Saturday, February 22, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 61 (Hukum Main Kutu, Tanda Seorang Di kasihi Allah, Memakai Cincin, Solat Berjemaah Dan Petua Melahirkan Kasih Sayang Suami Isteri)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 61 adalah menjelaskan persoalan hukum main kutu, tanda-tanda seseorang di kasihi Allah, memakai cincin mengikut sunah Rasulullah SAW, solat berjemaah imam bacaannya cepat dan petua-petua untuk melahirkan kasih sayang suami isteri. 

361. Soalan : Saya ada 1 soalan, apakah hukum main kutu?

Jawapan :  

Main kutu adalah hukumnya harus.Namun jika anda ingin memahaminya skim kutu ini dari sudut proses dan caranya , sama ada ia diterima oleh Shariah atau tidak. Setakat info yang diberikan dan juga menurut pengetahuan saya berkenaan skim 'kutu' ini, secara dasarnya saya lihat urus aturan 'kutu' ini adalah harus.

Ini adalah kerana sebenarnya wang diperolehi oleh seseorang itu hanyalah wangnya sendiri yang terkumpul pada masa akan datang, cumanya keistimewaannya apabila tiba gilirannya maka sebagai ahli dia akan dapat menggunakannya secara 'in advance' disebabkan sumbangan wang dari semua ahli kumpulan. Pembayaran 'In advance' ini dari sudut Islam dilihat sebagai pinjaman tanpa faedah dari semua ahli kumpulan.

Bermakna, setiap bulan semua ahli kumpulan akan menyumbangkan pinjaman yang mana wang pinjamannya itu akan kembali padanya apabila tiba gilirannya.

Namun demi memastikannya halal, perlulah memastikan semua ahli kumpulan boleh dipercayai, dikenali dan membuat aqad bertulis bagi protect kemaslahatan semua. Tanpanya, permainan terdedah kepada penipuan dan gharar.

Bayangkan zaman hari ini, orang yang nampak baik pun liat nak bayar hutang.

Kesimpulannya, skim 'kutu' antara sesama rakan yang dipercayai dalam jumlah yang terhad dan munasabah serta bertulis adalah harus disebabkan ia hanyalah aktiviti pinjam meminjam.

Aktiviti saling memberi pinjam dengan nilai dan jumlah yang sama adalah harus. Antara hujjah saya adalah seperti berikut :-

Pertama : Keharusan kaedah :-
أسلفني وأسلفك

Ertinya : "Kamu pinjamkan kepadaku nescaya aku juga akan meminjamkan kepadamu kelak" (Mawahibul Jalil, Al-Hattab, 4/395)

Namun dalam bab ini kedua-dua pihak mendapat manfaat yang sama rata. Justeru ia sewajarnya diharuskan. Inilah yang diperolehi dari skim 'kutu' ini.

Kedua : Tidak termasuk dalam bentuk faedah yang dilarang.

Kebanyakkan ulama berpendapat bahawa tindakan ini adalah harus di sisi Syariah atas sebab ia tidak termasuk dalam pinjaman dengan faedah yang dilarang oleh Shariah. Jumlah dan tempoh pinjaman juga adalah serupa. Ini menjadikannya tiada sebarang lebihan manfaat yang boleh menjadikannya haram.

Manakala syarat untuk memberi pinjam semula tadi, jikapun ia dianggap sebagai satu manfaat namun ia adalah manfaat yang sama kepada dua-dua pihak dan bukan hanya satu pihak yang boleh membawa penindasan. Ia juga boleh dilihat dalam isu ‘Suftajah'. Demikian menurut pendapat Ibn Qudamah, Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim. Malah diperjelaskan lagi oleh Prof. Dr Nazih Hammad (Qadhaya Fiqhiyyah Mu'asiroh fi iqtisad wal Mal, Nazih Hammad, hlm 230)

Ketiga : Riba diharamkan disebabkan kerana zalim yang berlaku ke atas satu pihak.

