Sunday, March 9, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 63 (Batal Wuduk, Solat Istikharah, Hukum Memandulkan Kucing, Menghisap Ganja Dan Mendedahkan Aib)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 63 adalah menjelaskan persoalan batal wuduk, solat istikharah, hukum memandulkan kucing, menghisap ganja dan mendedahkan aib oarng lain.

371. Soalan : Kanak-kanak perempuan, batal tak air sembahyang kalau kita (lelaki dewasa) sentuh..umur berapa baru batal..?

Jawapan : 


Mengenai wuduk batal atau tidak sila lihat huraian ini : Jika persentuhan kulit itu berlaku di antara orang dewasa dan kanak-kanak, perlulah diperhatikan keadaan seperti contoh berikut:

Contoh:

Persentuhan kulit di antara A (lelaki dewasa) dan B (kanak-kanak perempuan);

1) Jika persentuhan kulit berlaku antara A dan B, maka wudhu kedua-duanya tidak batal kerana wudhu tidak batal jika persentuhan kulit berlaku dengan salah seorang darinya adalah kanak-kanak yang belum lagi mencapai had memiliki syahwat.

2) Jika persentuhan kulit berlaku dan secara jelas B sudah mencapai had memiliki syahwat walaupun B masih di peringkat umur kanak-kanak pada kebiasaannya, maka wuduk kedua-duanya (A dan B) batal dan tetap batal sekalipun tidak bersyahwat semasa persentuhan berlaku.

3) Jika persentuhan kulit berlaku dan tidak jelas ( di luar pengetahuan) adakah B sudah mencapai had memiliki syahwat, maka wuduk kedua-duanya (A dan B) tidak batal kerana wuduk tidak batal jika merasa syak atau ragu sama ada perempuan atau lelaki berkenaan masih dikira kanak-kanak yang belum bersyahwat atau sebaliknya.

Perkara ini tertakluk kepada keyakinan seseorang. Keyakinan adalah disyaratkan dalam perkara ini. Dalam erti kata lain, wuduk tidak batal jika dihadiri rasa syak atau ragu adakah seseorang yang dengan kita bersentuhan itu adalah dikira kanak-kanak ataupun sebaliknya.

Untuk memudahkan, berikut adalah perkara yang perlu diambil perhatian sebagai sukat-sukat dalam menilai seorang kanak-kanak itu menurut pandangan syarak :

Siapakah Yang Dimaksudkan Dengan Kanak-Kanak?

Secara amnya, menurut istilah para fuqaha, kanak-kanak itu ialah seseorang yang belum baligh. Baligh bermaksud kanak-kanak yang sudah cukup umur, iaitu apabila umurnya sudah mencapai 15 tahun ataupun kanak-kanak lelaki bermimpi sehingga keluar air mani, manakala kanak-kanak perempuan telah keluar haid dalam jangka umur antara 9 hingga 15 tahun.

Dari keterangan di atas, peringkat kanak-kanak itu ialah dari semenjak lahir sehingga mencapai peringkat baligh.

Terdapat dua peringkat akan dialami oleh setiap kanak-kanak normal iaitu:

1) Peringkat Belum Mumaiyiz: Bermula dari sejak kelahiran sehinggalah kanak-kanak itu mencapai umur mumaiyiz. Secara kebiasaannya kanak-kanak yang belum mumaiyiz ini berusia tidak lebih dari 7 tahun.

2) Peringkat Mumaiyiz: Bermula dari sejak kanak-kanak itu berkemampuan untuk membezakan di antara sesuatu dengan sesuatu yang lain, dapat membezakan antara sesuatu yang bermanfaat dan yang memudaratkan.

Peringkat kanak-kanak yang mencapai tahap mumaiyiz tiada had umur yang tertentu tetapi berpandukan pada kebolehannya dalam menentukan setiap perbuatan yang hendak dilakukannya. Berakhir peringkat ini apabila mencapai tahap baligh.

Dari satu sudut lagi, kanak-kanak itu ialah yang menurut kebiasaan umum tidak ada kemungkinan syahwat, lawan kepada dewasa iaitu orang yang telah mencapai had memiliki syahwat.

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Syahwat?

Syahwat ialah perasaan atau naluri semulajadi yang ingin atau cenderung terhadap sesuatu dan sebahagian besarnya adalah perasaan atau naluri yang ingin atau cenderung kepada kelazatan.

Adapun syahwat yang dimaksudkan dalam konteks membatalkan wuduk ini adalah yang dinamakan syahwat jinsiyyah iaitu gelora hati dan perasaan yang suka atau ingin terhadap kaum lawan jenis yang juga kadang-kadang bercampur baur dengan rasa keinginan sehingga boleh membangkitkan rangsangan fizikal apabila memandang atau memegang sesuatu.

