Thursday, January 30, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 50 (Memakai Rambut Palsu, Mandi Wiladah, Mencabut Uban, Solat Di Masjid Dan Hukum Mencari Harta Karun)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 50 adalah menjelaskan persoalan memakai rambut palsu, mandi wiladah, mencabut rambut yang beruban, solat di masjid dan hukum mencari harta karun

306.Soalan : Ustaz...saya ingin bertanya..apa hukum jika perempuan memakai rambut palsu..? Adakah perlu atau tidak perlu mereka memakai tudung untuk menutupi rambut tersebut..

Jawapan : 

Memakai rambaut palsu adalah haram kerana wanita wajib menutup auratnya . Haram menyambung rambut dengan rambut ke atas lelaki dan perempuan. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/364) Malahan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melaknat orang-orang yang melakukan perbuatan demikian. Sebagaimana disebutkan oleh beberapa hadis di antaranya daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma berkata:

Maksudnya: "Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melaknat perempuan yang menyambung rambut dengan rambut yang lain, orang yang meminta sambungkan rambut dan orang yang bertatu." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas jelas menerangkan bahawa menyambung rambut perempuan dengan rambut orang lain atau meminta orang lain menyambungkan rambutnya dengan rambut orang lain adalah haram.

Dalam hal menyambung rambut ini para ashab (‘ulama-‘ulama Asy-Syafi‘e) telah menghuraikannya dengan lebih jelas, iaitu tiada perbezaan pendapat ‘ulama mengenai hukum haram menyambung rambut dengan rambut manusia, sama ada rambut lelaki atau perempuan ataupun rambut suami atau mahram. Ini kerana menggunakan atau memanfaatkan rambut manusia adalah haram disebabkan kemuliaannya.

Jika rambut itu bukan berasal daripada manusia dan ianya najis seperti bulu daripada bangkai binatang atau bulu binatang yang tidak boleh dimakan adalah haram disambung dengannya. Sementara rambut bukan kepunyaan manusia yang suci, jika perempuan itu tidak bersuami maka haram dia menyambungnya, melainkan bagi perempuan yang bersuami dan diizinkan oleh suaminya. (Shahih Muslim Bisyarh An-Nawawi: 7/359-360)


307. Soalan : Saya nak tahu wanita yang lepas bersalin di wajib mandi wiladah.Jika belum melaksanakan haram ke memasak dan masakan nya dihidang untuk orang?

Jawapan : 

Wiladah bermaksud kelahiran anak termasuklah keguguran (sekalipun hanya berupa segumpal darah atau segumpal daging). Menurut mazhab Imam Syafi’ie, Imam Malik dan Imam Ahmad (mengikut satu riwayat darinya); wanita yang melahirkan anak atau keguguran, ia wajib mandi jika ditakdirkan tiada darah nifas yang keluar. Ini kerana dikiaskan kepada mani. Anak atau janin adalah air mani yang telah menjadi kanak-kanak. Keluarnya anak atau janin dari faraj dapat diumpamakan seperti keluar mani darinya, maka wajiblah mandi. Namun jika ada darah nifas yang keluar selepas kelahiran atau keguguran tersebut, maka hukumnya tertakluk dengan hukum wanita yang kedatangan nifas dan ia hendaklah menunggu hingga kering darah nifasnya barulah mandi. Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (kitab Fiqh mengikut mazhab Syafi’ie), pengarangnya menjelaskan; “Kemungkinan berlaku kelahiran tanpa diikuti dengan keluarnya darah. Maka hukumnya ketika itu sama seperti hukum janabah (yakni hukum keluarnya mani iaitu wajib mandi) kerana bayi adalah hasil percampuran dari air mani lelaki dan air mani wanita. Tidak ada beza pada hukum tersebut sekalipun berbeza rupa kandungan yang dilahirkan atau cara kelahirannya. Namun jika kelahiran diikuti dengan keluarnya darah –sebagaimana yang biasa berlaku-, maka darah itu dinamakan nifas dan ia tertakluk dengan hukum-hakam nifas” (Jil. 1, hlm. 82).

Namun mengikut mazhab Imam Abu Hanifah dan satu riwayat lain dari Imam Ahmad; wiladah tidak mewajibkan mandi kerana tidak ada dalil yang menegaskannya (Lihat; al-Majmu’, 2/168). Berkata Imam Ibnu Qudamah (salah seorang ulamak mazhab Hanbali) dalam kitabnya al-Mughni; “Yang soheh ialah tidak wajib mandi ke atas wanita dengan sebab wiladah kerana suatu kewajipan hanya sabit dengan nas (dalil) Syarak. Dalam masalah wiladah ini tidak ada nas Syarak yang mewajibkan mandi dan juga tidak ada pengertiannya dalam nas. Ini kerana bayi yang dilahirkan bukanlah darah dan bukan juga mani, sedangkan yang terdapat di dalam nas (dalil) Syarak; perkara yang mewajibkan mandi ialah dua sebab tersebut (yakni keluar darah dan keluar mani)” (al-Mughni, 1/165).

Jika wanita mampu memasak makanan semasa selepas bersalin di haruskan memasak tidak menjadi haram. Wallahu a'lam


308. Soalan   :Ustaz saya nak tanya.. Apa hukum mencabut rambut yg beruban?

Jawapan :  

Makruh mencabut uban, dan meninggalkan makruh itu adalah pahala. Sabda nabi SAW : "Janganlah engkau semua mencabuti uban, sebab uban itu adalah merupakan cahaya seorang Muslim pada hari kiamat" ( riwayat imam Abu Dawud,Termidz dan Nasa'i).

