Friday, March 14, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 67 (Menjaga Ibu, Doa Pelembut Hati, Cara-cara Bertaubat, Tertidur Semasa Khutbah dan Mungkir Janji).

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 67 adalah menjelaskan persoalan menjaga ibu, doa pelembut hati, cara-cara bertaubat, tertidur semasa khutbah dan mungkir janji.

391. Soalan :Saya nak tanya,tanggungjawab menjaga mak yang sudah tua ni lebih berat pada anak lelaki tapi kalau anak perempuan tu dah jadi janda apakah tanggungjawab anak perempuan jadi sama berat untuk menjaga seorang ibu? Mohon pencerahan..terima kasih.

Jawapan : 

Tanggungjawab kepada ibu bapa adalah terletak dibahu anak-anak lelaki walau pun mereka telah berkahwin mereka tetap di beri amanah untuk menjaga, membela dan menguruskan keperluan ibu bapa mereka terutama yang telah tua dan lanjut usia. Jika anak-anak lelaki mengabaikan tanggungjawab ini mereka akan termasuk dikalangan anak derhaka yang tidak mengenang jasa baik ibu bapa mereka. Anak perempuan yang telah berkahwin amanah yang perlu dijaga adalah keperluan suaminya dan anak-anaknya. 

Walaubagimana pun hubungan dengan ibu bapanya tidak akan terputus, anak-anak perempuan digalakkan membantu kedua ibu bapanya yang memerlukan bantuan, jika diberikannya wang gajinya sendiri tidak boleh dihalang oleh suaminya kerana hak tersebut adalah hak isterinya. Sekiranya isteri telah menjadi janda samaada kematian suami atau di ceraikan oleh suaminya , maka waris yang patut menjaganya adalah bapanya sendiri atau adik beradiknya yang lelaki. Wanita tersebut jika dia berkhidmat menjaga ibunya yang sudah tua atau sakit sangat digalakkan dan akan diberi ganjaran yang besar oleh Allah SWT. Wallahu a'lam

392. Soalan : Ustaz, saya nak tanya, ayat apa yang perlu kita baca mohon orang yang pinjam duit tu agar bayar balik kepada kita? 

Jawapan : 

Cara-cara melembutkan hati orang yang berhutang supaya hatinya lembut membayar hutang. Buat solat hajat 2 rekaat setelah selesai berdoalah kepada Allah SWT supaya melembutkan hati orang yang berhutang supaya dia bayar hutangnya kerana dia berkemampuan. Baca Ya Latif, ya Latif sebanyak 7 kali kemudian diikuti dengan membaca Surah Asy-Syura ayat 19. ( baca ayat al-Quran dalam bahasa Arab)

Maksudnya : "Wahai Tuhan yang Maha Pelembut. Allah Maha Lembut terhadap hamba-hambanya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dikehendakinya dan Dialah Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa" (Surah Asy-Syuura ayat 19) - Niatkan di dalam hati supaya Allah SWT melembutkan hati orang tersebut. Ulang-ulangkan zikir tersebut hingga 7 kali. Semuanya berlaku di atas keizinan Allah SWT jangan putus asa teruskan berdoa dan berdoa hingga Allah makbulkan doa-doa kita. Wallahu a'lam

393. Soalan : Ustaz... bagaimana seseorang itu ingin bertaubat dgn dosa-dosa yang telah dia buat...? Adakah Allah trima taubat itu?

Jawapan : 

Apabila kita telah melakukan dosa-dosa kecil memadailah kita beristighfar kepada Allah SWT, mohon ampun di atas dosa-dosa yang telah kita kerjakan. Tetapi apabila kita telah melakukan dosa-dosa besar maka perlulah bertaubat nasuha. Setiap orang yang melakukan perbuatan dosa besar, dia diwajibkan untuk bertaubat nasuha. Dan cara yang diajarkan oleh islam untuk menghapus dosa besar adalah dengan bertaubat nasuha. Allah berfirman SWT :

إِنْ تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُمْ مُدْخَلًا كَرِيمًا

Maksudnya, "Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga). (Surah An-Nisa' ayat 31).

