Monday, February 10, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 56 (Suara Wanita, Qada Solat Asar, Memutuskan Silaturahim, Tinggalkan Solat Dan Muslim Tinggalkan Ajaran Islam)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 56 adalah menjelaskan persoalan suara wanita, qada solat lepas Asar, memutuskan silaturahim, hukum meninggalkan solat muslim tinggalkan ajaran Islam.

336. Soalan :  Ustaz..saya ada kemuskilan mengenai alunan berzanji dan marhaban..apa hukumnya sekiranya golongan wanita yg mengalunkan?..Sekian..harap dapat pencerahan.

Jawapan : 

Menurut pendapat ulama, suara wanita bukanlah aurat, selama tidak disuarakan dengan cara yang melanggar syarak, misalnya dengan suara manja, merayu, mendesah, dan semisalnya. Maka dari itu, boleh akhwat bernyanyi dalam sebuah masirah, dengan syarat tidak disertai perbuatan haram dan maksiat, seperti ikhtilath (campur baur lelaki dan wanita), membuka aurat, dan sebagainya.

Dalil bahwa suara wanita bukan aurat, adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Dalil dari Al-Quran terdapat dalam dalil-dalil umum yang mewajibkan, menyunnahkan, atau memubahkan berbagai aktivitas, yang bererti mencakup pula bolehnya wanita melakukan aktivitas-aktivitas itu. Wanita berhak untuk melakukan aktivitas jual beli (Surah al-Baqarah (2) ayat 275; Surah an-Nisa' (4) ayat 29), berhutang piutang (Surah al-Baqarah ( 2) ayat 282), sewa menyewa (ijarah) (Surah al-Baqarah (2) ayat 233; Surah at-Talaq (65) ayat 6), memberikan persaksian (Surah al-Baqarah (2) ayat 282), menggadaikan barang (rahn) (Surah (2) ayat 283), menyampaikan ceramah (Surah an-Nahl (16) ayat 125; Surah Fussilat (41) ayat 33), meminta fatwa (Surah an-Nahl (16) ayat 43), dan sebagainya. Jika aktivitas-aktivitas ini dibolehkan bagi wanita, ertinya suara wanita bukanlah aurat sebab semua aktivitas itu adalah aktivitas yang berupa perkataan-perkataan (tasharrufat qauliyah). Jika suara wanita aurat, tentu syarak akan mengharamkan wanita melakukannya (Muhammad Syuwaiki, Al-Khalash wa Ikhtilaf An-Nas, hal. 106).

Adapun dalil As-Sunnah, antara lain bahwa Rasulullah SAW mengizinkan dua wanita budak bernyanyi di rumahnya (Hadis Shahih Riwayat Bukhari, hadis no. 949 & 952; Hadis Shahih Riwayat Muslim, hadis no. 892). Pernah pula Rasulullah SAW mendengar nyanyian seorang wanita yang bernazar untuk memukul rebana dan bernyanyi di hadapan Rasulullah (Hadis Riwayat Tirmidzi, dinilainya sahih. Imam Asy-Syaukani, Nailul Authar, VII/119). Dalil As-Sunnah ini menunjukkan suara wanita bukanlah aurat, sebab jika aurat tentu tidak akan dibiarkan oleh Rasulullah (Abdurrahman Al-Baghdadi, Seni Dalam Pandangan Islam, hal. 69-70).

Namun demikian, syarak mengharamkan wanita bersuara manja, merayu, mendesah, dan semisalnya, yang dapat menimbulkan hasrat yang tidak-tidak dari kaum lelaki, misalnya keinginan berbuat zina, berakhlwat, berbuat serong, dan sebagainya. Firman Allah SWT (artinya) : “…maka janganlah kamu tunduk (melemahlembutkan suara) dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik.” (Surah Al-Ahzab (33) ayat 32).

Suara wanita yang seperti itulah yang diharamkan, bukan suara wanitanya itu sendiri. Jadi, suara wanita itu bukanlah aurat yang tidak boleh diperdengarkan.

