Friday, March 14, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 66 (Wanita Haid Baca al-Quran, Musibah Kehilangan Pesawat MH 370, Salin Nota di Facebook, Memaafkan Seseorang, Perceraian Kerana Isteri Nusuz.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 66 adalah menjelaskan persoalan wanita haid baca al-Quran, musibah kehilangan pesawat MH 370, salin nota di facebook, memaafkan seseorang, perceraian kerana isteri nusuz.

386. Soalan : Saya ada terbaca membaca hadis adalah dibenarkan semasa seorang wanita kedatangan haid. Soalan saya:

1. Apakah hukum jika saya membaca Al-Quran yg mengandungi tafsir dengan niat membaca tafsir tersebut semasa kedatangan haid.?

2. Bagaimana pula jika saya membaca tafsir dr Al-Quran tersebut sebelum tidur.. (pada saya lebih baik saya membaca tafsir Al-Quran daripada saya membaca buku-buku lain.. )
Mohon penjelasan dari pihak Ustaz...

Jawapan : 

Membaca tafsir, buku agama , berdoa dan berzikir di haruskan ketika datang haid.

1. Telah ijmak (sepakat) para ulama bahawa wanita yang dalam haid dan nifas diharamkan mengerjakan solat dan juga puasa (termasuk puasa Ramadan). Puasa Ramadhanwajib diqada, adapun solat tidak perlu . Dalil larangan solat dan puasa tersebut ialah hadis Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a. yang menceritakan; Nabi SAW telah bertanya kaum wanita; “Bukankah kesaksian seorang wanita sama seperti separuh kesaksian seorang lelaki?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lalu berkata; “Itu tanda kurangnya akal wanita”. Baginda bertanya lagi; “Bukankah jika kamu kedatangan haid, kamu tidak boleh mengerjakan solat dan berpuasa?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lantas berkata; “Itu tanda kurangnya agama wanita” (HR Imam al-Bukhari dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.).

2. Adapun hukum membaca al-Quran, terdapat khilaf di kalangan ulama seperti berikut;

a. Menurut Jumhur ulama (yakni pandangan teramai ulama termasuk Imam-Imam mazhab empat); Diharamkan ke atas orang yang berhadas besar membaca al-Quran dengan lidahnya sekalipun satu ayat. Mereka berdalilkan hadis dari Ibnu Umar yang menceritakan Rasulullah bersabda;"Janganlah wanita dalam haid dan orang yang berjunub membaca sesuatupun dari al-Quran" (HR Imam at-Tirmizi dan Ibnu Majah). Berdalilkan hadis ini, jumhur ulama memutuskan; orang-orang yang berada dalam haid dan junub dilarang membaca al-Quran dengan lidah. Adapun membaca dengan hati (tanpa menggerakkan lidah), diharuskan.

b. Imam Malik berpandangan; Diharuskan wanita dalam haid dan nifas membaca al-Quran dari ayat-ayat yang dihafalnya jika dibimbangi takut hilang dari ingatannya jika tidak dibaca sepanjang tempoh haid atau nifasnya. Namun, orang berjunub dilarang sama sekali membaca al-Quran.

c. Terdapat ulama-ulama yang menganggahi pandangan jumhur ulama di atas iaitulah Imam Daud az-Dzahiri, Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi. Menurut mereka; harus bagi orang berjunub dan begitu juga wanita yang kedatangan haid membaca al-Quran keseluruhannya. Di kalangan Salaf, pendapat ini ada diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas dan juga Ibnu al-Musayyab. Dalil mereka ialah hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi SAW. sentiasa berzikir kepada Allah pada setiap ketika/masanya” (HR Imam Muslim) dan membaca al-Quran termasuk di dalam pengertian zikir. Adapun hadis yang dijadikan dalil oleh jumhur tadi, hadis tersebut adalah dhaif mengikut penilaian ulama-ulama hadis.

