Sunday, February 2, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 51 (Wanita Menangis, Tidak Adil Berpoligami, Membeli Rokok, Doa Untuk Ibu , Saka Dan Qareen)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 51 adalah menjelaskan persoalan wanita menagis, tidak adil berpoligami, membeli rokok, doa untuk ibu yang sudah meninggal dunia dan saka dan qareen.

311. Soalan : Ustaz saya nak tanya..apa balasan kalau ada seorang wanita menangis disebabkan hanya seorang lelaki kerana putus cinta?

Jawapan :  

Janganlah anda mensia-siakan air mata anda kerana seorang lelaki, jika putus cinta sekali pun jangan anda menagis tetapi keluarkan air mata anda ketika anda membaca al-Quran, ketika anda berdoa mohon keampunan Allah SWT di atas dosa-dosa yang anda lakukan kerana sesungguhnya air mata yang mengalir kerana takut azab Allah akan menjadikan anda salah seorang yang mendapat perlindungan Arash di hari akhirat. 

Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya : "Tiap mata pasti akan menangis pada hari kiamat, kecuali mata yang dipejamkan dari segala yang haram dan mata yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah dan mata yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah." (Hadis Riwayat Abu Naim)

312. Soalan : Ustaz, isteri tua sengaja buat buat tak tahu yang suami telah bernikah dan sengaja hidup mewah seperti sengaja beli kereta mewah dan lain-lain kerana nak kawal suami dari memberi nafkah pada madunya...sehingga sisuami tak dapat berlaku adil pada isteri kedua. Bagaimana nak menyedarkan dia dan mengatasi masalah ini ustaz?Terima kasih.

Jawapan : 

Seorang suami yang telah berpoligami wajib berlaku adil kepada kesemua isteri-isterinya kerana lawan daripada adil adalah zalim. Islam melarang melakukan kezaliman terhadap orang dibawah tanggungjawab kita. sebagaimana yang difirmankan Allah (SWT) maksudnya :

"Kemudian jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu), maka (kahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kaumiliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman." (Surah an-Nisa' ayat 3)

Dengan tegas diterangkan serta dituntut agar para suami bersikap adil jika akan berpoligami. Andaikan takut tidak dapat berlaku adil kalau sampai empat orang isteri, cukuplah tiga orang sahaja. Tetapi kalau itupun masih juga tidak dapat adil, cukuplah dua sahaja. Dan kalau dua itu pun masih khuatir tidak boleh berlaku adil, maka hendaklah menikah dengan seorang sahaja.

Para mufassirin berpendapat bahawa berlaku adil itu wajib. Adil di sini bukanlah bererti hanya adil terhadap para isteri sahaja, tetapi mengandungi erti berlaku adil secara mutlak. Oleh kerana itu seorang suami hendaklah berlaku adil sebagai berikut:

1. Berlaku adil terhadap dirinya sendiri.
Seorang suami yang selalu sakit dan uzur dan mengalami kesukaran untuk bekerja mencari rezeki, sudah tentu tidak akan dapat memelihara beberapa orang isteri. Apabila dia tetap berpoligami, ini bererti dia telah menganiayai dirinya sendiri. Sikap yang demikian adalah tidak adil.

2. Adil di antara para isteri.
Setiap isteri berhak mendapatkan hak masing-masing dari suaminya, berupa kemesraan hubungan jiwa, nafkah berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain perkara yang diwajibkan Allah kepada setiap suami.

