Friday, March 21, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 76 (Doa Ketika Bersama Isteri, Menginai Rambut, Hukum Rujuk, Cara Menasihati Ibu Bapa dan Fidyah Puasa.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 76 adalah menjelaskan persoalan doa ketika bersama isteri, menginai rambut, hukum rujuk, cara menasihati ibu bapa dan fidyah puasa.

436. Soalan : Apakah doa yang diajarkan oleh Nabi SAW ketika bersama isteri (berjimak). Jika membaca doa tersebut apa kebaikan yang akan kita perolehi?

Jawapan : 

Nabi SAW mengajarkan kita membaca doa perlindungan daripada gangguan syaitan.

Doanya seperti berikut;

بسم الله اللهم جنبنا الشيطان وجنب الشيطان ما رزقتنا

Maksudnya: “Dengan nama Allah, wahai Tuhan kami jauhilah kami daripada syaitan dan hindarilah anak yang Engkau anugerahi kepada kami daripada gangguan syaitan.”

Jika kita membaca doa ini syaitan akan menjauhkan dirinya dan jika ditakdirkan oleh Allah SWT mendapat zuriat maka dia tidak akan diganggu syaitan untuk selama-lamanya.

Dari Ibn Abbas bahawasanya Rasulullah SAW bersabda (maksudnya), " Sekiranya salah seorang di antara kamu bermaksud mendatangi (mencampuri) isterinya, maka hendaklah dia mengatakan,'Dengan nama Allah, ya Allah, jauhkan kami dari syaitan, dan jauhkanlah syaitan dari apa yang Engkau anugerahkan kepada kami, 'Sebab, kalau Allah menakdirkan lahirnya seorang anak dari hubungan itu, maka dia tidak akan diganggu syaitan untuk selama-lamanya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tetapi jika seseorang itu berjimak sedangkan dia tidak membaca doa, syaitan akan bersama-sama melakukan perseggamaan bersamanya.

Sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud, "Apabila seseorang mencampuri (berjimak) isterinya tanpa menyebut nama Allah, maka jin akan bergabung dengannya dan melakukan persenggaman bersamanya." (Di riwayatkan oleh Ibn Jarir Ath-Thabariy dalam Tafsirnya, dan oleh Al-Hakim dan At-Tirmidzi dalam Nawadir Al-Ushul)

437. Soalan : Ustaz ni ada soalan yang membuat saya jadi dilema..boleh ke kita guna inai rambut dari produk shurah sebab ada orang cakap tak boleh..ada pun di botol produk tersebut di beri tanda halal lagi suci...Terima Kasih.

Jawapan :

Hukum asal inai rambut adalah harus untuk wanita. Mewarnakan rambut kebiasaannya dilakukan sama ada untuk menutupi uban di kepala ataupun semata-mata untuk kecantikan.

Bagi kedua-dua tujuan tersebut, hukum asal mewarnakan rambut sama ada dengan inai atau lain-lain bahan adalah harus selagi mana perkara-perkara berikut dijaga:

1. Tidak menyerupai wanita-wanita bukan Islam. Sekiranya suatu warna, fesyen warna, gaya warna, ataupun bahan pewarna itu kebiasaannya hanya digunakan oleh golongan bukan Islam, di mana jika seseorang Muslimah memakainya dia akan kelihatan seperti wanita bukan Islam, maka tidak harus mewarnakan rambut dengan warna, gaya, fesyen atau bahan demikian. Kerana Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُم Maksudnya, “Sesiapa menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk sebahagian daripada mereka”. (Diriwayatkan oleh Abu Daud, 4/44, no: 4031).

2. Wanita bersuami hendaklah mendapat keizinan suaminya untuk mewarnakan rambut. Jika suaminya tidak mengizinkan, maka isteri tidak harus melakukannya.

3. Wanita yang sedang dalam tempoh iddah kematian suami tidak diharuskan mewarnakan rambutnya, kerana mewarnakan rambut termasuk dalam perbuatan menyerlahkan kecantikan, dan ia dilarang terhadap wanita yang dalam iddah kematian suami.

4. Warna rambut hendaklah selain daripada warna hitam, kerana menutupi uban dengan warna hitam adalah dilarang oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Di dalam satu hadis, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepada Abu Quhafah yang sudah keputihan rambut dan janggutnya, “Ubahlah ini dengan sesuatu, dan jauhi warna hitam”. (Diriwayatkan oleh Muslim, 3/1663, no: 2102). Dalam mazhab Syafie, mewarnakan rambut dengan hitam tidak dibenarkan untuk wanita kecuali dengan izin suami.