Maka dari itu, boleh hukumnya wanita berzanji dan merhaban dalam acara tertutup tersebut, sebab suara wanita bukanlah aurat. Namun dengan 2 (dua) syarat. Pertama, suara itu dalam batas kewajaran, bukan sengaja dibuat-buat mendesah-desah, mendayu-dayu, merayu, dan semisalnya. Kedua, perbuatan itu tidak disertai perbuatan-perbuatan haram dan maksiat, seperti ikhtilath, membuka aurat, dan sebagainya. Wallahu a’lam .

337. Soalan : Selepas kta solat 5 waktu,contoh nya solat asar. Soalannya ustaz,boleh tak kita mengqadakan solat Asar yang sudah lalu,selepas kta selesai mengerjakan wakut Asar tadi? soalan kedua adakah lelaki boleh memakai cincin, gelang dan rantai seperti wanita? Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan : 

Lepas solat Asar boleh mengerjakan solat qada Asar (telah meninggalkan solat dahulu semasa zaman muda) kerana solat qada boleh dilakukan bila-bila masa.Nabi SAW bersabda :

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم نهى عن صلاة بعد العصر حتى تغرب الشمس ، وبعد الصبح حتى تطلع الشمس

Maksudnya : Dari Abi Hurairah r.a :Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang dari mengerjakan solat selepas Asar sehingga terbenam matahari dan solat selepas Subuh sehingga terbit matahari.(Hadis riwayat Imam Bukhari,Imam Muslim,Imam Abu Dawud,Imam Tirmizi,Imam Nasaie dan Imam Ahmad)

Lelaki tidak dilarang memakai cincin Perak kerana Nabi pernah memakainya. Anas ra, berkata :-

لما أراد النبي صلى الله عليه وسلم أن يكتب إلى الروم قيل له إنهم لا يقرءون كتابا إلا أن يكون مختوما فاتخذ خاتما من فضة فكأني أنظر إلى بياضه في يده ونقش فيه محمد رسول الله

“Tatkala Nabi ingin menulis surat kepada orang Rom. beliau telah diberitahu bahawa mereka tidak akan membaca mana-mana surat melainkan ada chop keatasnya, maka baginda pun mengambil cincin peraknya, Ia bagaikan seperti aku melihat sesuatu yang berkilat di tangannya, dan diukir dengan perkataan Muhammad Rasulullah” (Hadis Riwayat Bukhari no.5537, Muslim no. 2029).

Menurut Ibn Taimiyah ra. :-

أما خاتم الفضة فيباح باتفاق اللأئمة فإنه قد صح عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه اتخذ خاتما من فضة ، وأن أصحابه اتخذوا خواتيم ، بخلاف خاتم الذهب فإنها حرام باتفاق الأئمة الأربعة ؛

“Bagi cincin Perak, adalah dibenarkan menurut sepakat Imam-Imam, kerana sesungguhnya ia sahih datang dari riwayat bahawa Nabi memiliki cincin Perak, dan sesungguhnya para sahabatnya juga memakai cincin. Ini berbeza dengan Emas, yang diharamkan oleh sepakat Imam-Imam yang empat” [Majmu' Fataawa 25/63-65].

Rantai dan gelang walaupun bukan daripada emas di larang memakainya kerana menyerupai perhiasan wanita dan cincin suasa juga tidak dibenarkan kerana mempunyai sedikit emas (di salut dengan emas).