Namun di dalam hal ni tiada sebarang kezaliman berlaku kerana kedua-duanya mendapat jumlah, dan tempoh yang sama, cuma di waktu yang berbeza sahaja.

Ibn Qayyim berkata :-

والشارع نهي عن الربا لما فيه من الظلم

Ertinya : "Shariah melarang riba disebabkan kerana kezaliman yang terdapat padanya" ('I'lam al-Muwaqqi'en, 1/386)

Adapun persepakatan dalam pinjaman berbalas dengan jumlah dan tempoh sama ini tiada terkandung di dalamnya sebarang zalim kepada mana-mana pihak. (Qadhaya Fiqhiyyah Mu'asiroh fi iqtisad wal Mal, Nazih Hammad, hlm 231)

Perihal Cabutan Untuk Menentukan Giliran

Tepat sekali, permainan 'kutu' akan menjadi semakin bersih dan baik jika giliran telah ditentukan dari awal agar semua pihak tidak tertunggu-tunggu. Apabila semua pihak mempunyai hak yang sama untuk terpilih. Hukumnya adalah harus dan tiada unsur judi di situ. Nabi Muhammad SAW juga pernah mencabut undi untuk melihat siapa dari kalangan isterinya yang akan terpilih untuk bermusafir bersama baginda SAW. Wallahu a'lam


362. Soalan : Apakah tanda-tanda seseorang itu dikasihi Allah?

Jawapan :  

Jika seorang isteri mengharapkan kasih sayang suami kepada dirinya dan seorang anak akan mengharapkan kasih sayang ibu bapa maka lebih-lebih lagi seorang hamba mengharapkan kasih sayang Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada dirinya. Tidak ada kasih sayang yang cukup mulia dan tinggi kedudukannya melainkan kasih sayang Allah SWT kepada para hamba-hamba-Nya yang terpilih.

Setiap sesuatu kebaikan yang dikehendaki oleh Allah SWT ada tanda-tandanya . Terdapat tiga tanda-tanda seorang hamba itu di kasihi dan disayangi oleh Allah SWT di dunia ini.

Tanda-tanda tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Allah SWT memberikan balasan di dunia supaya di akhirat nanti akan terlepas balasan daripada Allah SWT.

Kedua : Allah SWT membukakan kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh.

Ketiga : Allah SWT akan memberi kefahaman terhadap agama Islam dan mampu pula menghayatinya sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna.

Huraiannya :

Pertama : Allah SWT memberikan balasan di dunia supaya di akhirat nanti akan terlepas balasan daripada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Apabila Allah mahukan kebaikan terhadap seseorang hambaNya,Ia terus mempercepatkan balasan kesalahannya di dunia ini lagi,dan sebaliknya apabila Allah mahukan keburukan terhadap seseorang hambaNya, ia tidak membalaskan perbuatannya yang berdosa di dunia sehingga ia membalaskannya nanti pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Tabrani )

Sebahagian dari tanda kesayangan Allah kepada hambaNya ialah Ia mempercepatkan balasanNya di dunia lagi agar manusia itu insaf dan dapat memperbetulkan kesalahannya serta kembali ke jalan yang benar dan bertaubat kepada Allah SWT.Sebaliknya tanda bagi orang yang dibenci oleh Allah, akan dibiarkan mereka bergelumang dengan dosa dan maksiat dan mereka terus lalai dan lupa di dunia ini.

Setiap mukmin sepatutnya menerima segala kesusahan yang berlaku di dunia ini dengan redha yang mungkin ianya sebagai hukuman yang diturunkan Allah kerana kesalahan dirinya, atau mungkin sebagai satu dari tanda kesayangan Allah. Adalah lebih baik jika kita

menerima hukuman atas kesalahan kita di dunia ini lagi agar kita insaf dan berkesempatan untuk bertaubat kerana balasan di akhirat adalah lebih dahsyat serta tidak ada ruang lagi untuk bertaubat.