5. Bahan yang digunakan untuk mewarnakan rambut hendaklah daripada bahan-bahan yang suci. Maka tidak harus menggunakan bahan najis atau bercampur dengan bahan najis.

6. Bahan yang digunakan sebagai pewarna hendaklah daripada jenis bahan yang hanya meninggalkan warna dan bukannya bahan yang melekat dan melapisi rambut yang boleh menghalang air daripada mengenai anggota mandi wajib.

7. Mewarnakan rambut dilakukan bukan untuk tujuan mendedahkan kecantikannya kepada khalayak yang bukan mahram. Jika tujuan mewarnakan rambut adalah untuk diperlihatkan kepada mereka, maka haram hukumnya. Justeru, wanita yang tidak bertudung di khalayak adalah haram mewarnakan rambut kerana ia adalah maksiat berganda; pertama kerana mendedahkan aurat, dan kedua kerana melakukan tabarruj (berhias-hiasan) di hadapan khalayak ajnabi.

Berkenaan dengan mandi wajib bagi wanita yang mewarnakan rambut, para ulama bersepakat bahawa kewujudan bahan yang melekat dan melapisi anggota mandi akan menghalang sahnya mandi wajib. 

Justeru, perkara ke-6 di atas hendaklah dijaga bagi mengelakkan masalah ketika mandi wajib. Untuk mengetahui produk Shurah perlulah saudari rujuk kepada pembuatnya samaada ianya serap air atau pun tidak, jika tak serap air maka haram hukumnya kerana tak sah mandi wajib. Jika saudari ragu-ragu lebih baik tinggalkan dan cari pruduk yang sah dan tidak meragukan.

438. Soalan : ustaz...cuba jelaskan pada hamba..Lafaz Taklik..telah berlaku..dan rujuk semula dalam masa iddah..

Jawapan : 

Apabila seorang suami telah mengucapkan taklik cerai dan telah berlaku apabila isteri melanggarnya maka jatuh talak satu. Semasa iddah suami boleh merujuk semula isterinya dengan syarat-syarat berikut : Tatacara rujuk menurut pendapat yang rajih bagi kami, adalah hanya sah dengan ucapan (bil-kalam), tak sah dengan jima’ (bil-fi’li). Imam Syafi’i berkata, ”Adalah jelas bahawa rujuk hanya dengan ucapan, bukan dengan perbuatan seperti jima’ dan yang lainnya.” (Imam Syafi’i, Al-Umm, 5/1950). 

Rujuk dengan ucapan, misalnya suami berkata kepada isterinya,”Saya rujuk lagi kepadamu.” (Taqiyuddin Al-Husaini, ibid., 2/108).

Disyaratkan ada dua orang saksi laki-laki, sehingga tak sah rujuk tanpa dua saksi yang mempersaksikan rujuk. (Taqiyuddin An-Nabhani, ibid., hal. 115). Dalilnya firman Allah SWT yang bermaksud,,”Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu.” (TQS Ath-Thalaq: 2). 

Ayat ini menunjukkan wajibnya dua saksi dalam rujuk. Ini salah satu pendapat mazhab Syafi’i. (Imam Syairazi, Al-Muhadzdzab, 2/103; Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 2/68).

Kesimpulannya, selama masih dalam masa iddah, suami berhak merujuk isterinya tanpa akad nikah ulang dan mahar baru. Caranya hanya dengan ucapan dan wajib dipersaksikan dengan dua orang saksi laki-laki yang adil. 

Dalam mazhab Syafie 2 orang saksi ketika rujuk adalah perlu dan tak sah rujuk melainkan dengan 2 saksi. Berdasarkan Seksyen 51 (8) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, terdapat beberapa perkara yang perlu dipenuhi oleh pasangan yang ingin meruju'.

Pertamanya : suami hendaklah melafazkan niat untuk meruju' bekas isterinya.

Kedua : bekas isteri perlu memberikan persetujuannya ke atas ruju' tersebut.

Setelah itu, suami dikehendaki menghantar permohonan ke mahkamah syariah untuk mendaftarkan ruju'.