338. Soalan : Ustaz...saya ada sedikit kemusykilan...memutuskn silaturrahim adalah dosa besar..kalau 2 sahabat bergaduh dan salah seorang berkata mulai hari ni kau dan aku masing-masing tak  kenal..Adakah orang yang di putuskan silaturrahim juga akan sama berdosa atau sebalik nya?..Mohon penjelasan

Jawapan : 

Siapa yang memulakan dulu dan dia berazam untuk terus memutuskan silaturahim dia di kira termasuk di dalam orang yang memutuskan silaturahim. Orang yang satu lagi jika di cuba memulihkan ikatan yang terputus dia akan menjadi orang yang tidak memutuskan silaturahim. Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku mempunyai kaum kerabat yang aku eratkan hubunganku dengan mereka tetapi mereka memutuskan, dan aku berbuat baik dengan mereka tetapi mereka membuat jahat kepadaku, aku berlemah lembut dengan mereka tetapi melakukan kekasaran terhadap aku”. 

Maka jawab Rasulullah, “Jika benarlah apa yang engkau katakan itu maka seolah-oleh engkau memberi makan abu panas (mereka melakukan dosa besar) dan Allah sentiasa bersama engkau memberi pertolongan selagi kamu mengekalkan sifat-sifat kamu”. 
(Hadis Riwayat Muslim)

Huraian Hadis: Islam mengajar umatnya berbuat baik bagi mengeratkan hubungan antara keluarga walaupun kebaikan itu dibalas dengan keburukan. Berbuat baiklah dengan kaum keluarga dengan tujuan mengeratkan hubungan silaturahim, semoga mendapat keredaan dan pertolongan daripada Allah SWT. Islam menghendaki umatnya mengerjakan kebaikan sesama keluarga untuk menjamin kesejahteraan. Orang yang cuba melakukan permusuhan dan kemarahan kepada orang yang hendak berbuat baik dengannya adalah dimurkai oleh Allah dan dia akan mendapat seksaan diakhirat kelak.

339. Soalan : Anak saudara saya ustaz, seorang anggota polis berumur 35 tahun, rajin, baik hati dan pemurah. sayangnya dia tak nak solat, kalau kita ajak dan tegur dia masam muka dengan kita. macamana  nak ajak dia solat, siapa yang akan menanggung dosanya? Ayahnya alim dan ibunya baru sebulan meninggal dunia. saya sangat risau mengenangkan nasibnya.

Jawapan : 

Solat fardu adalah wajib di tunaikan oleh setiap muslim yang mukalaf. Meninggalkan solat adalah dosa besar. Walau pun anak saudara tuan seorang yang rajin bekerja, baik hati dan pemurah tetapi bila tinggalkan solat amalannya dan kebaikkannya tidak bernilai di sisi Allah SWT. Betapa besarnya dosa orang yang meninggalkan solat atau melalaikan solat hingga luput waktunya. Renungkan hadis Rasulullah s.a.w.di bawah yang menghalang perbuatan tersebut 
Saad bin Abi waqas bertanya Rasulullah SAW. mengenai orang yang melalaikan solat maka jawab baginda " Iaitu mengakhirkan waktu solatnya dari waktu asalnya hingga sampai waktu solat lain. Mereka telah mensia-siakan dan melewatkan waktu solatnya, maka mereka diancam dengan Neraka Wail".

Ibn Abbas dan Said bin Al-Musaiyib turut mentafsirkan hadis di atas" Iaitu orang yang melengah-lengahkan solat mereka sehingga sampai kepada waktu solat lain, maka bagi pelakunya jika mereka tidak bertaubat Allah menjanjikan mereka Neraka Jahanam tempat kembalinya".

Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda " Sesiapa yang mengumpulkan dua solat tanpa ada halangan, maka sesungguhnya dia telah memasuki pintu besar dari pintu dosa-dosa besar". (Riwayat Al-Hakim)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Solat itu adalah tiang agama. Maka sesiapa yang mendirikannya , sesungguhnya ia menegakkan Agamanya dan sesiapa yang meninggalkannya ia telah merobohkan Agamanya.”