3. Mengenai zikir dan doa, tidak ada nas (dalil dari al-Quran atau as-Sunah) yang melarang wanita yang kedatangan haid dan nifas dari melakukannya. Oleh itu, ia kekal sebagai harus (tidak dilarang). Dalam kaedah Fiqh ada dinyatakan "Sesuatu itu kekal dalam hukum asalnya selagi tidak ada dalil yang mengubahnya atau mengecualikannya dari hukum asal".

Dari keterangan di atas, kita dapat melihat bahawa ruang untuk wanita dalam haid dan nifas beribadah adalah luas seluas ruang doa dan zikir itu sendiri walaupun mereka tidak dibolehkan solat, puasa dan membaca al-Quran (mengikut pandangan jumhur tadi). Berikut kita senaraikan dengan terperinci ibadah-ibadah yang boleh dilakukan oleh wanita-wanita yang berada dalam haid dan nifas;

1. Berdoa dengan apa sahaja doa termasuk dari al-Quran

2. Beristighfar; termasuk istighfar dari al-Quran

3. Berzikir; sama ada bertahlil, bertahmid, bertasbih dan sebagainya.

4. Berselawat kepada Nabi

5. Mendengar bacaan al-Quran

6. Menghadiri/mendengar majlis ilmu (yang diadakan di tempat lain selain masjid)

7. Mengulang hafalan al-Quran (mengikut pandangan Imam Malik tadi)

8. Membaca buku-buku agama termasuk kitab-kitab hadis dan tafsir al-Quran.

9. Bersedekah

10. Membuat kebajikan kepada orang lain

Bagi doa, istighfar dan zikir yang diambil dari al-Quran hendaklah dibaca dengan niat untuk berdoa, berzikir dan beristighfar, bukan dengan niat membaca al-Quran. 

Membaca tafsir atau buku agama semuanya baik dan ianya merupakan ilmu yang bermanfaat. Bacalah banyak buku dan berbagai bidang displin ilmu Islam supaya bertambah ilmu kita dan berusahalah untuk mengamalkannya dan menyampaikannya kepada orang lain.

387. Soalan : Ketika kita ditimpa musibah seperti sakit, kita terus mencari ubat-ubatan dan bergegas kehospital dan sebagainya. Begitu jugalah halnya dengan kehilangan PESAWAT MH370, kita LEBIH dulu menumpukan kepada segala peralatan canggih untu1k mengesan misteri kehilangan tersebut. Selepas beberapa hari kita berusaha, barulah kita TERINGAT dan TERSEDAR kepada ALLAH. Mohon pandangan dari ustaz tentang masaalah ini?

Jawapan : 

Betapa lemahnya manusia ini berbanding dengan ilmu dan kekuasaan Allah SWT. Ilmu manusia terlalu sedikit sehinggakan apa yang hilang disisi manusia , tak mampu manusia mencarinya, walaupun dengan peralatan yang cukup cangih. Memang benar kita disuruh untuk berusaha mencarinya tetapi tetapi kita juga disuruh berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT. Ramai manusia akan rasa kecewa apabila usaha-usahanya gagal dan mudah menyalahkan orang lain apabila tidak dapat apa yang diusahakannya. 

Manusia ramai tak dapat menerima qada dan qadar Allah SWT dan berlakulah kutuk mengutuk dan hina menghina kerana betapa lemahnya iman manusia tak dapat dan reda dengan ujian Allah SWT dan tidak sepenuhnya bertawakal kepaad Allah SWT. Hidup dan mati manusia semuanya sudah ditentukan-Nya. Kita tak perlu rasa kecewa dan hidup tak tenteram kerana kehilangan rakan baik, sahabat handai, jiran tetangga dan ahli keluarga kerana setiap manusia ada bahagian masing-masing di akhir kehidupannya. Kita boleh bersedih tetapi janganlah sedih kita hingga lupa bahawa kita juga akan kembali bertemu Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman, jadikan sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.'' (Surah al-Baqarah ayat 153)

"Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.'' (Surah al-Baqarah ayat 155) 

Berdasarkan ayat-ayat di atas Allah SWT menyeru kepada orang-orang beriman supaya menjadikan sabar dan solat itu sebagai penolongnya. Para ahli tafsir menyatakan bahawa suruhan ini adalah wajib kerana berbentuk suruhan kepada orang-orang mukmin. Jika orang mukmin meninggalkan sifat sabar dan meninggalkan solat maka ianya berdosa. 

