Saturday, February 22, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 62 (Riyak Dan Sum'ah, Hadis Akhir Zaman, Saka, Isteri Enggan Menutup Aurat Dan Wang Pendahuluan)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 62 adalah menjelaskan persoalan riyak dan sum'ah, hadis akhir zaman, apakah dia saka, isteri tidak mahu menutup aurat dan hukum mengambil wang pendahuluan.

366. Soalan : Apakah dia sifat riyak dan sum'ah? Bagaimana sifat ini boleh merosakkan amal seseorang?

Jawapan :  

Riyak ialah penyakit hati yang paling ditakuti Rasulullah SAW menimpa umatnya kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, hatta ketika menunaikan solat yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas.

Kerisauan itu dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riyak." (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Riyak ialah memperlihat atau menyempurnakan ibadat dengan tujuan mendapat pujian serta perhatian orang lain seperti solat dan puasa.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajal?" Kami katakan: "Tentu". Baginda bersabda: "Syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya kerana melihat seseorang memandangnya." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Sum’ah merupakan amalan yang diperdengarkan kemudian menceritakan perbuatannya (sudah dikerjakan dengan penuh keikhlasan, namun pada akhirnya mengharapkan pujian yang sifatnya duniawi). 

Kata sum’ah berasal dari kata samma’a (memperdengarkan).Contoh : Malam solat tahajud pada siang harinya menceritakan kepada rakannya bahawa malam tadi dia telah melaksanakan solat tahajud supaya rakannya tahu bahawa dia seorang yang alim.

Perbedaan riyak dan sum’ah ialah: Riyak adalah amalan yang dilakukan untuk diperlihatkan kepada orang lain, sedangkan sum’ah beramal supaya diperdengarkan kepada orang lain. 

Riyak berkaitan dengan indra mata, sedangkan sum’ah berkaitan dengan indra telinga.

Dalam al-Quran Allah SWT telah mengingatkan kepada kita mengenai sifat riyak dan sum'ah ini:

يَاأَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُواْ لاَ تُبْطِلُوْا صَدَقَاتِكُمْ بِالْمَنِّ وَالْاَذَى كَالَّذِىْ يُنْفِقُ مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ …

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riyak kepada manusia…” (Surah al-Baqarah ayat 264).

367. Soalan : Saya ada mendengar ceramah mengenai hadis ketika di akhir zaman nanti terdapat bencana dan musibah di segerakan balasannya oleh Allah SWT sebabkan manusia meninggalkan ajaran Islam seperti perzinaan, penipuan di dalam perniagaan, tidak membayar zakat dan keenganan pemimpin Islam melaksanakan hukum-hukum Allah SWT. Bolehkan ustaz kemukakan hadis tersebut dan memberi huraiannya?

Jawapan : 

Terdapat hadis daripada Rasulullah SAW :

سنن ابن ماجه: عَبْ
((يَا مَعْشَرَ الْمُهَاجِرِينَ خَمْسٌ إِذَا ابْتُلِيتُمْ بِهِنَّ وَأَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ تُدْرِكُوهُنَّ؛دِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ: أَقْبَلَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ:
1- لَمْ تَظْهَرْ الْفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوا بِهَا إِلَّا فَشَا فِيهِمْ الطَّاعُونُ وَالْأَوْجَاعُ الَّتِي لَمْ تَكُنْ مَضَتْ فِي أَسْلَافِهِمْ الَّذِينَ مَضَوْا.
2- وَلَمْ يَنْقُصُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ إِلَّا أُخِذُوا بِالسِّنِينَ وَشِدَّةِ الْمَئُونَةِ وَجَوْرِ السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ.
3- وَلَمْ يَمْنَعُوا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلَّا مُنِعُوا الْقَطْرَ مِنْ السَّمَاءِ، وَلَوْلَا الْبَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوا.
4- وَلَمْ يَنْقُضُوا عَهْدَ اللَّهِ وَعَهْدَ رَسُولِهِ إِلَّا سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ غَيْرِهِمْ فَأَخَذُوا بَعْضَ مَا فِي أَيْدِيهِمْ.
5- وَمَا لَمْ تَحْكُمْ أَئِمَّتُهُمْ بِكِتَابِ اللَّهِ وَيَتَخَيَّرُوا مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَّا جَعَلَ اللَّهُ بَأْسَهُمْ بَيْنَهُمْ))

Maksudnya : "Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW datang kepada kami (pada suatu hari) kemudian Baginda bersabda: “Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah diuji dengannya (jika kamu telah mengerjakannya), maka tidak ada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah SWT, semoga kamu tidak melalui zaman itu.

Perkara-perkara itu ialah:

1. Tidak terjadi perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus-terangan melakukannya, melainkan akan berjangkit di kalangan mereka wabak penyakit menular (Ta’un) dengan cepat, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang terdahulu.

2. Tidak mereka mengurangkan sukatan, ukuran dan timbangan, kecuali mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka.

3. Dan tidak mereka menahan zakat harta benda, kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tidak ada binatang (yang juga hidup di atas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah SWT.