Dari Abu Hurairah, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda, “Janganlah mencabut uban kerana uban adalah cahaya pada hari kiamat nanti. Siapa saja yang beruban dalam Islam walaupun sehelai, maka dengan uban itu akan dicatat baginya satukebaikan, dengan uban itu akan dihapuskan satu kesalahan, juga dengannya akan ditinggikan satu darjat.” (HR. Ibnu Hibban dalam kitab Sahihnya. Syaikh Syu’aib Al Arnauth mengatakan bahwa sanad hadis ini hasan)

Dari ‘Abdullah bin ‘Umar. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda, “Uban adalah cahaya bagi seorang mukmin. Tidaklah seseorang beruban, walaupun sehelai dalam Islam melainkan setiap ubannya akan dihitung sebagai suatu kebaikan dan akan meninggikan darjatnya.” (HR. Al Baihaqi dalam Syu’abul Iman)

Dari ‘Amr bin Syu’aib, dari ayahnya, dari abangnyanya berkata bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Janganlah mencabut uban. Tidaklah seorang muslim yang beruban dalam Islam walaupun sehelai, melainkan uban tersebut akan menjadi cahaya baginya pada hari kiamat nanti.” (HR. Abu Daud dan An Nasa’i)

Para ulama Syafi’i berpendapat bahwa hukum mencabut uban adalah makruh.di persetujui oleh Yusof al-Qardhawi.


Yang dilarang adalah mencabutnya tetapi merawatnya tidak makruh malah digalakkan . Rambut yang putih juga diharuskan di warnakan dengan inai di warnakan rambut selain warna hitam. Wallahu a'lam

309. Soalan : Saya naa tanya kalau ada orang mengata kita macam nak menunjuk-nunjuk saja kat orang bila pergi  surau/masjid pada hal kita pergi unutuk solat jemaah dapat pahala niat di hati nak berdoa untuk arwah ayah agar arwah ayah masuk syurga..adakah kita patut berkata balik atau diam saja minta pencerahan.

Jawapan : 

Teruskanlah ke surau / masjid untuk solat berjemaah dan mendengar kuliah / tazkirah untuk menuntut ilmu. Biarkan mereka memperli dan menuduh kita nak menunjuk-nunjuk. Orang yang membuat tuduhan itu sebabnya hatinya berpenyakit dan telah dirasuk oleh syaitan untuk melemahkan niat kita yang baik untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. 

310. Soalan :  ustaz.. saya harap ustaz dapat jawab soalan saya ni.. baru-baru ini datok saya telah meninggal dan sebelum datok saya meningal dunia dia pesan pada anak lelaki dia (bapa saudara saya)datok saya suruh bapa saudara saya cari emas atas bukit, bukit itu adalah kebun arwah datok saya.. dan 2,3 hari lepas bapa saudara saya telah pergi satu tempat yang di katakan ustaz itu boleh tarik emas.. macam-macam barang yang ustaz itu mintak.. salah satu nya kain kuning.. kata ustaz itu bapa saudara saya sendiri kena ambik emas itu pada lewat malam..cara nya letakkan kain kuning itu di tanah tempat ad nya emas itu dan bapa saudara saya kena duduk tunggu ada satu makluk datang bagikan emas itu.. soalan saya ada kah emas itu ada? Dan apa maksud kain kuning yang selalu orang guna untuk berbomoh.. adakah syirik perbuatan bapa saudara saya itu?

Jawapan : 

Perlulah Nur Ain menasihatkan bapa saudara saudari supaya janganlah percaya perkara yang kurafat kerana percaya perkara kurafat di khuatiri boleh menjejaskan iman kita kepada Allah SWT. Jin kafir cukup mudah mempermainkan manusia dan janji-janji yang palsu .Islam melarang keras umatnya berjumpa bomoh untuk mengetahui perkara-pekara ghaib , tenung nasib, mencari harta karun maka solatnya tidak akan diterima oleh Allah SWT selama 40 hari. Sebenarnya jin dan syaitan akan menceritakan berita bohong kepada bomoh tersebut supaya berlaku perpecahan dikalangan ahli keluarga atau jiran tetangga.

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Barangsiapa datang kepada tukang tenung (bomoh), kemudian dia membenarkan perkataannya, maka sembahyangnya tidak diterima oleh Allah selama 40 hari.”(Hadis Riwayat Muslim).

Bomoh yang menggunakan khidmat jin atau syaitan ini selain mengubati mereka yang sakit, ia juga menawarkan khidmat tanam susuk, serikan wajah, ilmu pengasih, pelaris perniagaan, pendinding diri (menggunakan bahan-bahan yang telah dipuja), mandi bunga, semahan darah ayam hitam atau kambing hitam (baru buka gelanggang silat atau rumah baru) dan berbagai-bagai amalan syirik seperti mempercayai terdapat harta karun dan sebagainya yang amat dilarang keras oleh Nabi SAW.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan bertilik nasib (menggunakan khidmat bomoh) adalah najis (haram) dan ia daripada perbuatan syaitan.”(Surah al-Maidah, ayat 90)

Firman Allah SAW maksudnya : "Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat."(Surah al-Jinn ayat 6).


Mohonlah perlindungan Allah SWT supaya Dia membuka pintu hati bapa saudara saudari untk meninggalkan perbuatan kurafat yang boleh membawa kepada syirik. Jika mahu harta carilah dengan bekerja atau berniaga kerana sudah pasti rezeki yg diperolehi adalah halal. Tinggalkanlah pekerjaan yang haram dan syubahat untuk mencari keredaan Allah SWT.
 

No comments:

Post a Comment