Di dalam hadis yang lain Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud :“ Bermula orang yang meninggalkan solat pada hal ia dalam keadaan sihat, maka Allah tidak memandang kepadanya dengan pandangan rahmat, dan baginya kelak azab yang amat hebat melainkan kalau ia bertaubat dari perbuatannya itu”

Firman Allah SWT maksudnya :"Apakah yang menyebabkan kamu semua masuk Neraka Saqar ini? Mereka menjawab : Kami tidak termasuk dalam golongan orang - orang yang bersolat." (Surah Al-Mudathsir ayat 42-43 )
Nasihatkanlah anak saudara tuan supaya dia faham betapa besarnya dosa orang yang meninggalkan solat fardu .

340. Soalan :  Ustaz. Al-Quran dan Sunnah adalah panduan hidup terbaik yang Muslim miliki..seperti senjata terbaik di dunia. Tapi, selepas zaman gemilang Islam satu masa dulu, Muslim jatuh terus tak bangun lagi sampai kini. Muslim seolah-olah menempah jadi umat yang suka bercakaran, berpecah jadi lemah dan mudah di kuasai. Jika mereka sudah hilang Allah SWT dari hati mereka, yang kafir tu lagi tiada, malah mensyirikkan Allah SWT setiap masa! Mereka langsung tiada panduan seperti kita, tapi mereka paling bersatu, kuat, berkuasa...? Jika kita ada kuasa, ia akan hilang juga kepada kafir! Di tanah air kita pun seolah-olah sudah tertulis arah tuju kita..?Mohon penjelasan Ustaz.

Jawapan : 

Umat islam rata-rata di dunia telah berpecah belah kerana mereka meninggalkan Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Islam bermula dagang dan akan kembali dagang. Maka berbahagilah sesiapa yang melaksanakannya semasa dagang” (Hadis Riwayat Muslim)

Islam sebenarnya bermula di dalam keadaan dagang (ghurbah), suatu yang asing dan tidak di kenali oleh masyarakat. Pendukung-pendukungnya berhadapan dengan berbagai-bagai ujian dan tribulasi dari masyarakat arab jahiliyah yang mempertahankan sistem hidup mereka.

Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda yang terpaksa berhijrah dari Mekah ke Madinah untuk mencari keredan Allah SWT. semata-mata untuk menyampai , mengembang dan merialisasikan Islam di dalam wajahnya yang murni sebagai ad-deen.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Orang-orang yang terdahulu yang pertama (memeluk Islam) dari golongan Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah meredai mereka dan mereka meredai Allah. Allah menyediakan bagi mereka syurga yang mengalir di bawahnya anak-anak sungai, kekal mereka di dalamnya buat selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah ayat 100)

Berkat pengorbanan, usaha dan jihad Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda yang mulia , Islam telah di terima dan di daulatkan sepenuhnya di Madinah dan telah hilang ghurbahnya.

Selepas generasi awal , datang pula beberapa generasi, kelemahan di kalangan pemimpin Islam mula berlaku. Sehingga kerajaan Islam gugur satu demi satu dan berakhir dengan kejatuhan Khilafah Islamiah (Kerajaan Usmaniah ) di Turki. Serentak dengan itu pengaruh sekularisma yang di taja oleh penjajah Kristian telah menjalar keseluruh negara yang di perintah oleh pemimpin Islam, hingga kini tidak ada lagi yang terkecuali akhirnya Islam menjadi dagang.

Umat Islam hari ini yang memiliki kekuasaan telah mengambil undang-undang dan peraturan hidup yang bukan dari ajaran Islam samaada dari segi muamalat, jenayah, ekonomi dan pendidikan.Berbagai-bagai fahaman dan idealogi bercampur –aduk dengan Islam dan akhirnya perbuatan makruf di pandang mungkar dan yang mungkar di pandang makruf.

Untuk mengembalikan balik Islam di tempatnya yang asal perlu kepada pengorbanan yang berterusan, perlu kembali kepada manhaj tarbiah Rasulullah SAW, iaitu kita mesti kembali mentauhidkan Allah SWT dan membetulkan akidah umat Islam. Membetulkan kefahaman mereka terhadap ajaran Islam dan seterusnya Islam dapat di praktikkan dalam kehidupan seharian.