Di dalam kitab I‘anah ath-Thalibin disebutkan bahawa sukat-sukat syahwat bagi seorang lelaki adalah dengan adanya rangsangan fizikal pada anggota tertentu manakala bagi seorang perempuan adalah dengan kecenderungan hati atau berkeinginan terhadap lelaki. Wallahu a'lam.

372. Soalan : Ustaz.saya nak tanya adakah salah saya nak buat sembahyang istikharah minta Tuhan tunjukan samaada saya perlu bercerai atau tidak.sebab nafsu saya tertutup buat suami bila dia kahwin lain.saya reda dia kahwin lain tapi nafsu saya tiada.

Jawapan :  

Wanita yang reda kerana suami berpoligami dan bersedia berkongsi kasih sayang adalah satu sifat yang sungguh mulia dan sentiasa akan mendapat rahmat Allah SWT. Islam melarang sikap mementingkan diri sendiri, ego dan sombong dan tak mahu menerima hakikat kebenaran yang menjadi hak orang lain. Cadangan saya puan tak perlu solat istikharah untuk bercerai kerana suami bukan melakukan sesuatu yang menyebabkan mendapat dosa besar atau maksiat. Puan harus berdoa dan bermuhasabah diri kenapa puan tak dapat menerima sesuatu hukum yang dihalalkan oleh Allah SWT dan tak sanggup meraikan hak orang lain. 

Semoga Allah SWT membuka hati puan dapat menerima suatu kebaikan yang dilakukan oleh suami puan dan mendapat kebahagiaan berumah tangga dan diberkati dalam kehidupan.
Waktu giliran boleh berbincang dengan suami,  iaitu 3 hari sina dan 3 hari sani dan seterusnya, jika ada perubahan sila adakah masyuarat tergempar.

373. Soalan : Bolehkan kita memandulkan kucing peliharaan?

Jawapan : 

JAKIM memberi fatwa untuk memandulkan kucing adalah harus.

Untuk mengikuti pandangan mazhab :

1-Ulama mazhab al-Hanafi berpendapat tidak mengapa mengkasi haiwan, kerana ada padanya manfaat kepada binatang dan juga manusia.

2-Ulama mazhab Malik pula berpendapat Harus mengkasi haiwan yang dimakan dagingnya tanpa ada hukum makruh, untuk daging yang lebih baik.

3- Ulama mazhab Syafie pula membezakan antara haiwan yang dimakan dagingnya dan yang tidak dimakan dagingnya. Mereka berpendapat: Harus mengkasi haiwan yang dimakan dagingnya ketika ia kecil, dan diharamkan selain daripada itu (yang tidak dimakan daging). Mereka juga mensyaratkan proses mengkasi itu tidak mendatangkan kecelakaan (kepada (haiwan).

4-Ulama Hanbali pula mengharuskan mengkasi kambing untuk mengelokkan dagingnya. Dikatakan: Makruh mengkasi kuda dan haiwan lain.

5-Imam Ahmad memakruhkan terhadap mana-mana binatang kerana ia menyakitkannya.

Terdapat beberapa pandangan ulama' yang menyebut bahawa jika kucing tersebut mendapat manafaat dari perkara tersebut, maka ia diperbolehkan. Syeikh Muhammad ibn Sholeh al Uthaimin (Angggota Majlis Ulama Kanan Arab Saudi dan pakar fiqh abad ini ) pernah ditanya mengenai kucing-kucing yang banyak ini akan di hantar ke SPCA dan ia akan bunuh jika tidak ada orang yang ingin membelanya, maka apakah hukum memandulkannya (bagi mengelak dihantar ke SPCA), jawab beliau :-

"Jika pembedahan tersebut tidak mencederakan binatang maka tidaklah ia di halang, kerana sesungguhnya lebih aula (baik) dari membunuh binatang tersebut setelah ia tercipta" Seterusnya Syeikh ibn Utsaimin rh. mengatakan bahawa jika kucing-kucing yang banyak itu menyusahkan, maka diperbolehkan memandulkannya Akan tetapi jika kucing tersebut tidak menyusahkan, maka tidak perlu ia di mandulkan (Fataawa Islamiyyah, 4/448).

374. Soalan : Seorang lelaki rajin solat dengan berjemaah tetap dia adalah seorang pengamal dadah ganja tegar bagaimana amalannya ustaz?

Jawapan :  

Orang yang mengerjakan solat, tetapi kenapa solat yang kerjakannya tidak dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar? Sedangkan di dalam al-Quran Allah SAW. menjelaskan bahawa solat itu dapat mencegah seseorang daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar.

Seperti mana yang dinyatakan oleh Ibnu A’syur, di dalam kitab Maqasid al-Syariah, bahawa setiap kefarduan yang diwajibkan ke atas setiap mukalaf, manfaatnya kembali kepada pelaksananya. Dalam persoalan solat, Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Ankabut: 45).

