Monday, March 24, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 79 (Khuf Ketika Wuduk, Solat Secara Duduk, Bab Poligami, Hukum Bercinta, Kezaliman Yang di Benci Allah dan hukum talak.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 79 adalah menjelaskan persoalan khuf ketika wuduk, solat secara duduk, bab poligami, hukum bercinta, kezaliman yang dibenci Allah dan hukum talak.

451. Soalan : Ustaz saya ada dua pertanyaan :

1. Saya nak tahu apa itu khuf semasa mengambil air sembahyang.

2. Emak saya boleh sembahyang seperti biasa cuma tak boleh sujud, jadi dia sujud duduk atas kerusi dan sujud pada kerusi satu lagi yang letak di hadapan.boleh ke ustaz?. Terima kasih.

Jawapan : 

Soalan pertama : Khuf bermakna kasut. Kasut yang dimaksudkan di sini bukan lah semua jenis kasut, tetapi kasut yang mempunyai ciri-ciri tertentu . Menyapu khuf merupakan keringanan yang diberikan oleh Syarak kepada umat Islam. Semasa mengambil wuduk, orang yang memakai khuf tidak perlu menanggalkan khufnya. Memadai ia menyapu air di atas khufnya sebagai ganti kepada membasuh kaki. Keringanan ini terbuka untuk lelaki dan wanita, orang yang sedang musafir atau yang berada di dalam negeri, yang sihat atau yang sakit.

Jabir bin Abdullah al-Bajali r.a. menceritakan; “Aku telah melihat Nabi SAW. kencing, kemudian baginda mengambil wudhuk dan menyapu air atas dua khufnya”.(Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.)

Apakah ciri-ciri khuf harus disapu semasa mengambil wuduk?

Jenis khuf atau kasut yang diberi keringanan tersebut ialah yang mempunyai ciri-ciri berikut;

1. Menutupi keseluruhan kaki yang wajib dibasuh ketika mengambil wuduk, iaitu dari hujung jari hingga ke buku lali.

Adalah dimaafkan jika terdapat sedikit koyakan pada khuf atau terdapat sedikit bahagian kaki yang tidak ditutupinya mengikut pandangan sebahagian ulama antaranya Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. (Menurut mazhab Hanafi dimaafkan jika kadarnya kurang dari saiz tiga jari. Menurut mazhab Imam Malik; masih diharuskan menyapunya jika luas koyakan tidak melebihi 1/3 kawasan kaki). Namun bagi Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad; tidak harus menyapu khuf jika terdapat sebarang koyakan hingga menampakkan kulit kaki sekalipun kecil sahaja. Sebahagian ulama mazhab Syafi’ie mensyaratkan; hendaklah khuf yang dipakai tidak dapat ditembusi oleh air kecuali melalui lubang-lubang jahitan sahaja (maka ia dimaafkan kerana tidak dapat dielakkan).

2. Hendaklah tahan dibawa berjalan berterusan selama sehari semalam bagi orang yang berada dalam negeri atau tiga hari tiga malam bagi musafir.

3. Hendaklah dari bahan yang suci, bukan najis. Oleh demikian, tidak harus menyapu khuf (kasut) yang dibuat dari kulit babi atau anjing atau kulit binatang yang belum disamak.

Dari syarat-syarat di atas, dapat kita simpulkan bahawa material kasut tidaklah dipentingkan. Asalkan kasut yang dipakai memiliki cirri-ciri di atas, haruslah kita menyapu air di atasnya semasa mengambil wuduk tanpa perlu menanggalkannya sama ada kasut itu dibuat dari kulit, getah, kain atau sebagainya.

Soalan kedua : Jika emak saudari boleh solat macam biasa, dia perlu berdiri menghadap kiblat dan takbiratul ihram. selepas baca surah al-Fatihah dan surah dia rukuk seperti biasa dan iktidal. Ketika nak sujud duduk di atas kerusi dan bongkokkan kepada setakat kemampuan. duduk antara dua sujud (duduk di atas kerusi) dan sujud kali kedua (bongkokkan badan) dan bangun dan berdiri semula untuk rekaat kedua. Ulang cara-cara tersebut hingga selesai rekaat yang baki.