Ayat ini menjelaskan, syarat dihapuskannya kesalahan adalah dengan bertaubat nasuha, dengan meninggalkan dosa yang dilakukan.

Taubat secara bahasa maksudnya kembali. Orang yang bertaubat, bererti dia kembali dari kemaksiatan, menuju aturan Allah, diiringi memohon ampun kepada-Nya.

Rukun Utama Taubat Nasuha Ada Tiga :

Imam An-Nawawi mengatakan,

وقد سبق في كتاب الإيمان أن لها ثلاثة أركان: الإقلاع، والندم على فعل تلك المعصية، والعزم على أن لا يعود اليها أبدا

”Dalam kitab al-Iman disebutkan bahawa taubat memiliki 3 rukun iaitu 1. Al-Iqla’ (meninggalkan dosa tersebut), 2. An-Nadm (menyesali) perbuatan maksiat tersebut, dan 3. Al-Azm (bertekad) untuk tidak mengulangi dosa yang dia taubati selamanya. (Syarh Shahih Muslim, 17/59)

Berikut penjelasan lebih terperinci :

Pertama ; al-Iqla’ (Meninggalkan dosa tersebut (yang ditaubati).

Inilah bukti keseriusan taubatnya. Meninggalkan dosa yang dia lakukan. Seorang pegawai bank, belum dikatakan bertaubat dari riba, selama dia masih aktif kerja di bank. Seorang penzina belum dikatakan bertaubat dari zina, sementara dia masih rajin berzina.
Seorang peminum arak belum dikatakan telah bertaubat apabila dia masih belum meninggalkan tabiat minum arak.
Imam Fudhail bin Iyadh menyatakan: “Istighfar (bertaubat) tanpa meninggalkan kemaksiatan adalah taubat para pendusta.”

Kedua, an-Nadm (Mengakui kesalahan dan menyesali perbuatannya)

Orang yang tidak mengakui dosanya, dia tidak akan menyesali perbuatannya. Dengan menyesal, dia akan bersedih jika teringat dosanya. Termasuk bagian dari penyesalan itu adalah tidak menceritakan dosa tersebut kepada orang lain, apalagi membanggakannya. Dan jika dosa itu di sebabkan kawasan sekitarnya mempengaruhinya maka dia akan meninggalkan kawasan tersebut.

Bentuk penyesalan seorang pelaku dosa besar rasa menyesal dan benci terhadap perbuatan tersebut.

Ketiga, al-Azm (Bertekad untuk tidak mengulangi dosanya)

Jika seseorang berhenti dari dosanya, sementara dia masih punya harapan untuk melakukannya jika waktu memungkinkan, maka dia belum disebut taubat. Oleh itu tekadnya bersungguh-sungguh dan tidak mahu lagi mengulagi perbuatan dosa besar tersebut. Wallahu a'lam

394. Soalan : ustaz...saya ada satu kemusykilan...semasa mendengar khutbah Jumaat...jika seseorg itu terlena dalam keadaan duduk...adakah wuduknya akan terbatal ? T.kasih..

Jawapan : 

Jika terlena semasa khutbah dan ponggung kita tetap dalam keadaan duduk maka tak batal wuduk.Mazhab Hanafi dan Syafi'i berpendapat, tidur dalam keadaan rapat papan punggungnya ke tempat duduk tidaklah membatalkan wuduk. Mereka berdalilkan kpd hadis berikut:
Hadis riwayat Anas yang bermaksud, “Pernah para sahabat Rasulullah SAW. menunggu waktu utk sembahyang isya', lalu mereka terlena sambil duduk, kemudian mereka bangun melakukan shalat tanpa wudhuk. [Hadis riwayat Syafi’i, Muslim, Abu Daud dan Turmudzi]

Mazhab Maliki dan Hanbali pula berpendapat, tidur yg sebentar ataupun ringan tidak membatalkan wuduk'. Dalil mereka:

Hadis riwayat Anas yang bermaksud, “Para sahabat Rasulullah SAW. menunggu-nunggu waktu isya hingga larut malam, hingga kepala mereka berkulaian, kemudian mereka melakukan solat tanpa wuduk lebih dahulu.