Maksudnya solat dapat mencegah manusia daripada melakukan perkara yang keji dan mungkar. Perkara keji dalam ayat ini apa-apa perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Ini bermakna solat dapat mengubah orang daripada keras hati menjadi lembut hati, daripada bengis menjadi penyayang, daripada malas menjadi rajin, daripada berdusta menjadi jujur , tabiat suka hisab ganja atau rokok kepada meninggalkan perbuatan tersebut dan sebagainya sifat-sifat terpuji yang akan terbentuk dengan solat.

Jika seseorang itu rajin solat dalam masa yang sama tidak berubah daripada sifat negatif kepada lebih positif, dia masih menghisap ganja tegar atau masih menjadi penghisab rokok tegar ini bermakna bukan salah solatnya (cukup rukun dan syatarnya) tetapi yang salah ialah sikap orang yang melakukan solat tersebut.

Jika manusia mengubah hati dan jiwanya, mengubah fikiran dan amalannya dan berazam untuk solat dengan khusyuk dan dia benar-benar menghayati solat yang dikerjakan, bermula dengan wuduk yang sempurna, kemudian bertakbir dengan sempurna, segala gerakan dalam solat seperti berdiri, rukuk, sujud serta menghayati bacaan di dalamnya. Maka ketika inilah solatnya akan menjadi khusyuk dan sekali gus akan merubah tabiat dan akhlak buruk seseorang itu. Maka solat yang berfungsi ini akan menjauhkan dirinya daripada perbuatan keji dan mungkar. Maka perbuatan menghisap ganjar atau rokok akan ditinggalkannya tanpa di paksa. 

375. Soalan : Apakah hukum membuka aib seseorang?

Jawapan : 

Hukum membuka aib seseorang yang dibenarkan agama terdapat 6 keadaan : 

Pertama, At-Tazallum , iaitu kerana di zalimi atau untuk mencari keadilan.) 

Yaitu, mengkhabarkan akan kejahatan orang yang zalim akan dikau kepada Qadi, supaya menghukumkan ia akan dia. 

Atau, mengkhabarkan akan kejahatan Qadi yang zalim kepada Sultan, supaya menghukumkan ia akan dia. Maka, yang demikian itu harus (boleh). 

( Iaitu, mengatakan kepada Qadi bahawa Si Fulan bin Si Fulan menzalimi diri saya. Atau, mengatakan kepada Sultan bahawa ada seorang Qadi telah menzalimi diri saya. – Pent.)

Kedua ,mencari pertolongan iaitu kerana mencari pertolongan kerana mahu menolak kemungkaran, dan mahu menolak perkara-perkara maksiat supaya perkara itu jadi lebih baik.

Ertinya, harus (boleh) mengkhabarkan akan kejahatan orang kepada orang besar atau raja kerana sebab meminta tolong akan dia atas menolakkan kejahatan orang itu. 

Ketiga, Al-Istifta’ , iaitu meminta fatwa daripada Mufti.

Yakni, harus (boleh) mengkhabarkan kejahatan orang kepada Mufti kerana menuntut fatwa kepadanya, seperti berkata seorang kepada Mufti, 

“Bapa ku atau saudara ku, ia menzalimi akan daku dengan berbuat kejahatan akan daku. Apa hukumannya, dan betapa (apakah) jalan yang melepaskan akan yang demikian itu?”

Seperti apa yang diriwayatkan daripada perempuan yang bernama Hindun. Maka, mengadu ia akan hal suaminya, Aba Sufyan kepada Nabi saw dengan katanya; 

Ertinya, “Bahawasanya Aba Sufyan laki-laki kikir (kedekut). Padahal ia tiada memberi akan daku dan akan anak ku makanan dan pakaian yang memadai akan daku. 

Dan, adakah harus (boleh) aku mengambil akan makanan atau pakaian itu dengan tiada ia mengetahui akan yang demikian itu? 

Maka, Sabda Nabi saw, 

“Ambil olehmu akan makanan dan pakaian itu yang memadai akan dikau dan akan anakmu dengan yang Ma’ruf (Kebaikan), dan jikalau tiada ia mengetahui akan yang demikian itu sekalipun.”

Keempat , ingatkan kejahatannya iaitu mengingatkan orang Islam akan kejahatan.

Ertinya, harus mengkhabarkan kejahatan orang kerana menakuti akan orang Muslim daripada kejahatan orang itu. 

1. Apabila engkau lihat akan seseorang baharu menuntut ilmu itu. Padahal, ia berulang pergi pada orang yang bid’ah. Yakni orang yang tiada baik iktiqadnya atau orang yang tiada baik agamanya. 

