Friday, February 14, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 58 (Roh Mati Bunuh Diri, Mati Su'ul Khatimah, Cinta Nabi SAW, Rukun Solat Dan Solat Tahajud)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 58 adalah menjelaskan persoalan roh manusia mati bunuh diri, mati su'ul khatimah, bagimana cinta Nabi SAW , rukun solat dan solat tahajud.

346. Soalan : Saya nak tanya...ke mana pergi nya roh orang mati bunuh diri dan roh orang mati d bunuh?

Jawapan : 

Setiap roh yang mati bunuh diri atau mati di bunuh akan tetap ke alam barzakh. Bagi orang yang mati bunuh diri dia termasuk orang yang mati kerana berputus asa . Berdosa besar dan akan mendapat balasan neraka yang dahsyat.Bunuh diri adalah dosa besar, kerana adanya ancaman khusus baginya, sebagaimana sabda Nabi SAW maksudnya :

“Barangsiapa bunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan minum racun, maka di neraka jahanam nanti ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.” (Hadis Riwayat Muslim hadis no. 109)

Jika Allah SWT berkehendak, dosa bunuh diri boleh diampuni, sebagaimana firman-Nya:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan mengampuni dosa selain syirik bagi siapa yang dikehendaki.” (Surah An-Nisa' ayat 48). Orang yang mati dibunuh akan mendapat syahid apabila dia mempertahankan maruahnya, hartanya dan nyawanya.Diriwayatkan hadis dari Abi 'Ubadah b Muhammad b 'Ammar b Yassar hadis dari Talhah b Abdillah b 'Aufin hadis dari Said b Zaid hadis dari Nabi (SAW) yg bersabda: 'Barangsiapa di bunuh di bawah (yakni, kerana membela) hartanya, maka dia mati syahid, dan barangsiapa dibunuh di bawah (yakni, kerana membela) keluarganya atau di bawah (yakni, mempertahankan) darahnya (yakni, dirinya) atau di bawah (yakni, mempertahankan atau membela) ugamanya, maka dia mati syahid.' (Hadis Riwayat Abu Daud, Kitab Sunnah)

Di dalam hadis di atas itu, Islam menghukum bahawa sesiapa yg mati atau dibunuh kerana mempertahan sesuatu yg disebutkan dalam hadis tersebut, dia mati syahid. Situasi-situasi tersebut adalah: Pertama, mempertahankan harta dari diambil secara paksa oleh orang lain yg tidak berhak; kedua, mempertahankan keselamatan keluarga atau ahli keluarganya daripada diapa-apakan oleh orang lain; ketiga, mempertahankan dirinya daripada diapa-apakan oleh orang lain, termasuk yang membahayakan dirinya; dan keempat, mempertahankan ugamanya dari kedurjanaan orang lain seperti dicaci atau diperlekehkan oleh orang lain, yakni orang yg anti ugama Islam;
maka orang tersebut jika mati, maka mati syahid dia.

Tidak hairanlah orang Islam Palestin, sebagai contoh, sanggup berperang dgn orang yahudi walaupun tidak mempunyai kekuatan senjata dan seumpamanya, rela mati, kerana mereka mati sebagai seorang syuhada (orang mati syahid). kalau masuk perompak ke dalam rumah kita dan kita melawan mereka, dan ditakdirkan kita terbunuh atau dibunuh, maka kita mati syahid. Begitu jugalah jika rumah kita dimasuki percuri, kemudian mereka hendak memperkosakan isteri atau anak perempuan kita, maka kita pertahankan mereka, dan kita ditakdirkan terbunuh, maka jika kita mati, mati syahidlah kita. 

Demikian jugalah ada orang berugama lain yg cuba meremehkan dan menodai Islam, kemudian kita pertahankan, maka kita juga mati syahid jika ditakdirkan kita mati,. Contoh, mempertahankan orang kafir yg hendak merosakkan masjid, surau atau tempat pengajian milik jema'ah Islam akan mendapat syahid.