Adil di antara isteri-isteri ini hukumnya wajib, berdasarkan firman Allah dalam Surah an-Nisa' ayat 3 dan juga sunnah Rasul. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya;

"Barangsiapa yang mempunyai dua isteri, lalu dia cenderung kepada salah seorang di antaranya dan tidak berlaku adil antara mereka berdua, maka kelak di hari kiamat dia akan datang dengan keadaan pinggangnya miring hampir jatuh sebelah." (Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal)

a. Adil memberikan nafkah.
Dalam soal adil memberikan nafkah ini, hendaklah si suami tidak mengurangi nafkah dari salah seorang isterinya dengan alasan bahawa si isteri itu kaya atau ada sumber kewangannya, kecuali kalau si isteri itu rela. Suami memang boleh menganjurkan isterinya untuk membantu dalam soal nafkah tetapi tanpa paksaan. Memberi nafkah yang lebih kepada seorang isteri dari yang lain-lainnya diperbolehkan dengan sebab-sebab tertentu. Misalnya, si isteri tersebut sakit dan memerlukan biaya rawatan sebagai tambahan.


Prinsip adil ini tidak ada perbezaannya antara gadis dan janda, isteri lama atau isteri baru, isteri yang masih muda atau yang sudah tua, yang cantik atau yang tidak cantik, yang berpendidikan tinggi atau yang buta huruf, kaya atau miskin, yang sakit atau yang sihat, yang mandul atau yang dapat melahirkan. Kesemuanya mempunyai hak yang sama sebagai isteri.

b. Adil dalam menyediakan tempat tinggal.
Selanjutnya, para ulama telah sepakat mengatakan bahawa suami bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang tersendiri untuk tiap-tiap isteri berserta anak-anaknya sesuai dengan kemampuan suami. Ini dilakukan semata-mata untuk menjaga kesejahteraan isteri-isteri, jangan sampai timbul rasa cemburu atau pertengkaran yang tidak diingini.

c. Adil dalam giliran.
Demikian juga, isteri berhak mendapat giliran suaminya menginap di rumahnya sama lamanya dengan waktu menginap di rumah isteri-isteri yang lain. Sekurang-kurangnya si suami mesti menginap di rumah seorang isteri satu malam suntuk tidak boleh kurang. Begitu juga pada isteri-isteri yang lain. Walaupun ada di antara mereka yang dalam keadaan haidh, nifas atau sakit, suami wajib adil dalam soal ini. Sebab, tujuan perkahwinan dalam Islam bukanlah semata-mata untuk mengadakan 'hubungan seks' dengan isteri pada malam giliran itu, tetapi bermaksud untuk menyempumakan kemesraan, kasih sayang dan kerukunan antara suami isteri itu sendiri. Hal ini diterangkan Allah dengan firman-Nya yang bermaksud ;

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya, dan rahmat-Nya, bahawa la menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Surah ar-Ruum ayat 21)

Andaikan suami tidak bersikap adil kepada isteri-isterinya, dia berdosa dan akan menerima seksaan dari Allah (SWT) pada hari kiamat dengan tanda-tanda berjalan dalam keadaan pinggangnya miring. Hal ini akan disaksikan oleh seluruh umat manusia sejak Nabi Adam sampai ke anak cucunya.

Firman Allah SWT berfirman yang maksudnya :

"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)." (Surah az-Zalzalah ayat 7-8)

Puan cubalah nasihatkan suami tersebut dengan cara yang hikmah dan sampaikan kepada beliau ciri-ciri suami yang adil seperti yang dijelaskan di atas supaya dia kembali kepangkal jalan dan tidak menzalimi isteri keduanya. Wallahu a'lam


313. Soalan :  Saya nak tanya  kalau ayah kita suruh belikan rokok atau suruh ambil kan tempat habuk rokok , adakah di kira bersyubahat sebab hisap rokokkan haram.?

Jawapan :  

Jika boleh kita tidak membelikan rokok untuk ayah kerana rokok membahayakan kesihatan. Tetapi jika saudari rasa dengan tak membeli rokok boleh menimbulkan perselisihan atau keretakkan hubungan anak dengan ayah maka kita belikan juga tetapi di dalam hati membencinya. 

mKaedah syarak : Pilih di antara 2 mudharat maka kita pilih yang kurang mudharatnya. Mudharat merokok hanya ayah yang terima dan mudharat perselisihan faham di antara saudari dan ayah lebih besar mudharatnya. Wallahua'lam.