Hari esok adalah dalam ilmu Allah SWT, kita tidak tahu apa yang akan terjadi esok, boleh sahaja esok datangnya kemudahan tersebut. Jadi selalulah hati dan jiwa kita meletakkan pengharapan mutlak kepada Allah SWT.

Kadangkala kesusahan yang kita alami ini ada sesuatu perkara baru yang ingin dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita yang mana perkara itu lebih baik daripada apa yang kita terima sebelumnya. Mungkin jika tidak digantikan dengan yang baru akan lebih mendatangkan mudarat kepada diri kita.

388. Soalan : Saya nak tanya.apa hukumnya jika saya mengongsi atau menyalin ilmu-ilmu hadis,doa mahupun resepi dara wall orang lain tanpa pengetahuannya.adakah perbuatan itu berdosa? Tetapi yang diambil hanya ilmu dan pengetahuan yang berguna bagi tujuan koleksi dan panduan untuk diri sendiri..bagaimana hukum dan jika berdosa,apa perlu di lakukan jika telah melakuknnya?

Jawapan : 

Hakikat sebenarnya semua ilmu yang hak adalah milik Allah SWT. Samaada ilmu tafsir al-Quran atau ilmu hadis dan ilmu yang lain-lain. Begitu juga ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW doa-doa yang baik di dalam internet boleh di ambil dan share dengan sahabat lain, kerana kedudukan media sosial facebook adalah milik bersama semua orang boleh ambil dan share . Kebaikan dan pahala yang akan diperolehi oleh seseorang adalah apabila orang lain mengambilnya, di kongsikan dan mengamalkan ilmu tersebut.

389. Soalan : Ustaz apa hukum memafkan seseorang dan apa hukum tidak memaafkan seseorang?

Jawapan : 

Sebaik-baik mukmin adalah mudah memaafkan kesalahan orang lain. Seburuk-buruknya sifat mazmumah adalah sifat suka simpan perasaan dendam dan sukar memaafkan orang lain. Orang yang memiliki sifat ini sangat dibenci oleh Allah SWT kerana terdapat sifat sombong, ego dan suka membanggakan diri sendiri. Sifat ahli syurga adalah sangat mudah memaafkan dan bersih hatinya daripada sifat dendam dan sifat mazmumah sedangkan sifat ahli neraka adalah memiliki sifat -sifat seperti hasad dengi, iri hati, benci membenci, bangga diri, riak, sombong , bongkak, takbur dan dendam kesumat.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh” (Surah Al-A'raaf ayat 199)

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi SAW. lagi yang bermaksud : "Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

390. Soalan : Ustaz,saya nak bertanya berkaitan tuntutan hak penjagaan anak dan harta sepencarian setelah 5 tahun penceraian.tetapi sebelum ini bekas isteri pernah membuat hubungn sulit dengan lelaki lain dan meninggalkan rumah tanpa izin suami selama 1 seminggu.. Sedangkan ketika penceraian berlaku,pihak bekas suami masih laga dalam rawatan perubatan selepas pembedahan tumor.. Bolehkah bekas suami memfailkan nusyuz terhadap bekas isteri slepas 5 tahun penceraian?

Jawapan : 

Apabila suami isteri telah bercerai maka hubungan mereka sudah terputus tidak ada ikatan lagi. Sepatutnya tuntutan harta sepencarian dilakukan dimahkamah syariah sebaik saja berlaku penceraian bukannya setelah 5 tahun bercerai. Apakah yang dimaksudkan harta sepencarian? Harta sepencarian adalah pengertian yang mudah adalah harta bersama. Ia dimiliki oleh pasangan suami-isteri semasa tempoh perkahwinan mereka walaupun harta itu atas nama isteri atau nama suami atau nama kedua-duanya.

Harta sepencarian selalunya merujuk kepada rumah kediaman dan sebarang harta yang bernilai tinggi.