347. Soalan : Adakah mati ketika melakukan zina di kira sebagai su'ul khatimah.?

Jawapan : 

Firman Allah SWT yang bermaksud : “ Dan janganlah kamu mendekati zina , sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” (Surah Al- Israa’ ayat 32”

Allah SWT berfirman maksudnya : " Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan Allah dengan sembahan yang lain dan tidak membunuh orang yang diharamkan Allah kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina dan barang siapa yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat hukuman yang berat.". (Surah al Furqaan ayat 68)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “ Jauhilah oleh kamu akan zina, kerana kecelakaannya empat macam iaitu hilang seri (cahaya) pada wajahnya , di sempitkan rezekinya , dan kemurkaan Allah atasnya dan menyebabkan kekal di dalam neraka.” (Hadis riwayat Thabrany dan Ibnu Abbas)
 Mati yang buruk adalah mati su'ul khatimah. Tanda-tanda mati su'ul khatimah adalah mati ketika melakukan maksiat. Mohon dijauhkan Allah SWT daripada kematian su'ul khatimah. Banyakkan bersedekah supaya terhindar daripada su'ul khatimah. Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).” (Hadis Riwayat al-Tirmidzi)

348. Soalan : Bagaimana cara Nabi Muhammad SAW cinta pada kita semua sebagai umatnya?

Jawapan : 

Cinta Rasulullah SAW yang perlu dijadikan bekal dan azimat bagi umat dalam mengharungi kehidupan ini. Alangkah bertuahnya umat ini kerana dikurniakan seorang Rasul yang memiliki cinta agung yang tulus dan sejati terhadap umatnya. Baginda SAW mengungkapkan cintanya dengan ungkapan-ungkapan cinta yang paling murni dan sejati, termasuklah cinta seorang ayah kepada anaknya, seperti sabdanya, “Sesungguhnya diriku bagi kalian bagaikan seorang ayah bagi anaknya.” (Hadis Riwayat al-Darimi).

Jika para bapa yang lain lebih banyak berjasa memelihara kebajikan material yang tidak kekal sifatnya, Rasulullah adalah bapa paling mithali dan paling layak menerima segala darjah kebesaran dan pujian kerana Baginda juga adalah bapa yang membelai dan menyubur jiwa dan roh umatnya agar berjaya di sini dan di alam abadi.

Hidup dan matinya sentiasa tamak menghulurkan kasih sayang, inginkan kebaikan dan kesejahteraan untuk anak-anaknya, sentiasa merasa berat melihat kesusahan yang ditanggung oleh umatnya dan sentiasa tamak berusaha memberikan petunjuk kepada mereka agar mereka terselamat daripada lubuk kesesatan dan kerosakan.

Allah SWT menjelaskan kecintaan dan keprihatinan Baginda ini melalui firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 128. Malah Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya : "Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Apa sahaja yang dilakukan dan difikirkan oleh Baginda semata-mata demi umatnya sehingga Baginda tidak reda seorang pun umatnya terjerumus ke neraka. Diriwayatkan oleh Muslim dalam sahihnya daripada Abdullah ibnu ‘Amru ibnu al ‘As berkata: Pada suatu ketika, Rasulullah SAW membaca firman Allah mengenai Nabi Ibrahim as: "Wahai Tuhanku! Berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat). (Surah Ibrahim ayat 36)

Kemudian Baginda SAW membaca pula perkataan Nabi Isa a.s iaitu dalam surah al-Maidah ayat 118.

Setelah itu, Nabi mengangkat kedua tangannya dan berdoa sambil menangis: "Ya Allah! Umatku! Umatku! Lalu Allah berfirman kepada Jibril as, “Wahai Jibril! Pergilah kamu kepada Muhammad – sememangnya Allah lebih Mengetahui – tanyalah kepadanya apa yang menyebabkan dia menangis.” 