452. Soalan : Nak minta penjelasan ustaz... Seorang ni beristeri dua , alhamdulillah dia berkahwin pun atas persetujuan isteri pertama..ikut hukum dia telah cuba sedaya upaya untuk berlaku adil baik dari kasih sayang wang ringgit dan semuanyalah... akan tetapi sejak akhir-akhir ni isteri pertama kuat sangat cemburu dijauhkan anak-anak dengan bapanya setiap hari ada saja yang tak kena... dan setiap hari juga lah dia meminta cerai sedangkan kawan saya tak mampu berpisah dengan isteri pertamanya... 

Jadi soalan saya apakah hukum seorang isteri meminta cerai setiap hari pada suaminya 
yang kedua apakah hukum seorang ibu menjauhkan anak-anaknya pada bapa mereka dengan alasan bapa kahwin dua (sedangkan sebelum berkahwin dah dipanggil anak berbincang sekali )
Yang ketiga atas alasan FB lah rasanya isteri dia dah jadi lain... apa tidaknya fb sampai ke pagi lepas celik mata FB... pokoknya tidak terkawal lagi dia berfb.... tolong ustaz berikan pencerahannya?

Jawapan : 

Selalu kita dengar jika berpoligami suami saja yang disalahkan tetapi dalam kes ini isteri yang cuba menimbulkan masaalah dengan memburukkan suami dan kempen pada anak-anak untuk membenci bapanya dan minta cerai. Perbuatan isteri seperti ini adalah berdosa besar kerana cuba hendak memutuskan silaturahim. Isteri yang minta cerai pada suami bukan dengan alasan yang syarak benarkan maka dia tak akan cium bau syurga. Orang yang berusaha putuskan silatrurahim juga tak akan masuk syurga. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya :

"Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tidak akan masuk Syurga bagi yang memutuskan silaturahim". (Hadis Riwayat Al-Imam Muslim)

Isteri yang banyak menghabiskan masa berfb dan mungkin banyak kenalan lelaki hingga mendorongnya minta ceria suaminya adalah melaklukan kecurangan dengan suaminya. Wanita mudah masuk syurga dengan empat syarat tetapi ramai wanita tak mampu nak tunaikan dua daripada 4 syarat tersebut. Syaratnya yg wanita ramai gagal adalah taat pada suami dan menjaga kehormatan dirinya.

Dalam kehidupan berumah tangga kadangkala suami bersikap kasar pada isteri dan anak-anak . Sikap ini pun dilarang di dalam Islam. Suami yang suka memukul isteri kerana kesalahan kecil adalah berdosa kerana menzalimi isteri. Semasa berpoligami suami wajib memberikan nafkah kepada kedua-dua isterinya dan wajib berlaku adil. Suami yang berlaku tak adil akan menderita di akhirat nanti kerana dituntut oleh isteri-isterinya kerana setiap zarah kebaikan dan keburukan (dosa) akan dihisab dengan seadil-adilnya dan suami ketika itu tak dapat nak memberikan alasan.

453.Soalan : Ustaz.dulu saya ada teman lelaki,tapi sekarag dah putus ustaz,saya sangat mencintainya,tapi sekarang saya dah bertaubat ustaz.dia sudah menikah dan sudah memiliki anak.dah hampir 4thun kami berpisah,tapi sampai sekarang saya masih belum boleh melupakan dia.terkadang di dalam solat saya menangis kerananya,saya redha dia bukan jodoh saya.semua cara sy dah lakukan ustaz,blok fb dia, tak pernah melihat dia lg, tak pernah dengar suara dia lagi.samapi-sampai saya berhent kerja kerana nak jauh dari rakan saya sampai sekarang saya masih jangan cintakan dia.tolong saya ustaz apa yang harus saya lakukan..?