314. Soalan : Ustaz, selepas setiap kali solat saya berdoa untuk aruah ibu saya dan saudara-saudara yang lain yang telah meninggal dunia, tetapi suami saya kata doa saya tidak sampai sebab saya tidak dapat izin dari dia. sedangkan dia tak penah bersolat serta meninggalkan suruhan Allah serta yang di larang-Nya. Apakah selama ini doa saya tak di terima Allah.?

Jawapan :  

Seorang suami tidak boleh mengatakan doa puan tidak sampai kerana urusan doa adalah urusan Allah SWT. Puan sebagai seorang anak , maka doa anak yang soleh dan solehah mustajab dan sampai kepada Allah SWT.Dalam hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya, melainkan ada tiga perkara (yang tidak terputus); iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dengannya dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan ibu bapanya”. (Hadis riwayat Muslim). Puan teruskan berdoa dan minta Allah SWT ampunkan dosa ibu bapa yang sudah meninggal dunia. Terdapat beberapa amalan yang boleh di buat oleh anak-anak untuk kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

Amalan-amalan anak untuk kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia adalah seperti berikut :

1. Mohon keampunan untuk mereka.
Doakan kepada mereka.supaya diampunkan dosa-dosa mereka. (Setiap selepas solat fardu berdoalah kepada Allah SWT untuk  kedua ibu bapa supaya Allah SWT mengampunkan semua dosa-dosa mereka)

Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya : "Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (Hadis Riwayat Muslim).

"Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla menaikkan darjat seorang lelaki yang shalih di syurga,

lalu dia bertanya: “Wahai Tuhan! Kenapakah saya mendapat kelebihan ini?”

Dijawab: “Disebabkan permohonan ampun anak kamu kepada kamu.”

(Hadis Sanad Hasan Riwayat Ahmad dalam Musnadnya – hadis no: 10610 (jld. 2, ms. 509) dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth.)

Doa keampunan kepada ibubapa yang boleh diamalkan adalah daripada al-Quran seperti mana yang dikemukakan sebelum ini:

“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan; dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!” (Surah Nuh (71) ayat 28)

Memandangkan hadis yang pertama menyebut doa seorang anak yang soleh secara umum, maka dianjurkan juga mendoakan rahmat kepada ibubapa sebagaimana berikut:

“Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra’ (17) ayat 24)

Demikianlah dua doa yang diajarkan oleh al-Quran dan ia mencakupi dua perkara yang amat diperlukan oleh ibubapa setelah mereka meninggal dunia: keampunan dan rahmat daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Doa-doa ini boleh kita baca di mana-mana dan pada bila-bila masa. Ia tidak terhad kepada saat menziarahi kubur ibubapa.

2. Menunaskan hutang mereka.
Hutang seperti ini akan menawan ibubapa yang meninggal dunia sehinggalah ia dilunaskan.

Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda kepada Sa‘ad ibn al-Atswal radhiallahu 'anh yang baru kematian saudaranya: "Saudara kamu tertahan disebabkan hutangnya, oleh itu pergilah engkau melunasinya." (Hadis Sahih Riwayat Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 2433 .Kitab al-Ahkam, Bab membayar hutang orang yang meninggal dunia).

3.  Laksanakan wasiat ibadah yang mereka tinggalkan.
Jika ibubapa memiliki hajat untuk melaksanakan sesuatu ibadah lalu mereka tidak sempat kerana meninggal dunia, maka kita boleh melaksanakan ibadah tersebut. ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma menerangkan:

Bahawa seorang wanita daripada Juhainah datang menemui Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan berkata: “Sesungguhnya ibuku bernazar untuk melaksanakan haji akan tetapi dia tidak sempat melaksanakan haji tersebut sehingga dia meninggal dunia. Apakah boleh aku melaksanakan haji tersebut untuknya?”

Rasulullah menjawab: “Ya, hajikanlah dia. Apa pandangan kamu jika ibu kamu memiliki hutang, adakah kamu juga akan melunasinya? Lunaskanlah untuk Allah kerana (hutang kepada) Allah adalah lebih berhak untuk dilunasi." (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 1852 (Kitab al-Hajj, Bab menunaikan nazar haji untuk yang meninggal dunia).

4.  Melaksanakan Rancangan Atau Janji Ibubapa.

Jika ibubapa memiliki rancangan tertentu dan mereka tidak sempat melaksanakannya, kita sebagai anak boleh melaksanakannya dan ganjaran kebaikan akan mengalir kepada ibubapa dan juga kita. Jabir bin ‘Abd Allah radhiallahu 'anh menerangkan:

Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah berkata: “Apabila datang harta dari Bahrain nescaya aku akan memberi engkau sekian-sekian.”

Namun harta dari Bahrain tidak datang sehinggalah Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam wafat.

Ketika harta dari Bahrain sampai, Abu Bakar (radhiallahu 'anh) memerintahkan seseorang menyeru: “Sesiapa yang memiliki janji atau hutang dengan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam datanglah kepada kami.”

Maka aku datang dan berkata: “Sesungguhnya Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam berjanji kepada aku sekian-sekian.” Maka dia memberi aku satu genggaman dan aku menghitungnya, ternyata jumlahnya lima ratus (dirham). Dia berkata: “Ambillah lagi seumpamanya.”
(Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 2296 (Kitab al-Kafalah, Bab orang yang bertanggungjawab untuk menunaikan hutang si-mati…).

Dalam hadis di atas, janji Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada Jabir dilaksanakan oleh Abu Bakar radhiallahu 'anh sebagai pemerintah pada saat itu. Dalam kes ibubapa, janji atau rancangan mereka boleh dilaksanakan oleh anak-anaknya.

5. Meneruskan Apa Yang Baik dan Menghentikan Apa Yang Buruk.

Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun. (Hadis Sahih Riwayat Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 1017 (Kitab al-Zakat, Bab suruhan bersedekah sekalipun dengan setengah biji tamar…)

6. Berhubung Dengan Orang Yang Dicintai Oleh Ibubapa.

Kebaikan yang terakhir adalah setinggi-tinggi kebaikan yang dapat dilakukan oleh seorang anak kepada ibubapanya yang telah meninggal.

Hadisnya adalah seperti berikut: Dalam satu perjalanan ke Mekah, ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma menemui seorang Arab Badui. Lantas Ibn ‘Umar mengucapkan salam kepada beliau, menaikkan beliau ke atas keldai yang tadi ditungganginya dan kemudian memberikan beliau serban yang sedang dipakainya. Ibn Dinar (yang menyaksikan perbuatan Ibn ‘Umar) berkata kepadanya:

“Semoga Allah memperelok keadaan kamu! Sesungguhnya mereka adalah orang Arab Badui dan sesungguhnya mereka sudah mencukupi dengan sesuatu yang sedikit.”

Maka Ibn ‘Umar menjawab: “Sesungguhnya ayah orang ini adalah sahabat yang amat dicintai oleh (ayahku) ‘Umar bin al-Khaththab. Sesunguhnya aku mendengar Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya bakti terbaik seorang anak ialah menghubung silaturahim dengan orang yang dicintai ayahnya.”
(Hadis Sahih Riwayat Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2552 (Kitab al-Birr wa al-Sholah wa al-Adab, Bab keutamaan berbuat baik kepada rakan ayah dan ibu).

Berdasarkan hadis di atas, hendaklah kita berbuat baik kepada ibubapa yang sudah meninggal dunia dengan menjalinkan hubungan silaturahim dan berbuat baik kepada sesiapa sahaja yang dicintai atau menjadi sahabat karib ibubapa semasa mereka masih hidup.

