Friday, February 14, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 57 (Cinta Nabi SAW, Solat Tahajud, Rukun Qauli, Mertua Kawal Gaji Menantu dan Menjadi Imam Solat)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 57 adalah menjelaskan persoalan cinta Nabi Muhammad SAW, solat tahajud, rukun qauli, mertua kawal gaji menantu menjadi iman solat

341. Soalan : Bagaimana cara nabi Muhammad saw cinta pada kita/umatnya?

Jawapan  : 

Cinta Rasulullah SAW yang perlu dijadikan bekal dan azimat bagi umat dalam mengharungi kehidupan ini. Alangkah bertuahnya umat ini kerana dikurniakan seorang Rasul yang memiliki cinta agung yang tulus dan sejati terhadap umatnya. Baginda SAW mengungkapkan cintanya dengan ungkapan-ungkapan cinta yang paling murni dan sejati, termasuklah cinta seorang ayah kepada anaknya, seperti sabdanya, “Sesungguhnya diriku bagi kalian bagaikan seorang ayah bagi anaknya.” (Hadis riwayat al-Darimi).

Jika para bapa yang lain lebih banyak berjasa memelihara kebajikan material yang tidak kekal sifatnya, Rasulullah adalah bapa paling mithali dan paling layak menerima segala darjah kebesaran dan pujian kerana Baginda juga adalah bapa yang membelai dan menyubur jiwa dan roh umatnya agar berjaya di sini dan di alam abadi.

Hidup dan matinya sentiasa tamak menghulurkan kasih sayang, inginkan kebaikan dan kesejahteraan untuk anak-anaknya, sentiasa merasa berat melihat kesusahan yang ditanggung oleh umatnya dan sentiasa tamak berusaha memberikan petunjuk kepada mereka agar mereka terselamat daripada lubuk kesesatan dan kerosakan.

Allah SWT menjelaskan kecintaan dan keprihatinan Baginda ini melalui firman-Nya dalam suray al-Taubah ayat 128. Malah Rasulullah pernah bersabda: Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Apa sahaja yang dilakukan dan difikirkan oleh Baginda semata-mata demi umatnya sehingga Baginda tidak reda seorang pun umatnya terjerumus ke neraka. Diriwayatkan oleh Muslim dalam sahihnya daripada Abdullah ibnu ‘Amru ibnu al ‘As berkata: Pada suatu ketika, Rasulullah SAW membaca firman Allah mengenai Nabi Ibrahim as: Wahai Tuhanku! Berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat). (Surah Ibrahim ayat 36)

Kemudian Baginda SAW membaca pula perkataan Nabi Isa as iaitu dalam surah al-Maidah ayat 118.
Setelah itu, Nabi mengangkat kedua tangannya dan berdoa sambil menangis: Ya Allah! Umatku! Umatku! Lalu Allah berfirman kepada Jibril as, “Wahai Jibril! Pergilah kamu kepada Muhammad – sememangnya Allah lebih Mengetahui – tanyalah kepadanya apa yang menyebabkan dia menangis.” Maka Jibril as menemui Nabi SAW, lalu bertanya kepada Baginda SAW dan Baginda mengkhabarkan kepada Jibril as sebab tangisannya. Maka Allah berfirman kepada Jibril as, “Pergilah kamu menemui Muhammad dan katakanlah kepadanya bahawa Allah berfirman kepadanya: “Sesungguhnya Kami akan membuatkan engkau reda pada umat engkau dan Kami tidak akan menyakiti (mendukacitakan) engkau dalam urusan umat engkau.

Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan kesempurnaan sifat kasih Nabi SAW terhadap umatnya, keprihatinan Baginda terhadap kemaslahatan dan keadaan mereka. Ia juga menerangkan tentang kebesaran kedudukan Nabi SAW di sisi Allah dan betapa besarnya kelembutan Allah terhadap hamba-Nya. Pengutusan Jibril as kepada Baginda SAW menzahirkan lagi ketinggian kedudukan Baginda di sisi Allah di tempat yang teratas sehingga Baginda dimuliakan dengan diberikan kepadanya apa yang disukai dan diredainya. (Sohih Muslim bi Syarh Imam al Nawawi jilid 2 H: 438) 

Rasullulah utamakan umatnya. Sifat kasih yang mendalam menyebabkan Baginda sentiasa mengutamakan umatnya, tidak mahu umatnya menanggung kesusahan dan segala beban umatnya rela ditanggung sendiri oleh Baginda SAW. Rasulullah SAW bersabda: Aku lebih utama bagi orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri. Sesiapa dari kalangan kaum Mukminin yang meninggal dunia meninggalkan hutang maka ke ataskulah tanggungjawab melangsaikan hutangnya. Sesiapa dari kalangan mereka yang meninggalkan harta, maka ia adalah bagi warisnya. (riwayat Imam Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Nasai dan Ibnu Majah). Bahkan, Allah telah berfirman mengenainya sebagai mana dalam surah al-Ahzab ayat 6.