Suami atau isteri mempunyai hak ke atas harta yang dimiliki semasa tempoh perkahwinan kerana masing-masing ada sumbangan kewangan atau bukan kewangan ke atas harta bersama atau harta sepencarian itu.

Sebagai contoh sebuah bungalow walaupun ia di atas nama suami tetapi isteri ada hak. Isteri mungkin memberi wang pendahuluan membeli rumah, membuat ubahsuai rumah, membaiki kerosakan rumah.

Sekiranya isteri tidak bekerja dan semua perbelanjaan rumah ditanggung oleh suami, isteri tetap ada hak ke atas harta bersama itu. 

Hak isteri ke atas harta adalah berasas kepada sumbangan bukan kewangan. Ini termasuk sumbangan melayani suami iaitu makan-minum, mencuci pakaian, mengembirakan suami selepas penat bekerja, mengemas dan menjaga rumah semasa suami bekerja dan membesar dan mendidik anak di rumah. 

Pemilikan harta sepencarian oleh isteri boleh diberi semasa pasangan suami-isteri sedang bahagia atau melalui proses mahkamah. 

Semasa pasangan sedang bahagia, suami boleh memberi sebahagian daipada harta itu kepada isterinya melalui Deklarasi Harta Sepencarian.

Cara mudah memperolehi harta sepencarian ialah pasangan membuat Deklarasi atau Perjanjian Harta Sepencarian semasa pasangan masih bahagia. Pasangan dengan sukarela menyerahkan secara sukarela sebahagian harta kepada pasangan masing-masing.

Sebagai contoh, suami bersetuju menyerahkan hakmilik rumah itu sebanyak 50% kepada isterinya melalui Deklarasi Harta Sepencarian.

Sekiranya Deklarasi Harta Sepencarian tidak dibuat, maka pasangan ada pilihan membuat tuntutan harta sepencarian melalui proses mahkamah. Bagaimanapun, si penuntut (biasanya isteri) membuktikan wujudnya harta itu dan jumlah jumlah sumbangan (peratus)nya ke atas harta itu. Ini bagi membolehkan Mahkamah Syariah memutuskan hak harta sepencarian isteri tadi. Apabila seorang suami menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain maka hendaklah disertakan dengan bukti bukan mendengar daripada pihak ke tiga kerana membuat tuduhan dengan tuduhan nusyuz perlu ada bukti-bukti yang sahih baru mahkamah akan menjatuhkan hukuman dengan adil.

Suami tidak boleh menghukum isteri sebagai nusyuz dengan menghentikan pemberian nafkah kepada isteri atas andaian isteri telah nusyuz. Sebaliknya suami perlu mengemukakan permohonan di Mahkamah Syariah untuk mensabitkan isterinya nusyuz. Jika mahkamah puas hati bahawa seorang isteri itu telah nusyuz maka hak penjagaan anak akan diserahkan kepada suami dan isteri juga tidak berhak mendapat tuntutan mutaah . Jika suami isteri telah membuat perjanjian di atas harta sepencarian maka setelah bercerai maka masing-masing berhak menuntut harta sepencarian di antara mereka . 

Namun begitu, Hukum Syarak menetapkan bahawa suami tidak ada hak ke atas harta mutlak isteri, contohnya harta isteri yang diperolehi melalui harta pusaka daripada keluarganya. Selain itu, harta-harta perseorangan yang dibeli sebelum perkahwinan dan harta-harta tersebut tidak diusahakan bersama sepanjang tempoh perkahwinan juga bukan harta sepencarian. Bekas suami juga perlu memastikan bahawa harta-harta itu adalah harta perolehan bersama dan bukan hadiah atau hibah yang dihadiahkan kepada bekas isteri. Oleh itu, bekas suami tidak boleh menuntut hadiah yang telah diberikannya kepada bekas isteri sebagai harta sepencarian.

Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan al-Hakim yang bermaksud:

"Tidak halal bagi seseorang menuntut balik sesuatu pemberian atau barang yang telah dihibahkannya kepada orang lain kecuali dia adalah ayah yang mana ayah boleh menuntut balik ke atas pemberian yang diberikan kepada anaknya." Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment