Thursday, March 27, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 81 ( Tukang Masak, Hukum Bertatu, Kenapa Ada 4 Mazhab, Menglap Bekas Wuduk dan Hukum Berzina).

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 81 adalah menjelaskan persoalan tukang masak, hukum bertatu, kenapa ada 4 mazhab, menglap bekas wuduk dan hukm berzina.

461. Soalan : Mohon pencerahan....seandainya kita bekerja sebagai tukang masak di tempat yang menghidangkan arak,apa kah hukumnya pendapatan kita?

Jawapan : 


Umat Islam dilarang bekerja di restoran atau cafe yang ada menyediakan arak atau barang yang haram. Carilah pekerjaan ditempat yang jelas tak ada perkara haram dan syubahat di dalamnya kerana kita bekerja untuk mencari rezeki yang halal.

462. Soalan ; Saya nak tanya 3 perkara tentang tatu bagi umat Islam tapi saya tahu tatu itu haram bagi umat Islam....

1. Apa hukumnya seorang lelaki aqad nikah apabila tangan nya penuh dengan tatu?

2. Bila tangannya penuh dengan tatu sah ke pernikahan mereka?

3. Apabila seorang manusia menunaikan solat tapi tangan nya penuh dengan tatu adakah solat nya sah?

Jawapan :  

Yang haram dari tatu adalah membuatnya. Sedangkan anggapan bahwa orang yang punya tatu tidak diterima ibadahnya lantaran tatu itu menutupi kulit dari terkena air wuduk, sebenarnya tidak demikian.

Sebab kalau kita cermati yang terjadi pada tatu, tidak ada lapisan yang menghalangi kulit dari terkena basah air. Sebab tinta tatu itu bukan merupakan selaput yang menutup kulit, melainkan tinta yang masuk ke dalam bagian dalam kulit. Sehingga tidak terjadi proses pelapisan atau penutupan kulit dari terkena air wuduk. Termasuk juga air untuk mandi janabah.

Namun yang jadi masalah justru pada pembuatan tatu itu. Membuat tatu itu adalah perbuatan haram dan dilaknat oleh Rasulullah SAW seperti tersebut dalam hadisnya:

Rasulullah SAW. melaknat perempuan yang mentatu dan minta ditatu, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya. (HR At-Thabarani)

Tatu yaitu memberi tanda pada muka dan kedua tangan dengan warna biru dalam bentuk ukiran. Sebagian orang-orang Arab, khususnya kaum perempuan, mentatu sebagian besar badannya. Bahkan sementara pengikut pengikut agama membuatnya tatu dalam bentuk persembahan dan lambang-lambang agama mereka, misalnya orang-orang Kristen melukis salib di tangan dan dada mereka.

Perbuatan-perbuatan yang rosak ini dilakukan dengan menyiksa dan menyakiti badan, yaitu dengan menusuk-nusukkan jarum pada badan orang yang ditatu itu. Semua ini menyebabkan laknat, baik terhadap yang mentatu ataupun orang yang minta ditatu.

Jalan terbaik buat orang yang sudah terlanjur ditatu adalah bertaubat kepada Allah SWT. Kalau masih mungkin dihilangkan gambar-gambar itu, upayakanlah seboleh mungkin. Tapi kalau mustahil, maka bersabarlah. Semoga Allah SWT menerima permohonan ampun dan taubat Anda. Yang penting hati anda telah kembali ke jalan Allah.

Dan jangan khawatir solat anda tidak diterima hanya lantaran isu bahawa tatu menghalangi air wuduk. Insya Allah tatu itu tidak menghalangi air wuduk dan bila anda berwuduk dengan memenuhi syarat dan rukunnya, hukumnya sah dan anda boleh melakukan solat dengan wuduk itu.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21 – 24 April 2009 telah membincangkan Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa di dalam Islam hukum bertatu iaitu pembuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu adalah haram. Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa orang yang telah bertatu wajib bertaubat dan menyesal serta menghilangkannya dengan menggunakan kaedah teknologi yang sedia ada jika tidak mendatangkan sebarang kemudharatan.

Walau bagaimanapun, sekiranya ia mendatangkan kemudharatan pada diri dan nyawa, maka ia boleh dibiarkan dan dimaafkan. Bagi orang yang bertatu dan tidak sempat menghilangkannya setelah meninggal dunia, maka tatu tersebut tidak wajib dihilangkan kerana ianya akan menyeksa mayat tersebut.

Muzakarah juga berpandangan bahawa pihak berkuasa yang meluluskan lesen membuka premis membuat tatu perlu mengenakan syarat iaitu pemilik dan pekerjanya mestilah bukan beragama Islam di samping orang Islam dilarang sama sekali mencacah tatu di premis tersebut.

Keterangan/Hujah: 

Hukum tatu adalah jelas dilarang dalam Islam. Ini berdasarkan kepada Hadith Rasululllah s.a.w. yang bermaksud:

Daripada Ibnu Umar R.Anhuma, sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda “ Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan minta disambungkan rambutnya, perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu.” (Riwayat al-Bukhari)

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam mengatakan bahawa bertatu di badan adalah perbuatan yang dilaknat oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya bermaksud : Rasulullah SAW. melaknat perempuan yang mentatu dan minta ditatu, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya”. (Riwayat al-Thabrani) 

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj fi Sharh Sahih Muslim menyatakan bahawa hukum bertatu adalah haram kerana perkataan laknat dalam hadith Rasulullah S.A.W. menunjukkan pengharaman perbuatan tersebut. Di samping itu juga, tempat yang ditatu tersebut akan menjadi najis.

Islam tidak memberatkan umatnya. Kaedah yang digunakan iaitu sekiranya sesuatu yang dilakukan itu boleh mendatangkan bahaya dan mudharat pada diri, maka ia perlu dielakkkan. Kaedah ini juga terpakai bagi seorang muslim yang bertatu dan telah bertaubat daripada perbuatan tersebut.

Banyak cara diperkenalkan untuk menghilangkan tatu dan orang yang memakai tatu perlu berusaha untuk menghilangkannya dan menggunakan cara yang tidak membahayakan diri dan nyawa mereka.

Mereka yang bertatu tetapi telah menyesal dan bertaubat dari perbuatan tersebut tetapi tidak boleh menghilangkannya dengan cara yang selamat, boleh melakukan ibadat solat dan ibadat-ibadat yang lain.

1. Nikahnya sah walaupun ada tatu. Jika cukup rukun nikah dan syarat sah nikah. 

2. Wuduknya sah dan solatnya sah jika mengikut syarat sah wuduk dan mengikut 13 rukun-rukun solat. Wallahu a'lam

463. Soalan : Di dalam masyarakat umat Islam terdapat 4 mazhab bolehkan ustaz tolong jelaskan kerana saya kurang faham?

Jawapan : 

Mazhab dalam kehidupan umat Islam bukanlah 4 mazhab sahaja kerana banyak lagi terdapat mazhab-mazhab yang lain cuma mazhab yang terbesar dan dikenali ramai adalah 4 mazhab. Mazhab (مذهب) ialah bahagian pemikiran atau fiqah dalam Islam.

Dalam Islam sebenarnya ada banyak mazhab. Hal ini kerana ulama yang berkemampuan dari kalangan sahabat Nabi, tabiin dan tabi’ Al-Tabiin yang mempunyai cukup syarat dan keperluan berijtihad adalah ramai.

Bagaimanapun, mengikut pendapat ulama Sunni, mazhab muktabar yang boleh dibuat pendapat dan beramal untuk umum cuma empat mazhab, mengikut qaul yang rajih.
Bagi Islam Sunah, terdapat 4 mazhab iaitu Syafie, Maliki, Hanafi dan Hanbali. Keempat-empat mazhab ini mempunyai peraturan, kaedah dan panduan yang sempurna lagi lengkap yang ditulis oleh mereka dalam kitab masing-masing. Ia menjadi bahan tidak ternilai dalam perbendaharaan undang-undang Islam. Mazhab lain, tidak mempunyai kaedah cukup yang dibukukan untuk dijadikan panduan dalam bidang perundangan sebagaimana yang empat tadi. Umat Islam di Malaysia, Brunei, Filipina, Thailand dan Indonesia kebanyakannya mengikuti mazhab Syafie.

Perkataan mazhab berasal daripada bahasa Arab. Dari segi bahasa ia bermakna tempat pergi atau tempat ambilan. Dalam istilah fikah pula ia bermaksud pandangan-pandangan yang terhasil daripada pendekatan atau metodologi yang diguna pakai oleh para ulama iaitu imam-imam mazhab dalam mengambil hukum daripada al-Quran dan Sunah Rasulullah s.a.w.

