Friday, March 14, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 64 (Solat Tahajud, Umrah Tanpa Mahram, Menjaga Ibu , Harta Sepencarian dan Berjudi Dalam Sukan.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 64 adalah menjelaskan persoalan solat tahajud, umrah tanpa mahram, menjaga ibu , harta sepencarian dan berjudi dalam sukan.

376. Soalan : Bolehkah solat tahajud tanpa tidur terlebih dahulu?
terima kasih

Jawapan : 

Solat Tahajud merupakan salah satu solat malam yang sangat dianjurkan oleh Rasulullah SAW.
Namun begitu, masih banyak juga yang menanyakan, apakah harus tidur terlebih dahulu kalau ingin melaksanakan solat tahajud.

Makna Solat Tahajud. Solat tahajud merupakan solat yang dikerjakan pada malam hari setelah tidur, walaupun tidurnya hanya sebentar saja. Hal ini sesuai dengan makna kata "Tahajjud" yang ertinya "Bangun dari Tidur"

Jadi, syarat utama untuk melaksanakan solat tahajud adalah telah tidur sebelumnya walaupun hanya sebentar. Pendapat ini merupakan pendapat majoriti ulama Fiqih seperti Imam Nawawi, Syekh Dr Said Ali bin Wahf, Ibnu Faris dan sebagainya. Solat malam yang tidak perlu tidur sebentar adalah solat hajat, solat taubat, solat witir, solat istikharah dan solat tasbih . Wallahu a'lam

377. Soalan : Tahun 2012.. saya telah menunaikan umrah..Saya pergi seorang diri saja..
Persoalan saya .. adakah ibadah saya ni di terima atau tidak ustaz ....kerana setahu saya seorang wanita tidak dibenarkan bermusafir tanpa mahram selama 3 hari..
Tolong ustaz.. apakah hukum dan adakah ibadah umrah saya sia-sia saja dan adakah saya berdosa.?

Jawapan :

Ulama meletakkan dua syarat yang khusus untuk wanita mengerjakan umrah.Pertama, wanita hendaklah bebas dari 'Iddah sama ada talak mahupun kematian suami dan Kedua, ditemani suami atau mahram.

Syarat tersebut merupakan topik perbahasan para ulama.Umumnya, terdapat dua pendapat dalam isu ini.

Pendapat pertama mewajibkan para wanita diiringi suami atau mahram itu sendiri.Ini adalah mazhab Imam Abu Hanifah dan mazhab Imam Ahmad Ibnu Hambal.Berdasarkan mazhab ini, wanita MESTI mengerjakan umrah dengan diiringi suami atau mahramnya.Jika seseorang itu tidak memenuhi syarat tersebut, umrahnya tetap sah.

Pendapat kedua ini juga meluaskan skop syarat ini dengan membenarkan mahram atau suami diganti dengan ditemani wanita-wanita lain yang boleh dipercayai bahkan pendapat ini membenarkan wanita mengerjakan umrah seorang diri jika dapat dipastikan keselamatannya terjamin.Ini adalah pendapat ulama mazhab Syafie dan Imam Malik.

Ini disebutkan di dalam kitab Al Iqna' Karangan Syeikh Asy Syarbini : 

ويشترط خروج نحو زوج امراة كمحرمها وعبدها، او نسوة ثقات معها لتامن على نفسها

Maksudnya : disyaratkan keluar (mengerjakan umrah) seseorang yang menggantikan suami wanita seperti mahram dan hambanya atau wanita-wanita yang boleh dipercayai untuk memastikan keselamatan dirinya.

Ianya juga dengan bersandarkan Hadis Raulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim : 

لا تسافر المراة يومين من الدهر الا ومعها ذو محرم او زوجها 

Maksudnya : Seseorang wanita itu hanya boleh berjalan jauh dua hari dua malam dengan ditemani seorang mahram atau suaminya.

Berdasarkan pendapat Al Khatib Asy Syarbini yang merupakan salah seorang ulama dalam Mazhab Syafie, seseorang wanita boleh mengerjakan umrah atau haji dengan ditemani sekurang-kurangnya dua orang wanita yang sampai umur aqil baligh dan boleh dipercayai.

.Hadis yang dikemukakan itu dilihat dari aspek maqasid atau objektif wanita memerlukan teman adalah untuk keselamatan dirinya. oleh yang demikian, berdasarkan aspek tersebut, seseorang wanita boleh mengerjakan umrah dan haji walaupun tidak ditemani mahram atau suaminya.Hadis tersebut boleh hanya difahami secara literal sebaliknya, para ulama dalam mazhab syafei dan mazhab maliki telah memperluaskannya dengan melihat maqasid atau objektif tersebut. Wallahu a'lam.

378. Soalan : Ustaz..saya nak tanya,tanggungjwb menjaga mak yang sudah tua ni lebih berat pada anak lelaki tapi kalau anak perempuan tu dah jadi janda apakah tanggungjwb anak perempun jadi sama berat untuk menjaga seorang ibu? Mohon pencerahan..terima kasih.

