Friday, March 14, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 65 (Waniat Haid Masuk Masjid, Wuduk Air Mustakmal, Buka al-Quran Semasa Solat, Wang Pertaruhan dan Nafkah Anak Setelah Bercerai.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 65 adalah menjelaskan persoalan waniat haid masuk masjid, wuduk air mustakmal, buka al-Quran semasa solat, wang pertaruhan dan nafkah anak setelah bercerai.

381. Soalan : Ustaz saya nak tanya bolehkah wanita yang datang haid masuk ke dalam masjid?

Jawapan : 

Jumhur Ulama dari keempat mazhab berpendapat bahawasannya tidak boleh seorang wanita haid untuk berdiam di masjid, dengan dalil hadis riwayat Bukhari (974)dan Muslim (890),dari Ummu ‘Athiyah dia berkata:

أمرنا تعني النبي صل الله عليه و سلم أن نخرج في العيدين العواتق ذوات الخدورو و أمر الخيض أن يعتزلن مصلى المسلمين

“Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasallam memerintahkan kepada kami untuk keluar rumah pada dua hari raya, termasuk remaja puteri dan gadis pingitan, dan baginda memerintahkan wanita yang haid untuk menjauhi tempat solat”.

Dalam hadis ini, Nabi Salallahu Alaihi Wasallam melarang wanita yang haid mendekati tempat solat ‘id dan memerintahkan mereka untuk menjauhinya, disebabkan disana terdapat hukum masjid, dan ini menjadi dalil dilarangnya wanita haid untuk memasuki masjid. Jumhur juga berdalil dengan hadis yang lain, akan tetapi hadis tersebut dhaif dan tidak boleh dijadikan hujjah, diantaranya hadis perkataan Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasallam:

لا أحل المسجد لحائض ولا جنب

“Tidaklah halal masjid untuk orang yang haid dan junub”. Hadis ini didhaifkan oleh syekh Albani dalam kitab Dhaif Abi Daud (232).

Ulama Lajnah Daimah ditanya tentang hal ini dalam fatwa no (6/272):

Bagaimanakah hukum syar’i tentang seorang wanita yang memasuki masjid padahal dia sedang haid untuk mendengarkan khutbah saja?

Jawaban Lajnah Daimah:

Tidak boleh bagi seorang wanita yang sedang haid atau nifas untuk memasuki masjid. Sedangkan bila hanya lalu, maka diperbolehkan apabila ia mempunyai kepentingan dan yakin bahawa tidak akan mengotori masjid dengan najisnya, berdasarkan firman Allah Ta’ala:

ولا جنبا الا عابري سبيل حتى تغتسلوا

Maksudnya, ”Dan (jangan pula menghampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, kecuali sekedar berlalu saja, sampai kamu mandi” (Surah An Nisa’ ayat 43)

dan wanita yang haid termasuk dalam makna junub. Dalil selanjutnya adalah bahawa Nabi pernah memerintahkan Aisyah untuk mengambilkan keperluan baginda dari masjid sedangkan dia sedang haid. Demikian fatwa Lajnah Daimah no 6/272

Syekh Utsaimin rahimahullah juga pernah ditanya: apakah boleh bagi wanita haid menghadiri halaqah zikir di masjid?

Beliau menjawab: wanita yang haid tidak boleh berdiam di masjid , sedangkan bila hanya lalu maka tidak mengapa, dengan syarat yakin bahawa tidak akan mengotori masjid dengan darahnya. Apabila tidak boleh baginya untuk berdiam di masjid, maka tidak boleh juga baginya untuk masuk mendengarkan pengajian atau bacaan Al Quran, kecuali apabila di sana terdapat tempat di luar masjid yang dia dapat mendengar suara dengan perantara mikrofon, maka tidak mengapa dia duduk di sana untuk mendengarkan pengajian. Kerana tidak mengapa seorang wanita haid mendengarkan zikir dan ayat-ayat Al Quran sebagaimana dalam hadis Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasallam bahwasannya baginda bersandar di pangkuan Aisyah dan membaca Al Quran sedangkan Aisyah ketika itu sedang haid.