Sebenarnya bibit pertumbuhan mazhab telah bermula sejak zaman para sahabat lagi. Telah wujud apa yang boleh dinamakan sebagai mazhab Abdullah Ibnu Umar, mazhab Aisyah, mazhab Abdullah Ibnu Abbas dan seumpamanya. Seterusnya sejak awal abad ke-2 hingga pertengahan abad ke-4 Hijrah atau bersamaan dengan awal abad ke-8 hingga pertengahan abad ke-10 Masihi pula muncul 13 ulama mujtahidin yang mana koleksi ijtihad mereka telah dibukukan oleh para pengikut masing-masing.

Para ulama tersebut ialah al-Hasan al-Basri (di Basrah), Abu Hanifah dan Sufyan al-Tsauri (di Kufah), Sufyan bin Uyainah (Makkah), Malik bin Anas (Madinah), al-Syafie dan al-Laits bin Saad (Mesir), al-Awzaie (Syam), Ishaq bin Rahuwaih (Naisabur), serta Ahmad bin Hanbal, Daud al-Zahiri, Abu Tsaur dan Ibnu Jarir al-Tabari (Baghdad).

Walau bagaimanapun, kebanyakan mazhab itu hanya tinggal dalam lipatan sejarah kerana para pengikutnya telah pupus. Apa yang masih kekal hanyalah mazhab empat seperti mana yang kita kenali sekarang.

Fenomena mazhab yang wujud pada zaman para sahabat secara umumnya membawa kepada munculnya dua madrasah utama iaitu az-Zawahir yang menafsir nas-nas al-Quran dan al-hadis secara literal atau harfiah, dan al-Maqasid yang banyak menafsirkan nas-nas dengan terlebih dahulu melihat kepada keseluruhan roh syariat Islam serta tujuan asal sesuatu nas itu diturunkan.

Contohnya, sejurus perang Ahzab atau perang Khandak, Rasulullah s.a.w. memerintahkan sebahagian para sahabat ke perkampungan Bani Quraizhah untuk mengambil tindakan ke atas pengkhianatan semasa peperangan. Sebelum bertolak Rasulullah s.a.w. bersabda: Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia solat asar melainkan di Bani Quraizhah. Para sahabat dari madrasah az-Zawahir menafsir hadis itu secara literal sehingga menyebabkan mereka melewatkan solat asar sehinggalah mereka tiba di perkampungan Bani Quraizhah walaupun telah masuk waktu maghrib.

Para sahabat dari madrasah al-Maqasid melakukan solat asar ketika di perjalanan kerana berpandangan bahawa tujuan Rasulullah s.a.w. berkata begitu ialah supaya para sahabat bersegera ke sana.

Ketika disampaikan hal itu kepada Rasulullah, Baginda tidak menyalahkan mana-mana golongan. Inilah antara bukti bahawa Rasulullah s.a.w. sangat meraikan perbezaan pendapat di kalangan para sahabat malah Baginda membiarkan mereka beramal mengikut ijtihad masing-masing.

Perkara bagaimana yang dibolehkan bercanggah pendapat dalam Islam sehingga mewujudkan mazhab?

Hanya dalam hal furu atau cabang dibolehkan perselisihan. Perkara usul atau prinsip tidak dibenarkan.

Dalam hal berkaitan solat, contoh perkara usul ialah bilangan rakaat solat seperti maghrib yang telah ditetapkan tiga rakaat baik bagi yang bermusafir mahupun bagi yang bermukim. Maka, kita tidak boleh lagi berselisih pendapat ataupun berijtihad untuk menambah atau mengurangkan bilangan rakaatnya.

Bagaimanapun, dalam hal furu atau yang bukan rukun seperti cara mengangkat kedua-dua tangan ketika takbir, perbezaan pendapat dibenarkan kerana Rasulullah s.a.w. sendiri pernah menunjukkan beberapa cara yang berbeza.

Sebagai pengamal mazhab Syafie, adakah rukhsah (keringanan) yang membolehkan kita bertaklid kepada mazhab lain?

Sejarah membuktikan bahawa pengamalan mazhab Syafie dalam pendidikan dan perundangan di Malaysia sudah berlangsung begitu lama. Malah pihak berkuasa negeri-negeri (kecuali Perlis) terus menjadikan mazhab ini sebagai asas kepada perundangan Islam seperti mana yang termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam mereka. Bagaimanapun, terdapat juga peruntukan yang membenarkan dibuat penafsiran hukum berdasarkan kepada mazhab-mazhab yang lain jika pandangan mazhab Syafiie dalam permasalahan tertentu menimbulkan masyaqqah (kesusahan) atau berlawanan dengan kemaslahatan umum.

Misalnya, Seksyen 39 (2) Akta Pentadbiran Agama Wilayah Persekutuan (1984) menyebut, Jika mufti berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie akan membawa keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, mufti bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.

