Wednesday, February 5, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 54 (Isteri Bosan Dengan Suami, Cerai Talak 3, Doa Masuk Rumah Baru, Wanita Memakai Inai, Dan Buang Sifat Suka Mengumpat)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 54 adalah menjelaskan persoalan isteri bosan dengan suami, cerak talak 3, doa masuk rumah baru, wanita memakai inai dan membuang sifat suka mengumpat.

326. Soalan : Saya nak tanya . kalau isteri dah bosan dengan suaminya apa hukumnya? Namun si suami tak tahu perasaan dalam hati isterinya ?

Jawapan : 

Kenapa tiba-tiba isteri menjadi bosan dengan suaminya? Jika perasan bosan ini berlaku kerana si isteri ada agenda tersendiri untuk minta cerai kerana dia sudah ada boy friend maka hukumnya berdosa dan haram.Isteri seperti ini dilaknat Allah SWT dan termasuk isteri nusyuz dan tidak akan mencium bau syurga. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada tiga macam orang yang terkena laknat Allah SWT iaitu seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya". (Hadis Riwayat Ad Dailami daripada Umar r.a)

Berdasarkan hadis di atas terdapat tiga macam manusia yang akan mendapat laknat Allah SWT iaitu :

Pertama : Seorang yang membenci kedua ibu bapanya.

Kedua : Seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya.

Ketiga : Seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya.

327. Soalan : Saya ada seorang kawan yang mempunyai masalah rumahtangga....suaminya pernah melafaz jatuh talak 3....jika si isteri sengaja delete message dari h.p....peristiwa ini brlaku kira-kira 3 tahun lepas....tetapi dalam minggu ini isterinya terdelete message dengan cara TAK SENGAJA...adakah jatuh talak?

Jawapan : 

Apabila seorang suami telah melafazkan talak 3 maka jatuh talak 3 dan tak boleh rujuk. Selepas isteri berkahwin lain secara biasa dan bila bercerai atau suaminya yg kedua meninggal dunia selepas iddah baru boleh balik semula kepada suami lama dengan bernikah semula. Jika mereka bersama juga selepas jatuh talak 3 maka mereka telah berzina. Perkara ini tak boleh di diamkan dan perlu laporkan diri di pejabat agama yang berdekatan.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesudah (diceraikan dua kali) itu, jika diceraikan pula (bagi kali ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis iddahnya), maka mereka berdua suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (berkahwin semula), jika mereka kuat menyangkakan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkan kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya." (Surah al-Baqarah ayat 230)

Asbabun Nuzul Surah al-Baqarah ayat 230 .

Diriwayatkan oleh Ibnul Mundzir yang bersumber dari Muqatil bin Hibban: Bahawa turunnya ayat ini berkenaaan dengan pengaduan ‘Aisyah binti Abdurrahman bin ‘Atik kepada Rasulullah SAW bahawa ia telah ditalak oleh suaminya yang kedua (Abdurrahman bin Zubair Al-Quradzi) dan akan kembali kepada suaminya yang pertama (Rifa’ah bin Wahab bin ‘Atik) yang telah mentalak “bain” kepadanya. ‘Aisyah berkata: “Abdurrahman bin Zubair telah mentalak saya sebelum menggauli (jimak). Apakah saya boleh kembali kepada suami saya yang pertama?” Nabi menjawab: “Tidak, kecuali kamu telah digauli (dijimak) suamimu yang kedua”.

Kejadian ini membenarkan seorang suami yang telah mentalak “bain” isterinya, mengawini kembali isterinya itu setelah isterinya itu digauli dan dicerai oleh suaminya yang kedua.

Berdasarkan ayat di atas ulama feqah sepakat , sekiranya si suami menceraikan isterinya dengan talak 3, si suami itu tidak boleh merujuk kembali kepada bekas isterinya melainkan bekas isterinya itu berkahwin dengan suami yang baru melalui perkahwinan yang di ikhtiraf syariat, sah dan bertujuan kekal bukan perkahwinan yang dirancang (perkahwinan muhalil atau perkahwinan cina buta). Dan berdasarkan hadis di atas perkahwinan dengan suami ke dua itu hendaklah berlaku dukhul iaitu jimak.

Jika berlaku penceraian dengan suami kedua (penceraian yang tidak dirancang) setelah habis iddah maka bolehlah bekas suaminya yang pertama dulu mengawini semula dengan akad nikah dan mahar yang baru. Dan suami pertama akan kembali memiliki tiga talak sekaligus memadamkan talak yang lalu.
Adakah cara perkahwinan muhallil (cina buta) sah di sisi Islam? 