Selain daripada perkara-perkara diatas seorang anak yang soleh atau solehah akan melakukan beberapa perkara kebaikan untuk membantu ibu bapa mereka yang sedang berada di alam barzakh sebagai ikhtiar dan usaha-usaha untuk membantu mereka beroleh kebaikan dan tambahan pahala yang berterusan.

1. Banyakkan bersedekah terutama sedekah jariah (pembinaan sekolah agama, masjid, rumah anak yatim dan mewakafkan tanah perkuburan orang Islam) niatkan untuk mereka.

2. Sedekahkan al-Quran, buku-buku Islam di sekolah-sekolah agama atau maahad tahfiz atau dimasjid-masjid niatkan untuk mereka.

3. Selalu sedekahkan al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas, surah Yasin, surah al-Baqarah dan ayat-ayat al-Quran yang lain untuk mereka. Sebaik-baik yang membacanya adalah kita sendiri sebagai seorang anak.. Sedekah bacaan al-Quran menurut majoriti ulama ahli sunah waljamaah sampai kepada simati :

Abu al-Lajlaj Abu Khalid (seorang sahabat) mendengar Nabi SAW menggalakkan para sahabat membaca ayat suci al-Quran di bahagian kepala dan kaki si mati di atas kubur. Lalu mewasiatkan amalan tersebut kepada anaknya supaya berbuat demikian.

Abd Rahman bin al-A’la bin Lajlaj daripada bapanya, katanya : berkata Abu al-Lajlaj Abu Khalid : “Wahai anakku, apabila aku meninggal dunia kebumikanlah aku. Apabila kamu meletakkan jasadku di liang lahad, bacalah: “Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah SAW, Kemudian curahkanlah tanah dengan cermat ke atasku. Kemudian bacalah disisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda sedemikian.” (al-Thabrani, Mu’jam al-Kabir, 1982, Maktabah al-Ulum Wal Hikam, hlm 220 juz 19)

4. Beramal dengan amalan Islam. Semua anak-anak yang masih hidup apabila mereka tidak mengamalkan cara hidup Islam dengan melakukan maksiat dan dosa, anak perempuan tidak menutup aurat,  bergaduh sesama adik beradik kerana harta pusaka semua tindakkan ini menyusahkan dan membebankan ibu bapa kita yang berada dialam barzakh. Ibu bapa akan menyesal kerana mereka tidak mendidik anak-anak mereka dengan cara hidup Islam hingga mereka melakukan maksiat kepada Allah SWT. Ketika ini penyesalan sudah tidak berguna lagi kerana perkara tersebut sudah berlaku. Tetapi untuk anak-anak pula macamana mereka hendak membantu ibu bapa mereka yang sudah mati tadi? Maka mereka perlu beramal soleh, beramal ibadah dan beramal kebaikan kerana semua pahala yang kalian buat akan membari saham yang besar kepada ibu bapa kalian yang sedang menderita di alam barzakh.

Amalkanlah ilmu yang diajarkan oleh kedua ibu bapa kalian maka mereka akan mendapat pahala ilmu yang bermanfaat. 

Marilah kita sama-sama berusaha memberi saham terbaik untuk kedua orang tua kita yang telah meninggal dunia. Amalkanlah beberapa amalan di atas yang pernah di laksanakan oleh sahabat-sahabat Rasulullah SAW dan ulama tabiin untuk meneruskan jasa bakti kepada insan tersayang yang telah meninggal dunia. Sebenarnya amal soleh dan kebaikan yang kita berikan kepada mereka kita juga akan mendapat pahala yang sama dan tidak dikurangkan walaupun sedikit oleh Allah SWT.