Di Malaysia, sebagai contoh kita mengguna pakai pandangan mazhab Hanafi dalam ibadat zakat. Ini kerana mengikut mazhab Syafie, zakat fitrah ditunaikan menggunakan makanan ruji bagi sesebuah negara seperti beras, gandum dan seumpamanya. Bagaimanapun, oleh kerana penggunaan beras boleh menimbulkan masalah dari segi pengangkutan dan penyimpanan serta kesulitan untuk menukarkannya semula kepada wang ringgit maka para ulama bersetuju zakat dibayar dengan duit mengikut nilaian beras.

Bagi yang mengerjakan haji atau umrah pula, salah satu rukunnya ialah tawaf di mana wuduk perlu dijaga daripada batal. Dalam mazhab Syafie, bersentuh tanpa lapik antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram sama ada dengan syahwat atau tanpanya dianggap membatalkan wuduk. Dalam hal ini, para jemaah dibenarkan mengguna pakai pandangan mazhab lain seperti Hanafi atau Hanbali yang mana bersentuhan tanpa lapik antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram secara sengaja atau tidak tanpa disertakan dengan syahwat dianggap tidak membatalkan wuduk.

Ini adalah keringanan kepada para jemaah kerana jumlah yang mengerjakan haji atau umrah itu sangat ramai pada setiap tahun dan kemudahan mengambil wuduk juga agak jauh dari Kaabah.

Apakah syarat yang perlu ada sebelum boleh bertaklid kepada mazhab lain?

Paling utama kita perlu ada ilmu. Kita tidak boleh taklid buta atau ikut-ikutan secara semberono. Kita perlu kepada proses pembelajaran berguru.

Kedua, seseorang itu mestilah mengetahui sesuatu dengan kadar yang mencukupi.

Apakah contoh amalan yang bertaklidkan mazhab lain yang diguna pakai di negara kita?

Pertamanya ialah zakat seperti yang dijelaskan di atas. Contoh lain ialah dalam bab muamalat seperti bai as-salam (penjualan secara tempahan).

Para ulama Syafiiyyah (ulama dalam mazhab Syafiie) secara umumnya tidak membenarkan jual beli begini. Mereka hanya membenarkan jual beli yang dibuat ke atas barang yang sudah tersedia atau yang sudah siap. Ini bagi menjaga hak dan kebajikan si tukang jahit kerana ada pelanggan yang membuat tempahan tetapi tidak mengambilnya apabila siap.

Namun keharusan diberikan jika bayarannya dijelaskan secara keseluruhan dan tidak cukup hanya dengan membayar deposit. Bagaimanapun, para ulama dalam mazhab selain Syafie membenarkan bai as-salam walaupun dengan membayar deposit sahaja.

Demikian juga dalam hal-hal yang berkait dengan muamalat seperti urus niaga perbankan Islam di negara kita. Banyak pandangan para ulama dalam mazhab Hanafi diguna pakai. Ini mungkin kerana al-Imam Abu Hanifah itu sendiri adalah seorang ulama yang terlibat secara langsung dalam bidang perniagaan.

Apakah hikmah wujudnya pelbagai mazhab kepada umat Islam?

Perselisihan pendapat di kalangan manusia adalah lumrah. Dalam bab wuduk, misalnya, pengamal mazhab Maliki yang tinggal di utara Afrika seperti Mesir dan Sudan menganggap perbuatan menggosok anggota wuduk adalah termasuk rukun wuduk. Hal ini mungkin terjadi kerana keadaan geografi negara tersebut yang berdebu selain jumlah bekalan airnya yang terhad berbanding di negara kita. Sedangkan dalam mazhab Syafiie, menggosok anggota wuduk adalah sunat.

Begitu juga persoalan najis dalam air. Mengikut mazhab Maliki, sebaldi air yang dimasuki tahi cicak dianggap tidak najis jika tidak berubah warna, rasa dan baunya. Oleh itu tahi cicak itu boleh dibuang dan air itu masih dianggap air mutlak yang boleh digunakan untuk bersuci.

Bagaimanapun, al-Imam al-Syafie mensyaratkan kadar air tersebut mestilah sekurang-kurangnya dua kolah. Barulah ia dianggap tidak terkesan dengan najis tahi cicak itu.

464. Soalan : Selepas kita mengambil wuduk, adakah kita dibolehkan mengelap air wuduk itu dengan tuala?. Atau air wuduk itu dibiarkan saja dan terus bersolat. Mohon penjelasan daripada Ustaz.