Terdapat satu hadis yang di riwayatkan oleh Abu Umamah Al-Bahili, daripada Nabi SAW sabdanya yang bermaksud : “Bagaimana kamu jika durhaka perempuan kamu dan buas
(jahat) pemuda-pemuda kamu dan kamu tinggalkan jihad kamu?”

Bertanya sahabat-sahabat : “Sungguh begitukah akan lahir wahai Rasulullah?”

Jawab baginda : “Demi jiwaku dalam genggamanNya, maka lebih dasyat lagi daripada itu akan berlaku.”

“Apakah lebih dasyat daripada itu wahai Rasulullah?”

Jawab baginda : “Bagaimana kamu jika kamu tidak menyeru kepada kebajikan dan tidak mencegah kejahatan?”

Bertanya sahabat-sahabat : “ Begitukah akan lahir wahai Rasulullah?”

Jawab baginda : “ Ya . Demi jiwaku dalam genggamanNya, malahan lebih dasyat daripada itu.”

“Apakah lebih dasyat daripada itu?”

Jawab baginda : “ Bagaimana kamu jika kamu menghitungkan perkara baik itu jahat dan kejahatan itu baik?”

Bertanya sahabat-sahabat : “ Begitukah akan lahir wahai Rasulullah?”

Jawab baginda : “ Ya. Demi jiwaku dalam genggamanNya, malahan lebih dasyat daripada itu akan berlaku.”

Bertanya sahabat-sahabat : “ Apakah yang lebih dasyat daripada itu?”

Jawab baginda : “ Bagaimana kamu jika kamu menyeru kepada kejahatan dan melarang daripada makruf?”

Bertanya sahabat-sahabat : “ Begitukah akan lahir wahai Rasulullah?”

Jawab baginda : “ Ya. Demi jiwaku dalam genggamanNya, malahan lebih dasyat daripada itu akan berlaku.”

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Aku bersumpah Aku akan datangkan kepada mereka fitnah hingga menjadi seorang penyantun dalam keadaan terpinga-pinga.”
Terdapat 3 perkara yang perlu di laksanakan untuk mengatasi ghurbah (asing) :

1.Memberi kesedaran Islam kepada masyarakat, seperti fahaman Islam yang di fahami oleh Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda iaitu Islam sebagai ad-deen merupakan satu sistem hidup yang lengkap dan sempurna.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku redai Islam itu jadi agama bagimu” (Surah al- Maaidah ayat 3)

2. Melalui proses tarbiah yang betul, bagi melahirkan muslim yang serasi dan komited dengan Islam dan bekerja untuk Islam sepanjang hayat. Memiliki sifat-sifat mahmudah seperti yang berlaku kepada generasi awal yang di proses di madrasah Rasululluh SAW. Menjadi pejuang dan pembela yang ikhlas dan melahirkan kasih sayang sesama saudara muslim.

3.Melaksanakan kerja-kerja jihad yang berterusan. Jihad adalah satu amalan yang tinggi dan mulia di sisi Allah SWT dan amat di tuntut di dalam Islam. Sejarah Islam telah membuktikan bahawa di atas kerja-kerja jihad dan pengorbanan para mujahidin inilah yang menyebabkan Islam tersebar di seluruh dunia. 

Oleh itu roh dan semangat jihad perlu di tanamkan di dalam jiwa umat Islam supaya mereka merasai bahawa jihad adalah salah satu tuntutan agama , kerana gugur syahid di dalam perjuangan Islam mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah SAW. di akhirat nanti. Jika umat Islam semua kembali mendaulatkan hukum-hukum Allah SWT, dan kembali kepada al-Quran dan as-sunnah dan buangkan pada jiwa sifat hasad dengki dan suka membuat fitnah maka kekuatan umat Islam akan dapat mengalahkan golongan kafir terutama Yahudi dan Nasrani dan golongan Syiah yang menjadi ancaman besar kepada umat Islam selruruh dunia.

No comments:

Post a Comment