Ada pun perkahwinan muhallil (cina buta) yakni perkahwinan yang dirancang agar bekas isterinya yang diceraikan dengan talak 3 boleh kembali kepada bekas suaminya yang pertama setelah berlaku penceraian dengan suami kedua, perkahwinan seperti ini adalah haram, batil dan tidak sah. Jika berlaku juga perkahwinan dengan bekas suami pertama dengan cara ini, maka perkahwinan itu tidak sah dan ia di anggap sebagai perbuatan zina ini berdasarkan hadis Nabi SAW.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Mahukah kamu jika aku beritahu siapakah orang yang paling keji dan hina? "

Para sahabat menjawab,"Ya, ya." 

Rasulullah SAW bersabda, "Ia adalah muhallil (lelaki yang mengawini seorang perempuan yang telah di ceraikan talak 3 dengan tujuan menghalalkannya semula kepada bekas suaminya selepas ia menceraikan). Allah melaknat muhallil dan al-Muhallal lahu (suami yang menjatuhkan talak 3 kemudiannya ingin merujuk semula bekas isterinya melalui perkahwinan muhallil."

Saidina Umar al-Khattab r.a. berkata," Tidak dibawa kepadaku muhallil atau muhallal lahu melainkan akan aku rejam keduanya." Abdullah bin Umar (anak Saidina Umar) ketika itu menerangkan maksud ayahnya menjawab kedua-duanya penzina.

328. Soalan : Apakah cara-cara dan doa untuk masuk rumah baru? Boleh ustaz jelaskan?

Jawapan : 

Islam adalah cara hidup yang lengkap dan sempurna. Dalam setiap amalan dan pekerjaan yang hendak kita lakukan terdapat doa dan adab-adab yang dianjurkan Islam untuk kita ikuti dan amalkan. Termasuk juga apabila kita hendak menduduki rumah baru atau rumah lama yang ditinggalkan ada beberapa doa dan amalkan yang perlu kita lakukan supaya terhindar daripada gangguan makhluk halus yang menjadi penghuni rumah tersebut tanpa kita ketahui.

Amalan-amalan tersebut adalah seperti berikut : 

1. Solat berjemaah dan azan. Rumah yang baru di beli atau baru di duduki eloklah dilakukan solat berjemaah dikalangan ahli keluarga. Mulakan dengan laungan azan untuk melakukan solat fardu ketika pertama kali masuk rumah baru. Ia juga baik bagi bangunan yang telah lama ditinggalkan dan tidak dihuni oleh sesiapa. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW. pernah memberitahu bahawa sekiranya sesebuah bangunan (premis/rumah) itu terlalu lama dikosongkan (tanpa penghuni) ianya akan dimasuki sejenis makhluk halus (jin yg dikenali sebgai Al-'Ammar) yang suka tinggal di rumah yang tidak berpenghuni.

2. Membaca surah Al-Baqarah - Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasululuuah SAW  bersabda yang bermaksud; "Janganlah kamu jadikan rumahmu seperti kubur (hanya untuk tidur), sesungguhnya rumah yang dibacakan Surah al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan" (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Muslim dan Nasai) 

3. Banyakkan solat sunat dan membaca al-Quran - Dalam sebuah hadis lain pula, Rasulullah SAW. juga menggalakkan agar kita memperbanyakkan solat dan membaca al-Quran di dalam rumah atau bangunan yang baru diduduki. Baginda bersabda yang bermaksud: "Sinarilah rumahmu dengan memperbanyakkan solat dan membaca al-Quran." (Hadis riwayat Baihaqi)

4. Baca Zikir al-Mathurat kubra setiap pagi (lepas subuh) dan petang (selepas asar atau lepas magrib) amalan ini bukan untuk menduduki rumah baru sahaja tetapi amalan harian yang sunat yang dituntut untuk dibacakan setiap hari pagi dan petang. Insya Allah jin kafir dan syaitan akan menjadi lemah untuk menggoda dan mengganggu pengamalnya yang sentiasa membaca zikir al-Mathurat .

5. Pagar Rumah Secara Islam - Perbuatan memagar rumah dengan menanam atau menggantung sesuatu di penjuru atau sudut-sudut tertentu di rumah atau bangunan yang diduduki dengan kepercayaan bahawa benda tersebut akan menjaga dan memelihara keselamatan penghuninya adalah perbuatan yang bertentangan di sisi Islam. Bagaimana pun ada cara yang dibolehkan dan digalakkan mengikut ajaran Islam. 

i. Baca surah Yasin sekali dan sediakan air satu bekas kemudian 'memagar rumah' dengan merenjis air Yassin di sekeliling rumah. Amalan ini adalah amalan masyarakat Islam untuk menghalang daripada gangguan jin. Setiap ayat al-Quran yang dibacakan keatas air akan ada gelumbang yang baik dan laju dan amat dibenci oleh makhluk ghaib seperti jin dan syaitan.