Dalam surah Al-A’raf ayat 168 pula Allah berfirman yang bermaksud: “Dan, Kami cuba mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).”

Melihat firman Allah di atas, jelas bahawa pelbagai penyakit yang menimpa umat Islam itu adalah sebahagian daripada cubaan ataupun ujian Allah yang diberikan kepada hamba-Nya. Sesungguhnya cubaan dan ujian itu adalah sunnatullah yang telah ditetapkan berdasarkan rahmat dan hikmah-Nya, di mana di dalamnya terkandung kebaikan dan rahmat bagi hamba-Nya. Harus kita ingat bahawa Allah memberikan hidayah dan taufik kepada setiap hamba-Nya dengan jalan yang berbeza-beza. Salah satunya dengan mendatangkan musibah sakit kepada hamba-Nya.

Oleh itu banyakkan bersabar dan elakkanlah dari mengeluh dan berdukacita bila Allah SWT timpakan kesusahan dan kepayahan di dunia ini.

Kedua : Allah SWT membukakan kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :"Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang,nescaya ia bukakan kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh,Ia jadikan hatinya waspada terhadap liku-liku hidup yang dijalaninya, ia jadikan hatinya sihat sejahtera dan lidahnya bercakap benar dan perangainya lurus,dan Ia jadikan telinganya mendengar dan matanya melihat." (Hadis Riwayat Abu As Sheikh dari Abu Zarr)

Apabila Allah kasihkan seseorang hambaNya Ia akan membuka hatinya menjadikan ia cinta kepada Allah, kemudian ia akan mempunyai keyakinan yang teguh.Dengan itu ia akan berhati-hati dalam hidupnya agar tidak terjebak dalam dosa dan terhindar dari penyakir hati seperti hasad,takabbur,riak, ujub, membalas dendam, marah dan sebagainya. Kesan dari ini ia akan bercakap benar sahaja. Seterusnya ia akan mempunyai mata yang dapat melihat dan memahami keagungan Allah; telinga yang cintakan nasihat yang benar.

Adakah ciri-ciri ini kita miliki? Jika ada maka itu adalah tanda-tanda kita disayangi oleh Allah SWT.

Ketiga : Allah SWT akan memberi kefahaman terhadap agama Islam dan mampu pula menghayatinya sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan pada dirinya, pasti Allah menganugerahinya pemahaman dalam agama.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 1, hlm. 39, no. hadis : 71.)

Apabila Allah SWT hendak memberikan kebaikan kepada seorang hamba-Nya dan menyayanginya maka Dia akan memberi kefahaman untuk memahami agama Islam dan mampu pula dihayati agama Islam itu di dalam kehidupannya. Agama Islam bukan agama teori semata-mata tetapi ianya adalah agama untuk diamalkan dan dihayati dalam kehidupan.

Orang mukmin yang diberikan kefahaman agama tidak akan sanggup mengadaikan akidah semata-mata untuk mendapat habuan dunia, tidak akan mencintai dunia hingga melupakan kehidupan dihari akhirat. Dia akan sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. (Surah Al-Maidah ayat 3)

Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita sendiri. Jika tiga tanda-tanda di atas ada kita miliki ini bermakna Allah SWT sedang menyayangi kita, tetapi jika tidak ada dikhuatiri kita sedang dimurkai-Nya. Oleh itu bertaubatlah dan terus berdoa semoga kita di pelihara oleh-Nya dan di sayangi-Nya dan kita terpelihara daripada rosak dan binasa. Dia sentiasa bersedia menerima taubat hamba-hamba-Nya.


363. Soalan : Adakah perempuan dibenarkan memakai cincin di jari tengah? Atau lebih dikenali sebagai jari hantu. Sesetengah pendapat ada mengatakan perempuan dibenarkan kerana cincin itu memang sudah menjadi perhiasan baginya dan untuk lelaki pula tak dibenarkan. Dan apa yang saya faham, dan rasanya ramai yang tahu pakai cincin di jari telunjuk atau jari tengah adalah tak digalakkan kerana ianya merupakan seperti ikutan zaman kaum Nabi Luth.

