Wednesday, March 19, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 72 ( Majikan Ambil Rasuah, Keperluan Zikir Mengubati Hati, Urusan Jenazah Mati Kebakaran, Hukum Bercinta dan Perlu Berdoa dan Berusaha.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 72 adalah menjelaskan persoalan majikan ambil rasuah, keperluan zikir mengubati hati, urusan jenazah mati kebakaran, hukum bercinta dan perlu berdoa dan berusaha.

416. Soalan : Ustaz bos saya ada terlibat dengan rasuah. Apa hukum pendapatan saya sedangkn saya tau perbuatannya. Untuk maklman bos saya orang kafir.perlukah saya berhenti kerja.harap ustaz dapat membantu..

Jawapan : 

Jika saudara bekerja makan gaji dan tidak terlibat secara langsung menerima atau memberi rasuah, maka harus saudara bekerja dan wang gaji yang diterima adalah halal. Urusan bos terlibat dengan rasuah itu urusan dia dan tidak melibatkan kita sebagai pekerja bawahan. Sama juga hukumnya jika seseorang berhutang dengan kita apabila dia membayar dengan duit judi yang dia perolehi maka halal kita terima wang tersebut atas dasar hutang tersebut dan kita tidak teribat secara langsung dengan urusan judi tersebut.

417. Soalan : Kenapakah zikir itu perlu untuk menghidupkan hati yang sakit dan berpenyakit?

Jawapan : 


Dari Abu Musa r.a. Rasulullah SAW besabda yang bermaksud : “Perumpamaan orang yang berzikir dengan yang tidak berzikir, seperti orang yang hidup dan orang yang mati.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis Nabi SAW diatas dapatlah kita ambil iktibar bahawa perumpamaan hidup dan matinya manusia adalah bergantung kepada berzikir atau tidaknya seorang manusia itu. Apabila ia tinggalkan zikir bermakna seolah-olah seperti sudah mati walaupun darisegi fizikalnya ia masih hidup. Sebaliknya pula orang yang berzikir diumpamakan oleh Nabi SAW seperti orang yang hidup.

Fungsi dan kedudukan zikir pada hati sama dengan fungsi makanan bagi tubuh. Seseorang yang tidak memenuhi ruang hati dan rohnya dengan zikir, samalah umpama tubuh yang tidak diberi bekalan makanan sebagai sumber kekuatan. Apabila hati kosong dengan zikrullah, semakin hari ia semakin lemah, mudah terumbang ambing, goyah dan resah. Hati yang lemah mudah dikuasai oleh hawa nafsu dan mudah dikotak katikkan oleh syaitan laknatullah. Akhirnya apabila keadaan ini berterusan hati akan menjadi keras, sakit dan akan terus mati.

Hati yang mati adalah hati yang tidak dapat menjalankan apa-apa fungsi. Manusia yang memiliki hati yang sakit atau mati, adalah manusia yang tidak ada nilai, tanpa pengemudi. Neraca penentuan sikapnya hanya ditentukan oleh hawa nafsu. Keadaan mereka ini lebih dahsyat jika dibandingkan dengan orang yang mati fizikalnya.

Manusia yang mati fizikalnya tidak membawa kemudaratan kepada manusia sekelilingnya namun manusia yang mati hatinya akan merugikan diri sendiri dan akan memudaratkan orang lain. Orang yang mati hatinya akan bertindak mengikut hawa nafsu dan melakukan banyak kerosakkan, maksiat, jenayah dan perbuatan dan amalan yang membawa kemurkaan Allah SWT.

418. Soalan : Saya nak tanya bagaimana pengurusan jenazah yang meninggal dunia dalam kebakaran atau seumpamanya ustaz.?

Jawapan : 

Jika mayat itu sudah tidak mungkin untuk dimandikan kerana hancur terbakar, maka harus ditayammumi. Benar, korban kebakaran itu termasuk mati syahid, tetapi syahid akhirat saja dan bukan syahid dunia dan akhirat seperti orang yang mati dalam medan pertempuran. Maksudnya, masih wajib dimandikan (jika mungkin), dikafankan, disolatkan dan dikebumikan. Dasar pengambilan: Kitab Al Bajuri juz 1 halaman 242 - 243:

(وَيَلْزَمُ) عَلَى طِرِيْقِ فَرْضِ الْكِفَايَةِ (فِي الْمَيِّتِ) الْمُسْلِمِ غَيْرِ الْمُحْرِمِ وَالشَّهِيْدِ (أَرْبَعَةُ أَشْيَاءَ غُسْلُهُ وَتَكْفِيْنُهُ وَالصَّلاَةُ عَلَيْهِ وَدَفْنُهُ ) (قَوْلُهُ غُسْلُهُ) أَيْ أَوْ بَدُلُهُ وَهُوَ التَّيَمُّمُ كَمَا لَوْ حُرِقَ بِالنَّارِ وَكَانَ لَوْ غُسِلَ تَهَرَّى

Dan wajib menurut jalan fardlu kifayah pada mayat yang muslim selain orang yang mati dalam keadaan ihram dan mati syahid (dalam pertempuran membela agama) empat perkara, yaitu: memandikannya, mengkafaninya, melakukan solat atasnya dan mengkuburkannya. Ucapan pengarang: memandikannya, ertinya atau penggantinya, iaitu tayammum, sebagaimana andaikata mayat yang terbakar oleh api dan andaikata dimandikan maka dagingnya terlepas dari tubuhnya.

419.Soalan : Ustaz saya ingin bertanya tentang bercinta . saya buntu kerana ada setengah orang menyatakan boleh bercinta dan ada setengah orang menyatakan tidak boleh bercinta kerana haram . apa pendapat ustaz tentang soalan saya nie .?

