Friday, March 14, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 68 (Suami Tak Bekerja, Puasa Bapa Sudah Meninggal Dunia, Minta di Puji, Bisikan di Hati Manusia dan Bekerja di Kelinik Swasta.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 68 adalah menjelaskan persoalan suami tak bekerja, puasa bapa sudah meninggal dunia, minta di puji, bisikan di hati manusia dan bekerja di kelinik swasta.

396. Soalan : Ustaz, saya nak tanya apa hukum suami yang tak mahu bekerja kata dia ada hak guna gaji isteri yang kerja, atas alasan dia bagi kebenaran isteri kerja. Semua isteri tanggung termasuk hutang suami. Terima kasih.

Jawapan : 

Islam meletakkan kewajipan menanggung nafkah isteri dan anak-anak adalah tanggungjawab suami. Suami yang sihat tak mahu bekerja dan memakan hasil titik peluh isteri berdosa besar dan akan mendapat kemurkaan Allah SWT. Sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam; “Tidak halal harta seorang muslim yang lain melainkan dengan kerelaan hatinya” (HR Imam ad-Daruqutni dari Anas bin Malik). 

Dalam kitab Maratib al-Ijma’ ada ditegaskan; “Para ulama telah sepakat menegaskan bahawa tidak halal suami bersedekah dari harta milik isterinya melainkan dengan izin isterinya” (Maratib al-Ijma’, Imam Ibnu Hazm, 1/92). Nafkah diwajibkan melalui al-Quran dalam surah al-Talaq (65) ayat 7 yang bermaksud: "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya, dan sesiapa yang disempitkan rezekinya maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah SWT kepadanya, Allah SWT tidak memberatkan seseorang melainkan yang diberikan Allah kepadanya..."

Dalam surah al-Baqarah ayat 233, Allah SWT berfirman yang maksudnya "Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang ma'ruf..."

Sekiranya suami banyak harta dan kedekut untuk diberikan nafkah pada isteri dan anak-anaknya maka isteri di haruskan mengambil harta suami tanpa pengetahunnya dan tidak dikira sebagai mengambil hak orang lain. Dalam sebuah hadis tentang Hindun; yang mana dia telah datang kepada Rasulullah SAW dan berkata "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan seorang lelaki yang bakhil. Dia tidak membiayai nafkah saya dan anak saya dengan mencukupi". Lalu Rasulullah SAW bersabda, "Ambillah hartanya sekadar yang mencukupi untukmu dan anakmu dengan sepatutnya"

Hadis di atas menunjukkan bahawa kewajipan membiayai nafkah isteri adalah mutlak dan ia dinilaikan dengan kecukupannya. Oleh yang demikian, isteri boleh mengambil sendiri nafkahnya tanpa diketahui suaminya jika suami tidak memberi ataupun ia tidak mencukupi. Ayat-ayat al-Quran dan hadis menunjukkan kewajipan memberi nafkah kepada isteri oleh suami.

Jika suami berterusan tak mahu bekerja isteri boleh mengadu di pejabat agama supaya minta jasa baik pegawai agama untuk menasihatkan suami tersebut supaya mencari nafkah untuk isteri dan anak-anaknya. Jika suami berterusan bergantung daripada hasil usaha isterinya, maka si isteri boleh mohon fasakh kerana salah satu sebab di haruskan mohon membubarkan perkahwinan adalah kerana suami sudah tak berfungsi sebagai suami (tak mahu memberi nafkah).

397. Soalan : Saya ingin bertanyakan satu soalan...Adakah anak-anak perlu mengqada' solat dan puasa bapanya yang telah meninggal dunia..Bapa tersebut ada tertinggal solat dan puasa yang tidak sempat diqada' semasa hidup akibat sering sakit dan pengsan...Mohon pencerahan...Sekian.

Jawapan :  

Imam Nawawi rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya Majmu’ Syarah Muhazzab dan Minhaj al-Tholibin bahawa solat tidaklah perlu diqada’kan oleh waris orang yang meninggal dunia tersebut. 

Ini kerana tiada nas syarak pada membenarkan qada’ solat untuk orang yang telah meninggal dunia. Disebutkan bahawa al-Imam Qadhi Iyadh rahimahullah mengatakan bahawa perkara ini merupakan ijma’ para ulama(berkenaan tiadanya qada’ solat bagi orang yang telah meninggal).

