Wednesday, March 19, 2014

Tanya;ah Ustaz Siri 74 (Mandi Wajib, Isteri Curang, Aurat Wanita Muslim Depan Wanita Bukan Muslim, Ceramik Gambar Binatang dan Hukum Insuran.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 74 adalah menjelaskan persoalan mandi wajib, isteri curang, aurat wanita muslim depan wanita bukan muslim, ceramik gambar binatang dan hukum insuran.

426. Soalan : Saya nak bertanya tentang madi wajib/junub.. Kita tahu memegang kemaluan dan dubur akan membatalkan wuduk tetapi kalau tak gosok kemaluan dan dubur semasa mengalirkan air, mesti air tak kena pada celah-celah kemaluan.. Soalan saya adakah ketika masih belum tamat mandi wajib, tidak batal wuduk jika memegang kemaluan?

Jawapan : 

Mandi wajib atau dinamakan mandi hadas disebabkan keluarnya mani, keluar darah haid, nifas dan berjunub (bersetubuh) antara suami dan isteri. Menurut pandangan As-Sayyid Sabiq dalam kitabnya Fiqh Sunnah jilid 1 mengatakan bahawa :

“Mandi adalah meratakan air ke seluruh tubuh”.

Mandi disyariatkan berdasarkan Firman Allah yang bermaksud : “…dan jika kamu Junub (berhadas besar) maka bersucilah Dengan mandi wajib…”. (Surah Al-Maidah ayat 6)

Jelas di sini bahawa mandi wajib adalah menyampaikan air keseluruh anggota-anggota zahir tanpa ada halangan seperti cat, sisik ikan, minyak dan seumpamanya. Jika ada perkara yang menghalang air sampai ke seluruh anggota badan, maka tidak sah mandi tersebut dan ia perlu mengulangi mandi tersebut.

Perkara-perkara yang mewijibkan mandi

1. Bertemu dia khitan atau bersetubuh (masuknya zakar sehingga terbenam kepalanya ke dalam faraj).

2. Keluar mani walaupun sedikit.

3. Mati melainkan mati syahid.

4. Keluar haid bagi perempuan.

5. Keluar nifas (darah yang keluar mengiringi bayi ketika perempuan bersalin).

6. Wiladah atau melahirkan anak.

Fardu mandi

Pertama :

Niat. (Niat bermula apabila air sampai ke atas tubuh kita)

Keluar mani atau keluar haid dan nifas

“Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala”.

“Sahaja aku mandi daripada haid kerana Allah Taala”.

Mandi disebabkan bersetubuh antara suami dan isteri

“Sahaja aku mandi junub kerana Allah Taala”.

Mandi disebabkan keluarnya darah nifas

“Sahaja aku mandi daripada nifas kerana Allah Taala”.

Kedua :

Menghilangkan najis daripada anggota badan. Iaitu sebelum memulakan mandi, perlulah terlebih dahulu membersihkan atau menghilangkan najis daripada anggota badan.

Ketiga :

Mengalirkan atau meratakan air ke seluruh anggota badan. Maksudnya ialah menyampaikan air ke seluruh bulu, rambut, seluruh anggota badan dan mengalirkan air kepada tempat-tempat yang zahir daripada khubul dan dubur.

Cara mandi 

Sebelum memulakan mandi hadas, maka terlebih dahulu mandi biasa untuk membersihkan tubuh, menghilangkan kotoran dan perkara-perkara yang boleh menghalangkan air sampai ke anggota badan. Perlulah disabun terlebih dahulu sebagai tanda menghilangkan kotoran sebelum mandi hadas. Ingatan saya, jangan ketika mandi hadas anda sabun, kerana sabun itu bukan dari air yang mutlak dan mandi hadas anda boleh menjadi tidak sah di sebabkan sabun tersebut.

Setelah selesai mandi biasa, di sunatkan mengambil wuduk dahulu sehingga membasuh telinga sahaja dan tidak perlu membasuh kaki lagi. basuhan kaki akan dilakukan akhir mandi nanti. Perkara ini tidak dilakukan pun tidak mengapa kerana ia merupakan perkara sunat sahaja.

Duduk bertinggung bagi yang berkemampuan. Ini bertujuan untuk membuka semua anggota yang zahir dan mudah untuk mengalirkan air ke kawasan-kawasan sulit tersebut seperti qubul atau dubur. Kalau berdiri pun tidak menjadi masalah, yang paling penting ialah air dapat sampai kepada semua bahagian anggota badan.