Saya keliru, kalau dah memang ianya tak elok, keanap ada yang mengatakan perempuan dibolehkan memakainya di jari telunjuk atau jari tengah sedangkan lelaki pulak tak dibenarkan.. 


Jawapan :  

PADA JARI MANA DILETAKKAN CINCIN?

Sama ada bagi kaum lelaki mahupun wanita, dibolehkan bagi mereka memakai cincin pada jari manis, kelingking ataupun ibu jari. Adapun jari telunjuk dan tengah, keduanya adalah dilarang.

Hal dinyatakan dalam sebuah athar daripada Ali bin Abi Talib radhiyallahu ‘anhu, “Bahawasnya (Rasulullah) melarangku memakai cincin pada jari ini dan ini – seraya mengisyaratkan kepada jari telunjuk dan jari tengah.” (Sahih. Riwayat Al-Nasa’i)

SUNNAH MEMAKAI CINCIN PADA TANGAN KANAN ATAU KIRI

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah memakai cincin pada kedua-dua tangannya sebagaimana dalam hadis Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, “Bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah memakai cincin perak pada tangan kanannya di mana kepala cincinnya daripada Habsyah; dan Baginda menjadikan kepala cincinnya pada bahagian dalam telapak tangannya.” ( Hadis Bukhari dan Muslim)

Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu turut meriwayatkan, “Bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam memakai cincin pada jari ini – sambil mengisyarat pada jari manis tangan kirinya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan kedua-dua riwayat yang sahih ini dapat disimpulkan bahawa sama ada cincin itu diletakkan pada tangan kanan mahupun tangan kiri, kedua-duanya adalah Sunnah kerana ia telah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. (Al-Syarah Al-Mumti’ oleh Syeikh Ibnu Uthaimin, 6/116)

KEPALA CINCIN DILETAK PADA BAHAGIAN DALAM TELAPAK TANGAN

Sunnahnya adalah mengarahkan kepala cincin ke arah dalam telapak tangan sebagaimana dalam hadis riwayat Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, “Bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menjadikan kepala cincinnya pada bahagian dalam telapak tangannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


364. Soalan : .Sah kah solat andai kita tak sempat habis baca fatihah tapi imam dah rukuk. ..tapi kita cuba habiskan juga hingga imam bangun dari rukuk. ...masaalah ini selalu nya waktu solat Zohor dan Asar dan pada rakaat pertama...

Jawapan : 

Makmum masbuq bila sampai di saf imam rukuk dan makmum masbuq dapat rukuk bersama imam maka makmum tersebut mendapat satu rekaat bersama imam. Tetapi jika kita bukan masbuq ( muafik) iaitu makmum bersama imam ketika bermula solat maka makmum wajib membaca fatihah sehingga selesai. Jika makmum tak sempat baca faitihah dan ikut imam rukuk maka dia wajib tambah satu rekaat lagi setelah imam memberi salam. Oleh itu dalam adab solat berjemaah imam tak boleh terlalu cepat bacaannya atau terlalu lama perlu lihat kemampuan para makmum di belakang. Makmum pula jangan terlalu lama membaca fatihah kerana nanti boleh tertinggal solat berjemaah bersama imam.

Bila saudara sampai imam solat rekaat ke tiga maka saudara jangan baca doa iftitah, saudara baca terus surah al-Fatihah, jika tak habis imam dan rukuk maka ikut imam, sbb bacaan fatihah makamum yg masbuq di tanggung oleh imam, saudara dpt rekaat tersebut. Ikut imam hingga selepasi rekaat ke 4, bila imam memberi salam saudara tambah lagi 2 rekaat supaya lengkap 4 rekaat di dalam solat zohor, asar atau isyak.