Maka Jibril as menemui Nabi SAW, lalu bertanya kepada Baginda SAW dan Baginda mengkhabarkan kepada Jibril as sebab tangisannya. Maka Allah berfirman kepada Jibril as, “Pergilah kamu menemui Muhammad dan katakanlah kepadanya bahawa Allah berfirman kepadanya: “Sesungguhnya Kami akan membuatkan engkau reda pada umat engkau dan Kami tidak akan menyakiti (mendukacitakan) engkau dalam urusan umat engkau.

Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan kesempurnaan sifat kasih Nabi SAW terhadap umatnya, keprihatinan Baginda terhadap kemaslahatan dan keadaan mereka. Ia juga menerangkan tentang kebesaran kedudukan Nabi SAW di sisi Allah dan betapa besarnya kelembutan Allah terhadap hamba-Nya. Pengutusan Jibril as kepada Baginda SAW menzahirkan lagi ketinggian kedudukan Baginda di sisi Allah di tempat yang teratas sehingga Baginda dimuliakan dengan diberikan kepadanya apa yang disukai dan diredainya. (Sohih Muslim bi Syarh Imam al Nawawi jilid 2 H: 438)
Rasullulah utamakan umatnya. Sifat kasih yang mendalam menyebabkan Baginda sentiasa mengutamakan umatnya, tidak mahu umatnya menanggung kesusahan dan segala beban umatnya rela ditanggung sendiri oleh Baginda SAW. 

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Aku lebih utama bagi orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri. Sesiapa dari kalangan kaum Mukminin yang meninggal dunia meninggalkan hutang maka ke ataskulah tanggungjawab melangsaikan hutangnya. Sesiapa dari kalangan mereka yang meninggalkan harta, maka ia adalah bagi warisnya. (Hadis Riwayat Imam Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Nasai dan Ibnu Majah). Bahkan, Allah telah berfirman mengenainya sebagai mana dalam surah al-Ahzab ayat 6.

Ulama menyatakan, Nabi SAW adalah lebih utama daripada diri mereka sendiri kerana diri mereka mengajak mereka kepada kerosakan, sedangkan Baginda SAW mengajak mereka kepada keselamatan dan kesejahteraan.

Nabi SAW juga mengambil berat tentang keadaan umatnya dan sentiasa mendoakan mereka. Diriwayatkan oleh al-Bazzar daripada Aisyah berkata: Tatkala saya melihat Nabi SAW berada dalam keadaan baik, saya berkata, “Wahai Rasulullah! Doakanlah untuk saya.” 

Rasulullah SAW pun mendoakan, “Ya Allah! Ampunilah dosa Aisyah yang terdahulu dan yang terkemudian, yang tersembunyi dan yang terang.” 

Mendengarnya, Aisyah ketawa gembira sehingga kepalanya jatuh ke ribanya kerana terlalu gembira. Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Adakah doa saya menggembirakan kamu?” Aisyah menjawab, 

“Kenapa tidak, saya begitu gembira dengan doamu itu?” 

Rasulullah SAW bersabda, “Demi Allah! Inilah doa yang saya panjatkan untuk umat saya dalam setiap solat.”

Rasulullah SAW juga menyimpan doa mustajabnya untuk dijadikan sebagai syafaat bagi umatnya pada hari yang paling penting dan sukar iaitu Hari Kiamat. Abu Hurairah ra meriwayatkan, bahawa Nabi SAW bersabda: "Setiap nabi mempunyai doa yang mustajab. Maka setiap nabi bersegera memanfaat doa itu. Tetapi aku menyimpankan doa itu sebagai penolong untuk umatku pada Hari Kiamat. (Hadis Riwayat Muslim dalam kitab al Iman)

349. Soalan : Benarkah kalau kita tidak tahu rukun solat, solat kita tidak sah ?

Jawapan :  

Setiap muslim wajib belajar ilmu agama kerana ilmu ini akan membimbing kita ke jalan yang benar dan menjauhkan diri kita daripada perkara yang haram. Dengan ilmu barulah amal ibadah kita sempurna kerana kita faham hukum wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Begitu juga dengan solat apabila kita faham 13 rukun solat maka kita akan solat dengan khusyuk dan faham yang mana wajib dan sunat ketika kita mengerjakan solat. 