Niat dahulu sebelum mandi (Lihat dalam bahagian Fardhu Mandi di atas). 
Sunat memulakan mandian disebelah kanan dahulu dan seterusnya disebelah kiri.

Mulakan mandi wajib dengan mengalirkan air mutlak di salah satu anggota badan dan disertakan dengan niat mandi hadas sepertimana dinyatakan di bahagian fardu mandi.

Gosot atau sapu di semua anggota badan yang zahir iaitu dirambut, kepala, telingga, hidung, mata, mulut, tengkok, ketiak, tangan, jari, kuku, badan, pusat, qubul, dubur, kaki, pelipat-pelipat kaki dan tangan, kuku kaki, jari kaki dan sebagainya. Ini bertujuan untuk menyampaikan air di seluruh anggota badan.

Akhir sekali basuh kaki sebagai penyudahnya, kerana semasa mengambil wuduk tadi kita tidak membasuh kaki. Saya rasa ini sahaja untuk perbahasan bab mandi hadas bagi lelaki dan perempuan.Semasa mandi sebaiknya cangkunglah biar punggung itu terbuka. Wanita pun sama, agar bukaan faraj tu terbuka (Bibir faraj dan dinding faraj ialah anggota yang wajib kena basuh ketika mandi wajib)

mandi wajib tak batal jika kita memegang dan membasuh kemaluan semasa mandi wajib tadi cuma wuduk yang diambil sebelum mandi akan batal melainkan tangan di alas dengan kain basahan.

Menurut pendapat jumhur ulama', tersentuh kemaluan dengan tapak tangan membatalkan wuduk iaitu al-hadath al-asghar, akan tetapi ia tidak membatalkan mandi janabah (mandi wajib - bersuci dari al-hadath al-akbar). 

Perkara-perkara seperti terkentut, buang air kecil semasa mandi dsb tidak membatalkan mandi tersebut, tetapi jika seseorang itu ingin melakukan solat dan seumpamanya, hendaklah membersihkan diri dari hadath kecil dan mengambil wuduk. 

Malah menurut Syiekh Ibn Utsaimin, bekas Mufti Arab Saudi didalam bukunya al-Sharh al-Mumti’ dan fatawa Utsaimin, jika lebihan air mani terkeluar lagi selepas mandi yang bukan disebabkan oleh ransangan, seseorang itu tidak perlu mandi lagi. Menurut beliau :

"Ia itu jika ia melakukan mandi untuk ini akan sesuatu yang telah keluar (mani), kemudian ia keluar (lagi) semasa dia bergerak, maka dia tidak perlu melakukan mandi semula. Dalilnya adalah : Sesungguhnya sebabnya yang sama (satu sebab), maka tidak perlu melakukan 2 kali mandi.

Kerana ia keluar selepas itu tanpa mempunyai perasaan keseronokan (ransangan), dan mandi tidak diwajibkan melainkan ia keluar disertakan dengan rasa keseronokan" - [al-Sharh al-Mumti’ - 1/281]

Perlu diingat bahawa perkara-perkara yang membatalkan wuduk hanya memerlukan seseorang itu membersihkan diri dari al-hadath al-asghar (hadath kecil) dan mengambil wuduk kembali, dan ia tidak sekali-kali membatalkan mandi yang dilakukan keatas al-hadath al-akbar (hadath besar). Wallahu a'lam

427. Soalan : Ustaz..saya ingin bertanya dan kepastian..apakah harus suami lakukan,apabila si isteri berlaku curang dibelakang suami..kerana orang yang menyampaikan berita, yang si isteri keluar dengan lelaki lain, apabila suami tiada dirumah.?Apakah perlu diceraikan jika sudah terbukti..?

Jawapan : 

Sebelum suami hendak menuduh isterinya curang dan mempunyai hubungan dengan lelaki lain perlulah ada bukti dan saksi yang melihat perbuatan isteri tersebut. Selagi tak ada 4 orang saksi yang adil suami tak boleh menuduh isterinya melakukan zina atau pun dia melihat sendiri perbuatan zina isterinya, maka dia boleh mengadu kepada hakim mahkamah syariah dan boleh dilakukan li'an (sumpah laknat). Jika ada bukti-bukti lain seperti gambar-gambar isteri berdua-duaan, sms di h.p isteri bercinta dengan lelaki lain dan saksi rakan yang boleh dipercayai melihat isteri berjalan berdua-duaan.

Suami perlu berlapang dada dan soal siasat isteri dengan jujur dan menasihatinya dengan baik. dan memberi amaran keras supaya tak berhubung dengan lelaki lain jika semuanya tak berhasil maka wajib suami menceraikannya dengan talak satu kerana jika suami membiarkan perbuatan maksiat isterinya suami tersebut akan menjadi dayus. Suami dayus tak cium bau syurga.