Untuk puasa qada pula yang ditinggalkan oleh si mati maka warisnya boleh membayar fidyah atau berpuasa untuknya. Di dalam satu riwayat yang disebutkan oleh al-Imam Syafie, dibenarkan untuk waris bagi si mati untuk mengeluarkan satu mud beras @ makanan asasi(556 gram mengikut timbangan sekarang) mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.Ini juga seperti yang dipegang oleh al-Imam Baghawi rahimahullah.Pendapat mazhab al-Syafieyyah merupakan pendapat dan pandangan yang menghimpunkan dua keadaan, iaitu, sama ada digantikan puasa ahli keluarga yang meninggal dunia atau membayar fidyah.Maksudnya, ahli waris masih berpeluang untuk melakukan kebajikan kepada arwah dari kalangan ahli keluarga. Kalau tidak mampu menggantikan puasa ahli keluarga yang telah meninggal bolehlah dibayar fidyah sahaja. Wallahu a'lam

398. Soalan : Bagaimana dengan orang yang selalu memberi hadiah atau apa apa sahaja pemberian tetapi tidak ikhlas, menunjuk nunjuk, minta di sebut-sebut, dijunjung tinggi, dan minta di balas , bagaimana nak elak diri dari mmpunyai sifat seperti itu?

Jawapan : 

Pemberian hadiah atau sedekah yang diberikan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk tidak ada nilai di sisi Allah SWT. Pujian-pujian juga adalah untuk Allah SWT bukan untuk manusia. Dalam Islam, sesungguhnya pujian semata-mata kerana Allah, dan untuk Allah jua.

Islam melarang kita memberi pujian yang melampau kepada manusia kerana bimbang akan timbulnya perasaan riak dan takbur. Bahayanya memberi pujian ada dinyatakan di dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

Diriwayatkan, Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki memuji seorang lelaki lain, lantas Baginda SAW bersabda yang maksudnya:
"Malang kamu! Sesungguhnya kamu sudah memotong lehernya! Kemudian Baginda SAW menambah: "Sekiranya seseorang daripada kamu tidak dapat mengelak daripada memuji temannya maka hendaklah dia berkata, saya kira begini, jangan sekali-kali dia menyucikan seseorang mengatasi Allah." [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Muawiyah berkata bahawa Rasulullah SAW jarang sekali meninggalkan pesanan ini di dalam khutbah Jumaatnya: 
“Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan untuknya, diberinya kefahaman yang mendalam mengenai agama. Sesungguhnya harta itu manis lagi menawan. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar, diberkati padanya. Berwaspadalah kamu daripada perangai puji memuji. Sesungguhnya pujian itu adalah sembelihan.” (Hadis riwayat Ahmad)

Kita juga dilarang memuji diri sendiri dan menyebut kebaikan diri. Firman Allah yang bermaksud: “Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah jugalah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun.” Surah an-Nisaa, ayat 49)

Ini menunjukkan sekiranya kita mahu memberi pujian kepada seseorang, kita kena dahulukan dengan pujian kepada Allah. Kerana segala pujian itu, kita tujukan kepada Allah dan sesungguhnya segala kelebihan yang ada pada seseorang itu diberi oleh Allah SWT.

399. Soalan : Saya nak tanya,apakah perkataan di dalam hati kita ni dari kita sendiri atau dari malaikat atau dari syaitan?....Mohon jawapannya ustaz,Terima kasih.

Jawapan : 

Di dalam diri setiap anak Adam ada 2 makhluk Allah SWT yang sentiasa bisikkan kebaikan dan bisikkan kejahatan. Malaikat sentiasa bisikkan kebaikan supaya mentaati Allah SWT dan menjauhi larangan Allah SWT. Syaitan pula atau qarin yang ada pada diri manusia cuba bisikkan kejahatan, suruh buat maksiat, dosa dan pekerjaan yang dilarang oleh agama.Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Tidak ada sesiapa diantara kamu melainkan baginya ditugaskan Qarin dari kalangan Jin, Mereka berkata : 'Walaupun kamu Ya Rasulullah?', Baginda menjawab : 'Walaupun Aku, akan tetapi Allah menolongku dan aku selamat darinya (atau - mengIslamkannya), maka dia hanya akan memerintahku melakukan perkara yang baik" (Hadis Riwayat Muslim)