Hadis riwayat Ibnu Abbas katanya, "Aku telah bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah, lalu baginda bangun daripada tidur Baginda dan aku juga turut bangun di sebelah rusuk kiri baginda, lalu baginda memegang tanganku dan menempatkan aku di sebelah rusuk kanan Baginda. Apabila aku terlelap, Baginda telah sembahyang sebanyak 11 rakaat."[Hadis Riwayat Muslim]

Kesimpulannya, menurut Dr Wahbah al-Zuhaili dalam Fiqh Islami jilid 1, tidur dalam keadaan mengiring yang tidak rapat papan punggungnya, sama ada di dalam sembahyang atau lainnya boleh membatalkan wuduk tanpa khilaf lagi di kalangan fuqaha'.

Apabila seseorang itu tidur di dalam keadaan punggungnya rata kepada lantai maka ianya tidak membatalkan solat baik tidurnya itu ketika dalam solat mahupun di luar solat atau tidur yang lama mahupun seketika sahaja. Ini merupakan mazhab Imam al-Syafi’i. Telah berkata Imam al-Syafi’i:

Apabila seseorang tidur pada posisi duduk tegak, maka saya melihat bahawa dia tidak wajib berwuduk, sebab orang yang tidur dalam posisi terlentang (baring) tidak sama dengan orang yang tidur dalam keadaan duduk. Ini adalah kerana tidur dengan posisi terlentang akan terasa lebih nyenyak, sehingga akalnya akan terasa lebih tidak berfungsi jika dibandingkan dengan orang yang tidur dalam keadaan duduk.

Apabila dia telah tergeser dari posisi duduk tegak saat tidur, maka dia wajib megulangi wuduknya, kerana orang yang tidur dalam keadaan duduk itu menekan dirinya (bahagian punggungnya) pada lantai dan hampir tidak terkeluar sesuatu (kentut) kecuali dia akan menyedarinya.

Tambah Imam al-Syafi’i lagi:

Yang mewajibkan seseorang berwuduk kembali kerana tidur ialah hilangnya fungsi akal, baik tidur ringan mahupun tidur nyenyak. Adapun orang yang fungsi akalnya tidak hilang, baik tidur dengan posisi terlentang, dengan kepala yang tersengguk-sengguk kerana mengantuk atau adanya bisikan hati, maka hal itu tidak mewajibkan berwuduk kembali, sehingga dia yakin bahawa dia telah berhadas.( Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms. 24-25.)

395. Soalan : ustaz..saya nak tanya..Kalau orang berjanji tetapi dia tidak menunaikan janjinya, orang tersebut panggil golongan apa? Setengah orang cakap orang munafik nie, orang yang suka menipu dan sebagainya.. Jadi saya nak tanya ustaz..apakah maksud MUNAFIK yang lebih mndalam?

Jawapan :

apabila seseorang sudah berjanji dan dia tak tunaikan janji hukumnya berdosa melainkan ada sesuatu sebab dan halangan yang menyebabkan dia tak dapat nak tunaikan tetapi perlu maklumkan kepada orang yang telah kita berjanji supaya tak timbul salah sangka. Menurut Ibn Qaiyim munafik itu terbagi dua:

Pertama: Munafik Besar (Nifak Akbar), "Nifak Besar" atau nifak akidah (iktiqad) yang menyebabkan pelakunya jika tidak bertaubat sebelum meninggal dunia dia akan dikekalkan di dalam neraka. Di neraka pula Si Munafik ini akan ditempatkan di neraka yang paling terbawah (kerak neraka). Hakikatnya dia kafir tetapi pura-pura masuk Islam.

Boleh diertikan juga bahawa nifak akbar ialah: “Merahsiakan kekufuran dalam hati dan melahirkan keimanannya dengan lisan dan perbuatan (amalan)”.