Sedangkan pergi ke masjid untuk berdiam di dalamnya kerana mendengarkan pengajian atau bacaan Al Quran maka hal ini tidak boleh. Dalilnya adalah hadis Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasallam ketika haji Wada’: ketika sampai berita kepada Nabi Sallalhu Alaihi Wa sallam, bahawa Shofiyyah haid, maka baginda berkata: Apakah ia menahan kita (dari kembali ke Madinah)? kerana baginda Salallahu ‘Alaihi Wa sallam mengira Shafiyyah belum melaksanakan thawaf ifadhah. Para sahabat menjawab: dia sudah melaksanakan thawaf ifadhah. Maka hal ini menjadi dalil tidak bolehnya berdiam di masjid walaupun untuk ibadah. Dan juga telah tetap dari Nabi bahwasannya baginda memerintahkan para wanita untuk keluar ke tempat solat id untuk pelaksanaan solat dan zikir dan memerintahkan wanita yang sedang haid untuk menjauhi tempat solat. Demikian nukilan dari Fatawa at Thahirah (273).

Beliau mengambil pendapat para ulama dalam kitab Al Mabshuut (3/153), Hasyiyah Ad Dasuuqi (1/173), Al Majmu’ (2/388), dan Al Mughni(1/195). Wallahu a'lam

382. Soalan : Ustaz..saya ada soalan pasal mengambil wuduk...kalau tak ada air, boleh ke ambil wuduk guna air dalam tong yang disimpan? Sebab ada orang cakap tak boleh sebab tak cukup 2 kolah . Harap ustaz boleh beri penjelasan. .

Jawapan : 

Kebiasaanya yang menyebabkan air itu tidak suci dan tidak boleh berwuduk dengannya adalah disebabkan ianya telah tercampur dengan unsur-unsur najis. Maka adakah tubuh seorang mukmin itu dianggap sebagai najis sehingga sekiranya terpercik air dari anggota tubuhnya ia boleh menjejaskan kesucian sumber air untuk berwuduk? Untuk menjawab persoalan ini mari kita lihat sebuah riwayat daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh:

Bahawa Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam berjumpa dengannya di salah satu jalan kota Madinah, sedangkan waktu itu dia di dalam keadaan junub. Maka dia pun menyelinap pergi dari Rasulullah lalu mandi, kemudian datang kembali. Ditanyakanlah oleh Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam kemana dia tadi lalu dijawabnya bahawa dia datang sedang di dalam keadaan junub dan tidak hendak menemaninya di dalam keadaan tidak suci itu. Maka bersabdalah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: “Maha Suci Allah, orang mukmin itu tidak mungkin najis.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari, no: 283)

Imam al-Bukhari rahimahullah memasukkan hadis ini di dalam bab “Keringat Orang Junub dan Seorang Muslim Tidak Najis.” 

Jelas melalui hadis di atas, ia membuktikan tubuh seorang mukmin itu bukanlah najis walaupun di dalam keadaan berjunub. Oleh itu tidak ada alasan untuk menyatakan bahawa sekiranya terpercik air dari tubuh seorang mukmin lalu jatuh ke dalam bekas air ianya akan menghilangkan kesucian air tersebut. Jelas apabila barang yang suci bertemu barang yang suci ianya tidak akan memberi pengaruh apa-apa.

Tambahan lagi menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah:

Ibnu Hibban (rahimahullah) telah menyebutkan hal ini di dalam satu bab yang tersendiri di dalam kitabnya, sebagai bantahan terhadap orang yang berpendapat bahawa orang yang junub dan berniat mandi wajib, lalu air percikan mandi wajibnya itu jatuh ke dalam bekas maka airnya menjadi najis. (Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, Jilid 2, ms. 469.)

Nabi SAW tidak mengharamkan penggunaan air mustakmal untuk berwuduk.

Terdapat beberapa riwayat yang sabit daripada Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bahawa air mustakmal itu adalah suci dan boleh digunakan untuk berwuduk.

Telah diriwayatkan dari Humran (hamba abdi ‘Uthman), bahawasanya dia melihat ‘Uthman bin Affan minta dibawakan sebuah bejana, lalu menuangkan air dari bejana itu ke telapak tangannya dan mencuci keduanya tiga kali. Kemudian dia memasukkan tangan kanannya ke dalam tempat wuduk itu (bejana) lalu berkumur-kumur seraya memasukkan air ke hidung serta mengeluarkannya. Setelah itu dia membasuh mukanya tiga kali…Kemudian dia (‘Uthman bin Affan) berkata: “Aku melihat Rasulullah berwuduk sebagaimana wuduk ku ini…” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari no: 164.)