4. Dan tidaklah mereka menyalahi janji Allah dan Rasul-Nya, kecuali Allah akan menurunkan ke atas mereka musuh yang akan merampas sebahagian dari apa yang ada di tangan mereka.

5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam Al-Qur'an dan mereka memilih ayat atau hukum yang mereka mahu, maka (di waktu itu) Allah akan menjadikan bencana di kalangan mereka sendiri."

(Hadis Riwayat Ibnu Majah, Sahih al-Jami’ as-Soghir: 7978)

Keterangan Hadis di atas menerangkan bahawa:

1. Wabak Taun yang berjangkit dan kolera serta penyakit kelamin yang begitu banyak merebak sekarang seperti Aids, HIV adalah disebabkan banyaknya terjadi perzinaan.

2. Sukar mencari rezeki dan kezaliman pimpinan adalah disebabkan daripada rakyat yang mengurangkan sukatan, ukuran dan timbangan. Lalu terjadilah inflasi, barang naik harga, minyak naik, pendapatan tidak mencukupi, banyak pengangguran dan lain-lain kemorosotan ekonomi.

3. Kemarau panjang disebabkan tidak mengeluarkan zakat. Sesetengah tempat, walaupun hujan turut banyak, tetapi air tidak mencukupi untuk kegunaan, iaitu hujan tidak lagi membawa berkat bahkan membawa bala bencana pula!

4. Kuasa musuh mengambil sebahagian daripada apa yang dimiliki kaum Muslimin (seperti hilangnya kuasa ekonomi daripada tangan kaum Muslimin) disebabkan mereka mengkhianati janji-janjinya kepada Allah SWT, tidak mentaati perintah Allah. Atau bagi negara Islam lain mungkin penjajah atau pelabur asing yang akan menguasai ekonomi dan hasil kekayaan negeri. Rakyat akan merempat di bumi sendiri!

5. Perang saudara yang berlaku dalam kalangan kaum Muslimin disebabkan mereka mengabaikan hukum-hukum Allah SWTdan tidak menjadikan Al-Qur'an sebagai undang-undang di dalam kehidupan. Akan berlaku perpecahan dan perbalahan, perperangan dan pembunuhan sesama sendiri berleluasa.

368. Soalan : Apakah dia saka ? Adakah boleh kita membuangnya jika saka itu terdapat dalam ahli keluarga kita?

Jawapan :  

Saka adalah jin kafir yang telah berada dalam tubuh manusia yang sudah sekian lama hingga sudah menjadi sebati dengan manusia itu. Ini berlaku samada seseorang itu tahu atau tidak, kerana ia datang dari keturunan pesakit. Kemungkinan ilmu ini telah dipelajari oleh nenek-moyang terdahulu. Dan diturunkan kepada generasi kemudian tanpa diketahui atau jin itu sendiri yang memilih untuk mendampingi keturunannya yang dia kehendaki. Saka boleh dibuangkan dengan mengamalkan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Setiap penyakit ada ubatnya. Begitu juga perbuatan sihir yang dilakukan oleh bomoh dengan perantaraan jin kafir atau syaitan boleh diatasi dan di ubati penyakit tersebut. Jika tidak mampu mengubati sendiri gangguan saka maka boleh berjumpa pengamal perubatan Islam yang menggunakan ayat-ayat al-Quran, selawat dan doa-doa yang diajarkan Nabi SAW. Jangan berjumpa bomoh atau dukun kerana mereka menggunakan khidmat jin-jin kafir dalam rawatan yang digunakan.

Cara-cara mengatasi gejala sihir adalah seperti berikut :

Apabila telah disahkan seseorang itu terkena sihir samada dari segi fizikal, mental atau spiritual, maka dalam dalam konsep Islam, tiap-tiap yang bermasalah ada penyelesaiannya. Tiap-tiap penyakit ada penawarnya. Islam telah membuat beberapa peraturan untuk mengatasi penyakit disebabkan sihir.

Terutamanya setelah kita melihat fakta yang jelas bahawa Nabi Muhammad S.A.W. pernah terkena sihir dalam kisah yang terkenal dengan Labid bin A'sam. Peristiwa ini berlaku untuk memberitahu kita bahawa terdapat ayat Al-Quran yang dinamakan Al-Mu'awwizat, iaitu beramal bersungguh-sungguh dan yakin dengan ayat-ayat itu sehingga ia menjadi penawar.

Begitu juga dengan ayat Kursi dan memang dari kaedahnya ayat tersebut adalah pengubat dan penyembur sihir. Malah Nabi Muhammad S.A.W. telah menyebut secara terperinci bahawa sihir itu boleh diubati dengan membaca enam ayat pertama surah Al-Baqarah, tiga ayat daripada surah Al-Baqarah iaitu ayat 255, 256 dan 257 dan tiga ayat terakhir daripada surah tersebut. Ayat-ayat ini hendaklah diamalkan dengan penuh yakin bahawa Allah S.W.T. boleh menyembuhkan sihir in syaa Allah.