365. Bolehkan ustaz jelaskan apakan petua-petua untuk mengeratkan kasih sayang suami isteri?

Jawapan : 

Dari Abu Hurairah r.a. berkata : Rasulullah SAW bersabda: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan orang yang paling baik di antara kalian adalah yang paling baik terhadap para isterinya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Petua Eratkan Kasih Sayang Suami Isteri :

1. Cium tangan suami dan dahi isteri setiap kali sebelum berpisah ke tempat kerja masing-masing.

2. Jika berpisah lebih dari sehari seperti untuk tugasan luar daerah, tambah rutin harian tadi dengan pelukan dan ciuman di bibir.

3. Walau sesibuk mana sekali pun, luangkan masa untuk menelefon pasangan sekurang-kurangnya sekali walau sekadar untuk bertanya apa yang sedang dilakukan.

4. Sentiasa ucapkan kata-kata sayang seperti I love you sepenuh hati sebelum keluar kemana-mana, menamatkan perbualan di telefon dan sebelum tidur.

5. Sentiasa mencari peluang untuk makan tengah hari bersama kerana pastinya ia tiada gangguan anak-anak jika pada hari berkerja.

6. Amalkan bertanya apa yang berlaku sepanjang hari selepas pulang dari kerja sebagai tanda mengambil berat dan memberi peluang pasangan meluahkan perasaan.

7. Luangkan masa untuk berbual tentang apa sahaja dari isu rumah tangga hinggalah politik semasa sebelum tidur.

8. Mudah berbaik jika berlaku sebarang pertelingkahan, jangan biar berlarutan walau untuk satu jam sekali pun apatah lagi berhari-hari. Jika boleh, biarlah berlaku dalam bilik ‘beradu suami isteri’ agar ia berakhir dengan ‘kemesraan’ jauh dari pandangan anak-anak.

9. Temani pasangan semasa menonton rancangan kegemaran mereka walau sambil membaca akhbar misalnya kerana apa yang penting ada berada disisi.

10. Jangan sesekali berpisah tempat tidur walau anak sudah berderet atau usia sudah meningkat kerana ia adalah salah satu amalan penting untuk mengeratkan kasih sayang.

11. Amalkan sembahyang berjemaah semasa di rumah, berdoa bersama serta bersalam-salaman selepasnya.

12. Biasakan bergilir gelas atau pinggan semasa makan serta tidak segan atau geli untuk menghabiskan makanan atau minuman isteri atau suami.

13. Sesekali buatlah kejutan seperti membeli hadiah atau kad untuk peristiwa tertentu, memakai pakaian dalam yang seksi atau apa sahaja yang anda tahu pasangan pasti menyukainya.

14. Senda gurau dalam rumah tangga amat penting, ceritalah sesuatu yang kelakar, teka teki atau apa sahaja yang membolehkan anda ketawa bersama.

15. Sentiasa kenang pengorbanan masing-masing seperti susah payah isteri melahirkan anak dan suami yang berkerja keras menyara keluarga.

16. Sesekali tukar gaya penampilan agar ada kelainan serta untuk mengelakkan pasangan merasa jemu.

17. Apa sahaja masalah yang timbul, berterus terang dan berbincang bersama untuk menyelesaikannya.

18. Sentiasa menyimpan tekad untuk menjadi suami/isteri yang baik dalam rumah tangga bahagia kerana fikiran positif akan memudahkan anda mencapai matlamat tersebut.

19. Setiap pagi berikan kucupan tanda sayang agar harinya dimulakan dengan senyuman, dan malam bisikan manja tanda terima kasih sepanjang hari berbakti kepada keluarga yang dibina bersama. Tidak salah juga minta maaf andai hari itu ada perkara yang mengguris hati suami/isteri, jangan tunggu raya sahaja!

20. Jika amalan-amalan di atas tidak pernah dilakukan sehingga anda membacanya hari ini, jadikanlah ia sebagai titik permulaan untuk melakukannya tanpa rasa ragu dan malu.

21. Sentiasalah berdoa memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan rasa kasih dan sayang antara pasangan suami isteri.

No comments:

Post a Comment