Dari hadis ini jelas kita melihat bahawa ‘Uthman al-Affan radhiallahu 'anh telah mencelup tangannya ke dalam sebuah bejana berisi air dan terus menggunakan air tersebut untuk membasuh anggota wuduk yang lain. Sekiranya air mustakmal itu tidak suci untuk berwuduk pasti dia akan menyuruh Humran untuk menggantikan air di dalam bejana tersebut kerana ianya tidak sah lagi untuk digunakan untuk berwuduk. Lantas ‘Uthman radhiallahu 'anh mensabitkan perbuatannya kepada ajaran Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

Rubaiyi’ binti Mu’awwidz mengkhabarkan bahawa dia melihat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam berwuduk. Katanya: “Baginda menyapukan kepalanya dengan air yang tersisa dari kedua belah tangannya.” (Hadis Riwayat Imam Abu Dawud no: 110).

Hadis ini secara jelas menunjukkan bahawa Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam membasuh kepalanya dengan lebihan air yang ada ditangannya tanpa mengambil sumber air yang baru. Jika air mustakmal itu tidak menyucikan tentu baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam akan mengambil air yang baru untuk menyapu kepalanya.

Dari ‘Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata: "Aku pernah mandi janabah bersama Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dari satu bejana dan tangan kami bergiliran memasuki bejana itu. - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 261).

Ukuran jumlah air dalam bejana ini diterangkan oleh ‘Aisyah radhiallahu 'anha melalui sebuah riwayat lagi.

Daripada ‘Aisyah dia berkata: Aku mandi bersama Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dari satu bejana dari sebuah bejana yang disebut al-Faraq. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 250).

Ulama berbeza pendapat tentang ukuran al-Faraq. Ada yang menyatakan ianya 16 rithil atau 3 sha’ (lebih kurang 6.5kg atau 8.25 liter) air dan lain-lain. Apa pun jua ukuran tersebut ianya tetap kurang dari ukuran dua kolah. Apa yang jelas bagi kita Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah mandi wajib bersama ‘Aisyah dan mereka berdua telah mencelupkan tangan mereka ke dalam bejana atau al-Faraq tersebut tanpa menggantikannya dengan air yang baru. Ini menunjukkan air mustakmal tetap suci untuk digunakan untuk bersuci.

383. Soalan : Boleh tak tengah solat kita buka Quran kat telefon masa nak baca surah yang selepas a-lFatihah tu?

Jawapan : 


Hal ini juga pernah diriwayatkan bahawa Aisyah r.a. bersembahyang tarawih di belakang hambanya, dan hambanya itu membaca dengan mushaf. Disebut oleh Bukhari secara muallaq 1/170, dan Ibn Abi Syaibah (2/338).

Imam juga boleh menggunakan mushaf saiz besar dan diletakkan di atas rehal di hadapannya. Ataupun jika dia memegang mushaf saiz biasa, ketika rukuk boleh diletakkan di atas rehal di sebelahnya.

Ibn Syihab ditanya tentang seseorang yang mengimami jemaah pada bulan Ramadhan dengan membaca di mushaf. Beliau berkata, "Mereka dahulu melakukan perbuatan demikian sejak awal Islam. Orang-orang terpilih dari kalangan kami pun membaca dengan (melihat) mushaf". (Muntaha al-Iradat 1/200)

Tetapi bagi makmum, tidak digalakkan membaca mushaf ketika solat kerana tidak ada hajat. Kerana makmum digalakkan mendengar bacaan imam. Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda "dilantik Imam untuk diikuti, jika dia bertakbir, takbirlah, bila dia membaca, diamlah.” (Ibn Majah, 695). Lagipun, jika seseorang itu memegang handset atau Quran semasa solat, maka beberapa tatatertib dalam solat tak dapat dilaksanakan. Contohnya, apabila seseorang itu pegang handset atau Quran, secara automatik mestilah mereka perlu memegangnya kan. Maka tatatertib untuk meletakkan tangan kanan atas tangan kiri tidak dapat dilaksanakan. Selain itu, digalakkan melihat tempat sujud, jika membaca Quran atau handset, sudah pasti tatatertib ini juga tak dapat diikuti walaupun ianya sekadar sunat.

Bagi makmum yang memegang handset atau Quran, secara tidak langsung, boleh mengganggu solat orang lain. Memegang handset atau Quran mampu menghapuskan kekusyukkan diri malah mungkin mengganggu orang sebelah semasa membelek Quran atau slide handset.