“... Surah Yasin adalah qalbul Quran (jantung atau hati al-Quran), tidaklah seseorang yang membacanya kerana mengharap keredhaan Allah dan negeri akhirat (syurga), melainkan akan diampunkan dosanya. Dengan itu, bacakanlah ia kepada orang yang akan mati di antara kamu.” (Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nasaa’i. Dinilai lemah oleh ad-Daruquthni, al-Haitsami, al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth). 
Walaupun hadis di atas dhaif tetapi ulama membenarkan (untuk beramal bukan untuk menjadi sumber hukum) untuk diamalkan semata-mata mencari keredhaan Allah SWT dan terdapat hadis sahih menyatakan :

Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran), maka baginya satu pahala kebaikan dan satu pahala kebaikan akan dilipat gandakan menjadi 10 kali, aku tidak mengatakan Alif Laam Miim itu satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf, dan Miim satu huruf.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Surah Yasin adalah salah satu daripada surah-surah dalam al-Quran. 

ii. Ambil air kemudian baca surah Al-Fatihah sekali, ayat Kursi sekali, Surah 3 Kul (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Al-Nas) sekali. Kemudian tiup ke dalam air tersebut perlahan-lahan hingga habis nafas. Setelah itu, jirus dan renjiskan air tersebut ke setiap penjuru di dalam rumah dengan mulai dengan penjuru yang terletak di sebelah kanan dan penjuru seterusnya, mengikut arah berlawanan jarum jam. Wallahu a'lam.

Marilah kita beramal dengan amalan cara Islam dalam apa keadaan sekali pun samaada semasa kita membeli rumah atau semasa kita hendak menduduki rumah baru. Rumah yang berkat adalah rumah yang sentiasa dilaungkan bacaan al-Quran, berzikir, solat-solat sunat dan mengadakan majlis tazkirah dan tarbiah. Tradisi memanggil jemaah masjid / surau untuk membaca doa selamat dan membaca surah Yasin di rumah baru adalah amalan yang baik.

329. Soalan : Ustaz..saya nk tnya kalau seorang wanita memakai inai yang dibuat corak di tangan atau nama sendiri ditapak tangan adakah berdosa..?

Jawapan : 

Islam mengharuskan seorang wanita memakai inai di kuku tetapi Islam melarang membuat tatu di tangannya walau pun tatu yang tak kekal seperti inai. daripada Abdullah bin Umar: Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu pada badannya, perempuan-perempuan yang minta dicukur alis (bulu keningnya) dan perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik iaitu perempuan-perempuan yang merubah ciptaan Allah. (Hadis Riwayat al-Bukhari) Walaupun di dalam hadis ini menyatakan kaum perempuan...bukan bermakna kaum perempuan sahaja yang haram... lelaki juga termasuk di dalam hadis ini.

330. Soalan : Macamana nak buang sifat mengumpat dalam diri kita ?...

Jawapan : 

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati, tentu sekali kamu benci memakannya. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujarat ayat 12)

Imam Ghazali mengatakan bahawa mengumpat atau ghaibah adalah menyebut sesuatu yang tidak baik terhadap saudara sesama Muslim, yang jika ia dengar ia merasa marah. Samaada ia menyebut tentang kekurangan di dalam agamanya atau kecacatan tubuhnya, anak isterinya, gerak gerinya dan pakaiannya dari segala sesuatu yang berkaitan dengan dirinya samaada disebut dengan lidah, dengan tulisan atau menunjuk dengan jari.

Mengumpat adalah dosa yang amat berat di sisi Allah s.w.t.. Orang yang melakukan perbuatan itu diumpamakan oleh Allah s.w.t. sebagai memakan daging saudaranya yang telah mati. Ini jelas menunjukkan betapa hina dan buruknya perbuatan tersebut. Dan ia dianggap hina kerana menyinggung kehormatan orang lain yang sewajarnya dipelihara.

Jabir dan Abu Sa'id menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, " Awaslah dari mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras dari zina. Sesungguhnya seseorang itu berzina ia bertaubat, maka Allah s.w.t. menerima taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpat."
(Hadis Riwayat Ibn Abid Dunya)

Jelaslah pada hadis yang tersebut di atas bahawa Allah s.w.t. tidak mengampunkan dosa manusia yang berkaitan dengan diri manusia yang lain. Dia (tukang umpat) sendirilah yang terpaksa menyelesaikan atau meminta dihalalkan dosa mengumpat yang telah dilakukannya terhadap orang yang diumpat. Kalau sekiranya orang yang diumpat itu tidak dapat memaafkan kesalahannya itu, maka hal ini akan dibawa sehingga ke negeri akhirat. Untuk elakkan daripada mengumpat maka ingatlah dosa mengumpat itu adalah dosa dan perlu minta maaf kepada orang yang diumpat jika nak hilangkan dosa tersebut.



No comments:

Post a Comment