mengikut tertib mashaf. Dilarang membaca dengan cara yang tidak mengikut susunan kecuali diceraikan surah-surah dengan tujuan mengajar kanak-kanak adalah diharuskan.

16. Hendaklah berhenti mambaca apabila terasa mengantuk dan menguap kerana seseorang yang sedang membaca al-Quran ia bermunajat kepada Allah dan apabila menguap akan terhalang munajat itu kerana perbuatan menguap adalah dari syaitan.

Berkata Mujahid: Apabila kamu menguap ketika membaca al-Quran maka berhentilah dari membaca sebagai menghormati al-Quran sehingga selesai menguap.

17. Hendaklah meletakkan al-Quran di riba atau di tempat yang tinggi dan jangan sekali-kali meletakkannya di lantai atau di tempat yang rendah. Sabda Rasulullah S.A.W.:

Ubaidah Mulaiki r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “Wahai kaum ahli-ahli al-Quran jangan gunakan al-Quran sebagai bantal tetapi hendaklah kamu membacanya dengan teratur siang dan malam.”

18. Hendaklah memperelokkan bacaan dan menghiaskannya dengan suara yang baik.

Sabda Nabi S.A.W. dalam sebuah hadis: Telah bersabda Nabi Muhammad S.A.W maksudnya : "Hiasilah al-Quran dengan suara-suara kamu."

19. Setiap bacaan hendaklah disudahi dengan membaca:
(Sadaqallahul’azim).

20. Disunatkan berpuasa di hari khatam al-Quran dan diikuti dengan mengumpul ahli keluarga dan sahabat handai bersama-sama di dalam hari khatam al-Quran. Dalam sebuah hadis ada menjelaskan kelebihan orang yang telah khatam al-Quran menerusi sebuah hadis yang berbunyi:

Telah bersabda Nabi Muhammad S.A.W maksudnya : "Sesiapa yang telah khatam al-Quran baginya doa yang dimakbulkan."

409. Soalan : Saya ada pertanyaan mengenai perniagaan online dimana permulaan kita hanya membayar sejumlah wang,dan kemudian akan mendapat keuntungn lebih daripada apa yang kita bayar tanpa berbuat apa. Apakah dari segi hukum mengenai perniagaan tersebut?

Jawapan : 

Biasanya perniagaan di internet secara online tidak jelas akad jual beli. Sebelum persoalan ini dapat dirungkaikan, elok jika kita dapat sama-sama melihat definisi Gharar (ketidaktentuan) menurut istilah Shariah iaitu:

ما يكون مستور العاقبة أو الخطر الذي يستوي طرفاه , أي الوجود والعدم

Maksudnya: "Apa yang terlindung penghujungnya dan risiko yang sama tahap mungkin wujud atau tidak." (Bada'i As-Sonai'e, Al-Kasani, 5/263 ; Al-Mabsut, Al-Sarakhsi, 3/194)

Nabi Muhammad SAW menegaskan:

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن بيع الغرر

Maksudnya : "Nabi melarang daripada mengurus perniagaan dengan Gharar" (Hadis Riwayat Muslim, 5/3 )

"Jahalah" pula bermaksud ketidaktahuan dengan jelas samada barang dibeli, atau harga barang yang perlu bayar. Justeru, secara ringkas, semua kategori diatas adalah termasuk dalam kategori "jahalah" dan boleh juga dikategorikan sebagai "gharar" atau ketidaktentuan.

Apabila kita masuk duit di dalam satu-satu akaun, pihak tertentu akan melabur duit kita sehingga mendapat keuntungan berlipat kali ganda, tanpa kita tahu apa barangan atau perkhidmatan yang dijalankan maka sah cara ini adalah gharar atau jahalah dan ditakuti cara tersebut termasuk di dalam riba kerana peratus keuntungan yang telah ditetapkan adalah termasuk di dalam riba. Oleh itu saudara jauhilah berniaga melalui internet banyak risikonya dan kedudukannya adalah syubahat dan boleh jatuh kepada haram.

410. Soalan : Apa hukumnya kita mengaib kan seseorang... Walaupun kita semua dah tau dia melakukan kesalahan yang besar dan dosa besar... Tapi kita aib kan dia caci dan hina dia... Malah ada yang buat video dan gambar-gambar untuk di ketawakan... Jelaskan hukumnya ustaz?

Jawapan : 

Mengaibkan seorang muslim hukumnya haram dan berdosa. Seorang muslim yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya hendaklah sentiasa menjaga kehormatan dan aib saudaranya. Segala kekurangan yang ada hendaklah ditutup dan jangan di ceritakkan kepada orang lain. Allah SWT akan memberi ganjaran yang besar dan akan menutup aibnya dihari akhirat kepada mereka yang mengelakkan diri daripada mengumpat dan menceritakan keaiban saudaranya kepada orang lain semata-mata untuk menjaga maruah diri saudara seagama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Tidaklah seorang hamba menutupi aurat (aib ) orang lain di dunia kecuali Allah menutupi auratnya ( aibnya ) di akhirat " (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang maksudnya : "Muslim ( orang Islam ) adalah saudara bagi orang Islam lainnya, dia tidak menganiayanya dan tidak pula menyerahkannya kepada musuhnya ( tidak juga meninggalkannya tanpa pertolongan ), barangsiapa menolong saudaranya untuk memenuhi hajatnya, maka Allah bersamanya dalam memenuhi hajatnya, dan barangsiapa melapangkan suatu kesusahan dari seorang muslim, maka Allah akan melapangkan baginya suatu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat, dan barangsiapa menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat." (Hadis Riwayat Muslim). Jika orang yang mengaibkan tidak minta maaf pada orang yang di aibkan maka orang yang di aibkan akan menuntut di akhirat dan bayaran ketika itu adalah pahala orang yang mulakan mendedah aib seseorang hingga di buat vedio dan di muat turun di facebook. Rakan-rakan yang berkongsi berita yang mengaibkan ini juga akan memberikan sebahagian pahalanya kepada orang yang diaibkan, semakin banyak yang share maka semakin banyak pahala yang akan dituntut oleh orang yang diaibkan. Walaupun malu di dunia tetapi di akhirat akan mendapat bekalan yang banyak. Wallahu a'lam




No comments:

Post a Comment