Ulama menyatakan, Nabi SAW adalah lebih utama daripada diri mereka sendiri kerana diri mereka mengajak mereka kepada kerosakan, sedangkan Baginda SAW mengajak mereka kepada keselamatan dan kesejahteraan.

Nabi SAW juga mengambil berat tentang keadaan umatnya dan sentiasa mendoakan mereka. Diriwayatkan oleh al-Bazzar daripada Aisyah berkata: Tatkala saya melihat Nabi SAW berada dalam keadaan baik, saya berkata, “Wahai Rasulullah! Doakanlah untuk saya.” 

Rasulullah SAW pun mendoakan, “Ya Allah! Ampunilah dosa Aisyah yang terdahulu dan yang terkemudian, yang tersembunyi dan yang terang.” Mendengarnya, Aisyah ketawa gembira sehingga kepalanya jatuh ke ribanya kerana terlalu gembira. Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Adakah doa saya menggembirakan kamu?” Aisyah menjawab, “Kenapa tidak, saya begitu gembira dengan doamu itu?” Rasulullah SAW bersabda, “Demi Allah! Inilah doa yang saya panjatkan untuk umat saya dalam setiap solat.”

Rasulullah SAW juga menyimpan doa mustajabnya untuk dijadikan sebagai syafaat bagi umatnya pada hari yang paling penting dan sukar iaitu Hari Kiamat. Abu Hurairah ra meriwayatkan, bahawa Nabi SAW bersabda: Setiap nabi mempunyai doa yang mustajab. Maka setiap nabi bersegera memanfaat doa itu. Tetapi aku menyimpankan doa itu sebagai penolong untuk umatku pada Hari Kiamat. (Hadis riwayat Muslim dalam kitab al Iman)

342. Soalan : Ustaz.betul ke solat tahajjud boleh dilakukan tanpa tidur?

Jawapan : 

Solat tahajud di kerjakan selepas tidur malam walau pun hanya sebentar saja. Firman Allah Taala: 
maksudnya, "Hendaklah engkau gunakan sebahagian waktu malam itu untuk sembahyang tahajjud, sebagai sembahyang sunat untuk dirimu, mudah-mudahan Tuhan akan membangkitkan engkau dengan kedudukkan yang baik." (Surah al-Isra' ayat 97) 

Sabda Rasulullah SAW.: "sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardu ialah sembahyang sunat malam." (Hadis riwayat Muslim) 

Terlalu banyak fadilat dan kelebihan sembahyang tahajud. Ini kerana tahajud merupakan suatu amalan yang sukar dilakukan. Walaupun bilangan rakaatnya (paling kurang) hany dua sahaja tetapi tidak semua orang mampu melakukan. Apatah lagi waktunya adalah pada waktu malam dan selepas tidur. oleh itu Allah dan RasulNya menjanjikan ganjaran yang besar terhadap mereka yang sanggup melepaskan selimutnya semata-mata untuk mengerjakan tahajjud. 

Definasi tahajjud: Sembahyang sunat pada waktu malam selepas tidur (Rujuk definasi ini pada kitab-kitab mazhab Syafi'i) 

Hukum tahajjud: para ulama telah ijmak mengatakannya sebagai sunat. Dan ia pernah diwajibkan pada permulaan Islam. Bagi orang-orang yang telah biasa melakukan tahajjud, makruh hukumnya meninggalkan tahajjud. 

Waktu mengerjakan tahajjud: Selepas Isyak & selepas tidur. Dan, yang paling afdal ialah mentakhirkan sembahyang ini. 

Menurut Imam al-Nawawi di dalam Minhaaj al-Thalibin, makruh mengerjakan sembahyang tahajud seluruh malam secara berterusan (Berjaga setiap malam mengerjakan tahajud). Syeikh Muhamad al-Khatib al-Syarbini menjelaskan perkataan al-Nawawi dengan katanya: "Makruh mengerjakan tahajud pada waktu malam yang dapat memudaratkan. Dari itu berjaga utk bertahajud seluruh malam setiap hari tergolong dalam kategori ini. Alasannya ialah, sabda Rasulullah SAW. yang diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim: 

Rasulullah SAW. bertanya kepada Abdullah bin Amru bin al-Ash: Tidakkah aku diberitahu bahawa engkau berpuasa disiang hari dan berdiri (solat) diwaktu malam? Abdullah menjawab: Bahkan wahai Rasulullah. Baginda s.a.w. bersabda: Jangan lakukan. Berpuasalah dan berbukalah. Berdirilah (malam & bersolat) dan tidurlah. Sesungguhnya jasadmu juga mempunyai haknya.....al-hadis."