Qarin adalah sejenis jin yang berdamping dengan manusia. Qarin di sini adalah makhluk halus (dikalangan jin) yang mengiringi kelahiran seseorang bayi.
Qarin suka menghasut manusia kearah kejahatan, melainkan qarin Nabi S.A.W. yang telah ditundukkan oleh baginda.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : ( Syaitan) yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: 'Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong'. (Allah berfirman) : 'Janganlah kamu bertengkar dihadapan-Ku, dan sungguh, dahulu Aku telah memberikan ancaman kepadamu.'. Keputusan-Ku tidak dapat diubah dan Aku tidak menzalimi hamba-hamba-Ku." 
(Surah Qaf ayat 27-29)

Menurut Ibn Kathir rh, ayat "(qarin) syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata : "Ibn Abbas r.a, Mujahid, Qutaadah dan lain-lain mengatakan bahawa ia merujuk kepada 'syaitan' yang ditugaskan berdamping dengannya".

Disifatkan bahawa qarin ini pada hari kiamat tidak mengaku telah menyesatkan manusia, lalu mengatakan bahawa manusialah yang menyesatkan diri mereka sendiri. Seterusnya Ibn Kathir rh. memetik firman Allah S.W.T. menyatakan tugasan syaitan setelah berjaya menyesatkan manusia :-

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan berkatalah pula syaitan setelah selesai perkara itu: Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya. Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya." (Surah Ibrahim ayat 22)

Ibn Kathir rh menerangkan bahawa apabila dihadapan Allah kelak, kedua-dua manusia dan qarin saling menuduh diantara satu sama lain. Seterusnya Allah S.W.T. mengatakan bahawa semuanya sudah di hakimi, dan Allah hanya akan mengazab dosa yang ditanggung oleh masing2 dan bukan dosa orang lain. [Mukhtasar Tafsir al-Quran al-Azhim - Umdah al-Tafsir 'an al-hafiz Ibn Kathir 3/371, Dar el-Wafa' 2003. syiekh Ahmad Muhammad Syakir]

Satu persoalan yang timbul, adakah qarin Nabi S.A.W. juga seperti qarin manusia yang lain? Tentu sekali tidak. Nabi S.A.W telah megislamkan qarinnya.
Kewujudan qarin ini ialah untuk menggoda manusia menampakkan hal-hal yang buruk dan yang jahat-jahat seolah-olah baik pada pandangan mata manusia. Qarin sentiasa berusaha untuk menjeru­muskan manusia dan mengajak mereka melakukan kemungkaran dengan cara menggoda, merayu, memujuk dan menipu. Semua manusia mempunyai qarin sama ada ia nabi atau orang yang alim.

Dalam surah al-An'am: 112 Allah S.W.T berfirman maksudnya: "Dan demikianlah kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh dari jenis manusia dan jin, sebahagian daripada mereka membisikkan kepada yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu."

Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermak­sud:"Tidaklah salah seorang daripada kamu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah dipertemankan den­gan seorang kawannya daripada jin dan seorang kawannya daripada kalangan malaikat. Sahabat bertanya: Adakah engkau juga wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Dan aku pun. Akan tetapi Allah menolong aku daripada gangguannya, maka tidak­lah ia mendorong saya, kecuali kepada kebaikan."

Apabila hati kita sentuasa berzikir kepada Allah SWT maka malaikat yang akan hadir dan membisikan kebaikan-kebaikan. Tetapi bila hati ini penuh dengan sifat mazmumah seperti hasad dengki, iri hai, sombong, takbur maka yang akan datang adalah syaitan untuk menyuruh kepada kejahatan. Oleh itu banyakkan berzikir dan ingat pada Allah SWT nescaya hati kita akan bersih dan bercahaya dan akan terdorong untuk melakukan kebaikan.

399. Soalan : Ustaz saya nak tanya sikit...saya baru mendapat kerja di sebuah kelinik swasta...kelinik ada membuat dnc@pengguguran...saya jadi musykil dengan kerja ni...saya rasa tak sedap hati...jadi saya ingin mohon pencerahan..apakah halal rezeki yang di cari dan apakah saya akan berdosa sekiranya ada proses dnc yang dbuat?....saya baru 3 hari bekerja dan belum buat apa-apa dnc lagi.mohon jawapan ustaz sebelum ada kes dnc yang dbuat.