315. Soalan : Saya banyak mendengar perkataan saka yang dirujuk kepada gangguan makhluk harus atas seseorang yang berpunca daripada keturunan seseorang yang mendampinginya sentiasa meminta berbagai permintaan atau mengenakan berbagai keburukan. Adakah ini sama dengan istilah qareen. Samakah antara saka dengan qareen? Bagaimana hendak mengatasi hal ini apabila ianya berlaku?



Jawapan : 

Saka adalah suatu istilah yang biasanya digunakan oleh tukang ubat atau bomoh tradisional yang merujuk kepada suatu fenomena gangguan spiritual yang berlaku ke atas manusia kebanyakannya kaum wanita dan ada juga lelaki, yang mengaitkannnya dengan makhluk yang kononnya diamanahkan menjaga seseorang. Bagi tujuan menjaga tersebut maka berbagai-bagai gangguan spiritual berlaku. Gangguan seperti ini dikenali sebagai gangguan makhluk halus.

Saka dikaitkan dengan kononnya ada makhluk yang berdampingan dengan keturunan bapa, ibu, datuk atau nenek seseorang yang menjaga atau bersahabat dengan makhluk ini dan dipesan kepada makhluk tersebut selepas kematiannya untuk menjaga dan mengawal anak cucu mereka.

Hasil daripada itu maka berlaku kawalan, sebenarnya gangguan ke atas orang berkenaan sehingga menimbulkan masalah yang diistilahkan sebagai saka.

Betul atau tidak ia makhluk yang mendampingi manusia dan keturunan mereka diganggu sehingga mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Jika benar ianya (makhluk halus) sebagai sahabat, kawan atau dampingan orang-orang terdahulu, maka sepatutnya ia tidak berubah sekadar hanya menjaga dan melindungi anak cucu seseorang, tiba-tiba berlaku sebaliknya sehingga menyakiti dan menganggu sampai menjadi separuh gila atau separuh sedar.

Saka ini berkemungkinan amalan dan sahabat kepada datuk nenek terdahulu dengan makhluk halus terdiri daripada jin-jin kafir. Apabila tidak dijaga sebagaimana perjanjian maka makhluk halus ini terdiri daripada jin-jin kafir menganggu anak cucu semuanya berlaku dengan izin Allah SWT. Sebenarnya Islam melarang kita bersahabat atau menjadikan makhluk halus sebagai pembantu kerana jin-jin kafir ini banyak membuat penipuan dan syirik kepaad Allah SWT.

Banyak ayat-ayat al-Quran yang menggesa manusia menjauhi dan berlindung diri daripada jin dan syaitan. Malah manusia wajib menjadikan syaitan sebagai musuh dan sebagainya.

Berbalik kepada seseorang yang diganggu oleh makhluk halus, maka jelas ia adalah musuh kerana ia menyakiti manusia, menganggu manusia dan melakukan perkara yang tidak dingini oleh manusia, ianya memberikan kesan negatif.

Kita mesti menjauhi mereka, benda yang dinamakan saka ini tidak menjadi sesuatu yang baik kepada manusia. Dirawatlah dengan cara-cara yang diharuskan oleh syarak bagi mengelakkan saka ini terus menerus menganggu manusia.

Adapun Qareen adalah istilah al-Quranul karim yang jelas Allah S.W.T menyebut dalam beberapa ayat seperti dalam Surah Qaf (ayat 23), Surah al-Fussilat (ayat 25) dan lain-lain.

Di antara makna-maknanya, Allah menyebut (mafhumnya), "Dan kami tetapkan bagi mereka, teman-teman yang menjadikan mereka memandang bagus apa yang ada di hadapan dan di belakang mereka. Dan tetaplah atas mereka keputusan azab pada umat yang terdahulu dari jin dan manusia. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang meragui."

Istilah teman-teman dalam al-Quran adalah pada asal perkataan Qurana atau kawan-kawan setia. Maksudnya adalah dari suku sakat syaitan atau iblis ini menjadikan manusia sebagai teman mereka.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan berkatalah Qareennya, inilah catatan amalan yang tersedia pada sisiku." (Surah Qaf, ayat 23).