Jawapan : 

Orang mukmin dilarang berputus asa daripada rahmat Allah SWT. Firman Allah SWT maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Az-Zumar ayat 53)

Setiap manusia yang hidup di dunia ini akan sentiasa di uji oleh Allah s.w.t.. Ujian Allah SWT datang berbagai bentuk. Ada ujian berupa bala dan musibah, penyakit, kemalangan, gagal dalam pepereksaan dan GAGAL DALAM PERCINTAAN .

Manusia sering merasa putus asa dan kecewa kerana gagal mengemudi diri dalam kehidupan, kecewa kerana gagal dalam percintaan, kecewa kerana jejaka yang diharapkan akan menjadi ketua keluarga telah berkahwin dengan wanita lain.

Di dalam ayat di atas Allah SWT menyeru kepada hamba-hamba-Nya supaya jangan berputus asa dengan rahmat Allah. Susah dan gagal macamana sekali pun kita dilarang untuk berputus asa dan merasa kecewa. Sifat orang fasikdan kafir tidak reda dengan qada dan qadar Allah SWT.Benarkah jikam kita gagal segala usaha itu yang telah kita lakukan itu sia-sia sahaja? Setiap apa yang berlaku di dunia ini sebenarnya tak sia-sia kerana ada hikmah dibalik peristiwa tersebut.

Yakinilah bahawa hakikat utama kehidupan kita adalah untuk memperhambakan diri kepada Allah SWT. Jika kita gagal memperolehi apa yang kita usahakan sebenarnya ianya tertakluk kepada qada' dan qadar Allah SWT. Mungkin disitu ada hikmah yang kita tidak mengetahuinya. Jiwa seorang Mukmin akan berbaik sangka dan yakin dengan takdir yang datang daripada Allah SWT.

Sesuailah dengan lafaz yang sering kita ucapkan semasa membaca doa iftitah 5 kali sehari semalam iaitu "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, matiku hanyalah kerana Allah Taala.."

Maka jika kita masih putus asa dan kecewa, sudah tentu kita tidak menyertakan tawakkal di dalam setiap pekerjaan kita malah lebih teruk lagi, tawakkal kita hanya 50:50 sahaja. Seolah-olah kita tidak yakin dengan ketentuan Allah.. Dan jika kita tidak yakin dengan ketentuan serta janji Allah, sudah pasti kita tidak yakin dengan Allah SWT..

Jodoh pertemuan itu adalah penyusunan Allah SWT yang Maha Mengetahu baik buruknya untuk kita. Mengenai jodoh, rezeki dan maut merupakan takdir yang ditentukan Allah dalam diri seseorang. Sebagai seorang insan, kita dituntut supaya bersabar dan berdoa kepada Allah agar dipertemukan dengan seorang pasangan yang sesuai dan diberkati Allah. Jika terputus perhubungan sebelum proses perkahwinan berlaku maka janganlah cepat merasa putus asa dan kecewa dengan perkara yang telah terjadi, mungkin disebalik keputusan Allah itu ada hikmah yang sangat besar terkandung didalamnya sedangkan kita tidak mampu untuk menjangkaunya.

Jika kita bersabar, insya Allah pada suatu ketika nanti akan mendapat seorang pasangan yang baik dan soleh. Disamping itu jangan lupa berdoa kepada Allah setiap kali selesai solat lima waktu. Bermohon kepada-Nya agar dipertemukan dengan seorang pasangan yang soleh dan dapat membimbing keluarga ke arah jalan yang diredhai Allah SWT. Utamakan agama dalam memilih pasangan hidup daripada faktor-faktor lain seperti harta, pangkat dan sebagainya tanpa was-was. Hiasilah peribadi dengan akhlak yang mulia, bersopan santun serta menjalankan perintah agama. Hanya dengan keperiabdian yang luhur dan mulia disenangi dan disukai oleh orang lain.

Memang diakui jodoh dan pertemuan itu adalah di tangan Tuhan. Bagamanapun kata-kata ini tidak boleh difahami secara umum begini, sebaliknya ia memerlukan huraian yang jelas, kerana ia mempunyai hubungan erat dengan qada dan qadar Allah SWT. Seseorang perempuan yang tidak di sangka-sangka dipinang orang kemudian berkahwin dan perkahwinannya kekal sehingga ke anak cucu. Itulah yang dikatakan jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Begitu juga seorang yang sudah lama bercinta dan berjanji untuk untuk berkahwin namun mereka gagal berkahwin, juga dikatakan sebagai jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan.