Setelah terbukti isteri bersalah berkhlawat atau berjalan berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahram adakah suami nak biarkan perbuatan maksiat tersebut dan menanggung dosa besar? jika terbukti perkara tersebut dan nasihat sudah diberikan tetapi isteri masih berdegil maka layaklah isteri curang ini di ceraikan supaya suami tak menjadi dayus.

428. Soalan : Ustaz, saya merupakan seorang pelajar IPTA dan menetap di kolej kediaman di universiti.Kolej kami menetapkan bahawa setiap penghuni bilik haruslah terdiri daripada pelbagai bangsa. Saya difahamkan bahawa aurat perempuan islam terhadap perempuan yang bukan islam adalah sama dengan aurat perempuan islam terhadap lelaki. Mohon pencerahan daripada ustaz,adakah saya perlu menutup aurat dengan sempurna meskipun di dalam bilik?

Jawapan : 

Terdapat banyak khilaf di kalangan ulamak tentang aurat wanita Islam di hadapan wanita kafir;

a) Menurut sebahagian ulamak (iaitu setengah ulamak mazhab Maliki dan Syafi’ie); aurat wanita Islam di hadapan wanita kafir ialah seluruh badan kecuali muka dan tangan sahaja, yakni sama seperti aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi.

b) Menurut mazhab Hanafi, mazhab Syafi’ie (mengikut qaul yang muktamad) dan setengah ulamak mazhab Maliki; aurat seorang muslimah di hadapan wanita kafir ialah seluruh badannya kecuali bahagian yang terpaksa dizahirkan ketika bekerja kerana menjadi keperluan pada kebiasaannya untuk dizahirkan. Menurut Imam al-Qurtubi; ini merupakan pandangan kebanyakan ulamak Salaf dan menjadi pandangan Ibnu ‘Abbas, Mujahid dan Ibnu Juraij.

c) Menurut sebahagian ulamak yang lain; sama seperti auratnya di hadapan wanita Islam tadi iaitu antara pusat dan lutut (mengikut pandangan jumhur ulamak). Pandangan ini merupakan mazhab Hanbali dan pegangan sebahagian ulamak mazhab Syafi’ie dan Maliki. Menurut Imam Fakhrurazi; inilah pandangan yang lebih mudah bagi manusia hari ini kerana hampir tidak mungkin untuk para muslimah hari ini berhijab tatkala berhadapan wanita-wanita zimmah..”.(Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 90.)

Ada di kalangan ulamak tidak mengkategorikan aurat wanita sesama wanita dengan kategori Islam dan kafir, akan tetapi dengan kategori baik atau jahat, berakhlak atau tidak berakhlak;

a) Wanita yang dikenali berakhlak dan baik; harus membuka hijab di hadapannya sama ada ia Islam atau kafir (yakni sekadar yang harus dibuka di hadapan mahram).

b) Wanita yang dikenali sebagai jahat dan tidak berakhlak; tidak harus membuka hijab di hadapannya melainkan sekadar memperlihatkan muka dan tangan sahaja, tanpa mengira wanita itu Islam atau kafir. Begitu juga, jika berhadapan wanita yang tidak dikenali. Jadi, tatkala berhadapan dengan wanita yang jahat dan tidak berakhlak (sama ada ia Islam atau kafir) atau wanita yang tidak dikenali, tidak harus seorang muslimah mendedahkan tubuhnya melainkan sekadar muka dan tangan sahaja, iaitu sama seperti ketika ia berhadapan lelaki ajnabi.
(Tafsir surah an-Nur, Dr. Abdullah Mahmud Syahatah, hlm. 143-144.)

Jika berlaku tinggal asrama (dalam satu bilik) di antara wanita muslimah dengan wanita bukan Islam ulama mengharuskan membuka selain daripada muka dan tapak tangan tetapi sekadar anggota wuduk sahaja iaitu rambut, leher dan lengan tangan sahaja. Wallahu a'lam.

429. Soalan :  Saya nak tanya ustaz sebelum saya beli...berdosa tak saya nak buat koleksi ceramik dalam bentuk ayam..burung..itik...untuk saya letak di kawasan halaman (garden saya)....sekian.

Jawapan :  

Islam melarang menjadikan perhiasan patung-patung ganbar-gambar manusia atau haiwan samaada diletakkan di dalam rumah atau di luar rumah. Malaikat rahmat tak masuk rumah yang ada gambar manusia atau makhluk hidup yang diletakkan di dinding rumah sebagai perhiasan samaada gambar dalam bingkai atau berbentuk ceramik.