Terdapat 13 rukun di dalam solat. Di dalam rukun ini terdapat rukun Qalbi, Fi'li dan Qauli. 

Rukun Qauli mesti dilafaz dengan keluar suara dari mulut sekurang-kurangnya didengari oleh satu telinga.

Bahagian Rukun:

Pertama – Qalbi

Tertaluk kepada Sifat Ilmu Iaitu
Niat dan Tertib.
Kedua-duanya terbit dari Hati –
Khosat; Takruk dan Takyin.

Kedua – Qauli

Tertakluk kepada Sifat Samak (mendengar) Iaitu
1. TakbirratuIihram;
2. Mebaca surah al-Fatihah;
3. Tahiyat Akhir;
4. Selawat dan
5. Salam.
Kelima-limanya terbit dari Lisan adanya.

Ketiga – Fi’li (perbuatan)

Tertaluk kepada Sifat Basar Iaitu
1. Berdiri Betul;
2. Rukuk;
3. Iqtidal;
4. Sujud;
5. Duduk Antara Dua Sujud dan
6. Duduk Tahiyat Akhir.

350. Soalan : Ustaz.betul ke solat tahajud boleh dilakukan tanpa tidur terlebih dahulu?

Jawapan : 

Solat tahajud di kerjakan selepas tidur malam walau pun hanya sebentar saja. Firman Allah Taala: 
"Hendaklah engkau gunakan sebahagian waktu malam itu untuk sembahyang tahajjud, sebagai sembahyang sunat untuk dirimu, mudah-mudahan Tuhan akan membangkitkan engkau dengan kedudukkan yang baik." (Surah al-Isra' ayat 97) 

Sabda Rasulullah SAW: "sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardu ialah sembahyang sunat malam." (Hadis Riwayat Muslim) 

Terlalu banyak fadilat dan kelebihan sembahyang tahajud. Ini kerana tahajud merupakan suatu amalan yang sukar dilakukan. Walaupun bilangan rakaatnya (paling kurang) hany dua sahaja tetapi tidak semua orang mampu melakukan. Apatah lagi waktunya adalah pada waktu malam dan selepas tidur. oleh itu Allah dan RasulNya menjanjikan ganjaran yang besar terhadap mereka yang sanggup melepaskan selimutnya semata-mata untuk mengerjakan tahajjud. 

Definasi tahajjud: Sembahyang sunat pada waktu malam selepas tidur (Rujuk definasi ini pada kitab-kitab mazhab Syafi'i) 

Hukum tahajjud: para ulamak telah ijmak mengatakannya sebagai sunat. Dan ia pernah diwajibkan pada permulaan Islam. Bagi orang-orang yang telah biasa melakukan tahajud, makruh hukumnya meninggalkan tahajud. 

Waktu mengerjakan tahajjud: Selepas Isyak & selepas tidur. Dan, yang paling afdal ialah mentakhirkan sembahyang ini. 

Menurut Imam al-Nawawi di dalam Minhaaj al-Thalibin, makruh mengerjakan sembahyang tahajud seluruh malam secara berterusan (Berjaga setiap malam mengerjakan tahajud). Syeikh Muhamad al-Khatib al-Syarbini menjelaskan perkataan al-Nawawi dengan katanya: "Makruh mengerjakan tahajud pada waktu malam yang dapat memudaratkan. Dari itu berjaga utk bertahajud seluruh malam setiap hari tergolong dalam kategori ini. Alasannya ialah, sabda Rasulullah SAW. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Rasulullah SAW bertanya kepada Abdullah bin Amru bin al-Ash: Tidakkah aku diberitahu bahawa engkau berpuasa disiang hari dan berdiri (solat) diwaktu malam? Abdullah menjawab: Bahkan wahai Rasulullah. Baginda SAW. bersabda: "Jangan lakukan. Berpuasalah dan berbukalah. Berdirilah (malam dan bersolat) dan tidurlah. Sesungguhnya jasadmu juga mempunyai haknya..."

No comments:

Post a Comment