Oleh itu, para ulama dari kalangan Mazhab Imam Asy-Syafie dan Mazhab Imam Hanbali berpendapat boleh melaksanakannya.

Pendapat mazhab ini disampaikan oleh Imam Nawawi dimana beliau berkata, "Seandainya dia membaca Al Quran dari mushaf, tidak batal solatnya, baik dia hafal atau tidak. Malah, wajib baginya melakukan itu (membaca dari mushaf) sekiranya dia tidak menghafal al Fatihah. Seandainya dia membolak-balikkan lembarannya (al Quran) di dalam Solat, tidak batal solatnya."

Ini juga dinyatakan oleh Imam Asy-Syafie secara nas di dalam Al Imla dan diterapkan oleh para sahabat (ulama' mazhab kami). - Imam Nawawi, Al Majmu', vol 4, hlmn 27.

Syaikh Rahibani mengambil pendapat Imam Ahmad r.a, beliau berkata, " Boleh bagi orang yang solat (membaca, melihat dan memandang mushaf), iaitu melihat al Quran."

Imam Ahmad berkata "Tidaklah mengapa dia melakukan solat malam (qiyamulail) dengan orang-orang lain dengan dia melihat mushaf." Ditanyakan kepada Imam Ahmad "Bagaimanakah dengan solat fardu"? Imam Ahmad menjawab, Aku tidak mendengar sedikitpun tentang hal itu."

Az Zuhri pernah ditanya tentang seorang lelaki yang membaca mushaf (ketika di dalam solat) di bulan Ramadhan. Beliau (az Zuhri) menjawab, "Orang-orang yang terpilih (tokoh-tokoh) di antara kami membaca al Quran dari mushaf-mushaf:. - Syaikh Ar Rahibani, Mathalib Ulin Nuha, vol 1, hlmn 483 dan 484.

Hanya pada kalangan ulama Mazhab Maliki sahaja yang menyatakan hukumnya (membaca mushaf) adalah makruh ketika sedang solat fardhu atau solat sunat. Sementara pada ulama' Mazhab Hanafi mempunyai berbeza-beza pendapat di kalangan mereka.

Atas dasar ini, Al Mumtahan berpandangan bahawa ianya kukuh dan kuatnya pendapat majoriti (kebanyakan) besar pada ulama' bahawa membaca al Quran dari mushaf di dalam solat itu adalah sah dan tidaklah ada dosa padanya.

384. Soalan : Kalau kita menyertai liga futsal metro...masuk peryertaan bayaran rm100. Satu team...tapi Kalau menang dapat rm4000 ...Adakah duit yang kita dapat itu dikira judi?

Jawapan :  

Maksud judi ialah mempetaruhkan wang atau seumpama dengannya bagi sesuatu permainan seperti permainan bola sepak, golf, badminton dan sebagainya. Judi juga merupakan perkara yang diharamkan dalam Islam, kerana ia mempunyai pertaruhan, harapan dan hilang wang pertaruhan apabila perlawanan itu dimenangi oleh orang lain. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Maidah ayat 90)

Judi ini tidak semestinya dengan bermain daun judi, main game kuda, sport toto, nombor ekor dan sebagainya. Setiap benda yang ada wang pertaruhan atau mempertaruhkan apa-apa benda adalah dikira sebagai judi. Jadi merupakan perkara yang telah diharamkan dalam Islam dan mempunyai dalil yang jelas (qat’i) dan tidak perlu dipertikaikan lagi untuk mencari kehalalannya.

Menjadi tradisi dalam permainan bola sepak, badminton dan sebagainya siapa yang kalah mesti membayar kos permainan tersebut atau belanja lawannya makan free dan sebagainya. Bagi pendapat saya berdasarkan dalil di atas, pertaruhan ini adalah haram, kerana ia melibatkan pertaruhan dan harapan untuk seseorang itu menang. Masalah ini sama dengan permainan daun judi yang mempertaruhkan duit dalam permainannya, sesiapa yang menang dalam permainan tersebut dia akan mendapatnya.

Di haruskan perlawanan bola sepak, badminton, golf dan sebagainya yang menawarkan hadiah bagi pemenang oleh penganjur dengan tidak mempunyai wang pertaruhan daripada pemain. Wang yang dikenakan sebagai wang pendaftaran sahaja dan tidak melibatkan apa-apa pertaruhan yang boleh disamakan dengan judi.