Jawapan : 

Perasaan cinta adalah fitrah manusia, Cinta yang paling agung adalah cinta seorang hamba kepada Tuhannya. Cinta kedua adalah cinta umat kepada Rasulullah SAW. ,Cinta anak kepada kedua ibu bapanya, cinta isteri kepada suaminya cinta kedua ibu bapa kepada anak-anaknya. dan cinta lelaki kepada kekasihnya yang bakal menjadi isterinya. Adakah islam menghalang cinta seorang lelaki kepada wanita atau cinta wanita kepada lelaki, dengan niat yang ikhlas berusaha kearah membena mahligai bahagia sebagai suami isteri? Islam tak pernah menghalang perasaan cinta itu tetapi Islam cukup tegas melarang kedua mempelai untuk menghampiri zina, berdua-duaan tanpa mahram, pergaulan bebas tanpa batas, dan bersembang dengan meluahkan perasaan yang berdasarkan nafsu dan keinginan syahwat.

Terdapat batas-batas pergaulan di dalam ajaran Islam. Dalam usaha seseorang mencari pasangan hidup yang beriman dan bertakwa, yang soleh dan solehah maka di benarkan ber taaruf, menyiasat latar belakang keluarga, melamar, bertunag dan menjalankan akad nikah secara sah. Bercinta yang dilarang adalah bersembang berjam-jam masing-masing meluahkan perasaan cintanya dan sangap berkorban apa saja sehingga berjumpa berdua-duaan sehingga melakukan zina, nauzubilahiminzalik. 

Cinta yang haram inilah yang mendorong kepada perbuatan zina sehingga melahirkan anak-anak tak sah taraf. Jika cara pendekatan muda-mudi untuk mencari pasangan dengan melanggar batas-batas syarak maka akibatnya berlakunya gejala sosial yang merosakkan kedua-dua pihak lelaki dan wanita. 

Dari Abu Hurairah r.a. bahwa Rasulullah SAW telah bersabda yang artinya, “Kedua mata itu bisa melakukan zina, kedua tangan itu (bisa) melakukan zina, kedua kaki itu (bisa) melakukan zina. Dan kesemuanya itu akan dibenarkan atau diingkari oleh alat kelamin.” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibn Abbas dan Abu Hurairah). dan

“Tercatat atas anak Adam nasibnya dari perzinaan dan dia pasti mengalaminya. Kedua mata zinanya melihat, kedua teling zinanya mendengar, lidah zinanya bicara, tangan zinanya memaksa (memegang dengan keras), kaki zinanya melangkah (berjalan) dan hati yang berhazrat dan berharap. Semua itu dibenarkan (direalisasi) oleh kelamin atau digagalkannya.” (Hadis Riwayat Bukhari).

420. Soalan : Ustaz..saya nak tanya pandangan ustaz berkenaan orag yang hanya memegang konsep la haw la wala dan redha seterusnya menolak untuk berusaha..dan apakah itu konsep jabariah..harap di beri pencerahan..trima kasih

Jawapan :

Aliran fahaman Jabariah adalah menyerahkan semua urusan kepada Allah SWT tanpa berusaha langsung, Jabariyah bermaksud ‘keterpaksaan’ , Maksudnya suatu fahaman bahawa manusia tidak dapat berikhtiar. Dalam bahasa Inggris dikenal dengan istilah fatalism atau predestination (segalanya ditentukan oleh Tuhan) . Fahaman Qadariah pula menyatakan bahawa manusia mempunyai kuasa mutlah menentukan baik buruk kehidupannya, dan mereka menafikan ketentuan takdir daripada Allah SWT. Kedua-dua fahaman ini telah sesat kerana lari daripada akidah Islam yang sebenarnya. Dalam fahaman Ahli Sunnah Waljamaah. semua urusan tidak boleh lari daripada 3 keadaan iaitu berdoa, berusaha dan bertawakal. 

1. Berdoa adalah senjata orang mukmin.Salman radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Tidak tertolak Qada' itu melainkan oleh doa dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Doa itu sendiri sebagai satu ibadat dan menjadi bentuk perhambaan kepada Allah.Mereka yang berdoa perlu mempunyai keyakinan kerana ada dinyatakan, Allah tidak akan mempersia-siakan mereka.

Rasulullah SAW. yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi:“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas do'a orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”(Hadis riwayat Tirmidzi). 

2. Berusaha dan berikhtiar adalah satu tuntutan daripada Allah SWT untuk dilakukan oleh para hamba-Nya.Firman Allah SWT maksudnya,"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (bangsa) melainkan kaum itu sendiri mengubah nasibnya"(Surah Ar-Ra'd ayat 11). Berusaha dengan bersungguh-sungguh adalah dalam rangka ibadah kepada Allah SWT dan ianya juga adalah sunnahtullah. 

3. Bertawakal ; Setelah berdoa dan berusaha seorang mukmin perlu bertawakal dan serahkan dirinya sepenuhnya kepada Allah SWT.Tawakal menurut Islam membawa maksud : "Meletakkan keyakinan serta menyerahkan kepada ketentuan Allah SWT

" Orang yang bertawakkal memiliki keyakinan yang mantap terhadap janji-janji Allah. Dia bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT dan tidak bimbang dengan pandangan yang menakutkan dan tidak pula menghiraukan pujukan syaitan. Dari itu jiwa akan menjadi tenang serta terbuka luas peluang beribadah dengan sebaik-baiknya.

 Allah telah menjamin hamba-Nya dengan rezeki yang mencukupi sebagai memberikan kekuatan dan keampunan melaksanakan ibadah. Ini bertepatan denga firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah ath-Talaq ayat 3)





No comments:

Post a Comment