Bagaimanapun seseorang itu tidak boleh menyerah bulat-bulat kepada kaedah ini. Jangan hendaknya kerana jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan maka mereka tidak berusaha untuk mencari jodoh, sebaliknya mengambil sikap menunggu sahaja. Ini jelas satu prinsip hidup yang bercanggah dengan ajaran Islam. Kita dikehendaki berusaha selaras dengan ajaran-ajaran Islam yang Maha Suci, tetapi kita juga hendaklah menyerahkan kejayaan usaha kita itu kepada Allah SW. Setelah berusaha tetapi jodoh tidak ditemui juga barulah boleh kita mengatakan jodoh dan pertemuan itu di tangan Tuhan.

Dengan lain perkataan jodoh dan pertemuan yang berbentuk umum itu boleh diubah dengan usaha yang kita lakukan, kerana tidak tidak seorangpun yang dilahirkan sudah mengetahui jodoh dan pertemuannya. Sehubungan dengan usaha yang berterusan selaras dengan syariat mesti dilakukan. Sebolehnya diusahakan mendapatkan pasangan yang baik

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda:

عَجَبًا ِلأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَلِكَ ِلأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْراً لَهُ

“Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya adalah baik baginya. Hal ini tidak didapatkan kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila tertimpa kesusahan, dia pun bersabar, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya.” (Hadis Sahih Riwayat Muslim, no. 2999 dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan radhiyallahu ‘anhu).

454.Soalan : Bolehkan ustaz terangkan apakah bentuk kezaliman yang dibenci oleh Allah SWT?

Jawapan : 

Kezaliman terbagi dua, Iaitu menzalimi diri sendiri, dan menzalimi orang lain. Menzalimi diri sendiri ada dua bentuk yaitu syirik dan perbuatan dosa atau maksiat. Menzalimi orang lain adalah menyakiti perasaan orang lain/ aniaya, mensia-siakan atau tidak menunaikan hak orang lain yang wajib ditunaikan. Zalim secara istilah mengandung pengertian “berbuat aniaya/celaka terhadap diri sendiri atau orang lain dengan cara-cara bathil yang keluar dari jalur syariat Agama Islam”.

Diantara perbuatan-perbuatan zalim yang mengotori hati yaitu, sombong, dengki (tidak suka terhadap kebahagian orang lain), ghibah (membicarakan keburukan orang lain), fitnah (menuduh tanpa bukti yang kuat), adu domba (bermuka dua), dusta (bohong), ujub (bangga diri dengan merendahkan orang lain), dan lain sebagainya. Dalam pergaulan dan interaksi kita dengan orang lain, sebaiknya benar-benar menjaga perkataan dan sikap kita agar tidak menyinggung dan menyakiti persaan orang lain, apalagi sampai berbuat zalim hingga mncederakan orang lain. Kalau kita tidak sengaja melakukan kesalahan kepada orang lain saja, kita harus segera minta maaf, terlebih lagi bila kita dengan sengaja melakukannya.

Allah SWT telah mengingatkan dalam Al Quran bahwa setiap perbuatan yang kita lakukan akan mendapat balasan dari-Nya, sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran surah Al Zalzalah : 7-8 “Barang siapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan sebesar zarahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya juga“.

455. Soalan : Apa hukum kalau suami isteri tak bersama-sama sudah lebih 3bulan dan suami tidak memberi nafkah?

Jawapan : 

Jika suami mengabaikan memberi nafkah kepada isterinya maka suami akan berdosa. Tak memberi nafkah hingga 3 bulan masa yang lama jika isteri tidak bekerja akan menzalimi isteri kerana terpaksa meminta -minta pada orang lain.