Dan Surah Qaf, ayat 27 bermaksud, "Yang menyertai dia, Qarennya berkata pula,"Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya, tapi dialah yang berada dalam kesesatan yang jauh."

Ini merujuk kepada perkataan Qareen. Allah S.W.T menyifatkannya sebagai kawan rapat bukan kerana manusia hendak sangat berkawan dengan mereka, tetapi pada pandangan sesetengah ulama, sejak manusia dilahirkan ada makhluk halus yang mendampinginya, mengajak, memandu serta mempengaruhinya melakukan kejahatan. Itulah yang dimaksudkan sebagai Qareen.

Dalam hadis daripada Ibnu Mas'ud r.a, bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w bersabda (maksudnya), "Setiap orang daripada kamu, ada bersama dengannya qareen (syaitan) daripada jin. Sahabat bertanya, apakah Rasulullah juga mempunyai qareen, baginda menjawab, ya, saya pun ada qareen itu, cuma Allah S.W.T membantu saya, dapat mempengaruhi qareen itu sehingga dia telahpun Islam dan dia berdamping dengan saya, dia tidak mendorong saya membuat sesuatu melainkan semuanya untuk kebaikan." (Riwayat Muslim).

Hadis daripada Ai'shah r.ha berkata,"Suatu ketika Rasulullah s.a.w berada bersama dengan saya, lalu keluar meninggalkan saya kerana ada suatu urusan pada malam hari, tiba-tiba timbul cemburu dalam diri saya, apabila Rasulullah s.a.w kembali menemui saya, baginda mengetahui perasaan saya itu, maka baginda bertanya, apakah gerangan mu wahai Ai'shah? apakah kamu cemburu? Maka saya menjawab, manalah orang seperti saya ini tidak cemburu ke atas mu wahai Rasulullah s.a.w. Maka Nabi menyebut kepada saya, apakah kamu telah dikuasai oleh syaitanmu wahai Ai'shah. Maka saya menjawab, ya Rasulullah, apakah bersama saya ada syaitan? Rasulullah menjawab, ya, malah pada tiap-tiap insan ada syaitannya. Saya bertanya kepada Rasulullah, apakah kamu juga ada syaitan? Jawab baginda, ya, tetapi Allah S.W.T telah membantuku, aku Islamkan dia dan tidak menyuruhku melainkan untuk kebaikan."

Hadis-hadis sebegini adalah hadis sahih, ia menunjukkan memang berlaku bahawa qareen, ia adalah syaitan, mendampingi semua manusia. Kalau Rasulullah s.a.w pun didampingi oleh qareen ini, inikan pula insan biasa.

Oleh yang demikian, jelas bahawa qareen ini ada pada setiap orang dan bergantung kepada seseorang insan itu, jika ia belum boleh menguasai dirinya dengan kerja-kerja ketaatan sehingga tidak ada ruang untuk melakukan kemaksiatan maka qareen ini seolah-olahnya putus asa untuk mengajaknya melakukan kejahatan, melainkan sekali sekala sahaja.

Adapun orang-orang yang mudah mendedahkan dirinya kepada melakukan perkara yang tidak baik, khasnya melakukan kemaksiatan, maka qareen inilah yang menjadi pendorong utama. Pada pandangan saya qareen adalah makhluk halus yang jahat.

Jika hendak dikatakan saka, hanya sekadar mengatakan ianya wujud ada, maka tidak salah mengatakan kita semuanya ada saka, tetapi saka yang saya maksudkan adalah saya yang sedia ada, bukan kerana dipelihara oleh keturunan, bukan disuruh oleh seseorang melakukannya tetapi kerana tabiat makhluk ini memang sentiasa berusaha menjerumuskan manusia kepada kejahatan. Wallahua'lam.






No comments:

Post a Comment