Jawapan : 

Mengelap air wuduk terdapat dua pandangan iatu harus dan makruh.

1. Harus

Diamalkan oleh Usman alAffan, alHasan bin Ali, Anas bin Malik, alHasan alBasri, Ibn Sirin, adhDhahak, Abu Ya’la, Sufyan athThaury, asySya’abi dan Isyaq yg bersumber dari Ibn Umar ra. Inilah pendapat Hanafi, Maliki, Hanbali dan sebahagian Syafi’iy. Dalil mereka:
(HR Termudzi dan an-Nasa’iy dari Aisya r.a “Adalah kerap Rasulullah SAW mempunyai perca-perca kain untuk mengeringkan anggota sesudah berwuduk.” Hasan menurut Albani (sahih aljami’ no 4706) 

Dari Salman alFarisi,” Bahawa Nabi membalikkan jubahnya untuk mengesat air wuduknya di muka.” isnadnya sahih menurut azZahabi, didha’ifkan oleh bn Hajar, tapi menjadi Hasan jika digabungkan dengan hadis Aisyah.(Hadis Riwayat Ibn Majah no. 468)

2. Makruh tanzih (makruh biasa)

Dipegang oleh selain yg kita senaraikan dalam pendapat pertama. dalil mereka: HR Bukhari-Muslim-Ahmad ibn Hanbal, dari Ummul Mukminin, Maimuna, Maimunah membawa kain untuk mengelap tapi Nabi menolaknya.”

Pendapat pilihan:

Pendapat pertama kerana alasan pendapat kedua tidak kuat kerana apabila Maimunah menceritakan Nabi menolak (faradduh) bukanlah bermakna Nabi SAW melarang.
(Ruj: Sifat Wudhu’ anNabiyy oleh Syaikh abd Rahman asySyuwaiyyib, Saudi Arabia.)

465. Soalan :  Ustaz. saya nak tanya apakah hukum seorang lelaki yang sudah berkahwin berzina dengan isteri orang? Adakah dua-duanya patut di rejam dengan batu sampai mati? 
sekian terima kasih.

Jawapan : 

Didalam hukum jenayah islam Zina iaitu persetubuhan haram tanpa nikah yang sah antara lelaki dengan perempuan. 

Hukuman : Bagi penzina yang belum berkahwin hukumannya ialah sebat 100 kali. Bagi penzina yang telah berkahwin hendaklah direjam sehingga mati. . Sebelum dijalankan hukum hudud rejam perlu ada 4 saksi yang adil yang dapat menjadi saksi di atas perbuatan zina tersebut.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Ambillah peraturan dariku, ambillah peraturan dariku. Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan jalan untuk mereka, teruna dan dara yang berzina hukumannya di sebat seratus kali dan dibuang negeri setahun dan yang sudah berkahwin hukumannya disebat seratus kali dan direjam." (Hadis Riwayat Muslim)

Saidina Umar sebagimana yang terdapat di dalam sahih Bukhari dan Muslim menyebut :

"Sesungguhnya Allah telah membangkitkan Muhammad SAW secara benar dan diturunkan kepadanya al-Quran, dan antara yang telah di turunkan kepadanya adalah ayat berkenaan hukum rejam, maka kami (sahabat) telah membacanya, menyedarinya dan memikirkannya, maka Rasul sendiri telah merejam (penzina) dan kami juga merejamnya selepas itu, maka aku bimbang sekiranya berlalu zaman, akan timbul mereka yang berkata : "Kami tidak dapati hukum rejam di dalam Kitab Allah", maka jadilah mereka sesat dengan meninggalkan kefarduan yang diturunkan Allah, sesungguhnya rejam adalah haq dalam Kitab Allah (di kenakan) bagi penzina muhsan (sudah berkahwin) dari kalangan lelaki dan perempuan." 
(Hadis Riwayat Bukhari no.6829. Kitab al-Hudud dan juga bab-bab lain. Muslim hadis no.4394, Abu Daud hadis no. 4418, Tirmidzi hadis no. 1432, Ibnu Majah hadis no. 2553)

3 comments:

  1. Assalammualaikum, saya ingin bertanya bolehkah seseorang yang bertatu menunaikan ibadah umrah?

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum. Saya ingin bertanya. apakah berbezaan 4 mazhab tersebut ke atas hukum tatu dalam beribadat?

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum. Saya ingin bertanya. apakah berbezaan 4 mazhab tersebut ke atas hukum tatu dalam beribadat?

    ReplyDelete