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: '"Sesiapa yang memberi nafkah kepada isterinya, anaknya dan ahli keluarganya, maka ia(iaitu nafkah) yang diberikan adalah sedekah." (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Huraian Hadis

Pengajaran hadis:

i) Allah S.W.T mengamanahkan tanggungjawab tertentu kepada pasangan suami isteri. Ia merupakan ibadat yang mesti ditunaikan oleh pasangan.

ii) Si suami wajib memberi nafkah kepada keluarga yang mengikut kemampuannya. Dalam erti kata yang lain, berdosalah bagi suami yang menahan nafkah ke atas orang-orang yang di bawah tanggungannya.

iii) Nafkah terbahagi kepada dua iaitu nafkah batin dan nafkah zahir. Nafkah batin adalah tuntutan naluri semula jadi dalam mengadakan hubungan seks dan memberi pendidikan agama, manakala nafkah zahir pula adalah meliputi perkara-perkara berikut: i) perbelanjaan keluarga ii) makan minum dan pakaian iii) tempat tinggal iv) keselamatan dan perlindungan.

iv) Dalam masyarakat hari ini, meskipun didapati kedua suami isteri sama-sama bekerja, namun tanggungjawab memberi nafkah masih tetap terpikul di bahu suami. Walau bagaimanapun isteri boleh membantu di mana yang sesuai. Sumbangan isteri kepada keluarga ini dikira sebagai sedekah yang akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah S.W.T.

v) Selaku umat islam kita hendaklah mencontohi rumah tangga Rasulullah SAW ke arah menjadikan keluarga sebagai syurga dunia. Untuk itu perjalanan hidup berumah tangga mestilah berpandukan ajaran Islam dan dijadikan tempat untuk merealisasikan ajaran tersebut secara menyeluruh.

Semasa akad nikah suami ada melafazkan taklik. Lafaz taklik sebenarnya akan dikira sah melalui dua perkara utama :

1. Berlaku perkara yang dilafazkan sebagai taklik seperti : “Sekiranya saya meninggalkan isteri saya selama 4 bulan berturut-turut tanpa sebarang nafkah zahir dan batin”………..Iaitu berlakunya perbuatan meninggalkan isteri selama 4 bulan berturut-turut tanpa sebarang nafkah.

2. Isteri tidak reda dengan keadaan tersebut dan telah membuat pengaduan ke pejabat kadi dan apabila sabit perbuatan tersebut ( perbuatan meninggalkan isteri ) maka tertalaklah isteri tersebut dengan talak satu.

Berikut adalah contoh lafaz taklik negeri Selangor :

“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk.” jika puan tinggal di Selangor lafaz taklik suami adalah tinggalkan isteri tak beri nafkah zahir dan batin selama 4 bulan Hijrah berturut-turut... jika sabit kesalahan dan isteri mengadu pada mahkamah Syariah maka boleh jatuh talak satu (dengan cara talak khuluk).

Selagi suami tak ucapkan lafaz cerai maka belum lagi jatuh talak walaupun suami membawa keluar barang makanan yang telah dibelinya. jika tindakkan suami berpunca daripada sikap isteri yang derhaka isteri akan menaggung dosa besar kerana reda Allah SWT bergantung pada reda suami. Suami juga akan berdosa kerana membawa keluar makanan yg telah dibeli kerana itu adalah hak isteri dan anak-anak sebagai nafkah.




1 comment:

  1. Assalamualaikum ustaz,

    Saya pernah mengerjakan umrah dengan memakai sandal kulit jenama clarks. Selesai balik ke tanah air, saya cuci sandal tersebut. Tetapi, saya baru perasan terdapat tiga titik pada bhgian dlm sandal tersebut. Namun begitu, d sandal tersebut tertulis lether upper sahaja. Titik tiga tersebut membuat saya risau kemungkinan ia diperbuat drpd kulit babi. Bagaimanakah taraf umrah saya ustaz? Semasa membeli sandal tersebut, promoter tidak ada memberitahu ianya diperbuat drpd kulit babi cuma tertulis leather upper sahaja.. Saya risau...

    ReplyDelete