Ayat-ayat tersebut adalah seperti berikut :-

1.) Surah Al-Baqarah 2 : 1-6

2.) Surah Al-Baqarah 2 : 255-257

3.) Surah Al-Baqarah 2 : 284-286
Untuk membuangkan gangguan saka dan sihir boleh lakukan perkara berikut : 1. Ambil tujuh helai sirih hijau atau daun teratai. Tumbuk dengan batu, besi atau apa saja sehingga lumat (boleh juga guna alat penghancur letrik - blinder)

2. Masuk tumbukan daun sirih atau daun teratai itu dalam satu mangkuk besar. Isi dengan air secukupnya untuk minum dan mandi seluruh badan.

3. Letakkan telapak tangan kananmu pada air yang sudah diisi tumbukan daun sirih.

4. Sentuhkan bibirmu pada mangkuk, sehingga nafas atau sebahagian dari ludahmu mengenainya.

5. Bacakan ayat-ayat berikut :

a. Baca Ayat Kursi. (Surah al-Baqarah ayat 255)

b. Bacakan Surah al-Kafirun.

c. Baca Surah al-Ikhlas.

d. Baca Surah al-Falaq.

e. Baca Surah an- Nas.

(Ayat-ayat dibawah adalah ayat penawar sihir)

f. Baca Surah al-A'raf ayat 117-119.

g. Baca Surah Yunus ayat 79-82.

h. Baca Surah Thaha ayat 65-69.

Setelah dijampi dengan ayat-ayat al-Quran di atas air itu diminumkan kepada si sakit, kemudian mandikan ia dengannya. Ulangi seminggu sekali dan sesudah itu in syaa Allah , sihir itu tidak akan ada lagi.

[Yakinlah kepada Allah SWT bahawasanya hanya Dia sahaja yang akan menyembuhkan segala penyakit termasuk penyakit disebabkan sihir hasil perbuatan jin dan syaitan]

Di dalam kitab zikir al-Mathurat karangan al-Imam Syahid Hassan al-Banna ada dihimpunkan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa sahih yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W untuk membina kekuatan rohani dan menghalang daripada gangguan sihir. Amalkan membaca Zikir al-Mathurat setiap pagi dan petang (lepas solat Asar). Wallahu a'lam

369. Soalan : Sahabat saya sudah tegur isterinya untuk menutup aurat tetapi dia masih enggan menutup aurat adakah dosa dia masih ditanggung oleh sahabat saya (sebagai suami) atau isterinya menaggung dosanya sendiri?

Jawapan : 

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Berlaku baiklah terhadap kaum wanita lantaran mereka diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok adalah bahagian yang teratas, jika kamu cuba untuk meluruskannya kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok, maka berlaku baiklah terhadap kaum wanita kamu." (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Jika kita sudah tegur isteri untuk menutup aurat tetapi dia masih tidak mahu menutup aurat maka dosa itu isteri akan tanggung sendiri, tetapi sebagai suami kita mesti teruskan menasihatinya jangan jemu dan putus asa kerana kesabaran kita berdakwah kepada isteri akan diberikan pahala oleh Allah SWT.

Jika isteri nusyuz (derhaka) suami mestilah melakukan tindakan-tindakan berikut:1. Bersabar menghadapi karenah isteri, memberi nasihat, jika tak berhasil ...2. Pisahkan tempat tidur (jika mash gagal) 3. Memukul (pukulan yang ringan untuk mengajarnya). 4. Jika tidak berjaya krisis itu dirujuk kepada orang tengah seperti ibu bapa isteri, abang, kakak atau adik isteri atau keluarga sebelah suami cuba menasihatinya, jika masih gagal untuk mencari penyelesaian. Maka pilihan terakhir suami, jika dia mahu, ialah menceraikan isterinya dengan talak satu.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar." (Surah an- Nisaa ayat 34)

370. Soalan : Ustaz saya ingin bertanya adakah boleh kita ambil wang pendahulun (deposit) di dalam urusan jual beli ?

Jawapan :  

Persoalan ini merujuk kepada hukum ‘bai al-Urbun’ adakah dibenarkan oleh syarak atau tidak. Maksud bai al-Urbun ialah: Bayaran pendahuluan yang dikenakan oleh penjual kepada pembeli, di mana jika pembeli membatalkan akad jual beli itu, maka bayaran itu menjadi hak penjual, tidak dikembalikan kepada pembeli.

Hukum mensyaratkan bayaran seperti ini diperselisihkan ulama. Ada yang melarangnya berdasarkan satu hadis yang melarangnya. Cuma ada pertikaian terhadap hadis tersebut. Dan ada ulama mengharuskannya berdasarkan atsar Umar bin Al-Khattab.

Dan pendapat yang mengharuskannya telah difatwakan juga oleh Lajnah Daemah, KSA (no: 19637), dan dipilih dalam ketetapan Majmak Feqah Islami (Qararat Majmak Feqah Islami m/s: 165).

Lanjutan fatwa keharusan urusniaga seperti ini dalam jual beli, di dalam urusniaga perkhidmatan juga dibenarkan dikenakan pendahuluan (Urbun), kerana ia adalah urusniaga jual beli manfaat (ijarah). (Majalah Majmak Feqah Islamiy Bil: 8, Jil: 1 m/s: 641).

Wallahu a’lam.


No comments:

Post a Comment