Kebanyakkan di rumah-rumah orang Islam masih terdapat di dinding-dinding rumah mereka tergantung gambar-gambar manusia samaada tuan rumah sendiri atau ahli keluarganya. Atau pun gambar-gambar binatang menghiasi dinding rumah mereka sebagai perhiasan. Tidak kurang juga kita dapati ada sebahagian mereka yang menjadikan patung-patung binatang sebagai koleksi perhiasan yang diletakkan dialmari perhiasan sebagai hobi tuan rumah.

Adakah amalan seperti ini dilarang atau dibenarkan? Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Imam Bukhari bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguhnya para malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada didalamnya gambar, patung, anjing dan orang yang junub.”

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa malaikat tidak masuk kerumah orang yang ada :

Pertama : Gambar 

Kedua : Patung

Ketiga : Anjing

Keempat : Orang yang junub. 

Jika di luar rumah sebelah kali lima atau koridor jika diletakkan gambar haiwan sama saja samaada di dalam atau luar rumah, sebab sebelum malaikat rahmat nak masuk ke dalam rumah , malaikat akan sampai di kawasan luar rumah dahulu dan jika ada gambar malaikat tak akan masuk. Wallahua'lam

430. Soalan : Ustaz..mohon pencerahan tentang insurans diri (nyawa,harta)..Terima kasih

Jawapan : 

Islam tidak menolak konsep insurans. Secara am insuran ditakrifkan sebagai satu pakatan oleh sekumpulan ahli untuk mewujudkan satu tabung atau dana kewangan bersama yang khusus bagi tujuan membantu ahli ketika ditimpa musibah. Amalan seumpama ini selaras dengan tuntutan Islam. Kerjasama, saling bantu membantu dan prihatin kepada golongan yang memerlukan bantuan kerana seperti yang tersirat dalam konsep insuran adalah selari dengan tuntutan Islam, sebagaimana maksud hadis yang berbunyi: 
"Sesungguhnya seseorang yang beriman ialah sesiapa yang boleh memberi keselamatan dan 
perlindungan terhadap harta dan jiwa raga manusia' (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Konsep insuran sudah lama dipraktikkan. Dalam zaman Jahiliyyah ia adalah antara beberapa bentuk amalan kerjasama dikalangan puak atau suku kaum Arab sebagai strategi mambantu sesama mereka apabila ada anggota atau ahli yang  menanggung kesusahan, seperti pembunuhan, penculikan, rompakan dan sebagainya. Malahan kini diperakui bahawa insuran telah berkembang daripada amalan Islam. 

Walaubagaimanapun ulama umumnya sepakat bahawa operasi insuran dalam bentuknya sekarang tidak menepati hukum syarak. Jika konsep insuran diterima Islam, mengapa pula operasi seperti yang ada dalam pelbagai jenis polisi yang disediakan oleh syarikat insuran sekarang didiapati bercanggah dengan kehendak syarak.

Misalnya, Jawatankuasa Fatwa , Majlis Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan, dalam mesyuarat pada 15 Jun 1972, memutuskan bahawa insuran nyawa sebagaimana dijalankan oelh syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah suatu muamalat yang fasid kerana tidak sesuai dengan prinsip Islam dari segi aqadnya, kerana mengandungi unsur yang tidak Islamik; yang  mana hukumnya menurut Islam adalah HARAM. 

Selain itu, Akademi Feqah Islam (Majmak Fiqh) yang mana anggotanya terdiri daripada ulama' dari seluruh dunia Islam termasuk Malaysia dan diasaskan dibawah Persidangan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), dalam mesyuaratnya di Jeddah pada 22-28 Disember 1995 memutuskan selepas mengkaji semua jenis dan bentuk insurans, bahawa kontrak perniagaan insurans yang disediakan oleh syarikat insurans mengandungi unsur yang membawa kepada fasid.

Yang demikian,menurut Majmak Fiqh, ia HARAM disisi syarak. Daripada kedua-dua keputusan, ini jelas menunjukkan ulama' sependapat bahawa kedua-dua jenis perniagaan insurans nyawa dan am adalah tidak menepati landasan syariah. Mengapa pula ulama' memutuskan perniagaan insurans yang disediakan oleh syarikat insurans sekarang tidak menepati hukum syarak ialah kerana polisi insurans adalah kontrak atau akad jual beli, Di bawah urusan transaksinya, pembeli yang dipanggil pemegang polisi dikehendaki membayar wang premium sebagai harga kepada syarikat insurans yang menjual polisi insurans yang menyediakan faedah perlindungan sama ada untuk diri (nyawa) atau harta benda pemegang polisi itu sendiri. Jual beli dalam Islam mempunyai rukun tertentu. Sekiranya salah satu rukun itu tidak dipenuhi, maka akad jual beli dikira tidak sempurna dan boleh membatalkan akad tersebut.