Setelah itu, mahkamah akan mengeluarkan perintah supaya pasangan yang telah bercerai tadi hidup semula sebagai suami isteri. Setelah proses ruju' itu lengkap barulah suami boleh kembali kepada bekas isterinya.

Namun apapun, pihak Jabatan Agama Islam kelihatan membuat keputusan dan ijtihad apabila MEWAJIBKAN REDHA ISTERI. Anjuran mazhab Syafie hanyalah menggalakkan sahaja dan tidak wajib: -

والجديد أنه لا يشترط لصحة الرجعة ( الإشهاد ) عليها بناء على الأصح أنها في حكم الاستدامة, ثم لم يحتج لولي ولا لرضاها بل يندب

Ertinya : Pandangan mazhab baru Syafie, tidak disyaratkan wujud saksi untuk sahnya ruju', kemudian, (ruju') juga tidak memerlukan kepada (persetujuan) wali dan juga persetujuan wanita (isteri), cuma ia digalakkan sahaja. ( Nihayatul Muhtaj, 1/59 )

BOLEHKAH RUJU' TANPA MELAFAZ? 

Tidak terdapat khilaf bahawa rujuk yang dibuat secara berlafaz yang terang oleh suami di hadapan saksi adalah sah. Demikian juga secara bertulis.

Ulama mazhab berbeza fatwa dalam hal ini seperti berikut :-

Hanafi : Sah ruju' sama ada dengan persetubuhan atau permulaan persetubuhan seperti sentuhan bersyahwat, ciuman, melihat kemaluan isteri dan lain-lain. Pandangan ini turut disebut oleh ramai ulama tabien seperti Sa'ad Ibn Musayyab, Hasan Al-Basri, Ibn Sirin, Ato' Abi Rabah, Al-Awzai'e, Sufyan At-Thawry, As-Sya'biy dan lain-lain.

Maliki : Sah ruju' dengan persetubuhan dengan syarat si suami ada niat ruju' semasa persetubuhan itu berlaku. Namun ciuman, sentuhan dan lain-lain dengan syahwat sahaja tidak cukup untuk dianggap ruju'.

Syafie : Mazhab Syafie menolak ruju' melalui perlakuan tanpa lafaz secara total, sama ada persetubuhan, mahupun permulaannya sebagaimana pandangan Hanafi tadi. Mazhab Syafie berfatwa sebarang persetubuhan pada waktu ‘iddah tanpa lafaz ruju' yang jelas terlebih dahulu adalah haram.

Imam As-Syafie berkata :-

والرد يكون بالكلام دون الفعل من جماع وغيره ; لأنه رد بلا كلام، فلا تثبت رجعة لرجل على امرأته حتى يتكلم بالرجعة، كما لا يكون نكاح ولا طلاق حتى يتكلم بهما، فإذا تكلم بها في العدة ثبتت له الرجعة 
Ertinya : Ruju mestilah dengan percakapan ( lafaz) dan bukannya dengan jima' dan lainnya, kerana tiada ruju' tanpa lafaz, maka tidak sah ruju' bagi seorang lelaki kepada wanita sehinggalah dia melafazkannya, sebagaimana tiada nikah dan talaq yang dibuat tanpa lafaz, maka jika si lelaki melafazkannya (ruju') semasa iddah barulah sah ruju'nya" (Al-Umm)

Hanbali : Sah ruju' dengan persetubuhan namun tidak sah ruju' hanya dengan permulaan persetubuhan. Samada ia dilakukan dengan niat ruju' atau tidak.

Kesimpulan : Apapun pendapat pelbagai mazhab, sebagaimana yang telah di dedahkan di atas, Malaysia mengambil mazhab Syafie yang mensyaratkan suami MESTI melafazkan ruju' terlebih dahulu secara rasmi. Ia wajar dituruti.

AURAT ISTERI DEPAN SUAMI SEMASA IDDAH 

Benar, wajib secara sepakat seluruh ulama si isteri untuk tidak keluar dari rumah suami semasa iddah dalam penceraian raj'ie (normal boleh ruju') kali pertama dan kedua.

Si suami juga haram untuk menghalau isteri keluar dalam tempoh itu, malah suami masih wajib berikan belanja zahir kepada isteri di waktu ‘iddah. ( Tafsir Al-Jassas, 5/348 : Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 18/154 )

Namun, timbul persoalan jika isteri duduk di rumah suaminya, bagaimana dengan hal auratnya?