Hal ini sama juga dengan peraduan-peraduan sms yang mengenakan caj setiap jawapan yang diberikan dan peraduan sms itu tidak diketahui apa jadi dengan jawapan tersebut. pihak yang mengetahui hanyalah penganjurnya sahaja. Kadang-kadang itu soalan yang ada cukup mudah dan boleh dijawab oleh pelajar darjah 1. Orang yang menyertainya memang betul jawapannya tetapi tidak menang juga. Ini yang dikatakan judi dan penindasan. JAKIM telah mengeluarkan fatwa mengenai peraduan sms ini dengan mengatakan peraduan tersebut adalah haram sebab tidak mematuhi syarak dan membazir.

Ringkasnya, setiap perkara yang dipertaruhkan adalah judi, tidak kira jenis perkara dan barang apa yang dipertaruhkan. Sesiapa yang berjudi adalah dosa besar kerana melanggar perkara yang telah jelas diharamkan oleh syarak. Makanlah dari rezeki yang dihalalkan oleh syarak, iaitu rezeki yang dicari dari hasil penat lelah kita sendiri. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang Yang beriman! makanlah dari benda-benda Yang baik (yang halal) Yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.” (Al-Baqarah : 172)

385. Soalan : Saya ingin bertanya. Jika seorang lelaki yang bergelar bapa tunggal dan mempunyai seorang anak lelaki brumur 3 1/2 tahun, berapakah jumlah nafkah yang sepatutnya si bapa berikan kepada anaknya berikutan jumlah gaji bulanan si bapa hanya  rm 900 sebulan sahaja. Ini kerana dengan hanya pendapatan serendah itu si bapa hanya mampu memberi rm 200 sebulan tetapi di pihak bekas isteri pula telah meminta rm 300 sebulan.?

Jawapan : 

Dalam Islam hak mendapat kehidupan bagi si anak merupakan hak anak yang tidak boleh diganggu dan disekat. Hak hidup itu juga bererti menjadi kewajiban orang tua memelihara dan memberi bekal ilmu kepada anak sehingga anak itu boleh berdikari. Firman Allah SWT ,maksudnya: 
'Kalau mereka itu (bekas isterimu) menyusukan anakmu maka berilah upah mereka'. (Surah At-Talak ayat 6)

Dalam ayat yang lain Allah SWT menerangkan: 
'Janganlah seseorang itu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang bapa kerana anaknya dan waris pun berkewajiban demikian'. (Surah Al-Baqarah ayat 233)

Dari sebuah hadis yang diterangkan oleh Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: 'Hindun pernah bertanya: 'Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufian (suami Hindun) seorang lelaki yang sangat bakhil. Ia tidak pernah memberi belanja kepadaku yang dapat mencukupi diriku dan anakku kecuali apa yang aku ambil dari hartanya itu, sedangkan ia tidak mengetahuinya'. Kemudian Rasulullah SAW menjawab: 'Ambillah apa yang sekiranya boleh mencukupi dirimu dan anakmu dengan cara yang makruf'."(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan dalil-dalil di atas ternyata seseorang bapa wajib memberi nafkah untuk anak-anaknya dengan syarat:

1. Bahawa anak itu belum boleh berdikari. Bagi anak perempuan sehingga ia berkahwin atau sehinga ia ada pekerjaan.

2. Bahawa anak itu miskin tidak mempunyai harta sendiri untuk menafkahkannya.

3. Bapa itu mampu memberi nafkah.

Apabila anak itu telah baligh dan boleh berdikari maka bapa tidak wajib lagi memberi nafkah untuk anak itu. Begitu juga jika anak itu mempunyai harta sendiri meskipun dia masih kecil maka bapa tidak wajib memberi nafkah kepada anaknya. Pendapat itu adalah sepakat Fuqaha. Jumlah berapa nafkah untuk si anak bergantung kepaad kemampuan bekas suaaminya, jika gajinya kecil maka nafkah untuk anak sesuai dengan kemampuannya, bekas isteri tak boleh nak paksa dan tuntut berlebih-lebihan. Walaupun bekas isteri sudah berkahwin lain nafkah anak tetap wajib di berikan oleh ayahnya sehingga anak tersebut baligh dan mampu mencari nafkahnya sendiri atau perempuan sehingga dia berkahwin atau sudah ada pekerjaan untuk dirinya. Wallahu a'lam.



No comments:

Post a Comment