Antara contoh-contoh nifak akbar (nifak besar) ialah:

1. Mendustakan apa yang disampaikan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sama ada sebahagian atau keseluruhannya. Seperti menolak dan mendustakan bahawa hadis-hadis sahih (as-sunnah) tidak perlu dipakai lagi dan cukup hanya dengan mengambil al-Quran sahaja.

2. Mempermain-mainkan, memperlekeh atau menghina sebahagian dari ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Seperti menghina penutupan aurat bagi wanita mukminah, menghina akhlak Islamiah atau memperlekeh dan menghina perlaksanaan hukum-hukum Allah Azza wa-Jalla seperti hudud dan qisas yang alasannya hanya semata-mata bertujuan untuk mempermain-mainkan agama Allah.

3. Membenci Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sama ada dengan tindakan, ucapan, sindiran atau hasutan. Seperti menuduh bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai seorang yang sayhwani

4. Merasa gembira dan senang dengan kejatuhan Islam dan senang dengan kemenangan kuffar atau menolong (membantu) musuh dengan apa cara sekalipun dalam usaha menghancurkan Islam, memerangi umat dan Daulah Islamiyah.

5. Membenci ajaran yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaih Wasallam atau menentangnya sehingga menghalang-halangi dakwah dan kelancaran perjalanannya sebagaimana firman Allah:

رَاَيْتَ الْمُنَافِقِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْكَ صُدُوْدًا

Malsudnya : “Nescaya kamu lihat orang-orang munafik menghalang-halangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya”. (Surah an-Nisaa ayat 61)

Kedua: Munafik Kecil (Nifak Asghar) "Nifak kecil" atau nifak amali iaitu salah satu dari dosa-dosa besar . Namun pembuatnya tidak akan dikekalkan di dalam neraka. Dinamakan nifak kecil ialah apabila perbuatan seseorang nampak jelas berbeza dengan apa yang telah disyariatkan oleh syara. Munafik jenis ini dia masih Islam tetapi amalannya jauh daripada Islam.

Rasulullah bersabda:

آيَةُ الْمُنَافِقِ اَرْبَعٌ : اِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَاِذَا وَعَدَ اَخْلَفَ وَاِذَا خَاصَمَ فَجَرَ وَاِذَا عَاهَدَ غَدَرَ

Maksudnya : "Tanda-tanda munafik itu empat: Apabila berkata ia dusta, jika ia berjanji tidak menepatinya, apabila bertengkar ia berlaku curang dan apabila berjanji dia berkhianat".

Antara contoh-contoh nifak kecil ialah:

1. Apabila berkata dia berdusta :

Sesungguhnya dusta itu mengarah kepada kemaksiatan, kemaksiatan mengarah kepada neraka. Sesungguhnya seseorang itu akan terus berdusta dan sentiasa mencari celah dusta sehingga ia dicatit di sisi Allah sebagai pendusta.

2. Jika ia berjanji tidak menepatinya.

Tidak menepati janji sebagaimana sabda Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam:

وَاِذَا وَعَدَ اَخْلَفَ

Maksudnya : "Dan apabila berjanji ia tidak menepatinya" 

3. Apabila bertengkar ia berlaku curang.
Curang atau keluar dari peraturan akhlak Islamiah apabila berlaku pertengkaran atau ikhtilaf (berselisih faham), misalnya berkata bohong dalam menjelaskan perkara yang sebenar atau melebih-melebihkan permasalahan dengan segala kebohongan dan penipuan. 
Bila bertengkar dia selalu "menegakkan benang basah" dan sering menggunakan perkataan kasar, kesat, sindiran dan suka menghina orang lain.

4. Apabila berjanji (diberi amanah) dia berkhianat.

Mengkhianati amanah sebagaimana larangan Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam dari melakukan pengkhianatan:

وَلاَ تَخِنُ مَنْ خَانَكَ


Maksudnya : "Janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianati kamu."



No comments:

Post a Comment