Jawapannya mudah, menurut mazhab Syafie, isteri wajib menutup auratnya di dalam rumah itu.

Namun menurut mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali; tiada aurat yang perlu ditutup di depan suaminya sepanjang tempoh iddah, kerana mereka masih dikira isteri dan akan automatik ruju' dengan persetubuhan.

RUJU' DALAM KES TEBUS TALAQ 

Adapun tebus talaq ataupun khulu', penceraian itu yang dilakukan atas dasar ini tidak mempunyai peruntukan ruju', sama ada ia dianggap sebagai Fasakh atau Talaq (berdasarkan perbezaan ijtihad ulama).

Namun majoriti ulama silam dan kontemporoari menyebutkan tiada rujuk bagi kes tebus talaq. Malah Imam As-Syawkani menyebut telah terdapat Ijma' (perspekatan penuh) seluruh ulama bahawa tidak ruju' bagi kes tebus talaq. Ini adalah kerana Talaq itu jatuh dalam kategori Talaq Bain dan bukan Talaq Raj'ie (yang boleh diruju'). (Nailul Awtar ; Mawsu'ah Al-Kuwaitiyah)

Cuma bezanya kali ini, wanita ada hak untuk terima jika si bekas suami tadi ingin ruju' juga dalam kes tebus talaq. Ertinya, peruntukan asalnya suami tidak boleh ruju' seperti kes talaq biasa, namun dalam kes tebus talaq, lelaki hilang haknya untuk ruju' tanpa redha isteri. (Kasyyaf Al-Qina', Al-Bahuti)

PERLUKAH RUJU' KEPADA SAKSI?

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, Imam Syafie dalam satu fatwanya menyatakan penyaksian dalam bab ruju' adalah wajib. Berdasarkan dalil firman Allah s.w.t :

فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ فَارِقُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنكُمْ

Ertinya : Apabila mereka telah mendekati akhir idahnya, maka rujukilah mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik.. ( At-Talaq : 2 )

Namun pendapat Abu Bakar r.a, Imam Malik dan Abu Hanifah, saksi tidak wajib kerana ia langsung tidak memerlukan persetujuan dari pihak lain. Justeru, saksi hanyalah digalakkan sahaja namun ia tidaklah wajib.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, rakyat Malaysia perlu menuruti undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di Malaysia, iaitu setiap rujuk mesti ada saksi dan dibuat secara rasmi.

Ia baik bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan fitnah serta mengambil jalan yang lebih cermat. Justeru, sebarang penyaksian ruju' boleh dilakukan di mahkamah Shariah.

Pandangan ini juga bertepatan dengan mazhab Syafie yang menyebut :-

مذهبنا أن الإشهاد على عقد البيع والإجارة وسائر العقود غير النكاح والرجعة مستحب , وليس بواجب

Ertinya : Mahzab kami, sesungguhnya saksi dalam aqad jual beli, ijarah dan seluruh aqad selain aqad nikah dan ruju' adalah digalakkan sahaja, tidak wajib. ( Al-Majmu', An-Nawawi, 1/170)

439.Soalan : Saya nak tanya, macam mana kita nak beri nasihat kepada kedua ibu bapa kita tanpa menyakiti hati mereka? Ustaz, apa doa saya patut saya amalkan untuk mengelakkan diri daripada melawan ibu bapa?

Sebab setiap kali saya tak puas hati tindakan ibu bapa saya, saya rasa macam nak melawan..

Dan apa doa yang harus saya baca supaya sentiasa bersyukur dan redha kepada Allah SWT? Terima kasih..

Jawapan : 

Sebagai seorang anak saudari boleh menasihati ibu bapa dengan cara hikmah dan bijaksana jika ada beberapa perbuatan dan amalannya yang tidak sesuai dengan akhlak atau ajaran Islam. Allah SWT menyuruh kita apabila bercakap atau menasihatinya hendaklah dengan cara yang lembut tak boleh kasar dan tidak beradab. Terdapat banyak doa-doa di dalam al-Quran untuk keduaibu bapa. Sebuah titipan doa yang diajar Allah Taala kepada Nabi Nuh Alaihissalam.