Jawapan :  


Tanggungjawab kepada ibu bapa adalah terletak dibahu anak-anak lelaki walau pun mereka telah berkahwin mereka tetap di beri amanah untuk menjaga, membela dan menguruskan keperluan ibu bapa mereka terutama yang telah tua dan lanjut usia. Jika anak-anak lelaki mengabaikan tanggungjawab ini mereka akan termasuk dikalangan anak derhaka yang tidak mengenang jasa baik ibu bapa mereka. Anak perempuan yang telah berkahwin amanah yang perlu dijaga adalah keperluan suaminya dan anak-anaknya. 

Walaubagimana pun hubungan dengan ibu bapanya tidak akan terputus, anak-anak perempuan digalakkan membantu kedua ibu bapanya yang memerlukan bantuan, jika diberikannya wang gajinya sendiri tidak boleh dihalang oleh suaminya kerana hak tersebut adalah hak isterinya. Sekiranya isteri telah menjadi janda samaada kematian suami atau di ceraikan oleh suaminya , maka waris yang patut menjaganya adalah bapanya sendiri atau adik beradiknya yang lelaki. Wanita tersebut jika dia berkhidmat menjaga ibunya yang sudah tua atau sakit sangat digalakkan dan akan diberi ganjaran yang besar oleh Allah SWT. Wallahu a'lam.

379. Soalan : Ustaz,saya nak bertanya berkaitan tuntutan hak penjagaan anak dan harta sepencarian setelah 5 tahun penceraian..tetapi sebelum ini bekas isteri pernah membuat hubungn sulit dengan lelaki lain dan meninggalkan rumah tanpa izin suami selama 1 minggu.. Sedangkan ketika penceraian berlaku,pihak bekas suami masih lagi dalam rawatan perubatan selepas pembedahan tumor.. Bolehkah bekas suami memfailkan nusyuz terhadap bekas isteri slepas 5 tahun penceraian?

Jawapan : 

Apabila suami isteri telah bercerai maka hubungan mereka sudah terputus tidak ada ikatan lagi. Sepatutnya tuntutan harta sepencarian dilakukan dimahkamah syariah sebaik saja berlaku penceraian bukannya setelah 5 tahun bercerai. Apakah yang dimaksudkan harta sepencarian? Harta sepencarian adalah pengertian yang mudah adalah harta bersama. Ia dimiliki oleh pasangan suami-isteri semasa tempoh perkahwinan mereka walaupun harta itu atas nama isteri atau nama suami atau nama kedua-duanya.

Harta sepencarian selalunya merujuk kepada rumah kediaman dan sebarang harta yang bernilai tinggi.

Suami atau isteri mempunyai hak ke atas harta yang dimiliki semasa tempoh perkahwinan kerana masing-masing ada sumbangan kewangan atau bukan kewangan ke atas harta bersama atau harta sepencarian itu.

Sebagai contoh sebuah bungalow walaupun ia di atas nama suami tetapi isteri ada hak. Isteri mungkin memberi wang pendahuluan membeli rumah, membuat ubahsuai rumah, membaiki kerosakan rumah.

Sekiranya isteri tidak bekerja dan semua perbelanjaan rumah ditanggung oleh suami, isteri tetap ada hak ke atas harta bersama itu. 

Hak isteri ke atas harta adalah berasas kepada sumbangan bukan kewangan. Ini termasuk sumbangan melayani suami iaitu makan-minum, mencuci pakaian, mengembirakan suami selepas penat bekerja, mengemas dan menjaga rumah semasa suami bekerja dan membesar dan mendidik anak di rumah. 

Pemilikan harta sepencarian oleh isteri boleh diberi semasa pasangan suami-isteri sedang bahagia atau melalui proses mahkamah. 

Semasa pasangan sedang bahagia, suami boleh memberi sebahagian daipada harta itu kepada isterinya melalui Deklarasi Harta Sepencarian.

Cara mudah memperolehi harta sepencarian ialah pasangan membuat Deklarasi atau Perjanjian Harta Sepencarian semasa pasangan masih bahagia. Pasangan dengan sukarela menyerahkan secara sukarela sebahagian harta kepada pasangan masing-masing.

Sebagai contoh, suami bersetuju menyerahkan hakmilik rumah itu sebanyak 50% kepada isterinya melalui Deklarasi Harta Sepencarian.

Sekiranya Deklarasi Harta Sepencarian tidak dibuat, maka pasangan ada pilihan membuat tuntutan harta sepencarian melalui proses mahkamah. Bagaimanapun, si penuntut (biasanya isteri) membuktikan wujudnya harta itu dan jumlah jumlah sumbangan (peratus)nya ke atas harta itu. Ini bagi membolehkan Mahkamah Syariah memutuskan hak harta sepencarian isteri tadi. Apabila seorang suami menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain maka hendaklah disertakan dengan bukti bukan mendengar daripada pihak ke tiga kerana membuat tuduhan dengan tuduhan nusyuz perlu ada bukti-bukti yang sahih baru mahkamah akan menjatuhkan hukuman dengan adil.