Jawapan : 

Jika bekerja di kelinik swasta pastikan kerja kita adalah memberi ubat dan melayan pesakit. Jika doktor menyuruh membantu pengguran bayi kerana perhubungan terlarang maka kita tak boleh bersyubahat melakukan pengguguran tersebut, kerana haram membunuh bayi yang tidak berdosa.

400. Soalan : Ustaz.saya nak tanya apakah kalau kita masuk rumah yang tiada penghuni@premis yang kosong adakah kita beri salam sama dengan kita beri salam pada manusia?

Jawapan : 

Kita diperintahkan mengucapkan salam pada rumah yang akan kita masuki sebagaimana disebutkan dalam ayat,

فَإِذَا دَخَلْتُمْ بُيُوتًا فَسَلِّمُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ تَحِيَّةً مِنْ عِنْدِ اللَّهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً

“Maka apabila kamu memasuki (suatu rumah dari) rumah- rumah (ini) hendaklah kamu memberi salam kepada (penghuninya yang berarti memberi salam) kepada dirimu sendiri, salam yang ditetapkan dari sisi Allah, yang diberi berkat lagi baik.” (Surah An Nur ayat 61).

Sedangkan mengucapkan salam pada rumah yang tidak berpenghuni atau tidak ada seorang pun di rumah tersebut tidaklah wajib, namun hanya disunnahkan saja.

Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata,

إذا دخل البيت غير المسكون، فليقل: السلام علينا، وعلى عباد الله الصالحين

“Jika seseorang masuk rumah yang tidak didiami, maka ucapkanlah “Assalamu ‘alainaa wa ‘alaa ‘ibadillahish sholihiin (salam bagi diri kami dan salam bagi hamba Allah yang sholeh)” (Diriwayatkan oleh Bukhari dalam Adabul Mufrod 806/ 1055. Sanad hadits ini hasan sebagaimana dikatakan oleh Al Hafizh Ibnu Hajar dalam Al Fath, 11: 17).

Hal di atas diucapkan ketika rumah kosong. Namun jika ada keluarga atau pembantu di dalamnya, maka ucapkanlah “Assalamu ‘alaikum”. Namun jika memasuki masjid, maka ucapkanlah “Assalamu ‘alainaa wa ‘alaa ‘ibadillahish sholihiin”. Sedangkan Ibnu ‘Umar menganggap salam yang terakhir ini diucapkan ketika memasuki rumah kosong.

Imam Nawawi rahimahullah dalam kitab Al Adzkar berkata, “Disunnahkan bila seseorang memasuki rumah sendiri untuk mengucapkan salam meskipun tidak ada penghuninya. Yaitu ucapkanlah “Assalamu ‘alainaa wa ‘alaa ‘ibadillahish sholihiin”. Begitu pula ketika memasuki masjid, rumah orang lain yang kosong, disunnahkan pula mengucapkan salam yang salam “Assalamu ‘alainaa wa ‘alaa ‘ibadillahish sholihiin. Assalamu ‘alaikum ahlal bait wa rahmatullah wa barakatuh”. (Al Adzkar, hal. 468-469).

Maksud kalimat “Assalamu ‘alainaa” menunjukkan seharusnya doa dimulai untuk diri sendiri dulu baru orang lain. Sedangkan kalimat “wa ‘ala ‘ibadillahish sholihiin”, iaitu salam pada hamba yang sholeh, maksud sholeh adalah orang yang menjalani kewajiban, hak Allah dan juga hak hamba. (Syarh Shahih Al Adabil Mufrod, 3: 186).

Rujukkan: 
Al Adzkar An Nawawiyah, Abu Zakariya, Yahya bin Syarf An Nawawi Ad Dimasyqi, terbitan Dar Ibnu Khuzaimah, cetakan pertama, tahun 1422 H.
Rosysyul Barod Syarh Al Adabil Mufrod, Dr. Muhammad Luqman As Salafi, terbitan Darud Da’i, cetakan pertama, tahun 1326 H.
Syarh Shahih Al Adabil Mufrod, Husain bin ‘Audah Al ‘Uwaisyah, terbitan Al Maktabah Al Islamiyyah, cetakan kedua, tahun 1425 H.

No comments:

Post a Comment