1. Doa Nabi Nuh a.s. : "Ya Tuhanku, ampunilah daku, ibu bapaku, dan siapa pun yang memasuki rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman lelaki dan perempuan. Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kehancuran" (Surah Nuh ayat 28)

2. Doa Nabi Sulaiman alaihissalam, memohon kebaikan kepada kedua orang tuanya :

"Maka dia (Sulaiman a.s) tersenyum lalu tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa : "Ya Tuhanku, anugerahkanlah daku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kedua orang tuaku dan agar daku mengerjakan kebajikan yang Engkau redhai, dan masuklah daku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh." (Surah An-Naml ayat 19).

Boleh amalkan doa ini : Ya Allah ya Tuhanku, ampunkan dosa-dosaku dan dosa kedua ibu bapaku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka mengasihiku semasa kecil. Ya Allah, jadikanlah diriku seorang hamba-Mu yang taat dan patuh kepada suruhan-Mu, beriman dan bertakwa dan jadikanlah diriku seorang anak yang solehah yang sentiasa taat dan patuh kepada keduanya, mengasihi dan menyayangi mereka dengan sepenuh hatiku. Ya Allah jika kedua ibu bapaku melakukan dosa dan maksiat maka Kau ampunilah mereka berdua, berikanlah taufik dan hidayah-Mu, dan tempatkan mereka berdua bersama hamba-hambaMu yang Kau redhai dan kasihi. Ya Allah, lembutkan hati mereka berdua supaya bersedia menerima teguran, nasihat yang baik dan menjadi hamba-Mu yang beriman dan beramal soleh.Ya Tuhanku, anugerahkanlah daku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kedua orang tuaku dan agar daku mengerjakan kebajikan yang Engkau redhai, dan masuklah daku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh." Aamiin.

440. Soalan : Dalam masalah membayar fidyah puasa.. apakah penanda aras yang diberikan Islam untuk mengkategorikan seseorang itu sebagai miskin?

Jawapan : 

Dalam Islam mereka yang layak menerima fidyah puasa adalah asnaf fakir dan miskin.

FAKIR:

1. Fakir adalah orang yang pendapatannya tidak dapat memenuhi keperluan asas sesuai dengan kebiasaan masyarakat tertentu. Fakir adalah orang yang tidak memiliki harta dan penghasilan yang halal dalam pandangan jumhur ulama fikih, atau yang mempunyai harta yang kurang dari nisab zakat menurut pendapat mazhab Hanafi. Keadaannya lebih buruk dari pada orang miskin. 

2. Orang fakir berhak mendapat fidyah atau wang zakat sesuai keperluan pokoknya selama setahun, kerana zakat berulang setiap tahun. Keperluan pokok yang akan dipenuhi adalah berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan pokok lainnya dalam batas-batas kewajaran, tanpa berlebih-lebihan atau terlalu irit.

3. Di antara pihak yang dapat menerima zakat dari kuota fakir, (bila telah memenuhi syarat memerlukan, yaitu tidak mempunyai wang ringgit atau harta, tidak mempunyai keluarga yang menanggung keperluannya) adalah; anak yatim, anak terbiar, janda, orang tua , orang sakit, orang cacat jasmani, orang yang pendapatannya rendah, pelajar, para penganguran, tahanan, orang-orang yang kehilangan keluarga dan tawanan, sesuai dengan syarat-syarat yang dijelaskan dalam aturan penyaluran zakat.
MISKIN:

Miskin adalah orang-orang yang memerlukan, yang tidak dapat menutupi keperluan pokoknya sesuai dengan kebiasaan yang berlaku. Miskin menurut majoriti ulama adalah orang yang tidak memiliki harta dan tidak mempunyai pencarian yang layak untuk memenuhi keperluannya. Menurut Imam Abu Hanifah, miskin adalah orang yang tidak memiliki sesuatu. Menurut mazhab Hanafi dan Maliki, keadaan mereka lebih buruk dari orang fakir, sedangkan menurut mazhab Syafii dan Hambali, keadaan mereka lebih baik dari orang fakir.
Bagi mereka berlaku hukum yang berkenaan dengan mereka yang berhak menerima zakat. 

Jika pelajar IPT keluarganya fakir dan miskin maka boleh mendapat bantuan zakat di dalam kategori asnaf fakir dan miskin.. Jika pelajar tersebut keluarganya kaya tak termasuk di dalam kategori fakir miskin. Fidyah yang perlu kita berikan adalah dalam bentuk beras supaya memenuhi syarat ayat al-Quran di peruntukkan kepada orang fakir-miskin. Wallahu a'lam








No comments:

Post a Comment