Suami tidak boleh menghukum isteri sebagai nusyuz dengan menghentikan pemberian nafkah kepada isteri atas andaian isteri telah nusyuz. Sebaliknya suami perlu mengemukakan permohonan di Mahkamah Syariah untuk mensabitkan isterinya nusyuz. Jika mahkamah puas hati bahawa seorang isteri itu telah nusyuz maka hak penjagaan anak akan diserahkan kepada suami dan isteri juga tidak berhak mendapat tuntutan mutaah . Jika suami isteri telah membuat perjanjian di atas harta sepencarian maka setelah bercerai maka masing-masing berhak menuntut harta sepencarian di antara mereka . Namun begitu, Hukum Syarak menetapkan bahawa suami tidak ada hak ke atas harta mutlak isteri, contohnya harta isteri yang diperolehi melalui harta pusaka daripada keluarganya. Selain itu, harta-harta perseorangan yang dibeli sebelum perkahwinan dan harta-harta tersebut tidak diusahakan bersama sepanjang tempoh perkahwinan juga bukan harta sepencarian. Bekas suami juga perlu memastikan bahawa harta-harta itu adalah harta perolehan bersama dan bukan hadiah atau hibah yang dihadiahkan kepada bekas isteri. Oleh itu, bekas suami tidak boleh menuntut hadiah yang telah diberikannya kepada bekas isteri sebagai harta sepencarian.

Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan al-Hakim yang bermaksud:

"Tidak halal bagi seseorang menuntut balik sesuatu pemberian atau barang yang telah dihibahkannya kepada orang lain kecuali dia adalah ayah yang mana ayah boleh menuntut balik ke atas pemberian yang diberikan kepada anaknya." Wallahu a'lam

380. Soalan : Saya nak tanya ....Kalau kita menyertai liga futsal metro...masuk penyertaan bayar rm100. Satu team...tapi Kalau menang dapat rm4000 ...adakah duit yang kita dapat itu dikira Judi ?adakah duit itu haram ?...tak silap saya kalau bersukan tak kira judi kan ?

Jawapan : 

Maksud judi ialah mempetaruhkan wang atau seumpama dengannya bagi sesuatu permainan seperti permainan bola sepak, golf, badminton dan sebagainya. Judi juga merupakan perkara yang diharamkan dalam Islam, kerana ia mempunyai pertaruhan, harapan dan hilang wang pertaruhan apabila perlawanan itu dimenangi oleh orang lain. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Maidah ayat 90)

Judi ini tidak semestinya dengan bermain daun judi, main game kuda, sport toto, nombor ekor dan sebagainya. Setiap benda yang ada wang pertaruhan atau mempertaruhkan apa-apa benda adalah dikira sebagai judi. Jadi merupakan perkara yang telah diharamkan dalam Islam dan mempunyai dalil yang jelas (qat’i) dan tidak perlu dipertikaikan lagi untuk mencari kehalalannya.

Menjadi tradisi dalam permainan bola sepak, badminton dan sebagainya siapa yang kalah mesti membayar kos permainan tersebut atau belanja lawannya makan free dan sebagainya. Bagi pendapat saya berdasarkan dalil di atas, pertaruhan ini adalah haram, kerana ia melibatkan pertaruhan dan harapan untuk seseorang itu menang. Masalah ini sama dengan permainan daun judi yang mempertaruhkan duit dalam permainannya, sesiapa yang menang dalam permainan tersebut dia akan mendapatnya.

Di haruskan perlawanan bola sepak, badminton, golf dan sebagainya yang menawarkan hadiah bagi pemenang oleh penganjur dengan tidak mempunyai wang pertaruhan daripada pemain. Wang yang dikenakan sebagai wang pendaftaran sahaja dan tidak melibatkan apa-apa pertaruhan yang boleh disamakan dengan judi.

Hal ini sama juga dengan peraduan-peraduan sms yang mengenakan caj setiap jawapan yang diberikan dan peraduan sms itu tidak diketahui apa jadi dengan jawapan tersebut. pihak yang mengetahui hanyalah penganjurnya sahaja. Kadang-kadang itu soalan yang ada cukup mudah dan boleh dijawab oleh pelajar darjah 1. Orang yang menyertainya memang betul jawapannya tetapi tidak menang juga. Ini yang dikatakan judi dan penindasan. JAKIM telah mengeluarkan fatwa mengenai peraduan sms ini dengan mengatakan peraduan tersebut adalah haram sebab tidak mematuhi syarak dan membazir.

Ringkasnya, setiap perkara yang dipertaruhkan adalah judi, tidak kira jenis perkara dan barang apa yang dipertaruhkan. Sesiapa yang berjudi adalah dosa besar kerana melanggar perkara yang telah jelas diharamkan oleh syarak. Makanlah dari rezeki yang dihalalkan oleh syarak, iaitu rezeki yang dicari dari hasil penat lelah kita sendiri. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang Yang beriman! makanlah dari benda-benda Yang baik (yang halal) Yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.” (Al-Baqarah : 172)

No comments:

Post a Comment