Dalam kontrak jual beli insurans, salah satu rukun yang tidak sempurna ialah yang berkaitan dengan ma'qudalaih (apa yang diakadkan). Perkara atau apa yang diakadkan, yang dibeli atau dijual, mestilah jelas dan tidak mengadungi unsur 'gharar'. Jika rukun ini tidak dipenuhi, maka akad jual menjadi cacat. Gharar dilarang oleh Rasulullah SAW mengikut sabda baginda yang bermaksud:  "Rasulullah SAW melarang jual beli secara baling batu da njual beli gharar (Hadis Riwayat Muslim).

Sehubungan itu, ulama' menjelaskan gharar dalam salah satu daripada daripada tiga sebab berikut; 

I. Tiada barang yang dijual beli (akad jual beli tanpa barang). 

2. Ada barang tetapi tidak boleh diserah kepada pembeli, dan 

3. Ada barang dan ia boleh diserahkan kepada pembeli tetapi ia tidak dapat ditentukan atau tidak jelas sama ada sifatnya, caranya, banyaknya atau lain-lain.

Dalam konteks ini, ulama' berpendapat perkara ke-3 diatas menunjukkan ada unsur gharar dalam konteks jual beli insurans. Dalam setiap urusan, Islam sentiasa menekankan kepada prinsip keadilan dan kebaikan. 

Unsur gharar menafikan kedua-dua prinsip ini. Mana-mana kontrak jual beli yang mengandugi amalan atau mengenakan syarat berat sebelah dan kesannya boleh membawa kerugian kepada sebelah pihak sahaja adalh jual beli gharar. Misalnya, syarat yang menetapkan luputnya wang pembeli atau pengembalian wang tidak mengikut kiraan yang adil, sekiranya pembeli terbabit tidak memenuhi kewajipan, tempoh atau tanggungjawab tertentu seperti membatalkan atau memecahkan akad sebelum genap tempoh yang dipersetujui. Urusan jual beli seperti ini, tidak mengambil kira langsung kepentingan keadilan dan kebaikan kepada akid atau pihak-pihak yang berakad, lebih-lebih lagi pembeli yang menyubangkan wang.

Operasi Takaful :

Berbeza dengan insurans, operasi takaful sebagai satu bentuk perniagaan adalah tidak berasas kepada akad jual beli. Dalam hubungan ini, peserta takaful tidak membeli produk takaful daripada syarikat takaful dan sebaliknya syarikat takaful tidak menjual produk itu seperti syarikat-syarikat insurans menjual polisi insurans. Apa pun konsep takaful, seperti insurans, tetap mementingkan dan menghayati amalan kerjasama, tolong-menolong, setiakawan atau ringkasnya saling jamin menjamin  diantara mereka.

Umumnya, struktur perjalanan takaful tidak banyak berbeza dengan insurans. Disatu pihak ada peserta yang melanggani produk takaful daripada pihak yang menyediakan produk itu, iaitu syarikat takaful. Kedua-dua pihak ini akan memeteraikan akad. Oleh kerana wang sumbangan dibayar oleh peserta dengan tujuan untuk menabung dan mendapat untung sambil berniat untuk membantu rakan peserta yang memerlukan bantuan ketika ditinpa musibah, maka opersi takaful lebih berbentuk satu usaha pelaburan.

Yang demikian wang sumbangan peserta tidak menjadi hak syarikat. Sedang dibawah jual beli insurans, wang premium menjadi hak syarikat insurans sebagai balasan pemegang polisi membeli polisi insurans daripada syarikat berkenaan. Sesuai dengan struktur operasinya, ulama' memutuskan bahawa akad takaful HARUS berasaskan prinsip al-Mudharabah atau berkongsi untung dalam perniagaan. 

Peserta akan berhak mendapat untung daripada bahagian tabungan atas pulangan pelaburan yang dijalankan oleh syarikat takaful. Diwaktu yang sama, peserta juga bersetuju menyumbang sebagai tabarru' (derma) sebahagian daripada sumbangannya dan untung pelaburan keatasnya bagi tujuan membantu rakan peserta yang ditimpa kesusahan.



No comments:

Post a Comment