Maka harus engkau khabarkan kepadanya akan kejahatan orang itu supaya jangan ia mengaji kepadanya atau supaya jangan ia bersahabat dengan dia kerana bersahabat dengan orang demikian itu membawa kepada membinasakan akan agama.

2. Dan demikian lagi) Jika engkau lihat akan seseorang yang berulang-ulang pergi datang mengaji kepada orang yang fasiq atau Ulama yang jahat. Maka harus engkau khabarkan kepadanya akan kejahatan orang yang fasiq dan kejahatan ‘ulama yang jahat supaya menjauhi orang itu daripada berguru kepada orang yang demikian itu. 

Tetapi, (hendaklah) engkau qasadkan yang demikian itu kerana Allah Taala dan jangan engkau qasad kerana dengki akan dia. 

4. Dan demikian lagi) Jikalau bertanya seseorang akan dikau akan hal orang yang dijadikannya akan saksi itu, jikalau engkau ketahui akan orang itu jahat. Maka harus engkau khabarkan akan kejahatan orang itu. 

5. Dan demikian lagi) Jika orang yang berkehendak beristeri. Maka bertanya ia akan dikau akan perempuan yang hendak diperbuatnya isteri itu. Padahal, ia jahat perbuatannya. Maka harus engkau khabarkan akan kejahatan perempuan itu.

6. Dan demikian lagi) Jika seseorang berkehendak mempersuamikan akan anaknya perempuan, dengan seorang laki-laki yang jahat. Maka harus engkau khabar kepada bapa perempuan itu akan kejahatan laki-laki itu dan barang sebagainya. 

Seperti Sabda Nabi SAW maksudnya ,“Sebutkan oleh kamu akan orang yang Fajir, yakni orang yang fasiq itu akan kejahatan yang ada di dalamnya itu supaya menjauhi akan dia itu oleh manusia.”

Kelima. Menyebut aib. Harus menyebutkan akan aib orang yang tiada diketahui akan dia, melainkan dengan disebutkan akan aibnya itu seperti Si Fulan yang Buta. Atau, si fulan yang tempang. Atau, barang sebagainya. 

Keenam : Harus menyebut kejahatan.  Harus menyebutkan akan kejahatan orang yang telah masyhur akan fasiqnya itu, seperti orang yang masyhur dengan berzina. Atau, yang masyhur dengan berliwat. Atau, orang yang masyhur dengan meminum arak. Atau, barang sebagainya.

Dan, kata Hasan Al-Basriyy Rahimahullahu Taala, 

“Ertinya, tiga orang tiada haram atas orang yang mengumpat bagi mereka itu.

1. Orang yang bidaah. 

2. Orang yang Fasiq yang menzahirkan ia akan maksiatnya itu sekira-kira jikalau dikata oleh orang akan kejahatannya itu, nescaya tiada ia benci akan yang demikian itu.

3. Raja-raja / pemimpin yang zalim. Maka tiada haram atas seseorang menyebutkan akan pekerjaannya yang zalim itu.”
(Di petik daripada Kitab Siarus Salikin Fi Thariqatis Sadaatis Suffiyah oleh Al-’Allamah Al-Arifu Billah Asy-Syaikh Abdussamad Al-Falimbani, Juzu’ 3, m/s 87-89, baris 12 dari atas.)

Selain daripada 6 perkara di atas kita dilarang mendedahkan aib seseorang yang akan menjatuhkan maruahnya. Rasulullah SAW menjelaskan mengenai mengumpat separti sabdanya bermaksud "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim)

Maka, janganlah mengumpat dan memperkatakan keburukan orang lain yang tidak izinkan syarak. Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : “Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri” (Hadis riwayat Abu Daud)

Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan orang lain biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.

Ia di samakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri. Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya diakhirat.

Lihatlah betapa besarnya dosa orang yang mengumpat. Ringan di mulut, berat timbangan dosa di akhirat. Yakni ringan sahaja untuk kita mengumpat, tetapi dosa itu teramat berat dan besar di sisi Allah SWT. Perkara ini terlalu biasa bagi masyarakat kita sehingga tidak sedar akan dosa-dosa dari perbuatan mengumpat.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. "Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat" (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)

Nabi SAW bersabda maksudnya : " Barang siapa menutup aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Muslim)

1 comment:

  1. . .assalamualaikum ustaz...mcm mne klu seseorang itu prnh mncuri dri kcil lagi,pnas baran,selalu tinggal solat dan tak gnti puasa...kmdian dia bermimpi hari dah kiamat dan dia ktkutan...sjak itu dye bnar2 berubah kmbli solat dan solat sunat kerana krp terjaga d awal subuh krna trse spt ada sesuatu yg dtg dri kaki hingga ke dada yg buat dia rasa ktkutn lalu bersolat nmun kdng kala tak dpt menenangkn diri dia jgak????apa yg ptut d lakukan ustaz????

    ReplyDelete