343. Soalan :  Ustaz...di sini saya ada kemusykilan ...harap ustaz dapat jelaskan apa maknanya rukun Qauli ?

Jawapan :  

Terdapat 13 rukun di dalam solat. Di dalam rukun ini terdapat rukun Qalbi, Fi'li dan Qauli. Rukun Qauli mesti dilafaz dengan keluar suara dari mulut sekurang-kurangnya didengari oleh satu telinga.
Bahagian Rukun:

Pertama – Qalbi

Tertaluk kepada Sifat Ilmu Iaitu
1. Niat dan
2. Tertib.
Kedua-duanya terbit dari Hati –
(Khosat; Takruk dan Takyin.)

Kedua – Qauli

Tertakluk kepada Sifat Samak (mendengar) Iaitu
1. TakbirratuIihram;
2. Membaca Surah al-Fatihah;
3. Tahiyat Akhir;
4. Selawat dan
5. Mengucapkan Salam pertama.

Kelima-limanya terbit dari Lisan adanya.

Ketiga – Fi’li

Tertaluk kepada Sifat Basar Iaitu
1. Berdiri Betul;
2. Rukuk;
3. Iqtidal;
4. Sujud;
5. Duduk Antara Dua Sujud dan
6. Duduk Tahiyat Akhir.

344. Soalan : Apa hukum ibu mentua mengawal gaji menantu perempuan?

Jawapan : 

Ibu mertua tidak adahak nak kontrol harta dan gaji perempuannya dan suami sendiri tak ada hak nak kontrol gaji isteri sehingga suami pegang kad atm isteri. Tanggungjawab memberikan nafkah adalah tanggungjawab suami bukannya isteri yang menanggung nafkah keluarga. Ibu mertua yang mempunyai sikap tidak menghormati hak menantunya dan suka mencampuri urusan mereka bukanlah terdiri daripada wanita yang baik akhlaknya dia perlu bertaubat kepada Allah SWT. 

Ketaatan isteri kepada suami adalah menjaga kehormatan diri, menjaga harta suami, mendidik anak-anak dan melayan hajat suami bukannya ketaatannya sehingga di serahkan haknya (gaji dan hartanya) kepada suami. Isteri tidak berdosa jika memberi wang gajinya untuk membantu ibu bapanya yang miskin dikampung tanpa kebenaran suaminya.

Suami tidak boleh menzalimi isterinya , suami perlu tahu hukum dan taat pada ibu di dalam perkara yang harus saja bukannya mengambil hak orang lain (hak isterinya). Isteri perlu menasihati suaminya dan jelaskan bahawa dia ada hak ke atas gajinya dan suami tak boleh mengambiinya secara paksa atau dia tak reda di atas perbuatan suaminya.

345. Soalan : Soalan saya jila seorang lelaki ingin menunaikan solat sendirian. tetapi, ramai  yang sedang lalu lalang disitu. lalu dia pun meletakkan sesuatu (benda) untk mnjadi penghadang supaya membolehkan orang lain lalu dihadapannya ketika dia solat. 

Jawapan : 

Sebelum seorang hendak bersolat sunat di masjid atau surau maka pastikan tempat solatnya adalah tempat yang selesa tidak di lalui oleh jemaah lain. Jika terpaksa kerana ramai ahli jemaah maka di haruskan meletakkan di hadapnnya suatu benda supaya jemaah lain yang lalu ditempat solat tadi tidak akan lalu dihadapannya (kawasan tempat sujud)

عَنْ أَبِى سَعِيدٍ الْخُدْرِى أَنَّ رَسُولُ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم
قَالَ إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ يُصَلِّى فَلا يَدَعْ أَحَدًا
يَمُرَّبَيْنَ يَدَيْ وَلْيَدْرَأْهُ مَا اسْتَطَاعَ فَاِنْ أَبَى
فَلْيُقَاتِلْهُ فَاِنَّمَا هُوَا شَيْطَانٌ

Dari Abu Said Al Qudri, katanya :"Bersabda Rasulullah SAW : "Kalau salah seorang daripada kamu sedang sembahyang maka jangan biarkan orang lalu dihadapannya. Jika ada yang lewat (lalu), hendaklah dicegah sedapat mungkin Dan kalau orang itu enggan pukullah ia kerana orang itu sama dengan syaitan " (Hadis sahih riwayat Muslim)

Solatnya tetap sah walau pun ada jemaah lain melintas di hadapannya, jika tidak ada tanda penghadang maka seseorang tidak sengaja untuk melintasinya. Perbanyakkanlah solat-solat sunat untuk mendekatkan diri kepaad Allah SWT.

No comments:

Post a Comment